Rakan-rakan pengikutku

Sunday, March 27, 2016

Dosa Semalam Bab 10

Bab 10


            KEDUA-DUANYA melopong melihat kehadiran wanita di depan mereka. Mahu terbeliak biji mata tatkala wajah wanita itu muncul. Bagai mimpi ngeri pula rasanya.
            Apabila sampai ke rumah majikan mereka, pantas saja bel rumah ditekan. Mereka menanti di depan pagar rumah dengan beg di tangan. Masing-masing tidak sabar ingin berjumpa dengan kak Zah, ingin berkongsi cerita tentang kisah-kisah di kampung. Namun, sebaik pintu pagar dibuka, alangkah terkejutnya mereka melihat wajah wanita yang sudah lama tidak berkunjung di rumah banglo itu. Sungguh! Mereka benar-benar tidak tahu akan keberadaan wanita itu di situ.
            Wajah wanita tadi kelihatan sedikit hairan apabila melihat kedua-dua wajah asing yang masih melopong dari tadi.
            “Nak cari siapa ya?” Aliniya menyoal dua orang wanita yang masih tercegat di depannya itu. Sudah 2 minit berlalu, mereka tetap tidak berganjak dan satu patah perkataan pun tak terkeluar dari mulut masing-masing. Naik pelik Aliniya melihatnya.
            Aliniya mengawang tangannya bila mereka masih juga tidak bersuara. Bisu ke apa?
            “Kalian berdua nak cari siapa? Encik Hardee ke?” Aliniya kembali menyoal lagi. Terkejut Aliniya tatkala kedua-dua wanita itu tiba-tiba melutut sambil tangan digosok-gosok seperti merayu.
            “Eh! Kenapa pulak ini?” Aliniya berusaha untuk menarik tubuh kedua-dua wanita itu untuk berdiri. Sekarang apa pula yang jadi ini? Kaget Aliniya melihat wajah wanita-wanita itu seakan-akan mahu menangis.


            “Kami minta maaf Puan. Kami minta maaf. Kami janji tak buat lagi. Kami janji tak balik kampung tanpa pengetahuan Puan. Tapi, hari itu kami dah minta izin daripada Tuan Hardee. Minta ampun Puan,” akhirnya salah seorang daripadanya bersuara. Aliniya tercengang melihat wajah wanita yang kelihatan sama baya dengan kak Zah itu mula basah dek menangis ketakutan. Mata Aliniya beralih pada wanita muda yang masih tertunduk membisu di sebelah. Tidak lama selepas itu, Aliniya teringat akan cerita kak Zah semalam tentang dua orang pembantu rumah yang tiada di situ kerana masih bercuti.
            “Awak berdua tak ada buat salah apa-apapun pada saya,” jawab Aliniya dengan nada yang lembut. Kali ini giliran dua wanita itu pula yang tercengangg melihat perubahan isteri majikan mereka itu.
            Aliniya menarik tubuh seorang demi seorang untuk berdiri. Wanita yang sudah lecun dek menangis tadi pantas menyeka sisa-sisa air mata di pipi. Sekarang, tangannya menggenyeh anak mata kerana tidak percaya dengan perubahan Puan Sihir itu.
            “Eh, Ema! Sekarang aku tengah dalam mimpi lagi ke apa? Macam pelik je aku tengok Puan Sihir ini,” wanita itu menyoal wanita muda yang masih setia berdiri di sebelahnya. Sedar yang kata-kata rakannya mungkin akan membuat isteri majikannya naik hantu, laju saja dia menyiku.
            “Adoi! Sakitlah Ema. Aku cakap betullah! Kau tak rasa pelik ke dengan perangai Puan Si...” ayat wanita sebaya kak Zah terhenti bila lengannya disiku sekali lagi.
Melihat kerenah mereka berdua, hati Aliniya sedikit tercuit. Bibirnya mula mengukir senyuman. Berkelip-kelip mata kedua-duanya melihat wajah manis Aliniya.
“Ema... Aku tak tahulah kalau bini Tuan Hardee atau aku yang tak betul sekarang,” selamba saja dia mengungkap sebegitu di depan Aliniya. Tercetus juga tawa yang ditahan Aliniya dari tadi.
“Kelakarlah awak. Tak. Tak ada sesiapapun yang tak betul sekarang. Dan, saya rasa saya tahu awak berdua siapa sekarang. Awak kak Bed,” ucap Aliniya sambil ibu jarinya terarah pada wanita di depannya itu. Kemudian, anak matanya beralih pada wanita muda yang bernama Ema.
“Dan awak mesti, Ema. Pembantu rumah yang ganti Liza, kan?” sambung Aliniya lagi. Kedua-dua wanita yang masih keliru itu mengangguk laju.
“Pu... Puan Niya dah balik semula, dah sihat ya?” barulah kedengaran suara Ema bertanya. Aliniya mengangguk sahaja.
“Puan, kenapa lama sangat dekat luar tu?” tumpuan mereka beralih pada suara yang menegur dari belakang. Aliniya berpaling.
“Geng-geng kak Zah dah balik,” ujar Aliniya sambil tersenyum.
“Eh! Korang dah balik rupanya. Apahal tercegat dekat luar? Masuk jelah!” Aliniya memberi laluan pada kak Bed dan Ema untuk masuk.
“Masuklah,” jemput Aliniya lembut. Mata kak Bed masih tak lepas melihat wajah Aliniya. Dia masih tidak faham dengan perubahan sikap wanita yang sememangnya dikenali sebagai Puan Sihir itu. Kak Zah menarik tangan kak Bed untuk masuk agar wanita itu tak tercegat lama di luar. Ema di sebelah hanya menggeleng saja. Mereka mengangkat beg-beg dan masuk ke rumah banglo tersebut.
Sesudah kedua-dua pembantu rumahnya mengemas beg, Aliniya menjemput mereka semua ke dapur. Dia menghidangkan kek Red Velvet yang dibuatnya hari itu. Masih elok lagi.
Kak Bed dan Ema memandang antara satu sama lain. Hairan bila isteri majikannya pula yang menghidangkan mereka dengan baik.


