Saturday, November 26, 2016

Order Yes! Kau Milikku

Assalamualaikum smua.. Buat pembaca2 Penyelamat Cinta atau skrg ditukar ke Yes! Kau Milikku..Blh la order ke Intens Idea atau kalau nak order direct dr sy pun blh.. Bg komen dkt bwh atau korg blh msuk ke fan page or Facebook sy dan PM sy.. Inshaa Allah.. Sy akn blas msg korg klu betul2 nk order dr sy.. Maaf bg yg bertnya knapa sy ttup sbahagian dr post PC.. sbb sja nak buat saspen korg..Jd cpat2 order YKM... Brula blh dduk senang bla da tau kesudahannya..Hehe.. Buat spe2 yg da bli n da ada dlm pelukan korg..mcm dkt bwah ni.. Mungkin korg akn dpt gak gift cm tu dr sy.. Nk sign sy pn blh..Klu sudi la.. Hehehe.. Anyway.. Buat yg da dpt tu.. Slmt mmbca n hope u enjoy..Mgkn YKM x smpurna dn pasti ada kkurangannya..Jd sbb itu sy mohon maaf atas kkurangan tu.. Sy pn msh baru merangkak dlm bidang ini.. Sy mnulis atas rsa suka dn stu hobi dan alhamdulillah.. Inilah novel pertama yg diterbitkan.. Next..emmm.. msh dlm perancangan dn masih mnunggu mood mnulis mncul..haha.. Trima ksih smua..syg korang ketat.. <3




Wednesday, November 9, 2016

Yes! Kau Milikku

Assalamualaikum smua.. Bwat follower yg sntiasa singgah ke blog sy n follow crta2 krya sy..sy nk ucapkan jutaan terima kasih buat smua.. Syukur Alhamdulillah.. Hanya tu je yg mampu sy kta. Jap cri tisu dulu. Heee.. Kita nk bwat pengumuman.. Yes! Kau Milikku..atau sblm ini lbh dikenali sbg Penyelamat Cinta dah pn blh diorder.. Mcm mna.. blh la tgk dkt gambar di bawah itu.. Cpat2 order..Rsa excited ni nk pegang YKM.. Hehe.. Bwat pmbca2 yg blm pnh bca PC.. Blh cek snopsis ni.. Nvel YKM ada sdikt klainan brbnding yg asl, PC..tp jln crta ttap sma.. So..apa lg.. Order2! N thank you smua.. Klu ada slh silap sy d dlm novel ini.. hrap diampunkan.. Sy msh bru dlm bdang pnulisan..dn msh byk yg plu sy bljar.. Trima ksih skali lg.. Syg korang..

Sinopsis : Yes! Kau Milikku karya Raziqa

“Kau orang nak hidup, baik kau orang blah dari sini! Sebelum aku laporkan pada polis. Pergi!”
Bertempiaran Gedeng dan konco-konconya menyelamatkan diri. Saiful membetulkan kemejanya. Lengan baju dilipat sampai ke siku. Dia mendengus kasar.
Memang nasib menyebelahi kau hari ini. Kalau tidak dah lama aku berkabung atas kematian bakal bini aku ni, desis Saiful dalam hati.
Perasaan benci sudah menggunung bila rancangannya terbatal atas ugutan atuknya. Dia mengambil tali yang berada di pokok berdekatan dan dicampaknya ke dalam lubang.
“Naik!” arahnya malas. Saiful masih belum melihat wajah bakal isterinya itu.
Alih-alih, aku jugalah yang selamatkan perempuan ni! Pembunuh menyelamatkan si mangsanya. Bukan lucu ke bunyinya tu? Sempat lagi dia berseloroh dalam hati.

KARMIZA bukan main suka bila dapat tahu bahawa penyelamatnya itu merupakan orang yang akan dijodohkan dengannya. Apalagi, sikap daring dan terlajak sayang harus ditonjolkan. SAAT dia mengetahui siapa yang merancang pembunuhannya…Karmiza melarikan diri. Namun, lama manalah dia boleh pergi jika sudah terikat dengan Saiful.

“Awak sendiri yang cakap tu anak awak dan apa yang saya tahu selama ni ialah saya tak pernah menyentuh awak walau sekalipun!”
“Memang itu anak saya tapi awak tak berhak untuk menuduh saya sesuka hati!” Karmiza tidak mahu mengalah.
“Habis tu anak siapa? Kenapa dia panggil Aqil, papa? Kalau Aqil bukan bapanya, tak mungkin si kecil tu panggil dia papa!”
“Daddy!” jerit si kecil menyebabkan perbualan mereka terhenti.
“Dan, kalau Mizan panggil awak daddy, adakah awak bapa kandungnya juga?” sindir Karmiza ingin berteka-teki dengan Saiful.

APAKAH status Karmiza yang sebenarnya? Dan apakah hubungan Karmiza dengan anak kecil itu? Atau ada sesuatu yang berlaku sepanjang kehilangan Karmiza?

Wednesday, November 2, 2016

Yes! Kau Milikku-Raziqa AKA Penyelamat Cinta (PC)-Fyka


Assalamualaikum..Rasanya da lama x menulis. Sorry sume. Ini sbb kita bz mmanjang dan mood ke laut..haha.. Tapi tapi... kita nak beritahu yang Penyelamat Cinta (PC) nk terbit dah! Weee... Tapi tapi.. tak tau bila..hahaha.. Excited ni... Cuma nak beritahu dulu tentang satu perkara ini. Buat pengetahuan semua..PC bakal terbit tapi dengan nama yang baru.. malah nama pena pun kita ubah sikit jadi Raziqa dan.. Yes! Nama PC bakal diterbit menggunakan tajuk Yes! Kau Milikku. Alhamdulillah..dah lama menunggu. Maaf buat yang tertunggu-tunggu. Dah lama dipendam akhirnya terluah juga. Saya juga ambil masa untuk edit balik PC ini. Jadi.. Take note ya semua pembaca PC.. Nanti kita akan maklumkan bila PC akan terbit ya. Publisher mana? Haaa..kita ambit screen shot untuk korang refer...



