Aku berusaha menarik lengan yang hampir sahaja rasa nak putus. Nick menggenggam lenganku erat. Adoi! Mesti berbekaslah lengan aku ni dibuatnya.
“Ish! Lepaslah! Awak ni tak ada rasa belas kasihan ke? Sakitlah!” Apabila sudah mula merungut beberapa kali barulah Nick melepaskan pergelangan tanganku. Sempat mataku memberi jelingan tajam kepadanya sambil menggosok-gosok pergelangan tangan berharap agar dapat mengurangkan kesakitan itu. Aku mendengus kasar.
Nick masih belum berpuas hati dengan perkara semalam. Aku pula asyik mengelakkan diri dari bertemu dengannya di pejabat. Walau sejauh mana aku lari, dia tetap masih mahu mengejar.
Aku mencuba nasib dengan membawa diri lari ke sekitar taman KLCC dan tanpa aku duga, sampai sahaja di jambatan kecil berdekatan dengan kolam renang ditaman tersebut, Nick bergerak menghampiriku. Seterusnya, korang tahu-tahulah apa yang terjadi. Aku menilik pergelangan tangan yang sedikit merah. Lelaki ni nak dera orang ke apa?
“Tahu pun sakit. Habis, awak tak dapat rasa ke apa yang saya rasa? Awak larikan diri dari saya lagi sakit rasanya berbanding ini, tau tak?” Nick seperti sudah naik berang denganku. Raut wajahnya juga tampak serius. Cepat-cepat aku mengalih pandangan dari matanya yang masih galak memerhati raut wajahku.
“ Awak nak apa lagi Nick? Hari-hari saya tak aman saja bila ada awak.”
“Huh!” Nick mendengus marah. Nick bercekak pinggang.
“ You owe me some exlaination Risya. Why are you doing this to me? Apa salah saya? Kalau awak asyik nak melarikan diri dari saya, semua ini tak akan selesai! Awak ni dah 26 tahun, and you still acting like a kid!”
“Memang saya macam budak kecik! Awak tak puas hati ke?” Aku menengkingnya kembali. Aku akui, walau sudah berumur panjang, tapi sikapku masih seperti budak kecil. Tapi, aku bukan saja-saja ingin melarikan diri daripadanya, aku cuma mahu mengelakkan diri dari merasa sakit hati.
“ Memang saya tak puas hati! Awak larikan diri dan langsung tak memberi peluang kepada saya. Siapa yang puas hati?” Aku hanya mendiamkan diri. Seluruh badanku sudah menggeletar menahan rasa amarah di hati. Aku tahankan sahaja dan cuba untuk menenangkan hati dengan berzikir.
“Apa masalah awak hah?! Asal sahaja ada salah faham di antara kita berdua, awak cuba untuk larikan diri. Cuba bersikap matang Risya! Semua benda boleh dibawa berbincang bukan?”
“Apa lagi yang perlu kita bincangkan? Cuma awak sahaja yang berfikiran sebaliknya. Awak ingat saya suka kalau orang asyik mengejar saya? Lebih-lebih lagi dengan lelaki yang tak faham bahasa langsung macam awak!” Nick mengetap giginya. Lama matanya merenung tajam pada mataku. Terasa panahan matanya menusuk terus ke kalbu. Sakit!
“Iya, memang saya tak faham bahasa. Malah, saya langsung tak faham awak. Dan sekarang, saya mahukan penerangan dari awak. Sebelum ini, kita baik-baik aje, dan kenapa selepas saja awak keluar dari bilik pejabat saya hari itu, sikap awak berubah serta-merta. Malah, kata-kata awak hari tu, masih saya ingat sampai hari ini. Penipuan, lakonan? What the hell?!”
Mataku mula kabur. Air jernih sudah bertakung di kelopak mata menunggu masa nak gugur sahaja. Aku terasa hati bila Nick sudah menengkingku. Aku menunduk tidak mahu bertentang mata pun dengan lelaki itu. Terasa sedih hati ini. Akhirnya jatuh juga air mata yang bergenang tadi.
“ Risya, bukan niat saya mahu memarahi awak. Cuma saya keliru dengan layanan awak. Kalau benar saya bersalah, katakan sahaja kepada saya.”Suara Nick mula mengendur. Apabila tiada langsung niatku ingin bersuara, dia mengeluh lemah. Aku masih tidak mahu memberitahunya tentang perkara sebenar. Kalau aku memberitahunya, Nick pasti berfikiran lain. Kenapa pula aku perlu ambil kisah tentang perbualannya di telefon tempoh hari? Kenapa perlu aku berasa sedih dengan gelaran yang digunanya untuk memanggil orang di talian itu? Aku masih tidak memahami apa yang aku alami sekarang.
“Risya, dalam hati awak, tidak ada ke sekelumit kepercayaan kepada saya?” Soalnya sambil mata masih merenung wajahku. Aku mendongak sekilas memandang wajahnya dan aku menunduk kembali.
Nick terasa begitu sedih melihat reaksi Risya. Memang langsung tiada kepercayaan Risya pada dirinyakah? Hatinya rasa dicarik-carik kini. Kenapa dia masih tidak percaya dengan dirinya? Adakah dia masih tidak dapat melihat betapa ikhlasnya hati ini mencintai dirinya? Hati Nick terasa disiat-siat, kecewa! Hampir sahaja air mata lelakinya ingin gugur, tetapi ditahannya. Dia tidak mahu Risya melihat kelemahannya.
Nick mengangguk perlahan. “Selama ini... Apa yang saya lakukan untuk awak, langsung tidak berbekas ke di hati awak? Selama ini, hanya saya yang mendambakan cinta awak. Awak masih tidak mahu memandang diri saya pun, kan? Ternyata usaha saya hanyalah sia-sia.” Sejurus dia mengungkap kata-kata itu, makin ralit mataku mengeluarkan cecair jernih dari kelopak mata. Ingin sahaja aku menindakkan kata-katanya. Tetapi, tiada satu pun ayat yang terkeluar dan hanya tersekat dikerongkongku sahaja.
“ Walaupun awak masih belum bersedia untuk membuka hati untuk saya, tetapi, kenapa begitu sukar untuk meraih kepercayaan dari awak, Risya? Sedikit sahaja, langsung tak ada ke rasa percaya terhadap saya?” Rintih Nick seakan-akan merayu kepadaku agar mempercayai dirinya. Aku masih tidak menggeleng, tidak mengangguk juga. Soalan itu dibiarkan sepi.
Aku sendiri masih sukar mahu mempercayai dirinya, patutkah aku berterus-terang di saat dia sering mengejar meraih cinta dariku? Wajahnya begitu tulus dambakan cintaku tetapi, kenapa susah benar ingin mempercayai lelaki di depan ini? Soalan itu menerjah di akal fikiran. Di dalam hati menyatakan dia benar-benar tidak menduakan diriku, tetapi, kenapa akal fikiran masih berkata sebaliknya? Aku bungkam sendiri. Sudahnya, aku diam membatu.
