Bab 4
Habis bersepah kaca di atas lantai
dek amarah yang menguasai diri. Tidak puas dengan itu, ditendangnya meja kayu
bulat sehingga tunggang-terbalik dibuatnya. Nafasnya menderu pantas. Matanya
sudah merah menyala sehingga mengalirkan air mata. Dia mengetap gigi sehingga
bergerak-gerak rahangnya.
“Lelaki tak guna!!! Arggghhh!!!”
Nyaring suara GD menjerit. Bergema bilik persembunyiannya dek jeritan itu.
Kemudian, ditariknya salah seorang orang bawahannya dan ditumbuknya sehingga
pecah muka lelaki itu dibuatnya. Bila orang upahannya sudah tidak bermaya, GD
tetap mahu melampiaskan amarahnya yang menggila dengan mengambil pistol di
bawah lantai dan ditembaknya berkali-kali sehingga jatuh rebah lelaki tadi.
Dilemparnya pistol ke dinding dan matanya tajam memandang refleksi diri di
cermin.
Dia menoleh pada 2 keping gambar
yang sudah jatuh di atas lantai. Diambil kedua-dua keping gambar tersebut dan
matanya menilik wajah lelaki di dalam gambar yang dipegangnya itu.
“Saifullizan...Kau takkan terlepas
dari genggaman aku. Kerana kaulah hidup aku diburu sekarang! Apesal kau repot pasal Gedeng tu hah?!”
Jerkah GD pada gambar Saifullizan.
“Kalau bukan kerana kau, aku takkan
diserang oleh pihak polis. Dan sekarang, aku menjadi pelarian dan kau pula
senang-lenang bersama bini kau ni!” Gambar Karmiza direnyuknya dan dibuang ke
tepi. Matanya tajam melihat gambar Saifullizan. Terasa mahu ditelannya terus
gambar kecil itu. Dia berfikir sejenak.
“Aku takkan biarkan kau hidup
bahagia. Kau perlu rasa apa yang aku rasa sekarang. Aku akan buat hidup kau
merana tak lama lagi, Saifullizan! Kau tunggu dan lihat aje,” Lantas bergema
bilik kosong itu dengan gelak tawanya. Tubuh yang terkulai di bawah lantai
tidak dipedulikan. Tiba-tiba, terdengar bunyi siren dari luar. GD pantas
berlari memandang di luar tingkap. Kelihatan 2 buah kereta polis sudah
mengepung tempat persembunyiannya.
“Argghh!! Sial!! Ke sini pun korang
tahu! Argh!! Aku takkan lepaskan kau, Saiful! Takkan!” Tergesa-gesa GD keluar
dari lubuk persembunyiannya itu dan menuju ke laluan belakang. Dia pasti pihak
polis akan menyerbunya dari pintu depan. Hanya dia sahaja yang tahu tentang
laluan rahsia di belakang itu.
Saifullizan melangkah perlahan ke
meja makan. Baru hari ini dia berasa betul-betul sihat. Kalau tak, di katil
sahajalah tempatnya. Mahu 3 hari jugalah dia mengalami sakit perut. Asyik rasa
nak ke tandas sahaja. Dia hairan. Kenapa hanya dia seorang sahaja yang sakit?
Atuknya dan juga Mak Timah tidak pula. Begitu juga dengan Karmiza. Kalau dia
mahu menuduh masakan Karmiza yang menyebabkan dia sakit sebegitu, dia tiada
bukti. Mereka semua makan benda yang sama dan tiada pun tanda-tanda orang
sakit. Sihat walafiat aje. Sudahnya, dia mendiamkan diri tanpa merungut pun.
Dan sepanjang dia sakit, Karmizalah yang menemaninya. Karmizalah yang
membantunya itu ini. Dalam diam, dia berasa terharu dengan perhatian yang
diberikan oleh Karmiza pada dirinya.
Matanya merenung lama pada tubuh
kecil yang tengah sibuk membantu pembantu rumahnya. Begitu galak matanya
merenung wajah Karmiza. Tanpa sedar, Karmiza juga membalas pandangan mata
suaminya. Masing-masing telah hanyut di dalam dunia yang hanya mereka sahaja
yang tahu.
“Eheemm...Takkan tengah hidang
sarapan pun boleh angau kot?” Tegur Mak Timah. Karmiza tersedar dan
menggosok-gosok hidungnya. Malu dengan teguran Mak Timah. Tidak sangka pula dia
boleh ter ‘hanyut’ sekejap dengan renungan suaminya itu. Saifullizan pula
menggaru kepala yang terasa gatal tiba-tiba. Mukanya pura-pura tidak tahu. Mak
Timah menggeleng kepala seraya tersenyum penuh makna. Faham benar dengan
perasaan orang yang tengah hangat bercinta. Dia pun pernah muda dulu. Jadi tak
hairanlah.
