Aku tergamam melihat lelaki yang berdiri di depan ini. Perlahan-lahan, senyuman kelat aku pamerkan kepadanya. Sudah lama tidak mendengar khabar berita daripada dia. Fariz Izmail, yang aku panggil Iz muncul kini setelah lama tidak aku ketahui kisahnya. Bahagiakah dia sekarang? Sudah punya berapa orang anak? Semua solan itu ingin sahaja aku luahkan, tetapi hanya tersekat di dalam mindaku.
“Iz, kau kenal Risya jugak ke?” Soal Nick disebelah. Aku tersedar, aku bukan keseorangan sekarang. Nick juga turut sama disisiku.
“Mestilah kenal! Kawan sama seuniversiti aku.” Dari memandang Iz, mataku menoleh ke wajah Nick pula. Ternyata, Nick terkejut dengan kenyataan itu.
“Wow! What a coincidences! Jadi, kau kenal dengan Irah jugak lah ni?”
“Yalah. Sebab tu aku ke sini. Esok aku tak boleh datang ke majlis persandingan mereka. Jadi aku datang semasa majlis akad nikah. Lagipun, aku dah beritahu awal-awal kat Irah, aku memang tak boleh datang esok, tapi aku tetap nak datang juga. Yalah, kawan lama kan?” Irah sudah awal-awal menjemput Iz datang ke majlis akad nikah hari ni? Kenapa Irah tak maklumkan kepada aku?
Nick perasan dengan perubahan raut wajah Risya. Risya seperti terkejut dengan kehadiran Iz di sini. Kenapa Risya bersikap sedemikian? Tidak mahu Iz perasan akan perasaan sangsinya, dia terus mengajukan soalan lagi kepada Iz.
“Kenapa aku tak nampak kau dari tadi ya? Kau ada jumpa Tok Idram?” Dahiku berkerut melihat kemesraan mereka berdua. Nampak seperti sudah kenal lama. Apa kaitan Nick dengan Iz ya?
“ Aku pun baru sampai kat sini. Actually aku baru sampai tengah hari tadi. Aku tinggal kat rumah Arifin. Hari ni pun sudah sememangnya hari cuti, so, aku ambil flight dari KL ke sini. Esok pagi aku kena ke KL balik. You know I have more things to handle right? Tok Idram aku jumpa sekejap sahaja tadi.” Nick mengangguk. Memang benar sangkaanku. Mereka berdua memang saling mengenali. Ingin sahaja aku bertanya kepada Iz dan Nick lebih lanjut tetapi tidak terluah apabila Afiq muncul bersama Irah.
“Eh, datang jugak kau kan Iz. Dah makan?” Soal Afiq sambil tersenyum. Matanya pula terarah pada aku. Nampak macam senyum pelik je aku tengok. Macam senyum yang punya maksud tersendiri.
“Eh, dah dah. No worries. Aku singgah sini pun sekejap je Fiq. Irah, tahniah ya. Korang akhirnya menjadi pasangan suami isteri. Harap kekal sehingga akhir hayat. Aku doakan. Amin.” Iz meraup tangannya ke muka. Di dalam hati, aku juga mengaminkan doa itu.
“Kau tak bawa isteri kau sekali ke?” Aku tersentak mendengar pertanyaan dari Irah. Ya, baru sekarang aku perasan, Iz datang berseorangan. Tidak nampak pun batang hidung isterinya. Mana pula pergi nya isteri Iz?
“Oh..Emmm... Dia tak sihat. Jadi dia tak datang ke sini. Berehat kat KL. Kalau dibawa jugak ke sini naik flight, lain pulak jadinya.” Aku tetap diam tidak berkutik dan hanya menjadi pendengar sahaja.
“Eh, aku rasa dah lewat dah ni. I have to go now. Esok flight pagi kot. Kena berehat awal. Takut terbabas pula esok pagi.” Iz ingin mengundur diri. Mataku merenung wajah Iz. Dia sudah nak pergi ke?
“Baiklah Iz. Terima kasih ya sanggup datang hari ni. Kirim salam dengan bini kau ya.” Pesan Irah.
“Iz, kirim salam juga dengan isteri kau bagi pihak aku.” Aku tidak mahu ketinggalan. Rasa janggal pula berkata demikian. Aku bukannya rapat sangat pun dengan isteri dia, cuma saja ingin mengirim salam. Kalau aku hanya berdiam diri sahaja dari tadi, lain pula rasanya.
Iz mengangguk. “Nick, kirim salam dengan tok Idham ya, dan pak long dengan pak ngah sekali. Pendek kata semua lah, ya?” Pak Long? Pak ngah? Adakah Nick mempunyai pertalian saudara dengan Iz? Persoalan itu semakin menyesakkan nafasku.
“Alright. Jaga diri elok-elok. Kirim salam bini kau juga ya.”
“Emmm...Insya-Allah.” Aku perasan cara Iz menjawab kata-kata Nick tu sedikit lemah. Pelik!
Selesai sahaja majlis, ramai tetamu beransur pulang. Hanya saudara-mara Irah yang tinggal di sini masih tetap riuh, walaupun hari sudah lewat malam. Aku keluar dari dapur setelah siap menolong membasuh pinggan di dapur. Aku tidak mahu pula menjadi tetamu yang senang-lenang di sini. Sementara kudratku masih kuat, aku tetap berdegil ingin membantu juga.
Aku memandang Nick yang berehat di kerusi luar bawah khemah. Lengan bajunya sudah dilipat sampai ke bawah siku. Nick nampak seperti sedikit keletihan, mesti penat menolong pak cik-pak cik Irah di luar ini. Aku lihat kerusi di bawah khemah sudah tersusun kemas. Meja juga sudah diletakkan ke tepi. Esok pula meja-meja tersebut masih perlu digunakan.
“ Afiq balik dengan awak ke?” Soalku setelah mengambil sebuah kerusi dan duduk bersebelahan dengan Nick. Di luar, ada kanak-kanak yang masih mahu bermain. Aku menggeleng melihat gelagat mereka. Lewat malam sebegini, tak penat ke mereka?
“ Ha’ah. Tak kan tinggalkan saya kot. Sementara menunggu diorang tengah bermanja-manja kat dalam tu, saya tolonglah berkemas kat luar ni.”
“Awak, saya nak tanya sesuatu boleh?” soalku setelah kami diam seketika.
“Apa dia?”
“Awak dengan Iz ni ada pertalian saudara ke?” Aku teragak-agak ingin bertanya dengan Nick. Perangai aku tak ubah macam detektif pula. Selalu sahaja ingin mencungkil hal orang lain.
Nick memandang wajah Risya. Kenapa Risya beriya ingin tahu tentang hubungan dia dan Iz? Risya masih menunggu jawapannya.
“Emmm... Boleh dikatakan macam tu lah. Sebenarnya, datuk dia dengan tok Idham tu, adik-beradik tiri.” Aku tergamam mendengar kata-kata Nick. Tok Idham ada adik-beradik tiri rupanya. Memang satu lagi kenyataan yang aku rasa pelik bin ajaib. Tak pernah masuk di akal fikiran logik aku pun. Adakah ini satu kebetulan atau takdir?