Sekarang.. kita tunggu je berita baik nnti ya.. Thank you semua..<3

Sunday, July 31, 2016

Dosa Semalam Bab 17

Bab 17

            SEBELAH keningnya terangkat sebaik mendengar perkhabaran yang baru saja didengarinya itu. Tidak lama selepas itu, bibirnya pula mula mengukir senyuman penuh makna.
            “That is an interesting story. Jadi, korang tengah follow dia sekarang?” soalnya mahukan kepastian.
            “Ya bos. Sekarang ni kami tengah ikut dia dari belakang dekat highway nak menuju ke Melaka. Dalam beberapa minit lagi, kita orang akan sampai ke Sungai Udang,” terang salah seorang orang upahannya yang duduk di sebelah tempat duduk penumpang. Rakannya di sebelah masih fokus mengikuti jejak kereta yang tidak jauh beberapa meter di depan mereka.
            Terluah hilaian tawanya mendengar penjelasan lelaki itu.
            “Good! Akhirnya, keluar juga perempuan itu dari ‘kepompong’ si suami. Baru senang sikit kerja aku. Bagus, bagus. Sekarang, kalau kau orang ikut seperti apa yang aku plan, aku akan naikkan upah kau,”
            Bagai tidak percaya, lelaki tersebut menjauhkan telefon bimbitnya dan direnungnya seketika. Matanya terkebil-kebil sebaik mendengar kata-kata yang sangat digemarinya. Sejurus itu, bibir lelaki itu mula mengukir senyum panjang.
            “Apa perlu kami buat bos?” Soalnya mahu tahu akan rancangan bosnya. Senyuman wanita di sebalik talian semakin mekar.
            “Aku nak kau buat perempuan itu jadi gila balik. Kalau dia terus gila sampai dia mampus, aku akan gandakan upah kau sebanyak 3 kali ganda,”
            “Jadi, apa rancangannya bos?”



HARDEE memberhentikan keretanya di kawasan parkir berdekatan dengan tapak pembinaan. Dia perlu ke sana pagi itu untuk melawat tapak pembinaan hotel barunya, sementelah dia mahu melihat sendiri progres pembinaan hotel tersebut.
            Matanya berkalih ke sebelah. Seraut wajah yang masih tenang dibuai mimpi ditatapnya lama. Anak rambut Aliniya yang mengganggu sepasang mata yang masih tertutup itu diselaknya. Dia terpempan melihat keindahan wajah bujur sirih milik Aliniya. Begitu cantik pada pandangan matanya. Tangannya hampir saja ingin mengusap wajah wanita itu namun, niatnya terhenti sebaik merasakan ada getaran di poket seluarnya. Lantas, dia mengeluarkan telefon bimbit pintar itu dan sebaris nama terpampang pada skrin.


            Tidak mahu mengganggu tidur si isteri, Hardee pantas membuka daun pintu dan melayangkan jari pada skrin telefon. Dia menjawab panggilan daripada jurutera projek yang menguruskan pembinaan hotelnya itu. Dalam pada Hardee berbual di talian, tangannya membuka pintu kereta di belakang ingin mengambil topi keselamatan dan plan hotel untuk dibawa bersama ketika dia bertemu dengan jurutera projek itu nanti.
            Sebelum beredar, Hardee kembali membuka pintu kereta pemandu dan membuka sedikit tingkap untuk mengelak apa-apa kejadian yang bakal berlaku. Dek begitu banyak kes kematian yang dilaporkan akibat terhidu gas monoksida dari penghawa dingin kereta di kala enjin kereta masih tidak bertutup, menyebabkan Hardee mula berwaspada. Sebaik selesai, Hardee pantas beredar ingin bertemu dengan jurutera projek dan juga pekerjanya.
            Tanpa Hardee sedari, ada dua pasang mata yang masih setia melihat pergerakannya dari jauh. Sebaik Hardee hilang dari pandangan mereka memandang tepat pada Aliniya yang masih nyenyak tidur. Kedua-dua lelaki itu mengeluarkan topeng dari beg kecil dan dipasangnya pada muka. Mereka mengeluarkan sesuatu dari beg tersebut. Mata mereka kembali terarah pada wajah Aliniya. Melihat tiada sesiapapun di sana, mereka berdua menarik nafas lega. Maka senanglah kerja mereka kali ini.
            “Bro, apa kita nak buat lepas ini?” Soal salah seorang lelaki tersebut pada rakannya.
            “Sekarang, kita tunggu sampai mangsa masuk ke dalam perangkap kita,” ujar lelaki itu sambil tangannya mengisi beberapa butir peluru pada pistol yang dikeluarkannya tadi.
            Bagai terngiang-ngiang namanya dipanggil, Aliniya tersentak lalu terbangun dari tidur. Matanya sedikit silau dek cahaya matahari yang mengganggu pemandangannya. Aliniya bengung tatkala melihat sekeliling.
            “Aku kat mana ni?” soalnya dengan suara yang sedikit serak. Matanya beralih pada kerusi pemandu. Hardee sudah tiada di situ. Dalam beberapa minit kemudian barulah Aliniya teringat akan di mana dia berada. Hardee ingin ke tapak pembinaan terlebih dahulu sebelum ke tempat penginapan mereka nanti.
            Aliniya menggesek anak matanya mahu menghilangkan rasa kantuk. Matanya yang masih meliar memandang sekeliling, tiba-tiba terpaku saat terpandangkan dua manusia yang bertopeng tidak jauh darinya memegang sepucuk pistol. Pistol tersebut benar-benar diacu pada arahnya. Aliniya mula kaget dan dadanya terasa begitu berdebar. Dia benar-benar berasa takut dan mahu melarikan diri daripada dua manusia bertopeng itu. Lantas, daun pintu kereta dibuka dan Aliniya laju meninggalkan kereta tanpa menoleh ke belakang. Tanpa menghiraukan keselamatan diri tatkala berada di kawasan tapak pembinaan, Aliniya berlari sekuat hati.
            Melihat Aliniya yang sudah melarikan diri, kedua-dua lelaki tadi pantas mengejar jejak langkah gadis tersebut. Sepantas mungkin mereka mengejar wanita itu tidak mahu rancangan mereka gagal untuk kali ini.
            Aliniya yang sudah ketakutan melarikan diri sehingga ke sebuah bangunan yang masih belum siap sepenuhnya dan kakinya laju mendaki tangga bersimen. Tercungap-cungap nafasnya dek berlari tanpa henti. Hampir-hampir kakinya tersadung tangga, namun, dia menggagahkan diri mendaki tangga tersebut. Tanpa berfikir apa-apa, Aliniya lari sehingga ke tingkat atas sekali.
            Langkah kakinya terhenti di saat tiada lagi jalan lain yang dapat dia lalui. Dada berdegup pantas dan nafasnya tersekat-sekat sehingga membuatkan dia terbatuk. Aliniya menarik nafas dalam dan berpaling ke belakang. Fikirnya lelaki tadi sudah hilang, tetapi hatinya hampa. Kedua-dua lelaki itu masih tetap mengikurinya sehingga ke sini. Aliniya buntu. Air matanya mula bergenang dan laju saja air jernih itu mengalir ke pipi.


