Thursday, March 15, 2012

Novel Honey and Butter bab 6

Bab 6

“Saya nak semua baju ini dicuci dengan tangan, bukan mesin! Awak kena ingat, semua baju kerja saya ni, mahal! Kalau pakai mesin basuh, baju-baju tu mesti rosak dibuatnya. Susah kalau nak diiron nanti. Jadi, make sure that you wash by hand and iron it! Saya nak semua baju tu, tergantung kemas kat wardrobe saya. And I want you to finish this job tonight! No excuse. Kalau jam dah berdetik pukul 12 tengah malam dan baju-baju tu tak bergantung kat wardrobe, awak akan saya pecat! Ingat sebelum jam 12 tengah malam, faham?!” Terngiang-ngiang suara garau itu mengarah Elaine. Arahan yang tak boleh tidak dan kena laksanakan juga.

Sudah berapa jam Elaine terperuk di dalam bilik membasuh baju itu. Di dalam bilik membasuh terdapat bilik air yang memang tersedia khas untuk mencuci segala pakaian dengan menggunakan tangan. Dia menilik tangan yang sudah lecun dek berendam lama di dalam air. Elaine mengeluh lemah.

‘Haih...Belum apa-apa dah kena dera dengan bakal suami, belum lagi jadi suami tu. Nasib kaulah, Elaine.’ Desis Elaine dalam hati. Diteruskan lagi kerja mencuci. Ada beberapa baju sahaja yang tinggal. Elaine mengerahkan tenaganya dengan membasuh baki-baki baju kemeja milik Eric itu.


Setelah selesai, Elaine memerah baju kemeja satu-persatu. Dikibas-kibasnya kain baju tersebut dan diletakkan ke dalam baldi hitam. Elaine membawa baldi di tangan dan memasukkan segala kain ke dalam mesin pengering. Dia menekan butang mesin dan menunggu untuk mesin berhenti. Bila mesin pengering berhenti, dikeluarkan segala baju di dalam dan diletaknya kembali ke dalam baldi yang kering. Elaine membawa baldi keluar dari bilik membasuh, ingin disidai di bawah cahaya matahari yang panas.

Dari jauh, matanya asyik memerhati gelagat perempuan yang tidak sedar dirinya diperhatikan. Bibirnya menguntumkan senyuman manis. Hatinya berdetik ingin mengusik perempuan yang sedang asyik menyidai kain di tempat ampaian yang tersedia di halaman villa. Langkah kakinya pantas menuju ke bawah dan berdiri di belakang perempuan tadi.

“Hai!” Tegur suara dari belakang. Hampir gugur jantungnya ditegur secara tiba-tiba oleh gerangan itu. Dengan perlahan, tangan mengurut dada untuk meredakan rasa terkejut tadi. Dia menoleh ke belakang dan matanya tajam memandang wajah itu. Kemudian, Elaine menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi.

Berubah sedikit wajah Eryl bila tegurannya dibiar sepi begitu.


‘Aik? Orang gaji ni tak mesra alam betul! Ah! Tak apa, aku cuba lagi nak bertegur mesra dengan dia,’ Desis Eryl tidak mahu mengalah. Eryl beralih menghadap wajah Elaine lagi. Ditayangnya tangan di depan Elaine.

“Hai, saya Eryl, adik kepada abang Eric. Dan anak bongsu kepada pasangan Tan Sri Hamdan dan Puan Sri Harisah,” Elaine menghentikan kerjanya dan memandang tangan yang masih belum bersambut itu.

“Awak orang gaji baru kat sini kan? Salam perkenalan. Nama siapa?”


“Elaine.” Jawab Elaine pendek. Tangan Eryl langsung tidak disambutnya. Dia menyambung lagi kerja dengan mengambil kain di dalam baldi dan dikibas-kibasnya. Eryl terdorong ke belakang ingin mengelak. Tangan sudah ditarik balik ke sisi. Dia pasti Elaine tidak mahu menyambut tangannya itu. Eryl menjongket bahu dan masih mahu mengusik Elaine.

