Rakan-rakan pengikutku

Wednesday, December 30, 2015

Cerita Pendek Part 15: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 23 (Akhir)

            AKU memandang bangunan yang tersergam di depan. Bibirku dikemam tanpa sepatah kata. Sebenarnya, memang dari tadi aku tidak bersuara. Mengenangkan permintaan kedua ibu bapa aku semalam membuatkan aku membisu sahaja.
            “Fin dah seminggu duduk dengan ibu dan ayah. Bila lagi Fin nak duduk sebumbung dengan suami Fin, Ril?” mendengar sebaris nama itu dah buat mood aku hilang. Aku tarik muka masam dan berpaling menghadap tingkap.
            “Bukan ke si Ril tu dah beri peluang dekat Fin untuk duduk dengan ibu dan ayah? Jadi apa masalahnya?” soalku kembali. Pertanyaan ibu memang buat aku tak senang. Aku belum bersedia untuk menghadap lelaki itu setelah kejadian dia merampas fon tanpa kebenaranku. Inikan pula mahu aku duduk sebumbung dengan dia. Tak mahu! Aku memeluk tubuh tanda tak puas hati.
            Dapat aku rasakan sentuhan lembut tangan ibu pada bahuku dari belakang. Tangannya mengusap lembut bahuku menyebabkan hati yang panas tadi dah mula sejuk. Haila... Inilah kuasa seorang ibu. Pegang sikit mesti buat hatiku lemah. Lebih-lebih lagi bila dipujuk sebegini. Setahu aku, semenjak keluar dari hospital, hati aku cepat pula lembut. Entahlah. Aku mengeluh lemah. Perlahan-lahan ibu menarik tubuhku agar menghadap dia. Aku mengalih mata daripada memandang anak mata ibu. Aku tahu, aku mesti tak kuat melawan panahan matanya. Aku masih tak mahu kalah.
            “Ibu tahu bagi Fin dalam ingatan Fin, dia tu hanya orang asing. Tapi, Fin tahu kan yang tempat seorang isteri itu adalah di sisi seorang suami. Itu adalah tanggungjawab dan amanah Fin sebagai seorang isteri. Lagipun, bila lagi Fin nak kenal kembali suami Fin?”
            Kenal kembali? Hatiku berdetak laju. Mengenali kembali lelaki bernama Zuhairil adalah sesuatu perkara yang susah aku nak terima buat masa ini. Ya! Dia sememangnya lelaki yang asing buat aku sekarang. Jadi, buat apa aku kena kenal dia kembali? Aku mengetap gigi menahan perasaan.
            Ibu dah mula menarik aku agar duduk di kaki katil bersamanya. Tanganku digenggamnya erat.
            “Bukan ibu dan ayah nak halau Fin ke apa. Tapi, sekarang Fin kena tahu di mana patut Fin berada sekarang. Ibu tak mahu, kalau di akhirat nanti ibu dan ayah disoal kerana tak serahkan Fin pada suami Fin semula sebab Fin masih hak Ril. Fin masih isteri dia yang sah!”
            Aku terkedu saat air mata tiba-tiba tumpah ke tanganku. Sejak bila manik-manik ni hadir aku sendiri tak sedar. Setelah sedar dari koma, banyak benda yang aku fikirkan sampai aku sendiri pun runsing. Tanggungjawab, amanah, isteri... ahh! Pening.
            Tangan ibu menyeka air mata yang tak henti mengalir di pipiku. Kali ini aku menatap anak matanya. Aku mula teresak-esak dan memeluk tubuh ibu. Kali ini, aku terpaksa juga akur pada permintaan ibu.
            “Ini demi kebaikan Fin juga. Mana tahu kalau Fin boleh ingat kenangan indah Fin bersama Ril bila dah duduk serumah dengan dia,”
            Kenangan indah? Betul ke indah sedangkan hatiku sering kali menyatakan kenangan itu hanyalah satu permainan semata-mata?

                                     

