Sunday, February 7, 2016

Dosa Semalam Bab 4

BAB 4


            TIADA langsung perbualan di antara mereka. Hanya kedengaran bunyi lagu yang dimainkan di radio sahaja bagi menemani mereka ketika itu. Hardee menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya walau hati tengah memberontak, manakala Aliniya pula sedang melayan lamunannya.
Sering saja persoalan tentang kisah silamnya bermain di kepala. Dia cuba untuk mengingat semula tetapi satu benda pun dia tidak tahu. Hairan. Betul ke dia betul-betul sudah sembuh? Kenapa ingatannya pula hilang begitu saja kalau betul dia sembuh?
Aliniya mengeluh kecil. Hardee pantas berpaling ke sebelah tatkala mendengar keluhan kecil Aliniya. Ketika kereta dihentikan sewaktu isyarat lampu merah menyala, Hardee leka merenung wajah Aliniya sehingga tidak sedar lampu isyarat sudah bertukar hijau. Dilihat wajah Aliniya yang tampak begitu mendung dan kebingungan.



            Pon!
            Aliniya tersentak mendengar bunyi hon kereta di belakang. Matanya pantas melirik ke sebelah. Dia tergamam apabila melihat sepasang mata yang begitu lama merenung wajahnya. Nafasnya terasa sesak secara tiba-tiba. Dadanya berdegup tak sekata. Dia jadi resah direnung sebegitu. Malah, dia sendiri tidak pasti apa yang ada difikiran lelaki di sebelah itu. Padahal tadi lelaki itu begitu galak memarahinya. Lelaki itu juga membencinya tanpa dia tahu akan sebabnya. Jadi, kenapa hatinya berasa resah sebegini?
            Tidak mahu melayan perasaan yang hadir itu, Aliniya berpaling ke depan dan mula bersuara ingin menyedarkan Hardee di sebelah. Dilihatnya lampu isyarat sudah lama bertukar hijau.
            “Encik, dah hijau,” ucap Aliniya lembut. Hardee tersentak dan berdeham ingin membuang rasa malu.
            “Aku tahulah!” Hardee cuba berlagak tenang dan memulakan pemanduan. Dia sendiri pun tidak faham apa yang dialaminya sebentar tadi. Sebaik matanya melihat wajah resah dan bingung Aliniya, dia seperti melihat wajah seseorang yang begitu berbeza sekali dengan Aliniya yang dikenalinya selama ini. Dia tidak pernah melihat wajah gadis itu seresah tadi. Diingatannya Aliniya seorang yang begitu bijak menyembunyikan perasaan sebenarnya.
            Aliniya mencebik dan berpaling ke sebelah.
            ‘Berlagak! Padahal dah sah-sah dia terleka, tak sedar lampu tu dah bertukar. Nak cover malulah tu,’ simpul Aliniya sambil menyembunyikan senyumannya. Dia begitu pasti lelaki itu merenungnya dari tadi. Tetapi bila teringat renungan mata lelaki itu, dia kembali terasa debar.


            ‘Haish! Aku ni dah kenapa? Angau? Ish! Tak mungkinlah. Aku baru tahu dia tu suami aku. Takkan dah angau kot? Atau memang betul aku memang sayangkan dia sejak dulu lagi? Walaupun ingatan aku tak ingat satu pun pasal lelaki ini, tapi hati dan perasaan tak pernah menipu. Eh! Apa aku merepek ini?’ Aliniya cuba menepis suara hati sendiri.

TELEFON bimbit yang nyaring berbunyi meminta untuk disambut. Segera sepasang kaki melangkah mendekati. Setelah menekan skrin telefon bimbit, segera alat itu ditekap pada cuping telinga.
            “Dia dah sembuh dan hari ini dia baru keluar dari hospital sakit jiwa itu bos,” sebaik mendengar kata-kata di talian, pantas saja fon dipadam tanpa sempat suara ditalian menyambung perbualannya.

