Sudah 4 hari berturut-turut dia tidak menemui isterinya. Yang peliknya, hatinya bagai tercari-cari kelibat itu. Dia rasa kosong bila tiada pula usikan dari gadis yang sentiasa menemaninya di kala dia balik rumah.
‘Hish! 4 hari on call ke? Biar betul perempuan ni? Ke dia kena seksa dengan senior-senior dia kat hospital tu?’ Otaknya ligat memikirkan kemungkinannya. Matanya menyoroti setiap pelusuk bilik. Bau wangi yang menusuk rongga hidungnya benar-benar membuat dia rindu akan kehadiran isterinya. Itu bau Karmiza. Saifullizan melangkah ke meja solek. Diambilnya satu persatu barang solek dan krim yang digunakan oleh isterinya. Diletaknya kembali botol krim dan diambilnya pula sebuah bingkai gambar di atas meja solek itu.
Wajah Karmiza yang tersenyum manis menjadi tatapannya. Dia mengusap wajah pada bingkai kaca itu. Membayangkan isteri di sisi.
“Awak rindu saya,ye?” Ucap suara lembut dari belakang. Tawanya memecah kesunyian di dalam bilik tidur itu. Lalu leher itu menjadi sasarannya. Karmiza memeluk lehernya dan pantas menghadiahkan kucupan pantas di bibir miliknya. “Tahu tak, saya pun rindukan awak. Serius! Dan saya tahu, awak juga rindukan saya. Awak nak tahu kenapa?” Pertanyaan itu dibiar tidak berjawab. Saifullizan masih terpana akan kehadiran Karmiza di situ.
“Kerana awak dah angau kat saya. Bayangan saya sentiasa ada di mata awak. Diri saya sentiasa menjadi igauan dalam mimpi awak, betul tak?”
Saifullizan tidak menjawab persoalan tersebut. Dia masih kaku terpempan memandang wajah Karmiza yang menggoda itu. Macam-macam akalnya memikirkan benda-benda yang tak elok.
‘Apenye...Dia kan bini kau. Silakan lah...’
Tok! Tok! Tok!
“ Epul, makan malam dah siap. Epul turunlah bawah,” Saifullizan tersentak. Terus hilang bayangan Karmiza tadi.
‘Arggh! Itu cuma bayangan semata-mata!’
‘Kau tu dah angau, Epul! Gila bayang kat bini kau sendiri!’
“Gila!” Saifullizan menggeleng. Dia memicit dahinya. Terasa pening bila otaknya banyak memikirkan bermacam-macam. Dia berdiri dan mahu beredar dari bilik. Langkahnya terhenti sebelum keluar daripada bilik tidur itu. Bunyi mesej yang masuk dari telefon bimbitnya menarik perhatiannya.
‘Mungkin dari Karmiza barangkali,’detik hatinya.
Laju sahaja kakinya mendekati meja solek tadi. Diambilnya telefon bimbit di atas meja solek tersebut dan dia menekan skrin ingin membaca mesej yang baru sahaja masuk itu.
‘Unknown number?’ Dahinya jelas kelihatan berkerut. Dia menekan skrin sekali lagi dan hatinya mula berdetak laju.
Ak nk jmpa kau mlm esk! Ak nk bncng sesu2 kt kau! Klo ko x dtg, taulh akbtnya!- GD
Terasa seluruh tubuhnya bermandikan peluh di saat menerima ugutan dari orang upahannya suatu ketika dahulu. Dia ingatkan sebaik sahaja kes Gedeng sudah ditangkap polis, dia dapat terlepas. Namun, siapa sangka, hidupnya tetap diburu penjahat sebegitu. Saifullizan terduduk lemah. Dia bingung! Apa yang GD perlukan darinya lagi?
Karmiza menarik nafas lemah. Hampir subuh, barulah dia dapat kembali ke rumah. Rasa penat bekerja seharian dan sentiasa on call selama 4 hari berturut-turut benar-benar mencabar mindanya.
