Monday, March 7, 2016

Dosa Semalam bab 8

BAB 8


            SETIAP kali kakinya melangkah ingin ke bilik Hardee, setiap kali itulah kata-kata kak Zah tadi sering berulang di kotak mindanya.
            “Niya seorang saja yang sering keluar masuk bilik itu. Tak kiralah dapat permintaan daripada Tuan Hardee atau tak. Kadang-kadang itu masa Tuan Hardee tak ada pun Niya masuk. Apa yang Niya buat itu kami sendiri pun tak tahu. Hanya Niya seorang je yang tahu apa yang Niya tengah buat masa itu. Sebab setiap kali Niya ke bilik Tuan Hardee bila Tuan Hardee tak ada, Niya dah beri amaran supaya jangan beritahu sesiapapun pasal itu dan jangan ganggu Niya ketika itu,” serentak itu kaki Niya terhenti seketika. Dahinya berkerut.
            “Entah apalah yang aku buat dekat dalam bilik lelaki itu. Niya apa yang kau buat sebenarnya?” bisik Aliniya berharap agar ingatannya mampu mengingat kembali kisah lalu.
            Kak Zah juga menceritakan bahawa Aliniya sudah berkahwin selama setahun dengan Hardee dan tidak lama selepas itu Aliniya mengandung selama 7 bulan. Semasa pembantu rumah tiada di rumah dek cuti hari raya, mereka mendapat berita bahawa Aliniya terpaksa dibedah untuk melahirkan anaknya pada ketika itu tetapi nyawa anak yang dikandungnya tidak lama. Dengar cerita semua yang berlaku itu disebabkan kecuaian Aliniya dan disebabkan itu jugala Aliniya tidak dapat menerima hakikat yang anaknya meninggal sehingga dia menjadi gila serta terpaksa ditahan di hospital sakit jiwa selama 6 tahun.
            Bila mengingati kisah anaknya yang sudah meninggal 6 tahun lalu, Aliniya berasa sebak. Sukar untuk dia terima kisah yang berlaku pada dirinya dulu. Macam tak percaya pula yang anaknya meninggal disebabkan kecuaiannya. Aliniya mengeluh lemah.