“Saya masih boleh menjelaskan perkara sebenar sekiranya benar salah faham yang saya fikir ini terjadi disebabkan kejadian hari itu. Tetapi, bagi saya, apa gunanya kalau awak langsung tidak mempercayai kata-kata saya sekiranya saya benar-benar tidak menipu awak...‘dear’?” Laju bola mataku memandangnya. Aku melongo. Bagai memahami apa yang dimaksudkan dengan ayatnya itu, aku akui. Ya, benar katanya, semuanya hanya disebabkan gelaran ‘dear’ itu.
“Sudahlah Risya. Saya tahu awak marah kerana menyakiti awak. Maafkan saya. Maafkan saya kerana memalukan awak di depan orang sekeliling. Sekali lagi, kita dah buat ‘adengan’ di sini. Maghrib akan berkumandang tidak lama lagi, saya harus berunsur pergi sekarang. Jangan lupa untuk solat. Assalamualaikum.” Pantas sahaja kakinya melangkah dan menjauh kelibatnya di sebalik pengunjung-pengunjung yang mula ramai di taman KLCC itu. Lambat-lambat aku menjawab salamnya.
“Erisya!” Hilang segala bayangan 4 hari semalam. Malah, itulah kali terakhir aku berjumpa dengannya minggu ini. Kak Hasnah memaklumkan kepadaku bahawa Nick telah ke Seoul untuk menguruskan projek selama 1 minggu. Tak tahu apa pentingnya kak Hasnah memaklumkan tentang jadualnya kepadaku. Tetapi, sedikit sebanyak, kerisauanku mula terubat.
Aku mendongak melihat dispatch yang masih setia menantiku. Di tangannya terdapat sejambak bunga mawar merah dan terselit sebuah kad berwarna pink. Setelah bunga bertukar tangan, jambakan bunga mawar merah itu diletakkan di atas mejaku. Aku menarik kad dan membacanya.
Can’t wait for this weekend. It’s a date!-F.I.Z
Aku terasa jelik pula membaca bari-baris perkataan itu. Melihat singkatan nama yang tertera dihujung ayat, aku sudah tahu siapa pemberinya. Lelaki itu masih tak serik-serik juga ingin mengajakku keluar. Sehinggakan aku naik lemah dengan rayuannya. Dan akhirnya aku bersetuju untuk berjumpa dengannya hari sabtu ini di tasik Shah Alam seksyen 2.
“Kenapa pilih tempat tu?”
“Saja. Ingin mengimbas kembali kisah kita dulu-dulu.”
Itulah alasan yang diberinya. Katanya lagi, ada sesuatu yang perlu dia beritahu kepadaku. Aku malas mahu ambil pusing pun. Bagiku, kalau dia sudah diberi kebenaran dari isterinya, jadi aku akan setuju untuk keluar berdua bersamanya. Ada juga aku menyuruh dia membawa isterinya sekali, tetapi dia seakan-akan endah tak endah sahaja. Sikap Iz semakin hari semakin aneh. Acap kali menyuruh aku menemaninya makan bersama. Mujurlah kelibat Nick tiada ketika ini. Mahunya bertambah-tambah salah-faham antara kami.
Aku juga sudah mengetahui hujung pangkal mengapa Iz boleh berada di sini. Rupa-rupanya, syarikat yang bernama Maju Jaya Sdn Bhd itu merupakan syarikat bapa saudaranya, yang juga ada kaitan dengan Nick. Kira projek yang mereka tengah uruskan ini merupakan kerjasama di antara persaudaraan. Kompleks juga pertalian mereka ini.
“Bunga dari Iz lagi ke?” Soal kak Hasnah di sebelah. Aku mengerling ke arahnya dan mengangguk. Kak Hasnah sudah menarik muka tak puas hati.
“Hish! Aku tak sukalah dengan lelaki tu. Naik meluat aku tengok dia, walaupun muka dia tu comel. Tetapi, mengikut cerita kau, dia tu dah ada bini kan? Kenapa pula dia nak beri bunga segala? Nak kata dia beri atas nama kawan, tak juga! Mawar merah pulak tu. Paling tidak, orang akan salah tafsir dengan bunga mawar yang berwarna merah ni. Kalau dulu, Niii....Ehh, mat gajah gatal kau beri kau sejambak bunga ros putih dan akan terselit 3 mawar merah. Hah! Itu baru romantik namanya.” Kak Hasnah sudah mula melalut dengan ketidak puasan hatinya tentang Iz.
Memang tak aku sangkal, kalau dulu, Irah, Nurul dan Hana juga akan berasa sebegitu.
“Kak, sudah-sudahlah tu. Tak baik kita salah sangka kat orang. Mana tahu, dia beri sebab Risya ni kawan dia. Yalah, lama juga kami tak berhubung. Mana tahu, dia nak hubungan persahabatan ini dieratkan semula. Dapatlah Risya berkenalan rapat dengan keluarganya kembali. Akak kan tahu, adik-beradik dia pun kenal Risya.”
“Macam mana kalau apa yang akak rasa tu betul? Lelaki ni Risya, bukan boleh percaya sangat. Cuma, sesetengah lelaki yang benar-benar kita kenal dan ada niat ikhlas untuk rapat dengan kita, bolehlah kita percaya. Akak rasa dia ada agenda dia sendirilah.”
“Hish! Akak ni, jangan fikir yang bukan-bukanlah.” Tegahku kepada kak Hasnah. Terherot-herot bibirnya bila marah. Kak Hasnah kembali menyambung kerjanya. Aku mengalih bunga mawar itu dan mencari pasu kosong. Aku menarik laci meja satu-persatu dan perbuatanku terhenti melihat barang di dalam laci mejaku. Ada sekuntum bunga putih yang sudah kering, pemberian pertama dari Nick ketika dia mengetahui siapa diriku sebenar.
Aku mengeluarkan bunga kering itu dan juga kad yang masih melekat di plastik bunga itu.
Tak baik menipu tau budak kecik!- Mat Gajah Gatal
Terbit senyuman di hujung bibir saat mengingat kembali kejadian-kejadian yang berlaku di antara kami dulu. Cara Nick mendekatiku sering sahaja mencuit hatiku. Hampir sahaja mataku berendam dengan air mata. Cepat-cepat aku seka sebelum dilihat oleh staf di sekeliling. Aku menyimpan kembali bunga mawar ke dalam laci. Ya Allah, apa khabar dia di sana? Masih kah dia marah denganku? Apakah masih ada sekelumit rasa percaya terhadap dirinya? Aku masih buntu dalam mencari jawapannya.
***********************************************
Nick bersin sekali lagi. Sudah 2 hari dia diserang selsema. Qalisha menggeleng-geleng melihat sepupunya. Dia menyerahkan sekotak tisu kepada Nick.
