Advertisement

Rakan-rakan pengikutku

Saturday, October 20, 2012

Mini Novel : Penyelamat Cinta bab 16


Bab 16

          TANGAN yang sudah berkedut dimamah usia mengambil cawan yang tersedia di atas meja. Disisipnya sedikit air kopi yang disediakan oleh gadis yang sudah lama tidak hadir dalam hidupnya. Betapa dia merindui gadis bermata bundar itu.
            Mata yang jatuh pada wajah mulus si gadis akhirnya beralih memandang wajah budak lelaki yang nyenyak tidur di atas riba si gadis tadi.
            “Mizan...Adakah Mizan anak Epul dan Miza?” Soalan yang dari tadi tersimpan kemas di minda akhirnya terluah jua. Karmiza memandang lembut pada wajah lelaki yang setia membalas pandangannya. Soalan tadi dijawab dengan gelengan lemah. Berubah sedikit wajah lelaki itu.
            “Dialah anak kawan Miza yang Miza pernah cerita tu tok. Walaupun dia bukan darah daging Miza, tetapi dia tetap anak Miza. Anak susuan Miza.” Karmiza menjawab dengan jujur. Diusapnya rambut Mizan penuh kasih sayang. Sayang benar Karmiza pada anak susuannya itu. Haji Mukhri hanya mengangguk. Diteguknya kembali kopi yang dihidang oleh Karmiza tadi sampai habis.
            “Berapa umurnya, Miza?” Haji Mukhri mengutarakan soalan lagi.
            “2 tahun, tok.”
            “Mana kawan Miza sekarang? Dia kerja lagi ke?”
            “Kak Akilah selalu balik lewat. Demi mencari nafkah untuk anak tunggalnya ni, dia sanggup lakukan apa saja. Suaminya dah lama meninggal. Kak Akilah seoranglah yang membanting tulang demi menyara Mizan.” Karmiza membuka cerita tentang Akilah. Tiada langsung niat ingin menyimpan rahsia tentang kakak angkatnya dan juga anak susuannya itu. Sememangnya Haji Mukhri benar-benar terkejut akan berita tentang Mizan. Tetapi, hatinya tetap menerima siapa Mizan dalam hidup Karmiza sekarang. Mungkin sahaja Saifullizan terkejut apabila mengetahui berita ini.
            “Ermmm...Atuk...Miza harap cerita Miza ni tak sampai ke telinga abang Epul. Miza..Miza belum bersedia untuk berdepan dengan abang Epul.”
            “Tapi sampai bila Miza? Sampai bila? Dah 3 tahun Miza hilangkan diri daripada Epul. Miza tak pernah ke fikir pasal perasaan Epul, perasaan atuk?” Celah Haji Mukhri. Dia sedikit terkilan dengan cucu menantunya itu. Sampai begitu sekali Karmiza marah pada Saifullizan. Walaupun segala perbuatan Saifullizan sememangnya tak boleh dimaafkan, tetapi bukankah tempat isteri itu sepatutnya berada di sisi suami? Hati Karmiza mula gelisah. Dia benar-benar tak suka dengan persoalan Haji Mukhri itu. Karmiza menarik nafas dalam sebelum menjawab persoalan Haji Mukhri.
            “Kalau begitu...Pernah ke atuk fikirkan pasal perasaan Miza pula? Pernah ke abang Epul fikir perasaan Miza? Begitu sakitnya hati seorang isteri apabila mengetahui hakikat yang suaminya pernah berniat nak bunuh dirinya. Tambahan lagi, orang yang paling dia percaya sebenarnya dah khianati dirinya diam-diam. Atuk pernah tak terfikir pasal semua tu?” Suara Karmiza sedikit berbisik agar tidak mengganggu tidur Mizan. Walaupun hatinya perit tatkala mengungkap kata-kata itu, tetapi tak seharusnya rasa marah dan sedih bisa mengganggu ketenteraman anaknya. Karmiza cuba mengawal perasaan agar lebih tenang. Matanya mengalih pandangan ke arah lain. Tanpa mampu membendung perasaan sedih yang membelenggu diri, hadir juga mutiara jernih menggelongsori pipinya.
            Haji Mukhri terkedu mendengar luahan hati cucu kesayangannya itu. Tak dinafikan hatinya benar-benar berasa menyesal atas perbuatannya menyembunyikan kebenaran itu. Dia benar-benar rasa bersalah dan berdosa.
            Karmiza menyeka air mata yang mengalir di pipi. Perlahan-lahan dia mula bersuara setelah lama memendam rasa.
            “At..atuk minta maaf, cu... Atuk benar-benar menyesal atas apa yang atuk buat tu. Atuk minta ampun.” Wajah tua itu turut basah dengan air mata. Karmiza jadi serba salah.