            ‘Ya Allah. Tolong selamatkan aku. Apa patut aku buat sekarang?’ doa Aliniya tak putus-putus di benak hatinya.
            “Kau nak lari mana ha? Ingat kita orang tak dapat kejar kau?” ujar salah seorang lelaki yang bertopeng itu. Tubuh Aliniya menggeletar dan mulutnya seakan-akan terkunci. Suaranya hilang entah ke mana. Hanya air mata saja yang banyak tumpah ke pipi. Fikirannya mula teringat pada Hardee. Mana lelaki itu sekarang? Tahu ke lelaki itu bahawa dia dalam bahaya sekarang? Sungguh! Hatinya benar-benar memerlukan lelaki itu sekarang.
            “Apa boleh buat? Kau nak ikut kita orang ke atau kau sanggup lompat dari situ?” seorang lagi lelaki bertopeng itu mula bersuara. Mendengar kata-kata lelaki itu, Aliniya pantas berpaling semula ke belakang. Dari pandangannya, semuanya kelihatan begitu kecil. Dia sendiri tidak pasti berapa tingkat bangunan tersebut. Aliniya kembali melihat lelaki-lelaki tadi. Tidak lama selepas itu, dia melihat semula ke bawah.
            Sepintas itu ada bayangan lalu terimbau di mindanya.
“You jangan macam ni. You tahu tak apa akan terjadi kalau you bertindak bodoh macam ini?” Satu suara itu kedengaran begitu jelas pada pendengarannya. Aliniya menoleh sekeliling.
            “Memang aku bodoh sebab kau! Aku bodoh sebab terlalu mencintai orang seperti kau, Aliniya!” sekali lagi suara itu mengganggu pendengarannya. Aliniya takut. Dia terduduk mencangkung dan kedua-dua tangannya menutup telinganya.
            “To... tolong,” sayup-sayup suaranya mula keluar. Pipinya basah lecun dek air mata. Aliniya sekali lagi terdengar kata-kata tadi berulang kali. Aliniya benci dengan bisikan-bisikan halus itu.
            “Kau kena ingat Niya. Aku benci kau. Tapi, aku tak tahu kenapa aku masih tak mampu buangkan perasaan cinta ini. Sayang... Sayang ingatlah, I will always love you no matter what you did to me. Jadi, sebab tulah... aku nak kau terseksa dengan perbuatan kau.” Bisikan itu berkali-kali menganggunya. Aliniya menutup mata dan kepalanya asyik digeleng.
            “Tak. Aku tak salah. Aku tak salah. Aku tak salah. Bukan salah aku,” ucap Aliniya seakan-akan histeria.
            “Bukan salah aku,” Aliniya menekup mukanya pada lutut dan menangis dalam ketakutan.
            “Bukan salah aku!” Jerit Aliniya tanpa sedar.
            “Niya!” kejut satu suara seraya tangannya memegang kedua-dua bahu wanita itu. Aliniya panggung kepala dan wajah Hardee hadir pada pandangannya.
            “To... tolong saya. Bukan salah saya. Bukan salah saya,” ucap Aliniya dalam tangisan yang tak henti-henti. Aliniya pantas mendakap tubuh lelaki itu seeratnya. Dia begitu takut dengan bayangan yang muncul tadi.
            “Kau kenapa Niya? Kenapa kau ada dekat sini?” soal Hardee hairan melihat wajah Aliniya yang begitu cemas bersama air mata yang sudah lebur membasahi pipi wanita itu.
            Aliniya yang teresak-esak masih belum menjawab soalan lelaki itu. Teringat bahawa tadi dia dikejar oleh dua manusia bertopeng, Aliniya pantas merenggangkan pelukannya dan mencari kelibat dua orang tadi. Dia kaget. Ke mana mereka tadi? Memang dia pasti, dia dikejari dua orang lelaki bersama pistol di tangan mereka. Tetapi, mengapa kelibat mereka tiada di sini?
            “Ta... tadi, dua orang. Pistol...”
            “Kau okey ke tak Niya?” Hardee pula berasa kaget. Takkanlah penyakit Aliniya kembali? Dua orang? Siapa dua orang yang dimaksudkan oleh isterinya itu? Timbul rasa risaunya.
            “Ta... tadi, le... laki, pistol...” belum pun habis kata-katanya, pandangan Aliniya mula kabur. Mujur tubuh kecil itu disambut oleh Hardee.

            “Ya Allah! Niya!”

Monday, July 11, 2016

Dosa Semalam Bab 16

Bab 16

            ALINIYA segera menyimpan semua baju yang diperlukannya ke dalam beg bagasi. Dia hanya akur dengan arahan suaminya selaku Encik Majikannya itu. Memang pelik pula dia melihat kerenah suaminya beberapa hari ini. Dulu kata benci sekarang boleh pula lelaki itu membawanya ke Melaka. Apa sudah jadi? Takkan lelaki itu juga sudah menjadi seperti dia yang ‘gila’ dulu?
            Setelah habis mengemas, Aliniya teringat akan sesuatu. Dia hanya membawa beg bagasi sahaja. Tiada dompet atau beg tangan. Dia terfikir, mana perginya dompet miliknya. Kalau ada pasti di dalamnya ada kad pengenalan yang boleh memberi petunjuk akan siapa dirinya dan di mana asalnya sebenar. Tetapi, tidak pula dia menjumpai dompet tersebut atau Hardee telah menyembunyikannya?
            Tok tok tok.


