Thursday, February 25, 2016

Dosa Semalam Bab 7

BAB 7

            MEMBULAT mata kak Zah melihat gerangan yang sudah terpacak di dapur pada pagi itu. Sekejap-kejap dia cuba mencelikkan mata ingin memastikan apa betul gerangan itu wujud di situ pada waktu sebegini. Selesai solat subuh dia ke dapur ingin menyediakan sarapan pagi seperti sedia kala, tetapi lain pula kali ini. Dilihatnya beberapa hidangan sudah siap tersedia di atas meja.
            Aliniya yang sudah siap membasuh kuali di sinki berpaling sambil membawa pinggan bersih ke meja makan. Melihat wajah kak Zah yang sudah tercengang membuatkan dia tersenyum panjang.
            “Assalamualaikum, kak Zah. Selamat pagi. Meh makan! Saya dah siapkan nasi lemak dengan kuih karipap sekali. Kalau akak nak roti bakar saya boleh buatkan,”
            “Eh! Tak!” jawab kak Zah tersedar dari terus tercengang. Berkerut dahi Aliniya mendengar jawapan pendek daripada bibir wanita itu.
            “Tak apa dia kak? Tak nak makan ke?” Soal Aliniya semula. Dia menarik kerusi untuk kak Zah dan mempelawa wanita itu sekali lagi.
            “Kak Zah makanlah sekali dengan Niya. Janganlah akak tak sudi nak rasa hasil tangan saya. Nanti merajuk pulak saya,” Aliniya cuba memujuk. Bibirnya masih tak kering dengan senyuman yang tampak begitu manis sekali. Kak Zah terkebil-kebil mendengar kata-kata Aliniya.
            ‘Aku tahu Puan Niya dah sembuh tapi, takkan sampai macam ini sekali sikap dia berubah. Betul-betul berubah 360 darjah tu,’ omel kak Zah dalam hati.
            “Bukan macam tu maksud kak Zah, cuma kak Zah pelik yang Niya bangun begitu awal hari ini. Sudahlah malam tadi, Niya tidur lewat. Selalu tak macam ini,” di hujung ayatnya kedengaran berbisik tetapi dapat ditangkap oleh Aliniya.
            Bila mendengar kata-kata kak Zah tentang sikapnya yang begitu berbeza tidak seperti selalu membuatkan dia teringat akan kejadian yang berlaku malam tadi.
            “Apa yang kau nak lagi?” Soal Hardee dengan agak kasar. Matanya terpanah tepat pada wajah Aliniya. Aliniya pula memberanikan diri untuk melawan pandangan Hardee. Dia benar-benar tekad sekarang.

            “Saya nak tahu asal usul saya. Saya nak tahu saya lahir dekat mana. Dapat saya rasakan yang saya ini bukan berasal dari keluarga orang kaya. Saya rasa yang saya ini cuma gadis kampung,” ucap Aliniya sambil fikirannya mula terawang memikirkan suasana kampung.
            Hardee mengetap bibir dan akalnya cuba untuk mengingati sejarah lama. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Selama mengenali gadis itu, tidak pernah sekalipun dia berjumpa dengan ahli keluarga isterinya. Apa yang dia tahu, mereka dikahwinkan dengan menggunakan hakim sebagai wali perempuan itu. Dia cuma tahu perempuan itu seorang anak yatim piatu dan itu sahaja. Malah perkahwinan mereka juga bukan sesuatu yang mahu diingatinya semula. Biarlah kenangan pahit itu terkubur begitu sahaja. Buat apa nak ingat balik?
            “Tolong Encik. Saya betul-betul nak tahu dekat mana keluarga saya. Saya ini betul ke ada keluarga. Betul ke saya ini tak ada adik-beradik?”
            “Semua itu aku sendiri tak nak ambil kisah. Apa yang aku tahu kau tu muncul entah dari mana datangnya dan kau hancurkan hidup aku sampai menyebab kita kahwin. Tak perlulah kau nak tahu lebih-lebih lagi. Lagi elok kalau kau tak tahu apa-apa. Kalau kau ingat balik karang lain pulak jadinya. Dahlah! Aku nak tidur. Ngantok!” usir Hardee cuba mahu mengelak daripada disoal oleh isterinya lagi.
            Aliniya hampir-hampir putus asa untuk memujuk lelaki itu. Kali ini, dia mahu cuba bertanya sekali lagi sebelum dia beredar dari situ.
            “Jadi, saya memang tak ada keluarga? Saya ini anak yatim piatu?” Persoalan Aliniya membuatkan darah Hardee kembali mendidih.


