Rakan-rakan pengikutku

Friday, October 10, 2014

Cerita Pendek Part 12: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 19


            AKU cuba merenggang bahu yang terasa sedikit sengal. Aduh! Sudah lama tak bersenam agaknya. Tak lama selepas itu, aku tersengih sendiri. Bila masa pula aku rajin dalam bab-bab bersenam? Malah, Zuhairil juga pernah menegurku supaya bersenam atau berjoging bagi kesihatan badan. Namun, aku endahkan saja. Tatkala sebaris nama itu muncul di minda, hatiku dipagut rasa sendu.
            Sudah dua hari Zuhairil tak kembali ke rumah. Aku? Aku hanya mampu berdiam diri tanpa menelefonnya. Amat sukar bagiku merendahkan ego yang kini menggunung. Ah! Aku tahu bukan salah aku seorang. Dia juga turut sama mencetuskan pergaduhan yang entah mengapa boleh bermula. Titik permulaannya juga membuatkan aku bingung sendiri. Kalau ada silapku, mengapa perlu berdiam sahaja? Kalau ada yang terkurang, kenapa tidak luahkan saja? Aku mengeluh panjang. Sampai bilakah aku mampu hidup begini. Serupa tiada laki!
            Dalam diam hatiku akui, rinduku padanya sudah menggunung. Aku mula berfikir dalam. Patut ke apa yang aku buat ini? Kalau bukan salah seorang yang mengalah, mana mungkin pergaduhan ini akan surut sampai bila-bila.
            Ya Allah, aku pohon agar Kau lembutkan jua hati suamiku agar dia mahu beralah dan kembali ke rumah. Sememangnya aku sendiri segan ingin mengakui kesalahan yang tidak aku ketahui apa puncanya. Aku menghela nafas panjang.
            Tak! Kami tak patut begini. Kalau dia pernah mengalah ingin kembali ke dalam hidup aku, malah mengikatku sebagai isterinya, tak salah kalau aku mengalah buat kali ini. Aku juga mahu bahagia seperti pasangan yang lain. Aku juga mahu meraih cintanya kembali. Entah mengapa, rasa mahu kembali ke dalam dakapannya berkobar-kobar di hati. Dengan pantas, aku menyelesaikan kerja rumah yang tergendala seketika tadi. Mindaku pula giat memikirkan cara untuk mengembalikan suami tercinta. Tercinta? Aku tersengih lagi. Ya! Aku kembali mencintai bekas kekasih hati dan sekarang merupakan suamiku.
            Setelah bersiap-siap, aku perhatikan kembali wajah di cermin. Mata yang sedikit lebam gara-gara asyik menangis beberapa hari ini, aku tempekkan dengan bedak asas. Biar letak tebal sikit agar hilang tanda ‘Panda’. Aku colekkan pelembab bibir dan aku kembali menilik mukaku. ‘Keren!’ Sekarang aku benar-benar berpuas hati. Baju dress labuh berwarna ungu lembut aku gandingkan dengan tudung berona sama tetapi sedikit gelap, biar nampak kontra sedikit.
            “Baik! Sekarang, tiba masanya mencari ‘Prince Charming’!” Gumamku seperti berbisik. Aku tersenyum kecil. Sudah lama juga aku tidak berdandan sebegini. Apa tidaknya. Asyik terperap di rumah sahaja. Waktu kerja pun hanya sekadar memakai tudung ‘tangkap muat’. Aku mula terfikir. Adakah Zuhairil tidak menyukai gaya penampilanku? Mungkinkah gara-gara itu dia sudah mula bosan? Ah! Jangan berfikiran negatif. Aku perlu bersangka baik terhadap suamiku. Kalau itu salah satu kesalahan aku, aku tahulah apa yang perlu aku lakukan.
            Segera aku mengambil beg sandang dan aku keluar dari rumah. Setelah semua pintu sudah kukunci, aku segera melangkah ke lif. Saat menanti ketibaan lif, aku keluarkan telefon bimbit dan memeriksa kalau-kalau ada mesej daripada Zuhairil. Tiada! Aku mengeluh lemah. Sabar! Setelah pintu lif terbuka, aku memberi laluan kepada seorang lelaki tua yang berusia mungkin dalam lingkungan 50 lebih. Sempat juga aku menitipkan senyuman buatnya.
            Lif tadi berhenti di tingkat parkir. Aku segera menuju ke kereta. Sekali lagi aku menilik telefon bimbit dan kali ini aku menaip mesej.
Ril, baliklah! Aku rindu kau, -Fin
            Pendek, ringkas dan penuh makna. Aku memag benar-benar rindukan dia. Segera aku melepaskan handbrake dan mula memandu ke tempat yang ingin dituju. Di mana lagi kalau bukan di rumah ibu bapanya. Kali ini aku terpaksa bersembunyi daripada keluarga mertuaku. Takut pula kalau pergaduhan kami dihidu oleh mereka. Naya!
            Aku melihat sekeliling kawasan rumah. Tiada pula rupa kereta suamiku. Jadi di mana pergi dia? Sekali lagi hatiku berasa resah. Risau akan ketiadaan dia. Dalam 5 minit kemudian aku menghidupkan kembali kereta dan segera beredar dari situ.
            Kembali memandu, aku membawa kereta ke tempat yang sering dituju suamiku. Ke mana saja tempat yang pernah dia bawa aku dahulu. Awalya, aku pergi ke tempat pusat beli-belah, tempat kegemaran suamiku melepak. Lebih-lebih lagi dia sering ke gym di sana, Wangsa Walk!
            Masuk saja ke sana, aku teringat masa dahulu. Aku selalu juga ke sini, dating! Bila terkenang tentang kisah lama, hatiku tiba-tiba terasa sebak. Walaupun sering juga bergaduh, bertegang-urat gara-gara tidak sependapat dengan Zuhairil, aku masih juga cintakan dia. Hati yang sering terluka dek kata-kata pedasnya, tetap juga tidak mengubah perasaan hati ini. Bila ada duka, pasti ada suka juga. Aku mengelap air mata yang sudah jatuh mengalir. Cepat-cepat aku beredar dari situ tatkala tiada kelibat suamiku di sana.