            “Sebenarnya Miza yang patut minta maaf sebab buat atuk menangis. Tak sepatutnya Miza buat atuk macam tu. Tak baik buat orang yang lebih tua daripada kita, lebih-lebih lagi orang yang bergelar atuk, menangis sebegini. Miza minta maaf, tok.” Hati Karmiza merutun hiba. Kelopak matanya kembali basah.
            “Miza tahu Miza  berdosa sebab tinggalkan abang Epul dan juga atuk sampai bertahun lamanya. Tapi, Miza minta sangat-sangat kat atuk supaya bersabar dan terus menanti kepulangan Miza nanti. Mungkin bukan masa yang terdekat tetapi Miza tahu...Akan tiba masanya nanti. Percayalah.”
            Setelah beberapa minit mereka memendam rasa dan meluahkan apa yang terbuku dibenak masing-masing, akhirnya perbualan mereka kembali tenang.
            “Atuk tahu mesti Miza marah dengan perbutan atuk ni. Atuk pasangkan pengintip sampai ke bumi London ni sebab tak nak terjadi apa-apa pada Miza. Maafkan atuk sekali lagi kalau rasa perbuatan atuk ni keterlaluan.” Ucap Haji Mukhri serba salah. Karmiza menyimpul senyuman kecil lantas menggeleng tanda dia langsung tidak ambil hati pun dengan perbuatan atuknya itu.
            “Miza faham sangat dengan perangai atuk tu. Miza tak marah pun. Cuma Miza terkejut yang atuk boleh sampai ke sini...duduk di depan Miza sekarang. Miza benar-benar rasa terkejut.” Luah Karmiza jujur. Melihat wajah Mizan yang sedikit kegelisahan, Karmiza mecepung tubuh kecil itu dan dibawanya masuk ke bilik tidur. Haji Mukhri mengekor sahaja ke mana Karmiza pergi.
            Setelah meletak Mizan ke dalam bilik, Karmiza kembali ke ruang tamu dan mengambil tempat duduk tadi. Haji Mukhri turut sama melabuhkan punggungnya ke sofa berdepan dengan Karmiza.
            “Ab...abang Epul apa khabar tok?” Berat hati Karmiza membuka cerita ingin bertanya keadaan suaminya itu. Sudahnya satu keluhan terluah dari Haji Mukhri. Karmiza hairan melihat wajah resah Haji Mukhri itu.
            “Kenapa tok? Ada apa-apa terjadi pada abang Epul ke?” Terselit juga rasa bimbang tentang Saifullizan. Walaupun sudah lama tidak bersemuka dengan suaminya, namun, fikirannya tak pernah berhenti memikirkan Saifullizan. Terbit rasa rindu pada wajah lelaki itu. Rasa ingin tahu menganggu benaknya.
            “Epul dah banyak berubah sekarang. Berubah pada yang lebih baik dan ada juga berubah pada sebaliknya.”
            “Maksud atuk?” Soal Karmiza hairan. Dia tidak faham maksud disebalik kata atuknya itu.
            “Epul yang sekarang bukan lagi Epul yang dulu. Epul sekarang berubah menjadi lebih pendiam. Malah lebih pemarah. Setiap kali ada saja complaint yang atuk dengar dari mulut pekerja-pekerja atuk. Epul terlalu tegas dalam menjaga para pekerjanya. Itu yang membuatkan atuk bertambah risau.”
            “Walaupun Epul dah jadi macam tu, ada satu perubahan yang atuk suka tentang Epul sekarang,” Sambung Haji Mukhri lagi. Karmiza menongkat kening. Hatinya bagai tertanya-tanya apakah perubahan yang dimaksudkan oleh Haji Mukhri itu.
            “ Epul akhirnya dah mula bertaubat dan mahu belajar tentang ilmu agama. Mahu sujud pada Yang Maha Esa. Sudah rajin untuk keluar berjemaah di masjid atau pun surau. Epul akhirnya benar-benar berubah. Atuk betul-betul rasa bersyukur sangat-sangat. Ni semua kerana Miza.”
            “Tak! Bukan kerana Miza, tok. Tetapi kerana diri abang Epul sendiri. Mungkin disebabkan apa yang berlaku selama ini yang membuat dia sedar dan berubah menjadi sekarang. Seperti yang kita tahu...Semua yang terjadi tak kiralah yang buruk sekalipun, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Kita perlu percaya akan takdir Allah.” Pintas Karmiza membetulkan kenyataan atuknya. Di sudut hati kecilnya, dia juga turut tumpang gembira akan perubahan itu. Dia benar-benar bersyukur atas apa yang terjadi pada suaminya. Saifullizan bukan lagi seperti dulu, tetapi sudah berubah serta merta. Alhamdulillah.
            “Cuma...atuk risau pasal satu benda tu,” Karmiza diam tanpa bersuara. Masih setia ingin mendengar Haji Mukhri menyambung kata. Dahi Haji Mukhri berkerut memikirkan masalah yang melanda dalam keluarganya.
            “Syarikat dah mula tunggang-langgang dengan sikap panas baran Epul tu.”