            “Kau ini memang tak faham bahasa langsung! Kau nak tahu sangat ya? Baiklah. Kau tu memang anak yatim piatu! Perempuan yang tak tahu malu, perempuan yang memang suka hancurkan kehidupan orang lain. Sekarang kau dah faham kan? Keluar!” berang Hardee telah sampai ke kemuncak. Diambilnya bantal kecil di sisi katil dan dibalingnya pada kepala wanita itu. Aliniya kembali menangis bila diperlakukan sebegitu. Akhirnya dia akur dan keluar dari bilik suaminya bersama tangisan yang tak pernah lekang di tubir mata.
            “Semua ini Niya buat sendiri ke?” soal kak Zah membuatkan dia tersentak.
            “Hah? Apa dia kak?” Soalan kak Zah dibalas dengan soalan juga. Kak Zah yang sudah siap duduk di meja makan memandang Aliniya pelik.
            “Aik? Sempat lagi dia berangan. Akak tanya semua ini Niya buat sendiri ke? Akak tak tahu pun Niya pandai masak,” jelas kak Zah sambil tangannya mula menyenduk sambal  nasi lemak. Bau nasi lemak yang dibuat oleh Aliniya pun boleh tahan sedap. Ini belum makan lagi.
            Aliniya cuma tersenyum kecil. Dia sendiri pun tidak menyangka yang dia mampu membuat nasi lemak itu. Dia cuma mengikut saja gerak hatinya. Mungkin dulu dia sudah terbiasa membuat nasi lemak sambal udang kot.
            “Betul ke kak Zah tak pernah tengok Niya masak sebelum ini?” soal Aliniya ingin tahu.
            Kak Zah mengangguk laju sambil tangannya mula menyuapkan nasi bersama sambal tadi. Setelah merasa nasi lemak tersebut, mata kak Zah terbuntang luas seperti tidak percaya.
            “Sedapnya Niya masak! Betul akak tak tipu. Tak sangka dalam diam Niya ni pandai masak orangnya. Sepanjang akak kenal Niya, tak pernah sekalipun akak tengok Niya masuk dapur. Akak dengan pembantu rumah yang lain selalu kena arah dengan Niya adalah,” Aliniya mengerut dahi.
            ‘Kalau aku tak pernah masuk dapur selama ini, macam mana boleh aku tahu cara-cara nak buat nasi lemak? Macam mana aku tahu memasak?’ soalnya pada diri sendiri sambil matanya memandang pada kedua-dua tangannya.
            “Mungkin Niya memang ada bakat terpendam kot? Siapa tahu,” simpul kak Zah bersahaja. Berselera sungguh kak Zah makan siap diambilnya senduk ingin menambah nasi lagi. Aliniya menggeleng dan tersenyum kecil.
            ‘Siapa diri aku? Dari mana asal aku, semua itu penuh dengan tanda tanya. Ada hikmah kenapa aku tak dapat ingat semua itu. Mungkin juga perit untuk aku terima kisah silam aku sampai aku sendiri pun tak ingat apa yang terjadi dulu. Dahlah mamat garang tu tak nak beritahu aku,’
            Monolog kian terhenti bila fikirannya teringat akan keadaan Hardee semalam. Pantas matanya melihat jam di dinding. Sudah pukul 8 pagi. Lelaki itu tak bangun lagi ke? Tanpa sedar terbit juga perasaan risau di hati Aliniya.
            “Kak Zah, Encik Hardee memang selalu bangun lewat ke masa hujung minggu macam ni?”
            “Ada masanya dia bangun awal lepas subuh. Pagi-pagi macam ini dia mesti ke gim atau pergi ke taman dekat luar tu sebab nak jogging. Tapi, tak tahulah kalau hari ini dia tak nak keluar gara-gara kaki dia yang sakit itu,” serba ringkas kak Zah memberitahu rutin harian majikannya itu.
            “Oh!” balas Aliniya pendek. Kak Zah yang sudah kenyang itu mula menilik wajah isteri majikannya.
            “Kenapa? Niya risaukan Tuan Hardee ke?” kak Zah mula mengusik. Melihat wajah Aliniya yang mula kemerahan dek rasa malu, makin galak kak Zah mengusiknya.
            “Alah... kak Zah tahulah kamu risaukan suami tercinta,”
            “Mana adalah kak Zah. Memandai aje. Saya cuma nak tahu serba sedikit pasal Encik Hardee. Macam mana rutin harian dia. Lagipun, kak Zah kena tahu. Encik Hardee tu tak suka dekat saya. Mana tahu kalau dia tak nak tengok muka saya pagi-pagi ni ke. Jadi, saya kena elaklah supaya dia tak sakit hati tengok wajah perempuan yang dia bencikan ni,” kedengaran sedikit sedih di sebalik kata-kata Aliniya.
