Wednesday, October 10, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Edited Bab 1

Maaf kalau blog ni dibiar sepi sahaja. Almaklum bahawa saya sudah pun menjadi pelajar semester akhir, jadi tumpuan pada pelajaran lebih diutamakan. Projek juga perlu dikaji segala bahan kerjanya. Jadi, di sini saya nak maklumkan bahawa, entri-entri baru bagi novel2 yg ongoing mungkin akn lmbat update. Maaf ya pembaca sekalian. Tapi, tak biarkan sepi sahaja, saya postkn Bab 1 CYTK yg dah diedit. Semoga korang berpuas hati. ^-^


Bab 1

AKU pandang dirinya yang segak memakai baju pengantin berwarna putih krim itu. Wah! Itu sahaja ayat yang mampu aku fikirkan apabila menggambarkan dirinya sekarang. Namun hatiku berasa sakit melihat dia duduk bersama pasangannya di atas pelamin yang dihias indah. Siapa yang tidak mahu duduk di atas pelamin tersebut ketika bergelar ratu sehari? Tetapi yang duduk di atas pelamin tersebut bukan aku.  Pengantin itu bukan aku. Ya,bukan aku! Perit rasanya melihat orang yang kita cintai sudah dimiliki orang lain.
Mataku beralih melihat pasangannya. Comel! Kedua-dua mempelai itu nampak secocok sekali. Sama-sama comel, bisikku.
            Mataku mula kabur, menunggu saat manik jenih jatuh ke pipi. Namun kutahankan jua. Hatiku pula tak sudah menjerit. Aku cintakan dia! Walaubagaimanapun, sekuat manapun aku menjerit, sedegil mana hatiku mahu membuktikannya, aku tetap di sini. Siapalah diri ini baginya? Aku tidak pernah ada di dalam hatinya. Sekelumit perasaan pun tiada buatku.
            Dek tidak dapat menahan sedih, aku keluar dari dewan tersebut. Aku melangkah jauh dari situ kerana ingin melarikan diri daripada orang ramai yang mula mengerumuni mereka Sanak-saudara kedua-dua pihak sudah mula riuh ingin menangkap gambar bersama-sama pengantin. Tidakku hiraukan. Ah, apa aku peduli? Dirinya tiada kena mengena dengan diriku lagi. Sekarang dirinya sudah bergelar suami orang dan aku tidak ingin menjadi pengganggu rumah tangga orang.
            Aku berhenti di taman di luar hotel tersebut. Aku memandang langit yang gelap dan tenang. Namun, setenang manapun langit, tak mungkin hati ini mampu berubah. Masih resah dan kecewa. Melihat bintang dan bulan yang mengambang membuat hatiku berasa pilu.
Teringat kembali ketika aku masih bergelar pelajar universiti. Dan kenangan bersamanya menerjah minda.
Ketika itu dia ingin bertemu denganku di bawah rumah flat yang aku diami ketika itu.
            “Tengok tu Iz, cantikkan?” Tanyaku padanya sambil mendongak ke dada langit. Dia juga memandang ke atas.
            “Hmmm...cantik!” Itu sahaja jawabnya. Ketika itu hanya kami berdua yang menikmati angin di luar sambil melihat ciptaan Allah yang indah itu.
            “Malam ni bulan penuhlah! Cantik sangat! Kalau ada kamera nak je tangkap gambar,” kami mendongak melihat bulan penuh itu sambil bersandar di kereta orang. Maklumlah, nak ‘dating’ di flat ni, aku tak berani nak pergi kat tempat gelap-gelap. Mujur ada lampu di tempat parking itu, tiadalah orang nak salah anggap pula kan? Tak pasal-pasal kena tangkap basah pula, nanti haru pula jadinya.
            Aku memandang dirinya. Timbul persoalan di hati, keberadaan dirinya di sini. Kenapa dia ingin bertemu denganku malam ini? Aku melihat ditangannya, ada sebungkus biskut tiger dibawanya sekali. Tahu aku memandang barang yang dipegangnya, lalu dia menjawab.