“Assalamualaikum, semua. Selamat
pagi,” Ucap Haji Mukhri sebaik sahaja berada di ruang makan itu. Dia duduk di
kerusinya dan matanya pantas ditala pada wajah Saifullizan. Dari atas ke bawah
mata itu menilik wajah cucu tunggalnya itu.
“Haa...Dah sihat ke Epul? Dah boleh
pergi kerja dah?” Soal Haji Mukhri. Saifullizan mengangguk. Karmiza meletakkan
piring dan cawan di atas meja. Dituangnya air teh dari teko ke dalam cawan. Dia
kembali ke dapur dan mengambil segelas susu untuk Saifullizan. Saifullizan
mengeluh lemah.
“Susu lagi? Abang dah sihat dah. Tak
perlu minum susu. Bagi je air teh tu,” Panggilan ‘abang’ digunakan bagi menutup
pandangan atuknya dan juga Mak Timah.
“Ingat perut awak tu kuat sangat
ke?” Sindir Karmiza. Wajah Saifullizan sudah cemberut. Dijelingnya wajah
Karmiza tanda tidak puas hati. Gigi diketap menahan rasa geram. Karmiza pula
tersengih menang.
“Lagipun, susukan baik untuk tulang.
Kang tak pasal-pasal patah tulang dek mengeram lama-lama di dalam tandas tu macam
mana?” Karmiza mengenakan suaminya lagi. Mata Saifullizan sudah menjengil
padanya. Karmiza menahan tawa. Dia kembali ke dalam dapur ingin mengambil cawan
untuk dirinya sendiri.
“Dengar jelah cakap bini kamu tu,
Epul. Dia yang lebih arif pasal semua benda ni. Tak payahlah membangkang.”
Saran Haji Mukhri menangkan kata-kata Karmiza. Dari belakang Haji Mukhri,
Karmiza bertepuk riang dan mengucap kata ‘yes’ tanpa suara. Makin panas hatinya
bila Haji Mukhri sentiasa berpihak pada Karmiza. Tiada langsung niat mahu
membantu dirinya, cucu kandungnya sendiri. Sentiasa sahaja berpihak pada cucu
menantunya itu. Ceh! Pilih kasih betul!
Mak Timah meletakkan sepinggan nasi
dan sambal nasi lemak di atas meja. Karmiza mengambil sepinggan roti bakar dan
dihidangnya juga di atas meja tersebut. Haji Mukhri sudah menceduk nasi,
diikuti oleh Karmiza. Saifullizan hanya memerhati sahaja. Tiba-tiba sahaja dia
berasa terliur melihat nasi lemak. Sepanjang dia sakit, Karmiza menghidangkan
makanan ala-ala Malaysia, masakan kampung. Tiada sekalipun Karmiza
menghidangkan makanan western kepadanya. Mahu menolak, dia tak mampu. Sakit
perut sampai dia terima sahaja semua makanan yang dimasak oleh Karmiza. Dia
seperti terbiasa dengan makanan yang dimasak oleh isterinya itu. Dan sekarang, nasi
lemak itu pun dia mahu. Matanya masih tak lepas dari memandang nasi lemak di
dalam pinggan Mak Timah.
Bila terasa diri dipandang, Mak
Timah panggung kepala.
“Epul nak makan nasi lemak ke?
Tengok pinggan nasi lemak Mak Timah ni, macam kamu nak aje. Nak ke makan
makanan Melayu ni?” Saifullizan menelan liur. Terdengar tawa kecil dari bibir
Karmiza. Semua mata memandang Karmiza. Wajah Haji Mukhri dan Mak Timah bagai
tertanya-tanya. Manakala wajah Saifullizan pula macam nak makan orang.
Menjengil sahaja matanya bila tawa Karmiza tak henti.
“Mana tak nya, Mak Timah...Lidah dia
tu dah boleh terima masakan kampung, masakan orang Melayu kita. Sepanjang dia
sakit, saya bagi dia makan full set
makanan orang Melayu. Jangan harap nak makan western kalau saya yang masak! Tu yang terliur dengan nasi lemak
ni. Oh, ye, bang...Nasi lemak tu,
bukan saya yang masak kali ni. Mak Timah yang masak. Meh bak sini pinggan kosong tu,” Karmiza menyenduk nasi ke dalam
pinggan Saifullizan dan diletaknya sambal dan kacang serta ikan bilis goreng.
“Abang cakap abang dah sihat kan?
Haa...Cup cake bagi abang peluang
makan nasi lemak ni,” Karmiza tersenyum lebar. Lantas memori semasa menjaga
Saifullizan sewaktu dia sakit kembali menerjah minda.
Saifullizan terbaring lemah di atas
katil. Karmiza masih setia di sebelahnya. Doktor Ackiel masih memeriksa keadaan
Saifullizan.