            Kak Zah bangkit dari kerusi dan membasuh pinggan yang digunanya tadi. “Akak sendiri pun tak tahu kenapa dia benci sangat dekat Niya walaupun Niya yang sekarang bukan macam Niya yang dulu. Kalau dulu, memang boleh agaklah kenapa,”
            “Kenapa?” pintas Aliniya menyoal.
            “Sebab Niya garang macam perempuan sihir kot,” tergelak Aliniya mendengar tebakkan kak Zah sambil menggeleng kepala.
            “Ada-ada je akak ini,”
            “Yalah. Tapi, terus-terang akak cakap, akak lagi suka Niya yang sekarang. Lemah-lembut dan pandai masak orangnya. Mesti geng-geng pembantu rumah yang lain terkejut tengok perubahan Niya ini,”
            “Bila diorang nak balik ke sini kak?” soal Aliniya bila teringat bukan hanya kak Zah seorang saja pembantu rumah di sini.
            “Esok agaknya. Diorang tu suka balik masa hujung minggu. Hari Jumaat lagi dah balik ke kampung. Maklumlah, kampung diorang jauh. Kampung akak dekat Negeri Sembilan je. Jadi, akak tak selalu balik. Dekat je kan,” Aliniya hanya mengangguk saja.
            “Pembantu-pembantu yang lain pun kenal sangatlah dengan perangai Niya dulu?”
            “Ada seorang tu memang kerja di sini sama waktu Niya muncul jadi isteri Tuan Hardee. Seorang lagi itu jadi pembantu rumah lepas pembantu yang dulu berhenti kerja,”
            “Kenapa dia berhenti kerja kak?”
            “Sebab... sebab Niya yang buat dia tak tahan bekerja dekat sini,” terkedu Aliniya mendengar satu lagi fakta tentang kisah dirinya yang lalu.         
            “Dipendekkan cerita, Niya memang buli dia habis-habisan sebab Niya tuduh dia ada hati dengan Tuan Hardee,”
            “Hah? Jadi memang dia ada hati dengan Encik Hardee ke?”
            “Si Liza tu memang pelik sikit sikap dia. Gedik semacam. Tapi, bila kena hentam dengan Niya, dia mula melawan. Lepas itu, habislah kena buli dengan Niya. Bila ingat balik kisah itu, tak sanggup akak tau. Niya siap berani lagi tarik rambut dia. Banyak gak rambut dia gugur dikerjakan oleh Niya,”
            “Patutlah kak Zah nampak takut bila jumpa saya buat pertama kali semalam. Ganas juga saya ini rupanya,” Aliniya membuat kesimpulan tentang dirinya yang dulu.
            “Sebab tulah si Liza tu tak tahan dan berhenti kerja. Orang yang ganti dia itu pula jenis yang memang akur dengan Niya. Tak banyak bising,” Aliniya hanya mengangguk faham.
            Selesai makan Aliniya mula mengemas tetapi ditegah oleh kak Zah. “Tak apalah Niya. Biar akak yang buat semua ini,”
            “Tak kisahlah kak. Niya boleh buat. Jangan risau,” Aliniya masih juga mahu membantu. Kak Zah menarik tangan Aliniya ingin menghentikan Aliniya daripada terus mengemas.
            “Niya tak perlu risau. Tadi Niya dah buatkan sarapan pagi, jadi biar akak yang kemaskan semua ini. Apa kata Niya pergi jenguk Encik abang Niya dekat atas tu. Sepatutnya waktu ini dia dah makan sarapan pagi, tapi sampai sekarang tak juga turun. Mungkin dia masih lagi rasa sakit dekat kaki dia tu kot. Niya bawak jelah sarapan ke atas,” cadang kak Zah membuat hati Aliniya jadi tak tentu arah.
            “Eh! Akak jelah yang pergi jenguk ke atas. Nanti dia marah kalau Niya kejutkan dia. Akak tak apa. Dia dah biasa dengan akak,”
            “Niya, akak pun segan nak masuk bilik Tuan kecuali bila Tuan benarkan untuk kemaskan bilik dia. Selalunya, yang berani keluar masuk bilik tanpa kebenaran Tuan hanya Niya sorang je,”

            ‘Aku?!’ Satu lagi fakta tentang siapa Aliniya yang dulu membuatkan Aliniya tergamam. Walaupun Hardee membenci dirinya, tetapi mampu juga lelaki itu bertahan dengan sikapnya dulu. Jadi apa yang menyebabkan lelaki itu masih lagi mahu menghadap muka perempuan yang dibencinya?

No comments:

Post a Comment