Thursday, February 25, 2016

Dosa Semalam Bab 7

BAB 7

            MEMBULAT mata kak Zah melihat gerangan yang sudah terpacak di dapur pada pagi itu. Sekejap-kejap dia cuba mencelikkan mata ingin memastikan apa betul gerangan itu wujud di situ pada waktu sebegini. Selesai solat subuh dia ke dapur ingin menyediakan sarapan pagi seperti sedia kala, tetapi lain pula kali ini. Dilihatnya beberapa hidangan sudah siap tersedia di atas meja.
            Aliniya yang sudah siap membasuh kuali di sinki berpaling sambil membawa pinggan bersih ke meja makan. Melihat wajah kak Zah yang sudah tercengang membuatkan dia tersenyum panjang.
            “Assalamualaikum, kak Zah. Selamat pagi. Meh makan! Saya dah siapkan nasi lemak dengan kuih karipap sekali. Kalau akak nak roti bakar saya boleh buatkan,”
            “Eh! Tak!” jawab kak Zah tersedar dari terus tercengang. Berkerut dahi Aliniya mendengar jawapan pendek daripada bibir wanita itu.
            “Tak apa dia kak? Tak nak makan ke?” Soal Aliniya semula. Dia menarik kerusi untuk kak Zah dan mempelawa wanita itu sekali lagi.
            “Kak Zah makanlah sekali dengan Niya. Janganlah akak tak sudi nak rasa hasil tangan saya. Nanti merajuk pulak saya,” Aliniya cuba memujuk. Bibirnya masih tak kering dengan senyuman yang tampak begitu manis sekali. Kak Zah terkebil-kebil mendengar kata-kata Aliniya.
            ‘Aku tahu Puan Niya dah sembuh tapi, takkan sampai macam ini sekali sikap dia berubah. Betul-betul berubah 360 darjah tu,’ omel kak Zah dalam hati.
            “Bukan macam tu maksud kak Zah, cuma kak Zah pelik yang Niya bangun begitu awal hari ini. Sudahlah malam tadi, Niya tidur lewat. Selalu tak macam ini,” di hujung ayatnya kedengaran berbisik tetapi dapat ditangkap oleh Aliniya.
            Bila mendengar kata-kata kak Zah tentang sikapnya yang begitu berbeza tidak seperti selalu membuatkan dia teringat akan kejadian yang berlaku malam tadi.
            “Apa yang kau nak lagi?” Soal Hardee dengan agak kasar. Matanya terpanah tepat pada wajah Aliniya. Aliniya pula memberanikan diri untuk melawan pandangan Hardee. Dia benar-benar tekad sekarang.

            “Saya nak tahu asal usul saya. Saya nak tahu saya lahir dekat mana. Dapat saya rasakan yang saya ini bukan berasal dari keluarga orang kaya. Saya rasa yang saya ini cuma gadis kampung,” ucap Aliniya sambil fikirannya mula terawang memikirkan suasana kampung.
            Hardee mengetap bibir dan akalnya cuba untuk mengingati sejarah lama. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Selama mengenali gadis itu, tidak pernah sekalipun dia berjumpa dengan ahli keluarga isterinya. Apa yang dia tahu, mereka dikahwinkan dengan menggunakan hakim sebagai wali perempuan itu. Dia cuma tahu perempuan itu seorang anak yatim piatu dan itu sahaja. Malah perkahwinan mereka juga bukan sesuatu yang mahu diingatinya semula. Biarlah kenangan pahit itu terkubur begitu sahaja. Buat apa nak ingat balik?
            “Tolong Encik. Saya betul-betul nak tahu dekat mana keluarga saya. Saya ini betul ke ada keluarga. Betul ke saya ini tak ada adik-beradik?”
            “Semua itu aku sendiri tak nak ambil kisah. Apa yang aku tahu kau tu muncul entah dari mana datangnya dan kau hancurkan hidup aku sampai menyebab kita kahwin. Tak perlulah kau nak tahu lebih-lebih lagi. Lagi elok kalau kau tak tahu apa-apa. Kalau kau ingat balik karang lain pulak jadinya. Dahlah! Aku nak tidur. Ngantok!” usir Hardee cuba mahu mengelak daripada disoal oleh isterinya lagi.
            Aliniya hampir-hampir putus asa untuk memujuk lelaki itu. Kali ini, dia mahu cuba bertanya sekali lagi sebelum dia beredar dari situ.
            “Jadi, saya memang tak ada keluarga? Saya ini anak yatim piatu?” Persoalan Aliniya membuatkan darah Hardee kembali mendidih.