            “Kita naik atas jom?” Aku tersentak mendengar suara garau di sebelah. Mataku memerhati sekeliling. Kereta sudah diparkir rupanya. Aku memandang wajah gerangan di sebelah. Aku lihat wajah lelaki itu tampak begitu teruja. Perlahan-lahan aku bukakan tali pinggang keledar dan buka pintu kereta.
            Aku membuka pintu kereta di belakang tetapi ditahan oleh lelaki itu.
            “Tak apa. Biar saya yang bawak beg awak,”
            “Tak apalah. Bukannya berat pun. Saya dah biasa,” dalihku pula. Zuhairil ingin menahan lagi tetapi pantas saja aku memandang wajahnya tajam.
            “Saya tak perlu dilayan bak puteri. I can handle it myself,” aku tarik tangannya dari daun pintu, namun lain pula jadinya. Tangannya pula yang menggenggam tanganku dan diraihnya ke bibir. Aku tergamam dengan tindakan selambanya itu.
            “You will always be my princess in my heart,” tanganku yang dikucup tadi diusapnya lembut. Matanya terpanah tepat pada anak mataku sehingga membuatkan hati ini terdetik satu perasaan asing. Aku berdeham bagi menghilangkan perasaan yang entah apa-apa itu. Lantas, aku tarik kasar tanganku dari genggamannya. Aku hadiahkan jelingan yang paling tajam buatnya dan terus meninggalkan dia saja.
            “Tahu ke tingkat mana puteriku?” soalnya setelah kakiku terhenti di depan lif. Aku mengetap gigi dan menjeling lagi pada dia di sebelah. Hujung mataku, aku sendiri nampak senyuman sinisnya. Rasa menanglah tu. Menyampah!
            Setelah pintu lif terbuka, laju saja kakiku melangkah masuk. Mataku memandang pula wajahnya yang masih berdiri di tempat tadi. Aku hairan bila dia masih lagi terpacak tidak masuk ke dalam lif bersama. Aku kerut dahi.
            “Berdiri dekat situ lagi buat apa?” dia masih berdiam sahaja. Dah kenapa pula lelaki seorang ini? Dah mereng ke lepas kena jeling dengan aku tadi?
            Aku terkejut bila pintu lif yang ternganga dari tadi mahu tertutup semula. Aku yang kaku seketika tadi tergesa-gesa mencari butang lif. Belum pun sempat menekan butang, tangan Zuhairil pantas menahan pintu lif sebelum sempat tertutup. Aku tergamam.
            Pintu lif terbuka perlahan dan wajahnya kembali kutatap. Zuhairil segera masuk ke dalam lif dan matanya tak lepas dari memandang anak mataku.
            “Just like this lift’s door just now, I hope that you will also give me the chance to let me in. Into your heart back,” aku menelan liur. Kini, wajahnya begitu dekat denganku. Waktu ini seakan-seakan semuanya terhenti. Aku juga tidak sedar sejak bila aku mampu menentang panahan anak matanya sedangkan semenjak bangun dari koma aku berusaha untuk melarikan pandanganku dari matanya.
            “Walaupun pintu hati sayang mungkin disangka sudah tutup untuk Ril, tapi, Ril tetap juga akan berusaha agar pintu hati sayang terbuka kembali,”
            “Emmm... aa... awak cakap apa ini? Sa...saya tak faham,” tersedar bahawa aku hampir tersungkur di tangannya, cepat-cepat aku berundur ke belakang sedikit dan berpaling ke arah lain. Terdengar bunyi keluhan dari bibirnya. Tidak mahu keadaan terasa agak janggal tika itu, pantas saja aku menekan butang lif. Zuhairil mengalih tubuhnya menghadap ke depan. Sekali lagi, dari hujung mataku, aku menangkap wajah Zuhairil kembali tersenyum. Kali ini senyumannya lain, tidak seperti tadi. Aku naik hairan. Tak pula dia nak jawab soalan aku tadi. Pelik betul dia ini.

            Bila pintu lif sudah terbuka, aku melajukan langkah untuk keluar. Aku berpaling menghadapnya.
            “Aa... awak tunjuklah dekat mana rumah awak. Saya tak tahu.” Ujarku ingin menghilang perasaan gundah yang bermukim di hati. Zuhairil tidak bersuara cuma mengangguk. Dia melangkah keluar dan berjalan mendahuluiku. Aku hanya mengikut sahaja.
            Apabila kakinya berhenti, aku juga berhenti. Zuhairil berpaling menghadapku. Matanya terarah pada daun pintu di kananku.
            “Ini rumah kita. Bukan rumah saya seorang sayang,” aku teringat pada kata-kataku tadi. Aku mengangkat bahu. Malas mahu membalas katanya.
            Zuhairil meletak begku ke lantai dan mencari kunci di poket seluarnya. Daun pintu dibuka dan Zuhairil mempersilakan aku masuk. Aku turutkan saja katanya dan masuk ke rumah yang kelihatan gelap. Zuhairil meletakkan beg aku ke lantai sebelum dia menutup daun pintu.
            “Welcome to our home sweet home,” ucapnya sejurus saja lampu ruang tamu dibuka. Aku terkedu melihat ruang rumah di depanku. Tak berkelip mataku melihat sekeliling. Anak mataku mula kabur. Dadaku mula rasa sesak. Aku menggigit bibir mahu menahan perasaan yang hadir di hati. Aku pantas menoleh wajah di sebelah. Tatkala mata kami bertaut, air mataku mula tumpah. Aku menengkup mulut menahan esak yang sudah mula berbunyi.
            Zuhairil menarik tubuhku perlahan ke dalam dakapannya. Tubuhku dipeluknya erat seperti tidak mahu lepas. Mutiara yang hadir semakin galak menghujani pipiku.
            “Ril tahu Fin yang ada di depan ni masih tak lupa akan kenangan kita. Ril tahu, Fin sekarang hanya nak menghukum Ril atas perbuatan bodoh Ril tu. I’m sorry my dear. I am so sorry for the things that happened between us. Ril betul-betul menyesal atas perbuatan Ril selama ini. Ril tak percaya dekat Fin. Ril tuduh Fin yang bukan-bukan sampai Ril buta nak menilai hati Fin sebenar,”
            Siapa sangka, Ril tahu apa yang aku cuba sembunyikan selama ini sebenarnya. Pecah juga tembelangku akhirnya.
            “How? How did you...”
            “Ril tahu sejak Fin pegang balik fon Fin. Sebenarnya dah lama Ril sangsi dengan Fin. Maaf sayang. Ril tak boleh tipu. Memang awalnya Ril ingat Fin betul-betul dah hilang ingatan tapi cara Fin, tabiat Fin yang sekarang masih belum hilang. Malah, password fon Fin yang Fin dah tukar lepas kita kahwin, Fin tetap ingat. Kalau tak, dah lam Fin tanya dengan ibu bukan? Tapi satu soalan pun Fin tak tanya semenjak Fin dapat balik fon Fin tu. Your password is the date of our wedding. Tipulah kalau Fin lupa.” Mendengar penjelasannya membuatkan aku malu sendiri. Tak sangka Zuhairil begitu peka dengan semua itu, walaupun benda itu mungkin saja sangat remeh bagi orang lain tapi tidak pula baginya.
            “I’m sorry too,” itu saja yang mampu aku luah buat masa ini. Lama kami begitu. Setelah tangisanku mula reda. Zuhairil melepaskan pelukan dan dahiku dikucup lama. Mataku terpejam mengingat kembali saat bibirnya singgah di dahiku ketika hari perkahwinan kami dulu.
Ya! Aku memang sengaja mahu menghukumnya. Mahu melihat sejauh mana dia mampu bersabar dengan kerenahku. Malah, aku pernah terdetik ingin menyeksa hatinya dengan menganggap dirinya sebagai seorang lelaki asing buatku sehingga dia tidak mampu bertahan dan ingin melepaskan aku jua. Namun, sebaliknya pula terjadi. Aku sendiri termakan dengan perbuatan  aku sendiri. Malah, semua ini menyakitkan diri.
Aku mengalih kembali pandangan pada apa yang berada di depan mataku. Hiasan ruang tamu dengan ucapan ‘Welcome home’ dan ditemani dengan sesuatu yang pernah hilang dari aku satu ketika dulu. Akhirnya bibirku tersenyum penuh makna.


“Encik Bow saya dah balik!” Aku pantas mengambil patung beruang bersaiz besar itu dan memeluknya erat.
“Ehemmm... Dah lupa dekat hubby dekat sebelah ke?” Sindir Zuhairil sambil wajahnya tampak tak puas hati. Aku tersengih menayang gigi.
“Don’t forget my princess. You still owe me a lot of explaination too,” sambungnya kembali sambil jari telunjuknya seperti memberi amaran.
Aku mencebik dan menjeling. “Awak pun ada banyak benda yang kena jelaskan pada saya. Awak tu yang berhutang dengan saya.”
“Jadi, malam ini akan jadi malam yang panjang dan lama untuk kita, sayang,” Zuhairil mengukir senyuman lebar dan memberikan pandangan penuh lembut yang pada dulunya tidak pernah dia berikan buatku sehinggalah dia berubah seperti di hari kami bersua kembali. Aku angguk dan membalas kembali senyumannya.

SEGALA salah faham kami akhirnya selesai setelah aku menjelaskan satu persatu, begitu juga dengan penjelasan Zuhairil padaku. Mengingatkan tentang perbualannya bersama salah seorang sahabatnya di talian sebelum aku dilanggar kereta, membuatkan aku faham dengan jelas mengapa Zuhairil sanggup berkata sedemikian.
            “Tak terdetik pun niat Ril untuk membalas dendam pada Fin. Dek rasa marah, Ril tanpa sedar boleh cakap macam itu,” aku mengangguk faham. Melihat aku yang tidak bersuara, Zuhairil menarik tubuhku yang sudah terbaring dekat padanya. Aku mengangkat sedikit wajah ingin memandang wajahnya. Kepala Zuhairil ditongkat dengan sebelah tangannya dan sebelah lagi sudah erat memelukku.
            “Sorry, Fin. Dek rasa cemburu Ril, Fin terseksa. Disebabkan panas baran Ril, Fin terkena langgar. Memang semua ini salah Ril. Ril tak patut menghukum Fin tanpa siasat terlebih dahulu,”
            “Ril... Zarif itu baru kehilangan orang yang dia cinta. Isteri dia. Lagipun, Fin sendiri tak ada kontek dia langsung. Fin pun salah juga. Sepatutnya, Fin bagitahu Ril awal-awal sebelum apa-apa terjadi. Maafkan Fin juga,” aku tarik tangannya dan aku kucup lembut. Mataku bertentang lama pada anak mata hitamnya. Aku senyum lebar bila bibirnya singgah ke dahiku.
            “Kan elok kalau kita settlekan semua ini awal-awal dulu, Fin mesti tak terlibat dengan kemalangan yang mampu meragutnya nyawa Fin. Gosh! I don’t want to lose you, Fin. Takut Ril bila tengok Fin melayang bila dilanggar. Mahu putus nyawa tengok orang yang kita sayang hampir-hampir kehilangan nyawa. Ya Allah, janganlah apa-apa terjadi pada Fin lagi,” Zuhairil memelukku dengan kuat sehingga nafasku hampir tersekat.
            “Kalau ya pun, janganlah sebab Ril pula Fin nyawa-nyawa ikan,”
            “Eh! Opps, sorry sayang,” Zuhairil melepaskan pelukannya segera.
            “Ingat kita patung beruang ke?” Mataku tajam memandang wajahnya. Zuhairil tersengih macam kerang busuk.
            “My bad,”
            “Cakap pasal patung beruang...” aku angkat dari pembaringan dan mengambil patung beruang yang terduduk di tepi katil.
            “Ril, pasti ke Encik Bow ini dah bersih lepas kena buang dalam tong sampah besar dulu tu?” soalku kembali.           
            “Eh... Hello? Tahu tak betapa susahnya nak bersihkan si montok besar ini? Dahlah bila cuci, bulu dia hampir nak luruh. Kena bersihkan dia elok-elok tau. Dah itu, dekat kondo abah dulu susah nak keringkan dia. Saya letak dekat belakang peti ais itu sebab nak keringkan dia cepat. Dan, cuba awak cium dia,” Zuhairil mengambil patung beruang dari tanganku dan disuakan pada wajahku pula.
            “I always take care of him and bagi dia minyak wangi supaya dia tak busuk,” jelas Zuhairil ingin membuktikan kepada aku akan kesahihan penjelasannya tadi. Aku tersenyum akur.
            Sememangnya, aku tak pernah sangka yang patung beruang ini akan kembali ke pangkuan pemiliknya. Aku sangkakan patung beruang ini sudah lama hilang bila aku membuangnya dulu dan siapa sangka, Zuhairillah yang mengambil dan menjaganya selama ini.
            Zuhairil mahu membuat kejutan untukku setelah kami berbulan madu dulu. Tetapi, sudah takdir ingin menguji kehidupan rumah tangga kami terlebih dahulu, Zuhairil sembunyikannya sebelum menanti masa yang tepat. Akhirnya aku temui jua barang yang hilang ini.
            Mataku memandang pada wajah Encik Bow.
            “Kalau kita tak lalui semua ini, kita mungkin masih berasa sangsi antara satu sama lain dan tak ada kepercayaan pun dalam hubungan kita. Semua ini pasti ada hikmahnya dan Fin dah tahu hikmahnya,” lantas aku memeluk tubuh Zuhairil erat.
            “Kita pasti takkan rendahkan ego masing-masing kalau bukan sebab apa yang terjadi pada kita selama ini. Siapa sangkakan? Di sebaliknya kejadian buruk itu pasti ada indahnya di kemudian hari,” sambungku lagi. Zuhairil mengangguk setuju.
            “I’m sorry sayang. Lepas ini, kita perlu berbincang kalau jadi apa-apa. Tak baiklah nak gaduh. Lebih-lebih lagi, hati abang sakit bila Fin pura-pura lupakan abang,”
            “Abang?” Aku lepaskan pelukan dan memandang wajahnya dengan perasaan tidak percaya.
            “Yalah. Kenapa tak betul ke apa yang abang cakap? Salah ke kalau Fin panggil abang? Lagipun, tak sedaplah bunyi Fin panggil abang, Ril je. Kan lagi manis kalau panggil abang, abang,”
            Tercetus tawaku melihat wajahnya penuh berharap. Aku usap pipinya dan aku hadiahkan kucupan. Matanya membulat seakan-akan terkejut. Aku mencubit pipinya lembut.
            “Mengada. Dahlah. Malas nak layan, abang!” Sengaja aku tekankan perkataan abang dan segera beralih ke posisi baring semula. Tubuhku mengiring ke sebelah tidak mahu menghadapnya. Zuhairil mengalihkan patung beruang ke bawah.
            Tidak lama selepas itu, dapat aku rasakan tubuhku dipeluknya erat dari belakang. Terukir senyuman di bibirku. Sudah lama aku idamkan kenangan sebegini bersamanya. Rindu.
            “Kalaupun dendam yang abang mahu langsaikan adalah dendam rindu abang pada Fin. Tak sangka, Fin sebenarnya diam-diam curi gambar abang masa kita berbulan madu dulu. Kata tak suka, tak ada perasaan tapi sebenarnya dia...” aku terkedu lantas berpaling menghadapnya.
            “Macam mana, abang tah...” Kata-kataku terhenti saat dia mengucup lama dahiku seraya tangannya mengeratkan pelukannya. Dalam keadaan kami terdiam berbaring sebegini, aku seperti dapat mendengar dengan jelas degupan jantungnya senada denganku sekarang.
            “Fin milik abang dan abang milik sayang. I love you,” ucapnya penuh romantis. Aku tergelak kecil.
Siapa sangka lelaki yang bernama Zuhairil boleh seromantis sebegini sedangkan dia seorang lelaki yang panas baran. Siapa sangka lelaki ini mampu mencairkan hati yang dulunya pecah berderai kembali dicantum semula. Siapa sangka lelaki yang aku sangkakan tiada dalam kamus hidupku lagi kini menjadi suami dan pendamping tidur-tidur malamku. Siapa sangka dialah cinta hati yang aku impikan selama ini. Siapa sangka...
                                                                        TAMAT


 

Sunday, December 27, 2015

Cerita Pendek Part 14: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 21


            SUASANA yang sunyi disekeliling aku biarkan begitu sahaja. Aku langsung tidak mengendah rasa takut atau seram bila berada di perkarangan parking flat. Yang hanya ada di hati sekarang ialah rasa gundah, sedih dan kecewa. Susah sebenarnya ingin aku ungkapkan apa yang terpendam di hati pada ketika ini. Aku rasa keliru!
            Tahap kesabaran aku masih mampu membuat aku kuat. Aku menanti kedatangan Zuhairil dari tadi. Aku kembali memikirkan tindakan Zuhairil yang aku rasa sedikit keterlaluan sehingga sanggup menggeledah gambar-gambar di dalam telefon bimbitku dan secara sengaja menukar wallpaper tersebut.
            Tatkala memerhati cahaya lampu dari sebuah kereta, aku jadi berdebar. Melihat nombor plat pada kereta tersebut aku sudah tahu siapa pemiliknya. Kereta tersebut berhenti betul-betul di depanku dan dengan segera aku buka pintu kereta.
            Suasana di dalam kereta agak sedikit suram. Tiba-tiba suara Zuhairil memecah kesunyian.
            “Cakaplah! Tadi cakap nak bincang. Nak bincang pasal apa?” Agar dingin suara Zuharil tika itu. Aku pula agak gugup menahan debaran.
            “Awak tak cakap apa-apa baik tak perlu buang masa macam ini,” sambungnya lagi. Aku menoleh ke sebelah dengan pandangan sayu. Mengapa sedingin itu sikapnya sebaik melihat satu paparan gambar?
            “Kenapa awak cakap macam tu dalam mesej? Kenapa perlu tukar wallpaper tu? Saya dah cakap kan yang Zarif hanyalah seorang kawan,”
            “Yalah. Kawan yang awak pernah simpan perasaan sayang dan cinta?” Potong Zuhairil. Aku jadi kedu.
            “Awak pernah cakap awak benci dekat dia, tak ada perasaan lagi dekat dia. Habis, kenapa masih simpan gambar berdua? Perlu ke simpan lagi gambar-gambar tu?”
            “We’re just friend! Can’t you get it?” Pintasku pula. Tubir mata cepat sahaja kabur dek air mata yang sudah penuh bertakung.
            “Awak tak faham ke perasaan saya? Saya simpan sebab dia kawan saya. Sekarang pun saya masih kawan dia. Salah ke?”
            “Habis, kalau saya simpan gambar berdua dengan my EX, does that bother you? Tell me!” Aku tersentak dengan kata tajamnya. Mataku pantas memandang tajam padanya. Namun, Zuhairil tetap memandang ke hadapan, cuma riak wajahnya saja menggambarkan perasaan yang dialaminya sekarang.
            “Apa yang awak tak puas hati dengan kenyataan yang dia hanyalah kawan saya dan gambar tu tak memberi apa-apa makna pun pada saya sekarang. Yang penting bagi saya ialah kita!”
            “Kenapa awak langsung tak pernah nak beransur dengan saya? Kenapa awak langsung tak mahu cuba memahami saya?”
            “Pleaselah! Kalau kawan saya sendiri pun rasa pelik bila lihat awak keluar makan berdua dengan dia sedangkan awak adalah girlfriend saya? Awak tahu tak apa saya rasa? Malu, awak tahu tak? Malu! Saya malu dengan apa yang kawan saya cakap tu, sedangkan hakikatnya...”
            “Hakikatnya apa? Saya dengan dia hanyalah kawan. Tak lebih dari itu. Awak tolonglah faham,” Aku sudah tersedu-sedan mendengar bentakannya. Sungguh hati aku pilu mendengar kekasih hati sanggup menaikkan suara dan langsung tidak mahu faham akan kehendak hatiku.
            “Tolonglah awak. Jangan cemburu buta boleh tak?” Pintaku, sayu. Air mata sudah lama membasahi pipi. Dia pula? Masih dingin dan keras seperti itu. Langsung tidak mahu mengalah.
            Suasana kembali senyap. Tiada langsung sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Aku pula terasa begitu lapar tika itu, tetapi aku pendamkan saja. Selera makan aku sudah mati dek pertengkaran antara kami.
            Dengan perlahan aku menghembus nafas berat dan menyeka air mata daripada terus mengalir. Aku mahu hentikan persengketaan ini.
            “Okey, fine! Kalau awak tak nak saya cemburu buta. Then, awak dengar ni baik-baik. Awak takkan dengar dari mulut saya tentang perkara ni. Tapi awak ingatlah. Jangan sampai satu tahap saya penat dengan semua ni. Awak takkan tengok saya cemburu dan saya takkan tunjuk pada awak lagi. Jadi, awak beringat sendirilah,”  itulah kata-katanya yang aku rasakan begitu tajam dan penuh sinis.
“Baiklah. Kalau awak nak sangat saya buang gambar-gambar kami. Saya akan buat, tapi saya tak akan janji pada awak untuk buang gambar tu di dalam hard disk saya. Sebahagian daripada gambar di dalam fon tu ada saya simpankan. Lagipun, saya jarang nak buka hard disk tu. Jadi, saya harap awak berpuas hati.”
Tanpa kami keluar makan, tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya, dia kembali menghantar aku pulang. Setelah tiba, aku segera membuka daun pintu kereta. Keluar saja dari keretanya, pantas saja dia membawa kereta meredah kepekatan malam. Sekali lagi, air mataku gugur memikirkan nasib hubungan kami.



RENUNGANKU terganggu dek merasa ada sepasang mata yang tajam melirik ke arahku. Aku yang dari tadi duduk kaku di katil sambil mata melirik ke arah lain berasa sedikit janggal. Begitu senyap keadaan di bilik ini. Sampaikan aku boleh dengar bunyi detikan jam yang aku rasakan begitu kuat dipendengaran.
            Apabila berasa sedikit tidak selesa, aku pantas memandang kembali ke wajah lelaki yang melirik tajam padaku. Aku naik meluat. Dah kenapa?
            “Are you sure you don’t know me? You don’t know who’s you’re husband is?” Soalnya.
            “Dah berapa kali saya cakap, saya tak kenal siapa awak. Can you accept that? Or maybe you just can’t accept the reality of it?” Sekali lagi matanya tajam memandangku. Aku jadi debar. Keningnya dari tadi berkerut seperti sangsi terhadapku. Ah! Lantaklah. Memang aku tak kenal siapa dia.
            “Fin!” Suara lembut yang menegurku membuat aku terpaku. Aku senyum lebar.
            “Ibu!” Segera aku memeluk tubuh wanita kesayanganku. Lama benar ibu memelukku. Dapatku dengar suara sendunya. Pasti dia terkejut mendengar berita kemalanganku.
            Aku meleraikan pelukan dan ibu seka air mata yang entah bila jatuh di pipi.
            “Sayang ibu dah bangun. Syukur alhamdulillah tak jadi apa-apa yang teruk pada kamu, nak.” Sekali lagi ibu menarik tubuh mendakapku erat. Mataku sempat melirik pada wajah ayah dan juga adik. Mereka turut bersama sekali. Aku lihat wajah ayah sedikit sayu, begitu juga adik. Aku melirik senyum pada mereka.
            “Ril, doktor cakap apa?” Ayah sudah mula bersuara. Aku meleraikan pelukan dan membalas renungan lelaki itu. Aku mengetap bibir, lalu mataku terarah ke tempat lain. Malas mahu melihat wajah orang yang tak faham bahasa ini.
            “Alhamdulillah. Fin, keadaan dia okey sekarang macam yang ayah tengok. Cuma...” Suaranya terhenti seketika. Aku menarik nafas dalam bagi menghilangkan rasa debar ini.
            “Cuma apa bang Ril?” Adik pula mula bertanya. Sedari tadi wajah yang nampak tenang ternyata terganggu dek kata-kata lelaki itu yang masih dalam tanda tanya.
            Kedengara keluhannya pula yang keluar dari mulut itu. Dengan pantas aku memintas sebelum dia bersuara.
            “Akak tak kenal siapa dia,”
            Terbuntang mata semua yang berada di sana kecuali dia.
            “Ibu tolong cakap pada orang ini, Fin tak kenal dia dan nak dia keluar dari bilik ini. Tak selesa!” Tegasku dengan bernada keras.
            “Are you sure you don’t know me? Then, kenapa ibu, ayah dan adik awak boleh kenal pula?” Sebelah keningnya terjongket sebelah.
            “Well, as I said to you before. I can’t barely know you.”
            “Kejap apa semua ini? Ibu tak faham. Apa yang sebenarnya doktor beritahu dekat Ril? Kalau Fin tak tahu siapa suami dia, macam mana boleh kenal ibu, ayah dan adik dia pula?”
            “Ibu, kan Fin cakap Fin tak kenal siapa dia. Like I said it just now. I can’t barely know him.” Giliran mataku pula merenung tajam padanya. Kami masing-masing merenung tajam antara satu sama lain. Aku mendengus.
            “Fin, tak baik buat muka macam tu pada suami.” Ibu menegur.
            “Siapa suami Fin? Fin tak kenal dia dan Fin tak nak tahu siapa dia,” kata-kataku terhenti dek rasa pening yang tiba-tiba menjengah. Wajah ibu pula mula cemas, lalu ibu membantuku untuk baring.
            “Ibu boleh tak bawak dia keluar dari bilik ini. I really don’t feel comfortable when he is around.” Aku menarik selimut ke dada dan menoleh ke arah lain dengan menutup mata.
            “Ayah rasa baiklah kalau Ril keluar dulu dari sini. Kita bincang di luar. Ril cuba bagitahu dekat ayah apa yang terjadi. Boleh ayah jumpa doktor yang rawat Fin?” Kedengaran suara ayah memujuk lelaki itu agar menjauhiku. Hatiku sedikit lega.
            “Anak ibu rehatlah. Ril, jangan risau. Biar ibu yang teman Fin malam ni, ya? Tapi, ibu pun nak tahu lebih lanjut tentang keadaan Fin. Mari bawak kami jumpa doktor. Kita biar Fin berehat.”
            Tatkala mendengar bunyi pintu bilik tertutup barulah aku membuka kembali mata. Tanpa sedar air mata yang ditahan sejak tadi jatuh jua.

                       

Chap 22

            MELIHAT ke luar jendela dan aku perhati titis-titis air hujan yang masih belum ada tanda untuk berhenti. Di sebalik itu, aku melihat refleksi sendiri. Sudah seminggu aku ‘berkampung’ di hospital ini. Entah kenapa pula begitu lama aku ditahan di sini.
            Bila difikirkan kembali, semua ini gara-gara mamat bajet bagus itu. Oleh kerana semua sudah maklum bahawa kini aku mengalami amnesia, jadi aku ditahan untuk rawatan selanjutnya. Inilah yang buat aku rimas. Macam penjara pula bila berada di hospital ini lama-lama. Bukannya aku cedera parah pun. Cuma tak ingat sebahagian daripada memori aku saja. Itu pun dah buat semua orang panik termasuklah ibu dan ayah.
            “Eloklah kalau Fin rehat dulu di hospital. Kita buat periksaan selanjutnya. Takut jadi apa-apa pada Fin. Lagipun macam yang Uncle Din pesan, Fin kemalangan dilanggar kereta tetapi nampak sihat walafiat. Cuma, selepas pembedahan darah beku di kepala Fin yang buat Fin lupa,” panjang lebar pula lelaki yang berumur di depanku membuat penjelasan.
Aku kenal lelaki ini. Dialah lelaki yang muncul setelah aku terbangun dari koma hari itu. Dia juga merangkap bapa mertuaku. Melihat baju uniform dia itu, aku sudah tahu dia juga salah seorang daripada doktor di hospital ini. Aih! Semak betul bila hidup dengan keluarga doktor ini. Terlalu terperinci sangat. Aku bukannya suka duduk dalam hospital ini. Menyampah tahu? Tetapi dek rasa hormat pada orang yang lebih tua, aku akurkan saja dan sekarang meranalah aku di dalam bilik ini seorang diri.
Dek rasa bosan yang melampau, aku berpaling dan mencari-cari telefon bimbitku di meja kecil bersebelahan dengan katil. Aik? Mana pula perginya. Hari itu, ibu ada menyerahkannya kembali kepadaku. Katanya tertinggal di kondo. Hmmm... Kondo. Mungkin kondo yang aku duduk bersama lelaki tak semengah itulah kot.
“Are you looking for this?” Tersentak aku tatkala mendengar suara dari belakang. Hish! Tak tahu bagi salam apa? Aku segera berpaling dan memandang tajam pada wajahnya. Aku lihat objek yang berada di tangannya. Sejak bila pula dia ambil telefon bimbit aku? Ini dah melampau.

                 

