Sunday, April 1, 2012

Mini Novel :Penyelamat Cinta (Sambungan Pembunuh Cinta)

Bab 1

Karmiza menarik nafas lemah. Kepalanya ditayang ke atas, melihat bintang-bintang cerah berkelipan. Tenang sahaja malam itu ditemani bulan yang cerah. Karmiza kembali menunduk memandang kolam ikan di depan. Dia suka duduk di taman di luar halaman rumah banglo milik Haji Mukhri itu. Duduk di bilik tidur boleh buat dia naik sesak. Kalau terperuk dalam bilik itu sahaja, mungkin boleh buat dia jadi gila! Sawan! Angau!

Karmiza mengeluh lemah.

“Tulah susahnya jadi isteri mithali ni! Tiap-tiap malam, muka nilah yang setia menemani ikan-ikan kat dalam kolam ni. Tulah korang-korang ni semua gemuk! Kenyang dengan makanan yang aku tabur kat dalam kolam ni,” Tangannya mengambil lagi roti dan dikoyaknya kecil-kecil. Ditaburnya pada kolam ikan. Berebut-rebut ikan mendapatkan cebisan-cebisan roti tersebut.

“Tak payah nak gaduh-gaduh. Semua dapat. Tinggal korang buka aje mulut tu minta disuap,” Sekali lagi Karmiza mengulangi perbuatan yang sama. Ditikamnya lagi cebisan roti yang sudah siap dikoyak.

“Apa yang kamu buat tu? Bercakap seorang diri ni kenapa?” Tegur Haji Mukhri yang baru sahaja menampakkan diri di situ. Dilihatnya ikan-ikan koi belaannya berenang-renang di permukaan air. Terbit senyuman di bibir. “Bulan tengah rindukan pungguk, tuk,” Jawab Karmiza. Matanya masih setia memandang ikan-ikan koi di depan.

Berkerut dahi Haji Mukhri mendengar ungkapan Karmiza itu. “Bukan pepatah tu sepatutnya, bagai pungguk rindukan bulan?”

“Sekarang dunia dah terbalik, tuk. Bulan yang dah tak betul rindukan pungguk. Mana taknya,” Mata Karmiza menoleh pada wajah Haji Mukhri di sebelah. Senyuman kecil jelas pada bibirnya.

“Hmmm...Tak fahamlah atuk dengan kamu ni. Epul mana? Tak balik lagi ke?” Berubah sedikit wajah Karmiza bila persoalan suaminya diutarakan. “Sebab tulah Miza cakap bulan rindukan pungguk, tuk,” Haji Mukhri mengangguk. Baru kini diam faham apa maksud di sebalik kata ungkapan terbalik dari cucu menantunya itu. Terdengar bunyi keluhan lemah dari Haji Mukhri. Mereka sama-sama memikirkan tentang Saifullizan yang masih belum ada tanda-tanda mahu berubah.

Semenjak seminggu kejadian yang lepas berlalu, Saifullizan makin kerap keluar malam. Tiap-tiap hari pulak tu. Dan yang menjadi mangsanya, Karmiza! Masih tidak pernah mengenal erti putus asa. Tetap mahu menjadi setia menaggih cinta dari sang suami.

“Kes hari tu, macam mana?” Soal Haji Mukhri bila memecahkan kesunyian di antara mereka setelah sama-sama berdiam diri. Karmiza menatap wajah tua Haji Mukhri di sebelah. “Dengar khabar, lelaki gangster yang bernama Gedeng tu dah berjaya ditangkap. Mujurlah di kawasan tapak itu terdapat kamera CCTV. Polis pun berjaya mengesan nombor plat kereta yang digunakan oleh lelaki itu,” Serta-merta akalnya kembali terbayang akan kejadian seminggu yang lalu.

“Berita yang baru sahaja Miza dapat tahu semalam ialah, Gedeng mungkin akan dikenakan hukuman gantung sebab menjadi pengedar dadah. Hmph! Patutlah masa tengok dalam video CCTV hari tu, kereta yang dia guna tu, bukan calang-calang. BMW! Kaya sebab edar dadah. Last-last, tali gantung juga tempatnya. Heii..Apa nak jadilah dengan manusia sekarang?” Haji Mukhri menggeleng-geleng kepalanya.