            “Kau ini memang tak faham bahasa langsung! Kau nak tahu sangat ya? Baiklah. Kau tu memang anak yatim piatu! Perempuan yang tak tahu malu, perempuan yang memang suka hancurkan kehidupan orang lain. Sekarang kau dah faham kan? Keluar!” berang Hardee telah sampai ke kemuncak. Diambilnya bantal kecil di sisi katil dan dibalingnya pada kepala wanita itu. Aliniya kembali menangis bila diperlakukan sebegitu. Akhirnya dia akur dan keluar dari bilik suaminya bersama tangisan yang tak pernah lekang di tubir mata.
            “Semua ini Niya buat sendiri ke?” soal kak Zah membuatkan dia tersentak.
            “Hah? Apa dia kak?” Soalan kak Zah dibalas dengan soalan juga. Kak Zah yang sudah siap duduk di meja makan memandang Aliniya pelik.
            “Aik? Sempat lagi dia berangan. Akak tanya semua ini Niya buat sendiri ke? Akak tak tahu pun Niya pandai masak,” jelas kak Zah sambil tangannya mula menyenduk sambal  nasi lemak. Bau nasi lemak yang dibuat oleh Aliniya pun boleh tahan sedap. Ini belum makan lagi.
            Aliniya cuma tersenyum kecil. Dia sendiri pun tidak menyangka yang dia mampu membuat nasi lemak itu. Dia cuma mengikut saja gerak hatinya. Mungkin dulu dia sudah terbiasa membuat nasi lemak sambal udang kot.
            “Betul ke kak Zah tak pernah tengok Niya masak sebelum ini?” soal Aliniya ingin tahu.
            Kak Zah mengangguk laju sambil tangannya mula menyuapkan nasi bersama sambal tadi. Setelah merasa nasi lemak tersebut, mata kak Zah terbuntang luas seperti tidak percaya.
            “Sedapnya Niya masak! Betul akak tak tipu. Tak sangka dalam diam Niya ni pandai masak orangnya. Sepanjang akak kenal Niya, tak pernah sekalipun akak tengok Niya masuk dapur. Akak dengan pembantu rumah yang lain selalu kena arah dengan Niya adalah,” Aliniya mengerut dahi.
            ‘Kalau aku tak pernah masuk dapur selama ini, macam mana boleh aku tahu cara-cara nak buat nasi lemak? Macam mana aku tahu memasak?’ soalnya pada diri sendiri sambil matanya memandang pada kedua-dua tangannya.
            “Mungkin Niya memang ada bakat terpendam kot? Siapa tahu,” simpul kak Zah bersahaja. Berselera sungguh kak Zah makan siap diambilnya senduk ingin menambah nasi lagi. Aliniya menggeleng dan tersenyum kecil.
            ‘Siapa diri aku? Dari mana asal aku, semua itu penuh dengan tanda tanya. Ada hikmah kenapa aku tak dapat ingat semua itu. Mungkin juga perit untuk aku terima kisah silam aku sampai aku sendiri pun tak ingat apa yang terjadi dulu. Dahlah mamat garang tu tak nak beritahu aku,’
            Monolog kian terhenti bila fikirannya teringat akan keadaan Hardee semalam. Pantas matanya melihat jam di dinding. Sudah pukul 8 pagi. Lelaki itu tak bangun lagi ke? Tanpa sedar terbit juga perasaan risau di hati Aliniya.
            “Kak Zah, Encik Hardee memang selalu bangun lewat ke masa hujung minggu macam ni?”
            “Ada masanya dia bangun awal lepas subuh. Pagi-pagi macam ini dia mesti ke gim atau pergi ke taman dekat luar tu sebab nak jogging. Tapi, tak tahulah kalau hari ini dia tak nak keluar gara-gara kaki dia yang sakit itu,” serba ringkas kak Zah memberitahu rutin harian majikannya itu.
            “Oh!” balas Aliniya pendek. Kak Zah yang sudah kenyang itu mula menilik wajah isteri majikannya.
            “Kenapa? Niya risaukan Tuan Hardee ke?” kak Zah mula mengusik. Melihat wajah Aliniya yang mula kemerahan dek rasa malu, makin galak kak Zah mengusiknya.
            “Alah... kak Zah tahulah kamu risaukan suami tercinta,”
            “Mana adalah kak Zah. Memandai aje. Saya cuma nak tahu serba sedikit pasal Encik Hardee. Macam mana rutin harian dia. Lagipun, kak Zah kena tahu. Encik Hardee tu tak suka dekat saya. Mana tahu kalau dia tak nak tengok muka saya pagi-pagi ni ke. Jadi, saya kena elaklah supaya dia tak sakit hati tengok wajah perempuan yang dia bencikan ni,” kedengaran sedikit sedih di sebalik kata-kata Aliniya.
            Kak Zah bangkit dari kerusi dan membasuh pinggan yang digunanya tadi. “Akak sendiri pun tak tahu kenapa dia benci sangat dekat Niya walaupun Niya yang sekarang bukan macam Niya yang dulu. Kalau dulu, memang boleh agaklah kenapa,”
            “Kenapa?” pintas Aliniya menyoal.
            “Sebab Niya garang macam perempuan sihir kot,” tergelak Aliniya mendengar tebakkan kak Zah sambil menggeleng kepala.
            “Ada-ada je akak ini,”
            “Yalah. Tapi, terus-terang akak cakap, akak lagi suka Niya yang sekarang. Lemah-lembut dan pandai masak orangnya. Mesti geng-geng pembantu rumah yang lain terkejut tengok perubahan Niya ini,”
            “Bila diorang nak balik ke sini kak?” soal Aliniya bila teringat bukan hanya kak Zah seorang saja pembantu rumah di sini.
            “Esok agaknya. Diorang tu suka balik masa hujung minggu. Hari Jumaat lagi dah balik ke kampung. Maklumlah, kampung diorang jauh. Kampung akak dekat Negeri Sembilan je. Jadi, akak tak selalu balik. Dekat je kan,” Aliniya hanya mengangguk saja.
            “Pembantu-pembantu yang lain pun kenal sangatlah dengan perangai Niya dulu?”
            “Ada seorang tu memang kerja di sini sama waktu Niya muncul jadi isteri Tuan Hardee. Seorang lagi itu jadi pembantu rumah lepas pembantu yang dulu berhenti kerja,”
            “Kenapa dia berhenti kerja kak?”
            “Sebab... sebab Niya yang buat dia tak tahan bekerja dekat sini,” terkedu Aliniya mendengar satu lagi fakta tentang kisah dirinya yang lalu.         
            “Dipendekkan cerita, Niya memang buli dia habis-habisan sebab Niya tuduh dia ada hati dengan Tuan Hardee,”
            “Hah? Jadi memang dia ada hati dengan Encik Hardee ke?”
            “Si Liza tu memang pelik sikit sikap dia. Gedik semacam. Tapi, bila kena hentam dengan Niya, dia mula melawan. Lepas itu, habislah kena buli dengan Niya. Bila ingat balik kisah itu, tak sanggup akak tau. Niya siap berani lagi tarik rambut dia. Banyak gak rambut dia gugur dikerjakan oleh Niya,”
            “Patutlah kak Zah nampak takut bila jumpa saya buat pertama kali semalam. Ganas juga saya ini rupanya,” Aliniya membuat kesimpulan tentang dirinya yang dulu.
            “Sebab tulah si Liza tu tak tahan dan berhenti kerja. Orang yang ganti dia itu pula jenis yang memang akur dengan Niya. Tak banyak bising,” Aliniya hanya mengangguk faham.
            Selesai makan Aliniya mula mengemas tetapi ditegah oleh kak Zah. “Tak apalah Niya. Biar akak yang buat semua ini,”
            “Tak kisahlah kak. Niya boleh buat. Jangan risau,” Aliniya masih juga mahu membantu. Kak Zah menarik tangan Aliniya ingin menghentikan Aliniya daripada terus mengemas.
            “Niya tak perlu risau. Tadi Niya dah buatkan sarapan pagi, jadi biar akak yang kemaskan semua ini. Apa kata Niya pergi jenguk Encik abang Niya dekat atas tu. Sepatutnya waktu ini dia dah makan sarapan pagi, tapi sampai sekarang tak juga turun. Mungkin dia masih lagi rasa sakit dekat kaki dia tu kot. Niya bawak jelah sarapan ke atas,” cadang kak Zah membuat hati Aliniya jadi tak tentu arah.
            “Eh! Akak jelah yang pergi jenguk ke atas. Nanti dia marah kalau Niya kejutkan dia. Akak tak apa. Dia dah biasa dengan akak,”
            “Niya, akak pun segan nak masuk bilik Tuan kecuali bila Tuan benarkan untuk kemaskan bilik dia. Selalunya, yang berani keluar masuk bilik tanpa kebenaran Tuan hanya Niya sorang je,”