“Dah berapa kali masuk tandas ni?”
Tanya Ackiel pada kedua-duanya. Saifullizan tak mampu bersuara. Matanya terarah
pada Karmiza meminta isterinya menjawab bagi pihaknya. Jari-jemari Karmiza
diangkat menunjuk bilangan berapa kali Saifullizan sudah ke tandas.
“Oh...6 kali dah. Cirit-birit tak?”
Karmiza mengangguk menjawab lagi. “Aik, awak pula yang tahu suami awak
cirit-birit ke tak, Miza?” Soal Ackiel hairan. Karmiza tersengih kambing.
“Hal rumah tangga, tak perlu tahu.
Pokoknya, saya tahu dia cirit-birit,” Karmiza sambung tersengih penuh makna.
Apa tidaknya, sudah semestinya dia tahu. Dia yang letakkan ubat julap ke dalam
kari ketam yang dimakan oleh Saifullizan. Tahulah dia apa akan terjadi pada
suaminya kalau sudah terkena ubat membersih perut tu.
“Emmm...Kalau macam tu, Encik Saiful
kena banyak-banyak berehat dan makan ubat yang saya beri ni ikut jam. Miza, I need to talk to you for a while. Saya
balik dululah ye Encik Saifullizan.”
Ackiel mengundur diri dan Karmiza membuntutinya di belakang.
“Saya hantar doktor Ackiel ke bawah,
ye?” Pinta Karmiza dan beredar keluar
mengikuti Ackiel. Saifullizan memejamkan mata dan memegang rasa senak pada
perutnya. Perutnya kembali memulas.
‘Aduh! Takkan nak ke tandas lagi?’
gusar hatinya sambil menahan rasa sakit itu.
Ackiel membuka pintu belakang
keretanya dan meletakkan beg yang sering digunakannya ketika bertugas. Dia
menutup pintu kereta. Dia bercekak pinggang.
“Apa yang awak dah beri kat suami
awak, Miza?” duga Ackiel. Karmiza menjuihkan bibir.
“Eeee...Sibuk je nak tahu. Saya tak buat apa-apalah,” Dalih Karmiza pula. Matanya
dilarikan dari memandang bola mata Ackiel. Kening Ackiel menjongket sebelah.
“Tak buat apa-apa? Don’t lie to me,
Miza. I know you more than your husband
do. Orang yang jujur takkan larikan pandangan matanya,” Terus sahaja mata
Karmiza beralih memandang tepat pada wajah Ackiel.
“Ni...saya pandang awak ni... Saya
tak tipu tau...” Mata bulat Karmiza tepat memandang wajahnya. Mata bundar besar
itu semakin besar bila Karmiza menunjukkan riak wajah tidak bersalah. Karmiza
cuba mempertahankan dirinya. Ackiel terasa mahu tergelak memandang wajah
Karmiza yang beriya mahu menyatakan bahawa dia tidak bersalah. Dia menutup
mulutnya dan tanpa tertahan lagi, dia menghemburkan tawa yang disimpannya dari
tadi. Karmiza memandang Ackiel hairan.
“Asal gelak?” soal Karmiza tidak
berpuas hati.
“Saya tak kata apa-apapun awak
sendiri dah mengaku. Nampak sangat pesalahnya ialah awak. Sampai hati buat
suami macam tu. Kalau saya jadi suami awak, dah lama saya cubit-cubit pipi
tembam tu,” Karmiza mencebik. Dia tahu dirinya sudah terkantoi. Tiada apa lagi
yang perlu berselindung. Ackiel sememangnya kenal siapa dirinya.
“Awak kalau menipu, mata besar awak
tu mesti jadi semakin besar. Ingat saya tak tahu ke? Dulu pun awak pernah cuba
nak tipu saya, tapi tak menjadi. Miza Miza...” Ackiel menggeleng kepala.
Tawanya sudah berhenti dan digantikan dengan senyuman manis. Kerenah Karmiza
tak pernah berubah dari dulu lagi. Macam budak-budak pun ada. Itu yang membuat
dia terpikat pada gadis itu. Semuanya kerana perwatakan gadis itu yang sering kali
mencuit hatinya sehingga mencuri hatinya.
‘Aduh! Sudah-sudahlah tu
Ackiel...Dia isteri orang. Janganlah kau angankan yang bukan-bukan,’ Detik
hatinya menegah diri daripada terus hanyut dalam perasaan sendiri.
“If
your husband know about this, he won’t forgive you for sure,”
“It’s
okay. I can handle it. Asalkan awak simpan rahsia ni elok-elok. Dia takkan
tahu pun. Lagipun, saya ada sebab kenapa saya berbuat demikian,” Sekali lagi
sebelah kening Ackiel terangkat. Kini tangannya disilang ke dada.
