BAB 5
TANGANNYA
mula mengemas baju T yang baru dipasangkan di badan. Selepas itu dia membuka
laci kecil dan mengambil jam tangan G-Shock berwarna hitam dan dipasangkan pada
pergelangan tangan. Sebelum keluar dari bilik sempat dia menilik wajahnya di
cermin. Setelah berpuas hati, barulah dia melangkah keluar dari bilik.
Sebaik
kakinya ingin melangkah ke anak tangga, dia berhenti dan matanya menyorot pada
sebuah bilik berdekatan dengan biliknya. Wajahnya nampak gusar, lalu dia
bergerak ke bilik tersebut. Tombol pintu dipulas dan daun pintu berkunci. Dia
menarik nafas lega.
‘Jangan
sampai sesiapapun jejak masuk ke bilik ini,’
Sejurus
itu, dia kembali melangkah ke anak tangga dan segera menuju ke dapur.
“Kak
Zah?” Hardee mula mencari kelibat salah seorang pembantu rumahnya. Apabila kelibat
Kak Zah muncul dari belakang dapur, Hardee mula mengukir senyum tanda hormat
pada pembantu rumahnya itu.
“Kak Zah
tengah masak ke?”
“Ha’ah.
Kenapa Tuan?” Soal Kak Zah kembali. Sempat matanya menilik penampilan
majikannya dan dia sudah dapat agak, pasti majikannya itu mahu keluar.
“Emmm...
Malam ini saya balik lewat. Jadi, kak Zah masak jelah untuk Puan ya? Saya tak
ada seleralah kalau nak makan dengan perempuan itu,” jelas Hardee tanpa
selindung akan perasaannya. Hardee tahu bahawa kak Zah memang faham tentang
rutinnya. Malah, kisah silam yang terjadi di antara suami isteri itu ada di
tangan kak Zah.
Walaupun begitu, kak Zah cuma tahu serba sedikit tentang
isteri majikannya, dan bagaimana hubungan antara mereka berdua. Mengapa lelaki
itu membenci isterinya, tidak pula dia mahu ambil tahu. Tetapi, dia dapat mengagak
mengapa lelaki itu mempunyai perasaan sebegitu terhadap isterinya. Lagipun, dia
juga berasa tidak suka akan kehadiran isteri majikannya itu. Namun, perubahan
sikap Puan Aliniya hari ini ternyata membuatkan dia tertanya-tanya juga.
Sungguh! Dia begitu terkejut dengan layanan Puan Aliniya pada pagi tadi. Tiada
langsung bunyi pekikkan perempuan itu. Tiada lagi herdikan yang keluar daripada
mulut si ‘Puan Sihir’ itu. Pelik! Apa sudah jadi pada Puan Aliniya setelah
keluar dari rumah pesakit mental itu?
“Yalah, Tuan. Nanti saya siapkan makanan untuk Puan
saja,” ucap kak Zah akur.
“Apa-apa hal awak telefon saya terus ya? Mana tahu,
tiba-tiba datang balik dia meroyan. Kalau jadi macam itu bagus juga,” kak Zah
tidak dapat mendengar dengan jelas pada penghujung ayat majikannya. Hardee
seakan berbisik pada diri sendiri. Lantas, kak Zah mengangguk dan menghantar
Hardee sehingga ke pintu. Bila kelibat Hardee sudah hilang daripada pandangan,
kak Zah mengunci daun pintu. Sempat matanya melirik pada bilik yang dihuni oleh
Aliniya.
‘Tak keluar-keluar lagi ke Puan Sihir tu? Tak lapar ke
dia?’ Soal kak Zah di benak hatinya. Terbit rasa risau juga kalau jadi apa-apa
pada isteri majikannya itu. Takut pula kalau Aliniya lapar dan makanan tidak
dihidang seperti yang dimahunya, pasti pinggan mangkuk di dapur terbang di
depan mukanya.
Bila teringat kisah lalu, rasa ngeri juga dibuatnya.
Kepalanya hampir-hampir pecah dek Aliniya mengamuk tak tentu pasal. Semua pinggan
mangkuk yang ada di dapur itu dipecahnya. Tunggang-langgang keadaan waktu itu.
Sebab mengapa isteri majikannya mengamuk pada waktu itu, kak Zah sendiri tidak
tahu. Kadang-kala dia sendiri tidak faham akan sikap Aliniya yang ada masanya
bertukar menjadi ribut taufan. Seolah-olah ada saja yang tidak kena di matanya.
Sengaja mahu memberontak. Kehadiran Aliniya di rumah banglo itu menyebabkan
keadaan di situ tidak lagi seaman dulu.
Kak Zah menggeleng kepala tatkala tersedar begitu jauh
lamunannya. Lantas, dia melangkah ke bilik Aliniya. Kak Zah teragak-agak mahu
mengetuk pintu bilik tersebut. Gusar juga kalau dia dimaki teruk oleh Aliniya.
Dia cuba kuatkan semangat dan mengetuk juga daun pintu.
Aliniya tersedar dek bunyi ketukan. Barulah dia perasan
keadaan biliknya yang sudah kelihatan gelap.
‘Aku tertidur dari tadi sampai tak sedar hari dah malam
rupanya. Ya Allah! Kenapa alpa sangat ni?’
Aliniya bingkas dari pembaringan dan turun dari katil.
Perlahan-lahan dia bergerak mencari suis lampu. Bila dirasakan tangannya
menyentuh tombol pintu, pantas dia membukanya. Sinar cahaya dari luar
menyebabkan anak matanya terasa silau. Dia mengecilkan anak mata.
“Errr... Puan baru bangun ke? Pu... Puan nak makan?”
“Oh, kak Zah! Saya tertidur dari tadi. Rasa pening
tiba-tiba, itu yang saya nak tidur kejap. Sekali tengok dah malam rupanya,”
jelas Aliniya dengan suara sedikit serak dan perlahan. Aliniya cuba untuk
mencelik mata dan menekan suis lampu berdekatan dengan daun pintu. Barulah
cerah biliknya sekarang.
Sebaik lampu dibuka, mahu terkejut kak Zah melihat wajah
Aliniya yang tidak bermaya itu. Di tambah pula dengan rambut Aliniya yang
serabut serupa rambut singa jantan. Mahu saja kak Zah tergelak dibuatnya.
Sepanjang duduk sebumbung dengan Aliniya, tidak pernah
sekalipun dia melihat wajah Aliniya yang baru bangun seperti ini. Dia hanya
melihat Aliniya setelah isteri majikannya itu siap berkemas dan berdandan.
Walaupun isteri majikannya tidak memerlukan mekap yang tebal, bagi kak Zah,
Aliniya tetap cantik. Kulitnya yang putih kemerahan itu mampu memikat sesiapa
saja. Cuma sayang, perempuan cantik seperti Aliniya terlalu angkuh dan garang.
Tetapi, berlainan pula dengan Aliniya sekarang. Sememangnya, Aliniya yang baru
keluar dari hospital sakit mental ini benar-benar berubah menjadi seorang
Aliniya yang tidak pernah dikenalinya.
Aliniya merenung wajah kak Zah dengan perasaan hairan.
Perasan yang dia agak keterlaluan, pantas kak Zah menunduk. Aliniya perasan
wajah kak Zah yang tadinya hampir tersenyum terus berubah bila dia merenung
perempuan itu.
“Emmm... ada apa-apa dekat muka saya ke kak Zah?”
“Tt... tak Puan. Puan tetap nampak cantik,” jawab kak Zah
pantas. Dia sudah mula berasa ketakutan ditegur sebegitu.
Dalam beberapa saat kedengaran bunyi tawa dari mulut
munggil gadis itu. Kak Zah terkesima seketika apabila pertama kali melihat
wajah ceria Aliniya. Nampak begitu manis apabila gadis yang dikenali dengan
sikap bengis dan garang itu ketawa riang.
“Saya bukan cakap pasal itulah kak Zah. Tapi, pujian akak
tu ikhlas ke? Macam menipu je akak ni,” tawa Aliniya mula reda.
“Eh, tak Puan! Jujur saya cakap. Puan Aliniya memang
cantik. Cantik bila ketawa macam itu,” kali ini kak Zah akui, dia benar-benar
ikhlas memuji isteri majikannya itu. Aliniya tersenyum panjang.
“Terima kasih, kak Zah. Emmm... kak Zah, saya nak buat
permintaan boleh tak?”
“Apa dia Puan?” Soal kak Zah semula.
“Lepas ini, kak Zah tak perlulah panggil saya Puan.
Panggil saya Niya je. Sejak saya berada di hospital, saya dengar doktor yang
merawat saya panggil saya, Niya. Bila saya sedar je, dia ubah pula panggil
Puan. Sebenarnya, saya rasa tak selesa dengan panggilan itu. Saya sendiri pun
tak tahu yang sebenarnya saya ini dah kahwin, dah ada suami. Jadi, bolehlah ya kalau
kak Zah panggil je saya Niya,”
“Tapi, Puan...”
“Bukan Puan... Tapi, Niya,” pintas Aliniya pula. Kak Zah
akhirnya mengangguk akur.
“Baiklah, Ni... Niya,” Aliniya tersenyum puas. Melihat
sebaris senyuman itu, kak Zah turut mengukir senyuman.
“Kak Zah kata apa tadi? Saya lapar ke tidak?” kak Zah
mengangguk laju.
“Saya lapar sangat! Jadi, kak Zah temankan saya makan
ya?” Aliniya menarik lengan kak Zah mengajak pembantu rumahnya untuk makan
sekali.
“Tapi, Puan. Eh! Niya tak nak mandi dulu ke?”
“Tak apalah, kak Zah. Saya makan dulu. Perut dah
berdendang keroncong ini. Jadi, kita makan dulu ya?”
Setelah selesai makan, kak Zah menghidangkan air coklat
panas untuk Aliniya.
“Betul Niya tak nak minum kopi macam selalu?”
“Macam selalu?” Soal Aliniya kembali. Dia mahu mengambil
kesempatan itu untuk mengorek segala rahsia daripada kak Zah tentang kisah
silamnya. Mana tahu dia boleh ingat sikit-sikit.
Kak Zah mengangguk sambil tangannya mengelap meja makan.
“Selalu kalau Niya tak minta kopi panas tak sah! Kalau tak dihidang mesti Niya
mengamuk,” Aliniya yang meneguk air coklatnya terhenti sebaik mendengar
kata-kata kak Zah. Sampai begitu sekali ke sikapnya dulu? Aliniya meletakkan
mugnya di atas meja. Wajah Aliniya sedikit berubah.
“Niya yang dulu berbeza dengan Niya sekarang. Sepanjang
Niya tinggal dekat sini, apa yang boleh akak simpulkan, Niya yang dulu sangat
garang, suka bergaduh dengan Tuan dan juga bapa mertua Niya. Kalau ada yang tak
kena, Niya akan marah dan pembantu rumah akan jadi mangsanya. Kenapa Niya selalu
bergaduh dengan Tuan tu, akak sendiri tak tahu sebenarnya. Kami sebagai
pembantu rumah dekat sini cuma menurut arahan saja. Tak lebih dari itu sebab
Tuan dan arwah bapa mertua Niya dulu sangat perahsia orangnya,” penjelasan
daripada kak Zah kedengaran berulang-ulang di mindanya sebaik kak Zah meminta
diri untuk ke bilik. Kak Zah membiarkan Aliniya sendirian di dapur. Dia faham
pasti susah untuk Aliniya terima semua ini. Walaupun kak Zah hanya menceritakan
serba ringkas, tetapi mungkin berat bagi Aliniya yang baru saja sembuh itu.
Tidak mahu memeningkan kepala isteri majikannya, kak Zah mengambil keputusan
untuk beredar ke bilik.