“Thanks.”
“Abang Nick ni, macam mana boleh terkena selsema? Nak kata abang Nick kena kejutan suhu di negara orang, tak jugak. Sebab, abang Nick dah lama menyesuaikan diri dengan suhu sejuk macam ni. Abang pun jarang kena demam. Tapi, datang je ke sini, abang terus demam panas. Asal? Ada masalah dengan aweks ke?” Sengaja dia menguatkan perkataan awek ditambah dengan bunyi ‘S’. Tahu perangai abang saudaranya bak romeo itu. Beberapa bulan lalu, mereka pernah bercerita tentang seseorang yang telah menambat hati kasanova ini. Qalisha memetik jari.
“Hah! Ni mesti pasal perempuan yang bernama, Rina? Risah? Rita?” Qalisha cuba menyebut nama-nama yang dia kira hampir dengan nama yang pernah disebut oleh Nick suatu ketika dahulu.
“Erisyalah, Qal.” Sebut suara lelaki yang baru menampakkan diri di ruang tamu itu.Mata Nick masih tidak lepas dari memerhati gerak langkah lelaki itu. Kemudian, lelaki itu menghenyakkan punggung di sebelah Nick.
“Betul tak Nick?” Soal gerangan itu lagi. Nick sedaya upaya menguntum senyuman tetapi cepat-cepat mati bila dia terasa hidungnya gatal ingin bersin sekali lagi. Lelaki itu sudah menggeleng-geleng dan menyerahkan ubat selsema kepada Nick.
“Nah, makan ni. Kau dah makankan? Baik lepas makan ubat, terus tidur. Esok nak jumpa dengan client, masih tak baik lagi, apa pula diorang akan kata.”
“Alah, bang Emir rileklah. Qal baru je nak gosip-gosip dengan abang Nick ni, abang Emir dah nak halau dia. Tak syoklah! Kita sambung pasal tadi, abang Nick sebenarnya dah kenapa? Nak kata abang ada urusan di sini sampai seminggu tak jugak. Abang Emir pun cakap, esoklah hari last berjumpa dengan client. Tup tup, abang ambil cuti seminggu kat Korea ni. Abang dengan kak Risya bergaduh ek?” Tebak adik saudara kepada Nick dan juga Emir. Nick menelan air liur kelat. Betullah perasaannya tidak dapat disembunyi. Lalu, hanya keluhan yang menjawab semua persoalan.
Emir menyilangkan tangan rapat ke dada. Ingin mengurangkan rasa sejuk walaupun sudah dipasang pemanasnya. Suhu di Korea sangat sejuk di waktu malam. Mungkin mencecah 0 degree Celcius. Mata Emir masih tidak lepas dari memandang adiknya. Baginya, bila si adik merasa sakit, dia juga turut sama merasakannya. Di depannya kini, bila dia memandang Nick, dia seperti memandang dirinya sendiri. Adik kembarnya dilihat mendung sahaja raut wajahnya.
“Haaii. Inilah padahnya, si kasanova Romeo, mencintai si jelita Juliet. Abang Nick sekarang dah merasa peritnya ditolak mentah-mentah, bagus lah!” Qalisha memeluk dirinya dengan senyuman bangga.
“Aish! Kau nikan, menyebelahi pihak siapa? Aish!” Nick mengangkat tangannya ingin menyekeh kepala sepupunya itu.
“Hah! Nak sekeh orang, sekehlah. Padan muka abang Nick. Siapa suruh mempermainkan perasaan perempuan dulu? Sekarang kan dah kena. Macam mana rasanya? Sakit, perit, kecewa, rasa macam tersiat-siat kan hati ni?” Qalisha masih tidak mahu mengalah. Tangannya menolak-nolak lengan Nick agar menjauhi kepalanya. Nick menjengilkan matanya, Qalisha juga membalas sama. Emir sudah tergelak melihat keletah mereka berdua. Macam budak kecik!
“Yalah yalah. Abang Nick yang salah. Apa kata orang, buat jahat dibalas jahat, buat baik dibalas baik.”
“Tahu tak pe.” Cantas Qalisha sambil tersenyum sungging.
“Tapikan, abang rasa, sepanjang bersama dengan Risya, perasaan ni tak semestinya sentiasa kecewa. Ada rasa, gembiranya, bahagia jugak. Macam, perasaan abang ni terbalas. Cuma, tak pasti sama ada betul ke tidak.”
“Abang Nick, orang cakap, follow your heart. Sometimeskan, abang kena dengar juga kata hati abang tu. Abang cakap kak Risya sering mengelakkan diri dari abang kan? Tapi, pada masa yang sama, ada juga masanya dia bersama dengan abang. Abang tak rasa ke apa yang Qalisha rasakan?” Semua mata kini terarah pada Qalisha. Qalisha menjeling sekilas.
“Rasa apa, Qal?” Soal Emir.
“Rasa...rasa sejuk sangat bilik ni macam freezer. Brrrr...”
“Kau suka sangat buat saspen orang kan? Ingatkan apa? Hish! Memang tak boleh layanlah budak mentah macam ni.” Nick mengambil bantal peluk disisi dan dibalingnya ke muka Qalisha. Mengekek Qalisha tertawa. Bantal yang dibaling tadi, dipeluknya sambil kaki sudah bersila di sofa.
“ Betul kata Qalisha.” Emir juga tidak mahu ketinggalan ingin mengenakan adiknya. Dia diam tidak bersuara, sengaja ingin menarik perhatian semua.
“Apa yang betulnya bang Emir?” Nick menanya pula.
“Bilik ni sejuklah. Brrrr...” Emir mengajuk seperti Qalisha yang tidak tahan kesejukan tadi. Sekali lagi, bingit ruang tamu itu dengan gelak tawa mereka.
Muka Nick sudah cemberut dan mula tersenyum. Ah! Hidupnya akan sunyi tanpa mereka. Tisu ditangan mengelap hingus yang hampir mahu meleleh. Pernafasannya sedikit terganggu dengan hingus itu.
“Okey. Sekarang serius. Apa yang sebenarnya yang Qalisha nak sampaikan tadi?” Nick masih mahu mendengar pendapat dari gadis yang masih belum menamatkan pembelajarannya dalam bidang perundangan di situ.
“Emmm...Abang cakap kak Risya sering elakkan diri dari abang, dan dia masih juga mahu melayan abang dengan baik. So, Qal fikir sebenarnya kak Risya ni mungkin ada sejarah silam mengenai kisah percintaan. Betul tak?” Tepat sekali. Memang Nick tahu akan kebolehan sepupunya itu. Emir mengangguk kagum.
“Yup! Dia sebenarnya pernah cintakan abang Iii.. Emmm..Ini ada sorang abang ni. Tapi, Risya macam boleh get over him. Dia pun dah cakap, dia masih belum bersedia lagi.”