“Cantik nama awak. Macam nama orang putih,” Ujar Eryl masih belum berputus-asa. Dia menayangkan senyuman semanis boleh. Cuba untuk bersikap mesra dengan orang gaji baru itu. Walaupun wajah di depannya masih monyok, tiada tanda-tanda untuk membalas senyumannya, namun dia tetap tidak memperdulikannya. Niatnya ikhlas, ingin berkenalan dengan perempuan yang bernama, Elaine itu.


“Awak pun apa kurangnya. Eric. Nama orang putihlah tu, tapi muka je tak macam orang putih. Macam muka orang cina. Sepet!” Eryl tertawa kecil. Walaupun dengar macam bunyi orang menyindir, tetapi bagi Eryl, kata-kata itu terdengar lucu. Dia memang tidak menafikan kenyataan itu. Wajahnya macam orang cina. Ada juga rakan-rakan perempuannya memberitahu bahawa wajahnya persis penyanyi Korea. Dia pun tidak tahu mana samanya wajah ini dengan artis Korea yang sering dikatakan mereka.

Matanya sedikit sepet. Lagi sepet bila dia senyum, tetapi tetap comel! Sebab itulah Eryl menjadi kegilaan ramai pelajar perempuan di kampusnya. Nama Eryl memang popular di fakultinya. Tambahan pula, daddynya itu seorang usahawan yang terkenal di Malaysia. Anak Tan Srilah katakan.


Ha ha ha. Sepet tapi tetap menjadi pujaan ramai. Tak apa, saya suka diri saya ni. Apa orang cakap, kita kena bersyukur atas apa yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Betul tak?”

‘Ya Allah, boleh tahan perasan jugak budak ni rupanya,’ Ejek Elaine dalam diam. Elaine tidak mengendahkan kata-kata itu dan masih sibuk menyidai kain.

“Erk... Saya salah cakap ke?”

“Tak.”

“Oh, jadi awak setujulah yang saya ni hot walaupun sepet?” Duga Eryl sambil tersengih. Elaine menjeling sekilas dan mencebik.

“Hai, kalau bukan dengan aku, dengan kak Elaine pun kau nak mengayat?” Tegur suara lembut menarik perhatian mereka berdua. 4 pasang mata sudah mendarat pada wajah comel perempuan bertubuh kecil di depan mereka itu. Kira sudah menyilangkan tangan dan wajahnya sudah cemberut macam orang tak puas hati.

“Erk!” Eryl menggigit bibir bawah. Menelan liur yang kelat bila melihat wajah comel itu masam mencuka. Di dalam otaknya sudah bermacam-macam ayat ingin diolah sebagai alasan untuk menyedapkan hati Kira. Tetapi, tiada satupun yang terkeluar dari mulutnya.


“Kau nikan, memang dasar buaya tembaga. Tak dapat satu, kau cari orang yang lebih tua daripada kau pulak. Huh!” Suara Kira terdengar sedikit kuat. Dalam kelembutan perempuan itu, ada juga kerasnya. Itu yang membuat hati Eryl tertarik dengan Kira. Dia merenung wajah Kira dan menayangkan senyuman kerang busuk. Mata Kira sudah membulat.


“Manalah saya tahu yang Elaine ni sepatutnya dipanggil dengan panggilan akak. Saya cuma nak berkenalanlah dengan orang gaji baru di sini. Kalau saya tak bertegur sapa...nanti, Elai..Eh! Kak Elaine anggap saya ni Tuan Muda yang sombong pula,” Eryl membetulkan panggilan nama Elaine dengan panggilan yang sepatutnya. Kira mendecit dan menjeling tajam pada Eryl. Eryl mendekati Kira dan berusaha untuk memujuk perempuan muda itu.

“Saya layan semua orang sama tau, kecuali awak. Awak adalah orang yang paling istimewa sekali bagi saya. Awakkan pengarang jantung buah hati saya. Kalau awak marah macam ni, makin tak keruan saya dibuatnya. Comel sangat. Saya rasa macam nak gigit-gigit aje cuping telinga awak tu. Macam lagu OST cerita Gemersik Kalbu tu. Awak tengok tak cerita tu?” Eryl sudah mengalih topik dengan mengajuk lagu tema drama Melayu, ‘Gemersik Kalbu’ yang masih ditayangkan di siaran TV3.


