Sunday, April 22, 2012

Cerpen 2 Kali Lamaran Dari Encik Chipsmore Part 2

Cerpen: 2 Kali Lamaran Dari Encik Chipsmore Part 2


“Abang, macam mana ni? Kita dah terlanjur berjanji dan Fiqa pula tak tahu pasal benda ni langsung! Bila lagi kita nak beritahu dia?” Puan Meriam begitu gusar akan reaksi anaknya nanti sekiranya rahsia antara dirinya dan suami bakal terbongkar.
“Kamu, Yam...Tak usahlah nak peningkan sangat minda awak dengan benda ni. Saya pasti anak awak tu terima aje apa yang kita dah auturkan untuk dia. Diakan anak yang patuh pada kita. Kalau dia tak nak terima keputusan saya, siaplah dia saya kerjakan,” Seloroh Tuan Badir pula. Kepalanya disandarkan pada kepala katil beralaskan bantal. Di tangannya ada sebuah buku panduan untuk orang yang bakal mengerjakan haji. Tidak lama lagi, dia dan isteri akan mengerjakan ibadat Haji. Begitu terujanya dia bila simpanannya sudah cukup bagi mereka menunaikan salah satu ibadat wajib itu.
“Awak ni,bang...Terlalu bertegas sangat kat dia tu. Cubalah berlembut sikit kat anak-anak. Manalah budak-budak tu nak dekat dengan awak. Diorang tu semua takut bila ada awak,” Puan Meriam mendekati suaminya dan dia duduk di sebelah suaminya itu. Tuan Badir menilik wajah isteri yang sudah 30 tahun lebih hidup bersamanya.
“Awak tu yang manjakan sangat diorang tu...Saya sebagai ayah perlu bersikap tegas. Lebih-lebih lagi kat anak perempuan kita tu. Bukannya senang nak jaga anak perempuan. Yelah, segala dosa isteri dan anak perempuan, suami yang tanggung. Kalau di masa akhirat nanti, saya tak didik isteri dan anak perempuan saya dengan betul, tak pasal-pasal dengan saya sekali ditarik ke neraka. Saya tak naklah kita sekeluarga menjadi ahli neraka. Saya tunaikan kewajipan saya sebagai ketua rumah dan ketua keluarga ini,”
“Saya tahulah semua tu. Bukannya saya tak belajar agama ni, bang. Cuma saya nak ingatkan awak, kalau kita terlalu bertegas sangat kat anak-anak kita, mereka akan menjauhi kita. Kasih sayang ibu bapa tu penting, bang. Tegas tu tegaslah. Tapi, jangan sampai menakutkan mereka,” Dalih Puan Meriam pula. Tuan Badir hanya diam sahaja. Dia tidak mahu bertengkar dengan isterinya sewaktu ini. Biarlah... Apa yang dikatakan isterinya itu, ada betulnya juga. Begitulah kehidupan sepasang suami isteri. Perlu ada pros dan kontrasnya. Bila seorang tengah marah, seorang lagi kenalah diam. Perlu ada kesefahaman di situ.
“Jadi, saya tak naklah kita ni asyik mengawal mereka. Mereka tu dah besar panjang. Dah pandia menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Dalam soal ni, saya rasa...Baiklah mereka yang buat keputusan. Saya pun tak tahan nak simpan rahsia ni lama-lama. Baik terus-terang aje. Kalau Fiqa membantah keputusan kita, kita biarkanlah saja, ye?” Pujuk Puan Meriam pada suaminya. Di dalam hati, dia berdoa agar hati suaminya akan lembut dengan pujukannya itu.
Tuan Badir mengeluh lemah. “Yelah. Kali ni, saya biarkan dia buat keputusan. Saya harap dia pandai buat keputusan dengan betul! Jangan sampai dia memalukan kita, sudah! Kalau tak, awaklah yang bertanggungjawab atas segalanya,”