“Tepat sekali! Sebab takut kisah lama berulang lagi, bang Nick. Kalau Qal pun akan berasa takut nak bercinta. Nak serahkan hati pada seseorang ni susah sebenarnya. Lebih-lebih lagi kat playboy macam abang Nick. Siapa tak takut? Nak percayakan abang apa tah lagi.” Nick menggigit bibirnya dan menjengilkan mata ke arah Qalisha. Emir masih setia mendengar.
“So, macam mana? Macam mana nak buat dia percaya kat abang?”
“Abang Nick, Qal rasalahkan. Kak Risya tu macam main tarik talilah. Sekejap dia baik dengan abang. Sekejap dia lari dari abang. Hmmm...”
“Betul! Dan satu lagi, abang rasa dia mungkin cemburu kot...”
Qalisha....
“Hah?! Cemburu? Bila? Bagaimana?” Soal Qalisha bertalu-talu. Nick menceritakan semua yang terjadi ketika di pejabat tempoh hari dan ketika di taman KLCC.
“It’s seems like she has some feeling for you.” Ucap Emir sesudah saja mendengar cerita sebenarnya. Qalisha mengusap-usap dagunya bagai ada sahaja janggut sejemput di situ.
“Abang Nick, apa kata abang test kak Risya?”
“Test?
Qalisha mengangguk laju. “ Test kak Risya. Make her jealous!”
************************************************************
Sesudah sakan bercerita, Qalisha akhirnya meminta diri dan langsung ke bilik ingin tidur. Nick dan abangnya masih duduk di ruang tamu. Berbincang apa sahaja hal semasa dan hal lain.
Emir bergerak ke dapur dan seketika kemudian dia kembali ke ruang tamu dan menyerahkan segelas coklat panas dan segelas air suam kepada Nick.
“So, papa dah decided untuk suruh abang kendalikan syarikat bersama Nick di KLCC tu.” Nick mengangguk sambil menghirup air coklat panas.
“Is it okay with you Nick?”
“Abang Long, abang sepatutnya dah lama kendalikan syarikat tu. Dah memang syarikat tu tok Idham tubuhkan untuk anak cucu dia. Untuk pewaris dia, jadi Nick rasa, persoalan okey tak okey tu, tak perlulah dibincangkan lagi. Dah sahih anak lelaki yang tua patut mengambil alih syarikat. Cuma sayang, anak pak Long bukannya lelaki. Syarikat yang sememangnya akan diserahkan kepada anak pak Long sudah diturunkan kepada kita. Gara-gara anak pak Long hanya ada Fazura. Tambahan pula, Fazura bukannya minat bidang ni. Yang dia tahu, fesyen, modelling. Bab-bab tu, memang dia pakarlah. Nak diserahkan syarikat kepada orang yang tak pernah pegang skru, memang hancur merundumlah syarikat tu dibuatnya.” Emir tersengih mendengar bicara Nick berkenaan sepupu mereka yang seorang itu. Siapa tidak kenal dengan model terkemuka Fazura?
“ Yang di dalam tu pulak, mulut dia tak sudah. Pot pet pot pet. Tak berhenti! Mahunya menang sahaja, tak pernah nak kalah. Masa yang aman ialah masa dia tengah tidur. Macam sekarang ni. Ha ha ha.” Nick tergelak kecil mengingatkan kerenah dan perwatakan kedua-dua sepupu mereka yang berbeza bagai langit dan bumi itu. Qalisha merupakan anak kepada mak usunya yang berada di Klang menguruskan butik di sana.
Mereka senyap seketika mengenangkan ahli keluarga.
“Abang long dengan papa akan berpindah ke KL bila?”
“Insya-Allah, minggu depan. Lagipun, Tina nak menguruskan hal pernikahan abang dengan dia yang akan diadakan 2 bulan lagi.”
“Bertuah abang long mendapat kak Tina. Ayu aje orangnya. Berbudi bahasa pulak tu. Dan yang penting, dia menyayangi abang long. Syukurlah.”Ujar Nick apabila wajah tunang abang longnya menerjah di fikiran. Mereka sudah lama mengenali Tina semenjak di US lagi. Tina yang juga sekelas dengannya telah terpaut pada abangnya. Memikirkan kisah lama membuat Emir tersenyum panjang.
“Kau pun apa kurangnya Nick. Kejarlah dia sehabis boleh. Jangan mengalah, tetapi kalau sudah takdir dia bukan jodoh kau, maka kau berundurlah demi kebahagiaannya. Tak lari gunung dikejar.” Dalam diam dia bersetuju dengan ungkapan Emir itu. Kalau sudah jodoh, dia pasti akan menjadi miliku.
“Dan satu lagi, cinta tak pernah menipu. Ia pasti akan datang sendiri. Jangan terlalu memaksa dia. Risya mungkin memerlukan masa untuk memikirkan siapa yang layak berada di hatinya. Dan mungkin kenangan lalu menggamit perasaannya agar lebih berhati-hati dalam memilih. Hei, kenapa kita tidak biarkan takdir menentukan perjalanan kisah hidup ini? We never knows what would happen after this. Just enjoy ourself while we still can. But, make it run smoothly with the help of Almighty.” Emir menepuk bahu adiknya dan berlalu pergi ingin membiarkan Nick memikirkan segala kata-katanya itu. Nick kelu tidak bersuara. Lama-lama, ayat abangnya itu tersemat di mindanya.
**************************************************
Aku mengerling jam di tangan. Sudah 5 minit berlalu masih tiada juga lelaki itu di sini. Cuaca yang sedikit panas dan berangin memang sesuai untuk para pengunjung ke tasik Shah Alam beriadah serta meluangkan masa bersama keluarga. Sambil menikmati keindahan alam dan menghabiskan masa bersama orang yang tersayang. Malah, pasangan kekasih juga ramai yang melepak di sini. Hari minggu memang ramai sahaja yang akan mengunjungi tasik Shah Alam berdekatan dengan Wet World water park ini.
“Sorry lambat sampai. Ada jam tadi kat Federal highway. Biasalah tu.” Aku mengangguk sahaja. Sebenarnya, aku masih belum pasti kenapa perlunya aku berjumpa dengan Iz di sini. Aku perasan sesuatu yang kurang apabila mata menilik wajah Iz di depanku.
“Isteri kau tak nak ikut ke?”
“Emmm... Risya, haus lah. Jom kita ke gerai tu. Nak beli air kejap. Kau nak keropok lekor tak? Aku belikan ya?” Soalanku tadi langsung tidak berjawab. Aku rasa sangsi dengan sikap Iz seperti melarikan diri dari persoalanku tadi.
Dalam beberapa minit kemudian Iz kembali mendekatiku yang duduk di salah satu bangku berdekatan. Dia menyerahkan cawan kertas dan keropok lekor. Kemudian dia kembali semula ke gerai dan di tangannya ada semangkuk cendol.
Duduk sahaja Iz di sebelahku, dia mengacau ais cendol dan dihirupnya sedikit.
“Risya, kau ingat tak masa kita duduk di bangku yang sama sambil menghirup cendol ni? Lepas tu, kau ingat tak, aku pernah berjanji kat kau nak belanja kau cendol? Tengok-tengok, aku belanja kau cendol, kau belanja aku 2 bungkus keropok lekor. Bila difikir semula, kau yang banyak berbelanja berbanding aku. Ha ha ha.” Tawa Iz aku biarkan sahaja. Sejarah lama itu memang masih segar diingatanku, tetapi entah kenapa, tak tercuit pun hati ini ingin bergelak tawa bersama. Melihat diriku yang masih membisu sambil menyedut air melalui straw di tangan, menyebabkan tawa Iz serta-merta berhenti.
Kini pandangan Iz tepat pada wajahku. Aku membiarkan sahaja. Kalau dulu, pandangan itu yang aku mahu, pandangan itu yang aku idamkan tetapi sekarang tidak pula.
“Iz, kau cakap kau nak beritahu aku sesuatu. Apa dia?”
“Risya, kau ni tak menyempat lah. Biarlah kita habiskan semua ni dulu. Lepas tu, kita ambil angin sekejap sambil berjalan-jalan di sekitar tasik, ya?” Dalam diam aku melepaskan keluhan.
Kami beredar dari gerai dan berjalan ke arah laluan yang memisahkan Wet World dan tasik. Tiba-tiba Iz terhenti. Iz bergerak mendekati palang biru yang menjadi penghadang antara laluan jalanan dan juga tasik. Iz sudah melompat ke atas palang tersebut.
“Jom kita duduk di sini?”Ujar Iz setelah melimpasi palang biru tadi. Terdapat ruang yang boleh memuatkan punggung kami untuk duduk di sisi tasik itu. Kaki Iz sudah melunjur tergantung sebelum mencecah air tasik. Aku ikut sama duduk di sebelahnya.
“Kita pernah duduk di sini, tempat yang sama suatu ketika dulu. Dan, aku masih ingat lagi, sandal kau terjatuh ke dalam tasik ni. Ha ha ha. Nasib baik kau dapat ambik semula, kalau tidak, memang sebelah kaki kau berkaki ayamlah jawabnya. Sandal pun dah hanyut. Lucu betul waktu tu.”
“Iz, kenapa kau nak cerita semua benda yang dah lepas?” Aku memintas kata-katanya. Masih hairan dengan sikap Iz yang tidak lekang dengan menceritakan kisah lama kami ketika masih bergelar pelajar.
“Risya, kau tahu tak betapa aku rindukan saat itu? Betapa aku menyesal kerana tidak menghargai masa-masa kita bersama?”
“Iz, apa yang kau merepek ni?”
“ Risya, aku tak sepatutnya melayan kau dengan buruk sekali. Maafkan aku.”
“Iz, bagi aku semua yang dah lepas tu, biarlah lepas. Semua tu hanya kenangan lalu yang ingin mengajar kita menjadi orang dewasa yang matang. Aku dah lama memaafkan kau. Kau kan kawan aku?” Iz membisu. Matanya merenung ke arah tasik. Kemudian, wajahnya diangkat dan kami berpandangan satu sama lain.
“Aku terlalu mementingkan diri sendiri, Risya. Aku sepatutnya menghargai orang yang benar-benar menyayangi diriku sepenuhnya, bukannya menjauhkan diri dari orang itu.” Kata-kata Iz membuatkan aku tersedar sesuatu. Kata-katanya itu membuat aku teringat pada satu nama, Nick!
Aku mengeluh lemah. “ Jadi, apa yang sebenarnya yang ingin kau sampaikan kepada aku?” Aku masih menanti Iz untuk bersuara.
“Dia...Dia dah tinggalkan aku, Risya. Is pergi meninggalkan aku kerana dia tak dapat melupakan kekasih hatinya dulu. Aku kecewa Risya. Mungkin inilah pembalasan terhadap layanan buruk aku kat kau. Ya, aku patut mendapat balasan ini.” Aku melongo mendengar pengakuan Iz tentang isterinya.
“Be..berapa lama dia dah tinggalkan kau?”
“Hampir 3 bulan yang lalu. Aku sedih Risya. Sanggup dia meninggalkan aku semata-mata ingin menyambung kasih yang pernah terputus suatu ketika dulu bersama bekas kekasihnya. Aku benar-benar terkilan dengan perbuatannya itu.” Iz menunduk sambil menggenggam tapak tangannya. Aku membiarkan sahaja Iz melayan diri. Ingin biarkan sedihnya berlalu pergi. Aku berasa kasihan mengenangkan nasibnya. Tidakku sangka, Iz diduga sebegitu. Pasti perit rasanya bila seseorang yang sudah mempunyai ikatan dengan kita pergi bersama orang lain. Jika begitulah nasib, aku ingin lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup. Demi kebahagiaanku juga.
**********************************************************
Selepas perjumpaan itu, hubungan aku dan Iz kembali rapat. Walaubagaimanapun, aku masih sedar batasan antara kami. Tidaklah sebegitu rapat mana pun. Cuma sekadar rakan sepejabat. Dia juga sering mengajakku keluar. Tetapi, kenapa aku rasa tak sedap hati sahaja bila bersama dengan Iz?
Malah, aku tersedar sesuatu, cara layanan Iz terhadapku lain benar berbanding ketika kami bersama dahulu. Lagaknya lebih kepada ingin memikat hatiku. Iz juga sudah berubah menjadi seorang yang begitu ‘gentle man’ kepadaku. Tidak lupa juga kiriman bunga pada setiap hari. Hari minggu pun dia tak pernah lupa.
“Ish! Tiap-tiap pagi, mesti ada bunga bunga bunga. Kenapa tak bagi coklat ke? Beras ke? Minyak masak ke?” Farina sudah melalut di pagi hari. Hari minggu sebegini, Farina memang melekat di rumah. Manakala, kak Hasnah dan Nurul sudah keluar awal-awal pagi tadi.
“Siapa pemberinya? Mesti Izkan? Eeeii.. Dia nak apa pulak kali ni?” Farina sudah menjawab sendiri soalan yang dia kemukakan kepadaku sebaik sahaja aku menarik kad dari bunga yang diberi oleh Iz.
“Hui! Apa jadi dengan abang sayang akak ya? Dia tak ada mesej akak ke?” Aku menggeleng. Seminggu sudah berlalu, masih tiada kelibatnya di pejabat. Terasa kosong hari-hariku di pejabat. Kenapa dia masih belum balik lagi? Aku tahu, dia pasti masih menyimpan rasa marah disebabkan aku langsung tidak mempercayai dirinya. Salahkah kalau aku ingin berhati-hati dalam mempercayai seseorang yang bernama lelaki?
