Friday, October 10, 2014

Cerita Pendek Part 12: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 19


            AKU cuba merenggang bahu yang terasa sedikit sengal. Aduh! Sudah lama tak bersenam agaknya. Tak lama selepas itu, aku tersengih sendiri. Bila masa pula aku rajin dalam bab-bab bersenam? Malah, Zuhairil juga pernah menegurku supaya bersenam atau berjoging bagi kesihatan badan. Namun, aku endahkan saja. Tatkala sebaris nama itu muncul di minda, hatiku dipagut rasa sendu.
            Sudah dua hari Zuhairil tak kembali ke rumah. Aku? Aku hanya mampu berdiam diri tanpa menelefonnya. Amat sukar bagiku merendahkan ego yang kini menggunung. Ah! Aku tahu bukan salah aku seorang. Dia juga turut sama mencetuskan pergaduhan yang entah mengapa boleh bermula. Titik permulaannya juga membuatkan aku bingung sendiri. Kalau ada silapku, mengapa perlu berdiam sahaja? Kalau ada yang terkurang, kenapa tidak luahkan saja? Aku mengeluh panjang. Sampai bilakah aku mampu hidup begini. Serupa tiada laki!
            Dalam diam hatiku akui, rinduku padanya sudah menggunung. Aku mula berfikir dalam. Patut ke apa yang aku buat ini? Kalau bukan salah seorang yang mengalah, mana mungkin pergaduhan ini akan surut sampai bila-bila.
            Ya Allah, aku pohon agar Kau lembutkan jua hati suamiku agar dia mahu beralah dan kembali ke rumah. Sememangnya aku sendiri segan ingin mengakui kesalahan yang tidak aku ketahui apa puncanya. Aku menghela nafas panjang.
            Tak! Kami tak patut begini. Kalau dia pernah mengalah ingin kembali ke dalam hidup aku, malah mengikatku sebagai isterinya, tak salah kalau aku mengalah buat kali ini. Aku juga mahu bahagia seperti pasangan yang lain. Aku juga mahu meraih cintanya kembali. Entah mengapa, rasa mahu kembali ke dalam dakapannya berkobar-kobar di hati. Dengan pantas, aku menyelesaikan kerja rumah yang tergendala seketika tadi. Mindaku pula giat memikirkan cara untuk mengembalikan suami tercinta. Tercinta? Aku tersengih lagi. Ya! Aku kembali mencintai bekas kekasih hati dan sekarang merupakan suamiku.
            Setelah bersiap-siap, aku perhatikan kembali wajah di cermin. Mata yang sedikit lebam gara-gara asyik menangis beberapa hari ini, aku tempekkan dengan bedak asas. Biar letak tebal sikit agar hilang tanda ‘Panda’. Aku colekkan pelembab bibir dan aku kembali menilik mukaku. ‘Keren!’ Sekarang aku benar-benar berpuas hati. Baju dress labuh berwarna ungu lembut aku gandingkan dengan tudung berona sama tetapi sedikit gelap, biar nampak kontra sedikit.
            “Baik! Sekarang, tiba masanya mencari ‘Prince Charming’!” Gumamku seperti berbisik. Aku tersenyum kecil. Sudah lama juga aku tidak berdandan sebegini. Apa tidaknya. Asyik terperap di rumah sahaja. Waktu kerja pun hanya sekadar memakai tudung ‘tangkap muat’. Aku mula terfikir. Adakah Zuhairil tidak menyukai gaya penampilanku? Mungkinkah gara-gara itu dia sudah mula bosan? Ah! Jangan berfikiran negatif. Aku perlu bersangka baik terhadap suamiku. Kalau itu salah satu kesalahan aku, aku tahulah apa yang perlu aku lakukan.
            Segera aku mengambil beg sandang dan aku keluar dari rumah. Setelah semua pintu sudah kukunci, aku segera melangkah ke lif. Saat menanti ketibaan lif, aku keluarkan telefon bimbit dan memeriksa kalau-kalau ada mesej daripada Zuhairil. Tiada! Aku mengeluh lemah. Sabar! Setelah pintu lif terbuka, aku memberi laluan kepada seorang lelaki tua yang berusia mungkin dalam lingkungan 50 lebih. Sempat juga aku menitipkan senyuman buatnya.
            Lif tadi berhenti di tingkat parkir. Aku segera menuju ke kereta. Sekali lagi aku menilik telefon bimbit dan kali ini aku menaip mesej.
Ril, baliklah! Aku rindu kau, -Fin
            Pendek, ringkas dan penuh makna. Aku memag benar-benar rindukan dia. Segera aku melepaskan handbrake dan mula memandu ke tempat yang ingin dituju. Di mana lagi kalau bukan di rumah ibu bapanya. Kali ini aku terpaksa bersembunyi daripada keluarga mertuaku. Takut pula kalau pergaduhan kami dihidu oleh mereka. Naya!
            Aku melihat sekeliling kawasan rumah. Tiada pula rupa kereta suamiku. Jadi di mana pergi dia? Sekali lagi hatiku berasa resah. Risau akan ketiadaan dia. Dalam 5 minit kemudian aku menghidupkan kembali kereta dan segera beredar dari situ.
            Kembali memandu, aku membawa kereta ke tempat yang sering dituju suamiku. Ke mana saja tempat yang pernah dia bawa aku dahulu. Awalya, aku pergi ke tempat pusat beli-belah, tempat kegemaran suamiku melepak. Lebih-lebih lagi dia sering ke gym di sana, Wangsa Walk!
            Masuk saja ke sana, aku teringat masa dahulu. Aku selalu juga ke sini, dating! Bila terkenang tentang kisah lama, hatiku tiba-tiba terasa sebak. Walaupun sering juga bergaduh, bertegang-urat gara-gara tidak sependapat dengan Zuhairil, aku masih juga cintakan dia. Hati yang sering terluka dek kata-kata pedasnya, tetap juga tidak mengubah perasaan hati ini. Bila ada duka, pasti ada suka juga. Aku mengelap air mata yang sudah jatuh mengalir. Cepat-cepat aku beredar dari situ tatkala tiada kelibat suamiku di sana.