“Yelah! Saya tahu, anak perempuan saya tu mesti berfikir dahulu sebaik mungkin,” Ucap Puan Meriam seraya tersenyum lebar. Kali ini, suaminya bersetuju dengan tindakannya. Jadi, esok dia mahu memberitahu Fiqa tentang rahsia yang mereka simpan selama ini.
***
“Ibu, hari ni kita kena tidur kat rumah Azah, nak buat kerja sikit. Esok nak hantar!” Ujar Fiqa sebaik sahaja bersemuka dengan ibunya pada awal pagi itu. Puan Meriam tersentak, lalu menggigit bibirnya.
“Erk...malam ni Fiqa tak baliklah ni?” Fiqa mengangguk laju. Diambilnya sekeping roti dan dimasuknya ke dalam mulut.
“Dah beritahu ayah?” Soal Puan Meriam lagi.
“Belum. Tapi, ibu tolong beritahu ayah untuk kita okey? Kita dah lewat ni. Bye, Assalamualaikum,” Pantas Fiqa mencium kedua-dua belah pipi ibunya dan menarik tangan tua itu serta diciumnya penuh hormat. Tergesa-gesa dia keluar dari dapur menuju ke almari kasut. Diambilnya sandal berwarna hitam dan dipasangnya segera.
Tuan Badir yang baru sahaja menapakkan diri di dapur menjengah ke luar. Dilihatnya Fiqa sudah membuka pintu pagar dan berlari anak menuju ke stesen bas yang berada tidak jauh dari rumah teres 2 tingkat milik mereka. Dia berkalih memandang isterinya yang berkerut wajah seribu.
“Cepat benar dia keluar. Dah lewat sangat ke?”
“Dia tak nak kena tinggal baslah tu,” Jawab Puan Meriam. Tangannya menuang air kopi dari teko untuk suaminya. “Awak dah beritahu dia pasal apa yang awak nak cakap malam tadi?” soal Tuan Badir. Puan Meriam mengeluh lemah.
“Belum sempat saya nak bukak mulut, dia dah keluar bang. Tulah anak kamu tu. Bangun lewat-lewat, lepas tu tergesa-gesa mengejar bas pula. Malam ni, dia cakap nak tidur kat rumah sahabatnya tu, si Azah. Dia suruh saya pesan kat dia tadi. Tu yang dia bawak beg besar tadi. Padahal, semalam je pun,” Ujar Puan Meriam panjang. Tuan Badir menghirup perlahan air kopi panas.
“Biarlah dia tu. Asal pandai jaga diri, tu dah elok bagi saya. Ha..Dia pergi tidur rumah kawan dia tu, kenapa?”
“Nak buat kerja sikit katanya,” Tuan Badir hanya mengangguk. Dia mengambil surat khabar yang berada di atas meja makan dan dibacanya berita-berita yang terpampang di dada akhbar.
“Nanti, bila dia dah balik ke sini, awak beritahulah dia. Jangan lupa pulak. Saya ni, tak pandai sangat nak slow talk dengan anak perempuan saya tu. Jadi, saya berikan tugas ni kat awaklah,ye?” Puan Meriam mencebik.
“Yelah, ayahnya. Tulah susahnya kalau jadi awak. Nak cakap dengan anak perempuan pun susah. Nasib baiklah anak perempuan kita hanya ada 2 orang. Kalau ramai, saya tak tahulah nak cakap macam mana,”
“Tulah tugas seorang ibu,”
“Tu pun anak awak jugak, ayahnya oii...Lain kali awak kena ubah bab tu. Kena pandai-pandai ajak anak perempuan awak berbual.”
“Hmmm...Baiklah.” Itu sahaja ucap Tuan Badir. Tidak mahu membebel di depan rezeki. Diletaknya surat khabar tadi ke tepi, dan diambilnya roti telur dari pinggan.
“Syakir mana? Tak bangun lagi ke budak tu?”
“Hey..Kalau cakap pasal anak lelaki, laju saja awak ye?” Tuan Badir berdeham.
“ Dia tak ke mahkamah ke hari ni?”