“Sebab? Ada sebab ke isteri buat
suami sakit perut sampai cirit-birit macam tu?” Duga Ackiel.
“Mestilah...Dan sebabnya, biar saya je tahu. Orang yang belum berumah tangga
ni tak perlu tahu pun. Kalau nak tahu, kenalah kahwin. Bilalah doktor nak
kahwin agaknya?”
“Eyyy...Dia dah mula dah. Malaslah
nak cakap pasal benda ni. Sudahlah kat rumah kena bebel dengan mak pasal hal
kahwin ni. Takkan awak sekali nak bebelkan pasal benda ni juga? Dah dah
dah...Saya tak nak dengar pun,” Ackiel menutup kedua-dua cuping telinganya.
Karmiza ketawa geli hati. Suka dia mengusik doktor muda itu.
“Kalau awak tak nak dengar saya
dengan mak awak bebel pasal benda ni, jadi baiklah awak kahwin cepat-cepat.
Saya ada kawan yang masih solo lagi. Nama dia, Nashuha Nadya. Comel orangnya.
Nak tak?”
“Haa...nak tukar profession pulak dah? Tak payahlah, Puan
Karmiza. Terima kasih sajalah. Saya tak perlukan orang mencari jodoh untuk
saya. Biar dia datang sendiri, ye?
Saya nak balik sekarang. Pesakit saya menunggu kat hospital tu. Cuti awak tu
jangan dipanjangkan pulak. Kerja tetap kerja. My profession needs you.”
“Yelah.
Terima kasih kerana sudi merawat abang sayang saya tu. Bye, assalamualaikum,”
Ackiel menjawab salam dan membolos masuk ke dalam kereta. Enjin kereta
dihidupkan dan tidak lama selepas itu, hilang kereta tersebut dari pandangan
Karmiza. Karmiza melambai-lambai Ackiel dari jauh. Bila dia berpaling, dia
tergamam melihat susuk tubuh suaminya yang memerhatinya dari atas veranda bilik
mereka. Berkerut wajah Saifullizan memandang wajahnya. Nampak macam lelaki itu
tak puas hati dengannya. Dia menggigit bibir.
‘Erk...Asal pandang aku macam nak
telan aku je?’ desis hatinya. ‘Ahh..takkanlah dia cemburu kot? Hati dia tu kan
batu? Tak mungkinlah,’
Karmiza masuk ke dalam rumah dan
membiarkan sahaja persoalan mengenai suaminya itu berlalu. Dia mahu masak bubur
untuk Saifullizan bagi mengisi perut suaminya setelah 6 kali mengeluarkan
segala isi perut itu.
Cekap Karmiza melakukan kerjanya.
Beberapa minit kemudian, bubur ayam sudah siap dimasak dan dibawanya semangkuk
bubur tersebut ke atas. Dia menolak daun pintu dan melihat Saifullizan yang
sudah kembali baring di atas katil. Diletaknya mangkuk dan juga segelas air
kosong di atas meja di sebelah katil. Dia mengejutkan Saifullizan untuk bangun mengisi
perut. Lagipun, dia perlu makan ubat. Haji Mukhri sudah pun berpesan kepadanya
untuk menjaga Saifullizan sebelum atuknya keluar melawat pejabat syarikat
mereka.
“Awak...bangun makan...Saya dah
siapkan bubur ni. Isi perut tu dulu sebelum makan ubat. Bangunlah,” Karmiza
menggerakkan bahu Saifullizan. Mata Saifullizan masih tetap tertutup rapat.
Tidak lama selepas itu, dia beralih membelakangi Karmiza.
“Awak...Saya tahu awak tak tidur
lagi. Jadi, baik awak bangun makan bubur ni sebelum saya simbah satu badan awak
tu dengan air nanti,” Bila mendengar ugutan Karmiza itu, lantas Saifullizan
berpaling semula menghadap Karmiza dan matanya tajam memandang wajah isterinya.
Dia mengagahkan diri untuk duduk dan bersedia untuk mengeluarkan kata-kata
berbisa pada isterinya itu.
“Kau ni sibuk sangat pasal aku ni
kena...”
Ngap...
Sudu sudah masuk ke dalam mulut
Saifullizan. Mata Saifullizan terbeliak dengan aksi pantas Karmiza itu.
“Jangan membebel boleh tak? Sakit
telinga saya ni...Sudahlah kena bebel dengan atuk tadi. Takkan dengan awak
sekali nak membebel kot? Ni tak macam orang sakit pun. Membebel saja kerjanya.”
Karmiza menarik sudu dari mulut Saifullizan dan diambilnya lagi bubur ayam dari
mangkuk. Hanya kerana tubuhnya tidak sihat, Saifullizan tidak mampu pula
menegah Karmiza dari menyuapnya. Malah, dibiarnya sahaja Karmiza menyuapnya
lagi.
