Monday, September 17, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 39


Bab 39

            LAMA mataku merenung kedua-dua wajah yang tersenyum-senyum penuh makna. Aku pula sudah bercekak pinggang geram dengan keputusan yang mereka buat secara melulu.
            “Sampai hati ibu dan ayah buat Risya macam ni? Kenapa tak beritahu awal-awal pasal hal kahwin ni semua?” Soalku masih tidak berpuas hati. Ibu dan ayah berpandangan antara satu sama lain.
            “Nak tunggu kamu tu jangan harap. Hanya buat keputusan ikut kepala sendiri aje. Tengok-tengok siapa yang kecewa merana? Kamu jugakkan?”Jawab ibu dengan selamba. Aku mengetap bibir mendengar penjelasannya. Ayah pula masih diam tanpa mahu menyampuk.
            “Tapi keputusan ibu dan ayah ni dibuat masa Nick datang bawak family dia ke Miri hari tukan? Sempat lagi nak beritahu. Ini tidak...Main setuju je tanpa nak tanya pendapat Risya. Yang nak kahwin tu Risyakan?”
            “Ya...Ibu tahu yang nak kahwin tu kamu. Kamu nak suruh ibu pulak yang kahwin ke? Ayah kamu ni nak letak ke mana?” Seloroh ibu pula. Aik? Ibu ada hati nak kahwin lagi ke? Terdengar bunyi dehaman ayah di sebelah. Ibu sudah tergelak kecil. Perasan yang ayah tengah makan hati dengan seloroh ibu tu.
            “Saya main-main jelah, G.” Tangan ibu menepuk paha ayah lembut. Walaupun tengah geram dengan kedua ibu bapaku, namun dalam diam aku kagum akan layanan ibu pada ayah. Sangat romatis sekali. Sweetnya!
            “Ehem..ehem...Kita fokus kat pengantin di depan ni ya? Tak lama lagi yang nak kahwin ni saya, ibu ayah. Sekarang masalah belum selesai lagi ini.”
            “Aik? Masalah belum selesai? Kamu ni nak sangat bincang pasal benda ni kenapa? Tak nak kahwin ngan Nick tu ke?” Baru kini ayah bersuara. Aku memuncungkan bibir.
            “Bukan tak nak. Tapi terasa hati sebab tak tanya kat Risya dulu. Nak beritahu hal sebenar pun susah ke?”Suaraku sudah berubah merajuk. Bibir masih tak lepas dengan muncung itik. Sampai hati mereka buat aku macam ni? Hmph!
            “Memang susah! Kalau ibu bagitahu perkara ini kat kamu, entah-entah kamu tolak terus. Yalah...Hari tu siapa yang beriya-iya nak simpan rahsia? Konon-konon tak nak kekasih tengok keadaan dia yang patah kaki tu. Patah kaki je pun!” Ibu sudah mula membangkit cerita lama sebagai penamat soalanku. Aku memeluk tubuh.
            “Tapi ibu masa tukan...”
            “Ibu tahu dalam hati kamu tu hanya ada Nick. Malah kalau Risya nak tahu, sebenarnya kamu dengan Nick tu dah lama bertunang.” Pintas ibu. Aku yang sedari tadi hanya memuncungkan mulut sudah mula terlopong luas. Ada cerita lain yang aku tak pernah tahu lagi ke? Aku melongo sahaja. Tidak sangka dengan kenyataan yang ‘terbaru’ ini.
            “Mak..maksud ibu?” Soalku tidak percaya.
“Maksud ibu, kamu tu dah lama bertunang dengan Nick. Cuma ibu dengan ayah saja tak nak beritahu kamu perkara sebenar. Takut kamu terkejut beruk. Lagipun, tu memang plan ayah dengan ibu semasa kamu ambil keputusan terima lamaran Iz dulu. Risya pun tahu sebenarnya ibu pun tak sokong keputusan Risya tu? Jadi, ibu dengan ayah dah buat keputusan untuk tunangkan kamu dengan Nick sebelum majlis kamu dengan Iz tu,” Aku bungkam. Blur. Tidak tahu nak cakap apa setelah mendengar penjelasan ibu tu.
“Ibu dengan ayah dah rancang nak batalkan pernikahan kamu dengan Iz menggunakan alasan yang kamu ni sebenarnya tunangan orang. Tapi tak sangka pula ada orang lain yang bantu memberhentikan pernikahan tu.” Jelas ibu. Terlayar kejadian dulu semasa aku hampir-hampir menjadi isteri kedua Iz. Erk! Tak naklah fikir balik. Yang lepas biarkan lepas.