KARMIZA tersentak sebaik sahaja disergah oleh Mizan. Tergelak sakan si kecil melihat reaksi mamanya. Karmiza menjegil mata.
            “Mizan...Kenapa main sergah-sergah mama ni? Tak baik tau buat macam tu,” Karmiza menaikkan sedikit suaranya agar kedengaran tegas. Bukan dia mahu marah pada anaknya itu tetapi sekadar ingin menegur perbuatan anaknya. Wajah Mizan sudah tertunduk sedih bila ditegur sebegitu. Karmiza menggeleng.
            “Say sorry to mama,” Karmiza mengendurkan suaranya.
            “I’m sorry mama. Mizan tak buat lagi lepas ni.”
            “Janji?” Karmiza mengeluarkan jari kelingking pada Mizan. Dia mahu anaknya mengikat janji.
            “Janji!” Mizan menyambut pantas dan akhirnya temeterailah perjanjian di antara dua beranak itu. Karmiza tersenyum lebar, lalu satu ciuman dihadiahkan pada pipi Mizan. Dia menepuk lembut pinggang si kecil.
            “Dah kemas semua barang-barang yang mama suruh buat tadi?”
            Mizan mengangguk sambil menayangkan barisan gigi putihnya. “Dah mama. Semua dah kemas.”
            “Good boy! Nah, cup cake untuk anak mama!” Karmiza mengambil kek cawan dari pinggan di atas meja dan diberikan pada Mizan. Bersorak sakan si kecil bila mendapat makanan kegemarannya itu. Pantas sahaja dia bergerak mendekati meja makan dan duduk di atas kerusi. Belum sempat si kecil ingin membuka mulut, Karmiza sudah menegurnya pantas.
            “Haa...Tengok tu. Siapa ajar Mizan ni? Dulu apa arwah ibu kata kat Mizan dulu? Sebelum makan kena...?”
            “Kena baca doa,”
            “Haa...pandai anak mama dan ibu. Cepat tadah tangan dan baca doa.” Laju sahaja si kecil menjawab dan mengangkat kedua-dua tangannya. Dibacanya doa makan dengan jelas. Sesudah menghabiskan bacaan doa, diraupnya tangan pada wajah. Seraya itu, kek cawan di tangan dimakan dengan laju.
            “Jangan lupa minum susu. Arwah ibu cakap apa? Minum susu baik untuk..?” Sekali lagi Karmiza mengingatkan anaknya tentang pesanan arwah Akilah.
            “Baik untuk tulang!” Jawab si kecil penuh cerdik. Karmiza tertawa melihat keletah anaknya itu. Dia berasa bangga mendapat anak sebijak Mizan.
            Karmiza membiarkan Mizan melukis di meja. Dilihatnya saja perbuatan anaknya itu. Lama benar matanya merenung wajah Mizan sehingga menyebabkan kenangan 2 bulan yang lalu terimbau semula.
            “Syarat? Apa syarat yang Miza maksudkan?” Saifullizan duduk merenung wajah Karmiza dalam. Dadanya tiba-tiba berasa sesak. Dia berasa tak sedap hati sebaik mendengar kata-kata isterinya itu.
            “Miza akan hidup bersama abang tetapi dengan syarat...Abang jangan jumpa atau cari Miza selama 2 bulan.” Tersentak Saifullizan mendengar syarat yang dikemukakan oleh isterinya itu. Naik panas punggungnya dan akhirnya Saifullizan berdiri dan bergerak sedikit jauh dari katil. Saifullizan bercekak pinggang bengang dengan syarat Karmiza itu.
            “Apa yang Miza cuba nak buat ni? Miza nak abang jauh daripada Miza lagi? No! Abang tak izinkan Miza jauh daripada abang. Dah 4 tahun Miza hilang dari hidup abang dan sekarang Miza nak abang jangan jumpa Miza? What nonsense thing that you are trying to do right not, Miza?” Bertalu-talu persoalan diluahkan pada Karmiza. Sememangnya Saifullizan membantah akan syarat tersebut. Jauh daripada Karmiza sekali lagi? Jangankan berjauhan selama beberapa jam boleh buat hatinya resah inikan pula selama 2 bulan.
            Karmiza mendekati suaminya dan menarik tubuh Saifullizan menghadapnya. Wajah Saifullizan ditatapnya lembut. Lantas tangan Saifullizan ditarik dan dikucupnya lama. Saifullizan hanya membiarkan kelakuan isterinya itu. Hatinya dipagut hiba. Sungguh sukar bagi dirinya ingin menurut syarat isterinya itu. Dia tidak mahu berjauhan lagi dari isterinya. Tidak!
            “Miza tahu abang akan tolak syarat Miza ni. Tapi abang percayalah cakap Miza. Apa yang Miza buat ni untuk kebaikan abang juga. Just for 2 month, that’s it!”
            “Apa yang sebenarnya Miza nak buat?” Saifullizan sekali lagi mengemukakan soalan yang sama. Matanya tajam memandang ke dalam anak mata Karmiza.
            “Miza nak abang beri tumpuan pada syarikat dan cuba untuk mengubah persepsi abang terhadap para pekerja. Itu sahaja, tak salahkan?”
            “Okey. Kalau itu yang Miza nak abang buat, abang akan buat. Tapi bukan biarkan Miza berjauhan dari abang. Takkan disebabkan hal syarikat menyebabkan Miza buat syarat bodoh ni?” Saifullizan sedikit naik suara. Amarahnya cuba untuk ditahan. Dia berusaha untuk beristighfar di dalam hati. Ingin mengawal amarah dari terus meletup bila-bila masa sahaja. Tambahan pula, Karmiza baru sahaja kehilangan sahabat juga seorang kakak angkat yang penting dalam hidupnya. Maka, Saifullizan berusaha untuk cuba bertoleransi dalam hal itu.
            “Tengoklah diri abang sekarang. Abang berubah menjadi pemarah. Miza tahu ini bukan sikap abang yang sebenar. Saifullizan yang Miza kenal seorang yang penyabar dan tenang apabila menghadapi masalah. Kenapa sampai begini sekali perubahan abang? Kalau kerana Miza abang berubah begini, jadi lagi baik kalau Miza tak muncul-muncul terus dalam hidup abang.” Karmiza melepaskan tangan suaminya dan berpaling dari menghadap muka Saifullizan.
            “Apa yang Miza merepek ni?”
            “Jangan cakap yang bukan-bukan boleh tak?” Sambung Saifullizan lagi. Wajahnya mula serabut apabila memikirkan hari-harinya tanpa Karmiza. Sudah lama dia menanti kemunculan isterinya, sekarang perlu berpisah pula?
            “Miza bukan cakap yang bukan-bukan. Tapi apa yang Miza buat ni untuk kebaikan abang. Abang cuba muhasabahkan diri selama 2 bulan dan tumpukan perhatian pada kerja abang. Miza tahu syarikat kita dalam keadaan terumbang-ambing sekarang. Jadi, sebagai salah seorang dari pemegang sher terbesar di dalam syarikat abang, Miza nak abang cuba selesaikan masalah yang memelenggu syarikat. Just...Berhenti fikirkan pasal Miza sekejap dan tumpukan perhatian pada kerja abang. Begitu juga dengan Miza. Miza juga ada tanggungjawab lain yang perlu Miza lakukan. Lebih-lebih lagi Miza ada Mizan yang perlu difikirkan.”
            “Tetapi kenapa mesti 2 bulan abang tak boleh jumpa Miza. Okey. Kalau Miza nak abang tumpukan perhatian pada kerjaya abang, pada syarikat...abang akan buat. Abang akan cuba berubah untuk jadi seorang penyabar seperti sebelum ni. Tapi tolong jangan pisahkan abang pada Miza dan Mizan. Abang tak sanggup.” Saifullizan cuba meraih simpati daripada Karmiza. Ditariknya Karmiza ke dalam dakapannya. Dia mengemaskan pelukan bagai tidak mahu berjauhan dari gadis tersebut. Karmiza berasa sayu dengan rayuan Saifullizan.
            Setelah lama mereka berkeadaan demikian, Karmiza melepaskan pelukan. Diusapnya lembut wajah Saifullizan dan matanya merenung jauh ke dalam anak mata si suami.
            “Miza takut Miza tak boleh tumpukan perhatian pada pelajaran Miza. Miza kena balik ke London bagi menyelesaikan segala urusan di sana. Selepas 2 bulan, Miza janji akan kembali ke pangkuan abang. Hmmm...?” Karmiza cuba untuk memujuk suaminya. Saifullizan menggeleng laju. Dia menarik semula tubuh kecil Karmiza ke dalam dakapannya.
            “Abang tak nak berpisah langsung dengan Miza. Kalau boleh abang nak bersama Miza sepanjang masa. Kalau Miza nak abang duduk kat sana terus pun boleh.”
            “Tapi abang...Syarikat perlukan abang. Sebab tulah Miza minta supaya abang tumpukan perhatian pada syarikat terlebih dahulu dan selepas 2 bulan, Miza akan kembali ke Malaysia bersama Mizan. Lagipun, Miza juga memerlukan masa untuk menenangkan diri. Mungkin apabila dia berada di sana, kenangan bersama ibunya boleh memulihkan keadaannya? Mizan sangat-sangat memerlukan masa yang lama untuk pulih. Abang sendiri dah tengok keadaan dia dalam beberapa hari nikan?” Karmiza masih tetap mahu mencuba nasib ingin Saifullizan setuju dengan syaratnya.
            “Bukankah dengan keadaan Mizan macam tu, kita sebagai ibu bapanya perlu memberi sepenuh perhatian pada dia?” Karmiza mengeluh lemah. Saifullizan masih tetap berdegil dan masih belum memahami kehendaknya.
            “Miza tahu Mizan perlukan sokongan orang yang rapat dengannya. Tetapi, bang...Mizan sekarang dalam keadaan yang terkejut. Dia perlukan ketenangan apabila berada di sana. Pendek kata, dia perlukan masa lalunya demi menaikkan semangatnya kembali.”
            “Kenapa Miza sanggup berpisah dengan abang? Miza tak sayang abang ke?” Suara Saifullizan mula mengendur sedikit. Kedengaran seperti berjauh hati. Pelukan kemas tadi dilepaskan semula. Saifullizan bergerak ke katil dan melabuhkan punggungnya. Matanya mengerling ke arah lain. Karmiza jadi serba salah. Dia menarik nafas dalam dan melangkah mendekati katil. Diambilnya tangan Saifullizan dan diusapnya lembut.
            “Miza dah berjanji pada arwah kak Akilah supaya jaga Mizan elok-elok. Malah, petang tadi mama dan papa kak Akilah juga bersetuju untuk melepaskan Mizan pada Miza. Diorang tahu...Sekarang Mizan amat memerlukan Miza. Dan...Miza buat semua ni pun sebab Miza sayang dan cintakan abang.”
            “Kalau Miza betul-betul cintakan abang, Miza takkan buat macam ni kat abang,” Celah Saifullizan masih belum berpuas hati dengan keputusan terburu-buru Karmiza.
            “Sebenarnya...Miza juga belum pasti sama ada Miza dah betul-betul bersedia ingin hidup bersama abang. Miza perlu selesaikan masalah di sana terlebih dahulu dan Miza akan kembali menumpukan sepenuh perhatian pada abang. Miza tak nak kalau Miza tak mampu memberi sepenuh perhatian pada abang. Miza...”
            “Abang setuju,” Saifullizan memintas sebelum sempat Karmiza menghabiskan ayatnya. Karmiza sedikit melopong mendengar jawapan suaminya.
            “Abang akan setuju tetapi abang juga ada syaratnya.” Sambung Saifullizan.
            “Okey. Apa syarat abang pula?”
            “Abang bersetuju untuk tak berjumpa dengan Miza dalam masa 2 bulan tu. Tapi, Miza tak boleh lari daripada tanggungjawab Miza sebagai isteri.”
            “Maksud abang?”
            “Miza perlu ada di sisi abang bila masa abang memerlukan Miza. Abang takkan ganggu Miza dalam masa 2 bulan tu. Tetapi abang akan tetap nak jumpa dengan Miza sekali sekala. Tak salahkan? Lagipun, tempat isteri itu adalah di sisi suami. Jadi, Miza tak boleh nak tegah abang dari berjumpa dengan Miza bila abang nak. Boleh Miza setuju?” Karmiza diam berjeda. Lama dia memikirkan syarat yang dikemukakan oleh suaminya pula.
            Karmiza berpaling bertentang mata dengan Saifullizan. Dan akhirnya dia mengangguk laju.
            “Miza kena ingat Miza juga punya tanggungjawab pada suami. Miza setuju dengan syarat abang tu.”



SAIFULLIZAN mengambil barang-barang yang penting dan dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Dia singgah sebentar ke pejabat sebelum beredar ke lapangan kapal terbang KLIA.
            Akhirnya setelah 2 bulan berjauhan dengan isterinya, Karmiza kini ingin kembali ke Malaysia dan menjadi doktor di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Betapa terujanya dia ingin menyambut kehadiran Karmiza dan juga Mizan di KLIA nanti. Sebaik sahaja Karmiza dan Mizan muncul di balai ketibaan, akan dipeluk ciumnya kedua-dua insan tercinta. Dia tidak kisah akan pandangan orang di sana nanti. Bagi dirinya, kemunculan kedua-duanya adalah sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya.
            “Encik Saifullizan, ni report yang encik nak semalam kan?” Tegur Zuraini selaku setiausahanya yang baru sahaja masuk ke dalam bilik pejabatnya. Sempat lagi mata si gadis menilik penampilan bossnya itu. Baju T-shirt berkolar jenama Polo berwarna merah dan digandingkan dengan seluar jeans biru gelap membuatkan Saifullizan tampak begitu tampan sekali. Siapa sangka lelaki di depannya sudah berpunya. Kalau orang tidak tahu akan status lelaki itu, pasti ada saja yang berebut ingin memikatnya. Tetapi dengan sikap Saifullizan yang tegas itu, adakah yang mampu menghampiri lelaki sekacak Saifullizan ini?
            Saifullizan mengambil report di tangan Zuraini dan tersenyum simpul. “Terima kasih, Zu. How can I do all of this without you? Thank you once again.” Kembang kecut hidung Zuraini dipuji majikannya. Lebih-lebih lagi dengan senyuman yang pasti memikat sesiapa sahaja membuatkan Zurani berasa dihargai atas segala kerja yang dilakukannya selama ini. Semenjak 2 bulan yang lalu, Saifullizan kembali berubah seperti Saifullizan yang dulu. Bukan lagi pemarah tetapi lebih tenang berbanding sebelumnya. Zuraini begitu selesa dengan sikap Saifullizan sekarang. Malah, majikannya telah mengubah persepsi orang lain terhadap sikapnya dan keadaan syarikat kembali stabil. Ramai yang berpuas hati dengan sikap ketua mereka sekarang. Syukurlah.
            “You’re welcome, Encik Saifullizan. Erk? Bukan ke flight isteri encik akan tiba tak lama lagi?” Lantas Saifullizan menilik jam di tangannya. Dia perlu beredar segera. Takut sesak pula. Saifullizan kembali menatap wajah Zuraini. Dia mengangguk laju.
            “Yup! And I can’t wait to meet them there. Hati saya berdebar sangat, tak sabar nak jumpa anak dan bini saya.” Zuraini tersenyum melihat wajah ceria majikannya itu. Dia turut gembira melihat Saifullizan gembira sebegitu.
            “Kirim salam saya pada Puan Karmiza, ya?” Sempat Zuraini menitipkan salam buat isteri majikannya itu. Saifullizan mengangguk dan beredar dari situ.
            Laju sahaja kakinya bergerak memasuki lif. Ditekankan butang lif pada tingkat bawah tanah kerana keretanya diparkirkan di situ. Dalam beberapa minit kemudian, lif berhenti di tingkat yang ditujunya.
            Saifullizan berlari anak ke parkir keretanya. Tangannya menyeluk pada saku beg pejabatnya ingin mengeluarkan kunci kereta.
            Setelah berdiri di depan kereta, Saifullizan segera menekankan butang kunci keretanya. Belum pun sempat dia membuka pintu kereta, kedengaran bunyi bingit dari kereta yang tiba-tiba sahaja berhenti menghalang keretanya. Mata Saifullizan memandang hairan pada kereta tersebut. Keluar 2 orang lelaki yang memakai baju bersuit berwarna hitam siap berkaca mata hitam.
            “Awak ni Encik Saifullizan ke?” Soal salah seorang daripada mereka.
            “Ya, saya. Kenapa ya?” Kedua-dua lelaki tadi memandang antara satu sama lain. Berkerut dahi Saifullizan memandang lelaki-lelaki tersebut. Tiba-tiba, mulut Saifullizan ditekup dengan kain dan tangannya diikat oleh lelaki tadi. Saifullizan meronta-ronta ingin melepaskan diri, namun kepalanya sudah mula berpusing pening. Pandangan yang jelas menjadi kelam. Saifullizan pengsan setelah menghidu bau pada kain yang menekup mulutnya tadi. Tubuh Saifullizan ditarik dan dibawa ke dalam kereta yang menghalang kereta Saifullizan tadi.

15 comments:

  1. ooooh.... sper plak yg culik... owh ok tu msti org yg jahat tu.... ap nme die da lupe hihihihi...... nnti msti miza cari epul... mcm mne nie 0_o
    -Song Hyun Sun-

    ReplyDelete
  2. kak fyka,nk lagi...sape yg jahat sgt culik Epul tu...dorang baru nk kecapi bahagia..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Spe yg jht tu? hehe...sbr ye..? nnti brula tau spe org nya.. ^-^

      Delete
  3. siannyee Epul, bru nk lpskan rindu kt isteri dh kne kidnap,.tau dh sape wat keje tu keke

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...Siankn? da tau ke spe yg wat? hehe..saspen2.. ^-^

      Delete
  4. Kak fika mne sambungan bab 16?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada je kt dlm blog ni..cbe cari...hehe...

      Delete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. bila nak update bab 17? x sabar nak baca sambungannya...

    ReplyDelete
  7. Ape sambungannya cik fyka..dh jenuh cari ni!! Bgtawla!! Plzz!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sorry lmbt post..da ada yg baru.. :D

      Delete

background

Title bar