“Hah? Jadi, awak dengan Iz tu kira, sepupu tiri, macam tu?” Pening kepalaku memikirkan pertalian hubungan sebegini.
“Kalau nak disimpulkan, macam tu lah hubungan kami. Tok Idham dan tok Ijhan ialah adik-beradik tiri. Tok Ijhan tu, datuk Iz. Sebelah datuk Iz ini, kebanyakannya berada di Johor. Awak tahu kan Iz tu orang Johor?”
“Ha’ah. Tau. Saya pun pernah dengar dia bercerita pasal saudara tiri dia. Rupa-rupanya, memang benar lah orang cakap dunia ni kecik. Awaklah salah seorang daripada saudara tirinya.” Aku menunduk mengalih mataku dari ditenung Nick. Takut Nick berfikiran lain pula. Aku sudah tahu dari cara dia melihatku, dia seperti ingin bertanya lebih lanjut lagi tentang hubungan aku dan Iz pula.
“Emmm...Nick, saya rasa dah mengantuk pula. Saya tolong panggil kan Afiq,ya? Tak nak pula awak tunggu lama kat sini. Esok, kita kena bersiap awal juga.” Aku cepat-cepat berdiri ingin beredar dari situ.
“Risya!” Aku tidak jadi melangkah. Aku menoleh Nick dan mengangkat kening. Dah macam Ziana Zain pula aku ni main angkat-angkat kening.
“Ya?” Aku bertanya perlahan, menutup rasa resah yang bermukim dalam hati.
“Saya...Saya nak awak jaga betul-betul rantai hati tu. Saya ikhlas beri kepada awak. Saya tahu awak berat nak menerima pemberian saya tu. Tapi, saya harap awak jagalah hati yang saya telah serahkan kepada awak tu.” Disebalik kata-katanya itu, ada maksudnya tersendiri. Aku tergamam. Terdiam tanpa berkata. Sejujurnya, aku berasa takut dengan katanya itu. Aku masih dalam perasaan keliru. Perasaanku semakin kacau apabila berjumpa dengan Iz. Argghh!! Risya, dia kan suami orang!
Aku mengetap gigi. “Nick, saya tak dapat janji. Tapi, terima kasih kerana memberi hadiah tu kepada saya. Saya akan cuba jaga rantai tu dengan baik.” Aku mengakhiri perbualan kami dengan mengucap salam. Aku masuk dan mencari kelibat Afiq dengan memberitahu dia bahawa Nick menunggu di luar.
Setelah menyalin dan membersihkan diri, aku masuk ke bilik. Aku baring dan terus melelapkan mata, tidak mahu memikirkan apa-apa buat masa sekarang. Janganlah aku tak dapat tidur, sudah!
******************************************************
Irah dan Afiq tersenyum panjang. Mereka melayan para tetamu yang hadir di majlis persandingan hari itu. Walaupun majlis persandingan diadakan sederhana sahaja, tetapi tetap meriah juga. Hari ini, bukan sahaja saudara mara Irah dan Afiq yang datang, malah, rakan-rakan kenalan mereka juga hadir. Tidak ketinggalan juga rakan sama sekelas dan seuniversiti denganku juga hadir. Majlis mereka diadakan pada waktu petang, sebaik selepas waktu solat zohor.
“Nurul, kau ada nampak abang aku tak?” Aku menyoal Nurul yang masih mahu berkepit dengan Irah. Yalah, Irah dengan Nurul memang rakan rapat. Lebih-lebih lagi, mereka merupakan rakan sebilik sewaktu kami duduk serumah dulu.
“Eh, tak nampak pulak. Cuba kau cari dekat meja bahagian lelaki. Mesti dia ada. Last aku tengok dia, dia hantar hadiah ke bilik pengantin.” Aku mengangguk.
“Kau dah makan belum Richa?” Giliran Irah pula yang menyoalku. Aku mengiyakan. Aku mengundur diri ingin mencari kelibat Hazif. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya. Rindu sangat nak bermanja dengan abang angkat aku yang seorang tu.
Sewaktu aku melalui bilik tengah, suara Hana menegurku. Aku berpaling dan melihat dia tengah memberi susu botol kepada anak perempuannya. Rasa-rasanya, anak perempuannya itu baru berumur 3 tahun tak silap. Anak kedua bagi Hana dan Safuan itu sangat comel dan mempunyai mata yang sedikit sepet mewarisi bapanya.
“Hana, mana suami kau? Kau sorang je kat sini.” Aku mencubit pipi si comel yang sedikit montel itu. Geramnya. Kalau lah aku ada anak secomel ini, bahagianya hidup. Sempat aku berangan mengimpikan anak yang comel.
“ Rasa-rasanya, dia ada kat luar kot. Aku masih nak bagi susu kat si Husnah ni. Asyik merengek je dari tadi. Maklumlah, dia tak biasa dengan rasa sesak macam ni. Jadi, lebih baik suruh dia tidur dulu. Baru senang aku nak ke mana-mana.” Aku tersenyum melihat Husnah yang sudah terlelap di dalam dukungan ibunya. Adui! Kenapa lah kau comel sangat? Terasa nak anak lah pulak. Eh, Risya, calon pun tak ada, ada hati nak anak pulak! Omelku dalam hati.
Aku meminta diri dan pergi ke bilik pengantin. Hajat ingin berjumpa dengan abangku membuak-buak. Aik? Tak ada lah pulak, yang aku nampak kak Hasnah yang tengah leka melihat barang-barang hantaran di dalam bilik pengantin ni ada lah. Aku menggaru-garu kepala yang ditutup dengan tudung purple.
Sedar bahawa ada orang lain yang menjengah di dalam bilik ini, kak Hasnah berpaling dan tersenyum melihatku.
“ Kak Hasnah jenguk apa kat situ? Nak dapat cari idea untuk hantaran akak ya?” Kak Hasnah mencebik bila diusikku.
“Ada pulak. Belum lagi lah Risya oii. Calon pun akak belum ada, lain lah awak tu. Abang sayang masih setia menunggu kata-kata lampu hijau dari kau.” Aku terasa mukaku membahang apabila kak Hasnah mengusikku kembali. Adoi! Padan muka! Terkena balik.
Aku memuncungkan mulut dan kak Hasnah tergelak melihat reaksiku ini.
“Akak tengok korang sedondon je hari ni. Dua-dua pakai baju purple. Sesuai gitu! Dah plan awal-awal ek?”
“Eh, mana ada kak!” Aku menegas bahawa Nick dengan aku tak pernah merancang pun untuk memakai warna baju yang sama. Aku menilik kembali baju kurung moden berwarna purple yang penuh dengan manik di badanku.