“Heish! Dasar lelaki playboy! Mengayat tak sudah! Geli aku!” Kira segera menjauhkan diri dari Eryl. Meremang bulu romanya sebaik melihat aksi Eryl yang seakan-akan ingin menggigit cuping telinganya. Gatal!

Eryl terkekek ketawa. Geli hatinya bila melihat Kira sudah menjauh tidak tahan dengan usikan ‘gatal’nya. Elaine di sebelah hanya menjadi pemerhati setia. Tidak mahu mengganggu ‘love birds’ itu.


“Elai..Emmm...Sorry. Kak Elaine. Kalau Kak Elaine rasa Eryl ni mengada-ngada sangat, usah dipedulikanlah, ye? Eryl layan semua sama rata. Tetapi, tidak pada Kira,” Seloroh Eryl masih setia di sisi Elaine. Elaine membuat muka selamba. Dia mengambil baldi yang sudah kosong dan matanya sudah menyapa wajah Eryl.

“Sebab Eryl sukakan Kira?” Makin melebar senyuman lelaki muda itu. Wajahnya nampak merona merah menahan perasaan malu yang bertandang di hati.

“Emmm...Lebih kepada cinta kot,” Eryl mengaku.


Elaine meminta diri untuk beredar dari halaman dan masuk ke dalam ingin melakukan tugas lain pula. Tanpa Elaine sedar, sudah lama sepasang mata memerhati segala gerak-gerinya. Dia menggeleng melihat kerenah Eryl dan Kira sebentar tadi. Hal mereka berdua tidak dihiraunya. Tumpuannya masih pada orang gaji baru itu.

‘Hmph! Kak Elaine konon! Elaine tu dah macam bunyi alien je aku dengar. Nak dekat sama aje. Sesuai dengan orangnya yang macam alien!’


Segera kakinya masuk ke dalam meninggalkan balkoni. Malas mahu memikirkan tentang perempuan yang baru dikenalinya itu. Sudah bermacam-macam agenda yang ingin dilaksanakan agar perempuan ‘Alien’ itu keluar dari sini. Eric sudah tersengih sinis. Dia ingin melihat sejauh mana Elaine boleh bertahan dengan segala arahannya.

***

Elaine menyambung kerjanya dengan menggosok baju kemeja yang sudah kering dijemur petang tadi. Dia perlu segera menggosok dan menggantung semua baju kemeja ke dalam wardrobe Eric.

Walaupun di dalam hatinya merungut, tetapi, entah kenapa dia berasa senang dan tidak ambil hati langsung dengan arahan daripada Eric itu. Dibuatnya juga kerja mencuci, menjemur dan menggosok segala baju kemeja Eric.

Setelah sehelai baju siap beriron, digantungnya pada palang besi berdekatan. Hanya ada dia sahaja di dalam bilik dobi itu. Kira pula sudah diarah untuk membantu Mak Bedah yang tengah sibuk memasak di dapur. Setiap orang gaji di dalam villa tersebut sudah diarah oleh Puan Sri Harisah dengan tugasan masing-masing. Manakala Elaine pula, dibiarkan sahaja anak terunanya memberi arahan. Sengaja Puan Sri Harisah membiarkan Eric mengarah itu ini pada Elaine. Dia mahu Eric mengenali Elaine dengan lebih rapat lagi. Malah, Elaine juga bersetuju ingin mengikut segala kehendak Eric. Bukankah Elaine sendiri yang mahu berkenalan dengan Eric dengan cara begitu?


Elaine mengetuk pintu bilik Eric. Tiada sahutan pun yang didengarinya dari dalam. Elaine teragak-agak mahu menolak pintu kamar. Tetapi, dia perlu menggantungkan segala baju yang sudah siap diiron di dalam wardrobe lelaki itu. Kalau tidak, Eric takkan teragak-agak untuk memecatnya.

Dengan perlahan-lahan, pintu bilik ditolak. Dia menjengul wajah pada daun pintu dan melirik pada sekeliling bilik. Bilik Eric kelihatan sedikit malap dek cahaya dari lampu tidur di sisi katil. Suasana bilik tidur begitu romantik sekali dengan pencahayaan dari lampu tidur itu.