 Kakinya segera bergerak ke beranda. Matanya tajam memandang pemandangan malam. Suhu yang sejuk mencecah hampir 10 darjah selsius itu tidak mampu menyejukkan hatinya yang tiba-tiba terasa berbahang panas. Hatinya menggelegak sebaik mendengar berita tadi. Lantas tubuhnya berpaling dan terserlah wajah yang merah menahan amarah. Giginya digetap berkali-kali.
Perlahan-lahan dia melangkah dan mengambil gambar di meja. Matanya merenung tajam memandang gambar tersebut. Kakinya bergerak mendekati unggun api dan gambar di tangan dicampaknya. Gambar yang sudah mula terbakar dipandang saja dan bibirnya merekah tersenyum.
“Kau sembuh juga walaupun dah meringkuk dalam hospital gila tu selama 6 tahun. Tabah betul hati kau, Aliniya. Tak apa. Aku nak tengok macam mana kau hadapi dendam suami kau tu. Kau terimalah nasib kau, Aliniya. Tak cukup lagi seksaan kau tu dekat hospital gila. Kau layanlah suami kau tu dulu puas-puas sebelum aku muncul semula dalam hidup kau, Aliniya.” Kepekatan malam yang sunyi itu mula terusik dek bunyi hilaian tawa yang penuh dengan agenda tersembunyi.

PRANG!! Bunyi kaca pecah kedengaran bergema di ruang tamu tersebut. Terkedu wajahnya melihat kejadian itu. Timbul rasa bersalah di hati. Pada penglihatannya dia nampak dengan jelas bahawa wanita di depannya begitu berdebar dan takut sebaik dia menjejak kaki di sini.
            “Maa... maaf Tuan, Pu.. Puan. Saya tak sengaja. Sa... Saya cuai,” tergopoh-gapah wanita di depannya tunduk ingin mengutip serpihan kaca di lantai. Lantas, dia juga tunduk dan membantu wanita tersebut untuk mengutip kaca gelas yang pecah tadi.
            “Jangan Puan!” Pantas wanita itu menegah.
            “Sa... saya akan buat semua ini. Biar saya buat semuanya. Saya akan dengar cakap Puan. Maafkan saya Puan. Saya tak sengaja,” suara wanita itu seperti merayu ketakutan. Wajah wanita itu juga sudah tertunduk dan seakan-akan mahu menangis. Aliniya jadi hairan. Kenapa sampai begitu sekali wanita itu berasa takut bila melihat wajahnya? Aliniya kembali berdiri.
            “Kak Zah tolong tunjukkan bilik Puan yang saya suruh kemaskan tadi lepas Kak Zah kemaskan kaca itu ya? Apa-apa yang Puan nak, awak layankan saja. Saya tak nak ambil tahu,” Hardee yang berdiri di sebelah Aliniya dari tadi segera beredar. Dia malas mahu berlama di situ bersama wanita yang paling dibencinya. Sudahlah panas punggungnya duduk lama di sebelah wanita itu tadi. Ditambah lagi insiden yang membuat dia malu sendiri, menyebabkan dia mahu segera tinggalkan isterinya itu. Sekarang dia mahu merehatkan otaknya. Malas nak fikir pasal wanita yang baru saja sembuh dari penyakit mental itu.
            Aliniya yang mahu memanggil Hardee, terus mematikan niatnya itu sebaik melihat Kak Zah yang masih sibuk mengutip kaca-kaca di lantai. Dia kembali menunduk dan membantu Kak Zah.
            Melihat Aliniya yang masih juga mahu membantunya, Kak Zah sekali lagi menegah.
            “Tak apa Pu... Puan. Saya boleh buat sendiri. Maafkan saya. Saya betul-betul bersalah. Saya tak tahu Pu... Puan akan balik ke rumah semula,”
            Aliniya menggeleng. “Tak apa, Kak Zah. Biar saya tolong bersihkan kaca ini. Lagipun, saya yang rasa bersalah sebab Kak Zah terkejut akan kehadiran saya ke sini. Biar saya tolong ya?”
            “Tapi Puan. Saya...” Kak Zah jadi serba salah. Sudahlah dia terkejut dengan kehadiran isteri majikannya itu, dia menjadi semakin hairan pula dengan perubahan sikap wanita itu. Dia masih ingat lagi bagaimana takutnya kalau kejadian seperti ini berlaku apabila isteri majikannya tahu gelas kaca pecah disebabkan kecuaiannya. Pasti sahaja dirinya diherdik dan dimarahi dengan garang. Tak cukup dengan itu, isteri majikannya pasti menunjal-nujal kepalanya siap disumpah seranah lagi. Tetapi kali ini tidak pula. Apa sudah terjadi dengan Puan?
            “Kak Zah boleh tolong bawakkan penyapu dan penyeduk tak?”
            “Hah?” Terkejut Kak Zah mendengar permintaan isteri majikannya itu. Selama ini, memang haramlah kalau perempuan itu ingin menyentuh peralatan-peralatan itu sendiri. Inikan pula melakukan tugasnya.
            “Puan nak buat apa dengan penyapu dan penyeduk?” Soalnya kembali. Aliniya yang sudah siap mengutip kaca memandang wajah Kak Zah. Dia tersengih.
            “Laaa... Takkan Kak Zah tak tahu saya nak buat apa dengan penyapu dan penyeduk tu?”
            “Bu... bukan... tapi saya rasa biarlah saya yang kemaskan semua ini Puan. Saya takut nanti Pu... Puan akan...”
            “Saya akan apa?” pintas Aliniya pula. Hatinya semakin pasti bahawa dia yang dulu seperti apa yang dikatakan oleh Hardee ketika di hospital tadi. Wajah Aliniya berubah mendung.
            “Puan berehat dulu dekat bilik tepi tu ya? Biar saya kemaskan semua ini dulu,” Kak Zah segera meninggalkan Aliniya tanpa menyudahkan katanya.