            ‘Aku?!’ Satu lagi fakta tentang siapa Aliniya yang dulu membuatkan Aliniya tergamam. Walaupun Hardee membenci dirinya, tetapi mampu juga lelaki itu bertahan dengan sikapnya dulu. Jadi apa yang menyebabkan lelaki itu masih lagi mahu menghadap muka perempuan yang dibencinya?

Friday, February 19, 2016

Dosa Semalam Bab 6

BAB 6

            BAYANG-BAYANG dari arah dapur membuatkan langkah Hardee mula perlahan. Setahu dia pembantu rumahnya akan tidur awal disebabkan rutin mereka yang perlu bangun awal pada keesokkannya. Jadi, siapa pula yang berada di dapur itu? Fikiran yang bukan-bukan mula menganggu minda.
            ‘Macam mana boleh dia menyelinap masuk ini? Haih... kak Zah ni mesti lupa nak kunci pintu dapur belakang lagi. Aduh! Payah macam ni,’ Hardee sudah menggerutu dalam hati.
            Dek bergerak di dalam keadaan yang gelap dengan hanya ditemani lampu dari arah dapur, Hardee tersepak pula kaki meja di ruang tamu tengah sehingga terjatuh perhiasan kayu.
            Pang!
            Hardee mula mengutuk diri.
            ‘Aduh! Sakit! Habis kantoi. Kalau perompak tu lari macam mana? Tak boleh jadi ini,’
            Pantas kakinya melangkah ke arah dapur dengan terhincut-hincut. Niat ingin mengepung perompak tetapi lain pula jadinya.
            “Ah!” Jerit Hardee dan Aliniya serentak. Kuali yang dipegang oleh Aliniya sudah terlepas apabila tangan Hardee lebih pantas menahan tangan gadis itu sebelum sempat dia dipukul. Entah mana silapnya, Hardee boleh tertarik lengan Aliniya dengan kuat sehingga tubuh Aliniya terdorong ke depan menyebabkan kedua-duanya berdiri tidak seimbang. Lalu, tubuh kecil Aliniya menghempap tubuh milik Hardee. Terluah juga erangan daripada mulut lelaki itu yang sedari tadi hanya disimpannya saja.
            “Aduh! Bukan kaki aku je yang jadi mangsa, badan aku pun kau nak binasakan sekali?” mendengar saja suara lelaki yang dikenalinya, pantas saja Aliniya cuba untuk bangun. Namun, masing-masing tergamam tatkala sepasang anak mata si gadis dan si jejaka bertaut antara satu sama lain.
            Kedua-dua kaku tidak berkutik sehingga Aliniya dapat rasakan bunyi jantung yang berdegup laju jelas kedengaran.
            “Ya Allah, Tuan, Ni... Niya, apa dah jadi ini?” serentak kepala mereka berpaling memandang kak Zah yang baru muncul itu. Lampu di ruang tengah dibuka dan keadaan yang gelap mula terang sehingga kedua-duanya dapat lihat wajah masing-masing dengan jelas.
Sebaik melihat Hardee dan Aliniya, kak Zah mula menekup mulut dan berpaling ke belakang.“Ma... maaf Tuan. Saya tak nampak apa-apapun,” kak Zah sudah serba salah bila melihat adengan yang tak sepatutnya itu.
            Tersedar yang mereka masih berada di posisi yang agak mencurigakan itu, lalu Aliniya cepat bangkit dan berdiri menjauhi Hardee dengan wajah yang sudah menunduk. Malu ingin bertentang anak mata dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. Walaupun hakikatnya lelaki itu sudah pun menjadi suaminya, dia tetap berasa asing dan janggal bila bersama Hardee.
            Hardee berusaha untuk menenangkan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan dalam akal fikiran tatkala mengingatkan kembali kejadian tadi. Hardee bingkas dari posisi baring  dan cuba untuk berdiri.
            “Ah!” Hardee kembali terduduk semula. Teringat kakinya tersepak kaki meja, anak matanya membulat bila melihat ibu jari kaki yang sudah kebiruan. Kali ini, sakit yang dirasakan tidak terlalu sakit tadi berubah menjadi begitu menyengat dan pedih. Hardee menggigit bibir dan matanya terpejam rapat menahan rasa.