Aku berdeham sambil melepaskan tangan dari memeluk tubuh. Aku melongo seketika. Perkara ini begitu mengejutkanku seperti mana berita mengenai hari pernikahanku ditetapkan oleh kedua-dua ibu dan ayahku. Aku memandang mereka.
“Pasal pertunangan tu...Nick dah tau lama atau tak?” Aku persoalkan lagi perkara mengenai ikatan pertunangan ini. Ibu menggeleng. Manakala ayah pula sedari tadi senyap sahaja. Tidak berbunyi langsung. Hanya matanya saja dikerlingkan pada wajah ibu.
“Tok Idham dan Encik Baharuddin sendiri yang datang berjumpa dengan kami. Cadangan ini sebenarnya datang dari Tok Idham. Oleh kerana Tok Idham risaukan keadaan Nick yang macam mayat hidup kat rumah, sebab tulah dia buat perancangan nak tunangkan kamu berdua tanpa pengetahuan kamu dan Nick,” Sekarang barulah aku mengerti situasinya. Mungkin disebabkan rasa kasih terhadap cucunya, Tok Idham sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan kami berdua. Aku berasa terharu dengan tindakan Tok Idham itu. Dia benar-benar sudah menerima cucunya itu. Alhamdulillah.
“Dengan cara ini je boleh selamatkan kamu berdua. Ibu tahu sangat anak ibu ini. Egonya pun melangit tak sudah. Alih-alih, orang tua juga yang kena masuk campur. Teruk betul, Risya ni!” Sindir ibu. Aku hanya tersengih saja. Malu sebenarnya. Tak mahu mengaku cintakan Nick dan sanggup menerima lamaran daripada suami orang. Sekarang dah kena sebijik! Sabor jelah.
“Bila Nick datang ke rumah, barulah dia tahu pasal benda ini. Dia pun terkejut jugak. Tapi dia tak melatah. Dia terus datang bawa keluarga dia dan kami merancang tarikh perkahwinan kamu berdua. Jadi, ibu dan ayah dah decide nak kahwinkan kamu berdua minggu depan jugak! Takut macam-macam hal berlaku. Sudah hati tu dah cinta, Risya...Baik diteruskan aje niat yang baik tu. Tak adalah maksiat berlaku.” Seloroh ibu lagi. Aku mencebik sahaja.
“Alah ibu ini...Kita dah besarlah. Pandai-pandailah kita orang jaga diri.” Tungkasku pula.
“Habis tu kamu nak ke tak nak kahwin dengan Nick?”
“Mestilah nak!” Jawabku pantas. Muka sudah mula kemerah-merahan. Aku menggigit bibir. Alamak! Terlepas cakap pula. Adui! Malunya. Aku ni memang muka tak malu. Ibu sudah menampar pahaku lembut.
“Amboi...Tengok tu. Dah tak sabar dah nak kahwin. Ni, G...Kita kahwinkan ajelah dia orang ini. Tak boleh nak lambat-lambat dah. Memang wajib kahwin terus! Ulat bulu dah naik nak menggatal.” Ibu memerliku sambil matanya memandang wajah ayah. Aku terjegil melihat wajah ibuku yang sudah galak tertawa. Amboi!
“Ibu! Pandai-pandai je cakap kita ni menggatal. Alah..Ibu pun tahukan Risya dah memang patut kahwin dah sekarang. Umur pun dah 26 tahun. Sesuailah tu!”
“Haa...kalau macam tu, dalam masam 3 bulan dari sekarang jangan lupa berikan kami cucu.”
“Ibu!” Aku menjerit kecil dan mencubit pipi ibu. Aku suka bergurau senda dengan ibu. Bila melihat wajah ibu yang sudah tembam membuatkan aku rasa geram nak cubit pipi dia. Mesrakan kami?
“Haaa...dah dah...Anak beranak ini bila dah bergurau, satu rumah bising. Dah dah...Takut orang sebelah dengarlah. Dah Risya pergi tidur. Kamu tu tak penat ke baru balik dari Sabah ini?” Ayah sudah bersuara. Ingin menyudahkan gelak tawa kami.
Aku hanya tersenyum simpul pada ayah. Ya...Memang aku penat setelah duduk lama di dalam kapal terbang tadi. Sebaik sahaja mendapat khabar tentang pernikahanku, aku terus mendapatkan tiket ke Miri dan berjumpa dengan kedua ibu ayahku. Manakala Nick pula sudah kembali ke Kuala Lumpur. Ingin mengurus apa saja keperluan untuk hari pernikahan kami. Malah, persiapan sudah pun dibuat awal beberapa hari yang lepas. Jadi bagaimana pula dengan pihak perempuan?