“My dear, jangan ingat awak sorang je penat tau. Saya yang buat operation, awak pulak hanya membantu aje. Penat saya berganda-ganda daripada awak,” Ujar Ackiel di sebelah. Ackiel menawarkan diri untuk menghantar Karmiza pulang ke rumah. Dia tidak mahu gadis itu pulang menggunakan public transport. Lebih-lebih lagi pada waktu sebegini. Mana nak cari teksi masa pagi-pagi buta ni? Mujurlah sudah dimaklumnya pada Haji Mukhri akan niatnya ingin menghantar Karmiza pulang. Pasti sahaja suaminya juga turut membenarkan Karmiza pulang bersamanya kerana tiada satu pun mesej atau khabar melalui pihak sana ingin menegahnya dari berbuat demikian. Karmiza juga seperti merelakan. Tidak apalah. Ini bermakna Karmiza sudah mendapat izin daripada suaminya.
Bibir Karmiza mencebik. “Alah, saya pun ada juga di bilik operation tu. Tapi awak, Doktor Ackiel Ariz...Selesai sahaja operation, terus meluru ke bilik pejabat. Awak tak tanya saya ke apa yang saya buat lepas operation tu?”
“Haa...Kalau awak nak tahu, lepas operation tu saya sambung lagi kerja saya...Pergi tengok-tengokkan pesakit-pesakit yang tengah nyenyak dibuai mimpi. Bukannya seorang sahaja tau saya kena pergi check. Berbelas-belas orang pesakit yang saya kena jenguk. Dari bilik ke bilik pulak tu!” Sambungnya lagi. Ackiel tersengih sumbing. Tahu Karmiza akan membebel sekiranya dia tidak berpuas hati bila mereka tak saling berpendapat. Ada sahaja gadis ini membantahnya. Pulak tu, bermacam-macam ‘peluru berpandu’ terkena di batang hidungnya. Sentap!
“Iya yalah. Awak menang. Saya kalah...Dah, pergilah berehat. Esok awak cuti. Jadi, rehatlah sepuas-puasnya. Cuma, janganlah lupakan saya terus ye? Asyik saya je yang menanggung rindu kat awak. Awak tak pernah rindukan saya,”
“Eh! Tak kuasalah nak rindu kat doktor. Nanti apa pulak kata my hubby? Rindu saya hanya pada dia, tau!” Ackiel tersenyum tawar. Kelihatan wajah Karmiza begitu berseri-seri di saat suaminya dijadikan tajuk bualan mereka. Terbit perasaan cemburu. Bertuah sungguh Saifullizan mendapatkan Karmiza. Isterinya begitu mencintai dirinya. Dalam diam, Ackiel terasa mahu menangis. Hatinya begitu sakit bila gadis itu menjadi milik orang lain.
“Okeylah. Saya nak masuk dululah ye? Drive elok-elok tau. Take care,doc!” Karmiza membolos keluar dari perut kereta. Sebelum menutup pintu pagar, dia melambai pada Ackiel yang masih setia di depan rumahnya. Bila Karmiza masuk ke dalam rumah, barulah dia beredar dari situ.
Karmiza menguncikan pintu. Disangkutnya kunci pada penyangkut kunci. Dengan perlahan dia menuju ke bilik Haji Mukhri. Ingin memastikan atuknya itu sudah makan ubat-ubat mengikut jadual yang ditetapkan olehnya. Bila terlihat akan gelas air yang sudah tinggal separuh, Karmiza keluar dari bilik dan mendaki tangga.
Karmiza masuk ke dalam bilik tidur dengan gerak yang berjaga-jaga. Takut mengejutkan suaminya pula. Dia berjalan terjengket-jengket. Macam aksi pencuri pula. Dia berhenti di sisi katil ingin memandang wajah si suami sebelum bersiap untuk membersihkan diri. Beg sandang diletakkan ke tepi dan dia duduk bersimpuh di sisi katil. Ralit matanya memandang wajah putih bersih milik suaminya. Begitu dia sudah kemaruk bercinta dengan suaminya sendiri. Dia benar-benar bersyukur dikurniakan suami seperti Saifullizan. Walaupun suaminya tidak melayannya dengan begitu baik sekali, tetapi, dari semasa ke semasa, dia perasan akan perubahan sedikit demi sedikit layanan suaminya terhadap dirinya.
Di dalam hati, teringin pula mahu mengusap pipi suaminya. Dimainnya alis kening suami menggunakan jari telunjuk. Dia akan berhenti bila wajah Saifullizan mula berkerut-kerut. Karmiza tergelak sendiri tanpa suara. Kemudian, bibirnya hinggap jua di dahi suaminya.