“Aik? Cakap sayang anak lelaki? Takkan pasal Syakir pun awak tak tahu? Dia cutilah ayahnya. Sebab tulah tak bangun-bangun dari tadi. Berdengkur lepas solat subuh tadi,” Tuan Badir berhenti mengunyah. Dia berdiri dan menuju ke bilik Syakir yang terletak di tingkat bawah itu.
“Ahhh!!!” Jerit suara Syakir dari dalam bilik. Puan Meriam menepuk dahi. Tahulah dia apa yang suaminya lakukan untuk mengejut anak sulung terunanya itu.
Bila anak terunanya sudah bangun keluar menuju ke dapur, dilihatnya keadaan anak terunanya dari atas hingga ke bawah. Ditutupnya mulut dengan tangan menahan gelak.
“Ibu...Tengoklah ayah tu. Sampai hati kacau kita tidur. Habis satu badan kita basah. Katil kita pun basah jugak tu,” Seloroh Syakir. Bajunya sudah basah lecun dek disimbah air sebaldi oleh ayahnya. Tak tahan melihat wajah anak terunanya sudah monyok, dia menghemburkan tawa yang ditahannya tadi.
“Ibu, janganlah gelak kat kita!”
“Itulah kamu. Ibu dah cakap awal-awal. Ayah pantang kalau ada anaknya tidur selepas subuh. Kamu cuti sekalipun, kamu tak boleh cuti dari pengawasan ayah kamu,”
“Bertuah punya budak. Ayah ajar apa dari dulu? Jangan tidur selepas solat subuh! Lari rezeki.”
“Alah...ayah, malam tadi kita tidur lewatlah. Nak usahakan dokumen penting yang diperlukan oleh client. Nak tidur pun tak boleh,” rungut Syakir. Menitik-nitik air dari baju tidurnya.
“Ha..Pergilah tidur balik, kalau kamu sanggup tidur kat katil basah tu,” duga Tuan Badir. Syakir menjuih bibir.
“Yelah...Kita pergi mandi dulu,” Ujar Syakir mengalah dengan ayahnya. Dia kembali ke bilik dan menuju ke bilik air di dalam biliknya. Puan Meriam menggeleng.
‘Haih...Suami aku ni, suka sangat dera anak. Kesian anak-anak aku,’ detik hati Puan Meriam.
***
Dia duduk di kerusi kosong di dalam bas itu. Dalam masa 5 minit lagi, sampailah dia ke stesen bas yang seterusnya. Dari situ, dia kena mengikuti bas Rapid KL yang bernombor 604 untuk masuk ke dalam UiTM.
Dia meletak beg dibahu ke ribanya. Baru sahaja ingin melayan diri, tiba-tiba telinganya ditutup dengan satu objek yang memainkan satu lagu indah. Bahunya terjongket sedikit kerana terkejut. Dia menoleh ke belakang. Matanya terbeliak melihat gerangan yang memasangkan headphone pada telinganya disebalik tudung yang dipakainya. Lelaki itu tersengih dan bergerak ke depan, duduk di sebelah Fiqa. Mata Fiqa masih terkebil-kebil tidak percaya.
“Awak? Buat apa kat sini?”
“Saya naik baslah! Nak buat apa lagi?”
“Erk?” Lantas tangan Fiqa ingin menarik headphone dari telinganya. Namun dihalang oleh lelaki itu. “Eh...Tak payah tarik. Awak dengarlah dulu,”Ucap lelaki berbadan tegap itu. Fiqa malas mahu bertekak dan membiarkan saja headphone di telinga. Dia mendengar lagu yang dimainkan dari mp3 yang dipegang oleh lelaki itu.
“Nak?” Ujar lelaki sebelah. Mata Fiqa menyorot pada paket biskut Chipsmore di tangan lelaki itu. “Tak naklah. Tak apa,” Ucapnya seraya menggeleng.
“Eleh...Buat-buat malu konon. Ambiklah, saya tahu awak mesti nak punya!” Disuanya lagi paket ke muka Fiqa. “Eh! Tak apalah. Awak makan je biskut Chipsmore tu. Saya dah kenyang,” Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi perut berkeroncong. Makin terbakar mukanya menahan malu. Lelaki di sebelah tergelak sakan.