“Penat tu penatlah,yah. Tapi...ada benda yang Risya still nak tahu. Macam mana persiapan di sebelah kita pula?”
“Yang tu kamu jangan risau. Ibu pun sebenarnya dah buat beberapa persiapan sebelum kamu sampai ke sini. Cuba tengok kat dalam bilik kamu tu.” Mataku sudah terjegil mendengar kata ibu. Sudah buat beberapa persiapan? Cepatnya. Lantas, aku beredar ke bilik tidurku.
Betapa terkejutnya aku melihat perubahan di dalam bilik tidurku sekarang. Ternyata benarlah kata ibu. Sudah ada persiapan seperti barang-barang hantaran yang diletak di dalam bilikku. Semua hantaran untuk pihak lelaki. Malah, kedudukan katil dan segala barang di dalam bilik ini juga sudah berubah. Dulu bilikku sedikit sempit dan bersepah, sekarang sudah luas dan katil tidur single bed juga sudah berubah Queen Size. Perhiasan katil juga dibuat. Aku menoleh memandang wajah ibu tidak percaya.
“Ibu excited sangat bila tahu kamu akan bernikah tak lama lagi. Jadi, ibu cepat-cepat siapkan apa-apa yang dapat disiapkan. Hantaran tu semua Nick yang pilih. Ibu cuma ikut aje. Tetapi, Nick ni bukannya memilih sangat. Simple aje orangnya.” Mahu tercekik aku mendengar kata ibu itu. Simple aje orangnya? Simplelah sangat!
Aku jadi teragak-agak ingin duduk dan tidur di dalam bilik bakal pengantin ini.
“Ibu, tak apa ke kalau saya baring kat atas katil yang dah dihias ni? Hari pernikahannya minggu depan. Tak cepat sangat ke ibu hiaskan katil ini?”
“Apa nak risaukan? Tidur aje kat bawah lantai itu,” Sengaja ibu mengenakanku.
“Alaaahh...Ibu ini...” Rengekku manja. Mulutku sudah muncung seperti itik. Ibu pula sudah tergelak-gelak. Wajah ayah baru tersembul di depan pintu.
“Haa...macam mana katil dia elok? Boleh tahan tak? Takut nanti masa malam pertama roboh pula katilnya ni.” Giliran ayah pula ingin mengenakanku.
“Ayah!!”


NICK melepaskan nafas lega. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Malah, lamarannya juga sudah diterima oleh Risya. Jadi, yang tinggal hanyalah beberapa persiapan di hari pernikahan nanti.
            “Kau nampak berseri-seri aje abang tengok,” Tegur Emir pada adik kembarnya. Dia meletakkan tangannya pada besi veranda sambil matanya tak lepas dari memandang wajah kembarnya itu. “Abang gembira tengok kau bahagia macam ini. Memang betullah apa yang Tok Idham dan Papa buat tanpa pengetahuan kau tu. Kalau tak, dah lama si Risya dikebas Iz. Putih mata kau,”
            Nick tersenyum kecil pada Emir. Matanya beralih memandang ke bawah. Melihat air kolam di taman membuatkan dia teringat akan kenangan semasa melamar Risya di pantai Sabah itu.
            “Sebenarnya abang nak minta maaf kat kau atas apa yang berlaku selama ini. Kalau tak dah lama kau dengan Risya tu bernikah. Tetapi disebabkan perbuatan abang yang  mengambil keputusan terburu-buru tanpa pengetahuan kau, membuatkan abang rasa bersalah sangat-sangat. Abang minta maaf ya, Nick?”
            “No hallah, Abang Emir. Semua tu dah lepas dah. Lagipun, semua yang berlaku tu ada hikmahnya. Mungkin benar tindakan Abang Emir tu. Kami patut beri masa pada hubungan kami berdua. Dengan cara tu, barulah kita sedar betapa pentingnya antara satu sama lain. Betul tak?” Ujar Nick dengan tenang. Emir hanya mengangguk sahaja.
            “Lagipun, apa yang Abang Emir lakukan tu di sebabkan rasa tanggungjawab seorang abang pada adiknya. Lebih-lebih lagi kita ini kembar. Mama pun dah serahkan tanggungjawabnya pada Papa dan abang. Jadi, bagi Nick semua tu tak salah mana pun.” Sambung Nick lagi. Tiada langsung rasa marah mahu pun benci pada tindakan kembarnya itu. Dia cuma redha akan segala ketentuan Ilahi. Sudah begitu aturannya, dia cuma perlu tabah melaluinya. Walau sakit dan perit hati menanggung, kalau sudah benar ada jodoh antara mereka, semua yang berlaku itu terasa bagaikan satu kurniaan yang tak berbelah bahagi.