SUDAH banyak tempat kutuju. Bukan saja Wangsa Walk, Kl Festival, di Tasik Titiwangsa, aku pergi juga ke Subang. Tempat suamiku biasa melepak. Namun, masih juga tiada kelibatnya di mana-mana. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk kembali saja ke rumah.
            Dengan hati yang memberat, aku membuka pintu kereta dan melangkah menuju ke lif. Sebaik lif tiba di tingkat 5, aku keluar dan bergerak ke pintu pagar rumah. Tatkala ingin mengeluarkan kunci dari beg sandang, aku perasan akan sesuatu. Kunci pagar telah terbuka dan pintu di dalamnya tidak tertutup rapat. Aku terkedu. Dada pula sudah berdetak laju. Ada pencuri masuk ke, sedangkan pengawal keselamatan di sini benar-benar menjaga kebajikan rumah kondo di sini? Aku jadi takut.
            Perlahan-lahan aku menolak pagar dan menolak daun pintu. Aku terlihat selipar yang memang aku kenal. Aku menengkup mulut. Zuhairil sudah kembali! Segera aku melangkah masuk tanpa menguncikan pintu rumah. Namun, kakiku terhenti tatkala mendengar suaranya.
            “Aku dah agak dah! Kalau dari dulu lagi aku teruskan saja niat nak balas dendam, memang aku buat. Dia... dia memang melampau!” Jatuh terus air mataku mendengar katanya. Jadi selama ini memang benarlah Zuhairil berniat untuk membalas dendam terhadap aku.
            “Aku pasti, dia pergi jumpa jantan tu!” Aku menyeka air mata yang laju saja mengalir. Aku rasa pelik. Jantan mana pulak yang dimaksudkan suamiku? Aku benar-benar tidak mengerti. Adakah dia menfitnah aku tanpa sebarang bukti? Aku menggeleng laju. Hati aku bagai tersiat-siat bila difitnah oleh suami sendiri tanpa usul siasat.
            “Aku... aku betul-betul kecewa dengan dia,”
            “Kau ingat kau seorang saja yang kecewa dengan perangai kau tu?” Pantas aku membuka pintu bilik. Kelihatan wajah Zuhairil seperti pucat lesi melihat aku yang menegurnya secara tiba-tiba. Terkejut mungkin dengan kehadiran aku. Apa? Ingat aku hantu ke?
            Air mata masih tetap tidak putus menggelongsori pipi.
            “Kau cakap apa ni, Ril? Kau tuduh aku tanpa soal siasat? Kau terus menghukum aku dan sebenarrnya, dah lama niat kau nak balas dendam dengan aku, kan?!” Lantang aku mengeluarkan rasa tidak puas hati terhadapnya.
            Zuhairil hanya berdiam sahaja. Tetapi, nampak benar wajahnya kelihatan kemerahan dek menahan marah. Aku kenal Zuhairil. Tunggu masa saja dia akan meletup. Sikap panas baran Zuhairil tetap tak pernah hilang. Walaupun begitu, dia tidak pernah mengangkat tangan untuk menyeksa tubuhku. Langsung tidak pernah menjetik aku walau sekali. Itu sahaja yang aku benar-benar kagum akan dia. Cuma kata-kata pedasnya saja yang membuat hatiku begitu sakit sejak dari perkenalan kami. Mengapa kau tak pernah mahu berubah, Ril?
            “Kalau niat kau ingin kembali kepada aku gara-gara nak balas dendam, aku rasa, kau dah dapat apa yang kau nak. Kau betul-betul dah menang sekarang. Kau nak tahu kenapa? Sebab aku cintakan kau!” Ungkapku lantang. Aku memegang dada yang begitu sebal. Sampainya hati kau, Ril! Sanggup kau menyeksa aku sebegini.
            Tanpa menunggu di situ, aku pantas keluar dari rumah. Di belakang, aku masih dengar jeritannya, panggilannya. Tetapi langsung aku tidak endahkan. Aku meneruskan langkah membawa luka yang dalam. Mata yang kabur dek air mata, aku biarkan saja.
            Aku keluar menuju ke laluan kecemasan dan berlari ke parkir kereta tanpa menghiraukan panggilannya sejak tadi.
            “Erfina! Jangan!”

            Aku pantas berpaling ke belakang dan ketika itu, mataku terbuntang melihat objek yang akan merempuhku dalam beberapa saat sahaja. Ya Allah! Kereta!

Monday, September 1, 2014

Cerita Pendek part 11: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 18


            “ZARIF?” Mataku tak lepas dari memandang tuan badan. Macam tak percaya melihat jejaka di depan aku sekarang ini. Dia berubah! Dahulu lelaki tampan yang tampak segak dan berisi, sekarang nampak jauh berbeza apabila tubuhnya sudah menjadi susut dan kurus. Apa dah jadi sebenarnya?
            Lelaki yang aku panggil Zarif tadi juga nampak terkejut melihat keberadaan aku di situ.
            “Fin! Ya Allah, tak sangka dapat jumpa kau kat sini. Kau buat apa kat sini? Eh... dah 5 tahun kita tak jumpa. Kau nampak lain sangat, Fin. Apa cerita?” Aku berdeham sebelum membuka apa-apa cerita pada Zarif. Nampak lelaki ini begitu teruja melihat aku. Maklumlah, kami sememangnya rapat dari dahulu lagi. Oleh kerana Zarif ke luar negara ingin menyambung belajar, hubungan kami terputus di tengah jalan. Aku dengan kehidupan aku dan dia pula dengan kehidupan dia.
            “Kau ni Zarif... Masih macam dulu lagi. Perangai tak berubah! Cuba kita pergi lepak kat mana-mana kedai kopi dulu ke sebelum nak buka cerita. Ini tidak. Tak ada full stop ke apa, kau dah tembak aku dengan bermacam-macam soalan. Macam reporter pun ada.” Zarif tergelak senang. Sempat lagi matanya melirik pada jam tangan.
            “Okey, cun! Nasib baik aku tak ada hal sekarang. Bolehlah lepak sekejap,”
            “Haaa... Tapi, sebelum tu aku nak kol seseorang dahulu.” Pintasku sebelum membuka langkah. Aku mencari telefon bimbit di dalam tas tangan. Tatkala telefon Samsung S3 sudah berada di tangan, segera aku menelefon suami tercinta. Cewah! Suami tercinta? Aku tersenyum sendiri. Ya! Aku dapat rasakan hatiku mula menerima kehadirannya di dalam hidupku. Wah! Tak sangka bahagianya bila bergelar suami isteri.
            Zarif mengangkat kening sebelah dan memberi pandangan penuh tanda tanya.
            “Siapa?” Aku hanya mampu tersenyum dan membiarkan saja Zarif tertanya-tanya. Apabila talian bersambung, lama pula tidak berjawab. Akhirnya, suara mesin pula yang menjawab. Aku kembali mendailkan nombor Zuhairil. Belum pun sempat talian disambung, telefon bimbit tiba-tiba mati.
            “Alamak! Dah habis bateri pula,”
            “Kenapa, Fin? Kau nak kol siapa sebenarnya?” Wajah seperti tidak berpuas hati. Aku menjongket bahu.
            “Jomlah! Kita pergi ke kedai kopitiam dekat situ.”
            Kami segera melangkah ke kedai Old Town White Coffee yang berada tidak jauh dari kami. Setelah masuk ke kedai, kami segera membuat pesanan. Aku hanya meminta oren jus dan Zarif pula memesan teh tarik.
            “So, shoot!” Ucap Zarif tidak sabar. Aku menarik nafas panjang sebelum bersuara. Sempat juga hati aku membaca bismillah. Pasti Zarif akan terkejut setelah mendengar berita yang bakal aku sampaikan ini.
            “Aku dah kahwin!” Mata pantas memandang wajah Zarif dalam-dalam. Reaksi Zarif pula sama seperti tekaanku. Matanya terbuntang dan mulutnya melopong.
            “What did you just say? Are you married?” Aku mengangguk perlahan menjawab soalan Zarif.
            “With who?” Zarif bertanya lagi. “Is it with the person that I know?”
            “Yes...” Aku jawab dengan lambat.
            “Come on, Fin! Jangan nak berteka-teki dengan aku. Siapa orang tu? Kau buat aku jadi saspenlah!”
            “It’s Zuhairil.” Akhirnya persoalan terjawab juga. Zarif pula nampak seperti tidak keruan.
            “Are you nuts!? Kau betul-betul serius ke ni, Fin?”
            Aku mengeluh lemah. Reaksi Zarif ketika ini nampak seperti tidak senang apabila mendengarnya. Aku mengangguk perlahan.
            “Emmm... Okay. Tell me the whole story,” ujar Zarif dengan wajah serius. Nak tak nak, aku membuka cerita bermula dari awal perancangan ibu sampailah aku bernikah dengan Zuhairil.
