Rakan-rakan pengikutku

Sunday, June 19, 2016

Dosa Semalam Bab 15

Bab 15

            GENGGAMAN tangan bagai terhenti sebelum mengena pada daun pintu. Niat ingin mengetuk pintu bilik Hardee jadi terbantut apabila ingatan malam tadi diimbau semula. Aliniya menarik semula tangannya. Lalu, kukunya digigit.
            “Nak ketuk ke tak nak? Nak redah ke tidak?” bisik Aliniya sendiri. Selalu saja dia mengalami dilema setiap kali mahu masuk ke bilik lelaki itu. Dia mengutuk diri.
            ‘Niya yang dulu boleh masuk sesuka hati saja. Berani! Sedangkan Niya yang sekarang, masih tercegat dekat depan pintu ni macam seorang pengecut. Haih!’
            “Esok... bangun awal pagi sesudah subuh. Aku nak kau...”
            Aliniya memejam mata sebaik kata-kata itu diingatnya lagi. Dia menggeleng-geleng kepala. Aliniya berpaling ke belakang tidak mahu menghadap pintu bilik Hardee. Berharap bila dia berbuat demikian, bayangan Hardee ketika malam tadi dapat turut hilang. Aliniya menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia menyandar pada daun pintu dan matanya memandang jam dinding berdekatan.


Sudah pukul 5 pagi. Awal benar dia bangun sedangkan malam tadi dia tidur lewat. Kali ini Aliniya mengeluh pula.
“Sebab dialah aku tak dapat tidur lena. Nak buat macam mana? Ikut sajalah arahan dia itu. Ini memang betul-betul dikatakan bersemangat nak kerja. Niya Niya...”
Dalam pada Aliniya melayan diri, rupa-rupanya Hardee sudah bangun bersiap. Hari ini dia mahu ke Melaka ingin melawat tapak pembinaan hotel barunya di sana. Mungkin dia akan berada di sana selama 2 hari dan terpaksalah dia menangguhkan ‘plan’nya dulu. Namun, dia tetap tidak mahu membiarkan Aliniya terlepas daripada genggamannya. Jadi, dia mahu melihat sejauh mana wanita itu akur akan arahannya. Lagipun, bukan ke wanita itu tetap terima apapun balasan yang dia akan lakukan pada wanita itu selama wanita itu masih belum ingat apa-apa.
Hardee mengemas barangnya dan dia berpaling ke sekeliling ingin memastikan tiada barang yang dia lupa. Pada saat itu, matanya menangkap satu bayangan di bawah daun pintunya. Pasti bayangan itu milik Aliniya. Bibirnya mula tersenyum herot. Bagus! Satu petanda yang baik, fikirnya. Lalu, dia bergerak ke daun pintu dan pantas membukanya tanpa tahu yang Aliniya tengah menyandar di pintu.
“Mak!” Tubuh Aliniya yang sudah tidak seimbang pantas disambut oleh Hardee sebelum wanita itu jatuh ke lantai. Kedua-duanya terpaku dan tergamam. Membulat mata Aliniya disaat wajah lelaki itu dilihat begitu dekat di depannya sekarang. Hardee turut terkedu dengan situasi mereka sekarang. Dalam diam, dia merenung ke dalam anak mata wanita itu.


‘Cantik!’ persisnya. Dia mula terpukau dengan anak mata bundar milik Aliniya. Hardee bagaikan dirasuk sesuatu sehingga tanpa sedar dia mendekatkan wajahnya pada wajah Aliniya. Aliniya yang mula sedar akan perbuatan lelaki itu, pantas berdeham dan menjauhkan diri daripadanya. Hardee terkebil-kebil seketika dan tak lama selepas itu dia pula berdeham ingin menutup rasa malu. Dia menggaru kepala yang tidak gatal dan mula bersuara.
“Maaf,”
“Terima kasih,” ucap mereka serentak. Sudahnya, masing-masing terdiam pula. Keadaan sedikit janggal. Tidak mahu membiarkan situasi itu berlalu lama, Aliniya terus masuk ke dalam bilik Hardee tanpa meminta kebenaran. Laju saja kakinya melangkah ke bilik air ingin mengambil bakul baju. Walaupun hatinya berkocak laju, tetapi pesanan Hardee pada malam tadi masih diingatnya dengan jelas. Bukan ke lelaki itu mahu dia membersihkan semua baju kotor sebagai tugasan pertama dia sebagai pembantu rumah?