            Mereka berdua senyap buat seketika. Melayan perasaan masing-masing pada malam yang dingin sambil ditemani cahaya bulan bersama bintang di langit.
            “Eh? Kau tak nak tidur lagi ke? Kan baru je balik dari Sabah. Pergilah berehat.” Saran Emir pada Nick. Sebagai seorang abang, dia bimbang akan keadaan adiknya itu. Walaupun perbezaan mereka hanyalah berdasarkan masa, tetapi rasa sayang terhadap adik kembarnya tetap utuh.
            “Ha’ah tapi kejap lagilah. Abang Emir pergilah tidur. Kang kakak iparku meradang pulak.”
            “Amboi...Mengumpat orang nampak?” Tegur seseorang dari belakang mengejutkan kedua-dua beradik itu. Wajah Iyan sudah dimonyokkan dan kakinya melangkah mendekati si suami. Dipeluknya Emir dan matanya sempat menjeling pada Nick. Nick tergelak kecil.
            “Panjang umur kak!”
            “Akaklah sangat!” Tungkas Iyan kembali. Wajahnya berubah senyum. Tahu sangat perangai Nick yang suka mengenakannya. Sudah biasa dengan sikap kawan seuniversitinya itu.
            “Nick nak tahu sangatlah. Dalam situasi Iyan sekarang, kalau nak tengok rupa kami berdua ini memang macam berdiri di depan cermin. Tak nampak sangat bezanya kecuali kalau abang Emir guna cermin mata. Tapi, kalau Abang Emir tak pakai, macam mana Iyan boleh tahu yang mana satu abang Emir atau Nick?” Soal Nick ingin tahu. Sudah lama dia mahu bertanya perkara itu tetapi disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai masalah, dipendamkan saja persoalan itu. Jadi, sekarang bila sudah duduk bersama, terluah juga persoalan itu dari benaknya.
            “Jawapannya senang aje. Kau ni kuat menggatal berbanding abang. Sebab tulah aku tahu.” Tersembut tawa Emir mendengar seloroh isterinya itu. Ada-ada saja benda yang dikenakannya pada Nick. Dia faham situasi mereka berdua. Dulu memang pernah terbit perasaan cemburu terhadap adiknya itu. Tetapi, melihat keikhlasan Iyan yang hanya mencintainya seorang, membuatkan dia mengambil keputusan untuk mengambil Iyan menjadi isterinya. Malah, Iyan langsung tak pernah melayan Nick lebih daripada seorang kawan. Nick pula hanya sibuk melayan gadis-gadis keliling pinggang tetapi tidak Iyan.
            Nick turut tertawa mendengar omelan isteri abangnya itu. Sudah tahu benar akan sikapnya yang suka membalas kembali kata-katanya.
            “Actually, tak dinafikan yang kau orang berdua ini kembar seiras. Susah betul nak bezakan kau orang berdua ini. Muka memang sebijik! Tak ada bezanya kecuali satu.” Tebak Iyan sambil tangannya tak lepas dari memeluk lengan Emir. Emir berasa sengan diperlakukan sebegitu. Nick pula sudah biasa melihat kemesraan mereka berdua. Selama 5 tahun menyulam cinta, akhirnya mereka bersatu. Dalam senyap, Nick kagum akan kesetiaan perasaan cinta bagi pasangan itu.
            “Apa bezanya, Iyan?” Soal Nick ingin tahu.
            “Ha’ahlah sayang. Apa bezanya?”Terdetik juga hati Emir mahu tahu bagaimana isterinya mampu mencari perbezaan antara dia dan Nick.
            “Sebenarnya...”


AKU tergamam saat melihat wajahnya yang berdiri betul-betul di depanku. Mujurlah aku sudah bertudung litup kalau tidak pasti aku akan merasa malu sekali lagi. Teringat pula kejadian di Korea apabila tanpa sengaja aku membiarkan Nick melihat rambutku ketika masih mamai.
            Aku yang pada awalnya mahu keluar bersama ibu tengah hari ini sudah mendapat kejutan daripada empunya diri yang sudah tegak berdiri di depan bilikku.
            “Aw..awak buat apa kat sini?”Aku mula menyoalnya. Terkejut memang terkejut. Lebih-lebih lagi melihat Nick ada di Miri. Bukan apa...Baru sahaja 2 hari sebelum ini kami bertemu di Sabah. Sekarang, Nick ada di sini pula. Di dalam rumahku, di depan bilik yang bakal kami kongsi nanti. Mak aii...Bila difikir balik rasa malu pula dan tipulah kalau aku kata aku tak berdebar-debar menunggu saat disatukan bersama Nick sebagai isterinya yang sah.