            “Kalau dia betul-betul dah berubah, I am very happy for you my friend. Tapi, kalau dia masih dengan perangai dia yang dulu. I can’t say anything. Lagipun, kau dengan dia kahwin pun atas kehendak parents korang jugak kan?”
            “Bukanlah atas kehendak parent sangat. Tapi, gara-gara permintaan Zuhairil tu sendiri jugak. What I mean is... Dia memang nak tunaikan janji dia. Dan aku tak sangka dia betul-betul berpegang pada janjinya. I never expect that all of this could happen. Memang tak disangka betul!”
            “Macam tiada sangkaan cintalah ni?” Zarif dah mula mengarut. Aku mencebik. Semakin galak pula Zarif mentertawakan aku. Lelaki ini memang nak kena.
            “Zarif, stop that!”
            “Alah... kau kan memang minah jiwang sejak dulu lagi. Kira cerita kau ni dah macam ala-ala novel melayu yang kau minat tu.”
            “Not exactly macam novel. Tapi, ada je terjadi dalam realiti hidup. Selalunya, penulisan di dalam novel ada juga berkaitan dengan realiti kehidupan sebenar.  Kalau kau percayalah.” Aku mula bermukadimah. Zarif yang kenal sangat dengan perangai aku hanya mampu tersenyum sungging.
            “Apa-apapun, aku nampak wajah kau bahagia sekarang. Jadi, itu yang buat aku berpuas hati,” wajah Zarif tiba-tiba berubah mendung. Keningku bertaut. Aku menyedut sedikit air oren jus dan mula membuka mulut ingin bertanya tentang Zarif pula.
            “Kau pula... apa cerita? Is there something wrong?” Sebaik mendengar soalan yang keluar dari mulutku, Zarif mula mengeluh lemah.
            “Tak baik mengeluh, Rif...” Pintasku sebelum Zarif bersuara. Dia senyum kecil dan menggeleng.
            “Actually, baru 3 bulan aku kehilangan orang yang aku cinta. Isteri aku meninggal.” Aku menekup mulut terkejut mendengar kisah Zarif.
            “Ya Allah! Takziah, Rif. Aku tak tahu pun yang isteri kau meninggal. Kita lost contact and we never keep in touch. I am very sorry to hear that.” Aku bersimpati mendengar kisah yang menimpa teman rapatku ini.
            “Dia dah lama menghidap penyakit kanser perut. Selama kami bercinta, tak ada pula dia nak buka cerita. Cuma sebelum aku nak pinang dia, dia terus cerita kisah sebenar. Dia sendiri dah bagi amaran dekat aku di awal perkenalan kami. Dia tak suruh aku jatuh cinta kat dia. Aku rasa pelik tapi, hakikatnya dah 2 bulan dia menghidap penyakit tu,” aku mengangguk dan memandang wajah Zarif dengan perasaan simpati.
            “Aku pinang dia selepas 4 bulan perkenalan kami. Kadang-kadang nampaklah dia menahan sakit perut. Bila aku nak bawa dia ke hospital, dia cakap tak perlu risau. Jadi, aku sangka dia sakit biasa je. Rupa-rupanya, sebaliknya.” Aku nampak tubir mata Zarif yang sudah mula bergenang. Tanpa sedar aku menepuk lengannya. Hatiku turut merasa sayu melihat keadaannya.
            “Sebab tulah badan kau nampak kurus sangat. Aku ingatkan apek manalah tadi, rupa-rupanya kau.” Sengaja aku membuat lawak ingin menghiburkan hatinya. Zarif tersengih dan mengelap air mata yang hampir mahu menitis.
            “Kau saja aje kan? Suka kacau mood orang bila orang tengah bersedih macam ni,”
            “Habis tu, takkan aku nak biarkan orang lain tengok kau menangis depan aku? Nanti apa pula orang cakap. Aku yang perempuan ni dah buat apa sampai lelaki ni menangis. Tak ke pelik tu?” Tercetus tawa Zarif mendengar selorohku.
            “Sorry. Benda ni baru berlaku. Jadi, aku tak boleh nak control rasa sedih aku lagi. Aku sayang gila dekat dia.”
            “I know. Kau tak pernah macam ni, Rif.” Simpulku tatkala melihat keadaan Zarif di depan mata. Memang! Zarif benar-benar cintakan isteri dia.
            “I just... I just don’t know that she was sick. Aku betul-betul tak tahu, Fin. Kalau aku tahu... kalau aku tahu...”
