Sunday, March 27, 2016

Dosa Semalam Bab 10

Bab 10


            KEDUA-DUANYA melopong melihat kehadiran wanita di depan mereka. Mahu terbeliak biji mata tatkala wajah wanita itu muncul. Bagai mimpi ngeri pula rasanya.
            Apabila sampai ke rumah majikan mereka, pantas saja bel rumah ditekan. Mereka menanti di depan pagar rumah dengan beg di tangan. Masing-masing tidak sabar ingin berjumpa dengan kak Zah, ingin berkongsi cerita tentang kisah-kisah di kampung. Namun, sebaik pintu pagar dibuka, alangkah terkejutnya mereka melihat wajah wanita yang sudah lama tidak berkunjung di rumah banglo itu. Sungguh! Mereka benar-benar tidak tahu akan keberadaan wanita itu di situ.
            Wajah wanita tadi kelihatan sedikit hairan apabila melihat kedua-dua wajah asing yang masih melopong dari tadi.
            “Nak cari siapa ya?” Aliniya menyoal dua orang wanita yang masih tercegat di depannya itu. Sudah 2 minit berlalu, mereka tetap tidak berganjak dan satu patah perkataan pun tak terkeluar dari mulut masing-masing. Naik pelik Aliniya melihatnya.
            Aliniya mengawang tangannya bila mereka masih juga tidak bersuara. Bisu ke apa?
            “Kalian berdua nak cari siapa? Encik Hardee ke?” Aliniya kembali menyoal lagi. Terkejut Aliniya tatkala kedua-dua wanita itu tiba-tiba melutut sambil tangan digosok-gosok seperti merayu.
            “Eh! Kenapa pulak ini?” Aliniya berusaha untuk menarik tubuh kedua-dua wanita itu untuk berdiri. Sekarang apa pula yang jadi ini? Kaget Aliniya melihat wajah wanita-wanita itu seakan-akan mahu menangis.


            “Kami minta maaf Puan. Kami minta maaf. Kami janji tak buat lagi. Kami janji tak balik kampung tanpa pengetahuan Puan. Tapi, hari itu kami dah minta izin daripada Tuan Hardee. Minta ampun Puan,” akhirnya salah seorang daripadanya bersuara. Aliniya tercengang melihat wajah wanita yang kelihatan sama baya dengan kak Zah itu mula basah dek menangis ketakutan. Mata Aliniya beralih pada wanita muda yang masih tertunduk membisu di sebelah. Tidak lama selepas itu, Aliniya teringat akan cerita kak Zah semalam tentang dua orang pembantu rumah yang tiada di situ kerana masih bercuti.
            “Awak berdua tak ada buat salah apa-apapun pada saya,” jawab Aliniya dengan nada yang lembut. Kali ini giliran dua wanita itu pula yang tercengangg melihat perubahan isteri majikan mereka itu.
            Aliniya menarik tubuh seorang demi seorang untuk berdiri. Wanita yang sudah lecun dek menangis tadi pantas menyeka sisa-sisa air mata di pipi. Sekarang, tangannya menggenyeh anak mata kerana tidak percaya dengan perubahan Puan Sihir itu.
            “Eh, Ema! Sekarang aku tengah dalam mimpi lagi ke apa? Macam pelik je aku tengok Puan Sihir ini,” wanita itu menyoal wanita muda yang masih setia berdiri di sebelahnya. Sedar yang kata-kata rakannya mungkin akan membuat isteri majikannya naik hantu, laju saja dia menyiku.
            “Adoi! Sakitlah Ema. Aku cakap betullah! Kau tak rasa pelik ke dengan perangai Puan Si...” ayat wanita sebaya kak Zah terhenti bila lengannya disiku sekali lagi.
Melihat kerenah mereka berdua, hati Aliniya sedikit tercuit. Bibirnya mula mengukir senyuman. Berkelip-kelip mata kedua-duanya melihat wajah manis Aliniya.
“Ema... Aku tak tahulah kalau bini Tuan Hardee atau aku yang tak betul sekarang,” selamba saja dia mengungkap sebegitu di depan Aliniya. Tercetus juga tawa yang ditahan Aliniya dari tadi.
“Kelakarlah awak. Tak. Tak ada sesiapapun yang tak betul sekarang. Dan, saya rasa saya tahu awak berdua siapa sekarang. Awak kak Bed,” ucap Aliniya sambil ibu jarinya terarah pada wanita di depannya itu. Kemudian, anak matanya beralih pada wanita muda yang bernama Ema.
“Dan awak mesti, Ema. Pembantu rumah yang ganti Liza, kan?” sambung Aliniya lagi. Kedua-dua wanita yang masih keliru itu mengangguk laju.
“Pu... Puan Niya dah balik semula, dah sihat ya?” barulah kedengaran suara Ema bertanya. Aliniya mengangguk sahaja.
“Puan, kenapa lama sangat dekat luar tu?” tumpuan mereka beralih pada suara yang menegur dari belakang. Aliniya berpaling.
“Geng-geng kak Zah dah balik,” ujar Aliniya sambil tersenyum.
“Eh! Korang dah balik rupanya. Apahal tercegat dekat luar? Masuk jelah!” Aliniya memberi laluan pada kak Bed dan Ema untuk masuk.
“Masuklah,” jemput Aliniya lembut. Mata kak Bed masih tak lepas melihat wajah Aliniya. Dia masih tidak faham dengan perubahan sikap wanita yang sememangnya dikenali sebagai Puan Sihir itu. Kak Zah menarik tangan kak Bed untuk masuk agar wanita itu tak tercegat lama di luar. Ema di sebelah hanya menggeleng saja. Mereka mengangkat beg-beg dan masuk ke rumah banglo tersebut.
Sesudah kedua-dua pembantu rumahnya mengemas beg, Aliniya menjemput mereka semua ke dapur. Dia menghidangkan kek Red Velvet yang dibuatnya hari itu. Masih elok lagi.
Kak Bed dan Ema memandang antara satu sama lain. Hairan bila isteri majikannya pula yang menghidangkan mereka dengan baik.