‘Sedap juga bubur minah ni.
Aduh...Perut kosong dah minta untuk diisi. Tak sempat aku nak sound minah ni.’
Saifullizan mengunyah perlahan bubur
ayam yang dimasak oleh Karmiza itu. Tanpa disuruh, mulutnya dibuka secara
automatik. Karmiza tersenyum sampai ke telinga. Suka benar melihat aksi
Saifullizan yang tidak membantah itu. Tak perlu diminta untuk membuka mulut,
Saifullizan sudah ternganga minta disuap. Geli hatinya melihat kerenah
Saifullizan itu.
“Dah berapa lama kau kenal doktor
Ackiel?” Tiba-tiba sahaja Saifullizan bertanya ingin tahu. Karmiza masih setia
menyuap Saifullizan. Suaminya ikut sahaja tingkahnya itu.
“ Adalah...Hmmm...6 tahun. Semenjak
saya praktikal lagi saya dah kenal dia. Dia tu senior saya. Sama
seuniversiti...” Saifullizan terkedu. Tidak dia sangka bahawa Karmiza merupakan
lepasan graduan. Bukan calang-calang minah kampung perempuan ni, desis hatinya.
Saifullizan mengangguk. Tanpa dia sedar,
bubur ayam yang dimakannya sudah pun habis. Licin mangkuk tersebut. Karmiza
tersenyum puas. Tangannya mengusap rambut Saifullizan tanpa sempat dielak oleh
suaminya itu. Wajah Saifullizan berubah serta-merta. Entah kenapa, dia suka
pula bila Karmiza mengusap kepalanya sebegitu.
“Good
boy! Habis pun bubur ayam ni. Nah, jangan lupa makan ubat ni,” Karmiza
menyerahkan pil-pil ubat yang perlu dimakannya. Dia akur dan mengambil pil dari
tangan Karmiza. Dia meneguk air setelah menelan ubat tersebut.
“Ingat aku anjing ke apa? Perlu ke
ucap good boy?” Ucap Saifullizan
setelah meneguk ubat tadi. Karmiza mengambil mangkuk dan juga gelas kosong. Dia
masih duduk di samping suaminya di tepi katil itu.
“Hmmm...Kalau tak nak saya panggil good boy. Then, saya panggil awak good hubbylah! Sesuai gitu.” Ujar Karmiza
pula.
“Sukatilah,”
Ujar Saifullizan, malas mahu bertekak tentang hal remeh-temeh itu. Bila sudah
merehatkan badan seketika setelah makan, Saifullizan kembali baring semula. Dia
memejamkan mata mahu mengurangkan rasa sakit yang dialaminya itu.
“Okey, abang. Rehatlah ye? Kalau nak apa-apa, panggil je saya. I will always be there for you,” ucap Karmiza. Lantas dahi suaminya
dikucup lama. Mata yang sudah terpejam, pantas terbuka. Terasa lembut dan sejuk
bibir isterinya yang melekap pada dahi miliknya. Hatinya terasa bahagia.
Mungkinkah akan kekal perasaan ini selamanya?
Karmiza menghampiri Saifullizan yang
sudah bersiap ke pejabat. Direnungnya lama wajah bersih suaminya itu. Terasa
begitu berat hatinya melepaskan Saifullizan pergi. Padahal hanya sekadar ke pejabat
sahaja. Tetapi, hatinya benar-benar terasa lain macam. Dia tiba-tiba berasa
takut. Takut mahu melepaskan Saifullizan pergi meninggalkan dirinya. Pada saat
itu dia terasa mahu menangis sahaja.
Bila sepi sahaja tanpa bual bicara,
Saifullizan mendongak memandang wajah Karmiza. Dia kelu seketika. Begitu galak
mata bundar itu merenung wajahnya. Terasa bergetar jiwanya saat mata mereka
berpadu. Walaubagaimanapun, dia berasa ada sedikit kelainan pada wajah Karmiza.
Kalau selalu, begitu ceria wajah mulus itu bila menemaninya sebelum dia beredar
ke pejabat jika isterinya itu tengah bercuti. Tetapi, lain pula hari ini.
‘Takkan dia masih risaukan kesihatan
aku kot?’ Desis Saifullizan dalam hati. Saifullizan menghampiri isterinya dan
mengambil beg kerja dari tangan Karmiza. Karmiza masih dia seribu. Masih tiada
satu pun kata yang terkeluar dari bibir mungil itu.
“Kau ni senyap saja dari tadi
kenapa? Kat meja makan bukan main becok lagi mulut tu,” Tegur Saifullizan.