Hardee yang masih kaku di depan biliknya hanya melihat saja kelakuan wanita itu. Matanya mengikut saja ke mana gadis itu pergi. Tatkala wanita itu keluar dari bilik air bersama bakul baju kotornya, pantas dia menahan wanita itu sebelum wanita itu jejak keluar dari biliknya. Hardee menghalang laluan Aliniya. Bila wanita itu ke kiri, Hardee turut ke kiri. Bila Aliniya ke kanan, dia juga berganjak ke kanan. Aliniya yang menunduk kepala dari tadi terus mengangkat kepalanya dan merenung tajam pada wajah Hardee. Aliniya menjegil mata. Kening Hardee terangkat.
“Apa kena dengan pandangan kau itu? Are you mad at your boss?”
“Apa?” Soal Aliniya kembali. Dia cuba berlagak biasa. Matanya dialih dari memandang wajah lelaki itu. Dia tidak mahu Hardee tahu akan perasaan yang dirasanya sekarang. Dia malu.
Hardee akui, tercuit juga hatinya melihat gelagat Aliniya yang baru ini. Dia tersenyum kecil.
“Tak sangka Aliniya yang baru ini tahu rasa malu juga,” merah padam wajah Aliniya bila ditegur sebegitu. Matanya kembali memandang wajah Hardee yang sudah tergelak kecil. Aliniya mengetap gigi. Kurang asam! Nampak sangat ke dia tengah malu sekarang? Macam mana lelaki itu boleh membaca air mukanya? Ada perkataan ‘malu’ dekat atas dahinya sampai lelaki itu tahu ke?
So totally different. Something new,” Hardee mengungkap dalam bahasa Inggeris. Fikirnya pasti wanita itu tidak faham apa-apa, sementelah wanita itu tengah hilang ingatan. Aliniya menjeling tajam dan mencebik. Bukan sekali mereka berada dalam kedudukan sebegitu dekat seperti tadi, namun kali ini Alinya benar-benar berasa malu bila hampir-hampir saja bibirnya dijamah lelaki itu.
“Boleh tak kalau jangan halang laluan saya? Nanti Encik sendiri yang bising kalau baju tak dibasuh,” rungut Aliniya, geram.
“Saya halang bersebab. Itu, awak lupa?” Hardee menunjuk di arah belakang Aliniya. Dahi Aliniya berkerut dan dia berpaling ke belakang. Matanya mencari-cari barang apa yang ditunjuk oleh lelaki itu tadi. Ada baju kotor yang belum diambil ke?
Hardee tersenyum herot dan mula mendekati wajah ke sisi wajah Aliniya dari belakang. Dia masih mahu menyakat wanita itu.
“Apa bendanya? Ada baju yang saya terlup...” Aliniya yang mengalih kepalanya ingin menghadap Hardee tergamam dan terpaku. Membuntang matanya di saat bibirnya  sudah selamat mendarat di pipi Hardee. Hardee juga terkedu dengan aksi Aliniya, namun pantas saja dia berlagak biasa. Niatnya cuma mahu mengacah wanita itu, tetapi sebaliknya dia mendapat habuan percuma. Tanpa sedar, hatinya merasa sedikit bahagia.
Aliniya yang terkejut dengan aksi tidak sengajanya pantas melompat kecil menjauh dari Hardee. Dadanya bagai dipalu geruda. Kali ini, wajahnya benar-benar terasa membahang.
“Ma... maaf Encik. Saya tak sengaja,” spontan Aliniya mengungkap maaf. Makin tersengih Hardee melihat kelakuan Aliniya yang sudah gelabah. Hardee melangkah ke arah kerusi study dan diambilnya kain pelikat yang disidainya di situ. Warna kain pelikatnya yang seakan warna kerusi tersebut menyebabkan Aliniya tidak perasan akan benda itu di situ.
“Ini...” Hardee menyerahkan kain pelikat tersebut pada Aliniya. Aliniya yang masih tercegat di tempat tadi pantas menggigit bibir. Bagaimana dia boleh terlepas pandang pada kain itu? Dalam hati berbakul-bakul kutukan diluah pada diri sendiri.
Apesal kau bodoh sangat, Niya? Kain itu pun kau tak nampak ke? Takkan kena renjatan tadi dah terus buat kau buta?’ Aliniya menyalahkan dirinya.
Aliniya mendekati Hardee. Diletaknya bakul yang penuh dengan baju kotor Hardee di atas lantai dan diambilnya kain tersebut dari tangan lelaki itu. Kain pelikat itu diletaknya ke dalam bakul. Aliniya ingin segera beredar dari situ, tetapi kakinya terhenti di saat terpandangkan beg baju di atas katil Hardee. Dia memandang wajah Hardee.
Hardee yang seakan-akan faham akan pandangan yang dihantar oleh Aliniya pantas menjawab.
“Saya akan ke Melaka selama dua hari. Jadi, awak pesan pada kak Zah dan yang lain bila mereka dah bangun nanti. Boleh?” Hardee berpesan. Aliniya hanya menjawab dengan mengangguk. Entah kenapa hatinya berasa sedikit sedih sebaik mendengar lelaki itu ke Melaka selama dua hari.
Aliniya ingin menyambung kerjanya dan mengambil kembali bakul baju. Dia mahu keluar dari bilik tersebut. Melihat wajah Aliniya yang tiba-tiba berubah mendung, sekali lagi lelaki itu menahannya. Lengan Aliniya ditarik mahu wanita itu menghadapnya. Aliniya terpinga-pinga.
On second thought, you’re coming with me,”

“Huh?” Sekali lagi, Aliniya mendapat satu kejutan lain pula. Apa maksud lelaki itu?


