Saturday, November 17, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 41


Bab 41

            SEMAKIN hari, semakin mekar cintaku pada si suami. Bersulamkan cinta yang suci, rasa bahagia yang diselami begitu berharga buat diri ini. Mataku menatap lama pada wajahnya yang masih lena di sebelah. Perlahan-lahan aku bermain pada alis matanya. Keningnya terbentuk kemas sahaja walaupun sedikit tebal tetapi masih tetap membuat rupa si jejaka tampak kacak.
            Tanganku beralih pula pada hidungnya. Mancung! Kalah hidung aku ni. Kemudian, mataku jatuh pada bibir merahnya. Langsung tiada cacat celanya. Begitu sihat sahaja bibir suamiku tanda dia tidak pernah merokok. Tiba-tiba, terlintas akal nakal di fikiran. Makin merah padam wajahku memikirkan kejadian malam tadi.
            Sudah seminggu kami bergelar suami isteri dan akhirnya, tanggungjawabku sebagai isteri terlaksana juga. Mimpi indah yang dilalui, akhirnya menjadi realiti. Aku milik dia sepenuhnya. Tidak kira zahir mahupun batin. Aku hanya miliknya dan dia hanyalah milikku. Begitu sabar dia melayani diriku, lebih-lebih lagi semasa aku dilanda musim ‘bulan mengambang’. Dalam masa seminggu jugalah aku mengenali dirinya dengan lebih dekat dan lebih mendalam.
            Nick seorang yang begitu penyabar tetapi tegas orangnya. Dengan didikan arwah mama dan juga papanya, dia punya sifat ketegasan yang sukar untuk ditepis. Walaupun pada awalnya sukar juga untuk aku membiasakan diri dengan sikapnya itu, tetapi lama-kelamaan aku cuba memahami situasinya.
            “Sayang, kenapa lambat sangat nak siap-siap ni? Time is running out! Cepat sikit bersiap,” Kata-kata pedas itulah sering aku dengar daripada mulutnya. Kadang-kadang geram juga bila melayan sikap ‘on time’ dia tu. Namun, apapun kekurangan dan kelebihannya itu, pasti ada kebaikannya pada diriku dan Allah sudah takdirkan ada jodoh antara kami. Kerana itulah aku sanggup bersabar bersamanya. Dialah lelaki yang terbaik untuk diriku. Walau ada kekurangan sekalipun, aku sebagai isterinyalah yang perlu mengisi kekurangan itu dan begitu juga dia. Hidup ini perlu saling melengkapi. Itulah namanya suami isteri.
            “Sayang perhatikan bibir Amy ni lama-lama kenapa ek?” Terkejut aku apabila Nick yang dari tadi menutup mata tiba-tiba menegurku. Alamak! Malunya...Kantoi aku usha dia lama-lama. Tapi, akukan isteri dia, jadi tak menjadi masalah kalau aku nak tenung dia lama-lama sekalipun. He he he...
            “Amy dah bangun ke? Terkejut Ery tau,” Aku mengusap lembut dadaku dek terjahan dia tadi. Lantas, kelopak mata Nick terbuka dan sekejap itu satu kucupan lembut singgah di bibirku. Aku terlopong dengan tindakan pantasnya.
            “Good morning, sayang!” Ucapnya sambil tangannya mula melingkari tubuhku dan didakapnya erat. Dek kerana kepenatan yang melanda setelah seharian berjalan-jalan di sekitar Cameron Highland, destinasi honeymoon kami, aku dan Nick akhirnya mengambil keputusan untuk menyambung tidur setelah solat subuh tadi.
            Hampir sahaja nafasku sesak dek pelukan yang erat dari Nick. Aku cuba merenggangkan pelukannya tetapi tidak berdaya. Sudahnya, aku biarkan sahaja suamiku berbuat sedemikian.
            “Amy, Erry semputlah kalau Amy asyik peluk ketat-ketat macam ni. Macam nak putus nyawa tau tak?”
            “Heish! Apa cakap macam tu?” Kening Nick sudah berkerut dan pelukan tadi sudah pun renggang. Aku tarik nafas panjang. Fuh!
            Aku perasan wajah Nick yang sudah berubah monyok. Aku jadi serba salah pula.
            “Sorry, Amy. Erry tak sengaja cakap macam tu. Sebenarnya, Erry sesak nafas sebab kena peluk kuat-kuat dengan Amy. Tu yang terlepas cakap.”
            “Jangan cakap macam tu lagi. Amy tak suka sayang cakap benda pelik-pelik macam tu. Sayang taukan, nyawa sayang ni dah macam nyawa Amy sendiri. Amy akan jaga sayang macam Amy jaga diri Amy sendiri. Jangan pernah cakap pasal benda macam tu lagi. Kalau boleh, Amy tak nak jadi apa-apa kat sayang. Kalau Amy perlu ganti nyawa Amy sendiri demi menyelamatkan sayang, Amy sanggup buat macam tu.”
