Rakan-rakan pengikutku

Sunday, October 28, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 40


Bab 40

            SUNGGUH! Aku memang tak sangka dengan apa yang kulihat di depan mata. Dalam hati terbit rasa simpati pada wajah mendung lelaki itu. Aku datang mendekatinya. Perasaan…Perasaanku padanya sudah lama terkubur dahulu. Kini, hanya rasa belas kasihan sahaja yang ada.
            “Kau tak apa-apa, Iz?” Soalku sebaik berdiri di depannya. Wajahnya tampak serba salah tatkala mataku merenung tajam ke dalam anak matanya. Satu keluhan terluah jua. Dia menguak rambut depannya ke belakang. Ternyata wajahnya sudah tidak seperti dulu. Lebih serabut saja aku tengok. Jambangnya juga tidak dicukur rapi seperti dulu. Penampilannya sekarang sudah berubah tidak terurus. Makin menggebu rasa simpatiku pada lelaki ini.
            “Aku tak apalah. Cuma salah faham sikit dengan dia.”
            “Salah faham sikit atau masalah besar?” Aku menduga. Wajahnya tampak pegun seketika. Mungkin tekaanku tepat. Dia punya masalah besar bukan hanya satu salah faham kecil.
            “Kau apa khabar, Iz? Kau dengan Is macam mana?” Aku menyoalnya ingin tahu. Bukan mahu menyibuk tetapi rasa simpati terhadap kawan lama malah, dia juga pernah menjadi kawan yang rapat denganku suatu ketika dulu yang membuat aku berani untuk bertanya.
            “Aku dah cuba sedaya-upaya untuk dapatkan dia kembali. Tapi dia tak nak! Aku cuba untuk bercakap lembut dengannya. Aku suruh dia balik rumah, berdepan dengan mama. Tapi dia tetap berdegil. Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Dua tiga hari yang lepas, aku dapat berita yang dia dah tak berhubung lagi dengan kekasih lama dia tu. Jadi, aku cuba untuk mendapatkan dia kembali, tetapi Nampak gayanya hasil usahaku tak berhasil. Dia tetap tak mahu menerima aku. Aku jadi bengang kalau terusan macam ni.” Tanpa sedar Iz meluahkan isi hatinya padaku. Mungkin sudah terbiasa dengan hubungan kami yang lalu. Sentiasa berkongsi masalah bersama. Aku mengangguk mendengar luahannya.
            “Sabarlah, Iz. Kalau dah isteri kau tu tak bersama dengan kekasih lama dia, tak mustahil kalau dia kembali ke pangkuan kau. Cuma…kau pandai-pandailah ambil hati dia. Mana tahu, kau boleh selamatkan rumah tangga kau. Macam nilah. Oleh kerana kita ni dah lama kenal, kawan rapat…Aku mungkin boleh tolong kau cakap dengan Is tu. Mungkin woman to woman talk boleh membantu?” Dengan ikhlas hati aku menghulurkan bantuan kepadanya. Aku tatap wajahnya dengan penuh keyakinan. Sudah tiba masanya aku membalas kembali apa yang pernah dia lakukan untukku dahulu. Mengambil keputusan untuk melepaskanku di hari pernikahan kami yang lalu adalah sesuatu perbuatan yang tak mampu aku lupakan. Kalau tidak, tak mungkin aku bersama dengan Nick sekarang jika Iz masih berdegil mahu meneruskan pernikahan kami.
            Wajah Iz tiba-tiba berubah. Mulutnya terlopong sedikit bagai tidak percaya dengan apa yang aku katakana tadi. Aku tersenyum lebar.
            “Betul ke kau nak tolong aku, Risya? Betul kau nak bercakap dengan Is, tolong aku pujukkan dia?”
            “Tak salah kalau nak bantu kawan, bukan? Lagipun, aku terhutang budi dengan kau. Kalau bukan kerana kau lepaskan aku masa hari pernikahan dulu, tak mungkin aku akan bersama dengan orang yang aku cintai sekarang. Terima kasih kerana memahami situasi aku.” Bersungguh-sungguh aku ungkapkan ucapan terima kasih padanya dan aku benar-benar senang hati kalau aku mampu membantunya. Setakat berbincang dan mendengar masalah bekas bakal maduku dulu, tak susah mana pun. Lagipun, aku tahu Is sebenarnya lemah lembut orangnya. Cuma egonya saja yang menggunung. Mungkin aku mampu menyelamatkan keadaan rumah tangga mereka berdua.
            “Terima kasih juga sebab sudi mendengar masalah aku. Aku..aku tak tahu nak kata apa.”
            “No problem. Oh,ya! Ni aku nak beri kau sesuatu,” Aku menyeluk beg tangan dan aku keluarkan 1 keping kad jemputan kepadanya.
            “Kad jemputan ke majlis perkahwinan aku.” Iz mengambil kad tersebut dari tanganku. Ditiliknya kad di tangan dan matanya kembali mendarat pada wajahku.
            “Tinggal beberapa hari je lagi,” Ujarnya pendek. Aku mengangguk laju sambil bertemankan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir. Hatiku teruja menunggu saat diijab kabulkan nanti.
            “Tahniah!” Sambungnya lagi. Lalu kad tadi disimpan ke dalam poket baju kotnya.
            “Aku rasa aku kena pergi sekarang. Mama pun dah bising kat rumah. Dah 1 minggu aku tak balik ke rumah.”
            Aku hanya berlagak biasa. Sudah pasti semua itu tiada kena mengena denganku. Iz memanggil panggilan mama bagai sudah terbiasa menyebut panggilan mamanya denganku.
            “Kirim salam kat Aunty dan adik-adik kau ya? Assalamualaikum.”
            “Waalaikummussalam.” Jawab Iz dan kelibatnya mula beredar dari sini. Aku berpaling dan kembali ke dalam restoran. Aku melihat sekeliling. Lama benar Nick ke tandas. Aku duduk semula ke tempatku tadi dan mengambil gelas di atas meja. Aku meneguk air perlahan.
            “Ke mana tadi?”
            Huk!!
            Hampir sahaja air di dalam mulutku tersembur. Cepat-cepat aku ambil kain yang tersedia di atas meja. Bibir yang basah, aku lapkan. Mataku menjengil pada wajah yang menegurku secara tiba-tiba tadi.
            “Amy! Kenapa main sergah-sergah macam ni? Awak tahukan saya tengah minum. Mahu saya tersembur kat muka awak macam mana?”
            “Saya tak kisah. Awak pergi mana tadi? Hilang macam tu je. Lama saya mencari tau?” Aku menggigit bibir.
            “Errmmm...Saya jumpa kawan kat luar tadi. Sebab tulah saya keluar sekejap.” Ujarku teragak-agak. Sekali lagi aku menggigit bibir. Dalam hati berbakul sumpah seranah pada diri sendiri. Kenapa perlu menyembunyikan kebenaran? Kenapa sukar untuk aku berterus terang dengannya tentang pertemuan tak sengaja dengan Iz tadi? Padahal tak lama lagi kami akan diijab kabulkan dan tiada rahsia yang perlu disimpan lagi. Tatkala statusku sudah berubah, secara amnya segala apa yang milikku akan jadi miliknya. Begitu juga dengan rahsia. Aku mengutuk diri sendiri dalam diam.
            “Oh! Ni saya bawakkan pencuci mulut. Pudding caramel kat sini sedap tau.” Nick cuba mengalih topik. Aku menarik nafas lega, tetapi dalam masa yang sama aku berasa hairan dengan kerenahnya. Kalau selalu pasti saja soalan yang akan dikemukakan padaku. Tetapi tidak pula kali ini.
            “Oh,ya ke? Naklah rasa sikit.” Aku ingin mengambil pinggan kecil dari tangannya. Namun Nick sudah pantas menarik jauh dariku. Dia menjelirkan lidah padaku. Macam budak-budak. Nak ikut perangai aku jugalah ni?
            “Kalau nak ambil sendiri. Ni denda awak sebab tinggalkan saya.”
            “Okey! Saya pergi ambil sendiri. Tak kuasalah saya nak makan sikit tu je. Saya nak ambil banyak-banyak. Nanti jangan minta kat saya pula.” Ulasku berjauh hati.
            “Okey!”

DALAM diam Nick mengetap gigi. Tangannya digempal kuat. Angin bayu malam yang menampar pipinya belum tentu dapat meredakan sakit hatinya. Dia jadi keliru dengan perasaan sendiri. Di satu sudut hatinya dia mempercayai gadis itu dan di sudut lain pula, dia rasa dikhianati. Kenapa gadis itu langsung tidak membuka cerita tentang pertemuan dia dan bekas cinta hatinya dulu? Kenapa perlu bersembunyi lagi tentang Iz?
            Nick meraup wajahnya bagi menghilang resah yang menggugat dirinya. Api cemburunya tak pernah surut pun kalau berkaitan dengan Iz. Dia jadi geram dan benci melihat senyuman di bibir Risya tengah hari tadi. Betapa mesranya Risya dan Iz tadi di matanya. Dia jadi sakit hati.
            “Apa yang perlu aku lakukan demi meredakan keresahan ini?” Nick bermonolog sendiri. Dia meramas rambutnya berharap agar kekusutan di kepala mampu berkurangan.
            “Bersolat dan berdoalah agar mendapat ketenangan dari Allah,” Ucap suara yang menegurnya dari belakang. Nick berpaling dan terkedu sebaik melihat wajah tua yang mendekatinya. Nick tunduk tanda hormat pada lelaki tua itu.
            “Setiap kali Nick rasa tak tenang, kembalilah kepadaNya. Nescaya kekusutan diri tu mampu berkurangan. Itu sahaja jawapan yang dapat menyelesaikan masalah yang dialami Nick tu.” Ujar lelaki itu lagi dengan tenang. Matanya merenung lembut pada wajah si cucu.
            “Resah sebab tak lama lagi kamu dah nak jadi suami orang?” Soalnya pula. Nick masih berdiam diri. Masih mahu menyimpan gelodak di dalam hati. Tidak mahu membimbangkan atuknya itu. Wajah Tok Idham dipandangnya sekilas. Sejurus itu, dia mengalihkan pandangan pada langit yang kelam.
            “Mungkin,” Itu sahaja kata yang mampu diungkapnya. Tok Idham tersenyum lebar. Bahu cucunya ditepuk lembut.
            “Pergilah. Tunduk padaNya. Tok harap keresahan hati tu dapat hilang serta merta. Insya-Allah.” Nick hanya mengangguk dan beredar dari veranda.
            Wajahnya diraup setelah selesai menghabiskan doanya yang panjang. Lama dia berteleku di atas sejadah. Ditatapnya jam di dinding. Sudah menginjak 3 pagi. Tinggal 2 hari lagi dia akan bergelar suami pada gadis yang bernama Nur Erisya Kamal.
            ‘Ya Allah...Janganlah terjadi apa-apa yang bakal menghalang rancangan kami untuk disatukan nanti. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar.’ Pintanya dalam hati. Di dalam hati, dia memperbanyakkan istighfar bagi menghilangkan rasa cemburu yang membara. Sesudah itu dia kembali bermunajat pada Ilahi. Memohon agar semuanya akan berjalan dengan lancar.
            Nick meletakkan songkoknya di atas meja. Dia melabuhkan punggung di sofa bersebelahan. Lama fikirannya menerawang sehingga dia tersedar akan sesuatu.
            “Aku harus lakukan sesuatu. Ya! Aku perlu tahu itu. Aku kena lakukan sesuatu bagi mencapai satu kepastian bagi persoalan di minda aku ni. Dan hanya ada seorang yang mampu membantu aku,” Sekali lagi Nick bercakap dengan diri sendiri.
            “Haris!”

AKU menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Darah gemuruhku membuatkan tanganku berpeluh sejak tadi. Aku mengambil tisu di tangan kak Hasnah.
            “Tak lama lagi dia dah jadi milik orang,” Kak Hasnah sudah mula mengusikku. Makin disakatnya pengantin sepertiku sementelah tidak lama lagi aku akan diijab kabulkan. Aku menjeling tajam padanya. Dia mengekek ketawa, tahu keadaan diriku yang kian berdebar menunggu saat menjadi isteri Nik Emil Nik Baharuddin. Aku menilik jam di atas meja. Tak lama lagi pengantin lelaki akan sampai ke mari.
            “Isya..Pengantin lelaki dah sampai. Keluarlah sekarang,” Tegur ibu dari luar kamar. Tersembul wajah ibuku di pintu. Betul sangkaanku. Nick dan rombongan lelaki sudah pun sampai ke sini. Majlis akad nikah diadakan di rumahku, Miri. Seterusnya majlis persandingan akan diadakan di Kuala Lumpur nanti.
            “Risya...hensem jugak laki kamu,ya?” Seorang lagi sahabatku, Tina yang berbangsa Lumbawang itu datang mendekatiku sebaik sahaja ibu menghampiriku. Di sebelahnya pula, ada seorang wanita yang bertudung sambil membawa sebungkus hadiah juga menghampiri diriku. Aku menjerit sebaik melihat 2 orang sahabatku yang baru sahaja menampakkan muka.
            “Tahniah! Akhirnya kau bersatu juga dengan kekasih hati,” Ujar sahabatku yang bertudung tadi. Aku tersenyum malu apabila mendengar kata Eun itu. Tina juga tersenyum lebar sambil menarik tanganku dan menggenggamnya erat.
            “Mak aii..Cik Kiah kita ni berpeluh sakan. Basah tangan sebab gementar mau jadi isteri orang ya?” Sekali lagi aku menjadi bahan usikkan mereka. Makin bingit bilikku dengan kehadiran sahabat-sahabat dan juga saudaraku. Farina yang kepoh juga turut bersama denganku di dalam bilik ini.
            “Tengok muka macam selamba badak. Tapi dalam hati macam geruda!” Farina pula membuka bicara. Aku menjeling tajam pada Farina.
            “Dah dah...Nanti lambat pula ijab kabulnya. Pengantin perempuan kena keluar sekarang. Mana pengapitnya? Sila bantu pengantin kita ni,ya? Takut ada yang tersadung pula masa nak naik pelamin.” Ibu turut sama mengusikku. Aku menepuk peha ibu sebelum berdiri mengikuti pengapitku. Siapa lagi kalau bukan kak Hasnah. Farina awal-awal sudah menolak tidak mahu menjadi pengapitku gara-gara mahu menjadi tetamu sahaja. Dia lebih rela menyibukkan diri dengan hidangan di hari perkahwinanku daripada melayan diriku selaku pengapit. Sudahnya aku meminta kak Hasnah untuk hadir ke Miri dan menjadi pengapitku di hari pernikahan dan juga semasa majlis persandingan nanti.
            Aku bergerak secara perlahan agar tidak tersalah pijak. Tidak mahu adengan yang pernah terjadi dulu berulang semula. Momen ketika aku terpijak kain dan akhirnya pertemuan pertama kali dengan Nick menerjah minda. Di saat itu, aku tak pernah melupakan adengan secara tidak sengaja itu. Tercetusnya pergaduhan dan akhirnya pertemuan demi pertemuan kian terjadi. Betapa lucunya aku rasakan apabila meningatkan kembali pertemuan singkat antara diriku dan Nick dahulu. Sememangnya pertemuan yang bermula secara tidak sengaja dan seperti takdir sahaja kami sering berjumpa. Dan akhirnya, inilah jawapan bagi setiap pertemuan itu. Dialah jodoh yang diutuskan oleh Allah untuk berdampingan denganku di dunia juga di akhirat. Insya-Allah.
            Aku mengambil tempat di pelamin yang cukup sederhana. Dihiasi dengan bunga-bunga mawar putih, bunga kegemaranku. Bantal pelamin dijadikan tempat dudukku. Melihat pada gubahan bunga mawar tadi membuatkan aku terfikir sesuatu. Anehnya. Gadis yang dulunya mengaku tidak gemarkan bunga, menjadi pemilik kedai bunga. Aku menyimpan tawa apabila menyedari hakikat itu.
            Aku panggung kepala dan di depan mataku hadir seorang jejaka yang tampak begitu kacak memakai baju melayu berwarna putih krim. Kini, apa yang aku impikan selama ini akhirnya terjadi juga. Melihat wajah kacak pasangan yang bakal menjadi suamiku dengan berbaju melayu berwarna putih krim. Sememangnya ramai mengimpikan sedemikian. Wajah Nick begitu tenang sekali bersama senyuman yang tak lekang di bibir. Aku jadi terpukau melihatnya.
            Lama Nick merenung wajahku. Rasa darah menyerbu ke muka. Aku tunduk dek rasa malu ditenung sebegitu. Dadaku berdegup kencang macam rasa nak jatuh pun ada. Mana tidaknya, gementar ratu sehari kan?
            “Sah? Sah!” Tiba-tiba sahaja suara ramai menyentak lamunanku. Aku kembali memanggung kepala. Melihat ramai yang sudah menadah tangan berdoa, aku turut sama mengangkat tangan.
            “Kau dah selamat jadi isteri Nick. Alhamdulillah.” Bisik Kak Hasnah menyedarkanku. Seraya tadi aku mengelamun sampai tak sedar bahawa Nick sudah meluahkan kata lafaz. Aku menelan liur. Mak aihh...aku dah jadi bini orang dalam sekelip mata saja.
            Sesudah mengaminkan doa, Nick mengampiriku. Diambilnya kotak baldu berwarna merah di tangan Haris dan dibukanya. Suasana terang benderang sebaik lensa kamera giat beroperasi. Perlahan-lahan, Nick menarik tanganku dan dipasangkan sebentuk cicin di jari manisku. Aku menilik cincin tersebut. Cincin yang pernah disuakan padaku ketika Nick melamarku di Sabah tidak lama dahulu. Giliran aku pula untuk memasangkan pasangan cincin tadi. Sememangnya gabungan cincin ini mengikat dua hati menjadi satu. Keunikkan bentuk cincin ini melambangkan juga keunikkan cinta kami. Begitu banyak dugaan yang kami lalui dan akhirnya kami bersatu jua.
            Nick menyuakan tangannya untuk aku salam. Aku menarik tangannya dan aku kucup lama. Nick tersenyum bahagia. Aku membalas juga senyuman itu. Jatuh juga mutiara mataku sebaik Nick mengucup dahiku lembut.
            “Sejuk tangan sayang. Jangan risau, Amy ada untuk panaskannya.” Sempat lagi Nick berbisik kepadaku. Aku menjegil mata memandangnya. Ada maksud di sebalik katanya itu.
            “Okey, korang duduk rapat-rapat sikit. Risya, peluklah suami itu. Tak payah nak malu-malu. Dah halal dah tu.” Suara kepoh ibu dah mula mengarah itu ini. Ibulah yang menjadi jurugambar rasmi aku hari ini. Sudah lama ibu mengimpikan menjadi jurugambar di majlis pernikahanku dan impiannya termakbul juga. Dengan senang hati aku merelakan ibu menjadi jurugambarku. Aku tahu minatnya dalam bidang itu. Di tangan ibu, kamera DSLR Canon memang tak jauh pun. Ada saja pose-pose yang ibu mahukan daripada kami berdua.
            Di dalam kesempatan itu, aku mencubit lengannya. “Gatal! Sabar-sabarlah.” Balasku pada katanya tadi dalam nada yang perlahan. Mahu tergelak aku lihat Nick yang tersenyum ‘kurang manis’ gara-gara terkena sepitanku.
            “Amboi...perit juga penangan sayang ni ya? Sukar nak hilangkan rasa perit tu. Memang menusuk ke kalbu.” Sindir Nick yang menahan rasa sakit.
            “Okey. Sekarang pengantin lelaki peluklah pengantin perempuan pula ya?” Arah ibu lagi. Kami menurut sahaja arahan ibu. Langsung tidak memperdulikan senyum usik dari orang lain. Ibu kalau dah pegang kamera, ada-ada saja lagaknya.
            “Semoga cinta kita bersatu selamanya, sayang.” Bisik Nick dalam kesempatan itu. Aku mengeratkan pelukan bersama senyuman bahagia.

AKU terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik air. Sesudah memastikan sesuatu, aku akhirnya kembali semula masuk ke dalam bilik. Dilupakan sebentar pasanganku yang masih menikmati hidangan di luar. Hairan Farina melihat wajah cemasku yang baru muncul di dalam bilik.
            “Kau ni kenapa macam ayam berak kapur ni?” Tegur Farina yang berehat di dalam bilik pengantin. Dia mengambil tisu dari beg tangannya dan dilapnya pada mulut. Memang sah minah ni baru lepas makan. Bunyi sendawa yang baru keluar dari mulutnya pun sudah menunjukkan buktinya.
            “Alhamdulillah,” Farina tidak menyambung katanya tadi sebaik bersendawa.
            “Farina! Kau ada spare tak?”
            “Spare? Spare apa? Spare tayar? Spare part?” Banyak pula soalnya. Aku mendengus geram.
            “Bukanlah! Spare ‘pau’.”
            “Hek eleh! Yang kau nak makan pau masa-masa macam ni kenapa? Takkan dah mengidam kot? Baru je lepas nikah dah ada anak satu dalam perut tu ke?” Farina berjeda. Aku menggerutu kegeraman dengan lawak bodohnya itu. Lalu, aku mencubit pipi tembamnya. Menjerit kesakitan minah itu dibuatku.
            “Bukan dapat anak. Aku dah keguguran dah ni!” Aku masih mahu berteka-teki dengannya. Melopong Farina mendengar omonganku. Aku mengangkat jari telunjuk menghalang Farina daripada membuat kesimpulan sendiri.
            “Aku bendera Jepunlah, ngek!”
            “Ooo...”
            “Ada tak spare? Aku tak beli pula. Aish! Masa-masa macam ni pulaklah dia datang.” Rungutku.
            “Jadi tak dapatlah kau nak menikmati malam pertama kau hari ni, ya? Kantoi.” Kini giliran aku pula yang terlopong mendengar kata Farina.
            “Farina!”


BIBIR tersenyum tidak kena. Nick memandang hairan padaku. Sebelah keningnya diangkat. Aku jadi mati kutu apabila teringat akan kejadian petang tadi.
            “Sayang...Sayang kenapa pakai seluar track aje ni? Dress yang kak Emilda bagi tak pakai ke?” Aku jadi serba salah tatkala teringat akan baju tidur yang dihadiahkan oleh kak Emilda tadi. Memang baju tidur itu begitu seksi sekali memang sesuai untuk digunakan bagi pasangan yang baru mengecapi alam bahtera perkahwinan. Lebih-lebih lagi malam pertama bagi pasangan tersebut. Malam penentuan bagi seorang isteri menjadi hak zahir dan batin untuk seorang suami.
            “Aaa...Hari ni, Erry tak pakai baju tu. Disebabkan hal-hal yang tertentu.”
            “Hal? Hal apa? Memang tak boleh pakai ke?” Soal suamiku lagi. Makin berat untuk aku menyatakan tentang hal petang tadi padanya.
            “Errmm...” Aku cuba untuk mencari alasan yang munasabah agar boleh diterima oleh suamiku. Aku menggigit bibir. Nick bertambah hairan melihat reaksiku yang seperti cacing kepanasan itu. Nick menghampiriku dan aku pula kian menjauh darinya. Langkah demi selangkah, Nick mendekati. Aku pula semakin kebelakang dan berhenti apabila tubuhku dihimpit di dinding dan juga tubuh Nick.
            “Sayang...Sayang cuba sembunyikan sesuatu dari Amy ek?”
            “Se..sebenarnya...Sebenarnya...” Kataku terputus sebaik sahaja wajah Nick kian mendekat. Matanya mula tertutup. Bibirnya pula menghampiri bibirku. Sebelum terjadi apa-apa baik aku halang dia.
            “Sebenarnya kita tak boleh bersama hari ini!” Akhirnya terluah juga perkara yang aku simpan dari tadi. Nick yang baru sahaja mahu bermesra denganku berundur ke belakang. Matanya tajam memandang tepat ke dalam anak mataku.
            “Apa yang sayang cakap ni? Kita tak boleh bersama hari ini?” Aku mengangguk laju.
            “Apa yang sayang cuba sampaikan ni? Amy tak fahamlah.” Suara Nick sudah kedengaran berjauh hati. Semenjak kami sah menjadi suami isteri, Nick pernah meminta kepadaku agar menukarkan panggilan kami. Aku yang sering membahasakan diri dengan Risya sudah bertukar menjadi Erry. Dan Nick pula sudah bertukar Amy. Nama panggilan kami yang kami reka dahulu digunakan. Malah, Nick juga memanggilku dengan panggilan sayang.
            Nick melabuhkan punggungnya di hujung katil. Aku menarik nafas panjang. Di fikiranku, sudah aku susunkan ayat agar dia faham situasi yang aku alami sekarang. Aku turut mengambil tempat di sebelahnya. Tangannya ditarikku dan aku mengusapnya lembut.
            “Hari ini mungkin kita tak dapat bersama. Tetapi, lepas 1 minggu kemudian mungkin dapat.”
            “Kenapa lepas 1 minggu kemudian baru dapat? Amy tak fa...” Tiba-tiba Nick terdiam. Mungkin cuba memahami bait-bait kataku tadi. Sejurus itu, matanya memandang tepat padaku.
            “Hari ini ke? Baru hari ni?” Soalnya sebaik sahaja dia mencerna kata-kataku tadi. Pasti sahaja dia cepat menangkap kenapa aku berkata bahawa kami tidak mungkin dapat bersama hari ini. Aku mengangguk laju.
            Muka Nick tampak begitu sedih sekali. “Hari pertama sudah diduga sebegini. Haii...Apalah nasib?” Nick merebahkan tubuhnya di katil. Aku tergelak kecil. Tidak mahu melepaskan peluang dan ingin turut berbaring di sebelah.
            “Haii..Begitulah dugaan di alam perkahwinan ini.” Ujarku pula.
            “Tapi, itu tak bererti kita tak boleh buat yang ringan-ringan,” Nick pantas memeluk tubuhku erat. Bibirnya mula mengucup pipiku berkali-kali. Rasa geli pula bila diperlaku sebegitu. Aku tergelak sakan apabila tangannya mula menggeletekku. Alahai...Indahnya apabila sudah bergelar yang halal buat si suami. Tidak perlukan batas tatkala segalanya menjadi halal. Apa yang kita lakukan buat suami sama ada menghiburkan hatinya juga sudah membuahkan pahala sebagai balasan.
            Lama kami baring di katil. Masing-masing belum dapat tidur. Nick di sebelah tidak henti-henti membelai rambutku yang sudah panjang. Sempat lagi dia mencium rambut dan memuji rambutku yang sentiasa berbau harum.
            “Habis kita nak buat apa ya?” Soal Nick di sebelah. “Tak dapat nak menikmati malam pertama buat Amy mati kutu pula.” Sambungnya lagi. Aku menghadiahkan satu cubitan lembut di pipinya. Nick membalas dengan senyuman kecil. Dia mengucup lembut pipiku lama. Aku senang bila dia berbuat sebegitu.
            “Hmmm...Apa kata kita main game nak?”
            “Game? Sound interesting.” Sambut Nick di sebelah. Aku bangun dari pembaringan dan duduk di sisinya. Nick juga begitu. Aku beredar ke almari dan mencari-cari sesuatu. Nick hanya melihat saja. Aku menyelongkar barang-barang yang disimpan di dalam almari ingin mencari-cari barang yang aku perlukan ketika ini. Apabila barang yang aku mahu dapat kujumpa, dengan pantas aku mengambilnya dan menutup pintu almari. Aku sorokkan barang tadi di belakang tubuhku. Nick masih menunggu di katil.
            “Kita main UNO! Siapa kalah, kena bagi servis mengurut selama 1 minggu.”
            “Termasuk urutan batin ke sayang?” Aku menampar peha Nick sebaik mendengar gurauan gatalnya itu. Nick mengaduh sakit disambut dengan gelak kecil.
            “Okey...Kalau macam tu, kita lihat siapa yang menang.”
            Akhirnya pertandingan tak rasmi sudah mendapat pemenangnya.
            “Yes! UNO game! Amy menang. Jadi, sayang kena urut Amy selama 1 minggu.” Aku mencebik sahaja. “Cepat...Sayang kena urut Amy sekarang. Haii...Syoknya malam pertama dah kena urut dengan sayang.” Nak tak nak, aku akur juga. Aku mengurut lengannya perlahan. Nick sudah terbaring sedap diurut. Walaupun kalah, tetapi bagiku kekalahan ini aku terima seadanya. Aku rela mengurut suamiku. Sudah hati dilamun perasaan cinta tak kiralah apa yang kita lakukan langsung tiada rasa terbeban pun. Lakukan sesuatu perkara itu dengan ikhlas, nescaya tiada langsung rasa penat dirasakan. Apatah lagi rasa payah. Bila hati sudah rela, semuanya pasti rasa senang.
            Tanganku masih tidak berhenti mengurut lengan Nick. Aku berkalih pula mengurut bahunya. Tiba-tiba Nick menarik lenganku dan kepalaku jatuh pada dada bidangnya. Tangannya pula melingkar pada tubuhnku dan didakapnya erat. Walau matanya sudah terpejam rapat tetapi, dia tetap bersuara.
            “Amy tahu sayang penat juga. Jadi, kita sambung lain hari ya? Dah...Jom tidur. Malam ni, Amy nak mimpi yang indah bersama isteri Amy ni.” Ucapnya lembut di telingaku. Dikucupnya lembut pipiku lama dan dieratkan lagi pelukan pada tubuhku. Aku membalas pelukannya dan tidak mahu mengalah ingin membalas ciumannya tadi. Pipi kirinya menjadi sasaranku. Belum sempat bibirku hinggap ke pipinya, Nick pantas mengalihnya dan bibirku sudah tersasar pada bibirnya pula.
            “Amy! Curi-curi kiss ya?”
            “Eh? Mana ada curi-curi. Isteri sendiri yang dah beri. Kita terima jelah.” Aku tergelak kecil. Pandai betul dia memutar belitkan ayat. Aku tetap mahu mencium pipinya. Nick tersenyum senang.
            “I love you so much sayang. Akhirnya impian kita jadi kenyataan. Sayang hanya milik Amy dan Amy hanya milik Erry seorang. Tak ada orang lain.”
            “I love you too. Love you very much,” Balasku ikhlas. “Good night, Amy.” Sambungku lagi sebelum menutup mata.
            “Good night, my love. Semoga kebahagiaan kita kekal selamanya.”

Wednesday, October 10, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Edited Bab 1

Maaf kalau blog ni dibiar sepi sahaja. Almaklum bahawa saya sudah pun menjadi pelajar semester akhir, jadi tumpuan pada pelajaran lebih diutamakan. Projek juga perlu dikaji segala bahan kerjanya. Jadi, di sini saya nak maklumkan bahawa, entri-entri baru bagi novel2 yg ongoing mungkin akn lmbat update. Maaf ya pembaca sekalian. Tapi, tak biarkan sepi sahaja, saya postkn Bab 1 CYTK yg dah diedit. Semoga korang berpuas hati. ^-^


Bab 1

AKU pandang dirinya yang segak memakai baju pengantin berwarna putih krim itu. Wah! Itu sahaja ayat yang mampu aku fikirkan apabila menggambarkan dirinya sekarang. Namun hatiku berasa sakit melihat dia duduk bersama pasangannya di atas pelamin yang dihias indah. Siapa yang tidak mahu duduk di atas pelamin tersebut ketika bergelar ratu sehari? Tetapi yang duduk di atas pelamin tersebut bukan aku.  Pengantin itu bukan aku. Ya,bukan aku! Perit rasanya melihat orang yang kita cintai sudah dimiliki orang lain.
Mataku beralih melihat pasangannya. Comel! Kedua-dua mempelai itu nampak secocok sekali. Sama-sama comel, bisikku.
            Mataku mula kabur, menunggu saat manik jenih jatuh ke pipi. Namun kutahankan jua. Hatiku pula tak sudah menjerit. Aku cintakan dia! Walaubagaimanapun, sekuat manapun aku menjerit, sedegil mana hatiku mahu membuktikannya, aku tetap di sini. Siapalah diri ini baginya? Aku tidak pernah ada di dalam hatinya. Sekelumit perasaan pun tiada buatku.
            Dek tidak dapat menahan sedih, aku keluar dari dewan tersebut. Aku melangkah jauh dari situ kerana ingin melarikan diri daripada orang ramai yang mula mengerumuni mereka Sanak-saudara kedua-dua pihak sudah mula riuh ingin menangkap gambar bersama-sama pengantin. Tidakku hiraukan. Ah, apa aku peduli? Dirinya tiada kena mengena dengan diriku lagi. Sekarang dirinya sudah bergelar suami orang dan aku tidak ingin menjadi pengganggu rumah tangga orang.
            Aku berhenti di taman di luar hotel tersebut. Aku memandang langit yang gelap dan tenang. Namun, setenang manapun langit, tak mungkin hati ini mampu berubah. Masih resah dan kecewa. Melihat bintang dan bulan yang mengambang membuat hatiku berasa pilu.
Teringat kembali ketika aku masih bergelar pelajar universiti. Dan kenangan bersamanya menerjah minda.
Ketika itu dia ingin bertemu denganku di bawah rumah flat yang aku diami ketika itu.
            “Tengok tu Iz, cantikkan?” Tanyaku padanya sambil mendongak ke dada langit. Dia juga memandang ke atas.
            “Hmmm...cantik!” Itu sahaja jawabnya. Ketika itu hanya kami berdua yang menikmati angin di luar sambil melihat ciptaan Allah yang indah itu.
            “Malam ni bulan penuhlah! Cantik sangat! Kalau ada kamera nak je tangkap gambar,” kami mendongak melihat bulan penuh itu sambil bersandar di kereta orang. Maklumlah, nak ‘dating’ di flat ni, aku tak berani nak pergi kat tempat gelap-gelap. Mujur ada lampu di tempat parking itu, tiadalah orang nak salah anggap pula kan? Tak pasal-pasal kena tangkap basah pula, nanti haru pula jadinya.
            Aku memandang dirinya. Timbul persoalan di hati, keberadaan dirinya di sini. Kenapa dia ingin bertemu denganku malam ini? Aku melihat ditangannya, ada sebungkus biskut tiger dibawanya sekali. Tahu aku memandang barang yang dipegangnya, lalu dia menjawab.
            “Lepas makan tadi, rasa lapar balik,” jawabnya ringkas. Aku tahu dirinya seorang lelaki yang kuat makan. Memang padanlah dengan badannya yang berisi itu. Tingginya pula bukanlah dikatakan tinggi yang ideal bagi seorang lelaki. Dia pendek sahaja tapi tidaklah sependek aku yang berukuran 150cm ini.
            Aku juga tertanya-tanya pada diriku. Kenapa aku menyukai lelaki ini? Sudahlah pendek, dia juga boleh dikategorikan sebagai lelaki sederhana gemuk tetapi punya satu kelebihan. Rupanya. Comel!
 Masih segar diingatan ini di mana dan bila pertama kali kami bertemu. Ketika itu bulan februari, dan tempatnya, KFC! Apabila diingat balik, kelakar pula. Aku melihat dirinya buat pertama kali, aku sudah pun tersangkut padanya kerana rupanya yang comel. Tetapi, selepas aku mengenali dirinya dengan lebih dalam, perasaan teruja mula berubah benci. Aku mendapati dia seorang yang suka ‘flirt’ pada mana-mana perempuan, sehingga membuatkan aku rasa menyampah padanya dan akhirnya aku membenci dirinya kerana sifat kaki perempuannya itu. Memang pantang bagiku kalau mendengar lelaki yang dikategorikan sebagai ‘player’ ini.
            Tetapi kuasa Tuhan, siapa kita untuk menolaknya? Hanya Tuhan sahajalah yang mampu membalikkan apa yang dirasakan oleh diriku terhadap dirinya dan aku mula menerima dirinya.
Ada sesuatu yang telah terjadi kepada diriku. Aku yang pada asalnya mula menidakkan perasaan yang mula berputik, akhirnya membiarkan sahaja perasaan itu menguasai diriku. Hah...Nak buat saspen sikit. Aku tersedar semula dari bayangan masa lalu apabila merasakan sesuatu dalam mulutku.
            Rupa-rupanya, Iz telah memasukkan biskut tiger ke dalam mulutku.
            “Masuk lalat karang baru tahu.” Dia memandang diriku dan tersenyum apabila melihat diriku yang blur semacam.
            “Padan muka!” Kata-kata itu sering terkeluar dari mulutnya jika dia ingin mengenakan diriku yang memang digelar ‘ratu blur’ ini. Tak dapat jadi Ratu Malaysia, jadi ratu ‘Blur’ pun tak pelah. Lalu aku menampar belakangnya.
            “Nak kenakan orang nombor satu!” Kataku sambil mengunyah biskut yang telah dimasukkan ke dalam mulutku semasa tengah berangan tadi.
            “Siapa suruh berangan? Time berangan tu pulak kau dah menganga macam singa lapar! Aku yang lapar, kau pulak yang terlebih kuahnya! Apalah kau ni,Erisya.” Aku memuncungkan mulutku. Tahu diriku telah kalah, lalu terhembur tawanya. Heish!Geram betul dengan mamat yang satu ni! Aku pandang sahaja dirinya. Ish! Ni yang cair ni...Bila pandang dia saja, aku akan teringatkan pelakon Taiwan yang aku minat iaitu Ming Dao. Itulah ayat yang sering aku katakan kepada rakanku apabila teringatkan dirinya di awal pertemuan kami.
            Kembali ke realiti, aku mula bertanya dirinya, “Kenapa nak datang sini?” Dia memandang diriku yang berdiri di sebelahnya sambil bersandar di kereta orang. Harap-harap orang yang memiliki kereta ini tidak datang ke sini. Takut pula kalau dimaki pemiliknya.
            “Saja..” Itu sahaja jawapannya. Aku hanya berdiam diri sahaja. Tak apa. Aku tak kisah pun, malah aku akan lagi suka kalau dia ingin selalu menemuiku.
Memikirkan tentang tali persahabatan antara kami berdua yang baru terjalin selama 4 bulan ini, hubungan ini dirasakan seperti sudah begitu rapat walaupun pertalian persahabatan ini masih baru bermula. Hmmm..mungkin kerana dia mempunyai ramai kawan perempuan kot. Itu yang menyebabkan dia senang rapat dengan mana-mana kawan perempuannya. Aku memang tahu benar tentang sikapnya yang suka memikat perempuan dengan ayat-ayat manisnya. Tetapi aku berasa pelik, kenapa tiada satupun yang melekat dihatinya? Atau mungkinkah dirinya sudah mempunyai pilihan? Hairan. Tidak pula dia ingin mengaku dirinya sudah berpunya, malah desas-desus yang aku dengar daripada kawan-kawanku menyatakan dia memang masih single. Entahlah, dah nama ‘player’kan?
 Semua kawan perempuannya dianggap teman tapi mesra. Malah, dia juga mengaku yang dia tidak pernah pun mempunyai girlfriend semenjak sekolah lagi sampai sekarang. Wah! Hebatnya dia! Biar benar!? Lelaki secomel ini langsung tidak pernah memiliki teman wanita sejak dari dulu lagi?
            Aku berkalih memandang dirinya lagi. Dia pun turut memandang diriku. Kami hanya diam seketika. Berdegup pula hati ini tatkala matanya merenung mataku. Aku memang suka padanya! Tetapi adakah dia tahu aku telah pun menyukai dirinya? Dalam beberapa saat kemudian , dia terus menyuakan paket biskut kepada aku.
            “Suaplah!” kataku yang dah mula naik ulat bulu ini. Aku hanya ingin mengenakan dirinya. Ingin tahu adakah dia berani melakukannya ataupun tidak. Tahu dengan statusnya yang terkenal dengan nama ‘player’ ini, aku mahu mencabarnya. Dan tanpa aku sangka, dia benar-benar ingin menyuap biskut itu padaku. Terdetik juga persoalan dihati, sudah berapa ramai perempuan yang disuapnya?
            “Nah, makanlah! Tadikan nak sangat. Kenapa tutup mulut itu pulak?” tanyanya. Lalu aku terdiam seketika dan tanpa aku sedar secara automatik mulutku terbuka dan menggigit biskut tersebut. Aku pula terkejut dengan reaksiku sendiri lalu mengunyahkan sahaja biskut di dalam mulut. Daripada pandanganku dia seperti sudah biasa melakukannya. Malas untuk berfikir tentang itu, aku mengalih pandangan dan mendongak memandang semula bulan purnama di langit.
Terasa lengan aku dicucuk olehnya di sebelah lalu aku berpaling menoleh ke sebelah. Dia ingin menyuapkan lagi biskut yang baru dikeluarkan dari paket yang dipegangnya. Aku menggeleng tanda tidak mahu kerana rasanya, biskut yang aku makan tadi melekat pula di kerongkong ini. Heish!! Tak pula dia bawak air, hatiku merungut.
            Seperti tahu-tahu sahaja, dia pergi ke arah motorsikalnya lalu mengambil air mineral di tempat penyimpanan barang di bahagian depan tempat duduk. Dia meneguk air yang tinggal sedikit itu. Amboi minum sorang nampak? Satu lagi sikapnya yang aku tidak gemar, dia ini kedekut juga! Susah nak tengok dia mengeluarkan duit sendiri dan belanja orang lain. Kalau nak belanja pun setakat gula-gula atau ais krim itu adalah. Memang kedekut haji bakhil betullah lelaki ini.
            “Oklah, nak balik dah ni,” katanya setelah habis air mineral diteguknya tadi. Aku  hanya mampu menahan kerongkong yang tengah sendat dek makan biskut tiger. Hmph! Sabar jelah. Aku mengangguk dan mengucapkan salam kepadanya setelah dia memulakan enjin motor ingin beredar dari flat ini.
            Jauh benar lamunanku dan akhirnya aku tersedar. Rupa-rupanya begitu banyak mataku mengeluarkan air mata tatkala kenangan lama terimbau kembali. Ya Allah, tolonglah buangkan rasa sedih ini. Cukuplah dengan ingatan yang lalu, aku mahu melupakannya. Dia sudah pun menjadi milik orang. Ya Allah tolonglah hambaMu ini. Tabahkanlah diriku ini dalam mengharungi salah satu dugaan yang telah Kau berikan kepadaku, Ya Allah!
Tanpa sedar seseorang telah melihat Erisya yang masih menangis itu dari jauh. Sudah lama dia berdiri di situ. Hatinya jatuh simpati dengan nasib gadis yang bernama Nur Erisya Kamal.














background