            Kedengaran ketukan pintu dan Aliniya membuka daun pintu. Wajah Ema kelihatan tersenyum kecil.
            “Nah! Ini untuk Puan,” Ema menyerah sesuatu pada Aliniya. Kening Aliniya berkerut dan matanya melihat benda yang berada di tangan Ema. Aliniya menarik nafas lega sebaik melihat barang yang sememangnya diperlukannya sekarang. Diambilnya dompet tersebut daripada Ema.
            “Terima kasih Ema. Memang inilah yang saya cari-cari tadi,”
            “Sebenarnya saya terlupa nak serahkan dompet ini pada Puan. Tapi, oleh kerana Puan nak temankan Tuan Hardee, jadi barulah saya teringat nak berikan balik. Lagipun, saya rasa memang Puan perlukan dompet ini kalau berada di luar. Senang kalau jadi apa-apa,” jelas Ema tentang dompet Aliniya yang disimpannya selama wanita itu sedang menjalani rawatan di hospital.
            “Puan dah siap mengemas? Atau Puan nak saya bantu?”
            “Eh! Tak apa. Saya dah siap dah pun,” Aliniya pantas menegah. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lagipun, dia masih boleh buat semuanya sendiri.
            “Cuma saya nak kemaskan rambut ini dulu sebelum keluar,” sambung Aliniya lagi. Ema hanya mengangguk dan meminta diri untuk ke dapur. Sebaik Ema menghilang ke dapur, Aliniya kembali menutup daun pintu dan membuka dompet di tangan. Benda pertama yang dia mahu lihat adalah kad pengenalannya. Ditariknya kad berwarna biru tersebut dan dia membaca butiran tentang dirinya. Namun, keningnya bertaut sebaik melihat alamat pada kad pengenalan.
            “Damansara? Ini bukan ke alamat rumah ini? Habis macam mana aku nak tahu asal usul aku?” Soal Aliniya dengan rasa sedikit kecewa. Dia masih juga tidak tahu di mana tempat tinggalnya yang sebenarnya. Aliniya menghembus nafas lemah. Dengan perasaan kecewa, Aliniya menarik beg bagasinya dan membuka daun pintu tanpa perasan akan kehadiran Hardee yang berada di depannya sekarang. Dia hanya tunduk sahaja.
            “Aku nak bawa kau ke Melaka pun kau tak bersemangat?”


            “Huh?” Langkah Aliniya terhenti dan sebaik dia mendongak, wajahnya begitu dekat dengan wajah Hardee. Tinggal beberapa inci saja lagi pasti bibir mereka bersentuhan. Aliniya yang kaget serta-merta melompat ke belakang membuatkan Hardee tergelak kecil.
            “Asal tengok aku je kau melompat. Dah sama macam katak dekat kolam di depan itu,” seloroh Hardee. Aliniya menjeling tajam. Muncung saja bibirnya bila disamakan dengan katak.
            “Haa.. Eloklah tarik muka depan aku. Tak pasal-pasal jadi itik pulak karang,” kali ini Hardee menggelarnya sama seperti itik pula. Aliniya mendengus sahaja. Tak dapat nak kata apa. Hardee tersenyum dalam diam. Entah kenapa, hatinya suka pula melihat watak ‘Aliniya’ yang baru ini.
            “Jomlah. Kata dah lambat,” segera Aliniya menarik bagasinya dan bergerak ingin keluar dari bilik. Namun, laluannya disekat oleh Hardee. Aliniya mendecit. Hardee menjongket kening sebelah.
            “Dah boleh melawan Tuan majikan kau ya?”
            “Mana adalah. Jomlah. Bila pula kita nak berangkat? Nanti lewat pula awak nak jumpa klien,”
            “Kau ingat aku nak jumpa klien ke? Suka hati dia je. Dah. Kau pergi bawa beg aku dekat depan pintu itu dan simpan ke dalam kereta,” arah Hardee pada Aliniya. Sengaja dia membawa wanita itu bersamanya kerana mahu menguji Alinya yang baru ini.
            Hardee memberi laluan dan melihat saja gelagat wanita itu. Aliniya menarik bagasi Hardee sekali dan dibawanya ke kereta. Mujurlah mereka ke sana selama dua hari dan barang milik dia dan Hardee tidak terlalu banyak. Maka, senang baginya menyimpan dua bagasi tersebut ke dalam bonet kereta.
            Tanpa menunggu Hardee, Aliniya masuk terus ke dalam kereta dan langsung tidak mahu memandang wajah lelaki itu. Hardee hanya menggeleng. Seronok juga menyakat perempuan ini, bisiknya.


            “Kak Zah, nanti pesan dekat Pak Rahim untuk bertugas malam nanti. Apa-apa hal beritahu dekat saya ya?” ucap Hardee pada kak Zah yang baru muncul ingin menutup pintu.
            Sekali-sekala saja dia menyuruh Pak Rahim untuk menjaga rumah. Dek melihat Pak Rahim yang tidak terlalu sihat, Hardee menyuruh lelaki tua itu untuk banyak berehat di rumah yang telah disediakannya di belakang rumah banglo tersebut. Pak Rahim hanya datang mengikut masa yang telah ditetapkan. Cuma malam ini saja dia mahu pengawal keselamatan itu berjaga ketika ketiadaan dia di situ.
            Kak Zah mengangguk dan melambai pada mereka berdua sebaik Hardee masuk ke dalam kereta. Dilihatnya kereta milik Tuan majikannya keluar dari perkarangan banglo dan segera menutup daun pintu ingin kembali melakukan tugasnya.
            Hardee memandu dengan tenang tanpa bersuara. Dari pandangan sisi, dia nampak Aliniya hanya memandang ke luar langsung tidak mahu menolehnya. Sudahnya, dia membuka radio. Suara DJ mula kedengaran memecahkan suasana senyap di antara mereka.
            Tatkala DJ radio ingin memutarkan lagu, Hardee menguatkan suara radio. Lagu nyanyian daripada artis Indonesia menjadi pilihan.

Tak pernah terbayang akan jadi seperti ini pada akhirnya
Semua waktu yang pernah kita lewati bersamanya telah hilang dan sirna
Hitam Putih berlalu
Janji kita menunggu
Tapi kita tak mampu
Seribu satu cara kita lewati untuk dapati semua jawaban ini
Bila memang harus berpisah
Aku akan tetap setia
Bila memang ini  ujungnya
Kau kan tetap ada di dalam jiwa
Tak bisa tuk teruskan
Dunia kita berbeda
Bila memang ini ujung nya
Kau kan tetap ada di dalam jiwa
Memang tak mudah tapi ku tetap menjalani kosong nya hati
Dulula mimipi kita yang pernah terjadi tersimpan tuk jadi history
Hitam putih perlu
Janji kita menunggu
Tapi kita tak mampu
Seribu satu cara kita lewati tuk dapati semua jawaban ini
Bila memang harus berpisah
Aku akan tetap setia
Bila memang ini memang ujungnya
Kau kan tetap ada di dalam jiwa