“Rasalah kek yang saya buat itu. Masih elok dan sedap lagi. Saya simpankan di peti ais. Jangan risau dijamin selamat,” Aliniya faham akan pembantu rumah mereka yang masih keliru dengan perubahannya itu. Berharap yang  mereka tidak salah sangka tentang kebaikan yang ditunjuknya sekarang.
Bila pelbagai soalan masih bermain-main di fikiran mereka berdua, lantas wajah kak Zah dipandang lama. Kak Zah selamba saja menuang air teh untuk mereka berdua. Perasan yang masing-masing masih senyap tidak bersuara, barulah kak Zah memandang wajah rakan sekerjanya itu.
“Apa dia?” soal kak Zah bersahaja. Tangannya mengambil sedikit kek Red Velvet dengan sudu dan disuapnya ke mulut.
Kak Bed pantas menyiku kak Zah bila tiada langsung respon wanita itu untuk menjawab teka-teki yang mengganggu minda. Hampir tersedak kak Zah dibuatnya. Aliniya pula hanya tayang muka tak bersalah.
Kak Bed memandang Ema di sebelah. Sepotong kek Red Velvet dah selamat ke dalam perut gadis itu. Dikutuk-kutuknya sikap Ema yang buat selamba bodoh tanpa mahu menyoal apa-apa. Adui! Ema tetap Ema. Sentiasa polos! Kak Bed tepuk dahi.
“Saya tahu awak berdua tengah keliru sekarang. Sebelum ini pun, saya dapat respon yang sama daripada kak Zah sewaktu saya berjumpa dengan dia buat pertama kali. Tapi, sebelum saya jelaskan lebih lanjut, saya harap awak berdua akur dengan permintaan saya ini,” Aliniya mula berbicara.
“Apa dia Puan?” Soal Ema pendek. Semua mata tertumpu pada Aliniya. Kak Zah hanya mendengar saja. Dia sudah tahu apa yang bakal diucap oleh isteri majikannya itu.
“Saya harap awak berdua layan saya sama seperti awak layan kak Zah. Anggap je saya ini macam seorang kawan. Dan, panggil saya Niya bukan Puan, ya? Saya rasa tak syoklah dengar orang panggil saya dengan panggilan Puan itu. Sebabnya, sebaik saja saya sedar dan waras, saya tak tahu pun yang saya sebenarnya isteri Encik Hardee,”
“Apa?” Ucap kedua-duanya serentak.

WAJAH Aliniya berubah ceria sebaik melihat kehadiran lelaki itu di situ. Sejak dari pagi lagi dia begitu teringin melihat wajah suaminya. Dia mahu ambil tahu tentang keadaan suaminya. Okey ke tidak ibu jari kaki lelaki itu. Namun, niatnya terbantut sebaik mengetahui bahawa lelaki itu sudah keluar awal ke ofis.
            Aliniya memang menanti-nanti kepulangan suaminya. Petang tadi bersungguh-sungguh dia menyediakan hidangan makan malam untuk mereka. Sudah dia menegah pembantu-pembantu rumahnya untuk tidak mengganggu dia di dapur. Dia betul-betul mahu melakukan kerja memasak itu sendiri.
Dia sendiri pun tidak tahu apa yang merasuknya sekarang. Apa yang dia pasti, dia begitu ingin untuk melihat wajah lelaki itu. Walaupun dia tahu bahawa lelaki itu begitu membencinya dan pasti saja lelaki itu memaki-makinya nanti, tetapi dia tidak kisah tentang semua itu. Hatinya terasa begitu dekat dengan lelaki yang bernama Hardee itu. Aneh betul perasaan ini.
Petang tadi Aliniya sudah menyuruh pembantu rumah yang lain untuk makan terlebih dahulu tanpa menunggunya. Dia mahu menunggu kepulangan suaminya dan mahu makan bersama-sama. Perut yang berbunyi diminta untuk diisi dibiarkan begitu saja. Sudahnya dia tertidur di sofa di ruang tamu. Aliniya terbangun sebaik mendengar bunyi kereta dari luar.
Laju kakinya melangkah ke tingkap. Akhirnya, bibirnya mengukir senyum panjang.
“Dia dah sampai,” ucapnya dengan nada yang rendah. Dia menunggu saja Hardee membuka daun pintu. Dia masih tidak berganjak dari tadi. Hanya matanya saja tajam memandang pintu.
Hardee mengucap salam sebelum masuk ke rumah. Langsung dia tidak sedar akan kehadiran Aliniya yang lama memerhatikan gerak-gerinya dari tadi. Perlahan-lahan dia melangkah dek kaki yang masih belum sembuh. Tangannya mengurut-urut leher yang terasa sedikit sengal. Sempat matanya memandang jam di pergelangan tangan.
“Dah pukul 1 pagi rupanya. Semua dah tidurlah itu,” bisik Hardee. Itu bermakna termasuklah perempuan itu. Fikirnya lagi. Memang itu yang dimahunya. Sengaja dia balik lewat. Dia tidak mahu bersemuka langsung dengan wanita ‘gila’ itu. Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang. Fikiran dia begitu serabut dan bercelaru dek perubahan sikap Aliniya itu.
Hardee mula melangkah dengan terjengket-jengket. Dia mahu ke dapur sebentar ingin membasahkan tekaknya sebelum naik ke bilik. Aliniya hanya mengikut saja jejak suaminya dari belakang secara senyap-senyap sehingga ke dapur. Aliniya bersembunyi di sebalik dinding. Dia melihat Hardee mengambil gelas dan mengeluarkan air sejuk dari peti ais.
‘Dia tak nampak ke nota yang aku letak dekat tudung saji itu?’ Aliniya menggigit bibir. Gusar kalau notanya tidak sempat dibaca oleh Hardee.
Setelah habis meneguk air, mata Hardee menangkap nota kecil yang dilekat pada tudung saji di atas meja makan. Hardee meletakkan gelas di sinki dan diambilnya nota tersebut. Aliniya ternanti-nanti respon daripada Hardee setelah membaca notanya.
            ‘Harap-harap dia cuba masakan aku itu,’ Aliniya berdoa dalam hati.
            Habis saja membaca ayat-ayat pada nota, Hardee terus memandang pada tudung saji. Dibukanya tudung saji dan dilihatnya makanan yang sudah siap tersedia. Hardee merenung makanan tersebut seketika. Aliniya yang masih bersembunyi rasa tidak sabar ingin melihat wajah Hardee sebaik merasa masakannya itu. Namun, bibir yang tersenyum panjang tadi berubah serta-merta.

            Hardee mengambil pinggan-pinggan di meja makan tersebut dan dibuangnya ke tong sampah. Dia langsung tidak mahu menyentuh pun hidangan yang disediakan oleh wanita itu.
            “Makanan dimasak oleh dia konon. Entah-entah beli dekat mana-mana kedai, tak pun minta kak Zah yang buat. Ingat aku nak makan ke masakan kau itu? Kalau diletaknya racun, mahu mampus terus,” Hardee tidak sedar kata-katanya telah menghancurkan perasaan Aliniya yang mendengar dengan jelas di sebalik dinding. Tumpah juga air matanya.
            Hardee mahu beredar dari situ, namun langkah kakinya terhenti apabila melihat Aliniya yang menangis di sebalik dinding. Tiba-tiba hatinya diserbu perasaan bersalah. Hardee hanya diam tanpa bersuara. Tetapi tidak pula dia mahu melangkah pergi. Kakinya seperti melekat di situ.
            Aliniya begitu terasa dengan tindakan suaminya itu. Sudahlah dia beriya-iya mahu menunggu suaminya untuk makan bersama, tetapi semua hidangan yang disiapnya tadi dibuang begitu saja. Aliniya tunduk menahan hati yang sedikit tercalar. Dia menelan liur dan menggigit bibir apabila berasa perutnya seperti dicucuk-cucuk tajam.
            “Walaupun awak tak suka apa yang saya masak, tapi janganlah buang makanan itu. Ada orang lain tak bernasib baik macam kita, sanggup buat apa saja demi sesuap nasi. Awak tahu tak?” Hardee mengetap gigi bila disindir sebegitu. Aliniya pantas menyeka air matanya dan meninggalkan Hardee tanpa sempat lelaki itu membalas kata. Sempat matanya menjeling tajam pada Hardee.
            Hardee terasa egonya dicabar apabila selamba saja wanita itu pergi tanpa sempat mendengar apa yang mahu dibalasnya. Lantas, Hardee bergerak mengikut jejak Aliniya. Sebelum wanita itu menutup pintu biliknya, Hardee pantas menahan dan menyentap lengan Aliniya. Berkerut dahi Aliniya menahan sakit.
            “Eh! Aku tak ingin pun nak rasa masakan kau itulah. Apa? Kau ingat dengan masakan kau itu boleh tambatkan hati aku? Ha ha ha. No way! Kau cakap apa tadi, ada orang lain tak bernasib baik? Yang sanggup buat apa saja demi sesuap nasi ya? Kau cakap pasal siapa? Pasal kau? Baiklah. Kalau kau sanggup buat apa saja demi sesuap nasi itu, jadi kau kena dengar ini baik-baik,” mata Hardee merenung tajam pada wajah Aliniya. Perasaan serba salah itu sudah dibuangnya jauh. Dia lebih mengagung-agungkan egonya sewaktu itu.
Aliniya menangis lagi. Dia bukan saja menahan hati yang begitu sakit, tetapi rasa sakit di perut yang mencucuk-cucuk, di tambah juga dengan genggaman Hardee yang kuat di lengannya membuatkan dia tidak dapat menahan tangisannya lagi.
“Kau buka telinga kau itu luas-luas dan kau dengar baik-baik. Mulai hari ini, kalau kau nak sesuap nasi itu daripada aku, kau kena bekerja untuk dapatkannya,” Aliniya menatap wajah Hardee dengan perasaan yang keliru.
“Mulai hari ini, kau kerja dengan aku. Kau jangan berangan nak jadi Puan dekat rumah ini lagi. Kau tu dah sama dengan orang gaji. Kau faham?!”