“Bagi balik telefon itu. Awak tak ada hak untuk sentuh barang peribadi saya!” Tegasku setelah berdepan dengannya. Aku suakan tangan ingin meminta kembali fon tersebut. Aku lihat bibirnya yang terukir senyuman. Nampak seperti mengejek pula. Geram dengan perbuatannya yang masih tidak mengendah arahanku, lantas aku cuba rampas fon tersebut dari tangan. Pantas saja lelaki tersebut mengelak.
“Baklah sini fon orang. Ish! Tak faham bahasa ke? Lelaki bengal macam awak ini memang tak pernah belajar bahasa Melayu ek?” Aku melihat wajahnya sedikit berubah. Padan muka. Muka saja cerah macam mamat celup tapi bengal.
“Bengal? Dalam bahasa Melayu ada ke istilah itu?” Balasnya kembali.
“And siapa cakap saya tak ada hak? Saya ada hak ke atas awak sebab saya suami awak,” wajahku mula kendur tatkala mendengar sebaris ayat itu. Entah kenapa hati ini begitu terusik apabila mendengar dia berkata begitu. Lantas, aku kembali ke katil dan duduk tanpa kata.
“Fin, saya salah cakap ke? Bukan ke betul apa yang saya cakap tadi?” Suaranya pula mula mengendur. Perlahan aku kembali merenung anak matanya. Wajahku muram dan hatiku serabut.
“Saya tahu awak susah nak terima. Tapi, saya memang suami awak. Tengok, saya ada bukti. Ini kad nikah kita,” ujarnya sambil mengeluarkan kad nikah daripada dompet. Aku berpaling ke arah lain.
“Semua ini memerlukan masa untuk saya terima,” jawabku setelah lama berjeda. Aku menarik nafas panjang sebelum menyambung kata.
“Dan saya perlukan fon itu kembali. Buat masa ini, harap awak faham tentang apa yang saya alami sekarang. Bukan senang saya nak terima semua ini,”
“Baiklah, Fin. Saya akan cuba faham demi awak. Dan, minta maaf sebab ambil fon itu daripada awak tanpa kebenaran,” dia mengembalikan telefon bimbitku dan diletaknya di atas meja.
“I think you should be rest. Nanti malam sikit saya datang lagi,” ucapnya perlahan. Mungkin dia serba salah terhadap perbuatannya itu, tetapi tidak pula dia memberitahu kenapa dia mengambil telefon bimbit aku.
Lelaki itu mula mengorak langkah mendekati pintu. Tiba-tiba dia berpaling dan memandang wajahku.
“I have a reason to do that. It’s complicated, memang saya akui. Just, trust me,”
“Then, do you trust me?” Soalku pula. Wajahnya sedikit berubah. Aku dapat lihat dia nampak sedikit tercengang.
“Ma... maksud awak, awak dah ing...”
“Apa maksudnya kalau seorang suami mengambil fon si isteri tanpa kebenaran kalau bukan kerana tiada kepercayaan pada isterinya?” Pintasku pula. Aku lihat dia mengetap bibirnya berkali-kali.
“Saya...”
“Saya nak rehat sekarang. Jangan lupa tutup pintu itu perlahan,” pantas aku menarik selimut dan berselubung sehingga menutup muka. Aku berkalih ke sebelah dan baring mengiring. Tidak sedar, air mataku mula mengalir. Di sebalik selimut, aku dapat menangkap bunyi pintu yang sudah tertutup. Aku menggigit bibir dan kembali melayan perasaan.

                         