“Dunia ni dah mula rosak sekarang. Manusia lebih pentingkan harta dunia berbanding akhirat nanti. Nauzubillah. Janganlah kita terpedaya dengan segala hasutan syaitan itu. Mintalah supaya kita sentiasa dilindungi,”

“Amin, tuk.” Karmiza meraup wajahnya dengan tangan. Karmiza membalas senyuman pada Haji Mukhri. “Dan satu lagi, doakan juga supaya cucu atuk tu sedar dan insaf. Minta supaya dia akan bertaubat tak lama lagi ya, tuk?” Lantas Haji Mukhri ikut meraup tangan ke muka sama seperti Karmiza tadi. Mereka tergelak sama melihat gelagat masing-masing. Tidak lama selepas itu, Karmiza mengeluh lemah.

“ Sebenarnya tuk, kalau atuk nak tahu...Gedeng tulah lelaki yang cuba nak bunuh Miza dulu. Tak sangkakan? Dulu, Miza yang hampir-hampir terbunuh di tangannya, tetapi, Allah terbalikkan nasib kami dan dia pula yang akan mati di tali gantung. Betapa Allah mahu menunjukkan bahawa setiap kelakuan jahat yang dilakukan, akan mendapat pembalasannya juga. Tidak kiralah di dunia, atau di akhirat nanti,” Haji Mukhri terkedu mendengar kata-kata Karmiza. Benar-benar menyentap hatinya. Hatinya mula dipagut resah. Rahsia selama ini masih belum terbongkar. Cucunya tidak mungkin akan memberitahu perkara sebenar mengenai perancangan jahat yang pernah dilakukannya.

Karmiza perasan akan wajah mendung yang terlukis di wajah atuknya. Karmiza mengerutkan dahi. “Kenapa tuk? Atuk tak sihat ke?” Soal Karmiza di sebelah. Haji Mukhri tidak menjawab soalannya. Makin hairan Karmiza melihat kelakuan Haji Mukhri yang tiba-tiba sahaja berubah mendung itu. Ditepuknya lembut bahu tua itu. Haji Mukhri terkejut dan terkebil-kebil memandang wajah Karmiza. “Atuk, okey ke tak ni?”

“Emmm...Aaa...Atuk sihat cuma, terfikir pasal lelaki yang kamu cakap tu. Siapa nama dia tadi? Gedeng? Ha..Mungkin itulah pembalasan yang harus dia lalui. Dia takkan lari dari tu,” Terasa nyilu hatinya bila berkata demikian. Kata-kata itu bagai memberi pesan pada diri sendiri supaya beringat tentang pembalasan Tuhan suatu ketika nanti.

Mereka sama-sama mendongak ke dada langit. Angin malam bertiup menemani. Karmiza menggosok-gosok lengan menghilangkan rasa sejuk yang mencucuk tulang. Sedap angin malam menampar pipinya. Rambut yang beralun turut sama ditiup angin. Dia mengalih rambut depan yang mengganggu matanya.

“Tuk, rasa-rasanya, bilalah abang Epul nak berubah?” Lama Haji Mukhri berdiam diri. Bagai mencari jawapan di dada langit. Langsung dia berpaling sebelah. “Bila dia sedar akan kehadiran penyelamat dirinya yang sentiasa berada di sisi. Seseorang bidadari yang diutuskan oleh Allah supaya membantu dia agar tidak lari dari landasan Ilahi,” Ucapan Haji Mukhri begitu menenangkan dirinya. Begitu mendalam sekali ayat di sebalik ucapan itu. Haji Mukhri menepuk lembut pada bahu Karmiza.

“Atuk masuk ke dalam dulu. Kamu jangan lewat sangat masuk ke dalam. Tak baik duduk berembun di luar,” Pesan Haji Mukhri sebelum kakinya diangkat masuk ke dalam rumah.