            Anak mata Aliniya juga dapat menangkap ibu jari kaki Hardee yang sudah membengkak itu. Mungkin sebab itulah dia terdengar bunyi bising tadi. Pasti lelaki ini tersepak dekat mana-mana, tebaknya dalam hati.
            “Tuan... saya minta maaf. Saya minta maaf sebab saya Tuan...”
            “Kau buat apa malam-malam buta ini perempuan?!” jerkah Hardee sehingga tersentak Aliniya dibuatnya. Kak Zah juga terkejut mendengar suara Hardee. Pantas, dia berpaling dan melihat wajah Hardee yang merah menahan kemarahan. Marah benar lelaki itu dengan Aliniya. Gerun juga bila melihat wajah garang Hardee.
            “Emmm... Tu... Tuan, saya pergi ambilkan first aid,” kak Zah terus beredar ingin mencari kotak kecemasan. Dibiarnya Aliniya dan Hardee di situ sebentar. Dia tidak mahu masuk campur.
            Pecah tempurung matanya bila digertak sebegitu. Sungguh! Tiada niatnya mahu mengapa-apakan lelaki itu. Semenjak keluar dari hospital, tangisan dan air matalah yang banyak menemaninya.
            “Aku tanya kau buat apa malam-malam buta macam ini?” soal Hardee sekali lagi. Aliniya menggigit bibir tidak mahu esakkannya kedengaran. Sedaya-upaya dia menahan untuk tidak menangis, tetapi hatinya tetap berdegil.
            “Saya... saya minta maaf Tuan. Saya tak ada niat pun,”
            “Banyaklah kau tak ada niat. Eh! Semenjak kau hadir dalam rumah ini, aku memang tak boleh nak percaya satu pun kata-kata kau! Sejak dulu lagi, kau memang ada niat dan agenda sendiri. Sekarang ini, kau keluar dari hospital sekalipun kau tetap berniat nak sakitkan aku, kan?!”
            “Tak Tuan. Saya tak tahu pun Tuan dah balik. Betul, saya tak ada niat macam tu,” Aliniya angkat kepala dan memberanikan diri untuk memandang Hardee. Walaupun matanya sudah kabur dek tangisannya, tetapi dia dapat lihat dengan jelas bahawa anak mata Hardee sedang memandang tajam padanya.
            Aliniya menggeleng dan air matanya jatuh lagi. “Saya tak berniat apa-apa Tuan. Maafkan saya,” suara Aliniya kedengaran seperti merayu. Kini, Hardee pula tergamam melihat wajah Aliniya yang sudah lecun dengan air matanya. Hardee mengetap bibir bila sedikit sebanyak dia mula termakan dengan kata-kata Aliniya yang kedengaran seakan-akan jujur. Hardee menjeling ke arah lain. Tidak mahu melihat wajah Aliniya lama-lama.


            ‘Tak! Aku takkan mengalah dengan pujuk rayu kau tu,’ desis Hardee yang masih ego.
            Malas ingin berada lama-lama bersama perempuan itu, Hardee cuba untuk bangkit. Melihat Hardee yang kelihatan susah untuk mengimbangi tubuhnya, Aliniya pantas menahan. Tangisannya pula sudah mengendur.
            “Tak payah!” Hardee menepis kasar. Aliniya melangkah setapak ke belakang. Tetapi, melihat Hardee yang bergerak terhincut-hincut itu, Aliniya jadi tak sampai hati untuk membiarkan begitu saja.
            ‘Lantaklah apa dia nak cakap sekalipun. Kalau tak tolong nanti bermacam-macam tuduhan yang bukan-bukan dilemparnya,’ detik Aliniya di hati. Pantas, Aliniya menyeka sisa-sisa air mata di pipi. Lengan Hardee dipaut pantas. Membulat mata Hardee melihat tindakan berani Aliniya.
            “Aku cakap...”
            “Kak Zah, tolong papah Tuan Hardee sekali,” pintas Aliniya sebaik melihat kak Zah yang muncul bersama kotak kecemasan di tangan. Tidak dihirau anak mata tajam milik Hardee yang masih galak memandang wajahnya.
            “Hei, kau ini pekak ke apa?”
            “Kak Zah, kita papah dia naik ke atas. Susah juga kalau saya papah sorang,” Aliniya tidak mengendahkan kata-kata Hardee.
            “Baiklah,” kak Zah akur saja. Mulut Hardee pula sudah terkunci rapat. Nak kata apa lagi untuk buat perempuan ini faham? Kepalanya sudah mula memikirkan rencana seterusnya.
            Tubuh Hardee dipapah sehingga ke katil. Mata Hardee masih tak lepas memandang wajah selamba Aliniya. Sebentar tadi gadis itu menangis, dan sekarang gadis itu berubah tenang. Satu lagi sikap Aliniya yang memang tak pernah dilihatnya sebelum ini. Dia tak berlakon kan?
            “Ini kotak kecemasan,” kak Zah menyuakan pada Aliniya. Aliniya mengambilnya dari tangan kak Zah.
            “Akak pergilah sambung tidur. Biar saya tolong letakkan pada kaki Tuan Hardee,”
            “Eh! Aku tak perlukan pertolongan kau pun!” Hardee mencelah. Matanya menjeling tajam pada Aliniya.


Sehabis boleh Aliniya cuba menenangkan perasaannya. Sedih, marah, geram, semuanya ada. Tetapi, diperbanyakkan istighfar di dalam hati supaya perasaan itu ditepis jauh-jauh. Kalau sudah ada hati yang tengah panas, maka lawannya perlu air. Kalau sudah begini cara lelaki itu melayannya, kenapa tidak dia cuba untuk berlembut sahaja.
            Kak Zah beredar keluar dari bilik majikannya dan kembali ke bilik tidur. Aliniya mula mengeluarkan cotton bud dan minyak gamat dari kotak kecemasan tadi.
            “Sah kau ini bukan saja keluar dari hospital gila, tapi dengan telinga kau sekalipun dah rosak sama. Patutnya aku biarkan...”
            Tiba-tiba kata-kata Hardee terhenti tatkala tapak tangan Aliniya menutup mulutnya. Hardee tergamam dengan aksi spontan perempuan itu. Nampaknya Aliniya sudah mula menunjukkan keberanian melawannya. Hardee yang mahu menepis tangan Aliniya terbantut dek sebelah lagi tangan Aliniya yang pantas menahan.
            “Kalau awak bising nanti kak Zah tak dapat tidur. Esok kan dia nak bangun awal. Kita jangan ganggu dia ya? Lagipun sekarang dah lewat malam,” pujuk Aliniya lembut. Tercengang Hardee mendengar kata-kata Aliniya. Sekarang, perempuan itu berubah menjadi seorang gadis yang lemah-lembut.
            ‘Doktor Radhuan tu pasti ke si gila ini dah kembali normal? Aku tengok macam makin mereng je,’ fikir Hardee pula.


