Bab 40
SUNGGUH!
Aku memang tak sangka dengan apa yang kulihat di depan mata. Dalam hati terbit
rasa simpati pada wajah mendung lelaki itu. Aku datang mendekatinya.
Perasaan…Perasaanku padanya sudah lama terkubur dahulu. Kini, hanya rasa belas
kasihan sahaja yang ada.
“Kau
tak apa-apa, Iz?” Soalku sebaik berdiri di depannya. Wajahnya tampak serba
salah tatkala mataku merenung tajam ke dalam anak matanya. Satu keluhan terluah
jua. Dia menguak rambut depannya ke belakang. Ternyata wajahnya sudah tidak
seperti dulu. Lebih serabut saja aku tengok. Jambangnya juga tidak dicukur rapi
seperti dulu. Penampilannya sekarang sudah berubah tidak terurus. Makin
menggebu rasa simpatiku pada lelaki ini.
“Aku
tak apalah. Cuma salah faham sikit dengan dia.”
“Salah
faham sikit atau masalah besar?” Aku menduga. Wajahnya tampak pegun seketika.
Mungkin tekaanku tepat. Dia punya masalah besar bukan hanya satu salah faham
kecil.
“Kau
apa khabar, Iz? Kau dengan Is macam mana?” Aku menyoalnya ingin tahu. Bukan
mahu menyibuk tetapi rasa simpati terhadap kawan lama malah, dia juga pernah
menjadi kawan yang rapat denganku suatu ketika dulu yang membuat aku berani
untuk bertanya.
“Aku
dah cuba sedaya-upaya untuk dapatkan dia kembali. Tapi dia tak nak! Aku cuba
untuk bercakap lembut dengannya. Aku suruh dia balik rumah, berdepan dengan
mama. Tapi dia tetap berdegil. Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Dua tiga
hari yang lepas, aku dapat berita yang dia dah tak berhubung lagi dengan
kekasih lama dia tu. Jadi, aku cuba untuk mendapatkan dia kembali, tetapi
Nampak gayanya hasil usahaku tak berhasil. Dia tetap tak mahu menerima aku. Aku
jadi bengang kalau terusan macam ni.” Tanpa sedar Iz meluahkan isi hatinya
padaku. Mungkin sudah terbiasa dengan hubungan kami yang lalu. Sentiasa
berkongsi masalah bersama. Aku mengangguk mendengar luahannya.
“Sabarlah,
Iz. Kalau dah isteri kau tu tak bersama dengan kekasih lama dia, tak mustahil
kalau dia kembali ke pangkuan kau. Cuma…kau pandai-pandailah ambil hati dia.
Mana tahu, kau boleh selamatkan rumah tangga kau. Macam nilah. Oleh kerana kita
ni dah lama kenal, kawan rapat…Aku mungkin boleh tolong kau cakap dengan Is tu.
Mungkin woman to woman talk boleh membantu?” Dengan ikhlas hati aku
menghulurkan bantuan kepadanya. Aku tatap wajahnya dengan penuh keyakinan.
Sudah tiba masanya aku membalas kembali apa yang pernah dia lakukan untukku
dahulu. Mengambil keputusan untuk melepaskanku di hari pernikahan kami yang
lalu adalah sesuatu perbuatan yang tak mampu aku lupakan. Kalau tidak, tak
mungkin aku bersama dengan Nick sekarang jika Iz masih berdegil mahu meneruskan
pernikahan kami.
Wajah
Iz tiba-tiba berubah. Mulutnya terlopong sedikit bagai tidak percaya dengan apa
yang aku katakana tadi. Aku tersenyum lebar.
“Betul
ke kau nak tolong aku, Risya? Betul kau nak bercakap dengan Is, tolong aku
pujukkan dia?”
“Tak
salah kalau nak bantu kawan, bukan? Lagipun, aku terhutang budi dengan kau.
Kalau bukan kerana kau lepaskan aku masa hari pernikahan dulu, tak mungkin aku
akan bersama dengan orang yang aku cintai sekarang. Terima kasih kerana
memahami situasi aku.” Bersungguh-sungguh aku ungkapkan ucapan terima kasih
padanya dan aku benar-benar senang hati kalau aku mampu membantunya. Setakat
berbincang dan mendengar masalah bekas bakal maduku dulu, tak susah mana pun.