Friday, March 18, 2016

Dosa Semalam Bab 9

BAB 9

            JARINYA mengetuk-ngetuk meja dan dari tadi mindanya asyik melayang entah ke mana. Sekejap-kejap dia berdiri dan tidak lama kemudian dia duduk semula seperti ibu kucing yang kehilangan anaknya. Sudahnya keluhan lemah terluah dari bibir itu. Kedua-dua tangannya memegang kepala, runsing memikirkan kejadian yang berlaku semalam.
            “Saya terima semua pembalasan Encik pada saya. Tapi tolonglah. Tolong jaga diri Encik tu baik-baik. Jangan buat saya naik risau,” kata-kata yang keluar dari bibir perempuan itu asyik menghantui tidur malamnya.
            ‘She’s not like before. Aliniya dulu selalu menyakitkan hati aku. Malah, dia memang perempuan yang menjengkelkan. Tapi apa yang aku lihat semalam betul-betul berbeza. Macam aku tak kenal langsung perempuan itu siapa,’
            ‘No, Hardee! Kau tak boleh biarkan perempuan itu mempermainkan kau lagi. Walaupun dia tak ingat, tapi bila-bila masa perangai lama dia akan kembali. Kau tak patut biarkan hati kau itu termakan dengan kata-kata perempuan itu. Jangan!’ detik hatinya memberi peringatan pada dirinya.
            “Jadi, apa patut aku buat supaya perempuan itu terseksa?” otaknya mula memikirkan rancangan demi menyeksa perempuan yang sudah menghancurkan hidupnya selama ini. Sementara perempuan itu tidak ingat akan kejadian yang pernah terjadi di antara mereka, maka inilah peluang keemasannya. Terbit senyuman penuh makna di hujung bibir lelaki itu.
            Setelah rencana untuk menyeksa isterinya dirancang kemas dalam minda barulah dia kembali memandang kertas kerja di atas meja. Sekarang barulah dia dapat melakukan kerjanya dengan tenang. Diambilnya pen hitam di atas mejanya dan tangannya mula mencatat sesuatu pada kertas kerja tadi. Tiba-tiba tangan yang sibuk menari terhenti tatkala wajah Aliniya muncul di minda. Hardee cuba menggeleng kepala ingin mengusir wajah wanita itu dari mindanya. Dia kembali menyambung kerja.
            “Kalau awak boleh buat, jadi boleh tak jangan buat saya risau macam ini?”
            Pen di tangan terlepas tanpa sedar. Kata-kata Aliniya itu pula yang kian mengganggunya.
            ‘Betul ke dia risau?’ Persoalan itu pula terdetik di hati.
            “No! Kau kena fokus, Hardee. Jangan pedulikan kata-kata yang tak bermakna itu,” Hardee menampar mukanya agar dia sentiasa sedar. Namun, semakin ditepis semakin dia teringat-ingat pada wajah wanita itu.


Semalam dia langusng tidak keluar pun dari bilik. Bila lapar, dia menghantarkan pesanan melalui telefon pada kak Zah untuk meletakkan makanan di depan bilik. Pada pagi tadi pula, dia keluar awal dari rumah berharap agar dia tidak bertembung dengan wanita itu.  Tidak dihirau kakinya yang masih belum benar-benar sembuh. Asalkan dia mampu jejak keluar dari rumah itu, dia rasa selamat.
            “Aku takkan biarkan perempuan itu kembali hancurkan hidup aku walaupun dengan keadaan dia macam itu. Tak akan!” Hardee mengetap bibir. Dek terlalu leka dengan melayan perasaan, Hardee terkejut sebaik bunyi interkom kedengaran.
            “Mak!”
            ‘Aik? Dah berjangkit dengan Niya ke sampai melatah macam itu sekali,’ akalnya mula menyindir.
            “Hei, senyaplah!”
            “Apa dia Tuan Hardee?” Soal suara di sebalik interkom. Hardee meraup mukanya bila tersedar yang dia sudah terlepas cakap. Hardee berdeham bersahaja.
            “Tak ada apa-apa, Elin. Emmm... ada orang nak jumpa saya ke?” Soalnya pula. Setahunya, Elin akan menegurnya melalui interkom apabila ada yang mahu menemuinya atau ada apoinmen yang perlu dia tahu daripada setiausahanya itu. Kalau apa-apa berkaitan dengan kertas kerja atau dokumen yang perlu dia semak atau tandatangan, setiausahanya pasti akan masuk ke bilik pejabatnya.
            “Ya, Tuan Hardee. Ada someone nak jumpa Tuan. Nama dia, Rafie. Katanya dia kawan Tuan. Betul ke?” Mendengar sebaris nama itu Hardee teringat akan salah seorang sahabat zaman sekolah menengahnya yang sudah lama tidak dia jumpa setelah lelaki itu melanjutkan pelajaran ke Australia dan menetap di sana. Tersenyum dia bila teringat akan kenangan bersama sahabatnya itu. Kali ini, dia berpeluang untuk bertemu kembali dengan Rafie. Setelah sekian lama lelaki itu berdiam diri, sekarang baru muncul. Apa mimpi lelaki itu agaknya?
            Hardee menyuruh setiausahanya untuk membenarkan Rafie masuk ke biliknya. Sempat dia berpesan agar wanita itu menyediakan kopi untuk mereka berdua. Hardee menutup fail di meja dan dia mengemas sedikit mejanya yang sedikit berselerak itu.
            Tumpuannya beralih pada ketukkan pada daun pintu. Bibirnya tersenyum panjang sebaik wajah yang dinanti-nantikannya muncul jua. Tangannya menyambut salam dari sahabat yang sudah lama tidak ketemu itu.