            Melihat Hardee yang sudah tenang, lalu, Aliniya mengambil kembali cotton bud tadi. Dibukanya penutup botol minyak gamat dan dicalitnya sedikit dengan cotton bud di tangan. Dia menunduk memandang ibu jari kaki Hardee. Berkerut dahinya melihat ibu jari kaki yang sudah mengembang itu. Matanya kembali memandang wajah Hardee yang kelihatan begitu jengkel dengan kehadirannya di situ. Namun, Aliniya membalas dengan sebaliknya. Hardee terkedu melihat bibir yang merekah tersenyum padanya.
            Aliniya mula menyapu ubat pada ibu jari kaki lelaki itu. Perlahan-lahan ubat disapu, tidak mahu Hardee merasa sakit dengan sentuhannya. Sempat juga ibu jari kaki itu ditiup lembut.
Satu perasaan aneh mula menyerbu hati Hardee sehingga tanpa sedar, matanya mula merenung jauh pada wajah Aliniya.
“Ya Allah, semoga kaki ini cepat sembuh. Amin,” doa Aliniya ikhlas. Selesai meletak ubat, Aliniya menyimpan kembali barang-barang tersebut ke dalam kotak kecemasan. Aliniya panggung kepala dan dadanya terasa berdebar tatkala sekali lagi anak matanya bertaut pada anak mata hitam bundar milik lelaki itu.
“Maa.. maaf. Saya betul-betul nak minta maaf sebab buat Encik fikir yang bukan-bukan tadi. Tadi, saya tak dapat tidur. Jadi, itu yang saya ke dapur,” jelas Aliniya sebaik tersedar yang mereka sudah jauh mengelamun. Tidak mahu terus lama berduaan di situ, Aliniya segera bangkit. Namun, langkahnya terhenti di saat lengannya ditahan oleh Hardee. Hardee mengetap bibir dan lengan itu ditarik dengan kasar. Tindakan pantas Hardee mengejutkan Aliniya. Mata yang jauh memandang ke dasar anak matanya tadi berubah serta-merta.
“Kau jangan ingat dengan layanan kau ini boleh ubah perasaan aku terhadap kau selama ini. Eh! Kau dengar ini elok-elok dan ingat sampai kau mati. Aku takkan pernah maafkan dosa-dosa yang kau dah buat selama ini pada aku. Kau dah porak-perandakan keluarga aku dan aku takkan senang-senang lupakan macam itu je,” Aliniya dapat dengar dengan jelas dan dapat dirasakan suara Hardee yang penuh dengan dendam dan kebencian.
“Apa yang dah saya buat pada Encik selama ini sebenarnya? Kalau betul saya ini dah porak-perandakan kehidupan Encik, kenapa Encik tak lepaskan saya saja?”
“Kau ingat aku akan senang-senang lepaskan kau? Aku takkan biarkan sama sekali. Aku nak kau dapatkan pembalasannya. Dalam keadaan kau macam ini, lagi senanglah untuk aku balas semua perbuatan kau, Aliniya!”
Mendengar bait-bait ayat itu membuatkan perasaan Aliniya begitu hancur. Dia yang masih tidak tahu apa kesalahannya selama ini bertambah bingung dan runsing. Aliniya hanya mampu diam dan tidak tahu membalas apa. Sudahnya, dia hanya tertunduk. Nafas ditarik dalam.
Hardee melepaskan genggamannya bila tiada respon daripada gadis itu. Tidak terdetik ke rasa marah pada sekeping hati itu?
“Dah! Kau keluar dari sini. Aku tak nak tengok muka kau pun,” Hardee menghalau. Aliniya menurut saja. Kakinya mula melangkah ingin meninggalkan lelaki itu tetapi, langkahnya terhenti dan dia berpaling semula menghadap Hardee.
“Saya benarkan...” ucap Aliniya ringkas. Hardee mengerutkan dahi masih tidak memahami.
“Saya benarkan Encik beri pembalasan yang setimpal pada saya. Apapun dosa saya yang lalu, saya akan telan semuanya. Tapi, saya nak tahu sesuatu,”
“Apa dia?” Hardee menyoal semula.
“Mampu ke kalau Encik ampunkan dosa saya walau setimpal manapun pembalasan yang saya terima itu? Mampu ke dosa itu dibalas dengan dendam di hati Encik kalau itu yang mampu memuaskan hati Encik selama ini?”
“Kau jangan nak bagi ceramah dengan aku pula ya!”
“Apa yang saya cakap ini betul bukan? Tapi, kalau betul pembalasan yang saya terima ini mampu membuatkan Encik tersenyum, jadi saya akan benarkan. Semenjak saya keluar dari hospital, saya tak tahu satu benda pun yang berlaku pada saya. Jadi, saya nak buat satu permintaan pada Encik,” kata-kata Aliniya membuatkan sebelah kening Hardee terangkat. Wajah masam mencuka milik Hardee ditatap dengan lembut.

“Apa kau nak?” Soal Hardee kembali.

Saturday, February 13, 2016

Dosa Semalam Bab 5

BAB 5

            TANGANNYA mula mengemas baju T yang baru dipasangkan di badan. Selepas itu dia membuka laci kecil dan mengambil jam tangan G-Shock berwarna hitam dan dipasangkan pada pergelangan tangan. Sebelum keluar dari bilik sempat dia menilik wajahnya di cermin. Setelah berpuas hati, barulah dia melangkah keluar dari bilik.
            Sebaik kakinya ingin melangkah ke anak tangga, dia berhenti dan matanya menyorot pada sebuah bilik berdekatan dengan biliknya. Wajahnya nampak gusar, lalu dia bergerak ke bilik tersebut. Tombol pintu dipulas dan daun pintu berkunci. Dia menarik nafas lega.