            “Lepas makan tadi, rasa lapar balik,” jawabnya ringkas. Aku tahu dirinya seorang lelaki yang kuat makan. Memang padanlah dengan badannya yang berisi itu. Tingginya pula bukanlah dikatakan tinggi yang ideal bagi seorang lelaki. Dia pendek sahaja tapi tidaklah sependek aku yang berukuran 150cm ini.
            Aku juga tertanya-tanya pada diriku. Kenapa aku menyukai lelaki ini? Sudahlah pendek, dia juga boleh dikategorikan sebagai lelaki sederhana gemuk tetapi punya satu kelebihan. Rupanya. Comel!
 Masih segar diingatan ini di mana dan bila pertama kali kami bertemu. Ketika itu bulan februari, dan tempatnya, KFC! Apabila diingat balik, kelakar pula. Aku melihat dirinya buat pertama kali, aku sudah pun tersangkut padanya kerana rupanya yang comel. Tetapi, selepas aku mengenali dirinya dengan lebih dalam, perasaan teruja mula berubah benci. Aku mendapati dia seorang yang suka ‘flirt’ pada mana-mana perempuan, sehingga membuatkan aku rasa menyampah padanya dan akhirnya aku membenci dirinya kerana sifat kaki perempuannya itu. Memang pantang bagiku kalau mendengar lelaki yang dikategorikan sebagai ‘player’ ini.
            Tetapi kuasa Tuhan, siapa kita untuk menolaknya? Hanya Tuhan sahajalah yang mampu membalikkan apa yang dirasakan oleh diriku terhadap dirinya dan aku mula menerima dirinya.
Ada sesuatu yang telah terjadi kepada diriku. Aku yang pada asalnya mula menidakkan perasaan yang mula berputik, akhirnya membiarkan sahaja perasaan itu menguasai diriku. Hah...Nak buat saspen sikit. Aku tersedar semula dari bayangan masa lalu apabila merasakan sesuatu dalam mulutku.
            Rupa-rupanya, Iz telah memasukkan biskut tiger ke dalam mulutku.
            “Masuk lalat karang baru tahu.” Dia memandang diriku dan tersenyum apabila melihat diriku yang blur semacam.
            “Padan muka!” Kata-kata itu sering terkeluar dari mulutnya jika dia ingin mengenakan diriku yang memang digelar ‘ratu blur’ ini. Tak dapat jadi Ratu Malaysia, jadi ratu ‘Blur’ pun tak pelah. Lalu aku menampar belakangnya.
            “Nak kenakan orang nombor satu!” Kataku sambil mengunyah biskut yang telah dimasukkan ke dalam mulutku semasa tengah berangan tadi.
            “Siapa suruh berangan? Time berangan tu pulak kau dah menganga macam singa lapar! Aku yang lapar, kau pulak yang terlebih kuahnya! Apalah kau ni,Erisya.” Aku memuncungkan mulutku. Tahu diriku telah kalah, lalu terhembur tawanya. Heish!Geram betul dengan mamat yang satu ni! Aku pandang sahaja dirinya. Ish! Ni yang cair ni...Bila pandang dia saja, aku akan teringatkan pelakon Taiwan yang aku minat iaitu Ming Dao. Itulah ayat yang sering aku katakan kepada rakanku apabila teringatkan dirinya di awal pertemuan kami.
            Kembali ke realiti, aku mula bertanya dirinya, “Kenapa nak datang sini?” Dia memandang diriku yang berdiri di sebelahnya sambil bersandar di kereta orang. Harap-harap orang yang memiliki kereta ini tidak datang ke sini. Takut pula kalau dimaki pemiliknya.
            “Saja..” Itu sahaja jawapannya. Aku hanya berdiam diri sahaja. Tak apa. Aku tak kisah pun, malah aku akan lagi suka kalau dia ingin selalu menemuiku.
Memikirkan tentang tali persahabatan antara kami berdua yang baru terjalin selama 4 bulan ini, hubungan ini dirasakan seperti sudah begitu rapat walaupun pertalian persahabatan ini masih baru bermula. Hmmm..mungkin kerana dia mempunyai ramai kawan perempuan kot. Itu yang menyebabkan dia senang rapat dengan mana-mana kawan perempuannya. Aku memang tahu benar tentang sikapnya yang suka memikat perempuan dengan ayat-ayat manisnya. Tetapi aku berasa pelik, kenapa tiada satupun yang melekat dihatinya? Atau mungkinkah dirinya sudah mempunyai pilihan? Hairan. Tidak pula dia ingin mengaku dirinya sudah berpunya, malah desas-desus yang aku dengar daripada kawan-kawanku menyatakan dia memang masih single. Entahlah, dah nama ‘player’kan?