“Kau kan tetap di dalam jiwa,” 
“Kau cakap apa?” Aliniya tersentak apabila ditegur oleh Hardee. Tidak sedar bahawa di kala mendengar lagu tersebut, Aliniya turut juga menyanyi dalam suara kecil.
“Tak ada apa-apa,” dalih Aliniya. Dia kembali berpaling ke tingkap, malu. Boleh pula dia tidak sedar terungkap sebaris lirik itu. Pelik! Bagaimana boleh dia menghafal lagu tersebut sedangkan lagu ini baru saja didengarinya. Aliniya pantas teringat akan doktor Radhuan.
“Salah satu rawatan yang elok untuk kurangkan stress adalah mendengar lagu. Semasa rawatan awak, saya memang akan bukakan lagu untuk tenangkan fikiran awak bila awak tengah dalam keadaan yang tidak menentu,”
Mungkin lagu ini salah satu lagu yang dimainkan oleh doktor Radhuan ketika dia berada di hospital tersebut. Tak sangka pula dia mampu mengingat lirik lagu tersebut.

Oleh kerana tiada langsung perbualan di antara mereka, anak mata Aliniya mula terasa memberat. Yalah. Dia tidur pun hanya beberapa jam sahaja. Bangun pun awal demi melaksanakan tugas sebagai pembantu rumah si suami. Sudahnya, dia terlelap dan tidak sedar langsung.

Sunday, June 19, 2016

Dosa Semalam Bab 15

Bab 15

            GENGGAMAN tangan bagai terhenti sebelum mengena pada daun pintu. Niat ingin mengetuk pintu bilik Hardee jadi terbantut apabila ingatan malam tadi diimbau semula. Aliniya menarik semula tangannya. Lalu, kukunya digigit.
            “Nak ketuk ke tak nak? Nak redah ke tidak?” bisik Aliniya sendiri. Selalu saja dia mengalami dilema setiap kali mahu masuk ke bilik lelaki itu. Dia mengutuk diri.
            ‘Niya yang dulu boleh masuk sesuka hati saja. Berani! Sedangkan Niya yang sekarang, masih tercegat dekat depan pintu ni macam seorang pengecut. Haih!’
            “Esok... bangun awal pagi sesudah subuh. Aku nak kau...”
            Aliniya memejam mata sebaik kata-kata itu diingatnya lagi. Dia menggeleng-geleng kepala. Aliniya berpaling ke belakang tidak mahu menghadap pintu bilik Hardee. Berharap bila dia berbuat demikian, bayangan Hardee ketika malam tadi dapat turut hilang. Aliniya menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia menyandar pada daun pintu dan matanya memandang jam dinding berdekatan.


Sudah pukul 5 pagi. Awal benar dia bangun sedangkan malam tadi dia tidur lewat. Kali ini Aliniya mengeluh pula.
“Sebab dialah aku tak dapat tidur lena. Nak buat macam mana? Ikut sajalah arahan dia itu. Ini memang betul-betul dikatakan bersemangat nak kerja. Niya Niya...”
Dalam pada Aliniya melayan diri, rupa-rupanya Hardee sudah bangun bersiap. Hari ini dia mahu ke Melaka ingin melawat tapak pembinaan hotel barunya di sana. Mungkin dia akan berada di sana selama 2 hari dan terpaksalah dia menangguhkan ‘plan’nya dulu. Namun, dia tetap tidak mahu membiarkan Aliniya terlepas daripada genggamannya. Jadi, dia mahu melihat sejauh mana wanita itu akur akan arahannya. Lagipun, bukan ke wanita itu tetap terima apapun balasan yang dia akan lakukan pada wanita itu selama wanita itu masih belum ingat apa-apa.
Hardee mengemas barangnya dan dia berpaling ke sekeliling ingin memastikan tiada barang yang dia lupa. Pada saat itu, matanya menangkap satu bayangan di bawah daun pintunya. Pasti bayangan itu milik Aliniya. Bibirnya mula tersenyum herot. Bagus! Satu petanda yang baik, fikirnya. Lalu, dia bergerak ke daun pintu dan pantas membukanya tanpa tahu yang Aliniya tengah menyandar di pintu.
“Mak!” Tubuh Aliniya yang sudah tidak seimbang pantas disambut oleh Hardee sebelum wanita itu jatuh ke lantai. Kedua-duanya terpaku dan tergamam. Membulat mata Aliniya disaat wajah lelaki itu dilihat begitu dekat di depannya sekarang. Hardee turut terkedu dengan situasi mereka sekarang. Dalam diam, dia merenung ke dalam anak mata wanita itu.


‘Cantik!’ persisnya. Dia mula terpukau dengan anak mata bundar milik Aliniya. Hardee bagaikan dirasuk sesuatu sehingga tanpa sedar dia mendekatkan wajahnya pada wajah Aliniya. Aliniya yang mula sedar akan perbuatan lelaki itu, pantas berdeham dan menjauhkan diri daripadanya. Hardee terkebil-kebil seketika dan tak lama selepas itu dia pula berdeham ingin menutup rasa malu. Dia menggaru kepala yang tidak gatal dan mula bersuara.
“Maaf,”
“Terima kasih,” ucap mereka serentak. Sudahnya, masing-masing terdiam pula. Keadaan sedikit janggal. Tidak mahu membiarkan situasi itu berlalu lama, Aliniya terus masuk ke dalam bilik Hardee tanpa meminta kebenaran. Laju saja kakinya melangkah ke bilik air ingin mengambil bakul baju. Walaupun hatinya berkocak laju, tetapi pesanan Hardee pada malam tadi masih diingatnya dengan jelas. Bukan ke lelaki itu mahu dia membersihkan semua baju kotor sebagai tugasan pertama dia sebagai pembantu rumah?