            “Ya Allah, Rafie. Dah lama benar kita tak berjumpa. Hampir berkurun juga itu,” sindir Hardee bersahaja. Tercetus juga tawa lelaki yang bernama Rafie itu.
            “Bro, aku sibuk kot. Aku bukan saja-saja dekat Australia itu. Aku belajar kot!”
            “Banyaklah kau belajar. Entah-entah dalam diam kau belajar bab lain kot?” usik Hardee ingin menyakat sahabatnya itu. Menggeleng-geleng Rafie sambil tawanya tak hilang dari tadi. Pandai betul kawannya mengusiknya.
            “Suka hati kau je kan, Har. Tak sangka, perangai menyakat kau itu tak penah hilang dari dulu,” senyuman di bibir Hardee sedikit terganggu apabila ingatannya mula membandingkan dirinya pada waktu zaman sekolah dan apa yang terjadi pada dirinya sekarang. Tidak Rafie tahu apa yang dialaminya selama ini. Dulu sikapnya yang sentiasa riang dan happy go lucky sudah hilang semenjak wanita bernama Aliniya itu muncul dalam hidupnya.
            ‘Ah! Dia lagi!’ Sedaya-upaya dia mengawal perasaan di hadapan Rafie. Ingatan pada Aliniya segera diusir jauh-jauh. Dia tidak mahu sahabatnya tahu tentang kisah hidupnya selama ketiadaan sahabatnya itu. Dan, dia memang tidak mahu sesiapapun yang tahu tentang kehadiran Aliniya sebagai isterinya. Lagipun perkahwinan di antara dia dengan Aliniya memang tidak diketahui ramai malah dia berusaha untuk menyembunyikan statusnya itu. Di dalam ofis hanya Elin sahaja yang tahu statusnya. Itu sahaja!
            “Kau buat apa dekat sini, Fie? Dulu aku dengar kau nak menetap terus dekat Australia. Ini kau tengah cuti makan angin ke?” Hardee mula menyoal tujuan Rafie ke mari.
            “Well, let say I’m here for good.”
            “Reason?” Soal Hardee sambil sebelah kening dijongketkan. Hardee cuba mengorek rahsia sahabatnya itu. Rafie tersenyum dan mengangkat bahu.
            “Hati aku tetap dekat Malaysiala, bro. Rasanya dah lama sangat aku tinggalkan tanah air tercinta ini. Lagipun, hidup nak enjoy ni dah pass our age. Now aku nak settle down dan aku nak memulakan satu kehidupan di sini,”


            “Wow! Now we hear a man speak,” masing-masing tergelak. Hardee kenal sangat dengan sikap Rafie yang suka berhibur, suka berkepit dengan perempuan. Walaupun begitu, dia tahu hati lelaki itu sangat baik dan tidak pernah sampai mampu merosakkan anak orang. Sememangnya jejaka yang berwajah tampan itu memang selalu dikelilingi oleh perempuan kerana sikapnya yang ‘gentle man’ itu. Mana-mana gadis pasti terpikat pada lelaki itu bukan saja disebabkan wajahnya, tetapi perwatakan menarik lelaki itu yang mampu mencairkan hati perempuan.
            Kedua-dua sikap lelaki itu tidak jauh bezanya. Cuma Hardee seorang yang tidak gemar bila dikepit dengan mana-mana perempuan. Baginya semua itu hanya buang masa. Walaupun dulu dia seorang yang ceria dan mesra, tetapi dia bukanlah seorang kaki perempuan seperti Rafie. Kawan perempuan memang ramai tetapi, semuanya hanya kawan biasa. Di tambah pula bila kehidupannya terus berubah bila hadirnya Aliniya memporak-perandakan keluarganya dan dia terpaksa menjadi suami perempuan itu.
            Perbualan mereka terhenti bila Elin masuk ke dalam pejabat bersama air kopi yang dipesan oleh Hardee tadi. Dalam diam, Hardee memerhatikan saja sikap sahabatnya yang begitu galak memandang Elin sampai tak berkelip. Dia menggeleng kepala. Adoi, Rafie memang tetap Rafie. Konon nak berubah tetapi, bila hadir saja perempuan, lelaki itu tak akan lepas pandang langsung!
            Setelah setiausahanya keluar dari bilik, Hardee tersengih menggeleng sekali lagi. Sedar bahawa dia sudah terkantoi dengan Hardee, Rafie berdeham dan pantas tangannya mengambil cawan yang dihidang oleh Elin tadi.
            “Nak settleh down konon,” sindir Hardee pula. Rafie meletakkan kembali cawan di tangan setelah menghirup air kopi yang dibuat oleh Elin.
            “Sedap kopi yang setiausaha kau buat. Sesedap dan semanis wajahnya. Nama dia siapa?” spontan Hardee ketawa mengingatkan sikap sahabatnya itu. Rafie mengangkat-angkat keningnya dan dia turut gelak sama.
            Rafie menceritakan serba sedikit tentang apa yang dilaluinya semasa di Australia. Cadangnya dia mahu bekerja terus di sana, tetapi niatnya itu dimatikan saja setelah mendapat berita tentang ayahnya yang sakit dan memerlukan perhatiannya sementelah dia merupakan anak sulung daripada empat orang beradik. Hardee ada juga mendengar khabar tentang bapa sahabatnya itu. Tetapi, tidak dia menyangka bahawa ayah Rafie benar-benar memerlukan rawatan lanjut. Dia turut bersimpati pada Rafie.
            Rafie bukanlah berasal daripada keluarga berada seperti Hardee. Dia datang dari keluarga yang berkehidupan sederhana. Bapanya hanya bekerja sebagai jurutera yang makan gaji, manakala ibunya hanyalah seorang guru. Apabila dia mendapat biasiswa, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Australia. Memang dia mahu bekerja di sana tetapi, sudahnya takdir menyebabkan dia kembali ke Malaysia semula.
            “Well, woman still a woman right?” Hardee masih lagi mahu mengusik rakannya sesudah mendengar cerita daripada Rafie. Rafie tergelak kecil.
            “Kali ini, aku betul-betul nak settle down. Bukan aje nak bantu keluarga aku, tapi aku nak tunaikan permintaan kedua-dua mak ayah aku. Cuma, I still can’t find the right one,”
            “Kau akan jumpa dia nanti,” jawab Hardee pula. Dia pasti sahabatnya akan mendapat seorang gadis yang baik untuknya. Tetapi, dia pula... Dia terpaksa menerima seorang gadis yang tidak diingininya, malah dibencinya disebabkan dosa-dosa yang pernah perempuan itu buat pada dia dan juga keluarganya.



            “Enough about me. Kau macam mana, bro? Senyap-senyap aje dari dulu. Entah-entah kau dah kahwin tak?” Tersentak Hardee mendengar tebakkan lelaki itu. Dia cuba mengawal ekspresi wajahnya, tidak mahu rahsianya terbongkar.
            “Eh! Mana adalah. Aku macam ini ajelah,”
            “Ya ke? Takkanlah lelaki businessman macam kau tak dapat sangkutkan mana-mana perempuan kot?” Bagai cacing kepanasan Hardee dibuatnya. Dia cuba menindaknya sehabis boleh.
            “Aku tahu yang selepas bapa kau meninggal, kau kena gantikan tempat bapa kau. Dan, aku betul-betul nak minta maaf sebab tak sempat nak kontek kau masa bapa kau meninggal hari itu disebabkan penyakit jantung dia. Aku pun dengar yang adik kau pun meninggal 7 tahun yang lalu?” Wajah Hardee mula berubah muram. Matanya menangkap bingkai gambar di atas meja. Anak matanya mula terasa pedih. Wajah satu-satunya arwah adik dan bapanya ditatap lama. Hatinya perit bila teringat akan apa yang terjadi pada keluarganya itu. Dia menelan liur ingin membuang rasa sedih di hati.
            “Bro, maafkan aku,”
            “No. It’s okay. Semua itu dah lama berlalu kan?”
            “Sebenarnya aku pun terkejut juga bila dengar yang adik kau meninggal pada usia dia yang masih muda itu. Masa itu dia masih budak universiti kan? Dia masih study kan masa itu?”
            Hardee mengangguk. Tanpa sedar setitik air matanya jatuh jua. Rafie rasa serba salah bila melihat Hardee yang masih bersedih akan kehilangan adiknya itu. Dia tahu sahabatnya benar-benar sayangkan adik bongsunya itu. Setelah kehilangan seorang ibu pada usia mereka yang masih muda, Hardee begitu menyayangi adiknya dan dialah yang menjaga adiknya bila bapa mereka begitu sibuk menguruskan bisnes keluarga.

                                          

            “Bro, sorry sebab aku tanya pasal arwah adik kau. Tapi, boleh aku tanya satu perkara lagi?” Hardee mengalih pandangan dari terus melihat gambar tadi. Tangannya menyeka pantas air mata dari terus mengalir.
            “Apa dia?”
            “Ke... kenapa adik kau meninggal?” Mendengar soalan itu, satu nama terus terbit di fikirannya. Bibirnya diketap kuat.
            “Dia... Dia bunuh diri,”
            “He did what?!” Rafie tercengang mendengar kata sahabatnya itu. Dia mula hilang kata.


Monday, March 7, 2016

Dosa Semalam bab 8

BAB 8


            SETIAP kali kakinya melangkah ingin ke bilik Hardee, setiap kali itulah kata-kata kak Zah tadi sering berulang di kotak mindanya.
            “Niya seorang saja yang sering keluar masuk bilik itu. Tak kiralah dapat permintaan daripada Tuan Hardee atau tak. Kadang-kadang itu masa Tuan Hardee tak ada pun Niya masuk. Apa yang Niya buat itu kami sendiri pun tak tahu. Hanya Niya seorang je yang tahu apa yang Niya tengah buat masa itu. Sebab setiap kali Niya ke bilik Tuan Hardee bila Tuan Hardee tak ada, Niya dah beri amaran supaya jangan beritahu sesiapapun pasal itu dan jangan ganggu Niya ketika itu,” serentak itu kaki Niya terhenti seketika. Dahinya berkerut.
            “Entah apalah yang aku buat dekat dalam bilik lelaki itu. Niya apa yang kau buat sebenarnya?” bisik Aliniya berharap agar ingatannya mampu mengingat kembali kisah lalu.
            Kak Zah juga menceritakan bahawa Aliniya sudah berkahwin selama setahun dengan Hardee dan tidak lama selepas itu Aliniya mengandung selama 7 bulan. Semasa pembantu rumah tiada di rumah dek cuti hari raya, mereka mendapat berita bahawa Aliniya terpaksa dibedah untuk melahirkan anaknya pada ketika itu tetapi nyawa anak yang dikandungnya tidak lama. Dengar cerita semua yang berlaku itu disebabkan kecuaian Aliniya dan disebabkan itu jugala Aliniya tidak dapat menerima hakikat yang anaknya meninggal sehingga dia menjadi gila serta terpaksa ditahan di hospital sakit jiwa selama 6 tahun.
            Bila mengingati kisah anaknya yang sudah meninggal 6 tahun lalu, Aliniya berasa sebak. Sukar untuk dia terima kisah yang berlaku pada dirinya dulu. Macam tak percaya pula yang anaknya meninggal disebabkan kecuaiannya. Aliniya mengeluh lemah.


            “Mesti ada sesuatu yang terjadi waktu itu. Takkanlah aku sanggup biarkan anak yang aku kandung itu meninggal. Lagipun, aku gila sebab aku tak boleh terima semua hakikat itu. Memang! Pasti ada sesuatu yang terjadi tapi tak diketahui oleh sesiapapun. Lagipun, kak Zah sendiri cakap masa kejadian tersebut hanya aku seorang saja di rumah,” Aliniya membuat kesimpulan.
            Tak lama selepas itu Alinya terkebil-kebil. Barulah dia tersedar yang dia telah bercakap seorang diri di tengah-tengah laluan ke bilik Hardee. Sudahnya dia berpaling memandang sekeliling ingin memastikan tiada sesiapapun yang melihat kelakuannya tadi. Tiba-tiba anak matanya terarah pada sebuah pintu yang bertutup rapat. Hatinya seolah-olah ingin menarik dirinya untuk menjejak ke daun pintu tersebut tetapi niatnya terhenti tatkala teringat akan tangannya yang masih memegang dulang untuk dihantarkan kepada Hardee. Nampak gayanya dia perlu pentingkan perut suaminya terlebih dahulu. Lantas, Aliniya meneruskan langkahnya ke bilik Hardee.
            Aliniya meletakkan dulang ke atas meja kecil bersebelahan bilik lelaki itu dan tangannya mahu mengetuk daun pintu. Belum pun sempat tangan mencapai daun pintu, Aliniya menarik kembali tangannya. Dia mula berasa takut bila teringat akan kejadian malam tadi. Sudahlah suaminya menghalau dia, kepalanya juga mendapat habuan daripada Hardee. Kalau dia menghantar sarapan ini pada Hardee dan Hardee mengusirnya sekali lagi, entah-entah pinggan mangkuk ini pula menjadi habuan seterusnya untuk dia. Aliniya jadi kaget.
            ‘Nak hantar ke tak nak? Nak hantar ke tak ini,’ gusar Aliniya lagi.
            ‘Niya! Apapun yang terjadi, kau sendiri pun dah beritahu dekat dia yang kau akan terima semua pembalasannya. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata... Kau sendirilah hadapinya,’ hati Aliniya mula berperang sesama sendiri. Antara kata hati dan akal mindanya. Mana satu yang perlu dia turuti.
            ‘Ah! Boleh blah!’ Serentak dengan itu, Aliniya memulas tombol pintu tanpa sedar. Membulat anak matanya tatkala tersedar akan kelakuan spontannya itu. Dia mengetuk kepalanya dan menggigt tangan sendiri.
            ‘Apahal berani sangat ni Niya!’ kutuk Aliniya sambil tangannya mengetuk lagi kepala sendiri. Tak lama selepas itu, Aliniya terkebil-kebil pula. Dilihatnya tiada pula batang hidung lelaki itu di situ.
 Aliniya mengerling ke sekeliling bilik. Sedikit sebanyak dia dapat merasakan bahawa dia sudah begitu biasa bila berada di dalam bilik tersebut. Matanya memandang katil yang masih belum dikemas dan dilihatnya pula serata bilik yang masih dalam keadaan gelap dek langsir tingkap yang belum disingkap lagi. Lalu, Aliniya bergerak mendekati tingkap dan diselaknya langsir membuatkan bilik tersebut tidak lagi gelap seperti tadi. Melihat keadaan bilik tersebut, Aliniya terkaku.
            ‘Memang aku kenal sangat bilik ini,’ seraya berfikir sebegitu, Aliniya melihat susun atur segala perabot di situ. Anak matanya terhenti melihat sebingkai gambar yang terletak di atas meja kerja di situ. Aliniya mengambil gambar tersebut dan bibirnya mula tersenyum. Dilihatnya wajah Hardee yang begitu manis tersenyum panjang.
            ‘Alangkah bagusnya kalau dia mampu senyum untuk aku,’ detik Aliniya sambil diusapnya gambar tersebut seolah-olah dia mengusap wajah lelaki itu betul-betul. Dia meletakkan kembali bingkai gambar tersebut dan kembali melihat sekeliling. Barulah dia sedar bahawa tiada pula gambar Hardee bersama keluarganya di situ. Tiada juga di mana-mana ruang di rumah banglo ini. Aliniya hairan. Kenapa ya?
            Sudahnya, Aliniya bergerak ke katil dan dikemasnya elok. Lampu tidur di sebelah katil juga ditutupnya dan dia keluar semula ingin mengambil dulang tadi. Dia meletakkan dulang sarapan Hardee di atas meja kerja tadi. Sempat juga dia menyusun kertas-kertas di atas meja kerja itu supaya tidak nampak serabut di matanya.
            Sebaik saja mengemas dan berpaling, Alinya terjerit kecil.
            “Mak!” Pantas mulutnya ditekup oleh tangan kasar milik Hardee. Membuntang mata Aliniya melihat wajah lelaki itu yang begitu rapat dengan wajahnya. Dadanya mula berdegup kencang. Dalam pada itu sempat juga matanya memandang dari atas ke bawah. Merona merah wajahnya bila melihat keadaan Hardee yang hanya bertuala di pinggang sahaja.