Telefon bimbitku juga sudah sepi tanpa panggilannya dan mesej darinya. Hanya panggilan dan mesej dari Iz yang banyak memenuhi memori telefonku.
“Senyum selalu agar hati mu sentiasa bahagia dengan pemberian dariku, Iz. Ish! Rasa meluat, rasa nak keluar sahaja morning sickness aku bila baca ayat dari kad ni. Kak Risya, Iz ni mesti nak mengorat akak kan?”Ya! Memang benar kata Farina, Iz seperti ingin mengoratku. Malah segala katanya kedengaran romantik belaka. Ayat manis!
“Akak, akak masih tak boleh lupakan abang Iz tu ke?” Mataku beralih dari jambakan bunga dan tepat pada wajah manis itu.
“ Akak cuma anggap dia sebagai kawan sahaja. Tak lebih dari itu. Takkan lah kita nak lupa kawan kot?”
“Tapi kak, dia tu berniat lain. Tengok daripada caralah kan? Dia tu memang nak pikat akak. Akak, Farina bukan apa, dia tu masih bergelar suami orang, dia masih belum bercerai dengan isteri dia. Kenapa dia perlu buat semua ni kalau tak nak memikat akak? Lagi satu, Farina pasti, di dalam hatinya masih ada isterinya. Kenapa perlu nak mengada-ngada dengan akak pulak? Kenapa tak cerai sahaja bini dia tu?” Muka Farina sudah merah dek marah dengan perlakuan Iz itu. Otakku juga berserabut dengan kerenah Iz. Cuma, aku diamkan saja dan tidak mahu menggelabah dalam membuat keputusan.
“Akak pun tak tahulah Farina. Keputusan dia pasal menceraikan bini dia tu terletak di tangan kedua-dua pihak. Kalaupun dia bersetuju untuk menceraikan isterinya, mana tahu di mahkamah isterinya pula tidak mahu muncul-muncul dan menangguhkan penceraian itu? Lagipun Farina, tak bolehlah kita bercakap begitu. Kita sepatutnya mendoakan supaya rumah-tangganya kekal bukannya runtuh. Tak baik mendoakan keruntuhan masjid orang.”
“Akak, memang betul cakap akak. Farina tak suka dengan cara dia tu. Dia juga salah sebenarnya kak.” Mataku beralih memandang telefon bimbit yang bergerak-gerak tanpa suara kerana aku telah memasangkan mode ‘silent’. Pasti itu Iz! Aku mengeluh lemah. Ya Allah, apa pulak yang dia nak kali ini?
********************************************
Aku dan Iz berjalan-jalan di sekitar kedai di Sunway Pyramid. Iz mengajakku keluar makan dan dia memilih restoren yang menghidangkan masakan korea yang halal di The Street Cafe. Di tangannya menggenggam kamera DSLR jenama Nikon. Iz nampak leka dengan kameranya itu.
“Cuba kau tengok ni, okey tak?” Iz mengunjuk gambar yang tertera di kamera DSLRnya.
“Okey la.” Jawabku ala kadar. Aku menolak-nolak nasi yang masih tidak luak pun. Nak menjamah butiran-butiran nasi macam tak larat sebaik sahaja nasi masuk ke rongga kerongkongku. Kelat rasanya.
Iz memandang raut wajahku dengan berkerut.
“Kenapa tak makan nasi tu?”
“Tak lalulah Iz. Aku makan kimbab ni sajalah.” Aku mengambil chopstik dan satu kimbab selamat masuk ke dalam mulut. Lambat-lambat makanan itu ditelanku. Selepas itu, air sejuk ditegukku ingin menghilangkan rasa kelat. Semuanya gara-gara aku tiada mood untuk bersama dengan Iz hari ini. Tetapi dipaksa Iz juga ke sini. Farina pula sudah membebel macam mak nenek bila mengetahui Iz seakan-akan memaksaku keluar bersamanya.
Aku meletakkan chopstik. Belum sempat tisu diambil, tangan Iz pantas menarik sehelai tisu dari kotak tisu di atas meja dan mengelap bibirku yang sedikit comot. Aku kelu melihat perilakunya itu. Segera aku menarik tisu di tangannya. Tidak elok rasanya bila suami orang melakukan adengan yang aku kira agak ‘sweet’ itu pada diriku. Kalau dahulu, ketika dia bergelar seorang lelaki bujang, mungkin sahaja aku membiarkannya tetapi bukan sekarang. Aku mengerling sekeliling, takut pula ada orang yang dikenali melihat perbuatan kami. Mahu jadi berita sensasi pula.
“Iz, kita kat tempat public. Tak elok buat macam tu. Lagipun kita bukan pasangan kekasih.”
“ Aku bukan kekasih kau ke?” Mataku membulat dan aku terasa gugup mendengar katanya itu. Kenapa perlu aku rasa gugup sebegini?
“Ha ha ha. Aku main-main jelah. Aku kesian tengok wajah kau yang comot tu. Sorrylah kalau kau rasa perbuatan aku tu tak elok. Dahulu, aku sering mengelap bibir comot kau tu, dan kau juga akan buat perkara yang sama kat aku. Mungkin dah terbiasa kot.” Entah kenapa, terasa jelik pula bila mengingat kembali perbuatan yang pernah kami lakukan dulu. Tiada langsung perikatan antara kami, tetapi perbuatan itu tetap dilakukan. Aku beristighfar di dalam hati agar Allah mengampunkan perbuatan di luar jangkaan itu. Ketika masih muda, begitulah jadinya. Yang haram dihalalkan. Masih alpa dengan keseronokan duniawi. Aku sempat bermohon di dalam hati agar diri ini dijauhkan dari bergelumang dengan maksiat.
“Jadi sekarang kau kena ingat Iz. Kau masih bergelar suami orang. Takut pula ada orang yang mengenali kita dan melihat perbuatan kita tadi, akan dipandang serong. Pasti aje mulut orang mengata kita. Aku tak suka.” Nampak sedikit berubah memek muka Iz bila aku menegurnya.
“Iz, kita pergi bayarlah ya. Rasa panas pulak kat sini. Solat pun belum. Jangan kita melengahkan solat kita.” Aku mengeluarkan beberapa not 10 ringgit kepadanya. Aku segera beredar dari restoren The Street Cafe dan menuju ke lorong Asian Avenue.
Aku berdiri di salah sebuah deretan kedai baju di situ. Mataku asyik melihat orang yang lalu lalang. Hujung minggu pasti sahaja pusat beli-belah ini penuh dikunjungi orang ramai. Mataku masih meliar memandang kiri dan kanan. Ligat melihat orang ramai, mataku terhenti melihat siapa gerangan yang berdiri tidak jauh dariku. Dalam beberapa langkah sahaja jauhnya.