            “Jangan dikesal benda yang dah terjadi. Ini takdir Allah, Rif. Kau tak boleh nak tolak. Kau kena terima qada dan qadar-Nya.” Pintasku segera. Air mata Zarif kembali menitis. Dengan rasa kasihan, aku mengambil tisu dan mengelap air matanya. Aku menyerahkan tisu tersebut kepadanya.
            “Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni. Kau kena percaya akan takdir Allah, Rif. Cuma kau berdoa jelah semoga roh dia aman di sana.”
            “I will always pray for her, Fin. Always be...”
            DOOM!!
            Aku tersentak tatkala mendengar bunyi guruh yang berdentum dengan kuat di luar jendela. Aku menyeka air mata yang kembali mengalir. Mataku terarah pada jam dinding. Sudah pukul 1 pagi dan kelibat suamiku masih tiada. Hatiku jadi gusar. Ke mana dia pergi? Kenapa tak balik lagi?
            Hati ingin menelefon dia, tetapi entah kenapa ego sering menghalang. Petang tadi dia ada menghubungiku, tetapi aku langsung tidak menjawabnya. Aku benar-benar terasa hati dengan layanannya yang tiba-tiba dingin. Kecewa benar dengan sikap Zuhairil sekarang. Sangkaku dia benar-benar sudah berubah. Tetapi, lihatlah apa dah jadi sekarang. Dia kembali seperti dahulu. Seperti Zuhairil yang mempermainkan perasaanku.
            Telingaku menangkap bunyi pintu yang baru saja ditutup. Aku segera melangkah keluar dari bilik. Wajah Zuhairil yang tampak seperti tidak bermaya, aku tatap dalam. Walaupun dalam hati rasa kecewa, tetapi tanggungjawab sebagai seorang isteri tetap aku jalankan. Aku datang menghampirinya dan ingin menyambut beg kerjanya.
            Aku tersentak apabila Zuhairil menarik jauh beg kerjanya dari tanganku.
            “Jangan jadi hipokrit, Fin!” Suara Zuhairil yang kedengaran sedikit kasar benar-benar menyentap hatiku. Air mata mula mengaburi.
            “Ril... kau sebenarnya ada masalah dengan aku ke? Aku sangkakan kita dah okey. Kenapa kau layan aku macam ni? Dalam masa beberapa minggu je, perangai lama kau dah datang balik. Sebenarnya apa tujuan kau kahwin dengan aku, hah?!” Amarahku mula meletus apabila dituduh melulu.
            Zuhairil tersenyum sinis.
            “Kau rasa kenapa?” Aku tergamam mendengar sebaris soalan itu. Keningku bertaut. Jadi selama ini, adakah benar dia punya niat lain?
            “Jadi, memang betullah kau kahwin dengan aku bersebab? Sebab apa? Sebab kau nak balas dendam?” Rasa sangsiku padanya membuak. Aku tak mampu mempercayai dia lagi.
            “Kau memang suka menuduh aku melulu. Sedangkan kau? Kau tu seorang hipokrit!”
            “Kau cakap apa ni, Zuhairil!?” Balasku kembali. Air mataku tak sudah mengalir. Bahuku terhenjut-henjut bersama esakan.
            “Aku dah buat apa sampai kau sanggup buat aku macam ni?”
            “Kenapa kau tak jawab kol aku?” Pintas Zuhairil dengan pertanyaan juga. Aku diam dan mengalih pandangan ke tempat lain. Hatiku benar-benar membeku sekarang. Aku terkejut bila Zuhairil melemparkan beg kerjanya ke lantai. Bahuku pula dipegangnya dengan kemas.
            “Jawablah! Kenapa?” Mataku pantas menatap wajahnya dengan perasaan yang berang.
            “Aku takkan jawab pertanyaan kau selagi kau tak jawab soalan aku. Apa sebenarnya tujuan kau kahwin dengan aku, Ril?”
            Zuhairil mendengus kasar dan melepaskan genggaman pada bahuku.
            “Aku malas nak layan kerenah kau. Dari dulu sampai sekarang, kau memang tak pernah nak berubah rupa-rupanya. Masih dengan perangai kau yang nak menang. Bosan!” Zuhairil berlalu begitu saja meninggalkan aku yang terpinga-pinga di ruang tamu. Perlahan-lahan tubuhku melurut ke lantai dengan lemah.
            “Apa sebenar yang awak nak daripada saya, Zuhairil?” Bisikku pada diri sendiri.
 Pada awalnya dia melayanku dengan baik. Kenapa secara tiba-tiba perangainya berubah dengan sekelip mata? Benarkah dia punya tujuan tertentu untuk mengahwiniku? Entah mengapa dadaku terasa sesak dan perit bila menelan segala yang berlaku ini.




Monday, February 17, 2014

Pengubat Rindu TSC

Isi hati Erfina Alya :

Pada mulanya, kukira hati yang ditutup rapi akan tetap terkunci sampai bila-bila. Di saat bahagia menghampiri, dia yang tidak kusangka muncul tiba. Menawarkan kunci hati yang akan membuka pintu yang sudah lama tertutup ini. Di kala hati girang bermain dengan cinta, sekali lagi tidak kusangka 'dia' pilihan hati memalitkan luka yang dalam. Cinta yang ditabur dengan janji-janji manis, hanya sekadar manis di bibir, perit pula di hati. Dia akhirnya pergi jua meninggalkan parut di hati. Dari situ aku sedar, cinta itu mungkin tidak bersatu kerana itu...cinta terpalit nafsu. Kubiarkan dia menyentuh hati dan mula alpa, serta leka. Ini cinta duniawi.

Pintu yang sudah mula reput dek parut, dipaksa untuk ditutup semula. Sakit, kecewa, perit dan sedih. Itulah perasaan yang terpaksa kuterima. Tangisan demi tangisan masih belum mampu membuatkan aku lupa tentang 'dia'. Sememangnya hanya masa yang mampu mengubati duka ini. Betul kah?

Akhirnya, satu keputusan sudah dibuat. Kalau 'dia' pergi meninggalkan aku, pasti masih ada yang menanti. Aku sujud kepadaNya dan aku biarkan hati ini terubat dengan amal ibadahku. Sekian lama pintu tadi dibiarkan sepi, entah kenapa kenangan lalu tetap terimbau kembali. Kenapa ya?

Kubiarkan saja apa yang bakal terjadi. Suratan takdir mengembalikan 'dia' kembali. Tidak kusangka, 'dia' yang kubiarkan bebas pergi, muncul tanpa kusedari. Setelah lama terpisah, segalanya aku serahkan pada yang Esa. Tiada Sangkaan Cinta, dia datang menunai janji. Janji yang dulunya terkubur, kembali bersemi. Peliknya, hati ini pula ragu. Ah! Apa semua ini? Sekarang, apa yang kualami hanyalah keliru dan keliru. Dia milikku?

P/S: Maaf kerana telah lama menyepi. Atas sebab-sebab tertentu, saya sekarang berhenti menulis buat seketika. Bukan apa tengah buat kursus. Sibuk jangan cakaplah. Mesti rindu TSC kan? Erfina Alya pun rindu korang.. Apa-apapun, maaf sekali lagi. Tapi, jangan risau TSC akan kembali. <3