            “Saya...saya nak jumpa bakal isteri saya. Kenapa? Salah ke?” Soal Nick kembali. Suaranya kedengaran sedikit menggoda. Matanya juga memandang tajam pada anak mataku sehingga menusuk ke kalbu. Cewahh!
            “Bu..bukan. Tak salah pun nak jumpa bakal isteri. Tapi, sejak bila pula awak ke sini? Bila masa pula awak datang Miri? Tak beritahu saya pun yang awak nak datang sini.” Aku cuba memberanikan diri bertentang mata dengannya. Dalam hati pula macam rasa nak pecah menahan debar tatkala matanya tak lepas dari memandangku. Aduh! Parah ni...
            “Buat apa nak beritahu awak. Saya datang sebab nak suprisekan awak. Saya ada bawa hadiah untuk awak ke mari.” Jawabnya sambil tersenyum panjang. Aku mengerutkan dahi.
            “Hadiah? Hadiah apa?”
            “Saya!” Jawabnya pantas sambil mendepakan tangannya. Aku yang terlopong mendengar katanya sudah menghamburkan tawa. Dia juga turut ketawa sama. Setelah tawa kami reda, barulah dia menyambung kembali katanya.
            “Tak sebenarnya saya datang kat sini nak bawa awak beli barang hantaran. Lagipun hari tu saya beli barang hantaran bersama ibu masa saya kat Miri hari tu. So, sekarang giliran awak pula. Jadi, hari ini saya nak bawa awak dan ibu keluar nak beli barang-barang yang belum dibeli lagi.” Aku mengangguk sebaik mendengar penjelasannya. Wah! Tunang aku ini sanggup ke Miri semata-mata nak teman aku beli barang-barang hantaranku. Terbit rasa terharu padanya.
            “Awak dah siapkan?” Sambung Nick lagi. Aku mengangguk dan keluar dari bilik. Apabila melangkah keluar dari bilik, Nick pula masuk ke dalam bilikku. Mataku terjegil melihat kerenah selambanya itu. Amboi!
            “Haa...Rasa-rasanya hantaran saya ini dah cukup. Tak perlu tambah pun. Yang tinggal cuma hantaran untuk awak ajelah. Lagipun tengok katil pengantin ni. Emm...Ehem ehem...Elok dan attractive.” Aku sudah menjegil padanya. Dia sudah tersenyum kecil.
            “Gatal!” Aku keluar dari bilik dan mengambil beg tangan yang aku letakkan di kerusi di depan bilikku. “Awak jomlah kita keluar. Sudah-sudahlah fikir yang bukan-bukan tu. Kita dah lambat ini. Nak kejar masa...” Aku memanggilnya agar cepat-cepat keluar dari bilik sebelum dia memikirkan perkara yang bukan-bukan lagi.
            Sebaik saja aku bergerak mendekati kereta, ibu pula baru keluar dari rumah. Aik? Ingatkan dah keluar. Rupa-rupanya masih di dalam rumah. Ibu keluar bersama Nick. Ibu menyerahkan kunci kereta pada Nick. Aku menongkat kening.
            “Hari ini biar Nick yang drive. Biar dia biasa-biasakan diri memandu di Miri ini. Nanti bila ada kat Miri, tak susah mana. Lagipun, bandar Miri ini mana ada besar sangat. Senang aje jalan kat sini.”
            “Tapi ibu, Nickkan baru sampai sini?”
            “Amboi...Sayang benar dia dengan tunang dia ini ya? Dulu tak ada pula dia nak buat macam ni.” Sindir ibu membuat aku cemberut.
            “Ibu ini...ada-ada aje nak mengena orang kan?” Balasku kembali. Mataku menyorot pada wajah Nick. Dari tadi mamat ni tersengih aje. Langsung tak nak back up aku pun. Karang aku back hand kau baru tau. Aku menggerutu geram.

SESUDAH membeli barang-barang yang diperlukan untuk majlis nanti, ibu menyuruh Nick untuk mengambil kad-kad jemputan yang sudah siap dicetak. Aku yang tidak tahu-menahu perkara ini tergamam tika itu.
            “Kad jemputan? Kad jemputan dah dibuat ke, bu?” Soalku pada ibu yang duduk di depan bersebelahan dengan pemandu kami iaitu Nick. He he he...