“Good night, sweet heart. Saya rindukan awak sangat,”
“Saya pun rindukan awak...” Karmiza terkedu bila sebaris ayat itu diluahkan dari mulut suaminya yang masih dibuai mimpi. Karmiza mengerdip mata berkali-kali. Dilambai-lambainya tapak tangan di depan wajah suaminya. Tiada pula tanda-tanda suaminya tersedar daripada tidur. Sedetik kemudian, terdengar dengkuran halus dari bibir mungil itu.
‘Oh! Mengigau rupanya,’
Karmiza mengeluh lemah. Dia mencebik.
‘Kalaulah dia sedar dan beritahu kat aku yang dia rindukan aku juga...pasti dah lama aku peluk cium dia terus! Aku tak tahan menanggung rindu ni seorang diri. Ya Allah, bilalah suami aku ni nak balas kembali cinta yang sudah bertapak di hati ini?’
Karmiza menarik beg sandang yang berada di tepi tadi dan disimpannya ke dalam almari. Dia bergerak ke bilik air dan langsung membersihkan diri. Setelah beberapa minit kemudian, badannya terasa begitu segar. Dia menghenyakkan punggung di sebelah suaminya. Memang suaminya begitu nyenyak tidur. Dia merebahkan tubuh dan menarik comforter. Dia mengiring menghadap suaminya. Ditiliknya lagi wajah Saifullizan. Dia mengulumkan senyuman. Dengan perlahan dia melingkarkan tangan memeluk tubuh Saifullizan. Dan tanpa dia sangka, suaminya kembali membalas pelukannya. Benar-benar erat Saifullizan memeluknya. Hampir sahaja dia semput dek pelukan erat itu.
‘Ingat aku bantal peluk dialah ni? Cess!’
Karmiza cuba melonggarkan sedikit pelukan suaminya. Takut pulak dia kalau dia tidak dapat bernafas. Dia tergamam di saat melihat wajah Saifullizan yang begitu hampir dengan wajahnya. Betapa dia menunggu saat itu selama ini. Dipeluk oleh suami tercinta ketika tidur. Waduh! Romantiknya! Karmiza tersenyum. Lantas, matanya ditutup bila rasa kantuk mula menular diri.
Tidak lama selepas itu, mata Saifullizan dibuka perlahan. Dia meleretkan senyuman di bibir. Mata isterinya sudah tertutup rapat. Sudah lama dia mahu berbuat begitu. Dia seperti tidak mahu melepaskan isteri yang benar-benar sudah mencuri hatinya. Bila mesej daripada GD kembali mengganggu fikirannya, perasaan takut kembali bersarang di hati. Dieratnya lagi pelukan itu dan dia berdoa agar tiadalah perkara buruk yang bakal menimpa rumah tangga mereka nanti.
Tubuhnya bergolek ke kiri dan ke kanan.
Bukk!
“Ouch!” Jerit Karmiza kecil. Kepalanya dipanggung memandang sekeliling. Rambutnya sudah serabai dan ada sedikit bekas air liur basi di tepi bibir. Dia mengelap malas bekas liur itu. Dia menggosok-gosok matanya. Bila mulut menguap luas, pantas tapak tangan menengkup mulut itu. Sedetik kemudian, mata yang kuyu terbuka luas. Dia menggosok-gosok kepala yang terasa sakit dek terjatuh dari katil.
‘Dah pagi rupanya. Matahari dah menegak pun. Nasib baik tengah angkat ‘bendera jepun’ sekarang,’ Detik hatinya. Matanya memandang tepat pada katil di atas. Kemudian barulah dia tersedar akan sesuatu. Dipalingnya lagi kepala ke kiri dan ke kanan. Mencari kelibat suaminya.
“ Apelah kau, Miza...Sekarang dah pukul berapa? Jam pukul 10 pagi, memang sahlah suami kau di pejabat sekarang,” Miza mengetuk-ngetuk kepalanya. Bila mata terpandang akan comforter yang masih tidak dilipat di atas katil, lantas akalnya terfikir akan adengan malam tadi. Meleret-leret senyumannya bila masih terasa pelukan hangat daripada Saifullizan malam tadi. Dia memeluk diri sendiri membayangkan pelukan hangat Saifullizan semalam.