Saturday, January 25, 2014

Cerita pendek part 10: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 17


            AKU renung gambar pernikahanku dengan mata yang berkaca. Perkahwinan yang pada asalnya diterima gara-gara memenuhi permintaan ibuku, kemudian menjadi titik paling bersejarah tatkala lelaki itu merupakan bekas kekasihku dahulu. Pada awalnya sukar untuk aku terima tetapi lama-kelamaan aku redha atas ketentuan Ilahi. Namun, entah mana silapnya sikap Zuhairil menjadi dingin setelah seminggu kami kembali dari berbulan madu.
            Fikirku sebaik kembali ke Malaysia, aku ingin memulakan lembaran baru bersamanya. Ya! Memang aku merasakan hatiku yang keras dahulu, tidak sekeras mana. Malah, aku semakin menerima kehadirannya dan hatiku mula berbunga kembali. Bunga-bunga cinta. Benar aku dahulu menidaknya tetapi memandangkan layanannya yang seperti bersungguh-sungguh, membuatkan hatiku mula menerimanya kembali.
            Tetapi, entah mana silapnya. Sikapnya yang aku sangka sudah berubah, kembali sama seperti dahulu. Apa yang sudah berlaku? Aku tak tahu apa yang terjadi di antara kami setelah kembali ke Malaysia.
            Memang pada dua hari pertama semenjak menjejak kaki ke Malaysia, Zuhairil masih melayanku dengan baik. Masih aku ingat lagi bagaimana sikapnya dalam melayan keletahku. Ketika kembali ke Malaysia, Zuhairil sudah mengambil keputusan untuk membawa aku duduk bersama dengannya di rumah sewa barunya yang tidak jauh dari rumah ibu bapanya. Lagipun, rumah sewa baru tersebut juga dekat dengan tempat kerjanya. Manakala tempat kerjaku pula sedikit jauh tetapi tidaklah menjadi satu halangan bagiku.
            “Kau tak kisahkan kalau kita duduk di sini?” Aku pandang wajah Zuhairil yang sedikit mengharap. Aku geleng kepala dan mengukir senyum.
            “Aku tak kisah, Ril. Lagipun, tak jauh mana pun dari tempat kerja aku. Cuma perlu gerak awallah. Aku pun dah cuba biasakan diri untuk bangun awal. Jadi, no hal lah!”
            “Thanks sayang,” pantas tubuhku ditarik ke dalam dakapannya. Aku jadi kaku dan gugup. Walaupun pada masa itu, hatiku sudah berbunga bahagia. Namun, egoku masih menggunung. Masih mahu jual mahal padanya. Aku tolak bahunya perlahan dan menjauhkan diri sedikit.
            “Ermmm... Pasal bilik tidur...” Zuhairil teragak-agak untuk menyudahkan katanya. Aku toleh pada wajahnya dengan pandangan yang sengaja ditajamkan.
            “Kalau kau masih belum bersedia, aku...”
            “Tak apalah kalau kita nak kongsi bilik. Walaupun aku belum bersedia, tapi aku tahu kau faham perasaan aku. Aku tak nak pula jadi isteri derhaka. Aku... aku akan jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri juga. Cuma, tunggu masa lah. Boleh?” Zuhairil angguk.
            “Kalau itu permulaan bagi hubungan kita. Aku boleh terima. Terima kasih, sayang.” Aku balas senyuman Zuhairil dan kembali mengemas bilik kami.
            Semuanya nampak seperti berjalan lancar. Aku cuba untuk menjadi isterinya dengan baik, dan dia juga tidak pernah memaksaku. Malah, kalau tidur sekatil, Zuhairil akan meletakkan bantal peluk sebagai penghadang di antara kami. Tetapi, adakalanya tanpa sedar Zuhairil pasti memelukku ketika tidur dan kami bangun dalam pelukkan masing-masing. Aku yang pada mulanya sedikit kekok lama-kelamaan menjadi terbiasa dengan berbantalkan lengan Zuhairil.
            Namun, bahagia yang terbit dalam hatiku tidak lama rupanya. Zuhairil melayan aku endah tak endah sahaja. Aku naik hairan. Mulanya aku ingat pasti dia ada masalah dengan kerjanya. Tetapi kedinginannya masih tetap sama hari demi hari. Aku tahu lelaki itu sememangnya mempunyai sikap yang sering berubah-ubah. Ada pasang surut macam perempuan. Moody tak kena masa. Walaupun begitu ada masanya pasti dia akan kembali melayanku dengan baik. Itulah sikap Zuhairil yang aku kenal. Tetapi, kali ini tidak pula. Aku jadi resah gelisah melihat sikapnya yang berubah 360 darjah. Apa yang tidak kena?
            Aku tersentak tatkala telingaku menangkap bunyi deringan telefon bimbitku. Aku pantas mengambil telefon bimbit samsung dan melihat nama yang tertera pada skrin. Aku melepaskan keluhan. Aku ingatkan Zuhairil yang menelefonku tadi. Rupa-rupanya orang lain.
            “Hello, assalamualaikum Fin. Aku ni, Zarif.” Ucap si pemanggil di talian. Aku seka air mata yang dari tadi mengalir. Aku cuba berdeham ingin betulkan suara yang sedikit serak dek aku menangis tadi.
            “Ermmm... ya, Rif. Aku tahu. Ada apa kau kol aku ni?” Soalku pada Zarif. Sedaya-upaya aku mengawal suara tidak mahu Zarif menangkap suaraku yang berubah. Tiada suara ditalian. Aku jauhkan telefon bimbit dari telinga. Zarif masih ditalian.
            “Kenapa kau senyap, Rif?”
            “Aku tahu kau tengah sedih. Kenapa ni, Fin? Kau gaduh dengan Ril ke?”
            “Aku... Aku...”
            “Aku sangkakan Ril dah berubah bila dia dah kahwin dengan kau. Tapi, kenapa dia masih tak berubah? Aku langsung tak sangka yang kau kahwin dengan Zuhairil. Sekarang, macam ni ke layanan dia pada kau?” Suara Zarif sedikit keras.
Aku tahu sikap Zarif yang begitu mengambil berat terhadapku. Dialah sahabat yang benar-benar faham perasaan aku. Malah, kami bersahabat sudah lama. Lebih lama daripada pengenalan antara aku dan Zuhairil. Aku telan liur dan tak mampu untuk menahan air mata yang sudah mengaburi pandanganku. Aku menekup mulut tidak mahu Zarif dengar dek tangisanku.
“Aku fikir masa boleh mengubah seseorang. Tetapi, tidak pada Zuhairil. Aku hairanlah!”
“Dahlah tu, Rif. Aku sendiri pun tak tahu kenapa dia tiba-tiba berubah. Memang masa kita orang kahwin, dia layan aku dengan baik. Sangat baik. Begitu juga masa kami berbulan madu. Dia memang ambil berat pasal aku. Tetapi, aku tak tahulah dalam semenjak dua menjak ni, dia... dia berubah laku. Dia dingin dengan aku. Aku...Aku tak tahu apa yang aku dah buat.”
“Sebelum aku pergi ke US sampailah aku balik ke Malaysia hari tu dan terserempak dengan kau secara tak sengaja, tak ada benda lain yang aku dengar melainkan sikap Zuhairil yang sentiasa layan kau dengan buruk. Semenjak kita masih belajar lagi, malah masa kau mula-mula jadi kekasih dia pun aku asyik dengar cerita kau pasal dia yang tak sudah pentingkan diri sendiri.”