            “Amy...Kalau Amy tak nak sayang cakap macam tu, Erry pun tak nak Amy cakap macam tu jugak. Erry tak sanggup kehilangan Amy, Amy tau tak?” Hatiku mula diserbu hiba. Kenapa begitu sensitif sekali kami hari ini? Kenapa isu ini pula yang dibangkitkan? Hatiku rasa macam tak sedap saja. Aku mula takut kehilangan suamiku.
            Hampir saja aku menitis air mata. Aku tunduk tidak mahu menatap wajahnya. Perasan yang aku dilanda perasaan sedih, Nick kembali menarik tubuhku ke dalam dakapannya. Pipi kananku dikucup lama.
            “Amy tak sanggup kehilangan sayang. Tapi percayalah, cinta Amy tak pernah padam walau apapun yang terjadi antara kita. Sayang kena ingat tu. Hati Amy hanya untuk sayang seorang. Hanya untuk Nur Erisya Kamal. Dengar tu?” Bisik Nick padaku. Aku mengangguk laju lantas membalas kembali pelukan kemasnya. Tangisan mula melanda diri. Aku menangis di dalam dakapannya. Nick mengusap lembut pada rambutku dan sekali lagi dia mengucupku. Kali ini pada dahi pula. Lama bibirnya singgah di situ. Nick merenggangkan pelukannya dan disekanya air mata yang hampir sahaja menitis lagi.
            Nick mengulumkan senyuman padaku.
            “Dah dah. Jangan nangis lagi. I just want you to know that right now you are my wife and you are a part of my life. I won’t let anything happen to you. You are so mean to me. Don’t ever forget that. Even if anything happen, just remember, don’t ever let me go. Hmmm?” Pesan Nick lagi.
            Lama kami berdiam diri, masih belum bangun dari katil. Nick setia menggenggam erat tanganku dan diusapnya lembut.
            “Hari ni kita dah kena balik KL dah. Rasa macam tak puas pula honeymoon selama seminggu. Kalau boleh nak tiap-tiap hari honeymoon. Kalau boleh nak tiap-tiap hari macam malam tadi,” Nick mula bersuara kembali. Sekarang nadanya berubah mengusik. Aku yang sudah berhenti menangis menjadi malu tatkala teringat akan kenangan malam tadi. Nick yang masih setia baring di sebelah sudah kembali tersenyum. Malah, senyumannya begitu menggoda sekali. Aku naik hairan pula dengan sikapnya yang begitu senang sahaja berubah dalam sekelip mata. Tangannya mula merayap pada bahuku. Dengan pantas aku mencubit lengannya sebelum sempat tangannya merayap ke tempat lain. Cepat-cepat aku bangun dari pembaringan.
            “Dah dah dah. Cakap nak kena balik KL kan? Erry nak pergi mandi dan bersiap-siap. Sebelum balik KL, Erry nak beli barang dulu buat kenangan kita. Lagipun, nak beli sikit buah strawberi untuk Diya. Diakan suka makan buah tu.” Sempat lagi aku mengingati suamiku tentang perancangan kami untuk hari ini sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Aku beredar ke almari baju dan mengambil tuala yang tergantung di penyakut baju.
            Aku berpaling ke belakang ingin beredar ke bilik air. Terkedu saat Nick muncul dari belakang. Wajahnya mula mendekati. Aku jadi terpempan seketika saat Nick merapatkan dirinya pada tubuhku. Fikiran dah mula melayang memikirkan yang macam-macam. Dada pula sudah berpalu kencang. Nick tersenyum saat wajahku sudah merona kemerahan. Dapatku rasakan darah menyerbu panas di muka. Aku menangkap objek yang berada di tangannya saat wajahku menunduk ke bawah, tidak mampu bertentang mata dengannya.
            “Sayang fikir apa tu?” Soal Nick setelah mengambil tualanya. Aku menolak tubuhnya dan cuba menjauhkan diri. Tercetus tawanya melihat aku yang tengah malu ini. Dengan segera, aku menghayunkan langkah ke bilik air. Belum sempat memulaskan tombol pintu, Nick pantas mencepungku dan membawaku masuk ke dalam bilik air. Aku menjerit kecil. Saat itu hanya kami sahaja yang tahu betapa bahagia kenangan yang kami lalui ini.
            Setelah banyak yang kami lalui, tidak kira sakit perihnya dengan dugaan yang melanda, akhirnya segala keperitan itu diganti dengan kebahagiaan yang tak terperi. Cinta yang suci, kini bersatu jua. Tetapi, adakah sehingga ke akhirnya cinta itu pasti?