Apabila sudah memastikan tiada langsung kelibat Eric di dalam bilik, Elaine masuk ke dalam bergerak ke pintu wardrobe. Cepat-cepat dia menggangtungkan baju kemeja Eric di dalam almari. Elaine keluar dari bilik dan masuk semula mengambil baju-baju yang tertinggal di bilik dobi tadi.

Elaine menutup pintu almari setelah kesemua baju kemeja yang sudah beriron digantung. Elaine keluar dari bilik wardrobe dan menutup pintu wardrobe.

Saat badannya berpaling, Elaine terpanar dengan kemunculan lelaki yang tidak berbaju berdiri betul-betul di depannya. Nasib baiklah masih ada tuala yang melingkari pinggang lelaki itu. Nasib baiklah lelaki itu tidak berbogel. Mahu pengsan pula dia di depan lelaki itu nanti.

Deru nafas lelaki itu singgah lembut pada wajahnya. Kedudukan mereka terlalu dekat sekali. Hampir beberapa inci sahaja jaraknya. Mata Elaine pula ditunduk tidak mahu bertentang dengan mata galak Eric itu. Eric tersenyum sinis. Eric berasa begitu menyampah sekali melihat pandangan kosong daripada gadis muda itu. Sakit hatinya melihat raut wajah selamba itu.

Tidak Eric ketahui bahawa apa yang dilihatnya pada mata tak sama dengan perasaan yang dialami oleh Elaine sekarang. Elaine berasa begitu berdebar sebaik kehadiran Eric muncul di depannya. Dia kaget. Dadanya bergetar laju menyesak diri. Dia naik hairan. Semasa bersama dengan Eryl tadi, tiada pula jantungnya berdegup sebegini. Kenapa bila bersama Eric, lain pula rasanya? Degupan ini tetap tidak berubah. Sama seperti pertama kali bertentang mata dengan Eric pagi tadi. Perasaan itu menyapa dirinya sekali lagi. Rasa begitu bahagia sekali. Elaine menggigit bibir.

“ Apa yang kau buat kat dalam bilik aku ni? Tak serik-serik lagi ke? Nak aku tengking kau sekali lagi macam pagi tadi? Biar semua orang tahu perangai tak senonoh kau tu yang suka menghendap masuk ke dalam bilik lelaki bujang tanpa kebenaran. Kau ni memang tak ada perasaan malu kan? Kau ni manusia dari planet apa? Marikh? Pluto? Mana kapal angkasa kau? Terbabas dari landasan galaksi ke? Sebab tu muncul kat bumi, tak tahu adab manusia di bumi. Tak beradab langsung!” Laju sahaja Eric mencaci dirinya. Disabarkan hati, dibiarkan sahaja Eric mengata dirinya. Dia tidak peduli langsung. Tiada satupun kata-kata Eric berbekas di hati. Cuma hatinya tak tahan dengan gelora yang tengah melanda dirinya.

“Hmph! Kau ni sebiji macam alien kan? Tak faham bahasa. Aku tanya ni, kau buat apa masuk ke bilik aku malam-malam macam ni? Nak goda aku ke?” Elaine tersentak dari melamun jauh. Mukanya dirasakan panas kini. Nasib baiklah lampu bilik tidak begitu cerah. Kalau tidak, sudah tentu Eric akan mengejeknya.

Dalam diam hati bergetar dan dengan selamba dia menjawab. “Bukan awak sendiri yang suruh saya simpankan semua baju-baju awak ke dalam wardrobe itu? Saya cuma mengikut segala arahan yang diberi oleh awak. Tadi, awak juga yang suruh saya hantar sebelum pukul 12 tengah malam,” Terjengil mata Eric mendengar kata-kata Elaine itu. Dia menggigit bibir.

‘Erk? Aku ke yang beri arahan tu tadi? Apasal aku tak ingat pulak ni? Heish!’ Eric berdeham menahan malu. Ingatkan mahu mengena si ‘Alien’ itu cukup-cukup, sekali tengok dia yang terkena kaw-kaw balik.