Aku tergamam melihat seraut wajah yang sering hadir di mindaku kini. Hatiku tersentap bila melihat tangan seorang perempuan memeluk lengan lelaki itu tanpa segan silu. Aku meneliti wajah perempuan di sisinya. Sangat cantik dan tinggi orangnya. Tidak terlalu seksi dan bajunya menutup tubuh badan langsingnya itu. Cuma rambut sahaja tidak dipasangkan tudung. Sekiranya tudung menutup mahkotanya, pasti aku sudah menganggap perempuan itu berasal dari Arab Saudi. Wajahnya seperti kacukan arab. Putih dan ayu.
Apabila mataku mengalih memandang lelaki itu, hatiku terasa dihiris-hiris pedih. Aku hairan dengan perasaan yang hadir ini. Kenapa aku berasa sedih melihat lelaki itu tersenyum bersama perempuan itu?
“Erisya, jom kita ke surau kat atas tu.” Sapaan Iz menyedarkan diriku. Cepat-cepat mataku mengerdip ingin menghilangkan air mata yang sudah mengaburi pandanganku.
Sekali lagi mataku melirik di tempat tadi. Eh! Tiada pula kelibat lelaki dan perempuan tadi. Betul kah apa yang dilihatku tadi? Bukankah lelaki itu Nick dan di sebelahnya ada seorang perempuan yang tidak aku kenali? Adakah itu cuma satu khayalan? Aku menggeleng kepala. Rasa pening mula menular di kepalaku.
“Kau okey tak Erisya?” Soal Iz di sebelah. Pantas sahaja aku mengangguk.
“Ya, I’m okay. Cuma pening sedikit.”
“Ermm..Ni, aku pulangkan duit kau. Aku belanja.” Iz menyerahkan not-not 10 ringgit tadi. Aku tergamam. Bukan senang mahu melihat Iz pemurah hati sebegini. Jikalau dahulu, mahu sahaja aku bertikam lidah merungut dengan sikap kedekut haji bakhil dia tu. Kini, tidak pula. Iz tersenyum lebar melihat mulutku sedikit terbuka memandangnya.
“Ikhlas dari hatiku yang inginkan kamu.” Berkerut wajahku mendengar bait-bait ayat dari Iz yang sudah jauh meninggalkanku. Ke aku salah dengar?
**************************************************
Kaki sudah terasa lenguh dan penat mula menular. Sebaik sahaja balik dari Sunway Pyramid, aku terus masuk bilik tak keluar-keluar. Perut pun masih kenyang. Tidak lalu ingin makan sebenarnya. Badanku telah selamat terbongkang di atas katil setelah bersolat Isyak.
Aku bangun dari pembaringan dan menarik bantal. Bantal aku letakkan di belakangku di kepala katil. Lampu tidur sudah dipasang awal dan lampu utama ditutup. Nampak macam romantik sahaja bilikku ini.
Farina sudah awal-awal tidur. Memang sudah menjadi kebiasaannya untuk tidur awal lebih-lebih lagi esok perlu menghadiri kelas pada waktu pagi. Terdengar bunyi getaran di sisi katilku. Telefon bimbit sudah berkelip-kelip menandakan ada pemanggil yang menelefonku.
Aku mengambil telefon bimbit dan melihat nama yang tertera di skrin. Iz! Ya Allah, aku berasa rimas benar dengan lelaki seorang ini. Balik sahaja dari Sunway, dia call. Lepas mandi tadi, dia call lagi. Masa mata belum bertutup, dia nak call lagi ke? Lagaknya seperti orang dipagut rindu sahaja. Bukankah baru sahaja kami berjumpa petang tadi? Kenapa perlu menelefonku berkali-kali?
Aku membiarkan sahaja panggilan tersebut sehingga termati sendiri. Senyap seketika. Tanganku mula bermain-main rantai di leherku. Perbuatanku terhenti sebaik sahaja mendengar getaran telefon bimbit sekali lagi. Terasa bengang dengan perbuatan Iz, akhirnya aku mengambil telefon bimbit itu dan aku keluarkan bateri. Hah! Senyap pun kau!
Aku menyandarkan badan pada bantal di belakang. Tanganku memegang rantai di leher. Aku mengusap-usap rantai itu dengan penuh kasih. Kasih? Serta-merta, wajah Nick di Sunway Pyramid bersama seorang perempuan ayu itu menerjah di mindaku. Masih terbayang-bayang senyuman kedua-dua pasangan itu. Mereka nampak begitu bahagia sekali. Tanpa sedar, mengalir juga air mata yang aku tahan tadi.
“Kenapa aku nangis ni? Nur Erisya Kamal, apa sudah jadi kat kau ni? Kenapa perlu kau bersedih sebaik sahaja melihat mereka? Entah-entah, itu cuma satu khayalan, mainan minda.” Aku cuba menenangkan diri sendiri. Makin pantas pula air mata mengalir di pipi. Aku segera menyeka air mataku.
Aku menarik bantal dibelakangku dan aku peluk seeratnya. Aku menutup mulutku dengan bantal tersebut, tidak mahu didengar dek kak Hasnah dan Nurul dari luar. Menangis tanpa bersuara lebih sakit berbanding menangis meraung kerana tangisan itu bagai disimpan dalam-dalam.
Aku menanggalkan rantai dari leher. Aku menggenggam rantai yang berloketkan hati itu. Kalau sahaja loket kunci itu ada padaku, pasti akan aku buka ingin mengetahui apa yang ada di dalamnya.
Lama tidak melihat wajahnya. Berita tentang dirinya juga aku tidak tahu. Senyap sahaja. Aku bagai tercari-cari kelibatnya. Ingin sahaja aku menelefonnya sekadar ingin bertanya khabar, tetapi aku rasa malu pula. Apa yang akan difikirnya nanti? Pasti sahaja akan disakatnya aku menjadi bahan dengkinya pula.
Kini, hanya wajahnya sahaja yang bermain di mindaku. Nick Nick Nick! Arrghh!
‘Apa yang dimaksudakn dengan perasaan yang bertandang di hati ini?’
Akhirnya, aku dibuai mimpi dengan loket yang tergenggam kemas di tangan tidak terlepas pun sehingga ke pagi.
****************************************************
Pagi itu aku terasa badanku lemah semacam. Malah, badanku terasa panas sahaja. Bila ingin menilik wajah di cermin, aku terkejut beruk. Mana tidaknya, kedua-dua kelopak mataku nampak kembang lain macam je. Bukan kembang disebabkan aku menangis malam tadi, tetapi kembang yang pelik. Ada rasa sedikit gatal di lapisan kelopak mata di bahagian atas. Seram sejuk melihat mataku kembang sebegitu. Mataku juga nampak merah dan sedikit sepet.
Aku segera menuju ke klinik dan tidak ke pejabat. Aku sudah berkira-kira untuk mengambil cuti sakit.