Aku teringat tentang kejadian pagi tadi. Keluar sahaja dari bilik, aku ternampak Nick yang berbaju melayu berwarna PURPLE! Sama sepertiku. Irah asyik mengusikku dan dia menggandingkan aku dan Nick. Aku naik geram dengan Irah. Hish!! Bila Irah sudah mula mengusik, tidak ketinggalan juga dengan sepupu-sepapatnya yang lain. Adui! Pening lalat aku dibuatnya. Rasa nak rendam je muka ni dalam besin yang penuh dengan air. Panas beb!!
“ Kau pulak, cari apa kat sini?” Kak Hasnah bertanya kelibatku di sini.
“ Aku tengah cari Hazif. Kau ada nampak dia tak?”
“Oh, Hazif. Abang sayang kau tu ek? Aku dengar-dengar dia pergi ke pantai tadi. Tu pun aku terserempak dengan dia bersama adik Irah, si Zafri.” Aku teringat sesuatu. Dulu, Hazif pernah memberitahu kepadaku, yang dia juga suka melihat permandangan di tepi pantai. Hai, aku dengan dia memang banyak persamaan. Sebab tu lah kami ni macam adik-beradik. Kononnya lah.
Aku segera beredar keluar dari bilik dan pantas menuju ke pantai.
Nick baru sahaja ingin menuju ke dapur, dia terlihat kelibat Risya yang sudah bergegas keluar dari bilik pengantin.
“Risy...” Nick melihat Risya langsung tidak perasan akan kelibatnya. Risya seperti tergesa-gesa ingin pergi ke sesuatu tempat. Tanpa Risya sedar, dia juga mengekori langkahnya.
Aku memandang sekeliling. Mataku jatuh pada wajah lelaki yang tengah duduk di bawah pokok tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku tersenyum melihat lelaki yang masih tidak perasan tentangku di sini.
“Abang!” Jeritku ingin menarik perhatian Hazif. Dia juga tersenyum bila melihatku. Aku berlari mendekati dirinya.
“Eh, adik abang. Rindu abang kat adik. Tadi abang baru je nak tegur adik, tapi, tak jadi bila tengok adik tengah sibuk. Malas pulak nak kacau.” Luah Hazif. Aku duduk di sisinya.
“Eleh, macam tu pulak. Tegur je lah. Adik sibuk sekali pun, adik nak juga cari abang sampai ke sini. Ini tidak, adik yang terhegeh-hegeh cari abang. Abang pulak, duduk rileks je kat sini. Sampai hati.” Aku menolak bahunya sedikit. Dia tergelak melihat keletahku.
“Okay, sorry. Salah abang, tak tegur adik tadi.”
“Hah..tau pun.” Kami berbual kosong dan bertanya khabar serta cerita ketika tidak bersua selama hampir sebulan dek kerana kesibukan Hazif di Thailand. Tetapi, dia sanggup untuk mengambil cuti hari ini semata-mata ingin menghadiri majlis persandingan Irah dan Afiq.
“Eh, mestilah. Tu kan appa dan amma kita. Tak kan abang nak lepas kan peluang melihat diorang naik pelamin.” Aku mengangguk sambil tersenyum mendengar panggilan yang kami berikan kepada pasangan itu. Yalah, kami kan ‘anak-anak’ mereka. Mestilah tak nak lepaskan peluang.
“Emmm...Abang, adik nak bagitahu sesuatu ni.” Hazif mengangkat keningnya.
“Apa dia? Bagitahulah. Adik kan boleh cerita apa-apa je kat abang.”
“Sebenarnya kan, semalam...Emmm...Adik jumpa Iz.” Aku menoleh dan melihat reaksi terkejut Hazif yang sudah aku jangka.
“Really? Patutlah dia tak datang hari ni. Dia dah datang semalam rupa-rupanya.”
“Ha’ah.” Jawabku pendek. Aku bermain-main pasir dengan kayu ditangan.
“ So, adik okey ke tak ni? Hmmm...” Nampak wajah ambil berat Hazif di depan mataku. Aku tahu dia mesti bimbang dengan perasaan yang aku alami selama ini.
“I’m okay,bang. Terus-terang kan, adik rasa, bila berjumpa dengan dia semalam, adik rasa lega.”
“Lega?” Soal Hazi hairan.
“ Ye. Lega sebab, adik dah tak ada rasa apa-apa bila bertemu dengan Iz semalam. Terkejut tu memang terkejut. But, at the end, tengok dia pun adik rasa kosong je. Syukurlah, adik dah boleh hakiskan perasaan tu.”
“Are you sure?” Tanya Hazif ingin memastikan lagi.
“110 %!!” Aku tersenyum. Ya, memang benar. Walaupun sedikit terkejut apabila melihat Iz semalam, tetapi, bila aku benar-benar menyoal diriku, perasaan itu sudah lama aku tinggalkan. Lega! Ya memang aku berasa lega sebenarnya.
“Baguslah, kalau adik cakap macam tu. I am happy for you.” Hazif juga nampak seperti lega melihat aku sebegini.
“Tapi kan bang, kalau abang nak tahu. Ada yang lebih memeranjatkan adik.”
“Apa dia?”
“ Sebenarnya, Iz tu dengan Nick tu...”
“Apa kaitan Iz dengan Nick?” Celah Hazif. Belum sempat ingin menghabiskan ayatku tadi...
“Risya!” Aku pantas menoleh. Nick! Panjang umur lelaki ni. Baru je nak mengumpat dia, dah potong stim. Heish!! Aku mengalih mata memandang pasir yang aku main tadi. Aku sedikit tergamam melihat tulisan di pasir. Cepat-cepat aku padamkan nama yang tertulis di pasir tanpa aku sedar. Aku tersenyum kelat melihat Nick yang sudah masam macam orang yang termakan asam jawa tu.
Hazif bersalaman dengan Nick. “ Hey, Nick. Nice to see you here. Dah lama ke ada kat sini?” Nick sempat menjeling ke arahku. Eh, main jeling-jeling pulak lelaki ni kat orang. Tak puas hati lah tu.
“Yeah! Nice to see you too.” Ayat itu aku dengar seperti ditekankan bagai ada maksud sebenarnya. Sah! Lelaki tu cemburu melihat aku dan Hazif bersama. Aku menyimpan senyuman dalam hati. Ni pun dah cemburu? Ish ish ish.
“Hazif, I think Afiq cari kau tadi. Rasa-rasanya kau patut pergi jumpa dia sekarang. Urgent dia cakap. Maybe pasal projek dekat Thailand tu. Kau kan uruskan projek tu dengan Afiq. So, I hope walaupun kau bercuti sekarang, jangan lupa tugas yang masih belum selesai tu.” Aku hairan mendengar cara Nick memberitahu Hazif tentang projek itu. Betul ke?
“Oh, really? Then, I think I should be going then.Risya, nanti kita sambung cerita ya?” Aku mengangguk.