“ Miza, dah bangun ke? Kenapa Miza menjerit tu?” Suara Haji Mukhri kedengaran di sebalik pintu. Bagaikan lipas kudung Miza berdiri dan bergerak ke hulu ke hilir. Jari-jemarinya pantas menyikat rambutnya yang kusut masai.
Terjengul wajah Haji Mukhri bila pintu bilik dibuka. Karmiza terhenti dan tersenyum sumbing.
‘Tulah...Berangan tak ingat dunia! Tahulah kau tu syok kena peluk dengan ‘teddy bear’...kan dah gelabah. Nasib baik atuk tak tengok tadi. Mahunya kau malu seumur hidup, baru tahu!’ Kutuk Karmiza pada diri sendiri.
“Errr...Tadi, Miza jatuh dari katil. Tapi, I’m okay, tok. So, don’t worry. Miza, kuat! Miza, tough! Heee...” Karmiza senyum meleret. Haji Mukhri menggeleng kepala. Sejurus itu dia tergelak kecil. Tercuit hatinya bila melihat wajah Karmiza yang sudah kemerahan menahan malu.
“Turunlah bawah. Mizakan belum sarapan lagi. Lepas solat subuh tadi, Epul cakap kat atuk yang kamu tak dapat solat. Lagipun, kamu balik pun lewat pagi tadi. Jadi, dia biarkan aje kamu tidur. Tak mahu kejutkan kamu katanya,” Karmiza memandang pelik pada Haji Mukhri.
‘Bila masa pulak lelaki tu tau aku ni tak boleh solat? Eish..Takkan dia curi-curi tengok kat kalendar aku kot?’ Karmiza menggigit bibir. Terasa mahu pitam pula bila terfikir akan kemungkinan itu. Aduh! Malunya. Bab berkaitan dengan tarikh atau bulan ni sangat sensitif buat wanita seperti dirinya. Terasa membahang wajahnya di saat itu.
“Kenapa muka Miza ni kuat sangat merah nya? Miza fikir apa ni sampai muka merah macam ‘buntut ayam’ atuk tengok?”
‘Ouch! Aku terkena balik rupanya. Pandai jugak atuk kenakan aku. Dulu cucu dia yang kena bahan dengan aku. Sekarang, aku pulak kena bahan oleh atuk,’
“Erk..Tak ada apalah, tok. Errmm..Miza nak mandi dululah. Segarkan diri. Gigi pun tak gosok lagi. Atuk tak hidu ke bau ‘longkang’ dari mulut Miza ni? He he he...”
“Tak yah cakaplah, Miza. Atuk tahan nafas aje bila bercakap dengan kamu sekarang,”
“Atuk!” Haji Mukhri mengekek ketawa. Dia suka bergurau dengan Miza. Dilihatnya wajah gadis itu kembali merah. Makin galak dia ketawa. Haji Mukhri keluar dari bilik tidur cucunya itu dan memberi masa pada Karmiza untuk membersihkan diri sebelum turun untuk bersarapan.
“Tok, rasa-rasanya abang Epul balik pukul berapa ya, hari ini?” Soal Karmiza selesai sahaja membersihkan diri dan turun ke dapur. Haji Mukhri yang tengah khusyuk membaca surat khabar berhenti seketika. Dia mengerling pada wajah Karmiza.
“Ermm..Tak silap atuk...Selalunya Epul balik pukul 6 petang. Waktu macam orang selalu balik kerja. Kenapa?” Haji Mukhri hairan bila melihat Karmiza yang tersenyum lebar.
“Miza ingat, Miza nak masak malam ni. Teringin nak makan kari ketamlah pulak. Abang Epul suka makan ketam kan?” Haji Mukhri mengangguk.
“Dia tu memang gila ketam. Wah! Merasa juga atuk masakan dari air tangan kamu. Kalau selalu tu, sibuk aje memanjang. Tak sempat nak rasa masakan kamu. Atuk pun terasa nak makan ketam juga hari ni. Bila tengok iklan dalam surat khabar pasal potongan harga bahan-bahan mentah ni, kecur pulak liur atuk nak makan ketam,”
“Boleh! Nanti malam Miza masak kari ketam untuk atuk dan abang Epul. Tapi, Miza nak minta tolong atuk. Boleh?”