AKU mengambil plastik yang diserahkan oleh penjual dan memberikan wang 50 ringgit kepadanya. Aku menunggu penjual tersebut memberi kembali pulangan baki duitku. Sambil menunggu, mataku meliar memandang serata kebun. Begitu sejuk mata memandang keindahan tanaman buah strawberi di situ. Ditambah pula cuacanya yang sememangnya sejuk membuatkan hatiku begitu tenang sekali.
            Aku mengambil duit baki yang disua oleh penjual tadi dan beredar dari situ. Aku berjalan menghampiri kereta Nick, tetapi kelibatnya masih belum ada.
            “Mana pula cik abang sayang aku ni? Cakap nak ke tandas sekejap. Ni dah berapa lama duduk terperap dalam bilik air ni?” Bisik hatiku.
            Di saat itu, aku terpanggil untuk menjawab panggilan telefon yang mula membingit. Aku keluarkan telefon bimbit dari tas tangan yang aku sangkut di bahu dan melihat nama pemanggil pada skrin telefon.
            Aku terpaku melihat nama yang tertera pada skrin. Lambat-lambat aku menjawab panggilan tadi.
            “Risya, kau sibuk ke?” Soal si pemanggil. Aku mengeluh lemah. Dalam banyak-banyak waktu, waktu ni jugalah dia muncul. Saat aku tengah melayari bahtera bahagia, ada pula yang datang tanpa diundang.
            “Sibuklah juga. Kenapa call aku ni?” Ucapku malas. Sebenarnya, aku terasa hati bila teringat kembali masa pernikahanku, dia langsung tidak muncul pun.
            “Dengar macam kau marah je dengan aku, Risya. Kau betul-betul sibuk ek?”
            “Memang! Memang aku marah. Aku terasa hati dengan kau sebab tak datang ke majlis pernikahan aku, Iz.” Iz terdiam lama sedari itu. Sedar akan ketelanjuranku yang bersikap kasar dengannya, aku mengendurkan suara dan meminta maaf akan kesilapanku.
            “Aku betul-betul minta maaf sebab tak dapat datang ke majlis kau. Sebenarnya, masa tu aku kena hadap mama. Dia tahu yang aku nak kembali bersama Isnah. Jadi, dia tak berapa nak setuju. Tapi, lama-lama aku pujuk, mama okeylah.” Terang Iz pula.
            “Jadi sekarang, apa masalahnya lagi?” Soalku berbasi-basi.
            “Is...Is nak cerai dengan aku, Risya. Aku tak boleh kehilangan dia. Aku betul-betul tak nak kehilangan dia. Jadi sekarang aku nak minta tolong dengan kau. Kaukan cakap kau nak tolong aku. Boleh kan?” Tuntut Iz pada janjiku dahulu. Aku jadi serba salah apabila mengingat kembali janji yang aku putuskan sebelum pernikahanku dengan Nick tidak lama dahulu.
            Aku menghela nafas panjang. Dalam hati, aku jadi bingung dengan kesannya nanti. Sekiranya aku menolong Iz, jadi ini bermakna hidupku masih bersangkut dengannya sedangkan sekarang aku sudah bergelar isteri Nick. Tetapi, di sudut lain pula hatiku bagai rasa bersalah dan kasihan dengan nasib yang dilanda oleh Iz. Tambahan pula, dia juga merupakan kawan rapatku. Apakah aku perlu masuk campur dalam hal rumah tangga mereka?
            “Nanti aku akan cuba tolong apa-apa yang boleh aku lakukan. Tapi, aku harap kau janganlah terlalu berharap sangat. Kalau sudah si Is tu berkeras juga, kau terimalah dengan hati terbuka. Mungkin sudah bukan jodoh kau dengan dia.”
            “Please Risya. Aku tahu aku bersalah pada dia. Kalau aku tahu rupa-rupanya dia juga berharap yang aku kembali pada dia sewaktu kita hampir-hampir bernikah dahulu, aku pasti takkan tinggalkan dia langsung dan kembali ke pangkuan dia.”
            “Baiklah, Iz. Aku akan jumpa dia bila dah sampai ke KL nanti. Okeylah aku ada hal ni sebenarnya. Assalamualaikum,” Cepat-cepat aku mengakhiri perbualan kami. Takut kalau suamiku terdengar perbualan di antara kami. Aku tak nak melukakan hati Nick. Tak akan!

SUASANA di dalam kereta begitu hening sahaja. Hanya suara di corong radio yang memecahkan kesunyian. Risya di sebelah sudah lama terlelap. Nick cuba untuk menumpukan perhatian pada pemanduannya. Lebih-lebih lagi dengan jalan yang bengkang-bengkok, perhatian amatlah diperlukan. Namun, hatinya tetap resah apabila mengingat kembali kejadian tadi. Sepertinya, Risya cuba menyembunyikan sesuatu darinya. Dia jadi resah dengan sikap Risya yang masih mahu berahsia.
            ‘Kenapa perlu disimpan dalam hati di saat kita sudah menjadi suami isteri? Susah sangat ke nak beritahu perkara sebenar?’ Bisik hati kecilnya pula. Bukan dia tidak tahu dengan siapa isterinya berhubung tadi. Dia dengar semua perbualan di antara isterinya dan juga lelaki yang pernah bertakhta di hati isterinya itu.
            ‘Kalau sekadar mahu menolong kawan, kenapa terlalu berahsia sangat? You have involve in something really big Risya. And I won’t let you get away with it. Amy takkan lepaskan sayang sampai sayang betul-betul percaya dan yakin dengan cinta Amy ni. Sudah pasti tiada rahsia antara kita lagi dan Amy betul-betul nak Erry tahu tentang itu kerana Amy suami Erry. Amy berhak tahu apa yang terjadi di sekitar Erry.’
            Dalam hatinya, dia berasa kecewa dengan tindakan isterinya itu.
            ‘You are mine! And I am yours. Kita kena bukti cinta kita itu benar-benar pasti untuk hati masing-masing. Tiada keraguan lagi. Lebih-lebih lagi kepercayaan, Erry.’ Tekad Nick dalam hati.