Sekali lagi, keluhan keluar dari mulutnya. Entah sudah ke berapa kali dia mengeluh. Masih mahu menunggu kepulangan suami di sisi. Sikap Saifullizan sukar untuk ditebak dalam masa seminggu itu. Sering kali Saifullizan mencari alasan bagi mengelakkan diri dari berdepan dengannya. Sukar bagi Karmiza mahu memandang wajah suaminya. Sekarang, suaminya sudah pandai bangun awal dan balik petang setelah habis kerja. Disambungnya lagi aktiviti di malam hari, langsung tiada masa ingin bersemuka dengan Karmiza. Karmiza benar-benar terasa bagai kehilangan seseorang yang disayanginya.

Karmiza mendongak sekali lagi. Matanya berpadu pada bulan yang cerah itu. “ Bulan, mana perginya suami aku? Tolonglah bawa dia kemari. Aku benar-benar rindukan dia. Sungguh! Bawa dia balik,ya?” ujar Karmiza berharap bulan tersebut membantunya.

‘Aku benar-benar dah gila! Cakap dengan bulan macam orang tak siuman. Manalah bulan tu dapat bantu kau! Karmiza, you really do fall for this guy. Someone call, your husband!’ detik hatinya bagai menyindir diri sendiri.

Saifullizan hanya menjadi pemerhati setia di dalam kelab malam yang penuh sesak dengan manusia itu. Sekali sekala, matanya dikalihkan ke kiri kanan. Dia hanya duduk sahaja dari tadi. Sengaja mahu membuang masa di situ. Dia tidak mahu Karmiza menunggunya seperti sedia kala. Bila waktu sudah lewat hingga ke pagi, barulah dia keluar balik ke rumah.

Sudah seminggu dia berkelakuan demikian. Hatinya tidak tenang semenjak kemunculan Gedeng, anak buah GD yang cuba membunuhnya dan juga Karmiza. Semuanya gara-gara mahu membalas dendam. Saifullizan memalukan Gedeng di depan orang bawahannya. Tidak pernah Gedeng merasakan perasaan semalu itu. Lantas, dia datang menuntut membalas dendam. Malangnya, kejadian yang berlaku tempoh hari menjerat dirinya sendiri. Hidup Saifullizan kembali aman. Tetapi, hatinya tidak! Dia diselubungi dosa kelmarin. Dosa yang memaksa dirinya untuk menerima Karmiza tanpa rela.

Saifullizan mengurut dahinya. Otaknya ligat memikirkan tentang cara layanan Karmiza terhadap dirinya saban hari. Karmiza begitu baik sekali dengannya. Malah, dia bagai ternanti-nanti akan belaian manja dari isterinya yang begitu berani memikat hatinya dengan pelbagai cara. Namun, disebabkan itulah dia harus sedar daripada mimpi. Dia tidak mahu Karmiza begitu melayannya dengan baik. Dia mahu menjauhkan diri dari Karmiza dan mahu isterinya itu berputus asa dalam percubaan mahu mengambil hatinya. Dia akui, kadang kala dia tersungkur juga tetapi, cepat-cepat dia memikirkan realitinya. Dia tidak layak untuk isteri sebaik Karmiza itu.

Lingkaran tangan pada lehernya mengejutkan dia dari lamunan tadi. Gadis yang memakai baju tanpa lengan tampak begitu seksi dan menggoda sekali. Di mata Saifullizan, begitu ketara sekali dada gadis itu menyerlahkan dua gunung-ganang yang hampir nak terjombol keluar itu. Saifullizan cuba untuk menjauhkan diri. Di tangan gadis itu, gelas berisi air haram sudah separuh. Naik meluat melihat gadis yang sudah mabuk cuba untuk memeluknya sekali lagi. Terasa mual bila bau arak menusuk di rongga hidungnya.

“Hey, stop it! Get away from me!” Tengking Saifullizan pada gadis tersebut. Saifullizan cuba untuk menguatkan suara bagi mengatasi bunyi bising di dalam kelab malam itu. Barulah dia terasa rimasnya berada di situ. Dengan bunyi bingit dari pembesar suara yang asyik menyentakkan hatinya dan suara riuh pemuda-pemudi yang tengah asyik berdansa tanpa kenal erti malu.

“Wah! Mat salleh ni main kasar rupanya. Ha ha ha...Hai, I’m Deby. Can we make out just for one minute?” Soal gadis yang bernama Deby itu tanpa rasa malu. Oleh kerana akal fikiran tidak waras dek minuman haram itu, Deby mendekatkan bibirnya pada wajah Saifullizan. Sebelum terjadi apa-apa, Saifullizan menolak bahu wanita itu dengan pantas.

“Hey! Aku tak layanlah dengan sundal macam kau ni! Kau tak layak untuk aku!” Saifullizan mencerlung marah pada gadis yang berani melakukan perkara yang tidak senonoh padanya. Makin diherdiknya gadis itu tanpa menghiraukan orang sekeliling.

“Oh! Orang Melayu rupanya. Asal sombong sangat ni? Come on! Have fun! I know you pun nak jugak dapatkan ciuman dari I yang seksi ni kan?” Saifullizan meluat mendengar kata-kata gadis yang perasan itu. Sekali lagi Deby ingin memeluknya dengan gelas yang masih setia di tangan. Dengan menggunakan jari telunjuk, Saifullizan menolak dahi licin milik perempuan itu. Sengihan sinis terukir di hujung bibir. Gadis itu terkial-kial cuba untuk melarikan dahinya dari jari telunjuk miliknya.

“I don’t give a damn to someone like you! Perempuan murahan!” Dengan sekali tolak sahaja, wanita itu terdorong ke belakang sehingga jatuh ke lantai. Gelas di tangan sudah pecah di atas lantai. Saifullizan bangkit dari duduk dan mahu beredar dari situ.

Dia berusaha untuk memboloskan diri dari manusia-manusia yang tengah berhimpit-himpit tanpa mengira jantina. Perempuan dengan lelaki, sama sahaja. Perempuan dengan perempuan pun ada. Betapa dunia sudah mahu menghampiri hari kiamat. Apabila Saifullizan berjaya memboloskan diri dari orang yang tengah bersesak di situ, tiba-tiba muncul gadis tadi bersama gelas di tangan lalu di simbahnya air gelas pada wajah Saifullizan. Gadis itu sudah terkekek mentertawakan reaksi Saifullizan yang tampak terkejut dengan simbahan air darinya. Saifullizan dapat mengesan bau hanyir pada wajahnya yang sudah basah. Sah! Air yang disimbah oleh Deby itu ialah air arak. Saifullizan mencerlung marah. Malas mahu melayan perempuan sebegitu pantas kakinya beredar ke tandas ingin membersihkan muka dari air yang memualkan tekaknya itu. Mujurlah air simbahan itu tidak termasuk ke dalam mulutnya.

Saifullizan membasahkan wajahnya mahu menghilangkan rasa lekit dari air arak tadi. Bajunya juga sudah basah. Tetapi, bau arak itu masih meninggalkan kesan sukar untuk dihilangkan. Saifullizan mengetapkan gigi menahan geram pada gadis tadi. Mahu sahaja dia menampar wajah licin itu, tetapi otaknya masih waras dan menegah untuk berbuat demikian. Saifullizan mengambil keputusan untuk terus kembali ke rumah. Tidak tahan dengan bau arak pada seluruh badannya.

5 comments:

  1. wahh.. agak2 6t karmiza salah paham x kat saifullizan sbb bdan dye ade bau arak.. waa.. x sabar2 nie nk tou reaksi miza.. hehe.. thnx sis 4 diz n3.. ngee..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank u dear sbb bg komen n bca n3 ni..Hehe..Nnti akak bgtau post yg strusnya ye.. :D

      Delete
  2. epul ni x adalah jahat sangat..
    sebab bau arak pun dia x tahan jugak tuh..

    ReplyDelete
  3. Kn Ezza? Epul ni cma kwat mmbrontak..lgipn dgn cra mak bpak die dlu...hdup bbas aje..tu yg die trjbak..tp die x de jhat mna...cma slh dia brniat nk bnuh miza dlu...huhu..

    ReplyDelete
  4. Bile nk kluar crte berikut...? So curious... :(

    ReplyDelete