Air mata Aliniya mula bergenang. Dia sendiri masih keliru
akan keadaan sekeliling.
‘Ya Allah, cabaran apa yang aku kena lalui ini? Dosa apa
yang aku dah buat sehingga aku terpaksa menelan semuanya?’ rintih sekeping hati
yang masih berduka. Aliniya menyeka air matanya dan beredar semula ke bilik.
Tidak mahu merunsingkan fikirannya, Aliniya segera ke bilik air ingin
menyegarkan badan.
Selesai solat, Aliniya duduk di hujung katil. Melihat
telekung yang sudah digantungnya di tempat sidai, dia teringat semula akan
kata-kata kak Zah ketika mereka makan tadi.
“Kak Zah ada telekung tak?”
“Hah?” hampir tersedak kak Zah sebaik mendengar soalan
Aliniya. Aliniya turut terkejut melihat reaksi kak Zah.
“Kenapa kak Zah?”
“Tak. Niya cakap apa tadi? Telekung?” Aliniya mengangguk
laju.
“Ha’ah. Akak ada telekung tak? Sebab rasanya, tak ada
tergantung pun telekung dalam almari itu. Itu yang Niya tanya,”
“Ni... Niya solat ke?” persoalan kak Zah menyebabkan
Aliniya bertambah hairan. Aliniya berhenti makan.
‘Selama ini aku tak solat ke?’
Aliniya mengeluh lemah. Dia kembali memandang kain
telekung yang diberi oleh kak Zah tadi.
“Masa awak dah ada di rumah nanti, jangan lupa makan
ubat. Jaga solat juga,” Aliniya teringat pesanan doktor Radhuan sebelum dia
keluar dari hospital pada siang tadi.
“Sewaktu awak sakit, memang awak tak dapat solat, Niya.
Tapi sekarang awak dah kembali waras, baiklah kalau awak sentiasa menjaga solat
dan berdoa agar memori awak kembali pulih. Satu hari nanti awak pasti dapat
ingat semula kisah dan sejarah lama awak. Inshaa Allah. Allah akan mengizinkan
doa-doa awak kalau awak ikhlas ingin mencari kebenarannya.”
‘Mampu ke aku terima kebenarannya ya Allah? Mampu ke aku
terima kalau apa yang pernah suami aku beritahu itu betul-betul membuktikan
siapa diri aku sebenarnya? Aku ini kejam orangnya. Aku seorang perempuan yang
begitu banyak melakukan dosa dan aku telah banyak melukai orang sekeliling
aku,’Aliniya meraup mukanya ingin menghilangkan resah di hati.
Lama dia duduk di hujung katil dan dia perasan masa sudah
berlalu pantas. Disebabkan matanya masih belum ada tanda-tanda mahu tidur, Aliniya
mengambil keputusan untuk keluar daripada bilik dan kembali semula ke dapur.
‘Daripada aku asyik melayan perasaan, apa kata aku buang
dulu ke tepi semua benda itu. Aku nak buat sesuatu yang boleh hilangkan stress
ni,’ bisik Aliniya dalam hati.
Almari dapur dibuka satu persatu. Matanya tercari-cari
sesuatu. Tatkala anak mata terlihat benda yang diingi, laju saja tangannya
mengambil keluar barang-barang tersebut. Aliniya beralih memandang jam pada
dinding dapur.
“Baru pukul 10.30, masih awal lagi sebenarnya,” Aliniya
berbicara sendiri. Tiba-tiba, Aliniya teringat sesuatu.
“Tadi, kak Zah bagitahu yang Encik Tuan itu balik lewat.
Entah pukul berapalah mamat tu nak balik. Lantaklah,” Aliniya mengangkat bahu
dan kembali memandang bahan-bahan tadi. Melihat pada barang-barang yang sudah
disediakan di atas meja, Aliniya perasan akan sesuatu yang dilupanya.