‘Eish! Tak sudah-sudah lagi ke cerita korang ni? Mamat ni pun satu, aku dah beri amaran kat dia suruh pergi, dia masih tak faham-faham pulak! Ni yang buat aku makin panas ni.’ Getus Nick dalam hati. Memang dia tengah menahan geram sekarang. Perasaan cemburunya meluap-luap bila melihat gelak tawa Risya dan Hazif itu. Tak tahan melihat kemesraan itu. Rasa nak berbulu matanya melihat mereka berdua dari jauh.
Aku menunduk melihat pasir tadi. Fuh!! Nasib baik diorang tak tengok. Kenapa lah aku boleh tak sedar yang tangan aku bergerak dan menulis nama Nick di pasir tu. Siap ada bentuk love pulak tu. Apasal dengan aku ni? Risya, kau dah sewel ke? Hish! Tak boleh jadi ni.
“Emmm...Kalau Hazif nak balik, saya pun nak balik semula ke rumah lah.”
“Eh, Erry, tunggu!” Nick sempat menahanku sebelum aku bergerak pergi.
“ Awak masih nak panggil saya dengan panggilan Erry tu ke?”
“Yelah. Awak ialah my ‘Errything’ to me.” Tercetus tawaku mendengar namaku disambung dengan Thing dibelakangnya. Ada-ada saja kerenah Nick. Lucu juga rupanya si dia.
“Habis tu, awak pula my ‘Amything’ to me lah ek? Nak dekat sama bunyi dengan anything yang bermaksud, apa-apa jua. Whatever lah.” Aku melangkah dari situ. Baru beberapa langkah, aku terasa lenganku ditarik lembut. Aku terkedu dan menoleh.
“Tak apalah, anything pun anything lah. Jom, temankan saya jalan-jalan kat tepi pantai ni.” Mataku membuntang melihat Nick menarik lenganku dan berjalan seiring dengannya ditepi pantai. Tanpa meminta persetujuan dari aku pun! Amboi!
“Awak, lepaskan lah lengan saya ni. Nanti apa pulak diorang fikir...”
“Diorang nak fikir apa? Yang saya ni suami awak? Sebab kita pakai baju sedondon macam ni?” Nick cepat mencelah.
“Eleh, ingat dengan pakai baju sedondon macam ni, dah macam suami isteri ke?”
“Suami isteri bukan suka pakai sedondon ke? Cuba awak tengok Irah dan Afiq tadi. Diorang pun pakai baju sedondon tau.”
“Itu sebab diorang tu pengantin. Memanglah kena pakai baju sedondon semasa naik pelamin. Kita ni pengantin ke?” Tungkasku. Aku menjeling tajam padanya sambil menarik kembali lenganku dari tangannya. Hish! Lelaki ni suka sahaja pegang-pegang aku. Tak suka tau tak!
“Boleh jugak. Jom jadi pengantin saya hari ni juga! Saya bawak awak jumpa tok kadi ya?” Makin terjengul keluar mataku yang sudah sedia besar ini. Nick ketawa.
“Awak, tau lah mata awak tu besar. Tak payah lah nak terkejut sampai macam tu sekali. Saya main-main je lah.” Aku mengecilkan mataku geram dengan Nick. Bibirku sudah muncung diusik Nick.
“Alah, so adorable. Lebih-lebih lagi awak nampak comel je bila pakai baju kurung warna purple ni.”
“Maaannnnnniiisssnya ayat anda.” Sempat lagi aku menyindir Nick. Kaki kami masih tidak berhenti berjalan dan masih menyelusuri tepi pantai.
Nick berhenti mengejut. Aku hairan melihat Nick. Mata Nick tertumpu pada sekumpulan remaja yang bermain basikal. Ada 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan di situ. Ada juga yang bermain basikal ditepi pantai di waktu sebegini? Nasib baiklah cuaca tidak begitu panas, mendung sahaja. Tetapi, tak pulak hujan. Tak lama lagi kot, fikirku.
“Awak, jom kita ke sana.”
“Awak nak buat apa ke sana?” Nick tidak menjawab pertanyaanku dan dia menghampiri kumpulan remaja itu. Apa ke hal nya ni? Aku masih tetap berdiri di tempatku tadi, tidak beralih langsung dan tidak ingin mengikuti Nick. Aku membiarkan sahaja Nick berbual dengan anak-anak remaja di situ. Tidak tahu apa yang dibual mereka. Tidak lama kemudian, aku melihat Nick tersenyum, begitu juga dengan salah seorang remaja itu. Aku berpusing dan melihat permandangan laut tanpa menghiraukan Nick.
Kring kring kring. Aku menoleh ke belakang. Aku terlongo melihat barang yang dipegang oleh Nick. Nick membunyikan loceng basikal tersebut sekali lagi. Aku teruja pula melihat basikal panjang yang mempunyai 2 tempat duduk itu. Basikal ini dipanggil basikal tandem. Oh, ini rupanya kerja dia tadi ya? Aku tak pernah mengayuh basikal sebegini.
“Awak upah diorang kan?” Tanyaku pada Nick yang masih membelek-belek basikal itu.
“Yalah, saya bagi sewa untuk setengah jam.” Nick bermain-main dengan loceng basikal tersebut.Dah nampak macam kanak-kanak riang pula aku tengok mamat yang pakai baju melayu ni.
“Jom, kita kayuh basikal ni. Rugi tau kalau tak merasa kayuh basikal tandem ni. Dulu, saya selalu kayuh basikal ni di USA bersama kak Long.” Aku terdiam. Nick ada kakak?
“Awak ada kakak?” Soalku ingin tahu.
“Ada. Saya tak ada cerita ek, masa kita terkurung dalam stor hari tu?” Aku menggeleng.
“Tak silap saya, tak ada kot.”
“Saya ni ada 3 orang adik-beradik. Saya anak bongsu. Yang paling tua sekali, kakak saya, kak Emilda. Lepas tu, abang saya, bang Emir, lepas tu saya.” Aku mengangguk. Barulah aku tau sekarang. Nick merupakan anak bongsu. Tetapi sikapnya itu tidak seperti dia anak bongsu. Dan aku pula, anak sulung, tetapi tak macam kakak. Macam adik, ada lah. He he he.
“Jom, kita kayuh basikal ni sampai sana.” Nick menunjuk ke arah yang ingin ditujunya.
“Jauh tu. Awak ingat senang ke nak naik basikal ni dengan pakai baju kurung macam ni?” Aku terasa malu pula bila ingin mengayuh basikal bersama dengannya. Tapi, aku akan rasa malu kalau berbasikal dengan baju kurung sebegini. Ish, sengaja nak cari hal betul lelaki ni.
“Alah, bukannya banyak orang ada kat sini. Budak-budak je. Jom lah.”
“Tapi, Nick. Saya pakai kain. Susah lah. Nak duduk pun tak tahu macam mana.” Aku masih tidak mahu mengayuh basikal dengan keadaan macam ni.
“Kalau macam tu, awak duduk je lah ikut keselesaan awak. Tak perlu kayuh.”
“Baik tak payah kayuh basikal tandem ni kalau saya tak perlu kayuh.”