“Habis tu, apasal kau hantar lewat sangat? Sebelum pukul 12 tengah malam pun, tak semestinya kau kena hantar pada waktu malam? Waktu siang-siang pun boleh kan? Kau memang sengaja!” Dalih Eric masih mahu mencari kesalahan Elaine. Eric menjengil mata dan berpura-pura marah. Entah kenapa, kemarahannya tadi tiba-tiba surut bila melihat wajah polos di dalam kamar yang sedikit kelam itu.

“Maafkan saya,” Itu sahaja yang mampu terluah dari bibir munggil itu. Wajah Elaine ditunduk menekur pada lantai.

Badan yang separuh terdedah masih tidak ditutup. Dibiarkan sahaja angin sejuk menyapa tubuhnya. Terlintas idea nakal Eric ketika itu. Tubuh Eric mendekati Elaine. Elaine gugup.

‘Lelaki ni nak buat apa dekat aku ni? Nak sangat kahwin ke? Cakap jelah terus-terang kat Tan Sri. Lagi senang cerita. Sekarang, mana boleh buat macam ni kalau masih belum halal,’ Tiba-tiba akalnya merapu entah apa-apa. Ada pulak fikir ke situ.


Mata yang ditala di bawah di angkat berhadapan dengan wajah yang hampir mendekat. Hampir juling mata Elaine menentang mata galak milik Eric. Di hujung bibir Eric terbit senyuman penuh makna. Elaine cuba menjauh tetapi, tubuhnya tidak dapat menjauh lagi. Dia tersepit di antara pintu wardrobe dan tubuh Eric yang menghimpit dirinya.

Tidak tahan matanya menjuling, segera kelopak mata ditutup rapat. Tangan Elaine masih meraba-raba pintu di belakang. Dia perlu menyelamatkan diri.

Bila tangannya teraba tombol pintu, segera dipulasnya berharap untuk melarikan diri dari Eric yang sudah tak ‘waras’ itu. Fikirnya dengan membuka pintu wardrobe tadi, dia akan segera menyembunyikan diri dan mengunci pintu wardrobe tersebut. Namun, lain pula jadinya.


Tubuh Eric dan Elaine sama-sama terdorong ke belakang tatkala pintu bilik wardrobe dibuka.

Gedebuk!

Makin tak keruan hati Elaine di kala tubuhnya dihempap tubuh Eric. Tanpa BERBAJU pulak tu. Seksi habis! Nampak otot yang berketul-ketul, menunjukkan Eric seorang lelaki yang menjaga badan. Naik luruh jantungnya bila otot six pack itu menghempap tubuh kecilnya. Mereka sama-sama tergamam.

Elaine memandang Eric, begitu juga dengan Eric. Mata mereka berpadu. Terdiam kaku dengan insiden tadi.

Tok! Tok! Tok!

“Abang, buat apa tu? Eryl bosanlah. Nak berborak dengan abang sekejap boleh?” Mereka dikejutkan dengan sapaan di luar bilik. Mata yang tadi tengah galak memandang wajah masing-masing sudah mula terkebil-kebil. Eryl!


“Eryl bukak pintu ni ye ,bang?” Pinta suara di sebalik pintu bilik nyaring. Bulat mata mereka berdua mendengar kata-kata Eryl itu. Pandangan yang jatuh pada pintu kembali pada wajah masing-masing.

“Eryl!” Jawab mereka berdua serentak. Posisi mereka masih belum berubah. Masih kaku seperti tadi. Tubuh Eric masih belum dialih dari menghempap tubuh kecil Elaine. Elaine menelan liur.



2 comments:

  1. Saye dah bace dari bab 1- 6...
    Best...
    Saye tertanye2 kenape Elaini nie jadi mcm patung ye?

    ReplyDelete
  2. NurAtiza...thanx sbb fllow cter ni tau..Thanx beri komen jgak..Nape Elaine jdi patung ek? Hmmm...Semuanya akn trjwab pd bab yg akn dtg..Atiza kna lah tggu.. :) Tulh saspen nmenya. heeee :D

    ReplyDelete