Hardee yang masih kaku di depan biliknya hanya melihat saja kelakuan wanita itu. Matanya mengikut saja ke mana gadis itu pergi. Tatkala wanita itu keluar dari bilik air bersama bakul baju kotornya, pantas dia menahan wanita itu sebelum wanita itu jejak keluar dari biliknya. Hardee menghalang laluan Aliniya. Bila wanita itu ke kiri, Hardee turut ke kiri. Bila Aliniya ke kanan, dia juga berganjak ke kanan. Aliniya yang menunduk kepala dari tadi terus mengangkat kepalanya dan merenung tajam pada wajah Hardee. Aliniya menjegil mata. Kening Hardee terangkat.
“Apa kena dengan pandangan kau itu? Are you mad at your boss?”
“Apa?” Soal Aliniya kembali. Dia cuba berlagak biasa. Matanya dialih dari memandang wajah lelaki itu. Dia tidak mahu Hardee tahu akan perasaan yang dirasanya sekarang. Dia malu.
Hardee akui, tercuit juga hatinya melihat gelagat Aliniya yang baru ini. Dia tersenyum kecil.
“Tak sangka Aliniya yang baru ini tahu rasa malu juga,” merah padam wajah Aliniya bila ditegur sebegitu. Matanya kembali memandang wajah Hardee yang sudah tergelak kecil. Aliniya mengetap gigi. Kurang asam! Nampak sangat ke dia tengah malu sekarang? Macam mana lelaki itu boleh membaca air mukanya? Ada perkataan ‘malu’ dekat atas dahinya sampai lelaki itu tahu ke?
So totally different. Something new,” Hardee mengungkap dalam bahasa Inggeris. Fikirnya pasti wanita itu tidak faham apa-apa, sementelah wanita itu tengah hilang ingatan. Aliniya menjeling tajam dan mencebik. Bukan sekali mereka berada dalam kedudukan sebegitu dekat seperti tadi, namun kali ini Alinya benar-benar berasa malu bila hampir-hampir saja bibirnya dijamah lelaki itu.
“Boleh tak kalau jangan halang laluan saya? Nanti Encik sendiri yang bising kalau baju tak dibasuh,” rungut Aliniya, geram.
“Saya halang bersebab. Itu, awak lupa?” Hardee menunjuk di arah belakang Aliniya. Dahi Aliniya berkerut dan dia berpaling ke belakang. Matanya mencari-cari barang apa yang ditunjuk oleh lelaki itu tadi. Ada baju kotor yang belum diambil ke?
Hardee tersenyum herot dan mula mendekati wajah ke sisi wajah Aliniya dari belakang. Dia masih mahu menyakat wanita itu.
“Apa bendanya? Ada baju yang saya terlup...” Aliniya yang mengalih kepalanya ingin menghadap Hardee tergamam dan terpaku. Membuntang matanya di saat bibirnya  sudah selamat mendarat di pipi Hardee. Hardee juga terkedu dengan aksi Aliniya, namun pantas saja dia berlagak biasa. Niatnya cuma mahu mengacah wanita itu, tetapi sebaliknya dia mendapat habuan percuma. Tanpa sedar, hatinya merasa sedikit bahagia.
Aliniya yang terkejut dengan aksi tidak sengajanya pantas melompat kecil menjauh dari Hardee. Dadanya bagai dipalu geruda. Kali ini, wajahnya benar-benar terasa membahang.
“Ma... maaf Encik. Saya tak sengaja,” spontan Aliniya mengungkap maaf. Makin tersengih Hardee melihat kelakuan Aliniya yang sudah gelabah. Hardee melangkah ke arah kerusi study dan diambilnya kain pelikat yang disidainya di situ. Warna kain pelikatnya yang seakan warna kerusi tersebut menyebabkan Aliniya tidak perasan akan benda itu di situ.
“Ini...” Hardee menyerahkan kain pelikat tersebut pada Aliniya. Aliniya yang masih tercegat di tempat tadi pantas menggigit bibir. Bagaimana dia boleh terlepas pandang pada kain itu? Dalam hati berbakul-bakul kutukan diluah pada diri sendiri.
Apesal kau bodoh sangat, Niya? Kain itu pun kau tak nampak ke? Takkan kena renjatan tadi dah terus buat kau buta?’ Aliniya menyalahkan dirinya.
Aliniya mendekati Hardee. Diletaknya bakul yang penuh dengan baju kotor Hardee di atas lantai dan diambilnya kain tersebut dari tangan lelaki itu. Kain pelikat itu diletaknya ke dalam bakul. Aliniya ingin segera beredar dari situ, tetapi kakinya terhenti di saat terpandangkan beg baju di atas katil Hardee. Dia memandang wajah Hardee.
Hardee yang seakan-akan faham akan pandangan yang dihantar oleh Aliniya pantas menjawab.
“Saya akan ke Melaka selama dua hari. Jadi, awak pesan pada kak Zah dan yang lain bila mereka dah bangun nanti. Boleh?” Hardee berpesan. Aliniya hanya menjawab dengan mengangguk. Entah kenapa hatinya berasa sedikit sedih sebaik mendengar lelaki itu ke Melaka selama dua hari.
Aliniya ingin menyambung kerjanya dan mengambil kembali bakul baju. Dia mahu keluar dari bilik tersebut. Melihat wajah Aliniya yang tiba-tiba berubah mendung, sekali lagi lelaki itu menahannya. Lengan Aliniya ditarik mahu wanita itu menghadapnya. Aliniya terpinga-pinga.
On second thought, you’re coming with me,”

“Huh?” Sekali lagi, Aliniya mendapat satu kejutan lain pula. Apa maksud lelaki itu?