            Tajam mata lelaki itu memandang Aliniya. “Hei! Berani betul kau masuk bilik aku kan? Macam yang selalu kau buat dari dulu lagi. Dasar perempuan tak malu,” Hardee menolak tangan yang ditekupnya pada mulut Aliniya dengan kasar. Aliniya menahan rasa. Dia menyentuh bibirnya yang terasa sedikit sakit. Mujur tidak berdarah. Aliniya menunduk saja.
            “Eh! Aku ingatkan kau lupa, kau dah tak buat perangai tak malu kau tu, tapi aku salah. Kau memang perempuan yang tak tahu malu!” ujar Hardee kasar sambil jari telunjuknya menunding pada wajah Aliniya.
            “Kau nak apa sebenarnya ya? Eh! Kau keluar sekarang! Keluar!” jerkah Hardee sehingga terjongket bahu Aliniya gara-gara terkejut mendengar suara Hardee. Air mata mula bertakung di tubir mata. Aliniya masih juga tidak bergerak dari situ.
            Hardee mula terasa panas melihat kedegilan wanita di depannya. Dia mendengus dan tangannya mula menarik lengan Aliniya dengan kasar. Ditariknya lengan Aliniya sehingga wanita itu keluar dari biliknya. Belum pun sempat Aliniya mahu menjelaskan lebih lanjut, daun pintu sudah pun ditutup tepat di depan wajahnya.
            Manik mutiara jatuh lagi ke pipi langsung diseka Aliniya. Tidak kiralah macam mana baik sekalipun dia melayan lelaki itu, dia tetap juga tidak berkesempatan untuk menjelaskan apa-apapun sama seperti kejadian malam tadi.
            Tatkala mahu berpaling pergi, Aliniya terdengar jeritan nyaring di sebalik daun pintu yang tertutup itu. Laju saja Aliniya membuka kembali pintu bilik Hardee dan terbeliak matanya melihat ibu jari kaki Hardee yang sudah berdarah.
            “Ya Allah! Encik, apa dah jadi ini?” Segera Aliniya menghampiri Hardee yang sudah terduduk mengerang kesakitan. Nasib tidak menyebelahinya bila dia tersepak kaki katil. Belum pun sembuh sepenuhnya, ibu jari kakinya terkena lagi sekali. Malah, nampaknya lagi teruk daripada malam tadi.


            “Encik tunggu dekat sini sekejap. Saya pergi ambilkan kotak kecemasan. Sabar ya,” Aliniya bergegas ke bawah dan meminta kotak kecemasan bersama sebesin air dan tuala kecil daripada kak Zah untuk membersihkan darah di ibu jari kaki Hardee. Tidak lama kemudian, kak Zah menyerahkan barang-barang yang diminta tadi kepada Aliniya. Aliniya segera menarik kaki Hardee.
            Melihat keadaan Hardee yang hanya bertuala itu, niat kak Zah yang mahu membantu terus terbantut. Malah, ditutupnya daun pintu rapat tidak mahu mengganggu mereka berdua.
            Aliniya membasahkan tuala kecil tadi dan dilapnya darah pada ibu jari kaki Hardee. Berkerut-kerut dahi lelaki itu menahan sakit.
            “Hai... macam manalah boleh terluka pula ni? Malam tadi cuma lebam, dah sekarang berdarah pulak,” Aliniya tidak sedar yang dia sudah mula membebel seperti seorang isteri yang penuh kasihkan suaminya. Hardee yang berkerut menahan sakit berubah terkebil-kebil mendengar kata-kata perempuan itu. Dia pula diam tidak berkutik sewaktu itu.
            Aliniya mengeluarkan ubat antiseptik setelah menghentikan darah pada ibu jari kaki Hardee. Kali ini dia membalut ibu jari kaki Hardee dengan kemas.
            “Lain kali, jalan itu elok-elok. Jalan pakai mata tahu,” selamba saja Aliniya menyindir Hardee sedangkan baru saja tadi dia menangis dek dijerkah oleh lelaki itu. Berani betul Aliniya sekarang.
            Aliniya mengemaskan barang ingin meninggalkan Hardee. Hardee yang terpinga-pinga disindir sebegitu mula tersedar.
            “Eh! Aku sendiri pun boleh buatlah,”
            “Kalau awak boleh buat, jadi boleh tak jangan buat saya risau macam ini?” Aliniya terluah segala isi hatinya. Entah mengapa hatinya begitu risau akan keadaan lelaki itu. Sungguh! Hatinya tidak pandai menipu. Memang itu yang dia rasa sekarang.
            Hardee terkedu. Direnungnya wajah Aliniya yang tampak begitu benar risau akan dirinya.
            ‘Ini bukan seperti Aliniya yang dulu,’ terbit satu perasaan aneh menyerbu lubuk hatinya. Hardee berasa begitu asing sekali bila berdepan dengan Aliniya sekarang. Seolah-olah dia melihat Aliniya yang baru.


            “Saya terima semua pembalasan Encik pada saya. Tapi tolonglah. Tolong jaga diri Encik tu baik-baik. Jangan buat saya naik risau,” Aliniya menggigit bibir. Sedar yang dia sudah terlepas cakap.
            “Kau ni kenapa?” Hardee masih menjulang egonya. Dia mahu menepis segala bisikan-bisikan berupa simpati jauh dari hatinya. Dia masih tidak mahu mengalah.
            “Sa... saya pun tak tahu kenapa,” sudahnya itu yang dijawab Aliniya. Dia serba salah dan di satu sudut hatinya, dia sebenarnya malu.
            ‘Apa dah jadi dekat kau ni Niya? Memang betullah apa yang lelaki itu cakap, kau memang perempuan tak malu!’
            “Sa... saya dah sediakan sarapan dekat atas meja tu. Encik makanlah. Saya tak nak ganggu Encik,” laju saja Aliniya melangkah keluar dari bilik tersebut dan ditariknya daun pintu bilik. Aliniya menekap tangan pada dadanya. Memang laju jantungnya berdegup. Wajahnya ditekup dengan kotak kecemasan yang dipegangnya tadi.

            “Ya Allah! Apa yang aku buat ini? Malu tahu tak?” Aliniya menyalahkan diri sendiri di atas ketelanjuran katanya.

background