“Apa dia?”
“Miza nak pergi ke Giant kelak. Nak beli segala bahan,” Pinta Karmiza sambil tangannya mengambil roti bakar yang dihidangkan oleh Mak Timah.
“Boleh je. Nanti bawa Mak Timah kamu sekali. Mana tahu, kita perlukan tenaga yang ramai nak bawak bahan-bahan tu semua. Boleh tak, kak?”Soal Haji Mukhri pada pembantu rumahnya itu. Mak Timah berpaling dan mengangguk bersetuju. Dia menghadiahkan senyuman manis pada gadis bermata bundar di depannya. Karmiza membalas senyuman kembali.
“Okey! Tak sabar rasanya nak masak untuk orang-orang tersayang. Excitednya!”
Karmiza ke hulu ke hilir sambil menolak troli. Tangannya lincah mengambil segala bahan yang diperlukan untuk malam nanti. Dia berasa terlebih extra pula gembiranya. Dia mahu memberi kejutan pada Saifullizan. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka yang tak sampai 2 bulan itu, dia tidak berkesempatan mahu menunjuk kepakarannya dalam memasak. Jadi, hari ini dia mahu membuktikan kepada Saifullizan yang makanan kampung juga sedap. Malah lebih sedap berbanding makanan western!
“Miza, janganlah gelabah sangat. Tak ke mananya bahan-bahan tu semua,”
“Ala, tok...Masa orang tengah jual murah nilah kita kena cepat-cepat. Ketam besar macam tu dapat murah, siapa yang tak nak?” Ujar Karmiza. Matanya masih ralit memerhati ketam-ketam yang bersaiz agak besar berbanding selalu itu.
“Miza nak ke sana dululah. Nak dapatkan ketam, besar punya!!” Mak Timah di sebelah menggeleng seraya tertawa melihat perangai tak semengah cucu menantu majikannya itu. Siap buat aksi lagi kat depan mereka. Begitu ceria hari-hari mereka dengan kehadiran Karmiza di sisi.
Bila mendapatkan apa yang dimahunya, Karmiza pantas berpaling. Namun, tanpa sengaja bahunya terlanggar tubuh seseorang. Karmiza terundur ke belakang sedikit kerana tubuh gerangan itu lebih besar berbanding tubuhnya.
“Ooopss...Sorry. Saya tak sengaja,” Pinta Karmiza pada gerangan itu. Lelaki yang berada di depannya hanya mengulumkan senyuman kecil. Tetapi, nampak seperti sinis pula bila dilihat lama-lama. Karmiza meminta maaf sekali lagi siap menunduk sedikit pada lelaki yang berkaca mata hitam itu. Lantas dia mendekati Haji Mukhri dan Mak Timah ingin membuat pembayaran di kaunter.
Lelaki tadi berpaling ke belakang. Matanya tajam melirik pada susuk tubuh Karmiza. Sengihan sinis terpancar di wajahnya. Lalu, dia mengetap gigi.
“Siap kau, Epul! Kalau kau tak jumpa aku malam nanti, tahulah apa yang akan aku buat kat bini kau nanti. Aku akan seksa hidup kau dan bini kau sekali! Kau tunggu aje,” ujar lelaki itu dengan penuh rasa dendam di hati.
Saifullizan masuk ke dalam rumah dan meletakkan kunci kereta di atas meja kaca yang berada di ruang tamu. Dia melangkah dengan lemah. Malam nanti, dia perlu bersiap-siap mahu bertemu dengan GD. Dia mahu membuat perhitungan dengan lelaki gangster itu agar tidak mengganggu hidupnya lagi. Kalau duit yang diperlukan oleh lelaki itu malam nanti, dia tidak teragak-agak mahu memberinya. Dia mahu GD menutup mulut tidak mahu rahsia itu terbongkar sehingga diketahui oleh Karmiza.
Bila kakinya melangkah melalui dapur, hidungnya menangkap bau yang amat menyelerakan. Pantas dia membelok memasuki dapur. Dia tergamam saat melihat Karmiza siap memakai apron memasak di dapur. Terkelip-kelip matanya tidak percaya. Karmiza pandai masak?