Tuesday, June 7, 2016

Dosa Semalam Bab 14

Bab 14

            ALINIYA masih tetap tidak dapat tidur dari tadi. Dia berpusing ke sebelah kanan dan tak lama selepas itu mengiring pula ke sebelah kiri. Dia bangun dan menyandar di kepala katil. Dibukanya lampu tidur di sebelah dan diambilnya jam loceng yang sudah disetkan masanya untuk dia bangun pada waktu sebelum subuh nanti.
            Dia akur dengan arahan Hardee untuk menjadi orang gaji di situ. Dia tidak kisah tentang itu semua. Lagipun, memang dia mahu berbuat sebegitu. Baginya dengan cara begini saja mampu mengurangkan rasa serba salah dia pada Hardee. Dia tidak mahu hidup senang-lenang tanpa melakukan apa-apa kerja di situ. Sudahlah lelaki itu tidak menyukainya walaupun dia sudah bergelar isteri buat lelaki itu. Jadi, ini sajalah caranya. Dia tidak mahu berhutang apa-apa dengan suaminya itu.
            Anak matanya memandang jam loceng tadi dan kedengara keluhan dari bibir munggil itu. Waktu sudah menginjak pukul 1 pagi tetapi dia masih belum dapat tidur juga. Ingatkan selepas solat isyak dia akan terus tidur tetapi matanya tetap berdegil dan masih terasa segar.
            Aliniya menyelak selimut dan turun dari katil. Dia menekan butang pada alat kawalan penghawa dingin dan menutup suisnya. Dia keluar dari bilik dan melangkah ke arah dapur. Seperti biasa dia mencari bahan-bahan untuk membuat kek. Kali ini dia mahu cuba membuat kek cawan pula. Setelah selesai menyediakan segala peralatan dan bahan untuk membuat kek cawan, Aliniya pantas saja memulakan kerjanya.
            Dalam masa setengah jam adunan bahannya sudah siap, hanya tinggal untuk kek cawannya dibakar sahaja. Aliniya menyimpan adunan bahan tadi ke dalam ketuhar dan disetkan suhu sehingga 180 darjah selsius. Setelah selesai, matanya terarah pada jam dinding ingin mengira masa untuk kek cawannya itu masak. Sementara menunggu, dia menyediakan pula bahan untuk dijadikan sebagai hiasan di atas kek cawannya nanti.
            Sebaik mendengar bunyi detingan dari ketuhar tadi, Aliniya pantas mengambil sarung tangan dan mengambil tray kek cawannya keluar. Hidungnya menghidu bau aroma kek cawannya dan bibirnya mula tersenyum panjang. Nasib baik kek cawannya menjadi. Kalau tidak, sia-sia saja dia membuat kek cawan pada pagi-pagi buta itu. Dia betul-betul berterima kasih dengan Ema yang telah memberikan resepi untuk membuat kek cawan itu petang tadi. Memang mudah saja untuk menyediakan kek cawan rupanya. Jadi bolehlah kek cawan ini dihidang untuk sarapan pagi nanti.
            Aliniya membiarkan kek cawannya untuk sejuk seketika dan tidak lama sesudah itu, dia memulakan dekorasi pada kek cawannya. Aliniya begitu fokus menghias kek cawan sehingga tidak sedar akan sepasang mata yang sedari tadi memerhati segala kelakuannya.
            Mata Hardee memandang kesemua peralatan yang sudah diguna oleh Aliniya untuk membuat kek cawannya tadi. Hairan Hardee melihat sikap Aliniya yang tidak pernah diketahuinya selama dia hidup bersama wanita itu.


            “Apa yang aku boleh simpulkan, kita ini sebagai manusia tak pernah ada yang sempurna. Apa yang akan kita lalui cumalah perubahan sepanjang kita masih hidup. Jadi, tak salah kalau kawan kau itu beri peluang dekat perempuan itu dan bantu perempuan itu dengan hati yang ikhlas,” terngiang-ngiang kata-kata Rafie sejak dari tadi. Dilihatnya kesungguhan Aliniya dalam melakukan kerja menghias kek cawan membuatkan lelaki itu teringat akan sesuatu.
            ‘Jadi memang betullah dia yang buat kek Red velvet malam itu. Sungguh aku langsung tak dapat percaya yang dalam diam, Niya sebenarnya berbakat dalam bidang memasak. Tapi, sepanjang aku hidup bersama dia tak pernah pun aku tengok dia pengang senduk ke kuali ke,’
            ‘Itu maksudnya kau tak pernah nak ambil tahu pasal isteri kau!’ Sindir bisikan hatinya pula.
            ‘Tidak! Memang Niya yang dulu tak gemar ke dapur. Cuma semenjak wanita itu sembuh dari penyakit mentalnya saja aku dapat tengok dia masak semua benda ini,’ dalih satu lagi bisikan hatinya.
            ‘Kesimpulannya, apa yang Rafie katakan tadi ada betulnya. Kenapa kau tak berikan peluang pada perempuan itu? Selalunya semua perkara yang berlaku ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuma kita masih tak tahu apa hikmah itu,’ bisikan hati mula menasihati dirinya sendiri.
            Bagi Hardee, hukuman Hardee pada Aliniya tidaklah begitu berat. Dia menyeksa wanita itupun ada hadnya. Lagipun, dia bukanlah seorang manusia yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia masih tahu batas-batasnya. Hukuman yang diterima Aliniya tidak setimpal dengan apa yang sudah wanita itu lakukan pada keluarganya. Kalau terlalu diikutkan perasaan amarah dan dendam, pasti saja wanita itu mati di tangannya. Mujurlah dia masih ada iman dan dia mampu mengawal dirinya.
            “Awak nak rasa tak?” Terangkat bahu Hardee terkejut dek teguran secara tiba-tiba daripada wanita itu. Membulat matanya memandang wajah selamba Aliniya. Hardee mengetap bibir menahan geram dengan kerenah Aliniya yang sering membuat dia terkejut.
            “Kau ini suka buat aku terkejut. Nak buat aku mati sakit jantung ke apa?” Bebel Hardee membuatkan Aliniya mencebik. Dia tidak hairan dengan kata-kata Hardee dan masih juga tangannya menyuakan kek cawan yang sudah dihiasnya tadi.
            Hardee melihat kek cawan di tangan Aliniya dan sempat juga hatinya berasa kagum dengan kreativiti wanita itu.
            “Sejak bila kau dah pandai masuk dapur ini? Selalunya ‘mem besar’ macam kau takkan jejak dapur ini,” masih juga Hardee mahu menyakiti hati wanita itu.
            “Semenjak saya tak ingat diri saya ini siapa. Apa yang saya tahu, saya suka bila berada di dapur ini. Macam-macam benda yang saya boleh buat dan masak. Naluri hati saya yang membawa saya ke sini,”
            “Nah! Cubalah rasa kek cawan ini dulu,” sambung Aliniya setelah melihat Hardee yang diam tidak membalas kata. Aliniya menayangkan senyuman ikhlas ingin cuba untuk melembutkan sekeping hati yang keras milik Hardee.
            Belum pun sempat tangan Hardee ingin menolak, tangan Aliniya pantas mencubit sedikit kek cawan dan disuapnya pada mulut Hardee. Habis sisa krim tercalit di hujung bibir lelaki itu membuatkan Aliniya tertawa kecil.