SUDAH banyak tempat kutuju. Bukan saja Wangsa Walk, Kl Festival, di Tasik Titiwangsa, aku pergi juga ke Subang. Tempat suamiku biasa melepak. Namun, masih juga tiada kelibatnya di mana-mana. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk kembali saja ke rumah.
            Dengan hati yang memberat, aku membuka pintu kereta dan melangkah menuju ke lif. Sebaik lif tiba di tingkat 5, aku keluar dan bergerak ke pintu pagar rumah. Tatkala ingin mengeluarkan kunci dari beg sandang, aku perasan akan sesuatu. Kunci pagar telah terbuka dan pintu di dalamnya tidak tertutup rapat. Aku terkedu. Dada pula sudah berdetak laju. Ada pencuri masuk ke, sedangkan pengawal keselamatan di sini benar-benar menjaga kebajikan rumah kondo di sini? Aku jadi takut.
            Perlahan-lahan aku menolak pagar dan menolak daun pintu. Aku terlihat selipar yang memang aku kenal. Aku menengkup mulut. Zuhairil sudah kembali! Segera aku melangkah masuk tanpa menguncikan pintu rumah. Namun, kakiku terhenti tatkala mendengar suaranya.
            “Aku dah agak dah! Kalau dari dulu lagi aku teruskan saja niat nak balas dendam, memang aku buat. Dia... dia memang melampau!” Jatuh terus air mataku mendengar katanya. Jadi selama ini memang benarlah Zuhairil berniat untuk membalas dendam terhadap aku.
            “Aku pasti, dia pergi jumpa jantan tu!” Aku menyeka air mata yang laju saja mengalir. Aku rasa pelik. Jantan mana pulak yang dimaksudkan suamiku? Aku benar-benar tidak mengerti. Adakah dia menfitnah aku tanpa sebarang bukti? Aku menggeleng laju. Hati aku bagai tersiat-siat bila difitnah oleh suami sendiri tanpa usul siasat.
            “Aku... aku betul-betul kecewa dengan dia,”
            “Kau ingat kau seorang saja yang kecewa dengan perangai kau tu?” Pantas aku membuka pintu bilik. Kelihatan wajah Zuhairil seperti pucat lesi melihat aku yang menegurnya secara tiba-tiba. Terkejut mungkin dengan kehadiran aku. Apa? Ingat aku hantu ke?
            Air mata masih tetap tidak putus menggelongsori pipi.
            “Kau cakap apa ni, Ril? Kau tuduh aku tanpa soal siasat? Kau terus menghukum aku dan sebenarrnya, dah lama niat kau nak balas dendam dengan aku, kan?!” Lantang aku mengeluarkan rasa tidak puas hati terhadapnya.
            Zuhairil hanya berdiam sahaja. Tetapi, nampak benar wajahnya kelihatan kemerahan dek menahan marah. Aku kenal Zuhairil. Tunggu masa saja dia akan meletup. Sikap panas baran Zuhairil tetap tak pernah hilang. Walaupun begitu, dia tidak pernah mengangkat tangan untuk menyeksa tubuhku. Langsung tidak pernah menjetik aku walau sekali. Itu sahaja yang aku benar-benar kagum akan dia. Cuma kata-kata pedasnya saja yang membuat hatiku begitu sakit sejak dari perkenalan kami. Mengapa kau tak pernah mahu berubah, Ril?
            “Kalau niat kau ingin kembali kepada aku gara-gara nak balas dendam, aku rasa, kau dah dapat apa yang kau nak. Kau betul-betul dah menang sekarang. Kau nak tahu kenapa? Sebab aku cintakan kau!” Ungkapku lantang. Aku memegang dada yang begitu sebal. Sampainya hati kau, Ril! Sanggup kau menyeksa aku sebegini.
            Tanpa menunggu di situ, aku pantas keluar dari rumah. Di belakang, aku masih dengar jeritannya, panggilannya. Tetapi langsung aku tidak endahkan. Aku meneruskan langkah membawa luka yang dalam. Mata yang kabur dek air mata, aku biarkan saja.
            Aku keluar menuju ke laluan kecemasan dan berlari ke parkir kereta tanpa menghiraukan panggilannya sejak tadi.
            “Erfina! Jangan!”

            Aku pantas berpaling ke belakang dan ketika itu, mataku terbuntang melihat objek yang akan merempuhku dalam beberapa saat sahaja. Ya Allah! Kereta!

4 comments:

  1. Sambung lagiii....lama tggu TSC...

    ReplyDelete
  2. The end ke chapter ni :(

    ReplyDelete
  3. Sambung lah lagi.. kalau nak menulis, buat cara nak menulis. orang menyampah lah nak kena tunggu lama lama . Tak dinafikan cerita awak karang ni best, cuma awak tak berdisiplin dalam menghabiskan karya awak ni.. pls berubah.

    ReplyDelete
  4. Jgnlah marah kt writer smpi mcm tu skali..mgkin die ade problem..kita x tau ape masalah die..to miss writer keep it up..saya akan tggu smbgn cite ni..

    ReplyDelete