Karmiza hanya menggeleng lemah. Mukanya nampak begitu mendung sekali. Berkerut
dahi Saifullizan bila perasan akan perubahan drastik pada sikap Karmiza hari
ini. Wajah Karmiza tunduk sahaja menekur lantai. Hati Saifullizan rasa tak
senang bila Karmiza bersikap sedemikian.
Tidak tahan dengan tundukan Karmiza
tanpa suara, terus sahaja dia mencuit dagu itu dan diangkatnya supaya mata
bundar itu memandang matanya. Karmiza terkedu.
“Hari ni aku rasa perangai kau pelik
semacam. Tadi, kau happy giler
kutuk-kutuk aku depan atuk dan Mak Timah. Sekarang, bila dia orang tak ada, kau
jadi macam tunggul tak bernyawa pulak. Asal ni?” Soal Saifullizan. Rasa bimbang
akan isterinya terbit jua di hati.
Tak mampu menahan lagi, Karmiza
terus menarik tubuh Saifullizan dan dipeluknya erat. Saifullizan tercengang
seketika. Terasa nadinya berdenyut dengan pantas tika itu. Begitu dia
menginginkan dakapan yang erat sebegitu dari Karmiza. Sedetik kemudian,
Saifullizan merenggangkan pelukan itu di saat terdengar bunyi sendu di sebalik
wajah yang disebam pada dadanya itu. Dia kaget di kala terpandang akan mutiara
jernih yang laju mengalir di pipi Karmiza.
“Hey...Kenapa ni? Asal nangis
awal-awal pagi ni? Ditengok dek atuk nanti, naya aku. Nanti apa pulak orang tua
tu fikir. Dia ingat aku buli kau pulak,”
“Saya tak tahu kenapa, hari ini hati
saya begitu sensitif sekali. Macam sukar bagi saya melepaskan awak pergi
walaupun awak hanya ke pejabat. Nak kerja...Entah, saya pun pelik. Saya tak
boleh tahan. Saya rasa nak nangis sangat hari ini. Saya takut akan terjadi
apa-apa kat awak. Saya tak mahu,” rintih Karmiza lalu menyebam kembali wajahnya
pada dada Saifullizan.
‘Erk...Yang tangkap syahdu tiba-tiba
ni kenapa? Pelik betul bini aku ni. Nak kata perubahan sikap disebabkan
perubahan fizikal sebab ehem-ehem, tak jugak. Aku mana pernah sentuh dia pun,’
Ligat otak Saifullizan berfikir akan kemungkinannya.
‘Oh, mungkin sebab dia period kot. Tu yang sensitif semacam
hari ni. Eh, tak habis lagi ke?’ Sempat lagi akalnya terpesong ke situ.
“Erk...Sayang, abang nak ke pejabat
ni. Habis basah baju kot abang sebab air mata sayang ni. Janganlah nangis.
Abang tak apa-apalah. Abang dah sihat dah,” Tiba-tiba nada suaranya berubah
lembut. Malah, panggilan juga sudah berubah. Karmiza tergamam sebentar.
Tiba-tiba sahaja otaknya kosong. Tidak mampu berfikir. Seketika kemudian,
barulah dia sedar akan kehadiran Mak Timah di situ. Dia melepaskan pelukan dan
mendongak memandang wajah Saifullizan. Dia tahu, Saifullizan tengah melakonkan
watak suami penyayang bila berada di depan Mak Timah. Namun, dia sudah tidak
kisah tentang itu lagi. Hatinya benar-benar tak keruan. Dia tak mampu
berenggang dari suaminya.
Saifullizan menyuakan tangan pada
Karmiza.
“Salamlah. Abang nak pergi kerja ni,”
Matanya masih memerhati keberadaan Mak Timah di situ. Sempat lagi dia membalas
senyuman kepada Mak Timah sebelum wanita itu kembali ke dalam rumah. Tetapi,
tangannya masih tetap menunggu untuk disambut. Sudah menjadi kebiasaan pula
sebelum dia pergi ke pejabat.
Lambat-lambat Karmiza menyambut
tangan itu dan dikucupnya lama. Jatuh lagi air matanya, laju menggelongsori
pipi. Saifullizan terasa risau pula bila Karmiza tak berhenti menangis. Pantas
tangannya menyeka air mata itu. Diusapnya lembut pipi Karmiza dan dia
menghadiahkan senyuman yang paling manis buat isterinya. Karmiza terpana
memandang senyuman ikhlas itu. Jarang benar melihat Saifullizan senyum ikhlas
padanya.
“ Janganlah nangis lagi, cup cake. Tak senang pula hati saya bila
nak ke pejabat ni. Takut menghantui saya sepanjang berada di pejabat pula.
Jangan risau, ye? Saya dah sihat pun.
Terima kasih kerana menjaga saya dalam beberapa hari ini.” Ucap Saifullizan
ikhlas. Bila melihat wajah mendung Karmiza sewaktu itu, hatinya terasa sayu.
Ucapan tadi benar-benar terluah ikhlas dari lubuk hatinya. Panggilan ‘saya’
juga digunakan dengan lancar sekali. Tiada lakonan atau kepura-puraan. Semuanya
diluahkan dengan ikhlas. Tulus dari hatinya.
Karmiza berhenti menangis. Hatinya
terpujuk akan kata-kata suaminya itu. Seraya itu, dia mengulumkan senyuman
kecil. Dia memegang tangan Saifullizan dan dikucupnya lembut. Lalu, tangan
Saifullizan menarik perlahan kepala Karmiza ingin mengucup dahi isterinya. Sungguh Karmiza diruntun rasa
terharu dan bahagia di kala ini. Kini, hidupnya terasa sempurna, tiada kurang
pun sesuatu. Saifullizan begitu sempurna baginya.
“Saya pergi dulu ye?
Assalamualaikum,” Ucap Saifullizan setelah bibirnya sudah dijauhkan dari dahi
Karmiza. Bila kakinya ingin melangkah, terdengar suara Karmiza memanggil
namanya lembut. Dia berpaling. Di bibirnya tak lepas dari mengulumkan senyuman
buat Karmiza.
“Abang, tak kiralah apapun yang
terjadi, saya bersyukur kerana abang hadir dalam hidup saya. Mungkin abang
masih belum dapat menerima saya sepenuhnya, tetapi, percayalah...Hati saya
ikhlas menerima abang. Dan...saya cintakan abang. Saya cintakan awak,
Saifullizan Ezran. Saya cintakan awak setulus hati saya,” Luah Karmiza tenang.
Ternyata apa yang diluahkan oleh Karmiza itu benar-benar menyentak hatinya.
Begitu lain benar sikap isterinya hari ini. Kata-kata isterinya itu melekat
terus di mindanya. Entah kenapa, dia berasa terharu dengan luahan ikhlas
Karmiza itu. Dia berasa senang dengan kata-kata isterinya tadi. Lantas, dia
memboloskan diri ke dalam perut kereta.
Karmiza berasa terkilan sebaik
sahaja melihat Saifullizan masuk ke dalam kereta tanpa kata. Dia hanya mengeluh
lemah. Tidak mengapalah, mungkin belum tiba masanya lagi untuk Saifullizan
menyambut cintanya. Dilihatnya kereta Saifullizan yang sudah berundur ke
belakang ingin keluar dari perkarangan rumah mereka. Dengan lemah, digagahkan
kakinya ingin beredar dari situ. Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dari
belakang. Pantas dia menoleh.
“Saya akan balik awal hari ini.
Masakkan saya makanan Melayu yang sedap-sedap, boleh? By the way, I will think about your sincere confession just now.
Cuma saya perlukan masa lagilah. Okey, bye
cup cake!” Laju kereta Lamborghini itu meluncur pergi. Sempat lagi
Saifullizan menghadiahkan kenyitan maut sebelum pergi. Karmiza terpinga-pinga
buat seketika. Tidak lama selepas itu, dia bersorak riang. Bibirnya tak pernah
lekang dengan senyuman bahagia. Adakah ini bermaksud Saifullizan mula membuka
ruang untuk dirinya di dalam hati kecil lelaki itu? Arghh!! Bahagianya!
Mata Karmiza terus terbuka. Sebaik
sahaja kelopak mata itu terbuka luas, dia perasan akan kehadiran air jernih
yang jatuh mengalir di pipi. Dia menyeka air mata itu. Terus sahaja mindanya
mengingat kembali mimpi ngeri yang menjengah tidur lenanya sebentar tadi. Dia
berasa takut. Dia mimpikan Saifullizan dan terus sahaja hatinya menjadi tidak
senang.
Dia tidak boleh lupa akan mimpi
ngeri itu. Di dalam mimpinya, Saifullizan mengalami kemalangan yang ngeri
sehingga menyebabkan nyawa lelaki itu tergadai. Tubuh suaminya juga dipenuhi
darah merah pekat dan warna kemeja yang dipakai oleh suaminya berubah warna.
Karmiza kaget. Pantas dia mencari-cari telefon bimbit. Karmiza seperti orang
hilang arah bila telefon bimbit yang dicari tidak jumpa.
Matanya menyoroti setiap genap bilik
tidur itu, mencari-cari barang yang penting itu. Cuping telinganya menangkap bunyi
ringtone telefon bimbitnya tidak lama
kemudian. Matanya terarah pada meja tulis yang berada di depan veranda
biliknya. Laju sahaja dia mengambil alat elektronik itu tanpa sempat melihat
nombor si pemanggil. Tanpa sengaja, sikunya terlanggar bingkai gambar Saifullizan.
Pecah kaca bingkai gambar tersebut di atas lantai. Segala perbuatan Karmiza
terhenti. Lama matanya memandang bingkai gambar yang sudah pecah kacanya itu.