            “Mesti ada sesuatu yang terjadi waktu itu. Takkanlah aku sanggup biarkan anak yang aku kandung itu meninggal. Lagipun, aku gila sebab aku tak boleh terima semua hakikat itu. Memang! Pasti ada sesuatu yang terjadi tapi tak diketahui oleh sesiapapun. Lagipun, kak Zah sendiri cakap masa kejadian tersebut hanya aku seorang saja di rumah,” Aliniya membuat kesimpulan.
            Tak lama selepas itu Alinya terkebil-kebil. Barulah dia tersedar yang dia telah bercakap seorang diri di tengah-tengah laluan ke bilik Hardee. Sudahnya dia berpaling memandang sekeliling ingin memastikan tiada sesiapapun yang melihat kelakuannya tadi. Tiba-tiba anak matanya terarah pada sebuah pintu yang bertutup rapat. Hatinya seolah-olah ingin menarik dirinya untuk menjejak ke daun pintu tersebut tetapi niatnya terhenti tatkala teringat akan tangannya yang masih memegang dulang untuk dihantarkan kepada Hardee. Nampak gayanya dia perlu pentingkan perut suaminya terlebih dahulu. Lantas, Aliniya meneruskan langkahnya ke bilik Hardee.
            Aliniya meletakkan dulang ke atas meja kecil bersebelahan bilik lelaki itu dan tangannya mahu mengetuk daun pintu. Belum pun sempat tangan mencapai daun pintu, Aliniya menarik kembali tangannya. Dia mula berasa takut bila teringat akan kejadian malam tadi. Sudahlah suaminya menghalau dia, kepalanya juga mendapat habuan daripada Hardee. Kalau dia menghantar sarapan ini pada Hardee dan Hardee mengusirnya sekali lagi, entah-entah pinggan mangkuk ini pula menjadi habuan seterusnya untuk dia. Aliniya jadi kaget.
            ‘Nak hantar ke tak nak? Nak hantar ke tak ini,’ gusar Aliniya lagi.
            ‘Niya! Apapun yang terjadi, kau sendiri pun dah beritahu dekat dia yang kau akan terima semua pembalasannya. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata... Kau sendirilah hadapinya,’ hati Aliniya mula berperang sesama sendiri. Antara kata hati dan akal mindanya. Mana satu yang perlu dia turuti.
            ‘Ah! Boleh blah!’ Serentak dengan itu, Aliniya memulas tombol pintu tanpa sedar. Membulat anak matanya tatkala tersedar akan kelakuan spontannya itu. Dia mengetuk kepalanya dan menggigt tangan sendiri.
            ‘Apahal berani sangat ni Niya!’ kutuk Aliniya sambil tangannya mengetuk lagi kepala sendiri. Tak lama selepas itu, Aliniya terkebil-kebil pula. Dilihatnya tiada pula batang hidung lelaki itu di situ.
 Aliniya mengerling ke sekeliling bilik. Sedikit sebanyak dia dapat merasakan bahawa dia sudah begitu biasa bila berada di dalam bilik tersebut. Matanya memandang katil yang masih belum dikemas dan dilihatnya pula serata bilik yang masih dalam keadaan gelap dek langsir tingkap yang belum disingkap lagi. Lalu, Aliniya bergerak mendekati tingkap dan diselaknya langsir membuatkan bilik tersebut tidak lagi gelap seperti tadi. Melihat keadaan bilik tersebut, Aliniya terkaku.
            ‘Memang aku kenal sangat bilik ini,’ seraya berfikir sebegitu, Aliniya melihat susun atur segala perabot di situ. Anak matanya terhenti melihat sebingkai gambar yang terletak di atas meja kerja di situ. Aliniya mengambil gambar tersebut dan bibirnya mula tersenyum. Dilihatnya wajah Hardee yang begitu manis tersenyum panjang.
            ‘Alangkah bagusnya kalau dia mampu senyum untuk aku,’ detik Aliniya sambil diusapnya gambar tersebut seolah-olah dia mengusap wajah lelaki itu betul-betul. Dia meletakkan kembali bingkai gambar tersebut dan kembali melihat sekeliling. Barulah dia sedar bahawa tiada pula gambar Hardee bersama keluarganya di situ. Tiada juga di mana-mana ruang di rumah banglo ini. Aliniya hairan. Kenapa ya?
            Sudahnya, Aliniya bergerak ke katil dan dikemasnya elok. Lampu tidur di sebelah katil juga ditutupnya dan dia keluar semula ingin mengambil dulang tadi. Dia meletakkan dulang sarapan Hardee di atas meja kerja tadi. Sempat juga dia menyusun kertas-kertas di atas meja kerja itu supaya tidak nampak serabut di matanya.
            Sebaik saja mengemas dan berpaling, Alinya terjerit kecil.
            “Mak!” Pantas mulutnya ditekup oleh tangan kasar milik Hardee. Membuntang mata Aliniya melihat wajah lelaki itu yang begitu rapat dengan wajahnya. Dadanya mula berdegup kencang. Dalam pada itu sempat juga matanya memandang dari atas ke bawah. Merona merah wajahnya bila melihat keadaan Hardee yang hanya bertuala di pinggang sahaja.


            Tajam mata lelaki itu memandang Aliniya. “Hei! Berani betul kau masuk bilik aku kan? Macam yang selalu kau buat dari dulu lagi. Dasar perempuan tak malu,” Hardee menolak tangan yang ditekupnya pada mulut Aliniya dengan kasar. Aliniya menahan rasa. Dia menyentuh bibirnya yang terasa sedikit sakit. Mujur tidak berdarah. Aliniya menunduk saja.
            “Eh! Aku ingatkan kau lupa, kau dah tak buat perangai tak malu kau tu, tapi aku salah. Kau memang perempuan yang tak tahu malu!” ujar Hardee kasar sambil jari telunjuknya menunding pada wajah Aliniya.
            “Kau nak apa sebenarnya ya? Eh! Kau keluar sekarang! Keluar!” jerkah Hardee sehingga terjongket bahu Aliniya gara-gara terkejut mendengar suara Hardee. Air mata mula bertakung di tubir mata. Aliniya masih juga tidak bergerak dari situ.
            Hardee mula terasa panas melihat kedegilan wanita di depannya. Dia mendengus dan tangannya mula menarik lengan Aliniya dengan kasar. Ditariknya lengan Aliniya sehingga wanita itu keluar dari biliknya. Belum pun sempat Aliniya mahu menjelaskan lebih lanjut, daun pintu sudah pun ditutup tepat di depan wajahnya.
            Manik mutiara jatuh lagi ke pipi langsung diseka Aliniya. Tidak kiralah macam mana baik sekalipun dia melayan lelaki itu, dia tetap juga tidak berkesempatan untuk menjelaskan apa-apapun sama seperti kejadian malam tadi.
            Tatkala mahu berpaling pergi, Aliniya terdengar jeritan nyaring di sebalik daun pintu yang tertutup itu. Laju saja Aliniya membuka kembali pintu bilik Hardee dan terbeliak matanya melihat ibu jari kaki Hardee yang sudah berdarah.
            “Ya Allah! Encik, apa dah jadi ini?” Segera Aliniya menghampiri Hardee yang sudah terduduk mengerang kesakitan. Nasib tidak menyebelahinya bila dia tersepak kaki katil. Belum pun sembuh sepenuhnya, ibu jari kakinya terkena lagi sekali. Malah, nampaknya lagi teruk daripada malam tadi.