“Kau buat apa kat dapur ni? Jangan sampai terbakar rumah ni disebabkan oleh kau, sudah...” Sindir Saifullizan. Karmiza berpaling sambil mencebik. Dia tahu akan kedatangan suaminya sewaktu itu kerana bunyi deruman kereta suaminya dapat didengar dari dapur lagi.
“Awak tak tahu ke, nurse macam saya perlu belajar memasak jugak. Untuk kebaikan pesakit mereka. Kalau tak pandai memasak, jangan cakaplah. Lagipun, segala kandungan gula, minyak, garam...saya perlu tahu. Supaya para pesakit saya, tak bertambah kronik kalau diberi makanan sebarangan,”
“Dan lagi satu, saya masak ni sebab saya nak tunjuk kehebatan saya kat awak. Siapa cakap masakan kampung, makanan orang Melayu tak sedap?” Sambung Karmiza lagi. Karmiza mengambil sudu dan mencalit sedikit kuah kari ketam yang sudah siap dimasaknya. Dia memasukkan sudu ke dalam mulut dan diambilnya lagi kuah kari itu. Dia mencuba lagi merasa kuah kari tersebut takut-takut terlebih rasa masin pula.
“Haa..kalau awak tak caya, meh...Saya nak awak rasa,” Pantas dia menarik lengan Saifullizan dan dia menjongket sedikit mendekati suaminya. Dikucupnya sekejap bibir suaminya. Habis kuah kari tadi juga melekat di bibir Saifullizan. Saifullizan terkedu dengan aksi pantas isterinya itu. Dia menolak sedikit tubuh Karmiza menjauhi dirinya. Dilapnya bibir yang mempunyai sisa kuah kari tadi. Dapat dia rasakan kuah kari yang dibuat oleh Karmiza. Boleh tahan sedap juga! Getus Saifullizan. Tercetus tawa Karmiza saat terpandang wajah merah padam suaminya.
“Kan saya dah cakap, sedap masakan Melayu ni...Saya jamin, awak mesti nak lagi lepas ni. Makanan western ni tak sihatlah, abang,” Sekali lagi, makin luruh jantungnya saat Karmiza memanggilnya dengan panggilan ‘abang’. Begitu lembut sekali panggilan itu menampar cuping telinganya. Dia teringin mendengar gelaran itu sekali lagi. Namun, cepat-cepat dia menggeleng.
“Well, for your information, saya nak keluar malam ni. Tak ada masa nak makan makanan kampung awak ni!” Wajah Karmiza tiba-tiba berubah mendung. Dia sedih bila mendengar plan suaminya yang mahu keluar malam ini tanpa menjamah makanan yang dimasak olehnya. Dia benar-benar mahu menangis sekarang.
“Epul, makan sekejap ajelah. Bukannya ambil masa yang lama pun. Makan 30 minit pun dah cukup buat hati Miza ni senang. Kalau kamu pergi tanpa jamah sedikit pun masakan yang dibuat khas untuk kamu, tak ke sakit hatinya tu?” Ujar Haji Mukhri yang baru muncul di dapur itu. Ditekannya perkataan ‘sakit’ mahu melihat sama ada cucunya itu faham atau tidak apa yang dimaksudkan olehnya tadi. Matanya melihat wajah Karmiza yang sedikit terluka itu. Bila Karmiza berpaling menghadap kuali di dapur, Haji Mukhri mendekatkan bibirnya pada telinga cucunya.
“Atuk dah beri amaran kat kamu. Jangan sakitkan atau cederakan Miza sedikit pun. Sekarang, hati dia terluka. Samalah dengan kamu mencederakan dirinya. Jadi, kamu nak kalau harta tu berpindah hak milik?” Bila mendengar ugutan dari mulut Haji Mukhri itu, Saifullizan mengeluh lemah. Hatinya berbelah bahagi sekarang. Tidak mahu kalau harta itu jatuh ke tangan Miza dan takut juga kalau GD mengapa-apakan mereka. Sudahnya, dia akur akan arahan atuknya itu.