        

“Aku tak tahu, Rif. Aku buntu. Aku terima dia sebagai suami pun pada awalnya sebab janji yang aku kena tunaikan pada ibu. Ibu sendiri cakap yang dia dah berubah dan aku tengok sendiri perubahan dia pada awal perkahwinan kami. Tetapi, tak lama lepas itu, dia jadi dingin. Aku tak tahu,” esakkan yang aku tahan menjadi apabila teringat akan layanan Zuhairil yang berubah serta-merta.
“Dahlah, Fin. Janganlah kau terlalu bersedih. Dengar kau nangis macam ni, buat aku jadi sedih pula. Kalau hari tu aku cerita pasal arwah isteri aku kat kau, buat hati aku sedih. Dengar suara kau menangis pun buat hati aku tak senang. Dahlah, Fin. Tak usahlah nangis lagi. Mungkin... Mungkin adalah masalah yang suami kau lalui tu. Kadang-kadang, lelaki ni dia suka pendam. Dia tak nak orang lain tahu sangat. Bagi dia, dia nak selesaikan sendiri. Tapi, kau kan isteri dia. Kau kena pandai-pandailah pujuk dia ataupun apa. Aku tak nak cakap lebih-lebih. Takut dikatakan macam penyibuk hal rumahtangga orang. Aku pun dah lalui semua ini. Walaupun hanya sementara, tapi aku faham perasaan kau. Kau jangan bersedih lagi ya?” Nasihat Zarif sedikit sebanyak menyerap dalam hatiku. Aku cuba untuk meredakan tangisan dan cuba untuk tabah melalui badai yang baru saja melanda dalam rumahtanggaku.
“Allah nak uji kau orang berdua. Aku harap kau bersabar. Walaupun aku pun kadang-kadang geram dengan sikap Ril tu dari dulu. Tapi, soal rumahtangga kau... Aku nak kau dapatkan kebahagiaan yang kau idamkan selama ini. Aku doakan semoga kau dapat tempuhi dugaan ini, okey?” Aku mengangguk dan senyum kecil. Sedikit sebanyak hatiku terasa tenang sebab dapat meluakan perasaan yang bermukim.
Aku menyudahkan perbualan kami dan kembali termenung. Aku teringat akan pertemuan secara tidak sengaja yang menemukan aku pada sahabat aku, Zarif. Walaupun Nabil juga seorang rakan rapatku, tetapi tidak serapat aku dan Zarif. Bagiku, Zariflah kawan yang sentiasa ada di masa aku susah dan senang. Setiap kali aku berhadapan dengan masalah, tidak kiralah masalah keluarga atau masalah kawan, hatta masalah di antara aku dan Zuhairil dahulu, Zariflah yang akan menjadi pendengar setia dan penasihat aku. Aku kenal Zarif ketika masih bergelar pelajar pada semester keempat di universiti. Aku kenal Zarif terlebih dahulu berbanding Zuhairil. Manakala pengenalan aku dan Zuhairil ketika di semester keenam.
Jauh benar aku mengelamun. Aku tersentak tatkala mendengar jeritan telefon bimbit yang diminta untuk diangkat. Aku pandang skrin sekilas. Nama Zuhairil tertera pada skrin. Lambat-lambat aku menjawab. Sudah terasa tawar hati pada dia. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk membiarkan saja telefon bimbitku berbunyi sehinggalah berhenti. Senyap. Aku mengeluh lemah. Hati aku kena dirawat terlebih dahulu sebelum menghadap Zuhairil. Tidak mahu rasa sedih dan kecewa mengundang perasaan tidak senangku padanya sehingga bole menyebabkan tercetus pula pergaduhan nanti.
Aku segera mengambil wudhuk dan menunaikan solat Zohor. Hampir saja waktu masuk fardhu asar. Astaghfirullah. Kenapa aku begitu lalai? Aku bergegas menunaikannya sebelum masuk asar. Aku menitip doa memohon petunjuk dari Allah agar hubungan kami mampu pulih dan bertahan. Sekali lagi, air mataku jatuh ke pipi.

background