            Ibu mengangguk. “Ha’ah. Kad kamu tu perlu dihantar sekarang. Alang-alang dah siap, baik kita cepat-cepat ambil. Bolehlah kita cepat-cepat edar. Lagipun, majlis tu pun diadakan minggu depan. Tak ke dah lambat kita nak jemput tetamu tu semua.”
            “Cepatnya kad jemputan tu siap. Bila masa pula ibu buat semua benda ini?”
            “Sebenarnya, ibu dengan tok Idham dah lama buat kad jemputan tu. Cuma kamu dan Nick saja yang tak tahu.” Aku terkedu pula. Mahu tercekik mendengar persiapan yang sudah dibuat oleh ibu di pihakku dan Tok Idham di pihak Nick. Nick di sebelah hanya diam tenang. Tidak bersuara walau sepatah pun. Mengiya pun tidak menggeleng pun tidak. Kaku macam patung cendana saja aku tengok dia di sebelah.
            Setibanya kami di kedai cetakan kad tersebut, ibu sudah terlebih dahulu mendekati salah seorang pekerja kedai di situ. Aku dan Nick hanya berpandangan sesama sendiri. Sememangnya kami berdua nampak buntu dan kaku tidak tahu nak kata apa. Rupa-rupanya segala hal berkaitan persiapan juga ibu dan keluarga Nick sudah lakukan. Sememangnya perancangan ingin menyatukan kami ini tanpa pengetahuan kami langsung. Demi mengelakkan aku bernikah dengan Iz, ibu dan ayah sudah bertindak menyatukan aku dan Nick terlebih dahulu. 
            Aku menarik kad dari kotak yang diletakkan di atas meja. Aku buka kad yang berwarna keemasan tersebut. Seraya itu, terbit senyuman tatkala melihat kad jemputan kreatif itu. Bila kad tersebut dibuka, bentuk hati juga terbuka seolah-olah timbul di atas permukaan kad tersebut. Ala-ala bentuk hati versi 3D gitu. Pada bentuk hati itu tertulis nama penuhku dan juga nama penuh Nick. Di sebelah muka surat kad ada tertulis sedikit ucapan mengalu-alukan kedatangan tetamu yang bakal dijemput pada majlis kami nanti. Aku tunjukkan kad tersebut pada Nick. Nick tersenyum berpuas hati dengan kad tersebut.
            “Kad ini dah macam kad raya dah saya tengok. Macam bentuk 3D saja hati ni. Kreatif betul! Pandai pula ibu fikir nak buat macam mana kad jemputan kita ni.” Nick menjongket bahu sambil bibirnya tak lepas dari tersenyum padaku. Aku turut membalas senyumannya. Aku benar-benar bahagia melihat kad jemputan yang tertera nama kami ini.
            Aku mengambil kembali kad jemputan itu dan membaca setiap ayat yang tertulis. Mataku terhenti pada satu ayat di dalamnya. Mahu tersebul mata membaca bait-bait ayat tu. Bukan ayat tetapi tarikh yang tercata di situ.
            “Hah? 11.11.2011? Nikan..Nikan tarikh...”Tergagap-gagap aku mengungkapnya.
            “Tarikh lahir awak...Kan?” Mataku memandang tepat pada wajahnya. Entah kenapa rasa terharu menyerbu hatiku. Perlahan-lahan aku mengangguk menjawab soalannya. Mataku sudah mula berair menunggu saat nak tumpah sahaja. Wah! Aku benar terharu dan terkejut dengan pemilihan tarikh itu. Aku tahu hari pernikahanku berlangsung minggu depan tetapi tarikh bila bakal berlangsungnya aku tidak tahu. Dan yang hanya aku tahu Nick sendiri yang tentukan tarikh pernikahan kami. Aku benar-benar tidak menyangka yang dia akan memilih tarikh pernikahan kami pada hari lahirku. Ya Allah! Begitu terharunya hati ini padanya. Terasa melimpah kasih padanya. Syukur kerana dialah lelaki yang Allah takdirkan untukku. Aku benar-benar bersyukur.
            “Terima kasih kerana memilih tarikh itu pada hari lahir saya.” Ucapku penuh ikhlas.
            “Sama-sama. Saya pun nak ucapkan terima kasih pada awak kerana lahir di dunia ini dan hadir dalam hidup saya. Kelahiran awak dan juga hari pernikahan kita amat bermakna bagi saya. Kerana wujudnya awak di dunia ini demi menemani diri saya sepanjang kita berada di muka bumi Allah ini. Dan mungkin juga sampai ke syurga nanti. Bukankah Allah wujudkan Hawa untuk Adam demi menemaninya yang kesunyian di syurga dulu? Jadi, sekarang awak ada kerana saya ada. Dan saya ada kerana awak ada. Saya benar-benar bertuah menemui Hawa yang tercipta untuk saya.” Hatiku terasa kembang dan hangat saat ucapan itu diluah dari bibirnya. Air mata yang  bertakung tadi hampir-hampir menintis namun terbantut saat ibu datang mendekati kami. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang dan menyeka mutiara jernih itu. Satu senyuma lebar terbit di bibir.