Tuesday, June 7, 2016

Dosa Semalam Bab 14

Bab 14

            ALINIYA masih tetap tidak dapat tidur dari tadi. Dia berpusing ke sebelah kanan dan tak lama selepas itu mengiring pula ke sebelah kiri. Dia bangun dan menyandar di kepala katil. Dibukanya lampu tidur di sebelah dan diambilnya jam loceng yang sudah disetkan masanya untuk dia bangun pada waktu sebelum subuh nanti.
            Dia akur dengan arahan Hardee untuk menjadi orang gaji di situ. Dia tidak kisah tentang itu semua. Lagipun, memang dia mahu berbuat sebegitu. Baginya dengan cara begini saja mampu mengurangkan rasa serba salah dia pada Hardee. Dia tidak mahu hidup senang-lenang tanpa melakukan apa-apa kerja di situ. Sudahlah lelaki itu tidak menyukainya walaupun dia sudah bergelar isteri buat lelaki itu. Jadi, ini sajalah caranya. Dia tidak mahu berhutang apa-apa dengan suaminya itu.
            Anak matanya memandang jam loceng tadi dan kedengara keluhan dari bibir munggil itu. Waktu sudah menginjak pukul 1 pagi tetapi dia masih belum dapat tidur juga. Ingatkan selepas solat isyak dia akan terus tidur tetapi matanya tetap berdegil dan masih terasa segar.
            Aliniya menyelak selimut dan turun dari katil. Dia menekan butang pada alat kawalan penghawa dingin dan menutup suisnya. Dia keluar dari bilik dan melangkah ke arah dapur. Seperti biasa dia mencari bahan-bahan untuk membuat kek. Kali ini dia mahu cuba membuat kek cawan pula. Setelah selesai menyediakan segala peralatan dan bahan untuk membuat kek cawan, Aliniya pantas saja memulakan kerjanya.
            Dalam masa setengah jam adunan bahannya sudah siap, hanya tinggal untuk kek cawannya dibakar sahaja. Aliniya menyimpan adunan bahan tadi ke dalam ketuhar dan disetkan suhu sehingga 180 darjah selsius. Setelah selesai, matanya terarah pada jam dinding ingin mengira masa untuk kek cawannya itu masak. Sementara menunggu, dia menyediakan pula bahan untuk dijadikan sebagai hiasan di atas kek cawannya nanti.
            Sebaik mendengar bunyi detingan dari ketuhar tadi, Aliniya pantas mengambil sarung tangan dan mengambil tray kek cawannya keluar. Hidungnya menghidu bau aroma kek cawannya dan bibirnya mula tersenyum panjang. Nasib baik kek cawannya menjadi. Kalau tidak, sia-sia saja dia membuat kek cawan pada pagi-pagi buta itu. Dia betul-betul berterima kasih dengan Ema yang telah memberikan resepi untuk membuat kek cawan itu petang tadi. Memang mudah saja untuk menyediakan kek cawan rupanya. Jadi bolehlah kek cawan ini dihidang untuk sarapan pagi nanti.
            Aliniya membiarkan kek cawannya untuk sejuk seketika dan tidak lama sesudah itu, dia memulakan dekorasi pada kek cawannya. Aliniya begitu fokus menghias kek cawan sehingga tidak sedar akan sepasang mata yang sedari tadi memerhati segala kelakuannya.
            Mata Hardee memandang kesemua peralatan yang sudah diguna oleh Aliniya untuk membuat kek cawannya tadi. Hairan Hardee melihat sikap Aliniya yang tidak pernah diketahuinya selama dia hidup bersama wanita itu.


            “Apa yang aku boleh simpulkan, kita ini sebagai manusia tak pernah ada yang sempurna. Apa yang akan kita lalui cumalah perubahan sepanjang kita masih hidup. Jadi, tak salah kalau kawan kau itu beri peluang dekat perempuan itu dan bantu perempuan itu dengan hati yang ikhlas,” terngiang-ngiang kata-kata Rafie sejak dari tadi. Dilihatnya kesungguhan Aliniya dalam melakukan kerja menghias kek cawan membuatkan lelaki itu teringat akan sesuatu.
            ‘Jadi memang betullah dia yang buat kek Red velvet malam itu. Sungguh aku langsung tak dapat percaya yang dalam diam, Niya sebenarnya berbakat dalam bidang memasak. Tapi, sepanjang aku hidup bersama dia tak pernah pun aku tengok dia pengang senduk ke kuali ke,’
            ‘Itu maksudnya kau tak pernah nak ambil tahu pasal isteri kau!’ Sindir bisikan hatinya pula.
            ‘Tidak! Memang Niya yang dulu tak gemar ke dapur. Cuma semenjak wanita itu sembuh dari penyakit mentalnya saja aku dapat tengok dia masak semua benda ini,’ dalih satu lagi bisikan hatinya.
            ‘Kesimpulannya, apa yang Rafie katakan tadi ada betulnya. Kenapa kau tak berikan peluang pada perempuan itu? Selalunya semua perkara yang berlaku ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuma kita masih tak tahu apa hikmah itu,’ bisikan hati mula menasihati dirinya sendiri.
            Bagi Hardee, hukuman Hardee pada Aliniya tidaklah begitu berat. Dia menyeksa wanita itupun ada hadnya. Lagipun, dia bukanlah seorang manusia yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia masih tahu batas-batasnya. Hukuman yang diterima Aliniya tidak setimpal dengan apa yang sudah wanita itu lakukan pada keluarganya. Kalau terlalu diikutkan perasaan amarah dan dendam, pasti saja wanita itu mati di tangannya. Mujurlah dia masih ada iman dan dia mampu mengawal dirinya.
            “Awak nak rasa tak?” Terangkat bahu Hardee terkejut dek teguran secara tiba-tiba daripada wanita itu. Membulat matanya memandang wajah selamba Aliniya. Hardee mengetap bibir menahan geram dengan kerenah Aliniya yang sering membuat dia terkejut.
            “Kau ini suka buat aku terkejut. Nak buat aku mati sakit jantung ke apa?” Bebel Hardee membuatkan Aliniya mencebik. Dia tidak hairan dengan kata-kata Hardee dan masih juga tangannya menyuakan kek cawan yang sudah dihiasnya tadi.
            Hardee melihat kek cawan di tangan Aliniya dan sempat juga hatinya berasa kagum dengan kreativiti wanita itu.
            “Sejak bila kau dah pandai masuk dapur ini? Selalunya ‘mem besar’ macam kau takkan jejak dapur ini,” masih juga Hardee mahu menyakiti hati wanita itu.
            “Semenjak saya tak ingat diri saya ini siapa. Apa yang saya tahu, saya suka bila berada di dapur ini. Macam-macam benda yang saya boleh buat dan masak. Naluri hati saya yang membawa saya ke sini,”
            “Nah! Cubalah rasa kek cawan ini dulu,” sambung Aliniya setelah melihat Hardee yang diam tidak membalas kata. Aliniya menayangkan senyuman ikhlas ingin cuba untuk melembutkan sekeping hati yang keras milik Hardee.
            Belum pun sempat tangan Hardee ingin menolak, tangan Aliniya pantas mencubit sedikit kek cawan dan disuapnya pada mulut Hardee. Habis sisa krim tercalit di hujung bibir lelaki itu membuatkan Aliniya tertawa kecil.

                                           
            “Apa yang kau seronok sangat? Berani kau buat macam itu dekat majikan kau ya?” dalam rasa marah dan geram, Hardee cuba untuk mengawal suaranya agar tidak didengari oleh pembantu rumahnya yang lain. Lagipun, sekarang sudah menghampiri pukul 2 setengah pagi. Dia tidak mahu mengganggu tidur pembantu rumahnya.
            “Saya gelak sebab ini,” spontan jari Aliniya mengelap krim di hujung bibir Hardee. Sedar yang kelakuannya sudah melebihi batas, jari Aliniya kaku tidak bergerak. Hardee juga tergamam ketika itu. Masing-masing terdiam dan kedua-duanya berpandangan antara satu sama lain. Tanpa sedar, di antara mereka hadir satu perasaan aneh yang masih belum ada kepastiannya lagi.
            Perasaan itu membuatkan Aliniya berasa gementar. Dadanya berdetak laju sehinggakan dia mampu mendengar rentak degupan jantungnya. Pantas saja dia menjauhkan tangannya dari bibir lelaki itu.
            “Nn... nah!” Aliniya memberikan kek cawan yang berada di tangannya pada Hardee. Apa yang berlaku tadi serasa seperti pantas sehinggakan Hardee menurut saja dan mengambil kek cawan dari tangan Aliniya.
            Hardee terkebil-kebil seolah-olah baru sedar dari mimpi. Wajahnya terasa sedikit berbahang. Tatkala melihat Aliniya yang mula beredar, spontan saja tangannya menangkap pergelangan tangan wanita itu. Aliniya terdorong menghadap Hardee kembali.
Masing-masing terpaku apabila wajah kedua-duanya berada begitu hampir. Aliniya mula menggelebah dan cuba menjauhkan wajahnya dari Hardee. Namun, pantas saja lelaki itu menahan dengan mengeratkan lagi genggamannya, tidak mahu Aliniya bergerak walau seinci pun. Aliniya telan liur. Dirasakan seluruh darahnya telah mengalir ke wajah menyebabkan mukanya terasa sedikit berbahang.
“Esok... bangun awal pagi sesudah subuh. Aku nak kau...” sengaja Hardee menghentikan katanya membuatkan anak mata Aliniya membulat tidak percaya. Gerun dia melihat kelakuan Hardee ketika itu. Waktu ini kalau boleh dia mahu pecut lari daripada Hardee. Dia tidak berdaya untuk menahan detakkan jantungnya sekarang. Serasa mahu pecah dadanya mendengar kata lelaki itu.
Melihat wajah Aliniya yang kemerahan dek rasa malu membuatkan lelaki itu semakin berani untuk menyakatnya. Mungkin dengan cara ini juga dendamnya mampu terbalas.
Hardee mendekatkan wajahnya dan membisik sesuatu.
“Aku belum habis lagi. Aku nak kau sediakan baju kerja aku dan jangan lupa untuk basuh baju-baju kotor yang bertimbun dalam bilik aku itu. Itu tugas kau yang pertama perlu kau buat sebagai pembantu rumah aku hari ini. Faham?”
“Fa... faham.” Laju saja Aliniya mengangguk. Tidak membantah. Hardee tersenyum herot lalu melepaskan genggaman tangannya pada pergelangan tangan wanita itu. Dilihatnya wanita itu melangkah laju meninggalkannya seorang. Sebaik melihat kelibat wanita itu sudah hilang di sebalik pintu bilik peraduan wanita itu, barulah dia menarik nafas lega.
Hardee menekap tangannya pada dada. Semua ini berlaku buat pertama kali di dalam hidupnya. Tidak pernah pula dia merasakan perasaan sebegini sewaktu dia menghadap Aliniya yang dulu.
‘Hardee, kau kena kawal perasaan kau itu. Jangan terlalu diikutkan sangat perasaan itu. Agenda kau baru bermula. Kau perlu kenali Aliniya yang ‘baru’ itu dulu sebelum kau memulakan plan kau yang seterusnya,’

PERLAHAN-LAHAN kaki yang menggunakan kasut Stilleto berwarna merah melangkah dengan penuh gaya. Wanita yang menggunakan kasut tersebut berhenti apabila melalui kaunter imigresen.
            Setelah urusan imigresen selesai, dia kembali melangkah ingin mengambil beg. Dalam setengah jam, dia keluar dari balai ketibaan. Langkahnya tidak dihentikan dan pantas dia menuju ke luar. Waktu subuh sebegini, keadaan lapangan terbang antarabangsa KLIA masih tetap penuh dengan manusia. Masing-masing kelihatan sibuk ke hulu ke hilir bersama bagasi mereka.
            Wanita tadi memandang jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 5 pagi, tetapi orang yang dicarinya masih belum tiba. Dia mendecit geram. Di dalam hati pelbagai sumpah seranah dilemparnya.
            Setelah anak matanya menangkap wajah yang dikenali, lantas giginya diketap geram. Dia mengalihkan cermin mata hitam yang dipakainya sejak dia keluar dari perut kapal terbang tadi. Ingin menutup matanya yang sedikit sembab dek lama tidur di dalam penerbangan tadi.
            “Aku suruh kau ambil tiket waktu pagi bukan masa pagi buta macam ini!” herdik wanita itu pada lelaki tadi.