“Habis tu?” Muka Nick sudah berkerut seribu. Aku masih berdegil. Namun, aku mengalah juga. Untunglah aku memakai seluar trak di dalam. Kalau selalu, aku hanya memakai kain dalam, tetapi tidak tahu kenapa, aku memakai seluar trak pula. Hai, semuanya ada hikmah kan?
Aku ingin mengangkat sedikit kainku sehingga Nick menegurku. “ Eh eh eh, awak nak angkat kain tu sampai mana? Tengok dek orang lain karang. Kalau dengan saya tak apa lah. He he he.” Sempat lagi lelaki ini ingin menggatal.
Aku menjeling. “Saya ada pakai seluar lah!”
“Tau lah saya, awak ada pakai seluar dal..ehemm, seluar di dalam tu. Saya pun ada pakai seluar jugak. Seluar boxer namanya.” Mataku menjengil padanya. Aku faham dengan usikan gatal nya itu.
“Saya pakai seluar trak lah!” Tidak mahu diusik oleh Nick yang gatal ini, aku segera menaiki basikal.
“Apa lagi, jomlah!” Jeritku kecil. Tergopoh-gapah Nick menaiki basikal. Tau takut. Hmph!
Kami mengayuh sampai ke tempat yang ditunjuk oleh Nick tadi. Kami berpusing semula ke tempat permulaan tadi. Seronok pula rasanya mengayuh basikal tandem ni. Wah! First time dalam hidupku menaiki basikal ini. Lagi romantik kalau basikal ini dikayuh bersama orang yang kita cintai. Romantiknya! Sambil mengayuh basikal, sambil menikmati permandangan indah di tepi pantai. Sesuatu yang tak dapat aku lupakan hari ini. Hari dalam sejarah hidup aku tu!
Rasa tenang pula aku rasa kan ketika itu. Hati rasa seperti berada diawang-awangan kini. Walaupun aku dan Nick berkongsi basikal dan kedua-duanya diperlukan untuk mengayuh basikal ini, entah kenapa, aku terasa begitu bahagia. Rasa gembira bila mengayuh bersama begini.
Dalam beberapa meter lagi, kami akan sampai semula ke tempat permulaan tadi. Kakiku pula terasa lenguh. Maklumlah, dah lama tak kayuh basikal. Ish ish ish. Jadi, aku mengambil kesempatan dengan memberhenti kayuh. Kakiku di jauhkan sedikit dari pengayuh. Tangan tetap memegang bar handal. Cuma kakiku, curi-curi tulang. He he he. Teringin nak mendengki Nick.
“Awak tak kayuh ke Erry?” Ooppss! Kantoi lah pulak.
“Eh, mana da. Tengah kayuh lah ni.” Tipuku. Alah, tipu sunat.
“Oh, ya ke? Asal, basikal ni terasa berat semacam?”
“Oh, awak nak cakap saya ni berat lah ya?” Aku sengaja mencari alasan untuk menutup malu kerana terkantoi. Di depan, Nick tersenyum. Sebenarnya dia tahu Risya langsung tidak mengayuh pun.
“ Ha’ah. Berat sangat! Rasa nak terputus kaki saya ni mengayuh seorang.” Aku mencebik. Sah! Dia memang tahu aku tak kayuh basikal ni.
“Ye lah ye lah. Saya kayuh ni, nampak?” Soalku macam orang bodoh pulak. Mana lah si Nick ni nampak kalau sudah dia duduk di depan. Apa lah kau ni Risya!
“ Erry, awak penat ek? Tak apa. Biarlah saya yang kayuh. Sebenarnya, awak tak berat mana pun. Sebab tu awak senang je tumbang masa terlanggar saya di hotel tu kan? Ingat lagi tak? Pertama kali saya dan awak bertemu. Awak macam kertas je kena hempap dengan badan saya. Kalau diingat balik, lucu lah pulak.” Nick kembali mengupas kenangan pertama kali bertemu denganku. Ya, bila difikir kembali, insiden itu memang lucu.
“Ye lah. Macam kertas, dan awak tu macam bapak gajah awak tau tak!” Sekali lagi, senyuman terbit dibibirku. Makin hari, makin ada je penyakit senyum aku ni bila bersama dengan Nick. Adoi! Dah gila ke aku ni? Ke sudah terkena panahan asmara? Aku menggigit bibir. Aku jatuh cinta kat Nick?!! Oh, tak mungkin!
“Erry, awak penat ye? Kita berhenti kat sini lah. Lepas tu, kita berjalan je dari sini sampai ke sana.” Nick memberhentikan kayuhan dan kami berjalan sahaja. Nick masih menyorong basikal itu bersama.
“Erry, pernah tak awak terfikir kalau satu hari nanti, awak jatuh cinta kat saya?” Soalan yang diusul oleh Nick membuat jantungku mengepam laju. Terasa sesak nafas pula, macam orang yang berlari 100 meter lagaknya. Adoi, kena penyakit jantung pulak kah aku ni? Astaghfirullah alazim.
Dengan tenang Nick bersuara lagi. “ Saya sentiasa mengimpikan masa itu tiba. Dan saya yakin, suatu hari nanti, impian saya tercapai.” Aku tergamam mendengar katanya yang penuh dengan keyakinan itu.
“Once I fall in love, I won’t regret and always pray for her to be the only one. No others.” Nick menyuarakan kata-kata romantis kepada Risya.
Ya Allah, tenangkan lah hatiku ini. Risya, jangan senang-senang kau terjebak dengan kata-kata manis dari si punjangga. Aku cuba untuk menyedarkan diri sendiri tentang hakikat sebenarnya.
“I will prove it to you my dear.” Bisik Nick lembut. Matanya yang redup itu membuat hatiku lemah semacam. Cepat-cepat aku mengalih pandangan pada laut.
“Tak lari pun air laut tu.” Seloroh Nick. Aku kembali memandangnya. “Risya, diri saya sama seperti pantai yang ditampar oleh ombak. Awak pula sama seperti ombak tu. Seperti yang kita tahu, ombak sering menampar pantai sehingga pantai terhakis olehnya. Tapi, itu lah lumrah alam. Sama lah nasib kita seperti ombak dan pantai itu. Awak bak ombak itu sering datang menghampiri pantai, tapi hakikatnya, pantai itu terhakis sakit menanggung dan akhirnya awak akan berundur jua melarikan diri. Namun, saya tahu, tidak kiralah betapa sakitnya dihakis sebegitu, pantai tetap setia pada ombak yang beralun itu. Sesudahnya, ombak itu akan kembali jua, dan sentiasa berulang sehingga sampai masanya.” Sejurus itu, Nick diam seketika. “ Saya tak kisah macam mana awak layan saya. Dan tipula kalau saya cakap saya tak kisah awak melarikan diri dari saya lagi. Tapi, ketahuilah, betapa sakitnya rasa hati saya bila ditinggalkan sebegitu, saya tahu, awak pasti akan kembali jua. Ya, sakit rasanya menunggu, tapi, for me, once it comes back, I will grab you and never let you go. Ever!” Janji Nick padaku.
Aku tergamam. Rasa seperti masa terhenti ketika mata kami bertaut. Jantungku juga seperti berhenti berdegup. Luahan ikhlas dari hatinya itu ternyata membuat aku terharu. Bait-bait ayat itu sering bermain diminda. Malah, terus menusuk ke hati.
Aku mengulum senyuman simpul. “We’ll see.” Rasa malu di dalam hati menyebabkan aku terus berpaling membelakanginya. Dengan laju aku meninggalkan Nick.
Setelah dalam beberapa tapak jauh darinya, aku berpaling. “ Siapa lambat sampai ke sana, akan kena denda.”
“Hah?” Nick tercengang dan aku pantas berlari.
“Eh, mana aci!!” Aku menjerit setelah melihat Nick mengayuh basikal tandem jauh meninggalkanku.
Sampai sahaja ke lokasi yang berdekatan dengan laluan titian, aku tercungap-cungap. Mataku sudah menjengil pada Nick yang tengah sakan tertawa. Grrrr!! Main tipu!
“I win! Awak kena denda.” Ucapnya sesudah berhenti gelak.
“Mana, ada!! Awak main tipu!”
“Eh, tak ada undang pun yang menyatakan basikal tidak boleh digunakan. Awak cuma cakap, siapa yang sampai ke sini dulu, dia menang. So, I win and you lose. Awak kena terima denda yang akan saya kenakan pada awak.” Aku menggigit bibir sambil memeluk tubuhku. Hai, ada saja alasan dia ingin buat aku kalah.
“So, apa dendanya?” Nick sudah tersengih-sengih bagai mempunyai perancangan tersendiri. Aku menjadi pelik pula dengan sengihan Nick tu. Apa lah agaknya denda tu ya?
***********************************************************
Kami kembali semula ke rumah mak Irah. Aku melihat Shida berlari mendapatkanku. Aku menjadi sedikit pelik melihat Shida yang termengah-mengah di depan kami. Aku berpandangan dengan Nick.
“Kat sini rupanya kak Risya dan abang Nick. Ramai yang tengah cari akak dan abang. Tu, kak long tercari-cari korang.”
“Aik? Abang Hazif tak beritahu ke? Akak dan abang Nick ada kat pantai tadi.” Jawabku.
“Hah? Abang Hazif tak cakap apa-apa pun. Dia cakap dia cuma keluar ambil angin dekat pantai. Tak ada pulak dia tengok korang kat pantai tadi.” Aku menjadi semakin hairan dengan kata-kata Shida tu. Eh, apasal pula Hazif tidak memberitahu perkara sebenar?
Bila melihat Hazif yang keluar berdiri di pintu rumah, senyuman Hazif sudah melebar. Aik? Ni lagi seorang, dah kena jangkitan penyakit senyum ke?
“Err, tak apa lah Shida. Kami masuk ke dalam nak jumpa kak Long awak.” Aku menghampiri Hazif yang masih tercegat di pintu.
“Abang, kenapa tak bagitahu yang adik ada kat pantai tadi?” Hazif hanya menjongket bahunya.
“Saja, nak beri peluang kat adik, dating.” Aku menjengil mata kegeraman kepadanya.
“Hish! Merepek lah abang ni. Kami berbual sajalah. Dah, adik nak cari Irah dulu.” Aku malas mahu memberitahu Hazif apa yang berlaku sepanjang bersama dengan Nick tadi. Pasal denda tadi, Nick masih mahu berahsia. Belum tiba masanya dia ingin memberitahu denda yang perlu aku lunaskan itu. Aku berlalu masuk ke dalam mencari Irah.
“Nick, can we talk?” Ujar Hazif setelah melihat Risya masuk ke dalam. Nick kehairanan tetapi dia akur sahaja dengan permintaan Hazif itu.
“Can we talk somewhere else. Just, not here. Takut Risya dengar.” Nick mengangguk kepala dan mereka pergi menjauhi tempat itu.
Mereka berdiri di bawah pohon yang rendang tidak jauh dari rumah Irah. Hazif menarik nafas sebelum menutur kata yang disimpannya tadi. Sesudah berasa tenang, matanya tertumpu pada wajah bersih Nick.
“Sebenarnya, aku nak cakap dengan kau pasal Risya.”
“Ya, aku dah tahu dah. Dah dapat agak pun.” Nick mencelah. Nick masih tenang menunggu Hazif bersuara lagi. “Kenapa dengan Risya?” Soalnya pula. Hazif mengeluh lemah.
“I want you to take care of her.” Hazif luahkan juga tentang rasa bimbangnya pada Nick. Nick terkejut mendengar permintaan Hazif. Kini, Nick menarik nafas lega. Hatinya kaget sebenarnya, rasa takut kalau ada perkara yang buruk berlaku pada Risya. Atau, mana tahu Hazif ingin mengugutnya supaya menjauhkan diri dari Risya. Dia berasa sangsi dengan hubungan antara mereka berdua yang terlalu rapat sehingga orang boleh salaf tafsir tentang perhubungan akrab itu.
“Honestly, aku risau pasal dia, bro! Aku tahu kau sukakan dia, or should I say, love her.” Nick tersentak.
“Am I right?” Soal Hazif inginkan kepastian. Lambat-lambat Nick mengangguk. Hazif memegang bahu Nick.
“Baguslah. Aku sayangkan Risya. Sayang sangat. Dia dah macam adik kandung aku, you know. Nick, aku risau kan Risya. Aku tak nak dia kecewa. Jadi aku harap, kau jaga dia baik-baik. Jaga hati nya baik-baik. Dia dah banyak kali kecewa, sedih. Dan sekarang, yang aku takut, hati dia mungkin akan kecewa lagi. Dia mungkin akan sedih kembali.” Makin resah hati Nick mendengar kata-kata Hazif. Apa maksud dia?
“Maksud kau?” Soal Nick singkat.
“He’s coming back! Sudah berbulan-bulan lelaki tu senyap, tetapi, dia kembali. Walaupun dimulut Risya, dia kata dia dah tak ada lagi perasaan terhadap lelaki tu, tapi aku tahu, masih ada saki-baki perasaan sayang tu pada dia. Aku tak nak hati Risya kembali berharap, walaupun hakikat nya, Risya tak mungkin akan bersama dengan lelaki tu.”
“Hah? Wait! Adakah Risya betul-betul masih sukakan lelaki tu?”
“Seperti yang aku cakap tadi, dimulut kata lain, di hati kata lain. Aku cuma tak nak tengok dia bersedih. Cuba kau fikir, kalau kau putus cinta baru beberapa bulan dan kau cuba untuk lupakannya, tapi, beberapa bulan seterusnya kau jumpa balik dia, jadi apa kau akan rasa? Mesti masih ada perasaan tu kan, walaupun sedikit.”
“Okey. Aku faham. I will try my best to win over her, walaupun hati dia tu beku macam batu!” Janji Nick pada Hazif.
“Nick, sekeras mana sekalipun batu tu, kalau sudah titisan air tu tidak berhenti menitis di atasnya, batu itu pasti akan lembut juga. Cuma ianya memerlukan masa yang agak lama. Aku percaya dengan kau. Aku tahu kau pasti membahagiakan Risya. Aku mendoakan kebahagian kau berdua.” Sedikit sebanyak hati Nick terbuka juga dengan Hazif. Baru dia tahu, sayang Hazif pada Risya hanya lah seperti abang dan adik.
“Kalau aku boleh tahu, siapa lelaki yang selami ni mengisi hati Risya dan membuat Risya kecewa sebegini?”
“Lelaki tu...”
“Abang, kat sini rupanya. Korang berborak jauh sampai ke sini kenapa? Ada hal apa sampai nak berahsia ni?” Risya muncul mengejutkan mereka berdua.
Aku pandang muka masing-masing. Rasa nak ketawa pula tengok muka diorang ni. Macam ternampak hantu aje reaksi tu.
“Asal pandang Risya macam tu sekali? Ingat kita ni apa? Hantu?”
“Eh, tak ada lah adik. Adik lah, datang ke sini secara tiba-tiba aje. Buat terkejut kitorang je. Lain kali beri lah salam. Ni tidak, mencelah orang tanpa tau cerita apa-apa pun.” Hazif cuba ingin mencari alasan agar tidak terbongkar tentang topik yang sedang mereka bincangkan tadi.
Bunyi telefon bimbit menyelamatkan keadaan. Segera Hazif meminta diri dan meninggalkan Nick dan Risya sahaja di bawah pohon pokok redup itu.
“Awak, jangan lupa janji kita ya? Denda awak kena langsaikan juga. Janji tetap janji, walau apa pun denda yang saya akan kenakan tu, awak kena lunaskan juga.” Sekali lagi Nick memberi peringatan kepadaku tentang janji kami tadi. Aku mencebik dan menjelir lidah kepadanya.
“Hmph! Ye lah. Tak hairan lah dengan denda awak tu. Dah, Amy, saya nak balik. Dah nak masuk maghrib dah ni. Lama-lama kat sini dengan awak boleh buat saya rasa gila pulak.” Setelah itu, Nick melangkah beberapa langkah mendekatiku. Kini, Nick berdiri betul-betul di depanku. Lalu wajahnya di dekatkan. Hampir-hampir nak dekat sampai satu saat aku memejamkan mata kerana gugup berhadapan dengannya sebegini.
Tercuit hatinya melihat Risya kaku keras tidak bergerak sambil matanya terpejam rapat. Risya nampak comel bila gelabah sebegitu. Dia menahan tawa dari meletus lalu bibirnya di dekatkan pada telinga Risya dan membisik. “ Kenapa perlu pejamkan mata? Mesti awak fikir yang bukan-bukan kan? Otak kuning.” Serta-merta mataku terbuka luas. Mata kami sekali lagi bertaut. Nick tersenyum lebar. Aku pula kegeraman.
“Apa awak cakap? Otak kuning? Siapa yang otak kuning? Siapa cakap yang bukan-bukan tadi kat pantai? Gatal! Tak sedar diri!” Aku menjeling tajam padanya lantas, berlalu pergi sementara membiarkan Nick yang sudah berdekah-dekah tertawa akan kegugupanku tadi. Cis! Sekarang suka betul dia menyakat aku. Tak apa, pat pat siku lipat, nanti aku kenakan kau jebat! Sempat pula aku fikir pantun 2 kerat tak betul tu. Eh, sejak bila pula Nick bertukar jadi jebat ni? Heish! Mat Gajah Gatal ni, memang nak kena!
********************************************************
Nasib baiklah hari isnin merupakan cuti umum. Cuti pasal apa ek? Aku ni dah bebal tarikh. Ish ish ish. Apa nak jadi dengan aku ni? Orang cakap hari isnin cuti umum, jadi aku ikut je lah. Cuti hari pekerja ke? Eh, swasta cuti juga ek? Ke company buat cuti sendiri? Ha ha ha, mengarut betul lah aku ni.
Kami kembali semula ke Selangor hari isnin itu dan sekali lagi Nick memandu keretaku. Nak ganggu pasangan pengantin, keberatan pulak. Jadi, aku membiarkan sahaja Nick memandu. Sementelah sebelum ni dia yang membawa keretaku ke Kelantan, jadi dia juga lah memandu balik ke Selangor. Hazif pula sudah kembali ke Kuala Lumpur pada malam semalam. Ada urusan penting katanya. Balik sahaja dari majlis itu, Hazif segera ke lapangan terbang. Kesian abang aku seorang tu.
Di dalam kereta, ada saja perbualan kami. Borak-borak kosong saja. Kami berbual sehingga lah aku boleh terlelap di dalam kereta. Sampai-sampai sahaja, aku terus terbangun dan aku menawar diri untuk menghantar Nick balik ke rumah.
“Tak apa lah Erry. Pemandu saya sudah pun sampai ke kondo awak. Jadi, awak tak perlu susah-susah nak hantar saya balik. Saya tahu, awak penat kan? Tengok air liur basi awak meleleh pun saya dah tahu awak letih sangat kan?” Cepat-cepat aku mengelap bibirku. Nick tergelak melihat aku menggelabah lebih. Padahal, tak ada pun cecair ‘wangi’ tu keluar dari bibir aku. Dia kenakan aku lagi! Aku menarik muka masam.
“Jangan lah marah. Hidup ni tak best kalau tak ada lawak jenaka, usik-mengusik tau.” Dia mencuit hidungku.
“Hish! Usik-mengusik, jangan sampai tangan naik berbulu jugak!” Aku menepis tangannya sebelum sempat dia mencuit hidungku sekali lagi.
Setelah pemandu Nick mengambil Nick pulang, di dalam kereta Nick sempat memberi flying kiss kepadaku. Amboi! Aku bagi flying kick karang baru tahu. Aku menggeleng-geleng dan naik ke rumahku di tingkat 2 di kondo itu.
“Amboi, senyum meleret nampak? Dah kena panahan cinta ke?” Tegur Farina yang berpaling memandangku sambil tangannya menggenggam kerepek. Di masuk nya kerepek ke dalam mulut.
“Eh, mana ada aku senyum meleret? Tak nampak ni? Aku senyum melebar sebab semuanya dah selesai tau! Irah dan Afiq selesai diijab kabulkan. Tu yang aku gembira. Senyum penuh kesyukuran.” Dalihku dan duduk di sofa sebelah Farina. Tanganku pantas merampas bungkusan plastik itu, dan aku menyeluk tangan untuk mengambil kerepek.
“Eleh, orang nak menipu, kena pandai tau! Tinggi manalah rumah kita ni sampai aku tak boleh tengok orang tu siap melambai-lambai kat orang tersayang dengan senyuman melebar.” Farina mengenakanku lagi.
“Siap si punjangga cinta bagi flying kiss pulak tu!”
“Kau, nak flying kick aku pulak ke? Dah, aku nak masuk ke dalam, nak mandi! Penat! Lagi penat kalau melayan mak nenek macam kau.”
“Tak nak mengaku tak apa, kak oiii!! Orang dah bahagia lah katakan. Senyum sampai berseri muka tu dibuatnya. ” Jerit Farina, membuatkan aku tertanya-tanya pada diri sendiri. Betul ke aku senyum sampai mukaku berseri-seri? Hanya kerana Nick? Kecut perut pulak memikirkan kemungkinan itu. Ahhh!! Tak mungkinlah!
******************************************************
Pagi yang penuh kesibukan, pagi yang penuh dengan kesesakan. Aduh!! Memang pening kepala bila sahaja hari bekerja dilalui. Kena bersiap awal, bangun awal, semuanya kena awal. Kerja pun kena siap awal. Hish! Yalah, dapat bos yang sering sahaja suka merungut, memang ada sahaja kesalahan yang perlu diubah sehingga kertas kerja memuaskan hati mereka. Haris dan Nick sama sahaja. Dua-dua inginkan kerja yang sempurna. Adus!! Cuma, kadang-kala mereka pun ada rasa bertimbang rasa jugak. Sebab itu lah pekerja-pekerja di syarikat ini berpuas hati dengan sikap bos mereka sekarang.Aku pun turut sama berpuas hati.
Seperti biasa aku akan menghadap kertas kerja dan plan yang perlu diolah dan dimasukkan ke dalam komputer. Semua lukisan yang ada di kertas kerja akan dibuat di dalam gambaran berbentuk 3D di dalam program yang dapat menggambarkan lebih jelas sesuatu produk itu. Kemudian, setelah mendapat persetujuan pihak atasan, maka hasilnya akan direalisasikan dan diberikan kepada pekerja yang menjadikan gambaran tersebut menjadi produk yang sebenar. Sedikit sebanyak begitu lah kerja yang perlu aku lakukan selama ini. Payah bukan? Selagi kerja tak diterima, mana boleh semua nya berjalan dengan lancar. Disebabkan itu, kerjasama di dalam sesebuah kumpulan amat penting.
Encik Tahar yang juga merupakan penolong kanan Haris sudah mengarahkan aku untuk bertemu dengan salah seorang daripada wakil syarikat Maju Jaya Sdn Bhd. Aku perlu membentang plan yang dilukis agar sejajar dengan keutamaan mereka di bahagian perwayaran elektrik nanti.
Aku keluar dari bilik bincang dan menuju ke bilik yang menempatkan wakil-wakil syarikat Maju Jaya. Terus-terang, aku belum lagi bertemu dengan wakil-wakil syarikat itu. Datang sahaja ke pejabat, aku sudah duduk di cubicleku menghadap komputer. Nak menoleh orang kiri kanan pun tak sempat. Kerjaku sudah bertimbun, lebih-lebih lagi kena menguruskan projek besar bersama syarikat tersebut.
Haris masuk ke dalam bilik bincang dan tidak pula dia bersisih dengan Risya yang baru sahaja keluar dari bilik itu.
“Abang Tahar, mana Risya?” Soalnya setelah tiada kelibat Risya di situ. Dia ingin memberi khabar tentang seseorang kepada Risya. Masuk sahaja pejabat hari itu, dia dipanggil oleh pak Long Nick, Datuk Sri Nik Bakhtiar untuk berbincang tentang projek besar itu. Tidak sempat ingin mengkhabar kan berita yang ingin disampaikan kepada Risya.
Makin kalut pula Haris apabila orang yang dicari tidak jumpa. Dia ingin Risya bersedia sebelum berjumpa dengan orang itu. Dia menggigit bibir.
“Risya? Abang dah suruh dia berjumpa dengan salah seorang wakil Maju Jaya untuk membincangkan plan yang sudah dibentang tadi.”
“Hah? Dia dah pergi ke bilik sana ke?” Encik Tahar mengangguk sambil kehairanan melihat ekspresi Haris ketika itu.
Tanpa melengahkan masa, Haris pantas berlari keluar dari bilik perbincangan itu dan menuju ke bilik yang ditempatkan khas untuk syarikat tersebut.
Aku berhenti di depan pintu yang menempatkan wakil syarikat Maju Jaya. Kata Encik Tahar tadi, ada 2 orang jurutera elektrik dibilik ini. Selainnya, di bilik yang lain demi keselesaan mereka.
Aku mengetuk pintu dan menunggu panggilan dari dalam untuk membenarkan aku masuk. Terdengar bunyi suara orang menyuruh aku masuk. Tanpa membuang masa, aku memusing tombol pintu.
Mataku tertangkap pada susuk tubuh lelaki yang amat aku kenali. Wajah Nick berpaling memandangku sambil tersenyum. Manakala meja di sebelah yang menempatkan seorang lagi wakil syarikat Maju Jaya pula kosong. Aku melihat lagi susuk tubuh yang masih membongkok-bongkok di sebalik mejanya, tengah mengambil sesuatu di bawah lantai. Mungkin barangnya terjatuh, fikirku.
“Eh, Erry, awak ke sini kenapa?” Soal Nick sambil tangannya memegang dokumen.
Saat itu, badan yang tengah membongkok tadi, bangun dan berdiri tegak menghadapku. Aku terkesima memandangnya. Tidak aku sangka melihat lelaki itu di sini. Soalan Nick bagai angin yang berlalu pergi. Sekarang perhatianku tertumpu pada wajah lelaki di depan ini. Aku tergamam dan otakku pula terus kosong.
“Risya!” Panggil suara dibelakangku. Mata lelaki itu juga tidak lari dari memandangku. Perlahan-lahan aku berpaling ke belakang. Haris tercegat dipintu bilik. Kelihatan seperti Haris termengah-mengah macam orang sesak nafas sahaja.
“Ri..Ri..Risya.” Gagap pula suara lelaki itu memanggil namaku. Lalu, dengan berlagak berani, aku pantas berpaling semula memandang lelaki tadi. Dari hujung mataku, aku tahu, Nick juga tidak lepas memandangku.
“Hai, Fariz! So, kau lah salah seorang wakil tu ya? Wow! Memang kecil dunia ni kan, Iz?” Aku menyimpul senyuman dibibir.
Kini, Haris pelik melihat aksi tenang Risya itu. Manakala Nick pula, keliru melihat aksi sambutan mesra Risya pada Iz itu. Iz pula tiba-tiba sahaja menjadi orang yang menghidap penyakit parkinson, gagap memanggil nama Risya. Dia makin bertambah hairan apabila melihat keberadaan Haris di situ. Apa dah jadi sebenarnya?
‘Habislah aku kena kerja dengan mamat ni. Bukan siapa-siapa, tapi orang itu ialah, Iz!! Bukan orang lain, tetapi Iz! Kenapa mesti lelaki ini hadir lagi di dalam hidup aku?!’ Sempat hatiku membentak.
No comments:
Post a Comment