            “Erkk...Ni kenapa pula ini?” Soal ibu yang tercengang sebaik merasakan keheningan di antara kami. Aku pantas berpaling menghadapnya dan pantas menggamit lengan ibu keluar dari kedai itu agar ibu tidak saspek apa-apa. Di hujung mataku, aku menangkap sorotan senyuman pada bibirnya. Pasti dia juga gembira melihatku yang terharu hanya kerana ucapannya tadi.


HARI berganti hari. Siang berganti malam. Sedar tak sedar tinggal 3 hari lagi hari pernikahanku menjelang. Aku juga sudah berada di Kuala Lumpur untuk melihat persiapan di sana.  Lagipun, majlis persadingan akan di adakan di Miri dan juga di Kuala Lumpr dalam masa yang terdekat. Maklumlah, keluarga Nickkan orang ternama.
Menjadi waris pemilik salah sebuah syarikat pengusaha minyak yang terkemuka di Malaysia sudah tentu akan menjadi topik hangat pada abad ini. Nak-nak lagi bakal suami aku tu lelaki paling hangat daripada biasa. Pasti sahaja berita Nick yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi akan mengejutkan bekas-bekas kekasih lamanya. Aku mahu tergelak pula bila teringat akan perkara itu.
“Awak tak ada invite mana-mana bekas kekasih awak ke?” Sengaja aku bertanya padanya tentang hal berkenaan dengan bekas kekasihnya itu. Saja-saja je. Nak tengok macam mana reaksi dia.
“Ada.” Wajahku berubah langsung. Ada? Siapa? Aku menilik wajahnya tidak berpuas hati. Wajah Nick pula kelihatan begitu selamba saja sambil menikmati hidangan tengah hari kami. Setelah melihat persiapan di hotel tadi, kami terus makan tengah hari di situ. Aku yang tadinya mengunyah makanan sudah terhenti dan meletakkan garpu dan sudu di pinggan. Aku pandang wajah Nick bagai menagih jawapan daripadanya. Aku peluk tubuhku kemas. Bibir juga sudah muncung macam itik.
Sekejap-kejap mata Nick berkalih memandang wajahku tatkala dia perasan aku sudah berhenti makan. Dia meneruskan juga suapannya tanpa menghirauku yang masih galak memerhati dirinya. Aku mendengus kecil. Hatiku sudah mula mahu merajuk. Protes dengan sikapnya yang langsung tidak mengendahkan perasaanku. Beberapa minit kemudian tangan yang menyuap makanan ke dalam mulut mula berhenti. Sudu dan garpunya juga sudah di letak ke bawah. Sekarang mata kami bertentangan. Aku menjongketkan kening masih menanti kata-katanya.
“Ada seorang sahaja daripada mereka yang saya ajak.” Akhirnya dia bersuara. Aku masih belum berpuas hati dengan jawapannya itu.
“Siapa?” Soalku pendek.
“Awak juga kenal siapa dia,” Aku semakin tak keruan apabila mendengar sebaris ayat itu. Makin mendekat pula tubuhku pada meja. Mataku masih tak lepas dari memandang anak matanya.
“Siapa?” Soalku lagi. Aish! Susah sangat ke nak beritahu siapa dia? Nick masih pula bermain teka-teki denganku. Ni yang I nak marah ni, gumamku yang sudah mendongkol geram.
“Awak dah tak ingat siapa orangnya? Takkan secepat itu awak dah lupakan kawan baru awak tu?” Aku masih tidak memahami katanya. Wajahku sudah semakin cemberut dek kerenah Nick yang masih tidak mahu berterus terang denganku. Aku menyandarkan tubuh pada kerusi dan mataku sudah berkali ke tempat lain. Kalau hati sudah panas, wajahnya pun aku tak mahu tengok. Buat sakit hati!
Beberapa saat kemudian terdengar tawa dari bibirnya. Aku pantas mencerlung marah. Mahu saja aku angkat kaki meninggalkannya di situ, tetapi ditahankan niat itu gara-gara ramai pengunjung yang berada di restoran hotel itu. Aku kena jaga air muka tunangku juga a.k.a bakal suamiku ini.