            ‘Kejam sangat ke aku dulu sampai begitu sekali penerimaan Kak Zah bila jumpa aku? Jahat sangat ke aku dulu sehingga membuatkan Kak Zah begitu takut dengan aku?’ Persoalan-persoalan itu membuatkan hatinya dipagut resah. Dia semakin keliru dan sedih. Matanya memandang anak tangga yang didaki oleh suaminya tadi. Walaupun bergelar suami isteri tetapi, mereka tidak sebilik seperti pasangan yang lain. Aliniya tunduk memandang lantai.
            ‘Siapa sebenar Aliniya yang dulu? Kejadian apa yang menyebabkan aku berubah sampai menjadi perempuan yang dibenci orang?’ Air mata merembes keluar dan Aliniya melangkah menuju bilik yang ditunjuk oleh Kak Zah tadi.
            Daun pintu ditutup rapat dan begnya diletak tepi. Perlahan-lahan tubuh Aliniya melurut ke bawah. Dia teresak-esak kecil dan lututnya dipeluk erat. Wajahnya disebam pada lutut. Otaknya bercelaru sekarang. Sukar untuk dia terima semua ini. Pada ingatannya dia cuma seorang gadis biasa yang berasal dari kampung. Gadis yang mahu melunaskan impian hingga ke menara gading.
            Tiba-tiba esakkan Aliniya terhenti, lalu wajahnya diangkat apabila dia teringat akan sesuatu.

            ‘Ya! Aku berasal dari kampung. Tapi... tapi kenapa aku tak ingat dekat mana? Aku memang tahu aku perempuan kampung tapi tempatnya? Ah!’ Aliniya memejam mata. Dipegangnya kepala yang sudah mula terasa berdenyut dan berputar. Aliniya membuka matanya semula dan segera bergerak ke katil. Tubuhnya direbah dan matanya terpejam semula. Dalam melayan rasa pening, tanpa sedar Aliniya tertidur.

No comments:

Post a Comment