Lagipun, aku tahu Is sebenarnya lemah lembut orangnya. Cuma egonya saja yang
menggunung. Mungkin aku mampu menyelamatkan keadaan rumah tangga mereka berdua.
“Terima
kasih juga sebab sudi mendengar masalah aku. Aku..aku tak tahu nak kata apa.”
“No
problem. Oh,ya! Ni aku nak beri kau sesuatu,” Aku menyeluk beg tangan dan aku
keluarkan 1 keping kad jemputan kepadanya.
“Kad
jemputan ke majlis perkahwinan aku.” Iz mengambil kad tersebut dari tanganku.
Ditiliknya kad di tangan dan matanya kembali mendarat pada wajahku.
“Tinggal
beberapa hari je lagi,” Ujarnya pendek. Aku mengangguk laju sambil bertemankan
senyuman yang tak pernah lekang dari bibir. Hatiku teruja menunggu saat diijab
kabulkan nanti.
“Tahniah!”
Sambungnya lagi. Lalu kad tadi disimpan ke dalam poket baju kotnya.
“Aku
rasa aku kena pergi sekarang. Mama pun dah bising kat rumah. Dah 1 minggu aku
tak balik ke rumah.”
Aku
hanya berlagak biasa. Sudah pasti semua itu tiada kena mengena denganku. Iz
memanggil panggilan mama bagai sudah terbiasa menyebut panggilan mamanya
denganku.
“Kirim
salam kat Aunty dan adik-adik kau ya? Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”
Jawab Iz dan kelibatnya mula beredar dari sini. Aku berpaling dan kembali ke
dalam restoran. Aku melihat sekeliling. Lama benar Nick ke tandas. Aku duduk
semula ke tempatku tadi dan mengambil gelas di atas meja. Aku meneguk air
perlahan.
“Ke
mana tadi?”
Huk!!
Hampir
sahaja air di dalam mulutku tersembur. Cepat-cepat aku ambil kain yang tersedia
di atas meja. Bibir yang basah, aku lapkan. Mataku menjengil pada wajah yang
menegurku secara tiba-tiba tadi.
“Amy!
Kenapa main sergah-sergah macam ni? Awak tahukan saya tengah minum. Mahu saya tersembur
kat muka awak macam mana?”
“Saya
tak kisah. Awak pergi mana tadi? Hilang macam tu je. Lama saya mencari tau?”
Aku menggigit bibir.
“Errmmm...Saya
jumpa kawan kat luar tadi. Sebab tulah saya keluar sekejap.” Ujarku
teragak-agak. Sekali lagi aku menggigit bibir. Dalam hati berbakul sumpah
seranah pada diri sendiri. Kenapa perlu menyembunyikan kebenaran? Kenapa sukar
untuk aku berterus terang dengannya tentang pertemuan tak sengaja dengan Iz
tadi? Padahal tak lama lagi kami akan diijab kabulkan dan tiada rahsia yang
perlu disimpan lagi. Tatkala statusku sudah berubah, secara amnya segala apa
yang milikku akan jadi miliknya. Begitu juga dengan rahsia. Aku mengutuk diri
sendiri dalam diam.
“Oh!
Ni saya bawakkan pencuci mulut. Pudding caramel kat sini sedap tau.” Nick cuba
mengalih topik. Aku menarik nafas lega, tetapi dalam masa yang sama aku berasa
hairan dengan kerenahnya. Kalau selalu pasti saja soalan yang akan dikemukakan
padaku. Tetapi tidak pula kali ini.
“Oh,ya
ke? Naklah rasa sikit.” Aku ingin mengambil pinggan kecil dari tangannya. Namun
Nick sudah pantas menarik jauh dariku. Dia menjelirkan lidah padaku. Macam
budak-budak. Nak ikut perangai aku jugalah ni?
“Kalau
nak ambil sendiri. Ni denda awak sebab tinggalkan saya.”
“Okey!