“Rasalah kek yang saya buat itu. Masih elok dan sedap lagi. Saya simpankan di peti ais. Jangan risau dijamin selamat,” Aliniya faham akan pembantu rumah mereka yang masih keliru dengan perubahannya itu. Berharap yang  mereka tidak salah sangka tentang kebaikan yang ditunjuknya sekarang.
Bila pelbagai soalan masih bermain-main di fikiran mereka berdua, lantas wajah kak Zah dipandang lama. Kak Zah selamba saja menuang air teh untuk mereka berdua. Perasan yang masing-masing masih senyap tidak bersuara, barulah kak Zah memandang wajah rakan sekerjanya itu.
“Apa dia?” soal kak Zah bersahaja. Tangannya mengambil sedikit kek Red Velvet dengan sudu dan disuapnya ke mulut.
Kak Bed pantas menyiku kak Zah bila tiada langsung respon wanita itu untuk menjawab teka-teki yang mengganggu minda. Hampir tersedak kak Zah dibuatnya. Aliniya pula hanya tayang muka tak bersalah.
Kak Bed memandang Ema di sebelah. Sepotong kek Red Velvet dah selamat ke dalam perut gadis itu. Dikutuk-kutuknya sikap Ema yang buat selamba bodoh tanpa mahu menyoal apa-apa. Adui! Ema tetap Ema. Sentiasa polos! Kak Bed tepuk dahi.
“Saya tahu awak berdua tengah keliru sekarang. Sebelum ini pun, saya dapat respon yang sama daripada kak Zah sewaktu saya berjumpa dengan dia buat pertama kali. Tapi, sebelum saya jelaskan lebih lanjut, saya harap awak berdua akur dengan permintaan saya ini,” Aliniya mula berbicara.
“Apa dia Puan?” Soal Ema pendek. Semua mata tertumpu pada Aliniya. Kak Zah hanya mendengar saja. Dia sudah tahu apa yang bakal diucap oleh isteri majikannya itu.
“Saya harap awak berdua layan saya sama seperti awak layan kak Zah. Anggap je saya ini macam seorang kawan. Dan, panggil saya Niya bukan Puan, ya? Saya rasa tak syoklah dengar orang panggil saya dengan panggilan Puan itu. Sebabnya, sebaik saja saya sedar dan waras, saya tak tahu pun yang saya sebenarnya isteri Encik Hardee,”
“Apa?” Ucap kedua-duanya serentak.

WAJAH Aliniya berubah ceria sebaik melihat kehadiran lelaki itu di situ. Sejak dari pagi lagi dia begitu teringin melihat wajah suaminya. Dia mahu ambil tahu tentang keadaan suaminya. Okey ke tidak ibu jari kaki lelaki itu. Namun, niatnya terbantut sebaik mengetahui bahawa lelaki itu sudah keluar awal ke ofis.
            Aliniya memang menanti-nanti kepulangan suaminya. Petang tadi bersungguh-sungguh dia menyediakan hidangan makan malam untuk mereka. Sudah dia menegah pembantu-pembantu rumahnya untuk tidak mengganggu dia di dapur. Dia betul-betul mahu melakukan kerja memasak itu sendiri.
Dia sendiri pun tidak tahu apa yang merasuknya sekarang. Apa yang dia pasti, dia begitu ingin untuk melihat wajah lelaki itu. Walaupun dia tahu bahawa lelaki itu begitu membencinya dan pasti saja lelaki itu memaki-makinya nanti, tetapi dia tidak kisah tentang semua itu. Hatinya terasa begitu dekat dengan lelaki yang bernama Hardee itu. Aneh betul perasaan ini.
Petang tadi Aliniya sudah menyuruh pembantu rumah yang lain untuk makan terlebih dahulu tanpa menunggunya. Dia mahu menunggu kepulangan suaminya dan mahu makan bersama-sama. Perut yang berbunyi diminta untuk diisi dibiarkan begitu saja. Sudahnya dia tertidur di sofa di ruang tamu. Aliniya terbangun sebaik mendengar bunyi kereta dari luar.
Laju kakinya melangkah ke tingkap. Akhirnya, bibirnya mengukir senyum panjang.
“Dia dah sampai,” ucapnya dengan nada yang rendah. Dia menunggu saja Hardee membuka daun pintu. Dia masih tidak berganjak dari tadi. Hanya matanya saja tajam memandang pintu.
Hardee mengucap salam sebelum masuk ke rumah. Langsung dia tidak sedar akan kehadiran Aliniya yang lama memerhatikan gerak-gerinya dari tadi. Perlahan-lahan dia melangkah dek kaki yang masih belum sembuh. Tangannya mengurut-urut leher yang terasa sedikit sengal. Sempat matanya memandang jam di pergelangan tangan.
“Dah pukul 1 pagi rupanya. Semua dah tidurlah itu,” bisik Hardee. Itu bermakna termasuklah perempuan itu. Fikirnya lagi. Memang itu yang dimahunya. Sengaja dia balik lewat. Dia tidak mahu bersemuka langsung dengan wanita ‘gila’ itu. Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang. Fikiran dia begitu serabut dan bercelaru dek perubahan sikap Aliniya itu.
Hardee mula melangkah dengan terjengket-jengket. Dia mahu ke dapur sebentar ingin membasahkan tekaknya sebelum naik ke bilik. Aliniya hanya mengikut saja jejak suaminya dari belakang secara senyap-senyap sehingga ke dapur. Aliniya bersembunyi di sebalik dinding. Dia melihat Hardee mengambil gelas dan mengeluarkan air sejuk dari peti ais.
‘Dia tak nampak ke nota yang aku letak dekat tudung saji itu?’ Aliniya menggigit bibir. Gusar kalau notanya tidak sempat dibaca oleh Hardee.
Setelah habis meneguk air, mata Hardee menangkap nota kecil yang dilekat pada tudung saji di atas meja makan. Hardee meletakkan gelas di sinki dan diambilnya nota tersebut. Aliniya ternanti-nanti respon daripada Hardee setelah membaca notanya.
            ‘Harap-harap dia cuba masakan aku itu,’ Aliniya berdoa dalam hati.
            Habis saja membaca ayat-ayat pada nota, Hardee terus memandang pada tudung saji. Dibukanya tudung saji dan dilihatnya makanan yang sudah siap tersedia. Hardee merenung makanan tersebut seketika. Aliniya yang masih bersembunyi rasa tidak sabar ingin melihat wajah Hardee sebaik merasa masakannya itu. Namun, bibir yang tersenyum panjang tadi berubah serta-merta.