            ‘Jangan sampai sesiapapun jejak masuk ke bilik ini,’
            Sejurus itu, dia kembali melangkah ke anak tangga dan segera menuju ke dapur.
            “Kak Zah?” Hardee mula mencari kelibat salah seorang pembantu rumahnya. Apabila kelibat Kak Zah muncul dari belakang dapur, Hardee mula mengukir senyum tanda hormat pada pembantu rumahnya itu.
            “Kak Zah tengah masak ke?”
            “Ha’ah. Kenapa Tuan?” Soal Kak Zah kembali. Sempat matanya menilik penampilan majikannya dan dia sudah dapat agak, pasti majikannya itu mahu keluar.
            “Emmm... Malam ini saya balik lewat. Jadi, kak Zah masak jelah untuk Puan ya? Saya tak ada seleralah kalau nak makan dengan perempuan itu,” jelas Hardee tanpa selindung akan perasaannya. Hardee tahu bahawa kak Zah memang faham tentang rutinnya. Malah, kisah silam yang terjadi di antara suami isteri itu ada di tangan kak Zah.
Walaupun begitu, kak Zah cuma tahu serba sedikit tentang isteri majikannya, dan bagaimana hubungan antara mereka berdua. Mengapa lelaki itu membenci isterinya, tidak pula dia mahu ambil tahu. Tetapi, dia dapat mengagak mengapa lelaki itu mempunyai perasaan sebegitu terhadap isterinya. Lagipun, dia juga berasa tidak suka akan kehadiran isteri majikannya itu. Namun, perubahan sikap Puan Aliniya hari ini ternyata membuatkan dia tertanya-tanya juga. Sungguh! Dia begitu terkejut dengan layanan Puan Aliniya pada pagi tadi. Tiada langsung bunyi pekikkan perempuan itu. Tiada lagi herdikan yang keluar daripada mulut si ‘Puan Sihir’ itu. Pelik! Apa sudah jadi pada Puan Aliniya setelah keluar dari rumah pesakit mental itu?
“Yalah, Tuan. Nanti saya siapkan makanan untuk Puan saja,” ucap kak Zah akur.
“Apa-apa hal awak telefon saya terus ya? Mana tahu, tiba-tiba datang balik dia meroyan. Kalau jadi macam itu bagus juga,” kak Zah tidak dapat mendengar dengan jelas pada penghujung ayat majikannya. Hardee seakan berbisik pada diri sendiri. Lantas, kak Zah mengangguk dan menghantar Hardee sehingga ke pintu. Bila kelibat Hardee sudah hilang daripada pandangan, kak Zah mengunci daun pintu. Sempat matanya melirik pada bilik yang dihuni oleh Aliniya.
‘Tak keluar-keluar lagi ke Puan Sihir tu? Tak lapar ke dia?’ Soal kak Zah di benak hatinya. Terbit rasa risau juga kalau jadi apa-apa pada isteri majikannya itu. Takut pula kalau Aliniya lapar dan makanan tidak dihidang seperti yang dimahunya, pasti pinggan mangkuk di dapur terbang di depan mukanya.
Bila teringat kisah lalu, rasa ngeri juga dibuatnya. Kepalanya hampir-hampir pecah dek Aliniya mengamuk tak tentu pasal. Semua pinggan mangkuk yang ada di dapur itu dipecahnya. Tunggang-langgang keadaan waktu itu. Sebab mengapa isteri majikannya mengamuk pada waktu itu, kak Zah sendiri tidak tahu. Kadang-kala dia sendiri tidak faham akan sikap Aliniya yang ada masanya bertukar menjadi ribut taufan. Seolah-olah ada saja yang tidak kena di matanya. Sengaja mahu memberontak. Kehadiran Aliniya di rumah banglo itu menyebabkan keadaan di situ tidak lagi seaman dulu.
Kak Zah menggeleng kepala tatkala tersedar begitu jauh lamunannya. Lantas, dia melangkah ke bilik Aliniya. Kak Zah teragak-agak mahu mengetuk pintu bilik tersebut. Gusar juga kalau dia dimaki teruk oleh Aliniya. Dia cuba kuatkan semangat dan mengetuk juga daun pintu.
Aliniya tersedar dek bunyi ketukan. Barulah dia perasan keadaan biliknya yang sudah kelihatan gelap.
‘Aku tertidur dari tadi sampai tak sedar hari dah malam rupanya. Ya Allah! Kenapa alpa sangat ni?’
Aliniya bingkas dari pembaringan dan turun dari katil. Perlahan-lahan dia bergerak mencari suis lampu. Bila dirasakan tangannya menyentuh tombol pintu, pantas dia membukanya. Sinar cahaya dari luar menyebabkan anak matanya terasa silau. Dia mengecilkan anak mata.
“Errr... Puan baru bangun ke? Pu... Puan nak makan?”
“Oh, kak Zah! Saya tertidur dari tadi. Rasa pening tiba-tiba, itu yang saya nak tidur kejap. Sekali tengok dah malam rupanya,” jelas Aliniya dengan suara sedikit serak dan perlahan. Aliniya cuba untuk mencelik mata dan menekan suis lampu berdekatan dengan daun pintu. Barulah cerah biliknya sekarang.
Sebaik lampu dibuka, mahu terkejut kak Zah melihat wajah Aliniya yang tidak bermaya itu. Di tambah pula dengan rambut Aliniya yang serabut serupa rambut singa jantan. Mahu saja kak Zah tergelak dibuatnya.
Sepanjang duduk sebumbung dengan Aliniya, tidak pernah sekalipun dia melihat wajah Aliniya yang baru bangun seperti ini. Dia hanya melihat Aliniya setelah isteri majikannya itu siap berkemas dan berdandan. Walaupun isteri majikannya tidak memerlukan mekap yang tebal, bagi kak Zah, Aliniya tetap cantik. Kulitnya yang putih kemerahan itu mampu memikat sesiapa saja. Cuma sayang, perempuan cantik seperti Aliniya terlalu angkuh dan garang. Tetapi, berlainan pula dengan Aliniya sekarang. Sememangnya, Aliniya yang baru keluar dari hospital sakit mental ini benar-benar berubah menjadi seorang Aliniya yang tidak pernah dikenalinya.
Aliniya merenung wajah kak Zah dengan perasaan hairan. Perasan yang dia agak keterlaluan, pantas kak Zah menunduk. Aliniya perasan wajah kak Zah yang tadinya hampir tersenyum terus berubah bila dia merenung perempuan itu.
“Emmm... ada apa-apa dekat muka saya ke kak Zah?”
“Tt... tak Puan. Puan tetap nampak cantik,” jawab kak Zah pantas. Dia sudah mula berasa ketakutan ditegur sebegitu.
Dalam beberapa saat kedengaran bunyi tawa dari mulut munggil gadis itu. Kak Zah terkesima seketika apabila pertama kali melihat wajah ceria Aliniya. Nampak begitu manis apabila gadis yang dikenali dengan sikap bengis dan garang itu ketawa riang.
“Saya bukan cakap pasal itulah kak Zah. Tapi, pujian akak tu ikhlas ke? Macam menipu je akak ni,” tawa Aliniya mula reda.
“Eh, tak Puan! Jujur saya cakap. Puan Aliniya memang cantik. Cantik bila ketawa macam itu,” kali ini kak Zah akui, dia benar-benar ikhlas memuji isteri majikannya itu. Aliniya tersenyum panjang.
“Terima kasih, kak Zah. Emmm... kak Zah, saya nak buat permintaan boleh tak?”
“Apa dia Puan?” Soal kak Zah semula.
“Lepas ini, kak Zah tak perlulah panggil saya Puan. Panggil saya Niya je. Sejak saya berada di hospital, saya dengar doktor yang merawat saya panggil saya, Niya. Bila saya sedar je, dia ubah pula panggil Puan. Sebenarnya, saya rasa tak selesa dengan panggilan itu. Saya sendiri pun tak tahu yang sebenarnya saya ini dah kahwin, dah ada suami. Jadi, bolehlah ya kalau kak Zah panggil je saya Niya,”
“Tapi, Puan...”
“Bukan Puan... Tapi, Niya,” pintas Aliniya pula. Kak Zah akhirnya mengangguk akur.
“Baiklah, Ni... Niya,” Aliniya tersenyum puas. Melihat sebaris senyuman itu, kak Zah turut mengukir senyuman.
“Kak Zah kata apa tadi? Saya lapar ke tidak?” kak Zah mengangguk laju.
“Saya lapar sangat! Jadi, kak Zah temankan saya makan ya?” Aliniya menarik lengan kak Zah mengajak pembantu rumahnya untuk makan sekali.
“Tapi, Puan. Eh! Niya tak nak mandi dulu ke?”
“Tak apalah, kak Zah. Saya makan dulu. Perut dah berdendang keroncong ini. Jadi, kita makan dulu ya?”