                                           
            “Apa yang kau seronok sangat? Berani kau buat macam itu dekat majikan kau ya?” dalam rasa marah dan geram, Hardee cuba untuk mengawal suaranya agar tidak didengari oleh pembantu rumahnya yang lain. Lagipun, sekarang sudah menghampiri pukul 2 setengah pagi. Dia tidak mahu mengganggu tidur pembantu rumahnya.
            “Saya gelak sebab ini,” spontan jari Aliniya mengelap krim di hujung bibir Hardee. Sedar yang kelakuannya sudah melebihi batas, jari Aliniya kaku tidak bergerak. Hardee juga tergamam ketika itu. Masing-masing terdiam dan kedua-duanya berpandangan antara satu sama lain. Tanpa sedar, di antara mereka hadir satu perasaan aneh yang masih belum ada kepastiannya lagi.
            Perasaan itu membuatkan Aliniya berasa gementar. Dadanya berdetak laju sehinggakan dia mampu mendengar rentak degupan jantungnya. Pantas saja dia menjauhkan tangannya dari bibir lelaki itu.
            “Nn... nah!” Aliniya memberikan kek cawan yang berada di tangannya pada Hardee. Apa yang berlaku tadi serasa seperti pantas sehinggakan Hardee menurut saja dan mengambil kek cawan dari tangan Aliniya.
            Hardee terkebil-kebil seolah-olah baru sedar dari mimpi. Wajahnya terasa sedikit berbahang. Tatkala melihat Aliniya yang mula beredar, spontan saja tangannya menangkap pergelangan tangan wanita itu. Aliniya terdorong menghadap Hardee kembali.
Masing-masing terpaku apabila wajah kedua-duanya berada begitu hampir. Aliniya mula menggelebah dan cuba menjauhkan wajahnya dari Hardee. Namun, pantas saja lelaki itu menahan dengan mengeratkan lagi genggamannya, tidak mahu Aliniya bergerak walau seinci pun. Aliniya telan liur. Dirasakan seluruh darahnya telah mengalir ke wajah menyebabkan mukanya terasa sedikit berbahang.
“Esok... bangun awal pagi sesudah subuh. Aku nak kau...” sengaja Hardee menghentikan katanya membuatkan anak mata Aliniya membulat tidak percaya. Gerun dia melihat kelakuan Hardee ketika itu. Waktu ini kalau boleh dia mahu pecut lari daripada Hardee. Dia tidak berdaya untuk menahan detakkan jantungnya sekarang. Serasa mahu pecah dadanya mendengar kata lelaki itu.
Melihat wajah Aliniya yang kemerahan dek rasa malu membuatkan lelaki itu semakin berani untuk menyakatnya. Mungkin dengan cara ini juga dendamnya mampu terbalas.
Hardee mendekatkan wajahnya dan membisik sesuatu.
“Aku belum habis lagi. Aku nak kau sediakan baju kerja aku dan jangan lupa untuk basuh baju-baju kotor yang bertimbun dalam bilik aku itu. Itu tugas kau yang pertama perlu kau buat sebagai pembantu rumah aku hari ini. Faham?”
“Fa... faham.” Laju saja Aliniya mengangguk. Tidak membantah. Hardee tersenyum herot lalu melepaskan genggaman tangannya pada pergelangan tangan wanita itu. Dilihatnya wanita itu melangkah laju meninggalkannya seorang. Sebaik melihat kelibat wanita itu sudah hilang di sebalik pintu bilik peraduan wanita itu, barulah dia menarik nafas lega.
Hardee menekap tangannya pada dada. Semua ini berlaku buat pertama kali di dalam hidupnya. Tidak pernah pula dia merasakan perasaan sebegini sewaktu dia menghadap Aliniya yang dulu.
‘Hardee, kau kena kawal perasaan kau itu. Jangan terlalu diikutkan sangat perasaan itu. Agenda kau baru bermula. Kau perlu kenali Aliniya yang ‘baru’ itu dulu sebelum kau memulakan plan kau yang seterusnya,’

PERLAHAN-LAHAN kaki yang menggunakan kasut Stilleto berwarna merah melangkah dengan penuh gaya. Wanita yang menggunakan kasut tersebut berhenti apabila melalui kaunter imigresen.
            Setelah urusan imigresen selesai, dia kembali melangkah ingin mengambil beg. Dalam setengah jam, dia keluar dari balai ketibaan. Langkahnya tidak dihentikan dan pantas dia menuju ke luar. Waktu subuh sebegini, keadaan lapangan terbang antarabangsa KLIA masih tetap penuh dengan manusia. Masing-masing kelihatan sibuk ke hulu ke hilir bersama bagasi mereka.
            Wanita tadi memandang jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 5 pagi, tetapi orang yang dicarinya masih belum tiba. Dia mendecit geram. Di dalam hati pelbagai sumpah seranah dilemparnya.
            Setelah anak matanya menangkap wajah yang dikenali, lantas giginya diketap geram. Dia mengalihkan cermin mata hitam yang dipakainya sejak dia keluar dari perut kapal terbang tadi. Ingin menutup matanya yang sedikit sembab dek lama tidur di dalam penerbangan tadi.
            “Aku suruh kau ambil tiket waktu pagi bukan masa pagi buta macam ini!” herdik wanita itu pada lelaki tadi.


            “Ma... maaf bos. Saya ingatkan bos betul-betul nak datang ke Malaysia dengan segera. Jadi, saya tempahkanlah tiket yang paling awal sekali,” jawab lelaki itu. Wajahnya sedikit serba salah bercampur gerun melihat anak mata wanita itu yang tajam memandang wajahnya.
            “Bodoh! Buat kerja senang pun kau tetap tak faham. Agak-agaklah kalau nak aku datang sini waktu-waktu macam ini. Kau ingat aku hairan sangat ke dengan keadaan perempuan gila itu?” suara nyaring wanita itu telah menarik perhatian beberapa pasang mata di situ.
            “Bos. Sabar-sabar. Maafkan saya. Semua ini memang salah saya. Bos kena perlahankan sikit suara bos takut jadi viral pula nanti,” pujuk lelaki itu lagi. Wanita itu mengambil beg tangannya ingin menghempuk kepala orang suruhannya itu. Namun, perbuatannya terhenti juga tatkala perasan akan mata-mata yang masih memandangnya. Sudahnya, dia memasang kembali cermin mata hitamnya dan menyerahkan bagasinya kepada lelaki itu. Dia membolos masuk ke dalam perut kereta.
            Kereta yang dipandu oleh lelaki suruhannya bergerak laju membelahi waktu subuh tika itu.
            “Bos nak ke mana dulu?”
            “Kau ingat aku dapat pergi ke shopping mall ke pada waktu macam ini? Bawak aku ke kondo. Aku nak rehat dulu,”
            “Baik, bos.” Jawab lelaki itu pendek. Wanita itu memandang ke luar tingkap dan tidak lama selepas itu terbit satu senyuman penuh makna di bibirnya.

            ‘Biar aku rehat puas-puas sebelum aku buat kejutan untuk si gila itu,’