Bab 14
ALINIYA
masih tetap tidak dapat tidur dari tadi. Dia berpusing ke sebelah kanan dan tak
lama selepas itu mengiring pula ke sebelah kiri. Dia bangun dan menyandar di
kepala katil. Dibukanya lampu tidur di sebelah dan diambilnya jam loceng yang
sudah disetkan masanya untuk dia bangun pada waktu sebelum subuh nanti.
Dia akur
dengan arahan Hardee untuk menjadi orang gaji di situ. Dia tidak kisah tentang
itu semua. Lagipun, memang dia mahu berbuat sebegitu. Baginya dengan cara
begini saja mampu mengurangkan rasa serba salah dia pada Hardee. Dia tidak mahu
hidup senang-lenang tanpa melakukan apa-apa kerja di situ. Sudahlah lelaki itu
tidak menyukainya walaupun dia sudah bergelar isteri buat lelaki itu. Jadi, ini
sajalah caranya. Dia tidak mahu berhutang apa-apa dengan suaminya itu.
Anak
matanya memandang jam loceng tadi dan kedengara keluhan dari bibir munggil itu.
Waktu sudah menginjak pukul 1 pagi tetapi dia masih belum dapat tidur juga.
Ingatkan selepas solat isyak dia akan terus tidur tetapi matanya tetap berdegil
dan masih terasa segar.
Aliniya
menyelak selimut dan turun dari katil. Dia menekan butang pada alat kawalan
penghawa dingin dan menutup suisnya. Dia keluar dari bilik dan melangkah ke
arah dapur. Seperti biasa dia mencari bahan-bahan untuk membuat kek. Kali ini
dia mahu cuba membuat kek cawan pula. Setelah selesai menyediakan segala
peralatan dan bahan untuk membuat kek cawan, Aliniya pantas saja memulakan
kerjanya.
Dalam
masa setengah jam adunan bahannya sudah siap, hanya tinggal untuk kek cawannya
dibakar sahaja. Aliniya menyimpan adunan bahan tadi ke dalam ketuhar dan
disetkan suhu sehingga 180 darjah selsius. Setelah selesai, matanya terarah
pada jam dinding ingin mengira masa untuk kek cawannya itu masak. Sementara
menunggu, dia menyediakan pula bahan untuk dijadikan sebagai hiasan di atas kek
cawannya nanti.
Sebaik
mendengar bunyi detingan dari ketuhar tadi, Aliniya pantas mengambil sarung
tangan dan mengambil tray kek
cawannya keluar. Hidungnya menghidu bau aroma kek cawannya dan bibirnya mula
tersenyum panjang. Nasib baik kek cawannya menjadi. Kalau tidak, sia-sia saja
dia membuat kek cawan pada pagi-pagi buta itu. Dia betul-betul berterima kasih
dengan Ema yang telah memberikan resepi untuk membuat kek cawan itu petang
tadi. Memang mudah saja untuk menyediakan kek cawan rupanya. Jadi bolehlah kek
cawan ini dihidang untuk sarapan pagi nanti.
Aliniya
membiarkan kek cawannya untuk sejuk seketika dan tidak lama sesudah itu, dia
memulakan dekorasi pada kek cawannya. Aliniya begitu fokus menghias kek cawan
sehingga tidak sedar akan sepasang mata yang sedari tadi memerhati segala
kelakuannya.
Mata Hardee
memandang kesemua peralatan yang sudah diguna oleh Aliniya untuk membuat kek
cawannya tadi. Hairan Hardee melihat sikap Aliniya yang tidak pernah
diketahuinya selama dia hidup bersama wanita itu.
“Apa
yang aku boleh simpulkan, kita ini sebagai manusia tak pernah ada yang
sempurna. Apa yang akan kita lalui cumalah perubahan sepanjang kita masih
hidup. Jadi, tak salah kalau kawan kau itu beri peluang dekat perempuan itu dan
bantu perempuan itu dengan hati yang ikhlas,” terngiang-ngiang kata-kata Rafie
sejak dari tadi. Dilihatnya kesungguhan Aliniya dalam melakukan kerja menghias
kek cawan membuatkan lelaki itu teringat akan sesuatu.
‘Jadi
memang betullah dia yang buat kek Red velvet malam itu. Sungguh aku langsung
tak dapat percaya yang dalam diam, Niya sebenarnya berbakat dalam bidang
memasak. Tapi, sepanjang aku hidup bersama dia tak pernah pun aku tengok dia
pengang senduk ke kuali ke,’
‘Itu
maksudnya kau tak pernah nak ambil tahu pasal isteri kau!’ Sindir bisikan
hatinya pula.
‘Tidak!
Memang Niya yang dulu tak gemar ke dapur. Cuma semenjak wanita itu sembuh dari
penyakit mentalnya saja aku dapat tengok dia masak semua benda ini,’ dalih satu
lagi bisikan hatinya.
‘Kesimpulannya,
apa yang Rafie katakan tadi ada betulnya. Kenapa kau tak berikan peluang pada
perempuan itu? Selalunya semua perkara yang berlaku ini pasti ada hikmah di
sebaliknya. Cuma kita masih tak tahu apa hikmah itu,’ bisikan hati mula
menasihati dirinya sendiri.
Bagi
Hardee, hukuman Hardee pada Aliniya tidaklah begitu berat. Dia menyeksa wanita
itupun ada hadnya. Lagipun, dia bukanlah seorang manusia yang kejam dan tidak
berperikemanusiaan. Dia masih tahu batas-batasnya. Hukuman yang diterima
Aliniya tidak setimpal dengan apa yang sudah wanita itu lakukan pada
keluarganya. Kalau terlalu diikutkan perasaan amarah dan dendam, pasti saja
wanita itu mati di tangannya. Mujurlah dia masih ada iman dan dia mampu
mengawal dirinya.
“Awak
nak rasa tak?” Terangkat bahu Hardee terkejut dek teguran secara tiba-tiba
daripada wanita itu. Membulat matanya memandang wajah selamba Aliniya. Hardee
mengetap bibir menahan geram dengan kerenah Aliniya yang sering membuat dia
terkejut.
“Kau ini
suka buat aku terkejut. Nak buat aku mati sakit jantung ke apa?” Bebel Hardee
membuatkan Aliniya mencebik. Dia tidak hairan dengan kata-kata Hardee dan masih
juga tangannya menyuakan kek cawan yang sudah dihiasnya tadi.
Hardee
melihat kek cawan di tangan Aliniya dan sempat juga hatinya berasa kagum dengan
kreativiti wanita itu.
“Sejak
bila kau dah pandai masuk dapur ini? Selalunya ‘mem besar’ macam kau takkan
jejak dapur ini,” masih juga Hardee mahu menyakiti hati wanita itu.
“Semenjak
saya tak ingat diri saya ini siapa. Apa yang saya tahu, saya suka bila berada
di dapur ini. Macam-macam benda yang saya boleh buat dan masak. Naluri hati
saya yang membawa saya ke sini,”
“Nah!
Cubalah rasa kek cawan ini dulu,” sambung Aliniya setelah melihat Hardee yang
diam tidak membalas kata. Aliniya menayangkan senyuman ikhlas ingin cuba untuk
melembutkan sekeping hati yang keras milik Hardee.
Belum
pun sempat tangan Hardee ingin menolak, tangan Aliniya pantas mencubit sedikit
kek cawan dan disuapnya pada mulut Hardee. Habis sisa krim tercalit di hujung
bibir lelaki itu membuatkan Aliniya tertawa kecil.
“Apa
yang kau seronok sangat? Berani kau buat macam itu dekat majikan kau ya?” dalam
rasa marah dan geram, Hardee cuba untuk mengawal suaranya agar tidak didengari
oleh pembantu rumahnya yang lain. Lagipun, sekarang sudah menghampiri pukul 2
setengah pagi. Dia tidak mahu mengganggu tidur pembantu rumahnya.
“Saya
gelak sebab ini,” spontan jari Aliniya mengelap krim di hujung bibir Hardee.
Sedar yang kelakuannya sudah melebihi batas, jari Aliniya kaku tidak bergerak.
Hardee juga tergamam ketika itu. Masing-masing terdiam dan kedua-duanya berpandangan
antara satu sama lain. Tanpa sedar, di antara mereka hadir satu perasaan aneh
yang masih belum ada kepastiannya lagi.
Perasaan
itu membuatkan Aliniya berasa gementar. Dadanya berdetak laju sehinggakan dia
mampu mendengar rentak degupan jantungnya. Pantas saja dia menjauhkan tangannya
dari bibir lelaki itu.
“Nn...
nah!” Aliniya memberikan kek cawan yang berada di tangannya pada Hardee. Apa
yang berlaku tadi serasa seperti pantas sehinggakan Hardee menurut saja dan
mengambil kek cawan dari tangan Aliniya.
Hardee
terkebil-kebil seolah-olah baru sedar dari mimpi. Wajahnya terasa sedikit
berbahang. Tatkala melihat Aliniya yang mula beredar, spontan saja tangannya
menangkap pergelangan tangan wanita itu. Aliniya terdorong menghadap Hardee kembali.
Masing-masing terpaku apabila wajah kedua-duanya berada
begitu hampir. Aliniya mula menggelebah dan cuba menjauhkan wajahnya dari
Hardee. Namun, pantas saja lelaki itu menahan dengan mengeratkan lagi
genggamannya, tidak mahu Aliniya bergerak walau seinci pun. Aliniya telan liur.
Dirasakan seluruh darahnya telah mengalir ke wajah menyebabkan mukanya terasa
sedikit berbahang.
“Esok... bangun awal pagi sesudah subuh. Aku nak kau...”
sengaja Hardee menghentikan katanya membuatkan anak mata Aliniya membulat tidak
percaya. Gerun dia melihat kelakuan Hardee ketika itu. Waktu ini kalau boleh
dia mahu pecut lari daripada Hardee. Dia tidak berdaya untuk menahan detakkan
jantungnya sekarang. Serasa mahu pecah dadanya mendengar kata lelaki itu.
Melihat wajah Aliniya yang kemerahan dek rasa malu
membuatkan lelaki itu semakin berani untuk menyakatnya. Mungkin dengan cara ini
juga dendamnya mampu terbalas.
Hardee mendekatkan wajahnya dan membisik sesuatu.
“Aku belum habis lagi. Aku nak kau sediakan baju kerja
aku dan jangan lupa untuk basuh baju-baju kotor yang bertimbun dalam bilik aku
itu. Itu tugas kau yang pertama perlu kau buat sebagai pembantu rumah aku hari
ini. Faham?”
“Fa... faham.” Laju saja Aliniya mengangguk. Tidak
membantah. Hardee tersenyum herot lalu melepaskan genggaman tangannya pada
pergelangan tangan wanita itu. Dilihatnya wanita itu melangkah laju
meninggalkannya seorang. Sebaik melihat kelibat wanita itu sudah hilang di
sebalik pintu bilik peraduan wanita itu, barulah dia menarik nafas lega.
Hardee menekap tangannya pada dada. Semua ini berlaku
buat pertama kali di dalam hidupnya. Tidak pernah pula dia merasakan perasaan
sebegini sewaktu dia menghadap Aliniya yang dulu.
‘Hardee, kau kena kawal perasaan kau itu. Jangan terlalu
diikutkan sangat perasaan itu. Agenda kau baru bermula. Kau perlu kenali
Aliniya yang ‘baru’ itu dulu sebelum kau memulakan plan kau yang seterusnya,’
PERLAHAN-LAHAN kaki yang menggunakan kasut Stilleto
berwarna merah melangkah dengan penuh gaya. Wanita yang menggunakan kasut
tersebut berhenti apabila melalui kaunter imigresen.
Setelah
urusan imigresen selesai, dia kembali melangkah ingin mengambil beg. Dalam
setengah jam, dia keluar dari balai ketibaan. Langkahnya tidak dihentikan dan
pantas dia menuju ke luar. Waktu subuh sebegini, keadaan lapangan terbang
antarabangsa KLIA masih tetap penuh dengan manusia. Masing-masing kelihatan
sibuk ke hulu ke hilir bersama bagasi mereka.
Wanita
tadi memandang jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 5 pagi, tetapi orang yang
dicarinya masih belum tiba. Dia mendecit geram. Di dalam hati pelbagai sumpah
seranah dilemparnya.
Setelah
anak matanya menangkap wajah yang dikenali, lantas giginya diketap geram. Dia
mengalihkan cermin mata hitam yang dipakainya sejak dia keluar dari perut kapal
terbang tadi. Ingin menutup matanya yang sedikit sembab dek lama tidur di dalam
penerbangan tadi.
“Aku
suruh kau ambil tiket waktu pagi bukan masa pagi buta macam ini!” herdik wanita
itu pada lelaki tadi.
“Ma...
maaf bos. Saya ingatkan bos betul-betul nak datang ke Malaysia dengan segera.
Jadi, saya tempahkanlah tiket yang paling awal sekali,” jawab lelaki itu.
Wajahnya sedikit serba salah bercampur gerun melihat anak mata wanita itu yang
tajam memandang wajahnya.
“Bodoh!
Buat kerja senang pun kau tetap tak faham. Agak-agaklah kalau nak aku datang
sini waktu-waktu macam ini. Kau ingat aku hairan sangat ke dengan keadaan
perempuan gila itu?” suara nyaring wanita itu telah menarik perhatian beberapa
pasang mata di situ.
“Bos.
Sabar-sabar. Maafkan saya. Semua ini memang salah saya. Bos kena perlahankan
sikit suara bos takut jadi viral pula
nanti,” pujuk lelaki itu lagi. Wanita itu mengambil beg tangannya ingin
menghempuk kepala orang suruhannya itu. Namun, perbuatannya terhenti juga
tatkala perasan akan mata-mata yang masih memandangnya. Sudahnya, dia memasang
kembali cermin mata hitamnya dan menyerahkan bagasinya kepada lelaki itu. Dia
membolos masuk ke dalam perut kereta.
Kereta
yang dipandu oleh lelaki suruhannya bergerak laju membelahi waktu subuh tika itu.
“Bos nak
ke mana dulu?”
“Kau
ingat aku dapat pergi ke shopping mall
ke pada waktu macam ini? Bawak aku ke kondo. Aku nak rehat dulu,”
“Baik,
bos.” Jawab lelaki itu pendek. Wanita itu memandang ke luar tingkap dan tidak
lama selepas itu terbit satu senyuman penuh makna di bibirnya.
‘Biar
aku rehat puas-puas sebelum aku buat kejutan untuk si gila itu,’
No comments:
Post a Comment