Setelah selesai makan, kak Zah menghidangkan air coklat panas untuk Aliniya.
“Betul Niya tak nak minum kopi macam selalu?”
“Macam selalu?” Soal Aliniya kembali. Dia mahu mengambil kesempatan itu untuk mengorek segala rahsia daripada kak Zah tentang kisah silamnya. Mana tahu dia boleh ingat sikit-sikit.
Kak Zah mengangguk sambil tangannya mengelap meja makan. “Selalu kalau Niya tak minta kopi panas tak sah! Kalau tak dihidang mesti Niya mengamuk,” Aliniya yang meneguk air coklatnya terhenti sebaik mendengar kata-kata kak Zah. Sampai begitu sekali ke sikapnya dulu? Aliniya meletakkan mugnya di atas meja. Wajah Aliniya sedikit berubah.
“Niya yang dulu berbeza dengan Niya sekarang. Sepanjang Niya tinggal dekat sini, apa yang boleh akak simpulkan, Niya yang dulu sangat garang, suka bergaduh dengan Tuan dan juga bapa mertua Niya. Kalau ada yang tak kena, Niya akan marah dan pembantu rumah akan jadi mangsanya. Kenapa Niya selalu bergaduh dengan Tuan tu, akak sendiri tak tahu sebenarnya. Kami sebagai pembantu rumah dekat sini cuma menurut arahan saja. Tak lebih dari itu sebab Tuan dan arwah bapa mertua Niya dulu sangat perahsia orangnya,” penjelasan daripada kak Zah kedengaran berulang-ulang di mindanya sebaik kak Zah meminta diri untuk ke bilik. Kak Zah membiarkan Aliniya sendirian di dapur. Dia faham pasti susah untuk Aliniya terima semua ini. Walaupun kak Zah hanya menceritakan serba ringkas, tetapi mungkin berat bagi Aliniya yang baru saja sembuh itu. Tidak mahu memeningkan kepala isteri majikannya, kak Zah mengambil keputusan untuk beredar ke bilik.
Air mata Aliniya mula bergenang. Dia sendiri masih keliru akan keadaan sekeliling.