SETELAH seminggu berlalu, aku dan Nick kembali dengan rutin masing-masing. Nick sibuk dengan kerjanya manakala aku pula sibuk dengan urusan rumah. Dah jadi suri rumah ni, macam sunyi pula bila ditinggalkan suami seorang diri di rumah.
            Aku capai laptop di atas meja. Segala kerja rumah sudah aku selesaikan. Rumah yang kami diami sekarang tidak kurang luasnya dengan rumah Tok Idham yang Nick duduki dulu. Selepas bernikah, Nick telah pun merancang ingin duduk di rumah sendiri. Sementara, di rumah Tok Idham pula masih ada papanya dan juga pak long. Tidak lupa juga dengan abang kembar Nick bersama isterinya.
            Pernah sekali aku tersilap sangka bahawa abang Emir tu ialah Nick. Lebih-lebih lagi apabila tinggal serumah dengan abang kembarnya itu. Aku jadi malu sendiri apabila memanggil abang Emir dengan panggilan Amy. Jadi keliru pula melihat wajah mereka yang begitu serupa. Mujur sahaja isteri abang Emir, kak Iyan tak melenting dengan kesilapanku itu. Kak Iyan muda setahun daripada Nick dan juga abang Emir. Jadi, sememangnya aku perlulah memanggil kakak iparku itu dengan panggilan kakak walaupun ditegah banyak kali oleh kak Iyan.
            “Risya ni...Rasa macam tua sangat pula kita bila dipanggil akak. Hahaha...lagipun, Iyan sendiri panggil Nick ni Nick. Tak adanya nak panggil adik or abang walaupun kita orang ni dah jadi kakak dan adik ipar. Tapi, tak kisahlah kalau Risya nak panggil Iyan dengan panggilan akak. Nak panggil adik Iyan pun boleh.” Seloroh kakak iparku itu. Aku jadi senang dengan layanan kak Iyan sementelah dia itu peramah orangnya. Walau punya kedudukan dan berjawatan tinggi, kak Iyan begitu rendah diri dan tidak pernah memikirkan tentang statusnya selaku anak Dato’.
            “Pssst...Kalau Risya nak tahu perbezaan dia orang berdua beradik kembar ni, senang aje. Cuba Risya tenung betul-betul dan tengok apa perbezaan dia orang. Tapi, janganlah tenung abang Emir lama-lama pulak. Bini dia ada kat sebelah Risya ni je tau.” Sempat lagi kak Iyan berjenaka denganku.
            Selepas sehari majlis persandinganku dan juga Nick, akhirnya kami mempunyai masa untuk berkumpul dan berehat bersama-sama. Kami berehat di taman rumah tok Idham dan menikmati minum petang dengan pisang goreng dan juga air teh. Dikesempatan itulah aku mengambil peluang untuk mengenali kakak iparku itu.
            Aku kembali memandang kedua-dua beradik kembar itu. Pening kepalaku memikirkan perbezaan antara dua beradik ini. Sememangnya mereka berdua punya wajah yang seiras dan sukar untuk aku tebak perbezaan itu. Aku menoleh ke sebelah dan menggeleng.
            “Tak dapat nak detect apa perbezaan dia. Tak tahulah kak Iyan,” Kak Iyan tergelak melihat wajahku yang berkerut seribu.
            “Akak Iyankan dah lama dengan dia orang. Mestilah tahu yang mana satu Nick dan yang mana satu abang Emir. Ni pun nasib baik abang Emir tu pakai cermin mata dan Nick tu tak pakai. Risya hanya tahu tu je perbezaan dia.” Sambungku lagi. Kak Iyan tergelak kecil.
            “Cuba tengok betul-betul perbezaan wajah dia orang tu.” Saran kak Iyan lagi. Aku kembali menatap wajah kedua-duanya. Lama-lama barulah aku perasan sesuatu. Bibirku mengukir senyuman penuh makna. Sekarang baru aku tahu apa bezanya mereka berdua ini.
            “Risya dah tahu dah. Beza dia orang ada pada dagu.” Wajah Kak Iyan nampak begitu teruja mendengar tebakkanku. Kak Iyan mengangguk.
            “Yup! Tu beza dia orang berdua ni. Mula-mula tu susah betul nak tahu yang mana satu abang Emir dan Nick. Tapi, lama-lama barulah kak Iyan perasan. Sebenarnya masing-masing punya keunikan tersendiri.
            Nick mempunyai lekuk dagu yang ketara, manakala abang Emir pula tak ada. Itulah beza dia orang ni. Sebab tulah kak Iyan senang nak pastikan yang mana satu abang Emir.”
            Aku tersenyum saat melihat gambar wajah Nick yang terletak di sebelah laptopku. Memang benar kata kak Iyan. Lekuk dagu Nick nampak begitu ketara sekali. Aku usap gambar pernikahan kami dan aku letakkan kembali bingkai gambar tersebut.
            Mataku kembali menatap skrin laptop. Sekarang tiba saatnya cerita-cerita indah kami tertulis dan diceritakan pada pengetahuan umum. Aku yang pernah bercita-cita ingin menjadi penulis, akhirnya sudah mula untuk merealisasikan impian itu. Kisah aku dan juga Nick kini menjadi satu cerita buat pembaca-pembaca di blogku. Tidaklah aku nyatakan namaku dan juga Nick sebagai sandaran bagi jalan cerita ini, tetapi kisahnya itulah yang aku gunakan. Segala pengalaman perit dan juga manis aku sematkan dalam penulisanku. Walaupun masih baru lagi, tetapi aku bersyukur kerana ada yang menerima cerita yang diolah olehku sendiri.
            Cerita yang digandingkan dengan realiti hidup dan juga fantasi. Walaupun bukan 100 peratusnya betul, tetapi apa yang aku sajikan pada pembaca adalah untuk menghiburkan hati mereka. Aku letakkan juga sedikit pengajaran di dalam novel ini dan ada yang boleh terima jalan ceritaku. Ada juga yang mengkritik dan menegur salah silapku, tetapi bagiku semua itu adalah satu inspirasi bagiku untuk memperbaiki gaya penceritaanku.
            Jari-jemariku terhenti saat telefon bimbitku berbunyi. Aku mengambil telefon bimbit tersebut dan melihat nama yang tertera pada skrin.
            “Unknown number?” Hairan. Aku tidak kenal nombor ini. Aku jadi ragu-ragu untuk menjawabnya. Tetapi hatiku rasa ingin tahu. Lantas, aku tekan skrin dan aku tekapkan telefon bimbit pada cuping telinga.
            “Hello, assalamualaikum. Siapa ni?” Aku memulakan perbualan. Lama suara di sebelah tidak kedengaran. Apabila lama panggilan tidak bersahut, aku terasa mahu menghentikan panggilan tersebut. Belum sempat jariku menyentuh skrin telefon bimbit, suara lembut menyapa telinga.
            “Risya...Ni, Isnah. Boleh aku jumpa kau sekejap hari ini?” Si pemanggil akhirnya ketahuan namanya. Aku menggigit bibir. Is rupa-rupanya. Aku berjeda seketika dan menoleh pada jam di dinding.
            Hari ini Nick berada di Pahang. Jadi, aku rasa tidak salah kalau aku berjumpa dengan Isnah sebelum Nick kembali ke Kuala Lumpur petang nanti.
            “Boleh! Bila kau nak jumpa aku?”
            “Pukul 2 petang dekat Cafe Starbuck Empire , boleh?”
            Aku mematikan panggilan setelah Isnah menetapkan masa untuk bertemu denganku. Aku mengeluh lemah. Entah kenapa rasa bingung pula dengan tindakan yang aku lakukan ini. Aku melihat skrin telefon bimbit dan aku menaip mesej kepada Nick.
            Petang ni, Erry nak jumpa kawan ya? Pukul 2 petang.- Erry
           
           


AKU menyisip sedikit air kopi yang baru saja dihantar oleh pelayan cafe. Isnah juga berbuat demikian. Kami masih belum membuka mulut. Masing-masing mendiamkan diri.
            “Aku dengar yang Iz nak suruh kau berbincang dengan aku pasal hal kitorang. Nak beri penjelasan tentang hal kita dahulu tu. Penting sangat ke benda yang dah lepas tu?” Is sudah mula melantunkan suaranya. Begitu sinis sekali bunyinya. Namun, rasa hati masih dapatku kawal lagi.
            “Kalau rasa benda dah lepas tu tak penting, kenapa masih ada perasaan marah tu lagi?” Aku membangkitkan isu yang pernah terjadi suatu ketika dahulu. Masih segar diingatanku apabila aku tampil di hadapannya dan menyoal sama ada dia terima ataupun tidak untuk membenarkan aku menjadi madunya sewaktu aku masih bersama Iz dahulu.
            “Kau tau tak kerana kau, rumah tangga aku musnah. Dan kerana kau jugalah, kekasih aku tu lari. Hanya disebabkan tuduhan palsu kau tu! Kau memang pemusnah hidup aku!” Dalam nada yang tertahan, Is masih tetap melepaskan amarahnya padaku. Aku jatuh simpati pada Is. Kerana lelaki dia jadi buta dan kerana lelaki dia jadi bodoh dalam memilih yang mana satu permata dan yang mana satu duri.
            “Aku tak pernah jadi pemusnah rumah tangga korang. Aku tak pernah terlintas langsung nak rampas hak orang. Kau yang tak pandai nak menilai hati budi Iz tu sendiri.
            Aku dan Iz dah lama berkawan. Bukan setakat tu, kami dah lama rapat dan dah kenal sangat perangai masing-masing. Memang aku mengaku, dulu aku pernah cintakan dia. Tetapi, dalam hati aku tahu, dia tak pernah membalas cinta aku. Dulu dia mengejar cinta kau!” Luahku panjang. Sudah lama aku berhasrat untuk berterus terang dengan isteri Is. Kini, sekaranglah masa yang sesuai bagi menyingkap segala perasaanku.
            “Oleh kerana aku tahu yang Iz tak pernah nak balas cinta hati aku ni, jadi aku cuba untuk renggangkan hubungan persahabatan kami. Tambahan pula, dia dah kenal kau lama dan dia sering cerita pasal kau kat aku. Walaupun bukan terang-terang dia cerita, tapi setiap kali dia cakap pasal seorang gadis ini, aku tahu gadis tu bukan aku. Dan gadis tu pula sudah berpunya.
            Masa tu, kau masih bersama kekasih kau yang dulu. Tapi, Iz tetap bersabar dan tetap mahu menunggu cinta yang tak pasti. Dan aku pula, dek kerana terseksa dengan cinta yang tak berbalas, aku cuba undur diri. Sehinggalah pada satu saat di mana aku dengar khabar bahawa dia akan dinikahkan pada kau. Aku sendiri hairan kenapa dulu kau bersama dengan orang lain dan akhirnya kau terima Iz. Aku langsung tak tahu pun apa-apa kisah pasal korang.”
            “Hmmphh! Kau hanya nak sedapkan hati aku jekan? Kalaupun aku dah jadi isteri dia, aku tak sangka yang Iz tu tiap-tiap hari dok cerita pasal kau. Kau sebenarnya dah lupa yang mungkin dia cintakan kau balik.” Bidas Is yang masih tidak mahu mengalah. Dadanya sudah berombak tanda dia menahan marah yang teramat sangat. Aku jadi serba salah apabila berada dalam keadaan sebegini. Aku sememangnya rasa bersalah apabila sanggup menerima lamaran Iz dahulu. Kalau tidak, pasti sahaja rumah tangga mereka selamat.
            “Is salah! Iz tak pernah cintakan aku. Di dalam matanya hanya kau seorang je, Is.”
            “Kau jangan nak pertahankan jantan tak guna tu!”
            “Jantan tak guna tu suami Is! Is kena ingat tu!” Pintasku mengingati tentang kedudukan dirinya. Aku terkesan akan air mata pada tubir matanya. Air jernih itu cepat-cepat disekanya. Aku mengeluh lemah. Macam mana kalau nak selesai kalau hati yang seorang tu masih panas dan sukar untuk menerima kata-kataku ini?
            “Look, Is...He is your husband. And always be. Kalau bukan kerana Iz, kau mesti terjebak dengan niat kotor bekas kekasih kau tu.” Melihat Is terpana membuatkan hatiku dipagut rasa resah. Aku menggigit bibir. Tidak mampu aku simpankan lagi rahsia di antara aku dan Iz dahulu.
            “Apa maksud kau?” Is mula mengendurkan suaranya. Aku menghelakan nafas panjang. Aku kena biar Is tahu perkara sebenar.
            “Masa kitorang masih belajar dulu, aku dan Iz pernah terserempak dengan kekasih kau tu. Dia bawa seorang perempuan ke sebuah hotel murah tu. Aku dan Iz yang menjadi saksi. Izlah yang risau gila kat kau. Bila aku tanya kenapa dia cakap dia macam pernah tengok lelaki tu. Tu je. Tapi masa tu, aku tahu yang perempuan yang Iz cinta tu adalah kau. Dan aku selalu perhatikan kau di kampus. Jadi, wajah kekasih kau tu tak pernah aku lupa.
            Apabila Iz masih menunggu kau, masa tulah aku ambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada dia. Bila kau dah bersatu dengan Iz, aku tak sangka pula hubungan kau dengan Iz dah mula retak. Dan pada masa tulah kau mula balik pada kekasih kau tu.” Aku berjeda seketika. Mengumpul semangat ingin meneruskan cerita. Aku menatap wajah Is yang masih menunggu kata-kataku. Wajahnya sudah lecun dek air mata yang tak henti-henti menitis dari tadi.
            “Masa Iz dilanda masalah, dia dan aku akhirnya bersua kembali setelah lama kami tidak berhubung. Dan masa tulah dia beritahu pasal kau dan kekasih kau tu. Hubungan korang retak disebabkan salah faham dan kerana tulah kau kembali pada kekasih kau. Dan Iz sempat cerita kat aku macam mana boleh korang bersatu dan dia cerita juga macam mana boleh kau dengan kekasih kau tu putus.”
            “Iz mungkin nak buktikan bahawa dia juga boleh bahagia tanpa kau, dan disebabkan tulah dia melamar aku. Mungkin hatinya pernah berada dipersimpangan. Tapi aku tahu, cintanya masih kuat pada kau.” Sambungku lagi. Perlahan-lahan, aku tarik tangannya. Aku cuba bercakap lembut padanya. Aku berharap agar masalah mereka selesai juga.
            “Pasal kekasih kau tu, aku tak pernah buat cerita sebab semua tu ada di depan mata. Aku lihat sendiri apa yang dia dah lakukan dan aku terus berterus-terang dengan kau pasal siapa diri dia tu depan kau. Cuma, kau tak pernah nak percaya pun,”
            “Memang aku tak percaya sehinggalah aku sendiri melihat dengan batang hidung aku,” Celah Is pantas. Kini, giliran aku pula yang terkedu.
            “Pada mulanya aku ingat dia dengan kawan sahaja. Tetapi, rupa-rupanya bukan. Aku masih tetap tak mahu percaya dan aku cuba salahkan kau. Aku fikir, semua ni terjadi kerana kehadiran kau dalam hidup Iz. Kehadiran kaulah menyebabkan hubungan kami goyah. Tetapi, sebenarnya aku yang bersalah. Aku yang bersalah kerana tak pandai menilai suami sendiri. Aku yang bersalah kerana terlalu percayakan lelaki tak guna tu! Dan aku bersalah kerana tak pernah beri peluang pada Iz...Tak beri peluang untuk hati ini menerima dirinya sepenuh hati. Aku tamak! Aku inginkan kedua-duanya. Sedangkan sudah terang siapa yang lagi layak mendapatkan hati aku ni.” Is mula teresak-esak dan aku mengusap lembut pada bahunya.
            “Dah dah...Jangan kenangkan kembali kisah yang lama. Semua tu dah lama berlaku. Jadi sekarang, kau fikirkanlah mana yang terbaik buat kau. Aku bukan nak pengaruh keputusan kau. Tetapi bagi aku, bercerai itu adalah satu penyelesaian yang terakhir dalam sebuah perhubungan yang halal. Walaupun bercerai itu dibenarkan, tetapi perkara itulah yang Allah tak suka. Menghancurkan masjid yang sudah berdiri dan juga memperbaiki mana-mana kecacatan sesebuah masjid itu, adalah lebih bagus kalau kita cuba menyelamatkannya, bukan?” Aku cuba menasihati Is, berharap agar dia memilih perkara yang betul. Semoga hubungan Iz dan juga isterinya mampu diselamatkan.

