Sudah 2 hari dia berada di villa milik Tan Sri Hamdan. Walaupun dia berasa sedikit janggal dengan sekeliling yang kira mewah, tetapi demi tidak mengingkar permintaan kedua ibubapanya, dia akur juga.
Matanya memerhati setiap genap villa itu. 3 kali ganda lebih besar berbanding rumahnya. Memang bertuah benar anak-anak Tan Sri Hamdan. Dari kecil sudah disuap dengan sudu emas. Apabila sudah dewasa, segalanya akan diserahkan kepada mereka pula. Elaine tidak hairan dengan semua itu. Niatnya cuma satu, ingin berkenalan dengan anak kawan papanya, tetapi dia terasa pelik bila batang hidung lelaki itu langsung tidak ketemu selama 2 hari ini.
Elaine menghampiri Mak Bedah yang masih leka melakukan kerja memasaknya. Gian benar orang tua itu sehingga tidak perasan kelibat Elaine di situ. Fokus benar!
“Mak Bedah buat apa?” Soal Elaine ingin tahu. Matanya melekat pada kuali. Mak Bedah sudah mengurut-urut dadanya dek kerana terkejut diterjah sebegitu. Naik geram juga dengan pekerja baru Puan Sri Harisah.
Pertama kali bertemu dengan Elaine, dia sudah merasa lain macam sahaja melihat kerenah Elaine. Macam kayu! Bila disapa, mukanya selamba sahaja. Tak ada ekspresi pun. Makin pelik melihat perwatakan Elaine itu. Macam orang bengung pun ada. Tetapi, dia semakin hairan apabila Puan Sri Harisah melayan Elaine dengan begitu baik sekali. Hairan hairan.
“Ni, tengah masak kari kepala ikan. Elaine suka makan tak?”
“Kepala ikan? Orang cakap, kalau kita makan kepala ikan, boleh buat kita jadi pelupa. Elaine tak gemar makan kepala ikan. Takut jadi pelupa.” Elaine tahu tentang fakta itu. Dahulu, ketika masih bersekolah, sering kali gurunya menasihati agar jangan terlalu kerap makan kepala ikan. Kepala ikan mengalami asid yang membuatkan sel otak kita menjadi semakin lemah sehingga menyebabkan kita menjadi pelupa. Dan Elaine masih ingat sampai sekarang.
“Oh, ye ke? Mak Bedah tak tahu sangat benda-benda macam tu. Yang Mak Bedah tahu, kepala ikan tu sedap! Kalau dibuat ikan goreng, hah, kepala ikan tu lah kegemaran Mak Bedah. Garing sahaja. Krop krop bunyinya bila kita meratah kepala ikan tu.” Elaine menggeleng dan mengambil keputusan untuk diam sahaja. Malas mahu melawan kata atau membidas pendapat Mak Bedah. Dia tidak mahu Mak Bedah berasa tidak senang dengan kehadirannya di situ.
“Jadi, apa makanan kegemaran Elaine?” Soal Mak Bedah pula.
Elaine diam seketika sambil bebola matanya berlari ke kiri dan ke kanan. Apabila matanya berhenti dan memandang Mak Bedah semula, dia seraya berkata.
“Mentega.” Kelu Mak Bedah sejurus mendengar makanan kegemaran Elaine. Ingatkan makanan lain seperti nasi kerabu, sambal belacan, atau ayam masak kurma menjadi pilihan. Tetapi, lain pula yang dijawapnya. Mentega! Atau dalam bahasa inggerisnya, butter! Eh, boleh pula Mak Bedah memikirkan nama mentega di dalam bahasa inggeris.
Elaine keluar dari dapur dan bergerak ke bilik tengah. Rasa bosan mula menular di hatinya. Tiada apa yang perlu dibuat kah? Bukankah dia ke sini menjadi orang gaji sambilan?
“Hoi, budak baru! Apesal kau tercegat sahaja? Tak de kerja ke? Tu kat belakang, berlambak baju yang kena basuh. Baik kau pergi basuh baju tu sekarang, sebelum aku report kat Puan Sri!” Sergah perempuan yang lengkap berpakaian seragam yang dipakai oleh semua orang gaji di situ. Semenjak pertama kali berada di villa ini, perempuan yang berdiri sambil bercekak pinggang bernama Adilah itu memang sering memberikan jelingan tajam kepadanya.
‘Hai, apalah salah aku selama 2 hari ni? Ada saja yang tak kena di mata perempuan singa ni.’ Keluh Elaine di dalam hati. Dari pandangannya Adilah nampak sedikit berumur darinya. Tetapi, bila diperkenalkan oleh Mak Bedah di hari pertama, rupa-rupanya mereka seumur.
‘Perangai mengalahkan Singa Belanda celup Melayu.’ Sempat Elaine mengutuk Adilah. Dengan perlahan, dia beredar ke bilik belakang, bilik yang menempatkan mesin basuh. Besar mana mesin basuh tu, jangan cakaplah. Sebijik macam dobi sahaja ruang belakang itu. Ahli keluarga Tan Sri Hamdan bukanlah terlalu ramai .Di dalam villa ini menempatkan 4 orang anak beranak Tan Sri Hamdan dan selebihnya orang-orang gaji yang berkhidmat untuk menjaga dan membersihkan villa sebesar istana ini. Macam hotel pun ada.
Masuk sahaja di bilik belakang, berlambak baju-baju kotor yang berlonggok di dalam bakul. Mak aih! Semua ni baju orang di dalam villa ni ke?
“Kat sini, kau kena asingkan baju Tan Sri Hamdan dan juga baju Puan Sri Harisah. Tak lupa juga anak bongsu mereka, Eryl. Jangan pula kau campur kan baju-baju orang gaji dengan baju tuan besar.” Kening Elaine sudah terangkat seperti aksi Ziana Zain setelah mendengar arahan Adilah.
‘Aku kena cuci baju orang-orang gaji jugak ke?’
“ Oh, dan mesin basuh ni, hanya menempatkan semua baju milik Tuan Muda kita, tuan Eric. Jangan campurkan baju kotor milik tuan Eric dengan baju adiknya. Dia tak suka! Kalau kau nak tahu, tuan Eric seorang yang tegas dan sangat peka dengan sekelilingnya. Dan, dia hanya pakai serbuk dan cecair pencuci jenama ni.” Ujar Adilah dengan mengunjukkan serbuk dan cecair pencuci yang digunakan oleh TUAN Eric itu.
‘Banyak songeh jugak bakal laki aku tu rupanya.’ Gumam Elaine.
Sikap Elaine yang macam ambil tak kisah itu membuat Adilah berasa menyampah, lebih-lebih lagi reaksi dia. Tak ada perasaan langsung!
‘Aku marah, aku tengking, dia boleh buat dek je? Kurang asam betul! Siap kau aku kerjakan!’ Amarah Adilah ditahan-tahan di dalam hati.
“Kalau kau lupa semua arahan aku ni, siap kau kena ‘basuh’ dengan tuan Eric. Pantang bagi dia kalau orang tidak mengikut segala perintahnya. Silap-silap, bila dia balik nanti, engkaulah yang akan dipecatnya."
Selepas beberapa minit kena ‘basuh’ dengan singa belanda celup melayu, barulah Elaine membuat tugasannya. Bukan tugasan, lebih kepada pembulian seorang senior kepada juniornya.
‘Adakah patut aku kena basuh baju orang gaji sekali?’
Elaine mula memasukkan baju-baju orang gaji di situ ke dalam mesin khas untuk mereka sebagai pekerja bawahan ini.
“Eh! Kak Elaine buat apa tu? Baju kitorang tak perlulah akak basuh sekali. Kerja akak cuma cuci baju Tan Sri dan ahli keluarganya sahaja. Baju-baju orang gaji macam kita ni, sendiri mau tahu lah. Siapa yang beri arahan sebarangan ni?” Tegur suara dari belakang. Naik hairan apabila melihat kerajinan orang baru itu. Elaine berpaling sambil ditangannya masih memegang baju pembantu rumah yang tidak diketahui milik siapa.
“Adilah yang suruh akak buat. Akak buat je lah.” Terhambur tawa gadis manis di depannya itu. Baju seragam pembantu rumah yang melekap di tubuh badan kecil itu membuatkan gadis itu tampak begitu comel sekali.
“Akak, kalau saya lah kan, mahunya menggumpal semua baju dia ke dalam mulut singa tu. Bajet habis!” Tangan gadis itu segera menarik baju ditangan Elaine dan diletaknya semula ke dalam bakul berdekatan.
“ Akak, jangan diikut sangat kata-kata kak Adilah tu. Dia tu perasan bagus. Kalau akak nak tahu, dari dulu sampai sekarang, dia tak habis-habis menjaja cerita tentang masa depan dia dengan tuan Eric. Dia kata tuan Eric baik sangat dengan dia sebab tuan Eric syok kat dia. Hmph! Entah entah, dia tu yang perasan syok sendiri!” Elaine tersenyum dalam hati. Namun hakikatnya, wajah itu langsung tidak mempamerkan senyuman dibibir merah merekahnya. Cuma pandangan sepi sahaja menjadi pandangan luaran.
“Tak apa lah kak, biar Kira tolong akak kali ini. Tak pun, akak nak tengok macam mana saya buat, lepas tu barulah akak buat?” Elaine mengangguk bersetuju dengan cadangan gadis manis bernama Kira itu. Kira merupakan rakan sebiliknya bersama dengan Mak Bedah. Menurut hatinya, Kira seorang yang ceria dan peramah. Tetap mahu melayan dirinya.
Selepas Kira membuat beberapa demo, barulah Elaine mengambil tugas itu kembali. Dia ingin memasukkan baju kemeja biru ke dalam mesin basuh.
“Tu baju kegemaran tuan Eric. Selalu sahaja Kira lihat dia pakai baju kemeja tu bila nak pergi kerja. Tuan Eric minat colour biru.” Tangan Elaine berhenti sebelum memasukkan baju kemeja itu ke dalam mesin basuh.
“Kira dah bekerja berapa lama dengan Tan Sri?”
“Emm...Lepas habis SPM, Kira minta kerja kat sini melalu agensi. Sampai sekarang, Kira masih nak berkhidmat dengan Tan Sri sebab bagi Kira layanan mereka sekeluarga sangat baik walaupun dengan pekerja bawahan macam kita ni. Mereka kaya tetapi sangat merendah diri. Jadi dalam anggaran Kira, sudah 2 tahun jugaklah.”
“Kira tak sambung belajar ke?”
“Kira bukannya orang senang kak Elaine. Kira bekerja pun sebab nak sara hidup keluarga Kira. Ayah dah lama meninggal sejak kecil lagi. Jadi, Kira tak sedap hati kalau membiarkan mak Kira seorang membanting tulang bekerja mencari rezeki demi membiayai kami sekeluarga. Kira ambil keputusan untuk bantu mak juga.” Elaine mengangguk. Dia meletakkan serbuk ke dalam ruang yang tersedia, tidak lupa juga cecair pencuci.
Selesai sahaja kerjanya, Kira dan Elaine menuju ke ruang tamu villa. Sambil mereka berjalan, Kira masih mahu bercerita tentang seisi keluarga Tan Sri Hamdan.
“ Emmm... Kalau kak Elaine nak tahu, semua ahli keluarga Tan Sri memang baik cuma, ada seorang sahaja yang sering buat kitorang kat sini menyampah.”
“Siapa?”
“Tuan Eric!”
“Kenapa?” Elaine bertanya lagi. Bukankah itu tujuan dia ke sini? Ingin mengenali bakal suaminya itu.
“Tuan Eric dengan tuan Eryl banyak benar perbezaan mereka. Tuan Eryl seorang yang berjiwa ‘rakyat’, mesra alam, malah sentiasa senyum macam orang gila!” Mahu sahaja Elaine menghamburkan tawanya, tetapi disimpan sahaja di dalam hati.
‘Bukan tuan Eryl yang gila, orang akan cakap aku yang gila, kalau mereka tahu siapa aku sebenarnya.’ Gumam Elaine sendiri.
“Manakala tuan Eric, dia seorang yang cerewet! Dan pendek katalah, bossy! Hey, pertama kali bekerja di sini, hampir sahaja Kira dibuang kerja gara-gara tuan Eric tak puas hati dengan cara Kira bekerja. Tetapi, Kira terselamat disebabkan rasa belas kasihan Puan Sri Harisah. Dari situlah Kira berjanji pada diri agar bekerja dengan tekun dan bersungguh supaya dapat memuaskan hati mereka sekeluarga. Syukur Alhamdulillah, Kira masih ada di sini.” Elaine merenung wajah Kira di sebelah. Mereka sudah tiba di ruang tamu villa. Terdapat beberapa orang pembantu yang lain tengah sibuk membersihkan ruang itu.
Kira tersenyum ikhlas. “Jomlah akak, kita bersihkan ruang-ruang di villa ini. Bukannya senang nak bersihkannya. Villa dah macam istana begini, memang memerlukan tenaga kerja yang banyak.” Elaine beredar ke ruang stor dan mengambil sebatang penyapu. Diikuti oleh Kira yang sudah memegang mop ditangannya serta baldi kecil disebelah tangan pula.
Masa berlalu dengan pantas sehingga tiba waktu makan tengah hari. Para pembantu rumah sudah pun selesai melakukan kerja mereka dan bergerak menuju ke dapur. Di villa terdapat 2 ruang dapur. Yang membezakan ruangan itu ialah ruangan dapur basah dan ruangan dapur kering. Disebelah ruang dapur basah, meja makan panjang sudah tersedia untuk pembantu rumah di situ.
“Kerja dah selesai ke?” Ucap Puan Sri Harisah setibanya dia ke dapur. Penat lelahnya menguruskan hal kelab tidak diambil kira. Dia amat mementingkan para pekerjanya dan sanggup menghidangkan pinggan nasi kepada pekerja di situ.
“Esah, tolong panggilkan pak Samad kat luar tu, cakap makanan tengah hari dah siap. Suruh dia duduk makan kat sini. Tak perlu tunggu Tan Sri, sebab Tan Sri mungkin balik lewat hari ini.” Dia mengarahkan salah seorang orang gajinya untuk memanggil pemandunya di luar setelah menghantarnya pulang tadi.
Mata Puan Sri Harisah mendarat ke satu persatu wajah orang gajinya. Dia tersenyum manis. Sambil itu jarinya bergerak-gerak menghitung bilangan orang gaji. Di villa nya sudah menempatkan sebanyak 12 orang gaji dan kini bertambah seorang, iaitu bakal menantu nya juga.
Tidak senang hatinya sebenar bila melihat Elaine yang terpaksa duduk bersama orang gajinya di situ. Mahu sahaja dia mengajak Elaine makan bersama dengannya di ruang makan keluarga, tetapi dimatikan sahaja niatnya sebaik sahaja mengingatkan permintaan yang dikemukakan ibubapa Elaine juga permintaan dari Elaine sendiri.
“ Saya ditugaskan untuk bekerja di sini sebagai pembantu rumah. Jadi, saya berharap Puan Sri melayan saya sebagaimana Puan Sri melayan pembantu rumah yang lain. Sudah semestinya Puan Sri tahukan niat saya yang mahu berkenalan dahulu dengan anak Puan Sri tanpa memberitahu identiti sebenar saya. Saya mahu tahu, siapa sebenar bakal suami saya. Harap Puan Sri tunaikan permintaan saya ini.” Itu lah kata-kata yang diingatinya semasa pertama kali bertemu dengan bakal menantunya itu.
Namun, ada sesuatu yang mengganggu benak hatinya. Pertama kali melihat Elaine, hatinya berasa sedikit gusar, lebih-lebih lagi dengan reaksi bakal menantunya itu.
‘Macam robot pun ada.’ Simpulnya di dalam hati.
“Ya Allah, aku berdoa kepada Mu agar semuannya berjalan lancar.” Hanya itu yang mampu menenangkan hatinya kini. Biarlah Allah yang menentukannya, itu pintanya.
No comments:
Post a Comment