Aku menuju ke pusat kesihatan yang berada di UiTM kerana berada berdekatan dengan kondo Kristal ini. Setelah diperiksa doktor, doktor yang berumur dalam lingkungan 50-an itu mengesahkan bahawa aku mengalami conjunctivitis atau nak senang faham jangkitan sakit mata.
Aku diberi cuti selama seminggu kerana penyakit mata ini senang berjangkit. Mungkin sahaja penyebab sakit mata ini dipengaruhi persekitaran yang tidak bersih.Habuk atau penggunaan kanta lengkap boleh sahaja menjadi penyebabnya.
Jadi dengan berat hati(dalam hati rasa syok juga kena bagi cuti seminggu), aku menelefon kak Hasnah memintanya memaklumkan kepada ketua kumpulanku tentang perkara ini.
Ada beberapa ubat yang diberi oleh jururawat di situ dan aku segera membayarnya. Kalau dahulu, aku mendapat ubat ini secara percuma kerana aku pelajar UiTM. Kini, tidak lagi, jadi kenalah bayar.
Malam itu aku menelefon ibuku dan memaklumkan kepadanya tentang mataku yang tengah sakit ni. Hish! Anak manja benar aku ni.
“Kalau kakak diberi cuti seminggu, kenak kakak sik balit Miri jak?” Aku berfikir-fikir dengan usulan ibuku yang menyuruh aku kembali ke Miri. Memadailah aku berehat di Miri sahaja, walaupun hanya seminggu. Lagipun, sudah lama hajat itu inginku lunaskan. Jadi aku bersetuju dengan cadangan ibu dan bercadang ingin ke Miri hari esok.
Seperti biasa, tiket akan aku beli di airport sahaja. Dengan adanya kelebihan sebagai anak pekerja Air Asia, harga tiket untuk ke Miri dari Kuala Lumpur sangat murah. Dan malam itu juga aku menyiapkan segala barang untuk dibawa ke Miri.
“Berapa lama kat Miri?” Soal kak Hasnah yang masih tercegat di depan pintu bilikku bersama Farina.
“Seminggu je kak. Risya berehat sambil bercutilah. Balik kampung, he he he.” Aku memandang wajah Farina sekilas. Sudah muncung bibir itu sama seperti muncung itik.
“ Kalau dah balik ke Miri tu, jangan lupa bawak kek lapis Kinder Bueno untuk Farina pulak.” Farina berpesan kepadaku.
“Insya-Allah. Nanti, jangan lupa bagitahu Nurul tau, aku tak ada kat sini selama seminggu. Dia pun balik rumah kan?”
“Hmmm...Orang dah ada lesen kereta, macam tulah. Tak pernah nak duduk rumah. Berjalan sakan je kerjanya.” Aku tersenyum mendengar bebelan Kak Hasnah tentang rakanku seorang itu.
“Kau dah beritahu Nick belum?” Terhenti tanganku dari melipat kain sebaik mendengar soalan yang diutarakan oleh kak Hasnah.
“Emmm...Kenapa perlu beritahu dia?”
“Alah, dia kan abang sayang akak. Ke abang sayang akak dah jadi orang lain?”Faham benar dengan sindiran Farina mengenai Iz itu.
“Ish! Farina ni, melalut sampai ke situ pulak. Akak mana ada abang sayang pun sampai sekarang. Masih single mingle tau.”
“Yalah tu. Jadi, akak tak bagitahu dengan sesiapalah?”
“Tak.” Jawabku ringkas dan menyambung kembali melipat baju untuk dibawa ke Miri.
***************************************************
Tidak aku sangka, Haris menawar diri untuk menghantarku ke airport. Mujur sahaja dia tiada urusan ketika waktu petang itu. Kalau selalu, Haziflah menjadi penghantarku ke airport bila sahaja aku ingin kembali ke Miri. Dek kerana tuntutan kerja di Thailand, Hazif tidak dapat menghantarku hari ini. Sedih pula bila teringat pada Hazif yang ditugaskan untuk bertugas di Thailand selama 1 tahun pula. Projek baru bersama syarikat yang lain. Lamunan tentang Hazif hilang seketika. Tersedar Hazif memandang wajahku sekilas di sebelah.
“Dah lama aku tak nampak kau pakai spek tu. Hanya disebabkan kau sakit mata, barulah kau pakai cermin mata tu ya?”
“Eh, mana ada! Kalau kat rumah, takkanlah aku nak pakai contact lense 24 jam?”
Kami sampai ke lapangan terbang pada pukul 2 petang. Ketibaanku tidaklah terlalu lewat untuk penerbangan pada pukul 4 petang. Memang sudah menjadi kebiasaan untuk berada di lapangan terbang awal 2 jam sebelum boarding.
“Thanks Haris hantar aku kat airport ni.”
“No problem \lah. Benda kecik je. Kau jaga diri baik-baik tau. Mata tu, jaga-jaga sikit. Jangan asyik mengusha orang je tau.” Aku tergelak kecil.
“Pandai-pandai akulah. Mata aku, suka hati akulah nak usha orang.” Sempat lagi menjelir lidah kepadanya.
“Jangan sampai abang sayang kau marah pulak.”
“Abang sayang apanya? Aku tak ada abang sayang okey?”
“We will see.” Senyum Haris penuh makna. Aku biarkan sahaja Haris mahu berkata apa. Tidak aku hiraukan dengan gurauannya itu. Aku melambai Haris sebaik sahaja keretanya meluncur pergi. Aku segera ke kaunter staf untuk mendapatkan tiket ke Miri.
Para penumpang sudah siap beratur menunggu untuk masuk ke dalam perut kapal terbang. Mungkin bukan nasibku apabila tempat duduk yang telah ditetapkan bukanlah tempat duduk hot seat. Kalau tidak, pasti sahaja aku dibenarkan untuk masuk awal. Itulah kelebihan dan kekurangannya membeli tiket di bawah nama ahli keluarga yang bekerja dengan syarikat penerbangan ini. Kalau bertuah, dapatlah duduk di hot seat, kalau tidak, terpaksalah beratur seperti orang lain.
Aku meneliti nombor tempat duduk pada kertas tiket. Nombor 10 A. Maksudnya disebelah tingkap. Apabila sudah berada di tempat dudukku, barang-barang ditangan diletakkan di atas tempat penyimpanan bagasi. Sukar pula nak meletak beg di tangan di atas, lebih-lebih lagi ketinggianku yang macam orang tak cukup umur ni menjadi penyebabnya.
Tiba-tiba, ada tangan yang menarik begku dan menolaknya ke dalam. Aku berpaling menoleh orang yang membantuku itu.
Membuntang mataku melihat orang di depanku. Sudah tersenyum dia melihat reaksiku. Pasti sahaja dia mengejekku dalam hati. Senyum sinis.
“Aaa..awwwak buat apa kat sini, Nick?” Soalku dalam debar. Nick menjongket bahu dengan selambanya.
No comments:
Post a Comment