“Saya akan makan masakan awak tu sebelum saya keluar nanti. Jadi, cepat sikit masak tu,” Pesan Saifullizan sebelum kakinya mendangki tangga meninggalkan Karmiza dan Haji Mukhri di dapur. Kemudian, muncul kelibat Mak Timah dari luar membawa kain-kain yang sudah kering. Terkebil-kebil Mak Timah bila tidak tahu mengetahui kisah yang berlaku di dapur itu. Wajah Haji Mukhri nampak begitu keruh sekali. Manakala wajah Karmiza pula sukar untuk dia menafsirkannya. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, dia masuk ke dalam ingin melipat kain-kain yang sudah kering itu. Mahu dibantunya Karmiza di dapur tetapi dihalang oleh cucu kesayangan majikannya itu. Jadi, dibiarnya sahaja Karmiza memasak di situ.
Haji Mukhri keluar dari dapur tersebut dan menuju ke bilik ingin bersiap-sedia mahu menunaikan solat mahgrib tidak lama lagi. Karmiza pula menonong sahaja di dapur. Api dapur dipadamnya dan tangannya disilangkan. Semua lauk sudah siap dimasak. Otaknya asyik memikirkan sesuatu.
‘Tujuan aku nak masak untuk dia supaya dapat spend time dengan dia. Ni tidak! Masih tetap dengan perangai buruk dia tu. Keluar malam sampai tak ingat malam dan pagi. Hish! Aku kena fikirkan sesuatu ni,’
Tidak lama kemudian, bibirnya mengukirkan senyuman penuh makna. Akal jahatnya menjelma. Lalu, tangannya membuka pintu rak almari di atas. Matanya melilau mencari sesuatu. Bila terpandang akan benda yang diperlukan, lantas diambilnya keluar dari rak almari tersebut.
Karmiza membaca kandungan label pada botol yang dipegangnya itu. Dia tersengih-sengih jahat.
‘Kadang-kadang, perut suami aku ni kena bersihkan jugak! Kalau dapat bersihkan otak dia sekali pun bagus jugak!’ Karmiza tertawa kecil. Digenggamnya botol itu dan dimasuknya ke dalam poket seluar.
Apabila semua sudah terpacak di meja makan, Karmiza menyenduk nasi untuk suaminya.
“Sikit je. Saya tak nak makan banyak. Lagipun, nikan bukan makanan favourite saya,” Karmiza mencebik. Tak sudah ego suaminya itu. Tinggi melangit sahaja.
‘Tunggulah nanti, memang nak kena dengan aku ni,’
“Ni, saya dah sediakan kari ketam untuk awak. Tak payah ambil lagi,” Ucap Karmiza menghalang Saifullizan dari menceduk ketam. Diletaknya pinggan tersebut di sebelah pinggan nasi Saifullizan. Dia mengambil pinggan kecil untuk digunakan bagi meletakkan kulit-kulit keras ketam itu nanti. Dihidangnya juga pinggan nasi untuk Haji Mukhri di sebelah. Mak Timah dijemput untuk makan bersama di meja makan itu.
Suapan pertama yang masuk ke dalam mulutnya membuat dia terhenti mengunyah. Dia menikmati enaknya rasa kuah kari ketam yang dimasak oleh Karmiza. Lantas diambilnya lagi ketam ke dalam pinggannya. Karmiza tersenyum girang. Dia pasti, suaminya sudah terpikat dengan cara masakannya.
“Sedap Miza masak. Atuk tambah nasi lagi, ye?” Karmiza mengangguk laju. Karmiza menyenduk nasi ke dalam pinggan Haji Mukhri. Sungguh berselera kedua-duanya menikmati masakannya itu. Tak sia-sia dia belajar memasak dengan kak Mardiha, penjaga rumah anak yatimnya dahulu.
Selesai sahaja makan, Saifullizan tersedar akan kelewatannya yang mahu bertemu dengan GD. Dia mula gelabah. Dia berlari naik ke bilik dan mengambil telefon bimbit. Terbeliak matanya memandang miss call berkali-kali daripada GD. Laju sahaja dia menekan skrin menulis mesej ingin memberitahu GD akan kelewatannya ke sana.
Saifullizan bersiap ala kadar. Laju sahaja kakinya menuruni tangga. Karmiza terpandang akan kelibat suaminya. Dia menggigit bibir.
‘Aish! Bila lagi ubat tu nak efektif?’
“Abang!” Jerit Karmiza. Karmiza sengaja mahu melambat-lambatkan suaminya.