Saya pergi ambil sendiri. Tak kuasalah saya nak makan sikit tu je. Saya nak
ambil banyak-banyak. Nanti jangan minta kat saya pula.” Ulasku berjauh hati.
“Okey!”
DALAM diam Nick mengetap gigi. Tangannya
digempal kuat. Angin bayu malam yang menampar pipinya belum tentu dapat
meredakan sakit hatinya. Dia jadi keliru dengan perasaan sendiri. Di satu sudut
hatinya dia mempercayai gadis itu dan di sudut lain pula, dia rasa dikhianati.
Kenapa gadis itu langsung tidak membuka cerita tentang pertemuan dia dan bekas
cinta hatinya dulu? Kenapa perlu bersembunyi lagi tentang Iz?
Nick
meraup wajahnya bagi menghilang resah yang menggugat dirinya. Api cemburunya
tak pernah surut pun kalau berkaitan dengan Iz. Dia jadi geram dan benci
melihat senyuman di bibir Risya tengah hari tadi. Betapa mesranya Risya dan Iz
tadi di matanya. Dia jadi sakit hati.
“Apa
yang perlu aku lakukan demi meredakan keresahan ini?” Nick bermonolog sendiri.
Dia meramas rambutnya berharap agar kekusutan di kepala mampu berkurangan.
“Bersolat
dan berdoalah agar mendapat ketenangan dari Allah,” Ucap suara yang menegurnya
dari belakang. Nick berpaling dan terkedu sebaik melihat wajah tua yang
mendekatinya. Nick tunduk tanda hormat pada lelaki tua itu.
“Setiap
kali Nick rasa tak tenang, kembalilah kepadaNya. Nescaya kekusutan diri tu
mampu berkurangan. Itu sahaja jawapan yang dapat menyelesaikan masalah yang
dialami Nick tu.” Ujar lelaki itu lagi dengan tenang. Matanya merenung lembut
pada wajah si cucu.
“Resah
sebab tak lama lagi kamu dah nak jadi suami orang?” Soalnya pula. Nick masih
berdiam diri. Masih mahu menyimpan gelodak di dalam hati. Tidak mahu
membimbangkan atuknya itu. Wajah Tok Idham dipandangnya sekilas. Sejurus itu,
dia mengalihkan pandangan pada langit yang kelam.
“Mungkin,”
Itu sahaja kata yang mampu diungkapnya. Tok Idham tersenyum lebar. Bahu cucunya
ditepuk lembut.
“Pergilah.
Tunduk padaNya. Tok harap keresahan hati tu dapat hilang serta merta.
Insya-Allah.” Nick hanya mengangguk dan beredar dari veranda.
Wajahnya
diraup setelah selesai menghabiskan doanya yang panjang. Lama dia berteleku di
atas sejadah. Ditatapnya jam di dinding. Sudah menginjak 3 pagi. Tinggal 2 hari
lagi dia akan bergelar suami pada gadis yang bernama Nur Erisya Kamal.
‘Ya
Allah...Janganlah terjadi apa-apa yang bakal menghalang rancangan kami untuk
disatukan nanti. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar.’ Pintanya dalam
hati. Di dalam hati, dia memperbanyakkan istighfar bagi menghilangkan rasa
cemburu yang membara. Sesudah itu dia kembali bermunajat pada Ilahi. Memohon
agar semuanya akan berjalan dengan lancar.
Nick
meletakkan songkoknya di atas meja. Dia melabuhkan punggung di sofa
bersebelahan. Lama fikirannya menerawang sehingga dia tersedar akan sesuatu.
“Aku
harus lakukan sesuatu. Ya! Aku perlu tahu itu. Aku kena lakukan sesuatu bagi
mencapai satu kepastian bagi persoalan di minda aku ni. Dan hanya ada seorang
yang mampu membantu aku,” Sekali lagi Nick bercakap dengan diri sendiri.
“Haris!”
AKU menarik nafas panjang dan
menghembusnya perlahan. Darah gemuruhku membuatkan tanganku berpeluh sejak
tadi. Aku mengambil tisu di tangan kak Hasnah.
“Tak
lama lagi dia dah jadi milik orang,” Kak Hasnah sudah mula mengusikku. Makin
disakatnya pengantin sepertiku sementelah tidak lama lagi aku akan diijab
kabulkan. Aku menjeling tajam padanya. Dia mengekek ketawa, tahu keadaan diriku
yang kian berdebar menunggu saat menjadi isteri Nik Emil Nik Baharuddin. Aku
menilik jam di atas meja. Tak lama lagi pengantin lelaki akan sampai ke mari.
“Isya..Pengantin
lelaki dah sampai. Keluarlah sekarang,” Tegur ibu dari luar kamar. Tersembul
wajah ibuku di pintu. Betul sangkaanku. Nick dan rombongan lelaki sudah pun
sampai ke sini. Majlis akad nikah diadakan di rumahku, Miri. Seterusnya majlis
persandingan akan diadakan di Kuala Lumpur nanti.
“Risya...hensem
jugak laki kamu,ya?” Seorang lagi sahabatku, Tina yang berbangsa Lumbawang itu datang
mendekatiku sebaik sahaja ibu menghampiriku. Di sebelahnya pula, ada seorang
wanita yang bertudung sambil membawa sebungkus hadiah juga menghampiri diriku.
Aku menjerit sebaik melihat 2 orang sahabatku yang baru sahaja menampakkan
muka.
“Tahniah!
Akhirnya kau bersatu juga dengan kekasih hati,” Ujar sahabatku yang bertudung
tadi. Aku tersenyum malu apabila mendengar kata Eun itu. Tina juga tersenyum
lebar sambil menarik tanganku dan menggenggamnya erat.
“Mak
aii..Cik Kiah kita ni berpeluh sakan. Basah tangan sebab gementar mau jadi
isteri orang ya?” Sekali lagi aku menjadi bahan usikkan mereka. Makin bingit
bilikku dengan kehadiran sahabat-sahabat dan juga saudaraku. Farina yang kepoh
juga turut bersama denganku di dalam bilik ini.
“Tengok
muka macam selamba badak. Tapi dalam hati macam geruda!” Farina pula membuka
bicara. Aku menjeling tajam pada Farina.
“Dah
dah...Nanti lambat pula ijab kabulnya. Pengantin perempuan kena keluar
sekarang. Mana pengapitnya? Sila bantu pengantin kita ni,ya? Takut ada yang
tersadung pula masa nak naik pelamin.” Ibu turut sama mengusikku. Aku menepuk
peha ibu sebelum berdiri mengikuti pengapitku. Siapa lagi kalau bukan kak
Hasnah. Farina awal-awal sudah menolak tidak mahu menjadi pengapitku gara-gara
mahu menjadi tetamu sahaja. Dia lebih rela menyibukkan diri dengan hidangan di
hari perkahwinanku daripada melayan diriku selaku pengapit. Sudahnya aku
meminta kak Hasnah untuk hadir ke Miri dan menjadi pengapitku di hari
pernikahan dan juga semasa majlis persandingan nanti.
Aku
bergerak secara perlahan agar tidak tersalah pijak. Tidak mahu adengan yang
pernah terjadi dulu berulang semula. Momen ketika aku terpijak kain dan
akhirnya pertemuan pertama kali dengan Nick menerjah minda. Di saat itu, aku
tak pernah melupakan adengan secara tidak sengaja itu. Tercetusnya pergaduhan
dan akhirnya pertemuan demi pertemuan kian terjadi. Betapa lucunya aku rasakan
apabila meningatkan kembali pertemuan singkat antara diriku dan Nick dahulu.
Sememangnya pertemuan yang bermula secara tidak sengaja dan seperti takdir
sahaja kami sering berjumpa. Dan akhirnya, inilah jawapan bagi setiap pertemuan
itu. Dialah jodoh yang diutuskan oleh Allah untuk berdampingan denganku di
dunia juga di akhirat. Insya-Allah.
Aku
mengambil tempat di pelamin yang cukup sederhana. Dihiasi dengan bunga-bunga
mawar putih, bunga kegemaranku. Bantal pelamin dijadikan tempat dudukku.
Melihat pada gubahan bunga mawar tadi membuatkan aku terfikir sesuatu. Anehnya.
Gadis yang dulunya mengaku tidak gemarkan bunga, menjadi pemilik kedai bunga.
Aku menyimpan tawa apabila menyedari hakikat itu.
Aku
panggung kepala dan di depan mataku hadir seorang jejaka yang tampak begitu kacak
memakai baju melayu berwarna putih krim. Kini, apa yang aku impikan selama ini
akhirnya terjadi juga. Melihat wajah kacak pasangan yang bakal menjadi suamiku
dengan berbaju melayu berwarna putih krim. Sememangnya ramai mengimpikan
sedemikian. Wajah Nick begitu tenang sekali bersama senyuman yang tak lekang di
bibir. Aku jadi terpukau melihatnya.
Lama
Nick merenung wajahku. Rasa darah menyerbu ke muka. Aku tunduk dek rasa malu
ditenung sebegitu. Dadaku berdegup kencang macam rasa nak jatuh pun ada. Mana
tidaknya, gementar ratu sehari kan?
“Sah?
Sah!” Tiba-tiba sahaja suara ramai menyentak lamunanku. Aku kembali memanggung
kepala. Melihat ramai yang sudah menadah tangan berdoa, aku turut sama
mengangkat tangan.
“Kau
dah selamat jadi isteri Nick. Alhamdulillah.” Bisik Kak Hasnah menyedarkanku.
Seraya tadi aku mengelamun sampai tak sedar bahawa Nick sudah meluahkan kata
lafaz. Aku menelan liur. Mak aihh...aku dah jadi bini orang dalam sekelip mata
saja.
Sesudah
mengaminkan doa, Nick mengampiriku. Diambilnya kotak baldu berwarna merah di
tangan Haris dan dibukanya. Suasana terang benderang sebaik lensa kamera giat
beroperasi. Perlahan-lahan, Nick menarik tanganku dan dipasangkan sebentuk
cicin di jari manisku. Aku menilik cincin tersebut. Cincin yang pernah disuakan
padaku ketika Nick melamarku di Sabah tidak lama dahulu. Giliran aku pula untuk
memasangkan pasangan cincin tadi. Sememangnya gabungan cincin ini mengikat dua
hati menjadi satu. Keunikkan bentuk cincin ini melambangkan juga keunikkan
cinta kami. Begitu banyak dugaan yang kami lalui dan akhirnya kami bersatu jua.
Nick
menyuakan tangannya untuk aku salam. Aku menarik tangannya dan aku kucup lama.
Nick tersenyum bahagia. Aku membalas juga senyuman itu. Jatuh juga mutiara
mataku sebaik Nick mengucup dahiku lembut.
“Sejuk
tangan sayang. Jangan risau, Amy ada untuk panaskannya.” Sempat lagi Nick
berbisik kepadaku. Aku menjegil mata memandangnya. Ada maksud di sebalik
katanya itu.
“Okey,
korang duduk rapat-rapat sikit. Risya, peluklah suami itu. Tak payah nak
malu-malu. Dah halal dah tu.” Suara kepoh ibu dah mula mengarah itu ini. Ibulah
yang menjadi jurugambar rasmi aku hari ini. Sudah lama ibu mengimpikan menjadi
jurugambar di majlis pernikahanku dan impiannya termakbul juga. Dengan senang
hati aku merelakan ibu menjadi jurugambarku. Aku tahu minatnya dalam bidang
itu. Di tangan ibu, kamera DSLR Canon memang tak jauh pun. Ada saja pose-pose
yang ibu mahukan daripada kami berdua.
Di
dalam kesempatan itu, aku mencubit lengannya. “Gatal! Sabar-sabarlah.” Balasku
pada katanya tadi dalam nada yang perlahan. Mahu tergelak aku lihat Nick yang
tersenyum ‘kurang manis’ gara-gara terkena sepitanku.
“Amboi...perit
juga penangan sayang ni ya? Sukar nak hilangkan rasa perit tu. Memang menusuk
ke kalbu.” Sindir Nick yang menahan rasa sakit.
“Okey.
Sekarang pengantin lelaki peluklah pengantin perempuan pula ya?” Arah ibu lagi.
Kami menurut sahaja arahan ibu. Langsung tidak memperdulikan senyum usik dari
orang lain. Ibu kalau dah pegang kamera, ada-ada saja lagaknya.
“Semoga
cinta kita bersatu selamanya, sayang.” Bisik Nick dalam kesempatan itu. Aku
mengeratkan pelukan bersama senyuman bahagia.
AKU terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik
air. Sesudah memastikan sesuatu, aku akhirnya kembali semula masuk ke dalam
bilik. Dilupakan sebentar pasanganku yang masih menikmati hidangan di luar.
Hairan Farina melihat wajah cemasku yang baru muncul di dalam bilik.
“Kau
ni kenapa macam ayam berak kapur ni?” Tegur Farina yang berehat di dalam bilik
pengantin. Dia mengambil tisu dari beg tangannya dan dilapnya pada mulut.
Memang sah minah ni baru lepas makan. Bunyi sendawa yang baru keluar dari
mulutnya pun sudah menunjukkan buktinya.
“Alhamdulillah,”
Farina tidak menyambung katanya tadi sebaik bersendawa.
“Farina!
Kau ada spare tak?”
“Spare?
Spare apa? Spare tayar? Spare part?” Banyak pula soalnya. Aku mendengus geram.
“Bukanlah!
Spare ‘pau’.”
“Hek
eleh! Yang kau nak makan pau masa-masa macam ni kenapa? Takkan dah mengidam
kot? Baru je lepas nikah dah ada anak satu dalam perut tu ke?” Farina berjeda.
Aku menggerutu kegeraman dengan lawak bodohnya itu. Lalu, aku mencubit pipi
tembamnya. Menjerit kesakitan minah itu dibuatku.
“Bukan
dapat anak. Aku dah keguguran dah ni!” Aku masih mahu berteka-teki dengannya.
Melopong Farina mendengar omonganku. Aku mengangkat jari telunjuk menghalang
Farina daripada membuat kesimpulan sendiri.
“Aku
bendera Jepunlah, ngek!”
“Ooo...”
“Ada
tak spare? Aku tak beli pula. Aish! Masa-masa macam ni pulaklah dia datang.”
Rungutku.
“Jadi
tak dapatlah kau nak menikmati malam pertama kau hari ni, ya? Kantoi.” Kini
giliran aku pula yang terlopong mendengar kata Farina.
“Farina!”
BIBIR tersenyum tidak kena. Nick
memandang hairan padaku. Sebelah keningnya diangkat. Aku jadi mati kutu apabila
teringat akan kejadian petang tadi.
“Sayang...Sayang
kenapa pakai seluar track aje ni? Dress yang kak Emilda bagi tak pakai ke?” Aku
jadi serba salah tatkala teringat akan baju tidur yang dihadiahkan oleh kak
Emilda tadi. Memang baju tidur itu begitu seksi sekali memang sesuai untuk
digunakan bagi pasangan yang baru mengecapi alam bahtera perkahwinan.
Lebih-lebih lagi malam pertama bagi pasangan tersebut. Malam penentuan bagi
seorang isteri menjadi hak zahir dan batin untuk seorang suami.
“Aaa...Hari
ni, Erry tak pakai baju tu. Disebabkan hal-hal yang tertentu.”
“Hal?
Hal apa? Memang tak boleh pakai ke?” Soal suamiku lagi. Makin berat untuk aku
menyatakan tentang hal petang tadi padanya.
“Errmm...”
Aku cuba untuk mencari alasan yang munasabah agar boleh diterima oleh suamiku.
Aku menggigit bibir. Nick bertambah hairan melihat reaksiku yang seperti cacing
kepanasan itu. Nick menghampiriku dan aku pula kian menjauh darinya. Langkah
demi selangkah, Nick mendekati. Aku pula semakin kebelakang dan berhenti
apabila tubuhku dihimpit di dinding dan juga tubuh Nick.
“Sayang...Sayang
cuba sembunyikan sesuatu dari Amy ek?”
“Se..sebenarnya...Sebenarnya...”
Kataku terputus sebaik sahaja wajah Nick kian mendekat. Matanya mula tertutup.
Bibirnya pula menghampiri bibirku. Sebelum terjadi apa-apa baik aku halang dia.
“Sebenarnya
kita tak boleh bersama hari ini!” Akhirnya terluah juga perkara yang aku simpan
dari tadi. Nick yang baru sahaja mahu bermesra denganku berundur ke belakang.
Matanya tajam memandang tepat ke dalam anak mataku.
“Apa
yang sayang cakap ni? Kita tak boleh bersama hari ini?” Aku mengangguk laju.
“Apa
yang sayang cuba sampaikan ni? Amy tak fahamlah.” Suara Nick sudah kedengaran
berjauh hati. Semenjak kami sah menjadi suami isteri, Nick pernah meminta
kepadaku agar menukarkan panggilan kami. Aku yang sering membahasakan diri
dengan Risya sudah bertukar menjadi Erry. Dan Nick pula sudah bertukar Amy.
Nama panggilan kami yang kami reka dahulu digunakan. Malah, Nick juga
memanggilku dengan panggilan sayang.
Nick
melabuhkan punggungnya di hujung katil. Aku menarik nafas panjang. Di
fikiranku, sudah aku susunkan ayat agar dia faham situasi yang aku alami
sekarang. Aku turut mengambil tempat di sebelahnya. Tangannya ditarikku dan aku
mengusapnya lembut.
“Hari
ini mungkin kita tak dapat bersama. Tetapi, lepas 1 minggu kemudian mungkin
dapat.”
“Kenapa
lepas 1 minggu kemudian baru dapat? Amy tak fa...” Tiba-tiba Nick terdiam.
Mungkin cuba memahami bait-bait kataku tadi. Sejurus itu, matanya memandang
tepat padaku.
“Hari
ini ke? Baru hari ni?” Soalnya sebaik sahaja dia mencerna kata-kataku tadi.
Pasti sahaja dia cepat menangkap kenapa aku berkata bahawa kami tidak mungkin
dapat bersama hari ini. Aku mengangguk laju.
Muka
Nick tampak begitu sedih sekali. “Hari pertama sudah diduga sebegini.
Haii...Apalah nasib?” Nick merebahkan tubuhnya di katil. Aku tergelak kecil.
Tidak mahu melepaskan peluang dan ingin turut berbaring di sebelah.
“Haii..Begitulah
dugaan di alam perkahwinan ini.” Ujarku pula.
“Tapi,
itu tak bererti kita tak boleh buat yang ringan-ringan,” Nick pantas memeluk
tubuhku erat. Bibirnya mula mengucup pipiku berkali-kali. Rasa geli pula bila
diperlaku sebegitu. Aku tergelak sakan apabila tangannya mula menggeletekku.
Alahai...Indahnya apabila sudah bergelar yang halal buat si suami. Tidak
perlukan batas tatkala segalanya menjadi halal. Apa yang kita lakukan buat
suami sama ada menghiburkan hatinya juga sudah membuahkan pahala sebagai
balasan.
Lama
kami baring di katil. Masing-masing belum dapat tidur. Nick di sebelah tidak
henti-henti membelai rambutku yang sudah panjang. Sempat lagi dia mencium
rambut dan memuji rambutku yang sentiasa berbau harum.
“Habis
kita nak buat apa ya?” Soal Nick di sebelah. “Tak dapat nak menikmati malam
pertama buat Amy mati kutu pula.” Sambungnya lagi. Aku menghadiahkan satu
cubitan lembut di pipinya. Nick membalas dengan senyuman kecil. Dia mengucup
lembut pipiku lama. Aku senang bila dia berbuat sebegitu.
“Hmmm...Apa
kata kita main game nak?”
“Game?
Sound interesting.” Sambut Nick di sebelah. Aku bangun dari pembaringan dan
duduk di sisinya. Nick juga begitu. Aku beredar ke almari dan mencari-cari
sesuatu. Nick hanya melihat saja. Aku menyelongkar barang-barang yang disimpan
di dalam almari ingin mencari-cari barang yang aku perlukan ketika ini. Apabila
barang yang aku mahu dapat kujumpa, dengan pantas aku mengambilnya dan menutup
pintu almari. Aku sorokkan barang tadi di belakang tubuhku. Nick masih menunggu
di katil.
“Kita
main UNO! Siapa kalah, kena bagi servis mengurut selama 1 minggu.”
“Termasuk
urutan batin ke sayang?” Aku menampar peha Nick sebaik mendengar gurauan
gatalnya itu. Nick mengaduh sakit disambut dengan gelak kecil.
“Okey...Kalau
macam tu, kita lihat siapa yang menang.”
Akhirnya
pertandingan tak rasmi sudah mendapat pemenangnya.
“Yes!
UNO game! Amy menang. Jadi, sayang kena urut Amy selama 1 minggu.” Aku mencebik
sahaja. “Cepat...Sayang kena urut Amy sekarang. Haii...Syoknya malam pertama
dah kena urut dengan sayang.” Nak tak nak, aku akur juga. Aku mengurut lengannya
perlahan. Nick sudah terbaring sedap diurut. Walaupun kalah, tetapi bagiku
kekalahan ini aku terima seadanya. Aku rela mengurut suamiku. Sudah hati
dilamun perasaan cinta tak kiralah apa yang kita lakukan langsung tiada rasa
terbeban pun. Lakukan sesuatu perkara itu dengan ikhlas, nescaya tiada langsung
rasa penat dirasakan. Apatah lagi rasa payah. Bila hati sudah rela, semuanya
pasti rasa senang.
Tanganku
masih tidak berhenti mengurut lengan Nick. Aku berkalih pula mengurut bahunya.
Tiba-tiba Nick menarik lenganku dan kepalaku jatuh pada dada bidangnya.
Tangannya pula melingkar pada tubuhnku dan didakapnya erat. Walau matanya sudah
terpejam rapat tetapi, dia tetap bersuara.
“Amy
tahu sayang penat juga. Jadi, kita sambung lain hari ya? Dah...Jom tidur. Malam
ni, Amy nak mimpi yang indah bersama isteri Amy ni.” Ucapnya lembut di
telingaku. Dikucupnya lembut pipiku lama dan dieratkan lagi pelukan pada
tubuhku. Aku membalas pelukannya dan tidak mahu mengalah ingin membalas
ciumannya tadi. Pipi kirinya menjadi sasaranku. Belum sempat bibirku hinggap ke
pipinya, Nick pantas mengalihnya dan bibirku sudah tersasar pada bibirnya pula.
“Amy!
Curi-curi kiss ya?”
“Eh?
Mana ada curi-curi. Isteri sendiri yang dah beri. Kita terima jelah.” Aku
tergelak kecil. Pandai betul dia memutar belitkan ayat. Aku tetap mahu mencium
pipinya. Nick tersenyum senang.
“I
love you so much sayang. Akhirnya impian kita jadi kenyataan. Sayang hanya
milik Amy dan Amy hanya milik Erry seorang. Tak ada orang lain.”
“I
love you too. Love you very much,” Balasku ikhlas. “Good night, Amy.” Sambungku
lagi sebelum menutup mata.
“Good
night, my love. Semoga kebahagiaan kita kekal selamanya.”
congrats to both of you keke,. moga2 xde la konflik2 y meruntunkan jiwa y menbaca keke,.
ReplyDeleteHahaha..trma ksh...*ucap bg phak...kiki...
DeleteMcm biasa..dlm rmhtngga psti akn ada knfliknya..hehe... :)
cian nye kat hubby,ringan2 pun k jerrrrrrr...hehe
ReplyDeleteHahaha...ok jgak tu.. ^-^
DeleteSo sweet.... #^_^
ReplyDeletehehehe.. ^-^
Deletewah!!!!!!!!!!!!!!!!!!! best2..... good job!!! nick a.k.a amy i love u hahaha..... >_<
ReplyDelete-Song Hyun Sun-
Hehehe...thanks Song Hyun Sun.. ^_^
Delete