Prolog
Matanya terpaku pada sekujur badan dari atas. Dia terkejut dengan tindakan pantas itu. Tangan yang hampir sahaja dapat digapai, rupa-rupanya masih belum benar-benar ditangkapnya. Acap kali hatinya berdoa agar tubuh itu masih dapat bangun dari terkulai begitu sahaja. Namun, hatinya hampa bila saja melihat cecair pekat keluar dari kepala di bawah itu.
Matanya sudah menjengil melihat tubuh di bawah. Tidak semena-mena, cecair dari kelopak matanya pula yang keluar. Lebur habis pipinya membiar titis demi titis air mata mengalir. Dia kaku. Pandangannya masih lagi ke bawah. Air mata yang sudah laju mengalir pasti sahaja sudah jatuh ke bawah dan mungkin sahaja tubuh di bawah itu merasakan hujan air matanya kini. Tapi, apa gunanya lagi, langsung tidak berkutik pun badan itu.
Umur baru menjengah 10 tahun, dia sudah menjadi saksi semua bibit hitam itu. Pasti tak kan dilupakan saat ini. Kakinya mengundur perlahan. Serta-merta, kedua belah tangannya menutup kedua-dua telinganya. Dia menggeleng pantas. Tidak!! Tidak!! Dia menjerit di hati.
“Arrrggghhhhhhhhhh!!! Tidak!!!” Jeritan itu pula disambut dengan petir yang baru memancar dan guruh berdentum. Sejurus itu, bukan air matanya sahaja yang gugur, panggilan alam juga turut hiba mendengarnya mengeluarkan air hujan yang menitis lebat secara tiba-tiba. Badan itu menggigil ketakutan kini.
“Dengar cakap mama dan papa, ya.” Kata-kata itu masih terngiang-ngiang ditelinga dia. Ya! Pesanan itu sahaja yang mampu tubuh terkulai tadi berpesan kepadanya. Kenapa? Kenapa mesti begini pengakhirannya.
Tangisan yang menjadi-jadi kian surut. Badannya masih juga menggigil. Dan pada saat itu, dia berjanji pada diri akan sentiasa mendengar dan mematuhi pesanan terakhir itu. Di saat itu juga, dirinya juga bukan seperti kanak-kanak lain. Kini, dia menjadi batu yang tiada perasaan dan bak mayat yang hidup. Dia pasrah. Hilang sudah erti perasaan bagi manusia yang bernama Elaine ini.
Bab 1
Matanya tidak terlepas memandang kedua-dua insan yang sentiasa bertapak di hatinya. Dia naik hairan. Kenapa perlu dia dipanggil untuk berdepan dengan kedua-duanya sekali? Hati masih tertanya-tany. Ingin sahaja dia bertanya tetapi disimpan sahaja hajat itu dalam hati. Tidak mahu dianggap biadap pula di depan kedua ibubapanya.
Mak Som seperti teragak-agak ingin menyampaikan hasrat dihati. Begitu juga dengan suaminya, Pak Raul. Masing-masing masih mengunci mulut. Masih bisu sambil kedua-dua mata mereka tertumpu pada satu-satunya anak kesayangan mereka itu. Sekali-kali, Mak Som berpandangan dengan Pak Raul bagai memberi isyarat agar dia memulakan dahulu mukadimahnya.
Elaine masih setia menanti. Menjalar juga rasa bosan di hati ketika itu, lalu matanya meliar memandang sekeliling dalaman rumahnya. Rumah separa batu dan kayu itu sama sahaja seperti rumah kampung yang lain. Perhiasan di dalamnya juga agak uzur. Walaupun tidaklah seluas mana, cukup untuk menampung 3 beranak itu, tetapi di situlah rumah yang menempatkan mereka bertiga selama ini. Tempat mereka berteduh dari hujan, ribut dan segala macam kejadian semula jadi alam. Elaine tidak pernah merungut satu pun. Dia hanya menurut kata dan berusaha menjadi anak taat bagi kedua ibubapanya.
“Elaine.” Sahut Pak Raul bila dia benar-benar bersedia membuka kata. Mata yang meliar tadi terus terpaku pada tubuh badan tua di depan. Dia memberi sepenuh perhatian pada apa yang bakal papanya kata lepas ini.
“Tujuan papa dan mama kamu suruh Elaine menghadap kami ini... Ermm...Sebenarnya, kami ingin menyuarakan hajat yang dah kami simpan dulu. Bila sudah tiba masanya, baru lah dapat ditunaskan hajat itu.” Elaine masih setia mendengar butiran kata-kata papanya itu.
Mak Som memandang wajah anaknya.
‘Ya Allah, kenapalah tiada langsung reaksi pada wajah itu? Masih juga kaku.’ Dia resah melihat wajah lesu anaknya. Dia kaget kalau ada apa-apa terjadi pada Elaine. Dia masih mahu menunggu reaksi yang bakal dipertontonkan selepas sahaja suaminya meluahkan segala keinginan mereka.
“Hajat apa, pa?” Balas Elaine tenang.
“Elaine, Elaine kena ingat bahawa semua yang kami lakukan ini untuk kebaikan Elaine juga. Mama berharap Elaine berterus-teranglah kepada kami sekiranya, hajat kami ni terlalu berat untuk Elaine laksanakan.” Kini giliran mamanya pula bersuara. Sedari tadi, matanya masih melekat memandang mukanya dan terkeluar juga baris-baris ayat yang membuatkan Elaine bertambah keliru. Namun, kekeluruannya itu hanya terpendam di dalam hati, tidak terpamer pada wajahnya.
Mak Som kaget melihat Elaine begitu tenang sahaja. Kenapa anaknya begitu? Sakit kah? Atau dia...
“Papa dan mama sebenarnya nak Elaine bernikah dengan pilihan kami. Papa nak Elaine kahwin dengan anak kenalan papa. Sudah lama papa kenal dengan kawan papa tu. Semenjak sekolah lagi kami berkenalan, malah sama sekampung. Tetapi, kemudian dia berpindah ke Kuala Lumpur mengikuti keluarganya. Dan, 2 tahun lepas, papa berjumpa dengannya kembali. Oleh kerana papa tak mahu hubungan terputus begitu sahaja, jadi, baiklah papa mengikat kembali tali persahabatan itu dengan bertukar menjadi tali persaudaraan pula.” Panjang papanya menjelas. Satu-persatu papanya mengucapkan hajat hati itu agar tidak pula mengguris hatinya. Dia tahu sikap papanya itu. Setiap kata mesti mahu di sebut dengan penuh lemah-lembut. Papanya hanya mahu menjaga hatinya. Itulah sikap yang dihormatinya dari dulu sehingga kini.
Pak Raul diam seketika. Dia ingin melihat reaksi anaknya itu. Dia ingin melihat sama ada memberontak kah anak itu? Membantah kah dia? Marah kah dia? Namun, lain yang diharap, lain pula yang jadi. Elaine tetap tidak bersuara pun. Hanya matany meliar ke kiri dan ke kanan. Ah! Memang itu lah satu-satunya reaksi yang menunjukan anaknya tengah berfikir sekarang. Langsung tidak menyuarakan apa-apa bantahan pun. Memang sejak kecil lagi anaknya mendengar kata. Tidak pernah mahu membantah. Bila itu katanya, itu juga Elaine turuti.
Matanya masih tertancap pada kedua-dua wajah insan yang paling disayanginya. Dia masih setia menunggu kata-kata yang akan terbit dari mulut salah seorang daripada mereka. Kedua-dua insan tersebut masih dalam kebingungan.
“Elaine dengar tak apa yang mama dan papa dah cakap tadi?” Suara Mak Som kedengaran dicuping telinganya.
“Dah.” Jawab Elaine selamba. Ekspresi muka Elaine tetap selamba. Tiada ekspresi sebenarnya. Bingung Mak Som bila melihat anaknya yang seorang ini. Dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Tak pernah nak tunjuk perasaan sebenarnya. Macam orang yang tiada perasaan!
‘Kan bagus wajah itu ditambah dengan senyuman. Tak pun, kerutan dahi yang menunjukkan dia marah. Tak pun mata yang berair tanda kesedihan. Ni tidak, macam patung!’ Itulah rungutan yang selalu diluahkan oleh si ibu pada ayahnya.
“Elaine tak marah? Tak bangkang cakap mama dan papa?” soal Mak Som lagi. Elaine menarik nafas panjang.“Tak!” jawabnya singkat.
“Elaine, papa nak beri Elaine masa untuk berfikir. Papa nak Elaine betul-betul pasti dengan keputusan kami ni.” Akhirnya Pak Raul memuntahkan juga apa yang ada difikirannya.
Suasana diruang tamu yang luas itu ternyata hanya disambut sepi. Mata Elaine menari ke kiri dan ke kanan.
‘Tengah berfikirlah tu.’ Simpul Mak Som. Itu salah satu sikap Elaine yang menunjukkan dia ada respond dengan segala kata-kata mereka tadi. Anaknya ternyata macam tak ada perasaan.
“Jadi, Elaine dah buat keputusan?” soal Pak Raul apabila melihat biji mata Elaine terarah pada matanya. Sekali lagi Elaine mengangguk dengan muka yang tiada perasaan.
“Elaine tak cakap pun yang Elaine nak bantah cadangan papa dan mama. Elaine setuju je.” Jawab Elaine.
“Ya Allah! Anak ni. Elaine tak pernah bantah cakap kami. Malah tak pernah pun nak bersuara kalau Elaine rasa tak puas hati. Elaine ikut je cakap kami.Elaine betul-betul setuju ke ni?” Terbit rasa pelik dihati Elaine. Kalau ibunya sudah merungut sebegitu dia perlu buat apa pula? Bukankah semua ibubapa akan gembira kalau anak-anaknya mendengar kata? Aku setuju salah, kalau aku tak setuju merungut pula. Elaine mengeluh kecil.
“Mama kenapa cakap macam tu? Kalau Elaine cakap setuju salah jugak ke ma?” soal Elaine selamba lagi. Terkedu Mak Som mendengar kata-kata anaknya.
“Kalau macam tu, papa nak Elaine setuju dengan satu syarat yang papa nak bagitahu ni.” Ujar Pak Raul. Mata Elaine beralih melihat papanya pula. Tiada satu ekspresi yang terbit pada wajah anaknya. Hambar sahaja. Macam orang pasrah je. Dia melihat sebelah kening anaknya terangkat. Ada lah jugak ekspresi sikit.
Dengan tenang Pak Raul bersuara, “ Papa nak Elaine berkenalan dengan dia dengan cara lain.”
“Dengan cara apa pa?”
“Elaine jangan salah faham pada papa. Papa buat keputusan ni pun untuk kepentingan Elaine. Papa nak Elaine berdikari. Harap Elaine tak marah ya?” Elaine masih setia mendengar.
“Elaine kena jadi orang gaji di rumah Tan Sri Hamdan.” Sambung Pak Raul bila tiada satu pun ayat yang terkeluar dari mulut anaknya itu. Itu syarat yang dikemukakan pada Elaine. Elaine masih tidak bersuara. Sekali lagi matanya menari-nari melihat sekeliling ruang tamu yang luas itu.
Bola matanya berhenti jua. Permintaan papa dan mamanya ternyata mengundang keresahan di hati kecilnya. Namun, dia sudah berpegang kepada janji. Janji yang sentiasa mengikatkan dirinya sejak dulu lagi. Tidak sama sekali dia ingin memungkiri ikrar dalam dirinya itu.
Dengan ekspresi yang masih sama, perlahan-lahan dia menjawab. “ Okey! Elaine akan tunaikan janji papa dan mama tu. Elaine akan berkenalan dengan anak kenalan papa tu. Cuma satu sahaja permintaan Elaine.”
Pak Raul sedia menanti permintaan anaknya.
“Apa dia Elaine?”
“ Kalau boleh, Elaine nak hanya kita sahaja yang tahu rancangan ini. Papa dan mama nak Elaine jadi orang gaji di sana kan? Jadi, Elaine nak kita simpan identiti kita dulu dari pengetahuan anaknya itu. Elaine tak kisah kalau Tan Sri Hamdan dan isterinya tahu siapa Elaine yang sebenarnya. Apa kedudukan Elaine yang sebenarnya. Itu Elaine benarkan. Cuma Elaine tak nak anak-anak mereka tahu tentang Elaine, hanya rahsia kan perkara ini dari anak mereka sahaja. Itu je yang Elaine nak.” Panjang juga dirasakan permintaan anak ini. Di dalam hati dia bersyukur, kerana kali ini anaknya berkata panjang. Tidak seperti hari-hari yang lain di mana anaknya hanya berkata sepatah dua kata sahaja.
“Kenapa Elaine nak buat begitu?” Soal Mak Som kehairanan. Pelik mendengarkan permintaan anaknya yang satu itu.
“Elaine cuma nak kenal lebih rapat lagi dengan anak Tan Sri Hamdan. Nak tahu hati budi dia yang sebenarnya. Yalah, anak orang kaya ni, bukan boleh percaya sangat!” Ujar Elaine sinis. Kalau anak Tan Sri Hamdan berada di depannya, mungkin sahaja dilayan penampar di muka Elaine. Tetapi, dia tidak kisah dengan semua itu. Dia memang akan mengikut kata-kata ibu bapanya, cuma kali ini dia berharap permintaannya boleh ditunaikan juga.
“Baiklah. Nanti kami berpesan pada orang di sana. Elaine, kena jaga diri baik-baik ya bila berada di rumah orang.” Sempat lagi Pak Raul berpesan kepada puterinya yang bakal menjadi menantu bagi salah seorang tokoh perniaga yang berjaya di Malaysia ini. Syukur Alhamdulillah, anaknya menurut katanya demi kebaikan anak itu juga.
Mak Som masih merenung Elaine tidak berkelip. Sukar ingin menafsir raut wajahnya ini. Adakah dia menerima permintaan ini dengan rela hati, atau dalam terpaksa? Dia mengeluh lemah memikirkan semua ini. Doanya cuma ingin anaknya bahagia. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment