Wednesday, January 16, 2013

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 43


Bab 43

            DARI jauh mataku lama merenung wajahnya. Kelihatannya dia bergelak tawa bersama sahabatnya, Haris di kafeteria hospital ini. Aku mengeluh kecil. Tatap dari jauh pun jadilah. Kalau dekat sangat, terpaksalah menahan pedihnya kata-kata dari bibir suamiku itu.
            Sudah 2 hari Nick berkampung di hospital swasta ini. Doktor masih mengawasi kesihatannya dan mungkin juga dia boleh balik hari ini.
            “Hentakkan pada kepalanya penyebab Encik Nick hilang ingatan. Mungkin perkara ini hanya sementara sahaja. Cuma masa yang menentukan segalanya. Jadi, Puan Erisya tak perlulah risau sangat dan perlu banyak-banyak bersabar dalam melayan kerenahnya. Encik Nick hanya mampu ingat sebahagian sahaja dari memorinya. Dan, demi pulih sepenuhnya Puan Erisya perlu sentiasa membantu dia ingat semula cebisan-cebisan memori yang dia lupa.” Nasihat Doktor Heldi selaku doktor peribadi suamiku. Aku hanya mampu mengangguk dan berserah pada Allah agar suamiku cepat sembuh.
            “Dia masih Nick yang dulu. Cuma, dia tak ingat Risya sorang je. Malah, dia pun terlupa sejak bila atuk mampu menerima dia semula.” Teguran Tok Idham menyedarkan aku dari terus berkhayal. Aku tersenyum kecil dan menyeka air mata di pipi. Tanpa sedar aku menangis memikirkan nasib suamiku itu. Aku kembali menatap wajah Nick dari jauh, begitu juga Tok Idham.
            “Walaupun Nick tak ingat siapa Risya, tapi dia pasti terima kenyataan bahawa dia sudah beristeri. Mungkin pada awalnya dia tak boleh terima, tapi lama-lama dia akan biasakan diri dengan Risya. Dan mana tahu, Nick mampu ingat semula?” Tok Idham cuba menyedapkan hatiku. Berusaha untuk memberi semangat agar aku tidak pernah berputus asa dalam mengembalikan ingatan suamiku.
            “Inshaa Allah, tok. Risya yakin Amy boleh ingat Risya semula. Hati Risya kuat menyatakan bahawa di satu sudut kecil Amy, pasti ada ruang untuk Risya. Risya yakin tu.” Balasku sambil mata masih melekap pada wajah Nick. Tok Idham menepuk lembut bahuku.
            “Atuk sentiasa doakan yang terbaik untuk cucu-cucu atuk. Termasuk cucu menantu atuk ni. Jangan cepat putus asa ya, cu?”
            “Baik, tok,”
            Selepas berborak kosong bersama Tok Idham dan menghabiskan air yang dibeliku tadi, Tok Idham beredar dan meninggalkan hospital untuk kembali ke rumah. Segala urusan pembayaran sudah pun dilunaskan oleh Tok Idham tadi. Jadi, sekarang tugasku untuk mengemas barang-barang Nick dan membawanya kembali ke rumah Tok Idham. Hari ini bapa mertuaku tidak dapat menemani Tok Idham gara-gara tugasan kerja di pejabat yang sepatutnya diurus oleh Nick tertangguh dalam beberapa hari ini.
            Aku lihat Nick juga sudah beredar dari kafeteria bersama Haris. Aku lajukan langkah ingin kembali ke bilik wad suamiku.
            “Puan Erisya!” Langkahku terhenti di saat ada yang memanggil. Aku berpaling ke belakang dan Doktor Heldi datang mendekati. Doktor yang berumur dalam lingkungan 30-an itu tersenyum lebar padaku. Jelas lesung pipit di kedua-dua belah pipinya bisa membuat sesiapa sahaja terpukau dengan kekacakkannya. Cuma, tidak padaku. Nick tetap di hati.
            “Ya, doktor? Ada apa-apa yang perlu saya tahu pasal suami saya ke?”
            “Ermmm...Saya cuma nak Puan pastikan Encik Nick sentiasa makan ubat on time. Lagipun, saya kenal sangat Encik Nick tu,” Aku mengerut dahi. Kenal sangat?
            “Awak kenal Encik Nick?” Soalku pula. Doktor Heldi tertawa kecil.
            “Actually, dia tu housemate saya masa kami belajar kat US dulu. Dia tu pelupa sikit kalau Puan Erisya nak tahu.” Aku hanya mampu tersenyum kecil mendengar kata Doktor Heldi. Tak sangka pula doktor peribadi ini adalah rakan serumah suamiku ketika dia belajar di US dulu. Pasti sahaja kerenah suamiku diketahuinya. Lagipun, semasa dia merawat Nick dalam beberapa hari ini, nampak gaya Nick begitu selesa dengannya. Nampak seperti sudah kenal lama. Rupa-rupanya, kawan serumah juga. Nick langsung tidak memberitahuku pasal perihal ini. Maklumlah, semenjak hilang ingatan ini, Nick langsung berubah. Susah nak dengar suaranya bila dia bersamaku. Terasa begitu asing sekali bila diperlaku sebegitu.
            “Puan Erisya?” Segera aku tepis perasaan sedih yang mula menjengah hati tatkala Doktor Heldi menegurku. Aku kembali membalas senyumannya.
            “Apa yang doktor cakap tadi?”
            “He need a lot of rest and make sure dia makan ubat on time. And one more thing...” Kata-kata doktor Heldi terhenti dan dia mula tunduk mendekatiku. Aku jadi kaget dan melangkah ke belakang sedikit.
            “Expect the unexpected.” Bisik doktor Heldi padaku membuatkan aku bertambah hairan dengannya. Doktor Heldi ke belakang semula dan mengulumkan senyuman penuh makna. Cuma aku masih tak mampu membuat tafsiran di sebalik senyuman itu. Tanpa apa-apa penjelasan, Doktor Heldi melangkah pergi dan membiarkan aku terkebil-kebil sendiri. Aneh betul kawan Nick yang sorang ni.


SETIBA sahaja di depan bilik wad, tampil Haris yang baru keluar dari bilik tersebut. Haris mengulum senyuman padaku. Aku turut membalas senyumannya. Namun, senyuman di bibir tidaklah semanis mana bila perit yang akan kurasakan di hati selepas ini.
            “Dia...ada cakap apa-apa tak?” Soalku pada Haris.
            “Ermmm...Tak cakap apa-apa. Dia cuma bercerita pasal kisah kitorang dulu-dulu. Dan, aku ada jugak cerita pasal kau. Masa tu dia terus diam aje.” Wajahku berubah mendung. Dari cerita Haris tu aku dapat rasakan yang suamiku begitu membenci diriku. Sampai begitu sekali Nick tak suka pada kehadiranku.
            “Dia memang tak ada cakap apa-apa ke?” Aku masih menyoal soalan yang sama. Dadaku sudah mula terasa sesak. Menahan rasa sedih yang bila-bila sahaja akan menumpahkan air jernih ke pipi. Wajah Haris aku tatap dalam. Nampak wajahnya yang serba salah. Lantas, dia menggeleng lemah.
            “Aku harap kau bawa banyak-banyak bersabar ya? Kau kena yakin dengan cinta kau. Kau kena pasti yang Nick akan kembali ke pangkuan kau. Dan...”
            “Dan...Berusahalah ya nak ambil hati dia balik,” Sambung Haris sambil tersengih-sengih. Aku terpempan seketika. Ini lagi sorang kawan Nick yang memang aku tak faham. Walaupun dia juga kawan rapatku, tetapi sikapnya dan juga kata-katanya tadi seperti punyai maksud yang sukar untuk aku faham.
            “Aku pergi dululah ya?” Haris pamit dan meninggalkan perkarangan hospital. Aku kembali memandang kosong pada pintu bilik wad yang masih tertutup rapat di hadapan. Dengan bacaan bismillah, aku tarikkan nafas panjang dan memusing tombol pintu. Aku lebarkan senyumanku sebaik wajah Nick menghiasi penglihatanku. Namun, senyuman yang lebar menjadi hambar sebaik melihat wajah masam mencuka Nick. Aku berusaha untuk mengekalkan lebaran senyumanku padanya.
            “Assalamualaikum, Amy. Hari ini, Amy dah boleh keluar dari wad. Tadi doktor Heldi pesan suruh Amy makan ubat on time. Rupa-rupanya, doktor Heldi tu kawan Amy jugak ya?”
            “Hmmm...” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Nick. Aku gagahkan kaki mendekati katil wad dan duduk di sisi Nick yang duduk bersandar di kepala katil sambil menyelak majalah di tangan. Matanya masih melekap di dada majalah tanpa mahu menoleh sekilas padaku.
            “Erry kemaskan barang Amy ya?” Aku segera mengambil beg sederhana besar milik Nick dan menyimpan barang-barang keperluannya. Aku keluarkan juga baju T-shirt dan seluar jeans untuk Nick.
            “Ni...Amy pergilah salin baju. Nanti pemandu papa datang nak ambil kita,” Aku serahkan baju dan seluar tadi padanya. Tangan Nick yang sibuk membelek majalah, tiba-tiba terhenti. Anak matanya tajam memandangku.
            “Eh! Boleh tak jangan panggil aku Amy? Amy Amy Amy...Kau ingat aku ni perempuan ke? Ke pondan?” Aku tersentak dengan suara Nick yang sedikit tinggi itu. Terasa hati juga dengan cara layanannya padaku. Tetapi, aku kena banyak-banyak bersabar. Aku tak boleh mengalah.
            “Amy tu...Amy tu nama panggilan awak semenjak kita dah kahwin. Malah, sebelum kita kahwin pun awak suka kalau saya panggil awak, Amy. Dan awak pula panggil saya, Erry. Nama saya macam nama lelaki dan awak pula macam nama perempuan.
            Pada awalnya saya tak berminat juga dengan nama tu, tapi...Awak sendiri yang beriya nak panggil saya dengan panggilan Erry, sebab tulah saya tak nak kalah saya panggil awak Amy,”
            “Asal jauh sangat nama aku Nik Emil jadi Amy?” Soal Nick kembali. Mukanya cemberut tetapi masih tetap mahu menyoal tentang panggilan namanya. Nampak comel pula bila melihat wajah Nick tak berpuas hati itu.
            “Saya panggil awak Amy sebab nama Emil dibuangkan huruf ‘L’ kat belakang tu. Jadi, wujudlah panggilan Amy. Dan awak sendiri suka nama tu. Saya nak buat macam mana? Awak yang nak saya panggil nama tu, jadi saya ikut jelah.”
            “Ah! Dan sekarang aku tak suka kau panggil aku dengan panggilan Amy tu. Macam nama perempuan. Geli!”
            “Saya tak kira! Saya tetap panggil awak Amy. Sebab saya dah janji akan panggil awak, Amy selepas kita kahwin. Dan saya akan tunaikan janji tu. Tak kiralah awak suka atau tak! Janji tetap janji. Dan awak, Amy...” Aku beranikan diri mendekati wajahnya. Dalam beberapa inci sahaja aku berhenti dan berlagak garang.
            “Awak perlu tunaikan janji awak sebagai suami saya. Janji tetap janji. Awak kena panggil saya Erry. Kalau tak...Saya..saya...”
            “Saya apa?” Nick memotong.
            “Saya biar awak makan timun selama sebulan. Semua masakan awak saya akan bubuh timun. Siap blendkan sekali timun tu. Awak nak?” Ugutku pada Nick yang ternyata tidak menggemari timun. Pantang baginya kalau setiap hidangan makanannya diletakkan timun.
            “Ha ha ha!!! Ingat saya takut dengan ugutan awak tu? Blendkan timun dalam makanan saya? Awak ingat ni budak sekolah ke nak main ugut-ugut dengan saya?”
            “Awak jangan cabar saya, Nik Emil Nik Baharuddin.”
            “Saya tak kira! Saya tak suka panggilan tu and thats it!” Ujar Nick yang masih tetap dengan keputusannya.
            “Okey! Kalau macam tu...saya...saya akan kiss awak kalau awak masih berdegil macam ni,”
            “Kiss? Heh! Perempuan macam kau tak layak dapat kiss dari bibir aku yang seksi ni. Tak sepadan langsung dengan ak...” Dengan pantas aku menutup bibirnya dengan bibirku. Cepat-cepat aku melangkah ke belakang sebelum sempat Nick menolakku. Mahu tersembul mata Nick memandangku. Dia mengelap bibirnya dengan tapak tangan. Belum pun sempat Nick bersuara, aku sudah memintas.
            “Saya tunggu kat luar. Awak bersiaplah. Saya nak jenguk kalau-kalau Pak Jamal dah sampai ke hospital.” Lantas, aku keluar dari bilik wad dan aku tutup pintu bilik rapat. Aku menekup mulutku dan tumpah jua air mata yang sedari tadi ditahan.
            Walaupun tindakanku tadi nampak seperti romantik, tetapi tidak di mata Nick. Kerana aku tahu pasti sahaja dia berfikir bahawa akulah gadis yang tidak tahu malu dan berpelakuan seperti kebudak-budakkan. Ya Allah! Malunya aku...Tetapi demi meraih cinta Nick semula, aku sanggup buat apa saja. Demi mendapatkan memorinya yang telah hilang, aku sanggup menebalkan muka. Kerana aku benar-benar pasti bahawa Nick akan kembali mengingatiku dan cintanya pasti akan kembali buatku.