AKU memandang wajahnya dengan hati yang berbunga. Walaupun tadi kami bergaduh melalui pesanan ringkas, tetapi akhirnya dia datang juga untuk berjumpa aku di hari jadiku.
            Tatkala berada di dalam kereta bersamanya, bibir yang tak lepas dari tersenyum mula mengendur. Aku lihat wajahnya yang sedikit tegang. Adakah marahnya masih belum reda? Apa yang aku mahu cumalah masa bersama dia. Kenapa begitu susah sekali dia ingin meluangkan masa bersamaku di hari penting buat aku? Aku mula terasa.
            “Awak nak makan mana? Saya tak makan, awak jelah yang makan. Saya dah kata tadi, sekarang saya tak cukup duit nak makan bersama, tapi awak masih juga nak paksa. Awak tahukan saya tak suka bila kena paksa,” suaranya begitu dingin sekali. Hatiku terasa sedikit bergetar menahan perasaan hiba yang bermukim di hati. Aku tarik nafas dalam, tidak mahu air mata jatuh di depannya.
            “Emmm... kita makan dekat-dekat sini jelah. Tak apalah kalau macam itu. Kita share makan ya? Lagipun kedai itu mesti bagi nasi yang banyak. Saya mesti tak dapat habiskan,” aku cuba untuk memujuknya. Kalau boleh aku tak mahu dia bermasam muka hari ini. Wajah aku maniskan di depannya. Tetapi, dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.
            “Awak buat-buat tak faham ke atau memang tak faham bahasa? Saya dah kata tadi kan, saya tak nak makan. Biarlah saya tak nak makan sekalipun. Saya memang tak nak makan, okey?” Suaranya yang sedikit naik itu membuatkan aku mula mengalah. Aku diamkan saja sehinggalah kami sampai ke kedai makan yang berdekatan.
            “Orderlah. Awak nak makan apa?” Soalnya setelah lama kami tidak bersuara dari tadi. Aku melihat wajahnya seperti orang kebosanan. Dia memegang fonnya dan bermain dengan gadjet itu tanpa memandang aku langsung. Sekarang aku benar-benar terasa hati. Hatiku benar-benar terguris, tetapi aku kuatkan saja hati ini dengan berlembut dengannya. Harap-harap lembutlah hati dia.
            “Emmm... Saya nak sup daging dengan nasi putih. Air bagi air laici,” aku membuat pesanan pada pelayan di depan kami.
            “Bagi saya air kosong je,” pesan Zuhairil pula.
            “Tak nak makan bang?” Soal pelayan itu kembali. Zuhairil menggeleng dan matanya kembali memandang telefon bimbit. Aku menggigit bibir. Kesian pula kalau dia tidak makan. Walaupun kami bergaduh macam mana sekalipun, aku tetap mengambil berat terhadapnya. Aku risau kalau perutnya kosong, pasti sahaja dia akan gastrik malam nanti.
            Aku cuba berborak kosong dengannya dan bertanya tentang aktivitinya hari ini. Dia menjawab acuh tak acuh sahaja. Aku cuba sedapkan hati. Mungkin dia terlalu penat kot.
            Setelah makanan sampai, aku memandang wajahnya. Bila dirasakan wajahnya diperhati, Zuhairil kembali memandang aku dan makanan yang sudah terhidang di depan.
            “Makanlah,” ucapnya pendek dan dia kembali bermain dengan gadjet di tangan.
            Aku beranikan diri ingin memujuknya kembali. “Saya tengok nasi banyak sangat awak. Nanti awak makanlah sikit ya? Kesian awak tak makan apa-apa. Saya sorang je makan ni, tak sedap pula hati saya,”
            “Awak ni dah kenapa ya? Orang dah cakap tak nak makan. Tak naklah. Inilah yang malasnya. Degil! Orang dah cakap itu masih lagi nak lawan. Memang teruk betul!” Aku mengetap bibir. Suaranya yang sedikit nyaring itu membuatkan orang di sebelah memerhati meja kami. Aku jadi malu. Sampai hati dia buat aku macam ni?
            “Iyelah! Saya makanlah sorang.” Aku sudah berjauh hati. Nasi yang sudah aku suapkan ke dalam mulut terasa seperti pasir sahaja. Mataku mula kabur. Pantas saja aku mengerdip anak mata tidak mahu menangis di depan orang ramai.
            “Faham pun apa orang cakap. Ini nak paksa lagi,” aku mendengar suara Zuhairil mendengus. Dengan perlahan aku mengambil sup daging dan aku suapkan bersama nasi. Sungguh aku rasakan hari jadi aku hari ini tidaklah begitu menggembirakan.
Tatkala itu, fikiran aku mula teringatkan keluarga di kampung. Alangkah bahagianya kalau sekarang aku berada di sisi mereka? Pasti sahaja mereka akan menyambut hari jadi aku dengan tawa dan gembira. Mengapa hari ini aku disambut sebegini? Apakah tiada perasaan gembira di hatinya tatkala menyambut hari penting buat kekasih hatinya ini? Aku mula rasa sangsi terhadapnya.
Setelah beberapa minit menghadap makanan, aku sudah berhenti makan. Tidak lalu rasanya ingin menelan lagi.
“Dah ke?” Soal Zuhairil pendek. Aku mengangguk sahaja.
“Pergilah bayar. Dah mengantuk ni,” ucapnya lantas segera dia menghabiskan air kosong yang dipesannya tadi. Aku melangkah ke kaunter dan bayar. Aku membuka pintu kereta dan Zuhairil menghantar aku pulang.
Apabila kereta berhenti, aku memandangnya di sebelah.
“Terima kasih sebab sudi datang teman saya makan,”
“Hmmm... Yalah,” ucap Zuhairil pendek. Aku cuba mengukir senyuman walaupun aku rasakan senyuman itu sedikit tawar. Mata Zuhairil juga sudah memandang wajahku.
“Okey. Selamat malam,” ujarnya lagi.
“Emmm.. Tu je ke?” Ucap aku pula. Sengaja aku bertanya begitu sebab sebelum ini dia pernah memberitahu aku bahawa dia sudah membeli hadiah buatku. Hari itu, dia begitu teruja ingin menyambut hari lahirku sehingga hadiah pun dia belikan sebulan lebih awal. Entah mengapa hari ini dia moody semacam pula. Semuanya gara-gara aku meminta dia datang dan menjemput aku untuk menemani aku makan. Dia memaklumkan kepada aku yang dia kesuntukkan duit dan mahu berjimat. Tetapi, bukan ke dia juga teruja ingin menyambut hari lahir aku?
“Oh! Emmm... Hadiah ada dekat tempat duduk belakang. Ambillah.” Aku tersenyum juga. Aku kalih ke tempat duduk belakang dan melihat hadiah yang sudah dibelinya untuk aku. Apabila hadiah sudah di tangan, dalam gelap malam aku masih mampu membaca nama yang tertera pada beg kertas.
“Victoria secret? Apa ini?” Soalku sedikit teruja. Setahu aku, barang yang dijual di kedai Victoria Secret agak mahal juga. Aku ambil barang di dalam beg kertas dan akhirnya aku tahu apa hadiah yang dibelinya untuk aku.
Botol minyak wangi di tangan aku cium.
“Wangi. Saya suka bau dia. Tak terlalu kuat sangat,”
“Ha’ah. Bau buah. Saya tahu awak tak suka minyak wangi sangat. So, bau ini tak terlalu kuat. Okeylah tu,” suaranya sudah berubah normal.
“Terima kasih, awak. Sayang awak,” aku simpan kembali botol minyak wangi dan aku peluk beg kertas tersebut.
“Okey. Dah, saya nak balik. Mengantuk.” Aku akur dan segera keluar dari kereta. Aku melambainya dan seraya itu keretanya laju membelahi gelap malam.



MATAKU terbuka luas. Lantas, anak mataku memerhati sekeliling. Sebaik saja mata tercelik, air mataku juga berlinangan ke pipi. Aku seka air mata dan aku menangkap sekujur tubuh yang sudah terlelap di sofa berdekatan dengan katilku.
            Aku bangun dari pembaringan dan memandang wajah lelaki itu. Sekali lagi, manik-manik air mataku kembali jatuh. Aku menekup mulut tidak mahu tangisan aku didengarinya.
            Setelah lama melayan perasaan, tangisan tadi sudah mula berhenti. Anak mata aku tak pernah lekang daripada memerhatikannya. Aku mengeluh lemah. Ketika fikiran serabut begini baiklah kalau aku bersujud pada yang Esa. Hanya Dia sahaja yang mampu menenangkan fikiran yang walang ini.
            Aku menunaikan solat sunat taubat dan sunat istikharah ingin memohon petunjuk dari-Nya. Aku menadah tangan dan mula berdoa.

            “Ya Allah, andai kata apa yang terjadi semua ini adalah yang terbaik buat aku, maka Kau berilah pertunjuknya. Andai kata sebaliknya, maka berikan aku pertunjuk juga agar aku mampu memilih keputusan yang terbaik buat aku. Amin.” Doaku dengan suara perlahan. Aku usap muka dan menyeka air jernih yang setia membasahi pipi. Semoga doaku didengari oleh-Mu Ya Allah.

background