“Hello? Hello?” Sahut pemanggil di
talian sebelah. Mata Karmiza masih tidak berganjak dari bingkai gambar yang
berada di atas lantai itu. Perlahan-lahan, dia mencangkung dan mengutip gambar
Saifullizan.
“Ah!” Jerit Karmiza kecil. Jarinya
luka dek serpihan kaca. Nampak darah merah mula mengalir dari jarinya itu. Bila
terpandangkan darah merah itu barulah akalnya kembali ke realiti. Dia menoleh
pada telefon bimbit yang masih bernyala di tangan. Lantas, ditekapnya pada
cuping telinga.
“Hello? Sorry, siapa ni?”
“Miza! Finally, you answer me! Look, saya
nak awak bertenang sebaik sahaja awak mendengar khabar yang bakal saya bagitahu
ni,”
“Ackiel? Apa maksud awak?”
“You’re
husband, Saifullizan...Dia kemalangan. You
need to be here right now!”
“What!?”
Nafas Karmiza terasa sekat dan sesak
bila mendengar perkhabaran itu. Lemah lututnya sehingga menyebabkan dia tidak
mampu menampung tubuhnya. Karmiza terduduk di sebelah meja tulis dan telefon
bimbit dimatikan. Karmiza menangis bersama sendu. Air mata laju sahaja mengalir
tanpa sekatan.
Mak Timah yang baru sahaja masuk ke
dalam bilik Saifullizan ingin menghantar baju-baju yang sudah siap dilipat,
terkejut bila melihat cucu menantu kesayangan Haji Mukhri menangis di tepi meja
tulis bersama serpihan kaca di lantai. Mata Mak Timah menangkap darah merah
yang mengalir di jari Karmiza.
“Ya Allah, Miza...Kenapa ni nak? Apa
dah jadi ni? Kenapa Miza menangis?”
“Mak..mak Tim..Timah..Ab..abang
Epul...”
“Kenapa dengan Epul, nak?”
“Dia kemalangan Mak Timah....Abang
Epul kemalangan.”
“Astaghfirullahalazim,” Berita itu
benar-benar mengejutkan dirinya. Mak Timah membantu Karmiza untuk berdiri.
“Kita kena segera ke hospital
sekarang. Nanti, Mak Timah suruh Pak Tam
drive ke sana. Haji Mukhri tak ada di sini. Dia ke rumah kebajikan tempat
Miza tinggal dulu. Nanti Mak Timah maklumkan pada dia.” Karmiza tidak
mengangguk, tidak menggeleng juga. Otaknya sudah kosong tidak memikirkan
apa-apa selain keadaan suaminya.
“Sebelum kita ke sana, baik Miza
cuci luka ni dulu,” Mak Timah membawa Karmiza ke bilik air ingin membersihkan
luka di jari. Karmiza hanya menurut sahaja. Air matanya sudah berhenti cuma
sendu sedan sahaja yang kedengaran.
“Bersabar ya, Miza. Ini semua ujian
Allah. Kita kena sentiasa berdoa agar Epul tak apa-apa,” Karmiza memandang
kosong pada wajah Mak Timah. Tidak lama selepas itu, dia terasa tubuhnya begitu
ringan sehingga dia terjelumpuk ke lantai.
“Ya Allah! Miza!”
good job writer..
ReplyDeleteawk buat saya tertnya2 ape akn terjadi akn datang..adakah suami miza akn slmat...
serius ingin nk tahu...hehe :D
Thanx ye bca n3 sy n fllow cter ni...hehe...nntikn bab yg strusnya yee.. :D
DeleteBesttttt dan terbaikkkk...ap jadi kat epul???..mesti epul kena aniaya dengan si GD ni..GD kan nak balas dendam degan epul...cik writer...cepat2 update ye...tak sabar dah ni....hihihi
ReplyDeleteHaaaa...klu nk tahu..kne la tggu next n3 ye..? Thanx krana stia mnuggu cter ni..hehe... :D
Deletemintax2 lah epul baik2 aje ... amin... kihkih
ReplyDeleteHeeee....Amin... <3
Deletenk thu ape yg berlaku pda saifullizam adakah die selamat ataw pon seblik yer....
ReplyDeletehaaa....kne tggu ye...thanx bce.. ;)
Deletebla nk ada smbungan....best arrr
ReplyDeletethanx anis...trharu awk bca cter ni...kne la tggu yee.. ;)
Deletewaaaaa...x saba nak tgok finalnye...
ReplyDeletecpt smbung ye..
hehee
heee....knela tggu ye...thanx bca.. ^-^
Deleteterbaek...
ReplyDeletecepat2 sambung tau...
Thanx elmi bca krya kte.. :) Insya-Allah...
Delete