AKU masih tetap melayani tangisan yang entah bila akan berhenti. Kak Hasnah dari tadi memujukku dan tanpa penat memberiku nasihat.
            "Kenapa sampai begitu sekali nasib menimpa Amy? Kesiannya Amy..." Rintihku pada kak Hasnah. Kak Hasnah hanya mampu menepuk bahuku agar aku tenang menerima nasib yang menimpa suamiku. Sudah bermacam-macam yang berlaku di antara kami berdua. Baru sahaja mahu mengecap bahagia, dugaan yang melanda. Ya Allah...Ku mohon agar aku kuat dalam cubaan dari Mu...
            “Jangan pernah mengalah, Risya. Jangan salahkan takdir yang telah Allah tetapkan pada hamba-Nya. Sudah termaktub nasib Nick begini, Risya kena sabar menempuh dugaan ni. Janganlah Risya down macam ni. Risya kena kuat! Demi suami Risya jugak!” Kak Hasnah masih setia menemaniku di hospital. Aku tinggalkan saja keluarga Nick bersamanya. Sukar untuk aku berdepan dengan Nick sewaktu ini. Terasa begitu asing bila Nick sudah melupakan diriku. Aku sudah menjadi orang asing buatnya.
            “Look, Risya...Dah 4 jam Risya tinggalkan suami Risya dekat bilik wad tu. Risya tak nak ke jumpa dia dan cuba convincekan dia yang Risya ni isteri dia?”
            “Kak...Bila pertama kali jenguk dia lepas dia sedar tadi, Amy dah mula maki-hamun Risya. Risya ni tak ubah macam orang asing buat dia. Bila Risya mendekat, dia bagaikan menjauh. Risya betul-betul terasa hati dengan layanan dia. Kalau betul dia tak kenal Risya, kenapa sampai macam tu sekali dia layan Risya? Kenapa dia nampak Risya ni macam jijik sangat? Risya ni isteri dia, kak...” Sekali lagi, air mataku tumpah tanpa segan silu di depan kak Hasnah. Aku lapkan air mata yang lebat menuruni pipi. Kak Hasnah tampak simpati kepadaku. Dia serahkan beberapa tisu kepadaku. Aku ambil tisu tersebut dan lapkan air mata yang masih berjuraian ke pipi. Berharap agar segala butir air mata tersebut hilang bersama tisu tadi. Namun, tangisanku tetap tiada hentinya.
            Melihat aku masih tersedu sedan kerana terlalu sedih, kak Hasnah turut juga menangis di sisi. Lantas, ditariknya erat tubuhku ke dalam dakapannya. Kepalaku yang ditutupi tudung berwarna hitam diusapnya bak seorang kakak yang memujuk seorang adiknya yang ketangisan mahukan belaian manja.
            “Sabarlah Risya. Allah Maha mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Moga semua yang berlaku ni membuatkan Risya lebih berserah kepadaNya. Lebih dekat padaNya. Berdoalah banyak-banyak untuk suami Risya. Nescaya, Allah itu Maha mendengar segala doa hambaNya.” Aku mengangguk dan menuruti segala nasihat Kak Hasnah. Di dalam hati tak putus-putus aku mendoakan agar suamiku cepat sembuh.
            Pakkk!
            Aku tersentak saat mendengar bunyi petikan jari dari Nick di sebelah. Aku pandang wajah Nick sekilas. Nampak begitu sinis sekali.
            “Berangan? Ingatkan kekasih hati ke?”
            “Kekasih hati? Yang saya ada sekarang hanyalah seorang suami,”
            “Hmmm...Yalah tu. Lama benar menungannya. Sampai aku panggil berkali-kali pun tak dengar. Asyik benar dengan lamunan dia tu. Syok sangat ek berangankan kekasih hati?”
            “Kalau pun saya berangan panjang, saya berangan akan kekasih hati saya iaitu awak, suami saya. Tiada yang lain.”
            “Hmmm...yalah...” Nick seperti malas mahu bertekak denganku. Dia beredar ke meja belajar yang berada tidak jauh dengan veranda bilik. Nick duduk di kerusi dan melihat segala barang yang ada di atas meja tersebut. Tangannya mengambil bingkai gambar di meja dan ditatapnya lama.
            “Kau ni cantik bila make-up, tapi bila dah hilang semua tu...Macam minah biasa je. Macam manalah aku boleh jatuh cinta kat kau ek?” Soalannya membuat aku terfikir sendiri. Macam mana boleh lelaki sekacak Nick boleh jatuh cinta pada gadis biasa sepertiku? Baru sekarang aku sedar sesuatu. Nick yang dulunya sering mengejarku sentiasa mengambil berat tentang hati dan perasaanku. Tetapi, aku? Langsung tak pernah nak ambil tahu isi hatinya. Hanya aku seorang sahaja yang sering meluahkan rasa hati padanya.
            Aku terdiam lama. Lama aku memikirkan ayat yang perlu aku luahkan padanya bagi menjawab persoalannya itu. Apa ya?
            “Hmmm...Kau sendiri tak tahu kan? Ke aku ni kahwin dengan kau sebab terpaksa? Papa atau Tok Idham yang paksa aku kahwin dengan kau?”
            “Tak! Kita kahwin atas sebab cinta. Awak cintakan saya dan saya juga cintakan awak. Memang saya akui dulu, awak bukanlah orang pertama yang mengetuk pintu hati saya, tetapi satu perkara yang perlu awak tahu,” Aku menarik nafas dalam dan menatap matanya sedalam mungkin. Aku datang mendekatinya dan aku tarik rantai yang diberinya dulu bersama loket yang tergantung kemas di leherku. Loket hati dan juga loket kunci diletakkan bersama. Aku keluarkan kedua-dua loket tersebut dan aku masukkan loket kunci ke dalam lubang kunci pada loket hati.
            Apabila loket kunci tersebut membuka loket hati tadi, lantas aku serahkan pada Nick.
            “Selepas cinta pertama itu pergi, saya tak pernah terfikir untuk meraih cinta kedua. Kerana dalam hati saya sudah ditetapkan untuk mengunci dan menutupnya rapat dan akhirnya, ada seseorang yang telah membukanya kembali. Orang itu adalah awak dan sekarang, saya sambut cinta itu dan dengan ikhlas hatinya saya membalas cinta yang sukar untuk saya buang kerana awaklah orang yang mempunyai kunci pada pintu hati saya ni.” Di saat aku menuturkan isi hatiku itu, mutiara jernih dari tubir mataku jatuh menggelongsori pipi. Wajah Nick tampak tergamam tika itu. Aku tahu pasti saja dia hairan mendengar kata-kataku tadi. Mungkin juga baginya itu semua dusta, tetapi bagiku, itu semua kata-kata yang datang dari lubuk hatiku yang paling dalam demi mendapatkan orang yang sudah pasti hanya milikku dan juga insan yang sudah Allah tetapkan untuk menjadi suamiku.
            “Awak pasti penatkan? Awak berehatlah dulu. Saya nak ke bawah sekejap. Nak tolong mak Minah kat dapur. Kalau ada apa-apa yang awak nak, awak panggillah saya dekat bawah. Saya akan sentiasa ada untuk awak.” Aku menyeka air mataku pantas dan mengorak langkah meninggalkan dirinya tanpa mahu pandang belakang pun. Aku biarkan saja loket kunci dan hati tadi padanya. Biarlah dia tengok sendiri apa yang ada di dalamnya.


"AMY...Erry ni isteri Amy..Amy tak ingat ke?" Ucapku lembut sambil menarik lengannya. Wajah Nick memandangku nampak seperti janggal sekali. Lantas, lengan yang aku pegang tadi ditariknya kasar. Aku terkedu melihat tindak balasnya.
            "Kau isteri aku? Perempuan macam kau ni...Isteri aku? Hah! Tak mungkin. Setahu aku, ciri-ciri macam kau ni tak ada dalam list aku!" Sindiran Nick ternyata begitu perit sekali untukku telan. Serta-merta air mataku jatuh luluh tanpa segan silu.
            ;“Semenjak 2 hari Nick keluar dari hospital, tok tengok Risya asyik termenung saja. Mana pergi Risya yang dulunya ceria dan sentiasa senyum walaupun ada masalah itu ya? Dia dah hilang ke manalah tu?” Tegur Tok Idham mengejutkan aku dari sekilas ingatan 2 hari yang lalu. Aku menoleh memandang Tok Idham dan aku senyum kecil padanya.
            “Haaa...Kan manis kalau senyum macam tu? Sejuk hati tok ni bila tengok senyuman Risya yang comel ni. Cuma...Dia asyik termenung je dari tadi. Sunyi tok tau.”
            “Risya minta maaf kalau sikap Risya buat tok terasa hati. Risya...Risya rasa sedih sangat dengan apa yang terjadi sekarang ni.”
            “Janganlah terlalu fikir sangat. Nanti, bukan hanya Nick yang sakit, dengan Risya sekali yang akan sakit. Susah pula jadinya.”
            “Haa...tok, tulah namanya sehati sejiwa, sedondon sejoli. Betul tak?” Selorohku pada Tok Idham sehingga menyebabkan Tok Idham tertawa kecil.
            “Ini barulah Risya yang tok kenal. Bukan yang dok termenung menangisi apa yang terjadi. Tok tau Risya kuat menghadapi semua perkara ni. Tok percaya dengan kamu, cu,”
            "Sabarlah Risya...Tok tahu satu hari nanti, Nick akan kembali ingat semula tentang Risya. Semua ini adalah satu dugaan dari Allah yang perlu kita terima dengan redha. Janganlah kita merungut dan menyalahkan Tuhan pula. Sebab semestinya segala yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Walau hujan ribut yang melanda dalam rumah tangga Risya sekarang, Risya harus kuat menanti kewujudan pelanginya..." Pesanan Tok Idham bagaikan pemberi semangat buatku agar meneruskan perjuangan dalam meraih cinta Nick kembali.
            “Baik tok! Tok jangan risau. Risya akan berusaha bantu Amy. Risya takkan pernah tinggalkan dia. Risya tau tanggungjawab Risya sebagai isteri Amy.”
            “Baguslah, Risya. Tok nak Risya sentiasa bersemangat macam ni. Jangan tunjuk lemah depan Nick. Kalau Risya lemah, Nick pun akan jatuh sekali. Betullah kata orang, setiap kejayaan  lelaki itu pasti akan ada wanita yang menyokongnya di belakang. Jadi, kalau nak Nick mendapat kembali ingatannya, Risya kena sentiasa ada di sisi dia.” Aku mengangguk bersetuju dengan kata-kata Tok Idham. Tok Idham menepuk bahuku lembut.
            “Susah senang, biarlah bersama. Semua yang berlaku ni, Allah dah tentukan kat Risya sebab DIA tahu, Risya mampu menghadapinya. Allah uji hamba-Nya ikut kemampuan masing-masing. Jadi, berserahlah kepada Allah dan tak mustahil Nick kembali ke pangkuan Risya semula.”
            Sesungguhnya dapatku rasakan satu tiupan semangat ke dalam dada ini setelah mendengar nasihat daripada Tok Idham. Mungkin sebelum ini aku susah untuk menerima hakikat yang Nickku hilang dari sisiku. Jadi sekarang, apa yang perlu aku lakukan adalah menarik dia kembali ke pangkuanku. Aku takkan pernah menyerah untuk mengembalikan ingatan suamiku semula. Ya! Aku mahukan Nick, suamiku kembali dan dengan hasil berkat usahaku, Nick pasti mampu mengembalikan ingatannya.
            “Insya-Allah, tok. Risya takkan pernah menyerah sampai Amy betul-betul sembuh. Tok doakan untuk Risya dan Amy ya?”
            “Tok sentiasa doakan untuk kamu, cu. Kamu berdua sentiasa ada di setiap doa tok. Kamu juga perlu berusaha sama. Moga-moga Nick kembali sembuh.”
            “Ermmm...Ni...Tok sebenarnya nak beritahu kat Risya yang Nick belum makan tengah hari lagi. Dari tadi asyik berkurung di dalam bilik tu aje. Tok dah panggil dia makan tadi, tapi dia cakap dia penat. Jadi, eloklah kalau Risya bawakkan makanan untuk dia. Lagipun, dia kena makan ubat.” Tok Idham mengingatiku kembali akan pesanan doktor padaku. Baru aku teringat sesuatu. Dek kerana terlalu melayan perasaan, aku lupa untuk memberi Nick ubat. Setelah membantu mak Minah memasak, aku terus ke hospital semula untuk mengambil barang-barang yang tertinggal. Fikirku Nick sudah makan, rupa-rupanya dalam diam, dia masih belum menjamah sedikit nasi pun untuk tengah hari ini.
            Aku memandang sekilas pada jam dinding. Sudah pukul 2 petang! Ya Allah, suamiku belum makan lagi dari tadi. Lantas, aku meminta diri dan meninggalkan Tok Idham di taman rumah. Segera aku ke dapur dan mengambil lauk-lauk yang aku masak tadi ke dalam pinggan. Di sebelah tanganku pula, aku bawakan segelas air kosong untuk Nick tatkala dia ingin makan ubat nanti. Aku letakkan segalanya di atas dulang dan aku mendaki tangga terus ke bilik.
            Dulang sudah siap dihidang, aku letakkan ke atas meja kecil bersebelahan dengan bilik kami. Aku pulaskan tombol pintu perlahan dan aku ambil kembali dulang tadi. Kelihatan Nick sedang bermalasan di atas katil sambil membaca majalah kegemarannya. Pasti saja majalah berkaitan dengan bisnes.
            Aku letakkan dulang di tangan di atas meja belajar dan memerhati perbuatan Nick. Nick masih tidak mahu mengalih pandang dari majalahnya. Aku duduk di sisi bersebelahan Nick.
            "Awak dah makan? Kalau belum makan saya tolong ambilkan untuk awak ya?" Lembut aku memujuk Nick. “Tadi, tok Idham cakap awak belum jamah sesuap nasi pun. Jadi, ni saya dah bawakkan awak nasi dan lauk yang saya masak dengan mak Minah tadi.”
            "Heh! Kau ingat aku ni budak-budak ke?" Sergah Nick. Majalah di tangan sudah terletak di paha dan matanya tajam merenungku. Tidak mahu mengalah, aku melawan menentang matanya dengan pandangan penuh lembut. Bila api sudah marak, kenalah kita lawan dengan air. Biar tenang dan reda.
            "Mungkin...budak-budak di hati saya. Kerana bagi saya, awaklah lelaki yang sering berkelakuan seperti keanak-anakan di depan saya." Aku tertawa kecil saat memori bersama Nick suatu ketika dahulu melayar tabir di ingatanku. Masih terkenang lagi bagaimana cara Nick berusaha ingin meraih kemaafan dariku. Lori kecil berserta belon yang keluar dari belakang lori memang nampak seperti idea kebudak-budakkan.      
            "Kau ni dah sewel ke senyum sorang-sorang?" Teguran Nick mengembalikan diriku pada realiti. Aku tersengih macam kambing di depannya.
            “Tak salah kalau saya nak senyumkan? Bukankah senyuman itu satu sedekah. Nak-nak lagi senyum pada suami. Lagi bertambah pahala saya dapat. Syoknya!” Balasku dengan berseloroh pula. Nick menjeling ke arah lain. Terdengar bunyi dengusan dari mulutnya.
            “Kalau senyum tu boleh buat aku kenyang, tak apa jugak. Ni senyum sorang-sorang, syok memang syok. Syok sendiri!” Nick masih pedas membalas. Dia kembali menarik majalahnya dan menutup mukanya dari memandangku menggunakan majalah tadi. Aku hanya mampu tersenyum kecil melihat kelakuannya persis kanak-kanak.
            Dulang tadi aku ambil dan aku letak ke atas meja lampu bersebelahan kepala katil. Aku ambil pinggan nasi bersama lauk yang telah aku ambil untuk Nick tadi.
            Pantas aku tarik majalah dari tangan Nick sehingga membuat Nick terlopong dengan kelakuanku itu. Cepat-cepat aku suapkan nasi bersama lauk ke mulutnya.
            “Jangan banyak cakap. Makan. Dah baca bismillah belum?”
            “Kau yang suap aku tak menyempat, macam mana aku nak baca bismillah?” Dengan mulut yang penuh, Nick masih mahu bertekak denganku.
            “Dah dah! Senyap, makan. Saya suap awak sampai nasi ni habis. Awak perlu makan ubat. Ingat pesan doktor. Kena makan ubat sampai awak sembuh.” Sekali lagi Nick ingin membuka mulutnya, pantas aku menyuapkan lagi nasi ke dalam mulutnya. Mata Nick sudah memandang tajam pada wajahku. Mahu saja aku tergelak melihat wajah serius Nick di kala itu. Benar-benar comel!
            “Orang kata kalau tengah makan, jangan bercakap masa mulut penuh.Tak elok. Jadi, tunggu dah selesai ni, awak nak maki hamun saya dipersilakanlah.”
            Aku ingin menyuap Nick sekali lagi, namun tanganku dihalang olehnya. Mata kami terpaku seketika. Entah kenapa hatiku tak henti-henti berdegup saat tangannya menggenggam kemas tanganku. Perlahan-lahan, sudu di tangan diletak ke bawah. Wajah Nick pula semakin menghampiriku. Aku jadi gugup tatkala semakin Nick mendekat. Tanpa menghalangnya, mataku automatik terpejam berharap agar resah di hati akan lenyap bersama layanan Nick nanti.
            Dapatku rasakan hangatnya desas nafasnya menghampiri cuping telingaku dan suara garaunya mula membisik.
            “Aku...nak ke tandas.” Seraya mendengar kata bisikannya itu, lantas mata yang terpejam kejap terbuka luas. Wajah sinisnya begitu hampir di depan wajahku.
            “Berangan sampai tak sedar dunia ke? Dahlah. Belum sempat aku nak bersuara, kau dah halang aku. Bila aku buat macam ni, baru nak berhenti membebel. Ceh!” Aku tercengang di katil bersama pinggan di tangan. Nick angkat punggung dan ingin beredar ke dalam bilik air. Aku mengetap bibir bila dipermainkan sebegitu.
            Aku letakkan pinggan di meja lampu, dan aku bangkit jua. Cepat-cepat aku menarik lengan Nick sebelum sempat dia ke bilik air. Bila lengan Nickku sambut dan tubuhnya kini menghadapku. Dengan bermuka tebal, aku tarik lehernya agar wajahnya dekat padaku.
            “Saya takkan pernah berputus asa sehingga saya benar-benar mendapat suami saya semula. Tak kiralah awak memperlakukan saya macam mana sekalipun, hatta awak nak memperbodohkan saya atau mempermainkan saya, saya tetap takkan pernah mengalah.” Bisikku lembut tetapi penuh tegas. Wajah Nick terkebil-kebil melihat keberanianku yang tanpa jangkauannya. Aku tersenyum lebar, lalu mendekatkan bibir pada cuping telinganya pula.
            “Kerana awak adalah hak milik saya sepenuhnya. Dan saya ingin dapatkan kembali hak saya tak kira dengan apa cara sekalipun, walau saya kena menebal muka demi mendapatkan awak semula, saya sanggup lakukannya. Saya tetap cintakan awak sampai hujung nyawa. You are mine, mister Nik Emil! Only for me. Jangankan ada sesiapa yang menghalang saya. Kalau tak, saya akan pastikan dia kecundang sebelum sempat dia menggoda awak. Kerana...awak hanya milik saya.” Aku berundur ke belakang sedikit dan aku tarik senyuman lebar padanya. Namun, wajah Nick yang tadinya tercengang berubah sinis. Dan sekarang, bibirnya juga menarik senyum. Tetapi senyumannya begitu sinis dan penuh muslihat.
            Tidak mahu ketinggalan, Nick juga berbuat seperti apa yang aku buat tadi. Dia mendekatiku dan bibirnya berbisik ke cuping telingaku.
            “We will see about that, my dear Erry.” Ujarnya pula. Nick kembali berpaling dan memasuki bilik air meninggalkan aku dengan penuh tanda tanya. Pun begitu, aku tetap terbuai dengan panggilannya tadi. Itulah kali pertama dia memanggilku dengan panggilan ‘Erry’ semenjak Nick keluar dari hospital. Walaupun penuh sinis, tetapi begitu bermakna buatku sebagai isterinya kerana panggilan itu sememangnya ditujukan khas buatku setelah diriku bergelar isterinya. Kali ini, air mataku jatuh lagi. Ya Allah! Risya...kau harus kuat demi meraih cintanya kembali. Sekarang, orang yang berdepan denganku bukanlah lelaki yang begitu mencintaiku. Tetapi, seorang lelaki asing yang tiada memorinya buat diriku. Aku...takkan pernah menyerah!


 Assalamualaikum semua buat pembaca setia Cinta yang tiada kepastiannya. CYTK sudah pun menghampiri ke penghujungnya... Akan tetapi, ingin saya maklumkan buat semua pembaca cerita ini..CYTK akan dihentikan buat seketika bagi memberi ruang buat saya menyiapkan manuskrip cerita ini sepenuhnya. Sememangnya saya memerlukan masa yang agak lama bagi menyiapkan cerita ini, sementelah saya ini sudah menjadi pelajar tahun akhir dalam pembelajaran saya...Bermula dari tahun 2011, cerita ini masih belum menemui penamatnya sehinggalah saya bertekad untuk menyiapkannya pada tahun baru ini. Ramai juga yang tertanya-tanya..bilalah cerita ni nak habis? Haa...sekarang saya akan menjawabnya...CYTK akan habis tak lama lagi, Inshaa Allah...Korang jangan lupa doakan untuk saya menyiapkannya pada tahun ini ya? Terima kasih buat semua pembaca yang setia menunggu cerita CYTK ini.. Jangan risau...Semuanya pasti akan selamat. Hehehe....So..kalau nak tahu akhir cerita ini..Kenalah tunggu berita dari saya...Bila dah betul-betul siap dan saya akan hantarkan manuskrip pada publisher..Then, korang akan tahulah akhir cerita ini. Sekali lagi...Thanks korang..Love u guys and thanks for your support... ^-^