“Alah...Erry ni...Cemburu jugak rupanya. Yang saya maksudkan tu ialah si Sofea. Takkan awak dah lupa pasal dia kot? Diakan salah seorang daripada bekas kekasih saya. Tetapi oleh kerana dia juga anak kepada rakan papa, jadi saya jemput dia dan family dia sekali. Jadi, dialah bekas kekasih saya yang saya jemput. Yang lain tu saya rasa tak perlu kot. Takut dia orang tu serang awak pula. Aiii...Tak mahu saya kalau ada apa-apa terjadi pada awak.” Aku jadi malu sendiri bila dia berkata begitu. Lambat-lambat bibirku mengulumkan senyuman padanya. Nasib baik hanya Sofea. Kalau tidak, ada yang kena belasah kat atas pelamin nanti.
“Sayang...Saya nak ke tandas dulu ya?” Pinta Nick setelah selesai menghabiskan hidangannya tadi. Aku mengangguk tanda membenarkan dia berlalu ke tandas. Sambil menunggu mataku beralih melihat sekeliling. Tiada apa-apa yang menarik pun. Cuma aku perasan rata-ratanya orang yang berada di sini semuanya orang-orang berada. Biasalah...Makan di hotel terkemuka ini untuk orang yang berkemampuan sahaja.
 Terselit rasa kasihanku bila teringat orang-orang yang tidak mampu memiliki hidangan sebegini. Orang-orang susah pasti sahaja kelaparan. Kalaulah sedikit hidangan ini disedekahkan pada orang yang tidak berkemampuan, pasti sahaja mereka akan melonjak kegembiraan. Tiba-tiba fikiranku teringat pada rumah kebajikan orang tua milik Tok Idham itu. Hah! Aku rasa aku nak buat satu majlis kesyukuran di situ. Dalam masa yang  sama aku mahu mengumpul sumbangan daripada tetamu nanti bagi disumbangkan pada badan kebajikan yang memerlukannya. Harap-harap Nick menyokong cadanganku itu.
Aku kembali melontarkan pandangan di sekeliling. Mata yang leka memerhati sekeliling, tiba-tiba terhenti pada sesusuk tubuh yang berdiri di luar cermin berdekatan dengan mejaku. Lama aku memerhati gerangan itu. Nampak gayanya dia bukan berseorangan. Dia berdua. Aku tertarik melihat kelakuan kedua-dua gerangan itu.
Tidak lama selepas itu, salah seorang daripada mereka beredar meninggalkan gerangan yang aku kenali di situ. Entah kenapa terbit rasa kasihan melihat wajah mendungnya setelah ditinggalkan wanita tadi. Terasa simpati pada lelaki itu, aku mengambil telefon bimbitku dan cuba mencari nama di dalam phone book. Apabila menjumpai nama yang dicari, segera aku menekan skrin hijau dan telefon bimbit ditekapkan pada telinga. Menunggu panggilan itu dijawab oleh lelaki itu sambil mata tak lepas dari memandangnya.
Aku perhati tingkahnya dari jauh dan aku lihat dia menyeluk tangan di dalam saku seluarnya. Dikeluarkan telefon bimbit dan wajahnya ketara terkejut melihat nama yang tertera di telefon bimbitnya. Lambat-lambat dia menjawab panggilan dan kedengaran suaranya gugup sekali.
“He..hello?”
“Hello, Iz. Kau...Kau tak apa-apa?” Aku ucap dengan tenang. Wajahnya nampak terkedu. Belum pun sempat dia membalas pertanyaanku, aku sudah mencelah.
“Aku nampak kau dengan Is bergaduh tadi. Are you okay?”
“Aa..Aku okey. Kau...macam mana kau tahu yang aku...”
“Aku ada di dalam restoran dekat hotel ini.” Aku pandang wajah Iz yang sudah pantas berpaling mencari kelibatku. Akhirnya mata kami bertembung. Telefon bimbit masih melekap di telinga, namun mata kami tetap bertentangan walau dipisah oleh cermin di hadapan.

6 comments:

  1. kak fyka,apa yg bezanye antara nick dgn emir? nak tau..kak fyka nak lagi!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Arifuka...hehe...smua akn trjwb nnti... :) thanx..

      Delete
  2. salam TR....

    adeii dera lagi nampak...baru nak tahu apa beza antara nick dan emir ..hahaha pandai TR mainkan perasaan DJ errkk...ehemm2 first time jejak cop mohor kat cini...hahaha TR nak lagi..lagi... :D

    ~~rafika dewi jahrul~~~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Fika..hehe..thank u..Tu yg trharu tgk akak jejak cop mohor kt sni..hehe..nk tahu bze die..kna tggu..ngeee~~

      Delete