 Semua kawan perempuannya dianggap teman tapi mesra. Malah, dia juga mengaku yang dia tidak pernah pun mempunyai girlfriend semenjak sekolah lagi sampai sekarang. Wah! Hebatnya dia! Biar benar!? Lelaki secomel ini langsung tidak pernah memiliki teman wanita sejak dari dulu lagi?
            Aku berkalih memandang dirinya lagi. Dia pun turut memandang diriku. Kami hanya diam seketika. Berdegup pula hati ini tatkala matanya merenung mataku. Aku memang suka padanya! Tetapi adakah dia tahu aku telah pun menyukai dirinya? Dalam beberapa saat kemudian , dia terus menyuakan paket biskut kepada aku.
            “Suaplah!” kataku yang dah mula naik ulat bulu ini. Aku hanya ingin mengenakan dirinya. Ingin tahu adakah dia berani melakukannya ataupun tidak. Tahu dengan statusnya yang terkenal dengan nama ‘player’ ini, aku mahu mencabarnya. Dan tanpa aku sangka, dia benar-benar ingin menyuap biskut itu padaku. Terdetik juga persoalan dihati, sudah berapa ramai perempuan yang disuapnya?
            “Nah, makanlah! Tadikan nak sangat. Kenapa tutup mulut itu pulak?” tanyanya. Lalu aku terdiam seketika dan tanpa aku sedar secara automatik mulutku terbuka dan menggigit biskut tersebut. Aku pula terkejut dengan reaksiku sendiri lalu mengunyahkan sahaja biskut di dalam mulut. Daripada pandanganku dia seperti sudah biasa melakukannya. Malas untuk berfikir tentang itu, aku mengalih pandangan dan mendongak memandang semula bulan purnama di langit.
Terasa lengan aku dicucuk olehnya di sebelah lalu aku berpaling menoleh ke sebelah. Dia ingin menyuapkan lagi biskut yang baru dikeluarkan dari paket yang dipegangnya. Aku menggeleng tanda tidak mahu kerana rasanya, biskut yang aku makan tadi melekat pula di kerongkong ini. Heish!! Tak pula dia bawak air, hatiku merungut.
            Seperti tahu-tahu sahaja, dia pergi ke arah motorsikalnya lalu mengambil air mineral di tempat penyimpanan barang di bahagian depan tempat duduk. Dia meneguk air yang tinggal sedikit itu. Amboi minum sorang nampak? Satu lagi sikapnya yang aku tidak gemar, dia ini kedekut juga! Susah nak tengok dia mengeluarkan duit sendiri dan belanja orang lain. Kalau nak belanja pun setakat gula-gula atau ais krim itu adalah. Memang kedekut haji bakhil betullah lelaki ini.
            “Oklah, nak balik dah ni,” katanya setelah habis air mineral diteguknya tadi. Aku  hanya mampu menahan kerongkong yang tengah sendat dek makan biskut tiger. Hmph! Sabar jelah. Aku mengangguk dan mengucapkan salam kepadanya setelah dia memulakan enjin motor ingin beredar dari flat ini.
            Jauh benar lamunanku dan akhirnya aku tersedar. Rupa-rupanya begitu banyak mataku mengeluarkan air mata tatkala kenangan lama terimbau kembali. Ya Allah, tolonglah buangkan rasa sedih ini. Cukuplah dengan ingatan yang lalu, aku mahu melupakannya. Dia sudah pun menjadi milik orang. Ya Allah tolonglah hambaMu ini. Tabahkanlah diriku ini dalam mengharungi salah satu dugaan yang telah Kau berikan kepadaku, Ya Allah!
Tanpa sedar seseorang telah melihat Erisya yang masih menangis itu dari jauh. Sudah lama dia berdiri di situ. Hatinya jatuh simpati dengan nasib gadis yang bernama Nur Erisya Kamal.














No comments:

Post a Comment