NICK memandang lama pada telefon bimbitnya. I-phone 4 di tangan digenggamnya. Masih jelas matanya membaca bait-bait mesej yang diberikan oleh isterinya tadi.
            “Jumpa kawan? Siapa? Iz?” Nick terasa hati melihat mesej pendek daripada isterinya itu.
            Nanti, Erry cerita...-Risya
            Sukar benar untuk isterinya memberitahu perkara sebenar. Hatinya dipagut resah. Dia jadi serba tak kena apabila hak sebagai seorang suami dicabar sebegini rupa. Sepatutnya, hal yang berkaitan dengan isterinya dia patut tahu. Tetapi, Risya langsung tidak mahu berkompromi soal ini.
            “Aku kena balik juga sekarang,” Tekad Nick sebaik segala kerjanya selesai juga.
            Nick memandu keretanya ingin kembali ke Kuala Lumpur. Dalam pada itu dipasangkan alat handsfree dan tangannya menekan skrin mencari nama pemanggil. Apabila nama sayang tertera pada skrin, Nick segera membuat panggilan.
            Seminit dua minit berlalu. Masih tiada yang menyahut. Berkali-kali dia cuba menelefon isterinya tetapi tidak berjaya. Risya langsung tidak menjawab panggilannya. Bimbang kalau terjadi apa-apa, Nick memecut keretanya.
            Selama 4 jam Nick memandu dan akhirnya Nick sampai ke Kuala Lumpur. Dia memandang sekilas pada jam di dashboard. Jam sudah pukul 6 petang. Nick sekali lagi cuba menelefon isterinya. Kali ini, telefon bimbit disahut oleh panggilan suara inbox. Makin menggunung rasa bimbangnya. Nick segera memandu pulang. Tidak sanggup kalau terjadi apa-apa pada Risya. Tambahan pula, perasaan rindunya tak mampu dibendung lagi.
            ‘Sayang...sayang pergi mana?’


AKU meletakkan tas tangan di atas katil. Rasa penatku tak mampuku tahan lagi. Selesai sahaja berbincang dengan Is tadi, aku segera ke pasar untuk membeli barang-barang dapur sebelum Nick kembali dari Pahang.
            Aku melihat jam pada dinding bilik dan aku sudah kelewatan untuk mengerjakan solat Asar. Aku bergegas ke bilik air dan mengambil wudhuk.
            Setelah selesai solat, aku dengan lemahnya menghempaskan tubuh pada katil. Aku mengagak bahawa masih ada masa lagi untuk aku berehat seketika sebelum ke dapur. Bermalasan di atas katil membuat hatiku berasa lega. Akhirnya apa yang terpendam terluah juga. Sudah selesai tugasku demi menyelamatkan sebuah hubungan suami isteri dan keputusannya nanti, aku biarkan saja mereka menyelesaikannya. Janji...tugas aku dah lepas. Tiada lagi bebanan yang aku pikul selama ini dan aku berharap usaha aku ini bakal membuahkan hasil yang terbaik buat mereka berdua.
            Dalam pada melayan lamunanku, aku teringat akan sesuatu. Lantas, aku ambil bangkit dan mengambil tas tangan yang terletak di sebelahku. Aku keluarkan telefon bimbit dan barulah aku perasan bahawa telefon bimbitku sudah mati. Aku menepuk dahi atas kelalaianku. Segera aku ambil charger dan aku sambungkan pada lubang telefon.
            Aku membuka telefon bimbitku semula dan tertera beberapa miss call daripada suamiku. Aku dipagut rasa bersalah.
            “Alamak...Dah lama aku biarkan telefon bimbit silent, sampai terlupa yang battery pun dah nak habis. Ya Allah, Risya...Kenapa kau lalai sangat? Tengok apa dah jadi? Kesian Amy.” Jariku masih bermain pada skrin melihat nama-nama miss call yang tertera, sehinggalah mataku menangkap satu nombor yang asing bagiku. Nampak gayanya ini bukan nombor telefon bimbit tapi macam nombor telefon rumah. Lebih-lebih lagi di hadapan nombor tersebut tertera nombor 03-.
            Sebaik sahaja aku ingin menelefon kembali nombor tersebut, tiba-tiba telefon rumahku berdering. Aku meletakkan kembali telefon bimbit di atas meja. Segeran langkahku dihayunkan mendekati telefon rumah.
            “Hello, waalaikummussalam,”
            “Ni Puan Nur Erisya ke?” Soal pemanggil tersebut.
            “Ya, saya. Awak siapa?”
            “Saya ni buat panggilan dari hospital. Suami Puan menghadapi kemalangan tidak sampai 30 minit tadi.”
            “Apa!?” Mendengar perkhabaran buruk itu, ganggang telefon di tangan terlepas. Tubuhku seperti tidak menginjak ke lantai. Aku jatuh terduduk. Aku menekan dadaku menahan rasa sakit dan pilu di hati. Aku rasa kehilangan seseorang yang begitu bermakna buat diriku. Bagaikan separuh nyawaku sudah dibawa pergi. Mutiara mata begitu laju mengalir ke pipi.
            Ya Allah...Amy..Amy kemalangan! Suamiku kemalangan!

10 comments:

  1. cian nyer kt risya...hope amy tk lh serius sngt....baru nk kecapi bahgia ALLAH beri dugaan wat hamba nye...tabah n redha lh risya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kn? huhu..xpe..Risya tu tbah orgnya..klu x..Allah x kn mnduga dia smpai mcm ni skli...:)

      Delete
  2. eh?????????? apakah???? nick!!!!!!!!!! accident la plak huhu T__T.... kaka fyka nk lagi... huhuh
    -Song Hyun Sun-

    ReplyDelete
  3. Harap tak ada apa2 yang buruk berlaku pada Amy....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Don't worry..Insya-Allah x de pape..hehe...

      Delete
  4. mnta2, xda perkara bruk brlaku writer..
    xmau jdi bukan2.. ksian kat heroin baru nk bahagia dah jdi mcm tu.. please writer

    ReplyDelete
  5. Rasanya erisya tu akan kawen dgn eric kan? Lepas nick meninggal kan? Sbb rasanya cerita psl eric ade sambungannya :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooo..bkn..Eric versi sy dlm tjuk Honey n butter..hehe..trslap ni.. :)

      Delete