“Kenyang konon! Tu bunyi perut tu tak boleh menipu tau! Ambik ni,” Lelaki itu mengambil sekeping biskut bulat dari paket tadi.
“Tak mahulaa...”
Ngap.
Pantas sahaja biskut itu selamat masuk ke dalam mulut Fiqa. Fiqa terkejut dengan reaksi pantas Encik Chipsmore di sebelah.
‘Ngee...Sukahati dia aje masukkan biskut Chipsmore ni kat dalam mulut aku. Haih...Tak apalah. Nama rezeki kan? Tak boleh nak tolak. Hehehe...’ omel hatinya.
Fiqa melayan lagu yang bernyanyi di cuping telinga sambil mengunyah biskut di tangan. Dia menoleh ke sebelah. Matanya dan juga mata Encik Chipsmore bersatu. Fiqa hairan. Kenapa setiap kali lelaki ini muncul, hatinya terasa begitu tenang sekali? Dia berasa begitu selama bila berada di sisi lelaki yang berwarjah putih bersih itu. Berbeza sekali dengan kulit wajahnya yang kungin langsat.
“Best tak lagu tu?” Soal lelaki itu. Fiqa menarik headphone dari kepalanya. Diserahkan benda itu kepada hak milik asal. Encik Chipsmore mengambil kembali barangnya.
“Menarik! Lagu instrumental tu begitu menenangkan hati saya. Siapa yang compose lagu tu?”
“Saya!” Fiqa memandang tidak percaya. “Serius! Saya yang buat lagu tu. Saya suka main piano.” Fiqa hanya menjongket bahu.
“Awak suka tak?”
“Hmmm..Sukalah jugak.”
“So, kalau awak suka, maksudnya saya ada canlah ni?”
“Hah?” Dahi Fiqa berkerut hairan. Direnungnya wajah lelaki di sebelah dan terpampang wajah ke ‘blur’annya. Encik Chipsmore tersenyum kecil. Lalu dicuitnya hidung Fiqa tanpa sempat Fiqa elak. Makin menjengil mata Fiqa dengan perlakuan lelaki itu.
“Saya rasa, saya sukakan awaklah! Saya harap awak suka kat saya sama macam awak suka kat lagu yang saya olah tu. Bye, sayang!” Jeritnya tanpa hirau orang di dalam bas sebelum turun dari bas itu. Wajah Fiqa ternyata tercengang. Perlahan-lahan telinganya dirasakan begitu panas kerana perasaan malu yang mula menular di hati.
‘Kurang asam punya Encik Chipsmore! Adakah patut datangnya tak berjemput, lepas tu jerit melalak di dalam bas ni sampai buat aku malu cam gini? Heish! Lepas tu boleh pulak dia menghilang macam tu aje. Memang mamat tak tak cukup seringgit!’ Hatinya menggerutu geram.
Sebaik sahaja bas berhenti ke stesen yang seterusnya, Fiqa turun dan masuk semula ke dalam bas Rapid yang sudah sedia menanti penumpangnya. Sepanjang perjalanan ke fakulti, mindanya asyik memikirkan kata-kata yang diluahkan oleh Encik Chipsmore tadi.
“Saya rasa, saya sukakan awaklah!” Luahan dari Encik Chipsmore itu masih segar di ingatannya.
‘Dia sukakan aku? Baru beberapa kali jumpa. Begitu senangkah orang jatuh cinta? Ish...Pelik pelik. Cinta itu sangat pelik. Tetapi, orang cakap cinta itu indah dan juga menyakitkan. Apakah cinta aku nanti hadirnya membawa bahagia atau derita ya?’ Omel hatinya.
***



2 comments:

  1. siapa Encik Chipsmore ni sebenarnya??????????

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ehee...Nur Atiza...kne la tggu yek..bru tau spe die sbnrnya.. ;)

      Delete