            “Ma... maaf bos. Saya ingatkan bos betul-betul nak datang ke Malaysia dengan segera. Jadi, saya tempahkanlah tiket yang paling awal sekali,” jawab lelaki itu. Wajahnya sedikit serba salah bercampur gerun melihat anak mata wanita itu yang tajam memandang wajahnya.
            “Bodoh! Buat kerja senang pun kau tetap tak faham. Agak-agaklah kalau nak aku datang sini waktu-waktu macam ini. Kau ingat aku hairan sangat ke dengan keadaan perempuan gila itu?” suara nyaring wanita itu telah menarik perhatian beberapa pasang mata di situ.
            “Bos. Sabar-sabar. Maafkan saya. Semua ini memang salah saya. Bos kena perlahankan sikit suara bos takut jadi viral pula nanti,” pujuk lelaki itu lagi. Wanita itu mengambil beg tangannya ingin menghempuk kepala orang suruhannya itu. Namun, perbuatannya terhenti juga tatkala perasan akan mata-mata yang masih memandangnya. Sudahnya, dia memasang kembali cermin mata hitamnya dan menyerahkan bagasinya kepada lelaki itu. Dia membolos masuk ke dalam perut kereta.
            Kereta yang dipandu oleh lelaki suruhannya bergerak laju membelahi waktu subuh tika itu.
            “Bos nak ke mana dulu?”
            “Kau ingat aku dapat pergi ke shopping mall ke pada waktu macam ini? Bawak aku ke kondo. Aku nak rehat dulu,”
            “Baik, bos.” Jawab lelaki itu pendek. Wanita itu memandang ke luar tingkap dan tidak lama selepas itu terbit satu senyuman penuh makna di bibirnya.

            ‘Biar aku rehat puas-puas sebelum aku buat kejutan untuk si gila itu,’

Saturday, June 4, 2016

Dosa Semalam Bab 13

Bab 13

            ALINIYA membawa Radhuan ke taman bunga di luar rumah banglo. Setelah dia merasakan keadaannya sedikit baik, Aliniya mengajak Radhuan untuk berbual di situ. Baginya tak manis pula kalau berdua di dalam bilik.
            “Kan saya dah cakap, Niya mesti okay lepas makan bubur tadi. Awak ini Niya dari dulu buat saya risau,” luah Radhuan tanpa sedar. Aliniya terkedu. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Radhuan sebaik lelaki itu berkata begitu.
            Perasan akan perubahan pada air muka Aliniya, Radhuan menggaru kepala yang tak gatal.
            “Emmm... Awak jangan salah faham pulak. Risau saya ini as a doctor with my patient,” Radhuan cuba menutup perasaan malunya. Dia berpaling ke tempat lain dan sempat pula bibirnya digigit.
            “Tapi... Saya bukan lagi pesakit awak, doktor. Kalau masih pesakit itu, lain pula jadinya,” Aliniya tersenyum kecil. Dia seakan dapat mengagak bahawa lelaki itu punya perasaan terhadapnya. Namun, perasangka itu ditepisnya jauh.
            Radhuan tergelak kecil. “Betul juga. But, I know it’s okay if I care about you as a friend kan?”
            Aliniya merenung anak mata lelaki itu. Dia dapat lihat sinar keikhlasan pada kata-kata lelaki itu dari di sebalik anak mata bundarnya. Tatkala direnung sebegitu, Radhuan rasa tak keruan. Anak mata Aliniya mampu membuat mana-mana lelaki goyah, walaupun gadis itu hanya merenung seketika.


            Bibir gadis itu mula tersenyum lebar dan dia mengagguk.
            “Ya. Walaupun saya bukan lagi pesakit awak, tapi saya tahu yang sejak dulu sampai sekarang, awak jelah satu-satunya teman dan kawan yang saya ada. Saya betul-betul berterima kasih pada awak, Radhuan,” Radhuan tergamam di saat gadis itu memanggilnya dengan nama dan sedikit sebanyak hatinya juga terharu mendengar kata-kata Aliniya.
            “Saya tak tahu siapa diri saya yang sebenar dan saya tak ingat siapa rakan saya. Lepas sedar saja, apa yang saya dapat tahu tentang diri saya ialah sikap keji, kejam saya pada orang. Disebabkan sikap saya yang dulu, saya tak rasa yang saya mempunyai kawan. Jadi...” Aliniya berjeda seketika. Dia menarik nafas dalam dan sebuah senyuman ikhlas dihadiahkan pada Radhuan.
            “Saya rasa saya bertuah dapat mengenali seorang jejaka seperti awak, Radhuan,” dari pendengaran Radhuan, dia dapat rasakan ada bunyi sebak di sebalik kata-kata Aliniya. Dia rasa bersimpati dengan keadaan Aliniya yang serba tidak tahu tentang asal-usul dan juga siapa dirinya.
            “Niya, saya ada untuk awak kalau awak perlukan seorang teman untuk mendengar luahan hati. Lagipun, saya kan doktor psycology dan seorang kaunselor. I can be both, as your friend and your personal counselor. Free of charge!” Tercetus gelak kecil Aliniya mendengarnya. Radhuan pandai mengambil hatinya.
            “Thank you, Radhuan,”


            “It’s my pleasure, Mrs Hardee,” air wajah Aliniya sedikit berubah sebaik nama lelaki itu disebut. Namun, cepat-cepat dia menayangkan senyuman kecil pada Radhuan, tidak mahu lelaki itu perasan.
            Radhuan dapat menangkap ekspresi gadis itu. Di sebalik senyuman itu, dia tahu ada sesuatu yang terjadi pada gadis itu. Bila nama suami Aliniya disebut, gadis itu seakan-akan dirundung dengan perasaan sedih. Tetapi, Radhuan tidak mahu memaksa Aliniya untuk meluahkan perasaannya. Dia mahu gadis itu memberitahunya dengan rela hati.
            “Saya rasa saya kena pergi dulu. Takut ada yang mencari saya di hospital itu,”
            “Oh! Okay. Awak bawa kereta itu baik-baik ya? Semoga selamat sampai,”
            “Yes mem!” Radhuan tabik pada Aliniya dan pamit. Aliniya melambai pada lelaki itu dan anak matanya mengikut langkah lelaki itu sehingga hilang kelibatnya. Aliniya berpaling ingin kembali ke dalam rumah, namun kakinya terhenti di saat anak matanya terpandang bunga berwarna merah jambu yang berguguran banyak di rumput tidak jauh dari tempat dia berdiri. Aliniya tunduk dan mengambil bunga tersebut. Dia seakan-akan pernah melihat bunga ini, tetapi dia tidak ingat di mana.

            Lama matanya memandang bunga tersebut. Di saat fikirannya cuba mengingat kembali di mana pernah dia melihat bunga tersebut, tiba-tiba satu bayangan kabur muncul di mindanya. Dia seakan-akan melihat sebuah taman yang penuh dengan pokok yang dihiasi dengan bunga yang dipegangnya tadi. Sekali pandang, dia seakan-akan merasakan dirinya berada di luar negara. Pokok yang penuh dengan bunga yang berwarna merah jambu itu nampak seperti pokok bunga Sakura. Aliniya berasa kagum dengan ciptaan Allah itu.
            “Macam bunga Sakura kan?” Aliniya tersentak dan bayangan tadi hilang serta-merta. Pantas dia berpaling dan memandang wajah gerangan yang menegurnya. Dia mengangguk dan kembali memandang bunga di tangannya itu.
            “Bunga itu digelar sebagai bunga kertas tisu. Nama sebenarnya Tekoma atau Tabebuia. Selalunya bunga ini akan mekar masa musim kemarau macam sekarang ini. Bunga dia juga cepat gugur. Sebab itulah banyak sangat bunga dia dekat rumput itu,” jelas Ema. Aliniya mengangguk lagi.
            “Kalau ditanam banyak mesti cantik, seolah-olah kita berada di luar negara,”
            “Ha’ah, Puan. Tapi sebenarnya tak perlu pergi jauh-jauh pun. Dekat Malaysia ini, ada je yang tanam pokok ini di taman atau di tepi jalan. Bila dia berbunga lebat, memang cantik sangat. Salah satu tempat yang banyak tanam pokok ini ada di Kedah. Tempat kampung saya,” Aliniya diam. Dia teringat kembali bayangan tadi. Adakah tempat di dalam bayangannya itu ada di Kedah?
            “Kalau saya berkesempatan, saya nak juga tengok keadaan di situ. Mesti seronok bila tengok keindahan ciptaan Allah. Tak dapat pergi ke luar negara, dapat tengok dekat situ pun jadilah,” ujar Aliniya berharap agar satu hari nanti dia dapat ke sana melihat dengan sendiri pemandangan di Kedah yang penuh dengan pokok tersebut.
            “Inshaa Allah, Puan. Puan mesti ke sana tau?” Aliniya senyum lebar dan mengangguk.

HARDEE memandu tanpa arah tujuan. Lama dia memandu sehingga dia tersedar bahawa sekarang dia berada di Putrajaya. Dia mencari parking di sekitar kawasan itu dan memberhentikan keretanya.
            Setelah berhenti, lama Hardee duduk termenung memikirkan perkara yang terjadi tadi. Apabila teringat akan kemesraan di antara Aliniya dan juga doktor yang merawatnya itu, Hardee serasa seperti geram dan marah. Marah apabila melihat gadis itu tampak begitu bahagia bila bersama Radhuan. Geram juga bila memikirkan perasaan aneh yang timbul di saat matanya melihat kedua-dua insan itu.
            ‘Kenapa aku perlu mempunyai perasaan seperti ini? Rasa macam duduk tak senang pula,’
            ‘Itu sebab ada satu perasaan dah mula timbul dalam hati kau itu, Hardee,’ Hati dan akal fikiran mula berperang.
            ‘Kau cemburu lepas tengok isteri kau dengan orang lain. Maksudnya kau tak dayus. Itu normal,’
            “Normal?” Tanpa sedar Hardee menyoal dirinya sendiri.
            ‘Normal bila perasaan kau berubah dari benci ke sayang,’
            “Mengarut! Itu lagi tak normal. Takkan baru beberapa hari aku bawa dia kembali ke rumah, aku dah sayang dekat dia. Itu memang tak betul,”
            ‘Kau tak sedar Hardee. Sebenarnya selama kau menjadi suami dia, hati kau itu dah ada pada dia,’
            “Tak! Aku takkan pernah sayang pada perempuan yang dah hancurkan hidup aku dan keluarga aku. Aku takkan dapat maafkan dia, inikan pula sayang dekat dia,”
            ‘Dia dah jadi isteri kau selama 7 tahun. Walaupun selama 6 tahun kau tak berada di samping dia dan dia gila disebabkan keguguran anak kau, kau tetap takkan dapat lupa selama satu tahun ketika dia masih normal.’ Perasaan Hardee mula bergolak sendiri.
            Hardee menumbuk stereng keretanya melepaskan perasaan geram. Dia betul-betul benci bila keliru dengan perasaan sendiri. Padanya, 7 tahun yang lalu adalah tahun yang takkan pernah dia lupa di saat dia mengenali perempuan bernama Aliniya itu.


            Dek rasa kepala yang berserabut, Hardee keluar dari perut kereta dan bersandar di daun pintu keretanya. Kepala yang tidak gatal digaru dan matanya mula memandang sekeliling. Pada saat itu, dia terlihat rimbunan pokok bunga Tabebuia yang banyak ditanam di situ. Bunganya begitu lebat dan ada juga kelihatan sudah gugur di tepi jalan. Lama dia memandang pemandangan di situ. Sememangnya dia terpegun melihat pokok bunga tersebut yang seakan-akan seperti cherry blossom itu. Masalahnya seolah-seolah dapat dilupakan seketika dan melihat saja bunga-bunga itu, hatinya berasa sedikit tenang.
            Hardee tersentak di saat telefon bimbitnya berbunyi meminta untuk disambut. Dia mengambil telefon pintar itu dari poket seluarnya dan membaca sebaris nama yang tertera pada skrin telefon. Dia melarikan jari pada skrin ingin menjawab panggilan.
            “Har, lepas balik kerja kau free tak?” Soal satu suara sebaik panggilannya disambung ke talian.
            “Kot ya pun, berilah salam dulu,” sindir Hardee pada si pemanggil. Sindirannya disambut dengan tawa kecil si pemanggil.
            “Okay-okay. Assalamualaikum, Har. Kau ada masa tak untuk aku lepas balik kerja? Aku nak luangkan masa lama sikit dengan kau, boleh?” Pinta si pemanggil lagi.
            “Tak perlulah nak minta kebenaran aku bagai, Fie. Kejap lagi aku jumpa kau,”
            “Aik? Belum pukul 5 kot. Ini baru pukul 4 petang. Kau dah habis kerja ke?” Soal Rafie hairan.
            “Aku ambil half day. Kau dekat mana? Aku ambik kau. Kita date dekat court nak?” Soal Hardee kembali.
            “Okey. Set! Ambil aku dekat rumah aku. Kau masih ingat kan rumah keluarga aku dekat mana?”
            “Ingat. Okey, nanti dah sampai aku kol kau balik,” Hardee memutuskan panggilan sesudah mendapat kata sepakat daripada Rafie. Dia mahu membuang jauh perasaan yang bergolak di hatinya dengan membawa rakannya itu bermain badminton bersama. Mujurlah dia ada menyimpan baju dan kasut sukan serta beg raket di dalam kereta. Sudah seminggu dia tidak ke badminton court ingin mengeluarkan peluh. Semuanya disebabkan insiden yang berlaku gara-gara isterinya. Mujurlah kakinya sudah mula baik.
            Pantas Hardee membuka daun pintu keretanya dan memandu terus ke rumah rakannya itu.

RAFIE mengambil botol air mineral yang baru dibelinya dan diteguknya dengan rakus. Sudah lama dia tidak beraksi di medan pertempuran bersama sahabatnya itu. Sewaktu persekolahan, mereka sering bermain badminton bila ada masa terluang.
            “Baru first match, takkan dah pancit kot?” Sindir Hardee bila melihat Rafie yang sudah keletihan selepas melawannya tadi.
            “Aku dah lama tak main, bro. Dekat Australia, tak ramai geng aku yang minat badminton,” jawab Rafie sambil tangan sebelahnya mengelah peluh dengan tuala. Dia menghulurkan sebotol lagi botol mineral yang dibelinya kepada Hardee. Hardee membuka botol mineral tersebut dan meneguknya rakus.
            “Lepas ini, kau akan selalu bertarung dengan akulah nampak gayanya. Nak aku latihkan kau balik pun boleh,” Rafie tersenyum panjang.
            Mereka membersihkan diri dan mula beredar dari situ. Hardee membawa Rafie ke masjid sementelah sudah masuk waktu maghrib. Selesai solat, Hardee membawa Rafie ke tempat makan.
            Hardee membawa Rafie ke salah sebuah restoran yang menyajikan ayam penyet yang menjadi kegemaran ramai.
            “Sedap ke ayam penyet dekat sini?”
            “Aku dengar ayam penyet dia boleh tahan jugaklah. Berbaloi juga dengan harga dia,” jelas Hardee pada rakannya itu. Rafie mengangguk dan mereka memesan 2 set ayam penyet bersama jus oren dan jus tembikai.
            Mereka berbual sambil menanti makanan sampai.
            “Har, kalau aku nak tanya boleh?”
            “Kau ini. Nak tanya, tanya jelah. Buat apa nak tanya aku boleh ke tidak?” Hardee tergelak kecil melihat kerenah Rafie yang seakan-akan terlebih sopan itu.
            “Kau tak ada girlfriend ke sepanjang aku dekat Australia?” Hardee tergamam mendengar soalan sahabatnya itu. Dia tahu sangat perangai Rafie yang suka selidik soal peribadinya.  Sudahnya, Hardee jawab dengan hanya gelengan.
            “Lepas Hafeez meninggal, aku memang tak ada hati nak cari perempuan untuk jadikan sebagai teman wanita aku. Nak-nak lagi bila bapa aku meninggal. Jadi, aku cuma fokus pada syarikat jelah. Lagipun banyak benda yang nak diuruskan dekat ofis itu. Mana nak handle projek lagi, mana nak handle hotel lagi. Macam-macam,” Hardee cuba untuk berdalih. Tidak mahu sahabatnya tahu akan rahsia yang disimpannya selama ini.
            “Jawapan cliche!” Balas Rafie sambil mencebik. “ Takkan tak ada seorang pun wanita yang dapat memikat hati hot bachelor macam kau ni?” Soal Rafie masih ingin mengorek rahsia rakannya itu. Hardee hanya tersenyum dan menggeleng. Tiba-tiba seraut wajah muncul di mindanya. Hardee berjeda.
            Melihat Hardee yang berkhayal, Rafie melihat hairan. Lalu, dikejutnya rakannya itu agar kembali ke realiti. Rafie tersengih-sengih melihat kerenah Hardee yang seakan-akan seperti lelaki yang mempunyai masalah dalam percintaan. Inilah simptomnya. Kuat berangan!
            “Kau cakap apa tadi?”
            “Aku tak tanya kau apa-apapun, bro. Kau itu tiba-tiba je berkhayal. Awat? Ingat bini dekat rumah ke?” Sekali lagi Hardee terkedu dengan tebakkan sahabatnya itu. Gugup juga dibuatnya. Dari mana lelaki itu tahu tentang isterinya?
            “Hah? Bi... bini?”
            “Aku main-main jelah. Kau nampak pucat sangat kenapa? Ada benda yang kau simpan daripada aku ke?”
            “Eh! Tak adalah. Mana ada,” sehabis boleh Hardee berdalih. Sebaik air minuman mereka sampai, Hardee segera menyedut air oren jusnya. Rafie menggeleng sambil tersengih.
            “Har, kau akan gelabah bila kau ada masalah dan ada benda yang kau simpan daripada aku. So, yang mana satulah agaknya ya?”
            “Aku okey. Cuma...”

            “Cuma?” Rafie jongket kening sebelah. Masih menanti Hardee untuk menyelesaikan ayatnya. Hardee pula teragak-agak untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
            “Tak ada. Macam ini. Aku nak tanya pendapat kaulah. Ini sebenarnya masalah yang dihadapi oleh seorang kawan aku ini,”
            “Okey, seorang kawan. Lagi, teruskan teruskan.” Umpan Rafie dah mula mengena. Dia pasti Hardee akan luahkan kepada dia apabila lelaki itu dirundung masalah.
            “Kawan aku tu sebenarnya ada seorang kenalan. Kenalan dia itu dah buat kesalahan yang sangat besar sampai dosa yang kenalan dia itu buat tak boleh dimaafkan langsung. Pendek kata, apa yang kenalan itu dah buat memang dah hancurkan kehidupan dia,”
            “Kenalan itu lelaki ke perempuan?” Pintas Rafie menyoal. Hardee mencebik. Dia memang tahu, Rafie begitu suka bila bab itu dikemukakan. Kalau perkara tersebut berkaitan dengan perempuan, lagilah dia suka.
            “Perempuan,” jawab Hardee malas.
            “That sounds more interesting. Dah tu kenapa dengan perempuan itu? Apa dah dia buat sebenarnya?”
            “Aku tak tahulah. Cuma kawan aku cakap, dia memang tak boleh nak maafkan perempuan itu,” Hardee masih tetap dengan pendiriannya. Biarlah apa yang berlaku itu hanya dia yang tahu.
            “Then, ada sesuatu yang terjadi dekat perempuan itu sampai perempuan itu jadi gila,”
            “What?! Serius sangat je masalah kawan kau ini. Dah tu apa jadi?” Rafie terkejut mendengar cerita Hardee. Dia dah mula berminat ingin mengetahui kesudahannya.
            “Perempuan itu gila selama 6 tahun dan selama 6 tahun itu juga kawan aku tak jumpa langsung dengan dia. Sehinggalah dia dapat berita yang perempuan itu dah waras dan dah sihat balik. Perempuan itu tak ingat apa-apa bila dah sedar. Tapi, oleh kerana ada benda yang tak boleh nak elakkan, kawan aku kena juga tolong dia. Cuma itulah, hati dia masih benci dekat dia sebab apa yang perempuan itu dah buat pada dia,” jelas Hardee panjang.
            “Dah itu. Apa masalah dia?” Soal Rafie lagi.
            “Kawan aku cuma keliru dengan perasaan dia sekarang. Walau macam mana sekalipun, perempuan itu memang memerlukan pertolongan dia dan kawan aku ini pula tak tahu kalau dia boleh terus menolong perempuan itu dengan melupakan segala perkara yang terjadi antara dia orang atau membalas perbuatan ke atas perempuan itu di saat perempuan itu tengah dalam keadaan macam itu,”
            “What I can see right now, your friend is in a complicated situation. Dah tahu tak suka buat apa nak tolong kan?” Persoalan Rafie membuatkan Hardee terdiam tidak tahu mahu membalas apa.
            “Cuma kita perlu ingat satu benda ini, Har. Dendam itu semua tak ke mana. Memanglah perempuan itu dah buat kesalahan yang besar pada kawan kau. Tapi, at the end perempuan itu mendapat pembalasan dari Allah. Dia tak ingat apa-apa tapi dia perlukan pertolongan kawan kau. Kita bukanlah nabi, perfect! Tapi, kita sebagai umatnya boleh cuba untuk mengikut jejaknya dengan cara, memaafkan orang yang dah buat salah. Jangan dibalas dan biarlah hanya Allah yang memberi pembalasannya. Siapa tahu, bila kita maafkan orang itu, dia dapat berubah menjadi lebih baik.” Hardee terkebil-kebil mendengar nasihat sahabatnya yang serupa satu tazkirah tak berbayar itu.
            “Ookey...” Kali ini Hardee melihat Rafie dengan pandangan yang semacam. Sejak bila pula kawannya menjadi Pak Ustaz tak bertauliah ini? Rafie tersenyum bersahaja. Dia tahu, pasti Hardee pelik dengan sikapnya.
            “Semenjak aku dapat berita tentang penyakit bapa aku, aku tersedar yang masa kita dekat dunia ini bukanlah lama. Sikit-sikit, aku cuba berubah dan aku ambil keputusan untuk kembali di samping keluarga,” jelas Rafie tanpa menanti Hardee untuk bertanyanya dengan lebih lanjut.

            “Apa yang aku boleh simpulkan, kita ini sebagai manusia tak pernah ada yang sempurna. Apa yang akan kita lalui cumalah perubahan sepanjang kita masih hidup. Jadi, tak salah kalau kawan kau itu beri peluang dekat perempuan itu dan bantu perempuan itu dengan hati yang ikhlas,” kata-kata Rafie membuatkan Hardee mula berfikir panjang. Sememangnya apa yang dikatakan oleh Rafie ada betulnya. Jadi, adakah dia masih mahu meneruskan rancangan untuk membalas dendam terhadap wanita itu atau hanya biarkan saja semuanya berlalu?

background