“Err...Awak nak ke mana? Boleh saya tahu?”
“Kau tak payah sibuk nak tahu aku pergi mana. Duduk je kat rumah. Jaga atuk. Aku tak lama,” Kata Saifullizan sambil menekan butang punat kunci keretanya. Dia membuka pintu kereta dan mahu membolos ke dalam perut kereta Lamborghininya itu. Langkahnya terhenti saat Karmiza memaut lengannya.
“Sebelum awak pergi, saya kena buat sesuatu dulu,”
“Apa dia? Cepatlah sikit,” Saifullizan cuba mengawal nada suaranya saat terpandang akan kelibat Haji Mukhri yang berdiri di depan pintu rumah. Dia tersentak bila tangannya ditarik dan dicium oleh Karmiza dengan penuh hormat.
“Lain kali, saya nak buat amalan ni selalu. Biar jadi kebiasaan. Jadi, sebelum awak nak pergi mana-mana, saya nak salam cium tangan awak. Nak ambil berkat dari suami orang kata,” Seloroh Karmiza sambil tersenyum.
“Haa..Suka hatilah. Dah! Aku nak blah dah ni.” Laju sahaja Saifullizan menarik tangannya dan masuk ke dalam kereta. Ditekannya remote control pagar rumah dan menunggu pagar terbuka luas. Karmiza mengeluh lemah dan kembali ke dalam rumah. Belum sempat dia ingin menutup pintu rumah, tiba-tiba Saifullizan menyerbu masuk tanpa salam. Berlari anak Saifullizan naik ke atas dan pintu bilik dihempasnya tanpa sengaja. Berkerut-kerut dahinya tidak dapat menahan rasa sakit yang memulas perutnya.
“Yes! Menjadi jugak akhirnya. Ha ha ha...” Karmiza mengekek ketawa dengan nada yang dikawal. Takut terdengar dek suaminya mahu nahas dirinya nanti.
“Apa yang kamu gelakkan tu, Miza? Apasal Epul masuk balik ke rumah?”
“Tok, lepas ni...Dalam beberapa hari jugak abang Epul tak keluar malam. Percayalah cakap saya,” Kemudian, Karmiza kembali menyambung tawanya sambil menekan-nekan perut yang sudah senak dek ketawa berlebihan.
“Ish...Kamu ni, Miza. Tak baik ketawa lebih-lebih. Orang cakap, lawan tawa itu menangis. Jadi, baik kamu berhenti ketawa. Nanti kamu akan menangis pula,” Lantas tawa Karmiza terhenti terus. Dia menutup mulutnya. Takut juga bila mendengar kata-kata Haji Mukhri itu. Tiba-tiba, di bawah kelopak mata kirinya bergerak-gerak. Hati Karmiza menjadi tak senang. Dia selalu terdengar kata orang yang menyatakan bahawa, sekiranya bawah kelopak mata kita bergerak-gerak tak henti, itu bermakna akan adalah satu perkara yang tak baik yang akan membuat kita menangis tak lama lagi.
‘Ish...Jangan terlalu percayakan sangat benda-benda macam tu. Semuanya kita berserah sahaja pada Allah S.W.T,’ Bisik Karmiza mahu menyedapkan hatinya. Tetapi, entah kenapa, perasaan tak sedap hati itu masih ada. Kenapa ya?
Best...Jalan cerita lain drp yg lain..saya suka..cepat2 update ye....
ReplyDeleteOkey...Blh jee...Thanx sbb stia mnnti cter nii.. :D
Deleteagak2 ape GD nk buat yer klo saifullizan x dtg jmpa dye.. huhu..
ReplyDeletefiqa
Hehehe...Fiqa rse2 ape ye?? hehe.....Tggu tau nxt n3...:)
Deletemkin best...=)
ReplyDeleteThanx yan... <3
Deletetu la nk thu ape yg akn berlaku pda miza...
ReplyDeleteeheeee...kte tggu n lhat je... :D
Deletebab ni mmg sweet... hehe
ReplyDeletetp sampai hati karmiza letak julap..haha
Eheee...die x nk suami die kluar mlm2..tu la psl..hehehe...nkal gak si miza ni tau.. ^-^
Deletebest2... keep it up
ReplyDeleteorait... :D
Delete