            Hardee mengambil pinggan-pinggan di meja makan tersebut dan dibuangnya ke tong sampah. Dia langsung tidak mahu menyentuh pun hidangan yang disediakan oleh wanita itu.
            “Makanan dimasak oleh dia konon. Entah-entah beli dekat mana-mana kedai, tak pun minta kak Zah yang buat. Ingat aku nak makan ke masakan kau itu? Kalau diletaknya racun, mahu mampus terus,” Hardee tidak sedar kata-katanya telah menghancurkan perasaan Aliniya yang mendengar dengan jelas di sebalik dinding. Tumpah juga air matanya.
            Hardee mahu beredar dari situ, namun langkah kakinya terhenti apabila melihat Aliniya yang menangis di sebalik dinding. Tiba-tiba hatinya diserbu perasaan bersalah. Hardee hanya diam tanpa bersuara. Tetapi tidak pula dia mahu melangkah pergi. Kakinya seperti melekat di situ.
            Aliniya begitu terasa dengan tindakan suaminya itu. Sudahlah dia beriya-iya mahu menunggu suaminya untuk makan bersama, tetapi semua hidangan yang disiapnya tadi dibuang begitu saja. Aliniya tunduk menahan hati yang sedikit tercalar. Dia menelan liur dan menggigit bibir apabila berasa perutnya seperti dicucuk-cucuk tajam.
            “Walaupun awak tak suka apa yang saya masak, tapi janganlah buang makanan itu. Ada orang lain tak bernasib baik macam kita, sanggup buat apa saja demi sesuap nasi. Awak tahu tak?” Hardee mengetap gigi bila disindir sebegitu. Aliniya pantas menyeka air matanya dan meninggalkan Hardee tanpa sempat lelaki itu membalas kata. Sempat matanya menjeling tajam pada Hardee.
            Hardee terasa egonya dicabar apabila selamba saja wanita itu pergi tanpa sempat mendengar apa yang mahu dibalasnya. Lantas, Hardee bergerak mengikut jejak Aliniya. Sebelum wanita itu menutup pintu biliknya, Hardee pantas menahan dan menyentap lengan Aliniya. Berkerut dahi Aliniya menahan sakit.
            “Eh! Aku tak ingin pun nak rasa masakan kau itulah. Apa? Kau ingat dengan masakan kau itu boleh tambatkan hati aku? Ha ha ha. No way! Kau cakap apa tadi, ada orang lain tak bernasib baik? Yang sanggup buat apa saja demi sesuap nasi ya? Kau cakap pasal siapa? Pasal kau? Baiklah. Kalau kau sanggup buat apa saja demi sesuap nasi itu, jadi kau kena dengar ini baik-baik,” mata Hardee merenung tajam pada wajah Aliniya. Perasaan serba salah itu sudah dibuangnya jauh. Dia lebih mengagung-agungkan egonya sewaktu itu.
Aliniya menangis lagi. Dia bukan saja menahan hati yang begitu sakit, tetapi rasa sakit di perut yang mencucuk-cucuk, di tambah juga dengan genggaman Hardee yang kuat di lengannya membuatkan dia tidak dapat menahan tangisannya lagi.
“Kau buka telinga kau itu luas-luas dan kau dengar baik-baik. Mulai hari ini, kalau kau nak sesuap nasi itu daripada aku, kau kena bekerja untuk dapatkannya,” Aliniya menatap wajah Hardee dengan perasaan yang keliru.
“Mulai hari ini, kau kerja dengan aku. Kau jangan berangan nak jadi Puan dekat rumah ini lagi. Kau tu dah sama dengan orang gaji. Kau faham?!”


2 comments:

  1. best sangat..sy enjoy baca dari bab 1 sampai bab 10.. harap ada next lagi, pleaseeee, sy nak sangat baca !!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Risah.. Wah! Ada pmbca stia DS.. hehe.. thank u so much sbb sntiasa mnanti DS dgn sbr.. Hee.. Don't worry.. nnti kte post dkt blog ya.. Glad that u enjoy bca DS.. Thank u.. <3

      Delete