‘Ya Allah, cabaran apa yang aku kena lalui ini? Dosa apa yang aku dah buat sehingga aku terpaksa menelan semuanya?’ rintih sekeping hati yang masih berduka. Aliniya menyeka air matanya dan beredar semula ke bilik. Tidak mahu merunsingkan fikirannya, Aliniya segera ke bilik air ingin menyegarkan badan.
Selesai solat, Aliniya duduk di hujung katil. Melihat telekung yang sudah digantungnya di tempat sidai, dia teringat semula akan kata-kata kak Zah ketika mereka makan tadi.
“Kak Zah ada telekung tak?”
“Hah?” hampir tersedak kak Zah sebaik mendengar soalan Aliniya. Aliniya turut terkejut melihat reaksi kak Zah.
“Kenapa kak Zah?”
“Tak. Niya cakap apa tadi? Telekung?” Aliniya mengangguk laju.
“Ha’ah. Akak ada telekung tak? Sebab rasanya, tak ada tergantung pun telekung dalam almari itu. Itu yang Niya tanya,”
“Ni... Niya solat ke?” persoalan kak Zah menyebabkan Aliniya bertambah hairan. Aliniya berhenti makan.
‘Selama ini aku tak solat ke?’
Aliniya mengeluh lemah. Dia kembali memandang kain telekung yang diberi oleh kak Zah tadi.
“Masa awak dah ada di rumah nanti, jangan lupa makan ubat. Jaga solat juga,” Aliniya teringat pesanan doktor Radhuan sebelum dia keluar dari hospital pada siang tadi.
“Sewaktu awak sakit, memang awak tak dapat solat, Niya. Tapi sekarang awak dah kembali waras, baiklah kalau awak sentiasa menjaga solat dan berdoa agar memori awak kembali pulih. Satu hari nanti awak pasti dapat ingat semula kisah dan sejarah lama awak. Inshaa Allah. Allah akan mengizinkan doa-doa awak kalau awak ikhlas ingin mencari kebenarannya.”
‘Mampu ke aku terima kebenarannya ya Allah? Mampu ke aku terima kalau apa yang pernah suami aku beritahu itu betul-betul membuktikan siapa diri aku sebenarnya? Aku ini kejam orangnya. Aku seorang perempuan yang begitu banyak melakukan dosa dan aku telah banyak melukai orang sekeliling aku,’Aliniya meraup mukanya ingin menghilangkan resah di hati.
Lama dia duduk di hujung katil dan dia perasan masa sudah berlalu pantas. Disebabkan matanya masih belum ada tanda-tanda mahu tidur, Aliniya mengambil keputusan untuk keluar daripada bilik dan kembali semula ke dapur.
‘Daripada aku asyik melayan perasaan, apa kata aku buang dulu ke tepi semua benda itu. Aku nak buat sesuatu yang boleh hilangkan stress ni,’ bisik Aliniya dalam hati.
Almari dapur dibuka satu persatu. Matanya tercari-cari sesuatu. Tatkala anak mata terlihat benda yang diingi, laju saja tangannya mengambil keluar barang-barang tersebut. Aliniya beralih memandang jam pada dinding dapur.
“Baru pukul 10.30, masih awal lagi sebenarnya,” Aliniya berbicara sendiri. Tiba-tiba, Aliniya teringat sesuatu.
“Tadi, kak Zah bagitahu yang Encik Tuan itu balik lewat. Entah pukul berapalah mamat tu nak balik. Lantaklah,” Aliniya mengangkat bahu dan kembali memandang bahan-bahan tadi. Melihat pada barang-barang yang sudah disediakan di atas meja, Aliniya perasan akan sesuatu yang dilupanya.
“Buku resepi!” Laju saja dia keluar menuju ke rak almari yang terletak di ruang tengah tadi. Dia perasan akan kewujudan buku tersebut apabila dia melintas ingin ke bilik. Aliniya menarik keluar buku resepi tersebut dan membelek helaian demi helaian muka surat buku tersebut. Matanya mencari-cari resepi yang menarik minatnya.
“Kek Red velvet. Bunyi macam sedap je,” Aliniya berasa teruja setelah membaca cara-cara membuat kek Red velvet tersebut.
Walaupun dia baru sahaja sembuh, tetapi, Aliniya tetap dapat mengingati minatnya dalam bidang kulinari. Dia sendiri pun rasa pelik. Dalam banyak-banyak benda yang dia ingat, minat yang satu itu tidak dilupakan. Malah, sebaik melihat bahan-bahan dan juga peralatan di dalam almari kabinet dapur tadi, dia seperti sudah mahir dengan semuanya.
Tanpa melengahkan masa, Aliniya menyediakan bahan-bahan untuk membuat kek Red Velvet mengikut resepi di buku.
Bahan-bahan kek:
- 31/2 Cawan Tepung Naik Sendiri
- 2 Cawan Minyak Jagung
- 2 Cawan Gula Kastor
- 2 Cawan Susu Cair
- 2 Biji Telur
- 1 Sudu Serbuk Vanilla
- 2 sudu Besar Serbuk Koko (Membukit)
- 4 Sudu Besar Cuka
- 1 Sudu Teh Baking Powder.
Tangan Aliniya mula lincah ketika menyediakan bahan-bahan tersebut. Bahan-bahan yang sudah dicampur, dikacau rata. Sambil anak matanya membaca buku resepi, sambil itu tangannya bergerak. Satu-persatu langkah diikutnya. Setelah selesai, dia membaca pula bahan-bahan untuk membuat topping.
Bahan-bahan untuk topping:
- 1 Buku Cream Cheese
- 1 Cawan Gula Kastor
- 1/4 Butter (Saiz 250g)
- 2 Sudu Susu Pekat.
Aliniya bersungguh-sungguh menyiapkan kek tersebut sehingga lupa akan masa yang sudah menginjak ke tengah malam. Apabila kek sudah masak, Aliniya mula menghiaskan kek red velvet tersebut. Perhiasan yang dibuatnya nampak begitu kemas dan teliti.
Aliniya menarik nafas lega setelah kek red velvet dibuatnya selesai juga. Aliniya tersenyum sendiri melihat hasil kerja tangannya.


“Mempersembahkan kek buatan chef Aliniya!” Aliniya pantas menekup mulutnya bila tersedar bahawa suaranya mampu mengganggu tidur orang-orang di dalam rumah ini.
“Eh! Yang aku takut sangat kenapa? Dalam rumah ini cuma ada aku dan kak Zah. Pembantu rumah yang lain tak ada dekat sini sebab bercuti. Encik Tuan pun belum balik lagi. Jadi, tak kisahlah,” ujarnya sambil tersengih sendiri. Aliniya bertepuk tangan tanda dia berpuas hati. Malah, keresahannya hilang serta-merta bila fokusnya hanya pada kek yang dibuatnya.
Pang!
Bunyi bising dari luar menyebabkan Aliniya terkejut. Dadanya tiba-tiba berdegup pantas. Sudahlah keadaan di sekelilingnya gelap sahaja. Hanya lampu di luar dan lampu dapur sahaja yang terbuka.
Aliniya menelan liur. Rasa takutnya mula terasa. Dahinya pula mula berpeluh. Perlahan-lahan, Aliniya mengambil periuk dan kakinya mula melangkah ke arah bunyi tadi. Aliniya berhenti bersembunyi di sebalik dinding. Dapat dirasakan ada kelibat yang bergerak ingin mendekatinya. Aliniya pejam mata dan berbanyak berdoa.
‘Ya Allah. Tolonglah lindungi aku,’
Aliniya membuka matanya dan mengangkat periuk di tangan.

“Ah!”