Advertisement

Rakan-rakan pengikutku

Friday, September 7, 2012

Mini Novel : Penyelamat Cinta bab 15


Bab 15

            SAYUP-SAYUP suara orang membaca yassin kedengaran bergema di ruang tamu yang luas itu. Karmiza tak ketinggalan mahu membaca ayat surrah Yassin ingin disedekahkan pada Akilah. Mungkin sudah memang ajal Akilah tertulis sebegini, kuasa Tuhan siapa kita mampu menghalangnya?
            Wajah Karmiza begitu lesu sekali. Bawah matanya sudah membengkak dek terlalu banyak menangis. Di sisinya ditemani Mizan yang masih diam tidak bersuara. Semenjak pada malam mendapat berita tentang Akilah yang sudah dimasukkan ke dalam wad ICU, Mizan langsung tidak bercakap. Langsung tidak terkeluar suara dari si kecil. Hanya matanya saja tak pernah lepas dari memandang wajah kaku ibu kandungnya. Karmiza jadi risau melihat sikap diam Mizan. Kaget kalau-kalau ada perkara buruk yang terjadi pada Mizan.
            Mata Karmiza berpindah ke satu sudut tidak jauh dari tempatnya. Kelihatan Saifullizan begitu asyik membaca surah Yassin. Dalam diam dia berterima kasih dengan suaminya itu. Selepas mendapat berita tentang Akilah pada malam itu, Saifullizanlah yang membawanya dan menemaninya sepanjang dia berada di hospital.
            Kemudian, matanya menyorot pula melihat wajah Ackiel yang tampak begitu tenang sekali bersama buku Yassin di tangan. Wajah lelaki itu begitu mendung sekali. Di hujungnya kelihatan manik jernih yang hampir tumpah ke pipi. Cepat-cepat tangannya menyeka air matanya. Karmiza jatuh simpati pada Ackiel. Akilah adalah satu-satunya kakak sulong yang dia ada. Hubungan antara dua beradik itu begitu rapat sekali. Sekarang yang tinggal hanya kenangan bersama Akilah dan salah satu daripadanya ialah satu-satunya anak Akilah.
            ‘Mizan...Anak mama bukan keseorangan. Anak mama ada mama, papa dan daddy. Begitu juga dengan atuk dan nenek. Mizan tak keseorangan, sayang...’ Bisik Karmiza seraya matanya memandang wajah kosong Mizan.
            Setelah selesai membaca Yassin, Karmiza menarik Mizan agar mendekatinya. Diusapnya lembut rambut pendek Mizan dan dipeluknya erat tubuh kecil itu. Meruntun hatinya melihat Mizan yang masih membeku dari tadi. Sekali lagi air matanya mengalir laju ke pipi. Teresak-esak Karmiza memikirkan nasib anak kecil yang baru berumur 3 tahun. Dalam umur 3 tahun, Mizan sudah menjadi anak yatim piatu. Betapa kasihannya nasib anak ini.
            Dari jauh, ada mata yang memerhati mereka anak-beranak. Jatuh simpatinya pada anak kecil yang berada di pangkuan isterinya. Sayu melihat wajah Karmiza yang sudah lecun dek air mata yang tidak henti-henti semenjak malam tadi. Lamarannya untuk kembali hidup bersama Karmiza disimpan terlebih dahulu. Pasti isterinya sudah memikirkan perancangan yang perlu dilakukannya untuk Mizan. Dia juga turut bersimpati pada nasib Mizan. Terlalu besar dugaan anak kecil ini. Kehilangan ibu bapa ketika umur masih baru mengenal erti dunia, dia sudah ditinggalkan oleh kedua ibu bapa kandungnya.
            ‘Aku akan jaga Mizan dan anggap Mizan macam anak aku sendiri. Aku janji, Mizan takkan pernah merasa dia kehilangan orang tuanya kerana aku akan menjadi pengganti mereka.’ Tekad Saifullizan dalam hati. Sudah disimpannya niat untuk mengambil Mizan sebagai anak angkatnya. Malah, dengan hubungan yang terjalin antara Karmiza dan Mizan, tidak salah kalau dia menjadi sebahagian daripada hidup anak itu. Dia akan pastikan yang Mizan takkan pernah kekurangan kasih sayang. Itu janjinya.
            “Miza, bawaklah Mizan cium ibunya buat kali terakhir.” Bisik Puan Sakinah di cuping telinga Karmiza. Karmiza memandang sayu pada wajah wanita tua itu. Karmiza terkesan air jernih yang bakal jatuh dari mata wanita tua di sebelahnya. Begitu sesak nafasnya melihat kesedihan seorang wanita yang bernama ibu. Puan Sakinah memendam rasa dan menyimpan kemas perasaannya. Nampak sahaja wanita tua itu tabah mendapat berita tentang kematian anak sulongnya, tetapi hakikatnya hati orang hanya Allah yang tahu lebih-lebih lagi hati seorang ibu.
            Puan Sakinah mencium lembut dahi anaknya buat kali terakhir. Diusapnya wajah Akilah yang tampak begitu tenang sekali. Apabila matanya sudah hampir mahu menitiskan air mata, cepat-cepat dia berpaling tidak mahu air mata itu jatuh ke atas tubuh anaknya. Takut mayat anaknya terseksa. Kemudian, giliran Tuan Aqil pula mencium dahi satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Wajah Tuan Aqil juga begitu mendung sekali. Bapa arwah Akilah mengengsot sedikit bagi memberi ruang untuk anak lelakinya pula.
            “Ackiel akan jaga anak akak baik-baik. Akak jangan risau. Papa dia akan jaga dia sebagaimana akak jaga Mizan selama ini.” Ackiel menjatuhkan bibirnya pada dahi Akilah. Lama bibir itu mendarat di dahi Akilah. Karmiza tertunduk menahan rasa sedih yang mencengkam benaknya. Dia tahu Ackiel begitu sukar untuk melepaskan kakaknya pergi. Tetapi apakan daya, sudah tersurat takdir Ilahi. Akilah akhirnya pergi meninggalkan dunia fana dan tiada lagi rasa terseksa menanggung penyakit yang dialaminya.
            “Mizan...jom teman mama cium ibu buat kali terakhir,” Karmiza bersuara ingin Mizan mendekati Akilah. Digamitnya tangan si kecil agar mendekati tubuh ibunya. Mizan hanya menurut tanpa membantah.
            “Cium dahi ibu, sayang...” Karmiza memujuk Mizan untuk mencium ibunya buat kali terakhir. Seperti tadi, anak kecil itu diam tanpa berbunyi. Apabila disuruh, diikutkan saja kehendak Karmiza. Sekejap bibir kecil itu singgah di dahi ibu kandungnya. Karmiza juga tidak mahu ketinggalan. Bibirnya singgah sekejap di dahi Akilah.
            “Kalau akak terpaksa meninggalkan dunia ini, boleh tak kalau Miza ambil alih tugas akak dengan menjaga dan mendidik Mizan sampai dia dewasa? Sampai dia kenal apa erti dosa dan pahala, sampai dia menjadi seorang manusia yang berguna baik di dunia dan di akhirat kelak?” Masih terngiang-ngiang lagi permintaan Akilah di fikirannya. Mengingatkan permintaan Akilah, Karmiza sudah mula merancang untuk melunaskannya. Lagi pula, Mizan dan dirinya merupakan muhrim yang sah. Mizan anak susuannya maka tiadalah halangan baginya untuk menjaga anak kecil itu dan menganggap Mizan seperti anaknya sendiri.
            Jenazah sudah pun bersiap sedia untuk diusung ke tanah perkuburan. Sudah tiba masanya jenazah dikuburkan. Ramai pihak lelaki membantu membawa keranda jenazah untuk ke sana. Salah seorang daripadanya ialah Ackiel sendiri. Dia mahu memberi hormat kali terakhir buat kakaknya dengan menghantarnya hingga ke tanah perkuburan.
            Sewaktu jenazah sudah diusung keluar dari rumah, tatkala papan keranda sudah berada di bahu setiap pembawa jenazah, tiba-tiba Mizan yang lama berdiam diri dari tadi melangkah keluar dari rumah. Karmiza kaget melihat Mizan yang tiba-tiba meluru keluar. Karmiza turut berlari ke luar rumah.
            “Ibu! Ibu...” Jerit si kecil. Betapa meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihat keadaan anak kecil yang telah pun digelar yatim piatu. Kanak-kanak kecil yang masih baru belajar tetap tahu tentang kehilangan ibu kandungnya. Semua rasa hiba melihat Mizan yang berlari mengejar kumpulan pembawa jenazah itu.
            “Ibu...ibu...” Itu sahaja panggilan di bibir mugil si kecil. Karmiza sedaya upaya mempercepatkan langkahnya dan menarik Mizan ke dalam dakapan.
            “Mizan...Anak mama...” Karmiza memeluk erat tubuh Mizan. Wajahnya sudah lecun dek air mata yang mengalir sahaja. Dadanya begitu terluka melihat satu-satunya anak susuannya memanggil panggilan ibu yang tak mungkin bersahut. Teresak-esak Karmiza menangis di luar perkarangan rumah milik Puan Sakinah dan juga Tuan Aqil. Saifullizan yang menjadi pemerhati dari tadi turut mengalirkan air mata lelakinya. Sudah semestinya dia faham perasaan yang dialami Karmiza kerana dia dan juga Karmiza tidak punya sesiapa di dunia ini. Cuma Saifullizan lebih beruntung berbanding Karmiza. Kehadiran Haji Mukhri pengubat laranya dan Haji Mukhrilah pengganti ibu bapanya, sedangkan Karmiza...Karmiza hanya sebatang kara. Tiada sesiapa yang dia ada.
            Saifullizan meraup wajahnya. Melihat wajah sembab Karmiza membuat hatinya begitu kasih pada gadis itu. Dilihatnya kedua anak beranak.
            ‘Aku akan jaga mereka bagai aku menjaga nyawaku sendiri.’ Detik hati kecilnya. Anak matanya masih setia melihat adengan kedua-dua insan yang disayanginya.
            Dulu wajah manis itulah yang dibencinya. Sekarang tanpa melihat wajah itu, hatinya akan meronta-ronta kesakitan. Dulu, gadis itulah diseksanya. Sekarang, beribu sesalan yang membelenggu dirinya kerana rasa kasih yang mencurah-curah hanya pada gadis yang bernama Karmiza. Hatinya terseksa sebaik melihat wajah isterinya basah dek air mata. Tidak mahu melihat Karmiza merana sebegitu, Saifullizan pantas melangkah mendekati isteri dan juga si kecil.
            Karmiza terkedu saat tubuhnya dipeluk dari belakang. Saifullizan memeluk kedua-duanya sekali. Dia juga mengalirkan air mata tanpa rasa malu.
            “Abang akan jaga Miza dan juga Mizan. Abang janji!” Luah Saifullizan dalam sendu. Entah kali berapa air matanya luruh. Karmiza terharu mendengar janji yang telah diputuskan oleh suaminya.
            Di dalam pelukan Karmiza ada Mizan dan dalam pelukan Saifullizan ada mereka berdua. Karmiza berasa begitu selamat berada di pangkuan suaminya. Walaupun dulu suaminya pernah bersikap kejam, tetapi sekarang dia pasti Saifullizan sudah menginsafi perbuatannya.
            “Abang takkan sia-sia hidup kamu berdua. Miza dan Mizan sangat bermakna dalam diri abang. Kamulah nyawa abang sekarang.”
            Dari jauh sepasang mata sudah lama berendam air mata. Hatinya berdetik sesuatu.
            “Kak...mungkin inilah hikmahnya. Kerana akak, mereka bersatu. Kerana akak, Karmiza kembali ke pangkuan suaminya dan kerana akak, Mizan ditemukan kehidupan yang baru.” Ackiel menyeka air matanya bersama rasa syukur melihat sepasang suami isteri yang kembali bersatu. Dan sekarang sebuah keluarga telah tercipta.  

KARMIZA merenung wajah Mizan yang sudah lena di ribanya. Dielusnya lembut rambut si kecil sambil matanya mengamati wajah tenang anak susuannya itu.
            “Sebelum Akilah meninggal, Akilah ada minta mak cik serahkan surat ini pada Karmiza,” Sebaris ayat itu menggamit ketenangannya. Perlahan-lahan Karmiza mengambil surat tersebut dari tangan Puan Sakinah. Wajah Puan Sakinah ditenungnya penuh tanda tanya.
            “Mak cik dah tahu apa isinya. Sekarang, tinggal Karmiza saja yang perlu baca permintaannya ini.” Ujar Puan Sakinah seraya berlalu meninggalkan Karmiza di bilik tetamu. Karmiza membuka lipatan surat tadi dan dalam diam dia membaca baris-baris ayat yang ditulis oleh Akilah sebelum dia pergi.
Kepada sahabat, adik dan juga ibu susuan kepada anakku Mizan,
Sebaik sahaja Miza membaca surat ini kak Akilah pasti bahawa tubuh akak sudah pun dimamah tanah. Hati akak kuat menyatakan hidup akak tak lama, dik. Akak tahu yang Miza akan marah kalau akak cakap macam ini tapi, sudah suratan takdir tertulis begini, akak hanya redha akan ketentuanNya.
Di sini akak nak maklumkan pada Miza bahawa sepanjang perkenalan akak dengan Miza, akak rasa begitu bertuah sekali kerana sempat mengenali Miza dalam hidup akak. Tanpa Miza, Mizan tak mungkin hadir di sisi kita. Dan akak berterima kasih sangat-sangat kat Miza kerana sanggup menjadi ibu susuan untuk anak akak tu. Terima kasih sekali lagi, Miza. Jasa Miza tak sempat akak nak balas. Jadi, kerana itu akak mahu Miza menunaikan permintaan akak ini. Dulu sudahpun akak memaklumkan pada Miza supaya menjaga dan mengambil alih tugas akak sebagai ibu kandung Mizan. Jadi akak berharap Miza tunaikan permintaan akak. Mizan perlukan Miza, dik. Mizan perlukan belaian seorang yang bergelar ibu dan yang lebih berhak itu hanyalah Miza seorang. Mizalah wanita yang paling dekat dengannya. Wanita yang sanggup memberi kasih sayang kepadanya dan akak pasti Allah memberi dugaan kepada Miza kerana mahu Miza menemui kebahagiaan kelak.
Pertama kali Miza bertemu dengan akak, akak ingat lagi betapa mendungnya wajah Miza. Miza diuji dengan hebat sekali. Tetapi, tahukah Miza bahawa setiap ujian yang diberi oleh Allah punya hikmah yang tak ternilainya? Miza kecewa membawa diri hingga ke luar negara. Miza belajar untuk menjadi lebih dewasa malah Miza berjaya memboloskan diri dari kepompong kecil hingga menjadikan Miza seorang bakal doktor yang berjaya. Tidakkah Miza sedar akan semua perancangan Allah yang sangat rapi ini?
Miza...tempat isteri itu adalah di sisi suaminya. Mungkin pada asalnya suami Miza bersikap kejam pada Miza. Tetapi, kerana kejadian hitam itu, Miza hadir ke dalam hidup akak. Miza muncul memberi bantuan dan telah menjadi seorang ibu tanpa melahirkan seorang anak. Miza sudah punya satu lagi tanggungjawab besar. Oleh kerana itu, akak berharap sangat kalau Miza boleh jaga Mizan seperti anak Miza sendiri. Tolong jaga Miza untuk akak ya,dik? Dan adik...Mizalah penyelamat hidup akak. Mizalah penyelamat hidup Mizan. Tetapi adik nak tahu tak, siapa penyelamat kita semua? Sebenarnya, semua yang berlaku itu kerana seseorang sahaja. Kerana seseorang itu, hati adik terluka. Kerana terluka, adik bertemu dengan akak dan kerana itu, adik menjadi penyelamat dua insan ini. Semuanya kerana satu-satunya insan yang pernah hadir dalam hidup adik itu. Semuanya kerana suami Miza sendiri, Saifullizan. Dialah penyelamat kita semua. Jangan fikirkan perkara buruk itu akan selamanya buruk kerana boleh jadi buruk itulah madu yang kita cari selama ini.
Sayangilah suami Miza dan hargailah dia. Jangan pernah sia-siakan hidup dia lagi, dik. Cintailah dia sebagaimana kamu menyayangi Mizan. Ingat pesan akak, dik. Akak doakan kebahagiaan adik dan juga Epul. Begitu juga dengan Mizan. Anak itu anugerah Allah. Akak harap Mizan tak keseorangan sahaja. Mizan pun perlukan seorang adik bukan? Eh? Bukan seorang sahaja. Kalau boleh seramai yang mungkin. Amin...
                                                                                                            Ikhlas dari hati akak, Akilah.
            Sekali lagi, luruh juga air matanya sebaik membaca surat daripada Akilah. Diciumnya lama sepucuk surat itu dan diletaknya pada dada bagai memeluk erat si pemberinya. Namun pada hakikatnya si penulis surat sudah tiada lagi. Karmiza jadi begitu hiba apabila memikirkan pesanan Akilah itu.
            ‘Penyelamat? Ya! Mungkin dialah penyelamat kita semua, kak. Mungkin Epullah penyelamat saya dan kerana itu, saya perlu menyelamatkan cinta ini. Kerana dia sudah pun melakukan tanggungjawabnya. Dia hadir semula demi menyelamatkan cinta kami, hubungan kami. Kak...Terima kasih atas pesanan akak ini. Miza takkan pernah sia-siakan abang Epul lagi. Miza janji!’
            Hati Karmiza kembali meruntun hiba. Karmiza tersedu-sedan menangis tanpa henti. Sempat lagi dia menitipkan doa buat Akilah kerana hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan demi kesejahteraan Akilah di sana.
            Dalam diam, lama Saifullizan memerhati Karmiza di sebalik pintu. Dadanya sesak melihat wajah Karmiza yang kembali berduka. Tidak tertahan hatinya melihat Karmiza menangis kembali. Lantas, ditolaknya daun pintu dan dia masuk ke dalam bilik dengan langkah yang perlahan.     
            Saifullizan memeluk tubuh Karmiza dari belakang. Tersentak Karmiza dibuatnya. Langsung dia tidak perasan akan kehadiran Saifullizan di situ. Namun, di satu sudut hatinya, dia berasa tenang bila dipeluk sebegitu. Bagaikan ada suatu kuasa yang luar biasa masuk menerombos ke dalam dirinya. Kuasa yang mampu menguatkan dirinya.
            “Abang akan sentiasa berada di sisi, Miza. So, please cup cake...Jangan hanya menangis sendiri. Biarlah abang temankan Miza, ya? Abang tak nak Miza menangis lagi. Sudahlah sayang. Semua yang telah pergi takkan kembali tetapi kita yang masih ada di sini, perlulah meneruskan kehidupan kerana kitalah saja yang mampu membantu memberi doa kepada mereka. Mendoakan kesejahteraan mereka di sana.” Pujuk Saifullizan bagi meleraikan tangisan Karmiza.
            Tangisan yang berlagu tadi sudah mula ada tanda-tanda mahu berhenti. Saifullizan melepaskan pelukan dan duduk di sisi Karmiza. Disekanya bekas air mata di pipi Karmiza. Lantas, satu senyuman lebar di hadiahkan pada Karmiza.
            Saifullizan mengalihkan pandangan pada wajah Mizan yang sudah lena tertidur di riba Karmiza.
            “Kita mulakan hidup baru ya cup cake?” Pinta Saifullizan lembut. Karmiza merenung wajah Saifullizan lama. “Kita kembali hidup seperti dulu, ya? Tetapi sekarang kita dah ada orang baru. Hidup kita ditemani Mizan. Kita takkan sia-siakan Mizan. Abang takkan sia-siakan Miza dan Mizan. Abang janji.” Saifullizan mengangkat tangannya seperti bersumpah.
            Karmiza masih belum bersuara. Matanya masih lama memandang wajah suaminya. Dia menghelakan nafas panjang. Kemudian tangannya menggamit tangan Saifullizan. Diciumnya penuh lembut tangan si suami dan diletaknya pada pipinya.
            “Kita akan mulakan hidup baru. Miza tahu abang akan membahagiakan kami berdua,” Karmiza mula bersuara. Karmiza tidak meneruskan katanya. Dia membiarkan ayatnya tergantung sebegitu. Lama mindanya berfikir. Sedetik kemudian, dia menarik tangan Saifullizan dari pipinya. Digenggamnya erat tangan kasar Saifullizan dan diusapnya penuh dengan rasa kasih.
            “Kita akan bersatu tak lama lagi.” Ujar Karmiza pendek. Mendengar sebaris kata itu membuatkan wajah Saifullizan berubah serta-merta. Dadanya berdebar-debar tatkala mendengar kata-kata Karmiza yang penuh tanda tanya itu. Apa maksudnya?
            “Kenapa Miza cakap kita ‘akan’ bersatu tak lama lagi?” Ditekannya perkataan ‘akan’ kerana tidak faham maksud disebalik ayat isterinya itu.
            “Kita akan bersatu tak lama lagi tetapi dengan syarat.”
            “Syarat?” Berkerut wajah Saifullizan dengan kata-kata yang terluah dari bibir Karmiza. Syarat? Apakah syarat yang Miza mahu dia tunaikan?

8 comments:

  1. Best tapi sedihnya... π_π
    Apa syarat yang Miza bagi pada Epul??? o_O

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehee...Thanx yang...tp sorry die pnya bm agak tnggn lngngg...mklmla..da lma x mnulis..huhu...Syrat apa? kna la tggu... :)

      Delete
  2. kecian kat mizan...tapi best cerita...dah lama tunggu entry pc nie..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ainaa Mastura...ksiankan? kcik2 da jd ank ytim piatu...huhu...Thanks sbb snggup tggu..:)

      Delete
  3. ohsemmm laaaaaa.................
    nk lagi..hehe

    ReplyDelete

background

Title bar