“Buku resepi!” Laju saja dia keluar menuju ke rak almari
yang terletak di ruang tengah tadi. Dia perasan akan kewujudan buku tersebut
apabila dia melintas ingin ke bilik. Aliniya menarik keluar buku resepi
tersebut dan membelek helaian demi helaian muka surat buku tersebut. Matanya
mencari-cari resepi yang menarik minatnya.
“Kek Red velvet. Bunyi macam sedap je,” Aliniya berasa
teruja setelah membaca cara-cara membuat kek Red velvet tersebut.
Walaupun dia baru sahaja sembuh, tetapi, Aliniya tetap
dapat mengingati minatnya dalam bidang kulinari. Dia sendiri pun rasa pelik.
Dalam banyak-banyak benda yang dia ingat, minat yang satu itu tidak dilupakan.
Malah, sebaik melihat bahan-bahan dan juga peralatan di dalam almari kabinet
dapur tadi, dia seperti sudah mahir dengan semuanya.
Tanpa melengahkan masa, Aliniya menyediakan bahan-bahan
untuk membuat kek Red Velvet mengikut resepi di buku.
Bahan-bahan kek:
- 31/2 Cawan Tepung Naik Sendiri
- 2 Cawan Minyak Jagung
- 2 Cawan Gula Kastor
- 2 Cawan Susu Cair
- 2 Biji Telur
- 1 Sudu Serbuk Vanilla
- 2 sudu Besar Serbuk Koko (Membukit)
- 4 Sudu Besar Cuka
- 1 Sudu Teh Baking Powder.
Tangan Aliniya mula lincah ketika menyediakan bahan-bahan
tersebut. Bahan-bahan yang sudah dicampur, dikacau rata. Sambil anak matanya
membaca buku resepi, sambil itu tangannya bergerak. Satu-persatu langkah diikutnya.
Setelah selesai, dia membaca pula bahan-bahan untuk membuat topping.
Bahan-bahan untuk topping:
- 1 Buku Cream Cheese
- 1 Cawan Gula Kastor
- 1/4 Butter (Saiz 250g)
- 2 Sudu Susu Pekat.
Aliniya bersungguh-sungguh menyiapkan kek tersebut
sehingga lupa akan masa yang sudah menginjak ke tengah malam. Apabila kek sudah
masak, Aliniya mula menghiaskan kek red velvet tersebut. Perhiasan yang
dibuatnya nampak begitu kemas dan teliti.
Aliniya menarik nafas lega setelah kek red velvet
dibuatnya selesai juga. Aliniya tersenyum sendiri melihat hasil kerja
tangannya.
“Mempersembahkan kek buatan chef Aliniya!” Aliniya pantas
menekup mulutnya bila tersedar bahawa suaranya mampu mengganggu tidur
orang-orang di dalam rumah ini.
“Eh! Yang aku takut sangat kenapa? Dalam rumah ini cuma
ada aku dan kak Zah. Pembantu rumah yang lain tak ada dekat sini sebab bercuti.
Encik Tuan pun belum balik lagi. Jadi, tak kisahlah,” ujarnya sambil tersengih
sendiri. Aliniya bertepuk tangan tanda dia berpuas hati. Malah, keresahannya
hilang serta-merta bila fokusnya hanya pada kek yang dibuatnya.
Pang!
Bunyi bising dari luar menyebabkan Aliniya terkejut.
Dadanya tiba-tiba berdegup pantas. Sudahlah keadaan di sekelilingnya gelap
sahaja. Hanya lampu di luar dan lampu dapur sahaja yang terbuka.
Aliniya menelan liur. Rasa takutnya mula terasa. Dahinya
pula mula berpeluh. Perlahan-lahan, Aliniya mengambil periuk dan kakinya mula
melangkah ke arah bunyi tadi. Aliniya berhenti bersembunyi di sebalik dinding.
Dapat dirasakan ada kelibat yang bergerak ingin mendekatinya. Aliniya pejam mata
dan berbanyak berdoa.
‘Ya Allah. Tolonglah lindungi aku,’
Aliniya membuka matanya dan mengangkat periuk di tangan.
“Ah!”
best story ...
ReplyDelete