            “Encik tunggu dekat sini sekejap. Saya pergi ambilkan kotak kecemasan. Sabar ya,” Aliniya bergegas ke bawah dan meminta kotak kecemasan bersama sebesin air dan tuala kecil daripada kak Zah untuk membersihkan darah di ibu jari kaki Hardee. Tidak lama kemudian, kak Zah menyerahkan barang-barang yang diminta tadi kepada Aliniya. Aliniya segera menarik kaki Hardee.
            Melihat keadaan Hardee yang hanya bertuala itu, niat kak Zah yang mahu membantu terus terbantut. Malah, ditutupnya daun pintu rapat tidak mahu mengganggu mereka berdua.
            Aliniya membasahkan tuala kecil tadi dan dilapnya darah pada ibu jari kaki Hardee. Berkerut-kerut dahi lelaki itu menahan sakit.
            “Hai... macam manalah boleh terluka pula ni? Malam tadi cuma lebam, dah sekarang berdarah pulak,” Aliniya tidak sedar yang dia sudah mula membebel seperti seorang isteri yang penuh kasihkan suaminya. Hardee yang berkerut menahan sakit berubah terkebil-kebil mendengar kata-kata perempuan itu. Dia pula diam tidak berkutik sewaktu itu.
            Aliniya mengeluarkan ubat antiseptik setelah menghentikan darah pada ibu jari kaki Hardee. Kali ini dia membalut ibu jari kaki Hardee dengan kemas.
            “Lain kali, jalan itu elok-elok. Jalan pakai mata tahu,” selamba saja Aliniya menyindir Hardee sedangkan baru saja tadi dia menangis dek dijerkah oleh lelaki itu. Berani betul Aliniya sekarang.
            Aliniya mengemaskan barang ingin meninggalkan Hardee. Hardee yang terpinga-pinga disindir sebegitu mula tersedar.
            “Eh! Aku sendiri pun boleh buatlah,”
            “Kalau awak boleh buat, jadi boleh tak jangan buat saya risau macam ini?” Aliniya terluah segala isi hatinya. Entah mengapa hatinya begitu risau akan keadaan lelaki itu. Sungguh! Hatinya tidak pandai menipu. Memang itu yang dia rasa sekarang.
            Hardee terkedu. Direnungnya wajah Aliniya yang tampak begitu benar risau akan dirinya.
            ‘Ini bukan seperti Aliniya yang dulu,’ terbit satu perasaan aneh menyerbu lubuk hatinya. Hardee berasa begitu asing sekali bila berdepan dengan Aliniya sekarang. Seolah-olah dia melihat Aliniya yang baru.


            “Saya terima semua pembalasan Encik pada saya. Tapi tolonglah. Tolong jaga diri Encik tu baik-baik. Jangan buat saya naik risau,” Aliniya menggigit bibir. Sedar yang dia sudah terlepas cakap.
            “Kau ni kenapa?” Hardee masih menjulang egonya. Dia mahu menepis segala bisikan-bisikan berupa simpati jauh dari hatinya. Dia masih tidak mahu mengalah.
            “Sa... saya pun tak tahu kenapa,” sudahnya itu yang dijawab Aliniya. Dia serba salah dan di satu sudut hatinya, dia sebenarnya malu.
            ‘Apa dah jadi dekat kau ni Niya? Memang betullah apa yang lelaki itu cakap, kau memang perempuan tak malu!’
            “Sa... saya dah sediakan sarapan dekat atas meja tu. Encik makanlah. Saya tak nak ganggu Encik,” laju saja Aliniya melangkah keluar dari bilik tersebut dan ditariknya daun pintu bilik. Aliniya menekap tangan pada dadanya. Memang laju jantungnya berdegup. Wajahnya ditekup dengan kotak kecemasan yang dipegangnya tadi.

            “Ya Allah! Apa yang aku buat ini? Malu tahu tak?” Aliniya menyalahkan diri sendiri di atas ketelanjuran katanya.

2 comments: