Wednesday, May 30, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 33


Bab 33
  
          Hatiku bagai direntam hiba. Sukarku ungkapkan perasaan hati yang sakit menanggung kecewa. Minda sudah mula berpaling pada hati kerana minda kata tidak, hati kata sakit! Mana satu yang perlu aku percaya? Benar, aku sudah tidak hirau akan semua itu lagi. Yang ada di depan mata, itulah yang benar bagiku. Sudahku katakan pada diri, dia akan menjadi milik orang lain. Tetapi, kenapa pula kak Hasnah berkata sebaliknya? Ah! Cukup dengan pandangan mata, apa lagi yang perlu aku cari? Kebenaran? Tidak! Semua sudah terbukti. Nick sudah pun menjadi suami. Suami kepada orang lain.
            Air mata sudah sekian lama menemaniku. Makin berjuraian ke pipi tanpa henti. Aku menyeka kasar pada air jernih yang mengalir lagi.
            “Sudah! Kenapa menangis lagi!?” Bentakku sendiri. Kereta yang aku pandu sewaktu ini hampir saja melimpasi landasan. Aku memusing stereng kembali ke jalan sendiri. Aku cuba menangkan diri. Takut juga kalau-kalau emosiku mengganggu pemanduanku. Bahaya!
            Aku tersentak di kala bunyi telefon bimbit yang menjerit melalak singgah di cuping telingaku. Lantas, mata jatuh pada telefon bimbit yang ku letakkan pada ruang penyimpanan. Aku biarkan saja bunyi telefon bimbit membingit. Tidak lama kemudian, bunyi itu berhenti. Aku masih menumpukan segala perhatian pada pemanduan. Sekali lagi, telefon bimbitku berbunyi.
            “Tolonglah, jangan ganggu aku waktu ni. Jangan ganggu aku!” Rintih hatiku.
            Bunyi ringtone kembali sepi. Aku mengeluh lemah. Belum pun sempat aku menarik nafas lega, bunyi itu kembali menggangguku. Aku kebingungan. Pantas, aku mengambil telefon bimbit dari tempat penyimpanan. Dek kerana begitu tertekan dengan gangguan tersebut, objek itu terlepas dari genggamanku. Aku menghentak stereng. Sudah memang hatiku mencapai hadnya. Aku sedih, kecewa, geram, marah dan semuanya berlaku dalam masa yang sama. Stress!
            Tanpa memikirkan apa-apa, aku tunduk ingin mengambil telefon bimbitku. Pendek akalku tidak memikirkan natijahnya jika aku menunduk ke bawah gara-gara ingin menghentikan bunyi yang menyesak hati.
            “Ahhh!!”
 ***
Nick berkali-kali menekan skrin telefon bimbitnya ingin menghubungi Risya. Namun, hampa. Peti suara itu yang menyambut setiap kali dia menghubungi gadis itu. Enggan berputus asa, dia menekan skrin dan berusaha untuk menghubungi Risya. Mujurlah dia memakai handsfree. Bahaya kalau dia menelefon dengan tangannya memegang stereng dan pada masa yang sama memegang telefon bimbit. Pantang baginya apabila memandu dan bertelefon pada masa yang sama.
            Pasti Risya berada tidak jauh darinya, detik hatinya. Dia meneruskan pemanduan sehinggalah dia terlihat sebuah kereta Viva yang sudah tunggang terbalik di tepi jalan.
            “Viva?”
            Nick menekan brek secara mengejut. Nasib menyebelahinya, tiada kenderaan pun yang berada di belakang keretanya. Matanya memandang pada cermin belakang. Tidak berpuas hati, kepalanya ditoleh ke belakang ingin memastikan apa yang dilihatnya bernar-benar berlaku. Dia jadi kaget! Langsung, kereta yang berhenti di tengah jalan dipandu ke tepi. Cepat-cepat dia memboloskan diri keluar dari kereta. Nick berlari sepantasnya ingin mendekati kereta yang kemalangan tadi.
            “Risya!” Jerit Nick.
            Bagai terdengar bunyi suara yang amat ku kenali, aku cuba untuk membuka mata. Rasa sakit mula menyengat seluruh badanku. Aku terasa mahu menjerit di saat itu.
            “Risya! Ya Allah, apa dah jadi kat awak, sayang? Ya Allah, Risya. Please answer me!”
            “Nick?” Suaraku kedengaran serak. Perlahan-lahan, mataku menangkap bayang-bayang di depanku. Aku mengerdipkan mata sekali lagi gara-gara bayangan yang masih kabur tidak jelas.
            “Risya! Bertahan, sayang. Bertahan!” Bila segalanya jelas, apa yang terlihat di mata semuanya nampak terbalik. Terbalik? Mataku membuntang saat itu. Bagaimana boleh segalanya nampak terbalik? Tak masuk di akal langsung! Aku cuba mengingat kembali apa yang berlaku sebelum ini. Arghh! Kenapa tiada satu pun yang dapatku ingat kembali? Bagaimana aku boleh kemalangan sehingga menyebabkan keretaku sudah tunggang terbalik?
            “Risya, can you hear me? Awak boleh keluar tak dari situ?” Soal Nick cemas. Mataku pantas terarah pada sesusuk tubuh yang terkial-kial ingin mengeluarkanku dari kereta ini.
            “Nick...Saya rasa, saya tersekat.”
            “Kaki awak, dapat alihkan tak?” Wajah Nick nampak begitu cemas sekali. Manakala, aku? Aku dalam kebingungan, masih tidak dapat menangkap apa yang berlaku di sekelilingku. “Risya, alihkan kaki awak dari situ. Cepat!” Aku akur saja.
            “Ahh!!”Kakiku...rasa begitu pedih dan nyilu sekali. Tak mampuku ungkapkan dengan kata, rasa sakit begitu mencengkam diri. Aku menangis menahan rasa sakit. Rasa nak patah kakiku di saat ini. Aku menggeleng.
            “Saya tak dapat keluarkan kaki saya, Nick. Sakit sangat,” Rintihku diselangi tangisan yang laju mengeluarkan mutiara jernih ke pipi. Nick cuba membuka tali keledar dan cuba menarik tubuhku dari bawah. “Jangan, Nick! Sakit! Saya tak boleh!”
            “No! Awak mesti boleh Risya. Macam mana awak nak keluar kalau dibiarkan saja begini?”
            “Kalau dah saya cakap, tak boleh...tak bolehlah!” Jeritku. Aku meraung menahan rasa sakit itu.
            Hati Nick berasa begitu pilu sekali di saat memandang wajah Risya yang sudah pucat. Dia beralih dari terus menunduk dan mengeluarkan telefon bimbit ingin menghubungi pihak bomba dan ambulance. Dia mahu menunduk setelah selesai menghubungi pihak kecemasan. Di kala itu, matanya menangkap titisan minyak yang mula menitik keluar dari enjin kereta. Nick bungkam. Tanpa mahu melengahkan masa, dia menunduk dan cuba menarik tubuh Risya dengan pantas.
            “Nick! Apa awak buat ni? Awak tahu tak sakit bila awak buat macam tu!” Bentakku marah. Air mata tak pernah pun berhenti sejak tadi. Nick cuba menolak segala objek yang menjadi penghalang untuk mengeluarkan kakiku dari tersepit.
            “Arggh!!” Jerit Nick sekuatnya. Objek yang menyekat kakiku sukar untuk ditolak.
            “Risya, kalau awak tak keluar dari sini dengan segera, kereta ni akan meletup!” Mataku terbeliak sebaik mendengar katanya tadi. Aku kelu.
            “Kita tak sempat nak tunggu pihak bomba untuk keluarkan awak. Kita kena usaha sendiri, Risya! Kita kena berusaha!” Getus Nick. Wajahnya sudah kemerah-merahan. Bergetar seluruh tubuhnya bila menolak objek tadi sekali lagi. Pada saat itu, hanya mati saja yang ada di fikiranku. Kalau sudah takdirku, hari ini ajalku menjemput diriku pergi, aku terima. Di dalam hati, aku sudah mula membaca dua kalimah syahadah. Hanya nama Allah sahaja yang meniti di bibirku.
            “Risya, jangan pernah mengalah! Dengarlah cakap saya, bukan masanya lagi!”
            “Nick, seandainya sudah takdir saya mati hari ini...saya mohon pada awak, jaga keluarga saya, boleh?”
            “Apa awak cakap ni, Risya?”
            “Nick...Saya tak mampu keluar dari sini. Biarlah...Awak selamatkanlah diri awak sebelum apa-apa terjadi.” Ucapku hiba. Nick menggeleng laju. Aku nampak cecair jernih jatuh menggelongsori pipinya. Aku terkedu di saat permata jernih itu keluar dari kelopak matanya. Air mata itu...Air mata itulah yang aku cari selama ini. Jawapan bagi segala persoalan yang aku kemukakan padanya. Ya Allah, air mata itu menunjukkan bukti segalanya. Bukti bahawa lelaki itulah lelaki yang aku cari selama ini. Lelaki yang sanggup mengeluarkan air mata kerana seorang gadis biasa sepertiku. Air mata yang tulus ikhlas keluar dari hati kecil seorang lelaki. Dan lelaki yang layak mendapatkan tempat di hatiku itu ialah tak lain tak bukan, Nick! Seseorang yang sudah lama menapakkan ruang di hati kosongku ini. Ya Allah!
            Kata-kata yang terkeluar laju dari bibir Risya benar-benar membuat hatinya bagai disiat-siat. Apakah gadis ini pernah terfikir bahawa cinta aku begitu mendalam buat dirinya? Diri ini sentiasa menunggu sang dara sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja, sehingga menyebabkan kedua-duanya terluka. Ya! Memang salahnya Risya pergi meninggalkan dirinya sehingga menerima Iz dalam hidup gadis itu. Dia yang bodoh! Terlalu memikirkan perasaan sendiri. Tanpa sedar, Risya juga turut terluka dengan tindakannya. Pada asalnya rancangan ingin menjerat gadis itu agar menunjukkan rasa cemburu sekiranya dia berada di samping mana-mana gadis. Tapi, tengoklah apa yang terjadi selepas itu. Risya pergi ke samping Iz dan menerima lamaran lelaki itu.
            Sudah hatinya bertekad tidak mahu melepaskan gadis ini lagi. Mendapat khabar dari Haris tidak lama tadi, membuat hatinya berbunga riang. Risya tidak jadi menikahi saudaranya, Iz dan datang ke rumah atuknya. Tetapi, apakan daya? Segala yang berlaku bukan kehendaknya. Sekali lagi hubungan mereka di uji hebat. Risya pergi tanpa mendapatkan penjelasan darinya. Pasti gadis itu salah sangka sementelah yang sedang melafazkan akad nikah di rumah atuknya tadi, bukan dirinya, tetapi abang kembarnya! Salahnya juga kerana tidak memberitahu hal keluarganya. Dia punya seorang abang kembar dan rupa mereka begitu mirip sekali sehingga sukar untuk meneka yang mana satu si abang dan yang mana satu si adik. Dia menyesal kerana tidak memberitahu terlebih dahulu ketika menyerahkan kad jemputan pada Risya. Di dalam hatinya cuma ada rasa sedih, perit menanggung kecewa. Siapa yang tidak kecewa kalau kekasih hati mengahwini orang lain? Lebih-lebih lagi dengan saudara yang dikenalinya.
            Sekarang, hubungan mereka ditimpa musibah lagi. Entah bagaimana boleh kereta Risya kemalangan sehingga jadi begini. Begitu luluh hatinya melihat keadaan Risya tika ini. Berbaju pengantin tetapi seri wajah itu hilang. Kepala gadis itu juga sudah mengeluarkan cecair pekat. Darah yang mengalir tidak dihiraunya kini. Di matanya, tangisan Risya kian berterusan. Dadanya sesak melihat Risya yang tengah menanggung kesakitan. Dia benar-benar insaf!
            Sukar untuk kita tebak bila musibah akan menimpa diri. Kalau terlalai, adakah kita sempat untuk bertaubat? Sewaktu, sudah terang berada di depan mata, maut yang menunggu masa. Adakah Risya akan terselamat? Atau dengan dia sekali yang akan terkorban sama? Risya menyuruhnya pergi, tetapi hatinya memberat. Bukan sifat dirinya meninggalkan orang tersayang di dalam bahaya. Jiwanya meronta-ronta ingin menyelamatkan gadis itu.
            “Saya...TAK AKAN biarkan awak pergi begitu sahaja. Kalau awak masih macam ni lagi, saya rela badan saya hancur bersama awak jika kereta ni meletup! Saya takkan pernah tinggalkan awak begitu sahaja. Saya tak nak, Risya! Awak nak tahu kenapa?” Ucap Nick dengan suara yang tenggelam timbul. Mungkin kerana tangisan itu yang membuat suaranya menjadi serak sebegitu. Hatiku bagai dipalu garuda. Sejenak kemudian, nafasku bagai terhenti seketika. Tangisanku masih tetap belum berhenti. Rasa sakit dan sedih dihimpunkan sekali. Begitu meruntun jiwa. Aku dan Nick sama-sama menangis. Tidak tahu sama ada masa untuk kami masih ada lagi atau pun tidak. Aku jadi takut. Takut untuk kehilangannya.
            Dadaku berombak laju. Menahan rasa debar dengan menunggu kata-kata yang bakal diluahkan oleh lelaki itu. Kenapa? Kenapa lelaki itu sanggup menungguku di sini? Bukankah dia sudah bergelar suami orang? Kenapa perlu mengejarku sampai ke sini? Nick! Janganlah kau buat hatiku sebegini. Sukar untuk aku lepaskan kau pergi. Ya Allah, aku benar-benar cintakan lelaki ini. Tetapi, dia bukan milikku lagi. Ya Allah! Apa hikmah di sebalik semua ini? Hatiku dipagut rasa sayu tak terperi.
            “Sebab saya minat...suka...cinta...dan sayang pada gadis yang mengajar saya erti sebuah cinta sejati. Cinta yang pasti bermula dari hati nurani. Cinta suci yang seiring dengan doa pada Ilahi. Cinta yang pasti untuk membawa kita pada sang pencipta. Bukan cinta kerana nafsu semata-mata tapi cinta yang mencari cahaya Ilahi. Cinta yang pasti untuk kita kenang sehingga ke tua. Cinta yang pasti untuk kita kongsi bersama agar senantiasa mendapat keredhaan dariNya. Cinta itu yang saya cari selama ini. Cinta saya pada Allah buat Nur Erisya Kamal. Cinta itu yang pasti!” Tumpah lagi air mataku. Pantas mengalir tiada sekatan. Bibirku menggeletar, pendek kata seluruh tubuhku terasa mahu menangis. Esakan dan sendu silih berganti. Berjuraian permata putih itu mengaburi mataku sekali lagi. Nick juga sama sepertiku. Turut menangis hiba.
            “Tapi Nick, apalah gunanya cinta itu kalau sudah awak milik orang lain? Apalah gunanya cinta yang pasti, kalau hak sudah diserahkan pada orang yang layak untuk memiliki awak? Nick, saya tak mahu menanggung dosa lagi. Saya tak nak rampas hak orang!”
            “Siapa cakap saya hak orang lain!? Saya hanya untuk awak! Dan awak hanya untuk saya! Saya bukan untuk siapa-siapa melainkan Tuhan yang mencipta saya ke bumi ini. Saya dah lama berfikir Risya, kalau awak bukan milik saya, sudah tentu semua ini tak kan berlaku. Sudah tentu pertemuan kita yang berkali-kali itu tidak berlaku sekiranya awak bukan milik saya!” Bentak Nick kuat.
             “Mimpi-mimpi malam saya sentiasa menghadirkan wajah awak. Puas saya fikir, kenapa hanya ada wajah awak yang muncul. Sudah banyak kali saya melakukan istikharah. Sudah banyak kali saya berdoa meminta petunjuk dariNya. Sudahnya, hanya nama awak yang muncul di benak hati saya. Saya sendiri keliru. Kalau awak bukan untuk saya, segala petunjuk itu tidak akan muncul! Dan saya pasti, hanya ada satu sahaja jawapannya.” Nick terhenti. Mata kami berpadu lama. Lalu, tangan Nick ditarik dan dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.
            Mataku terbuntang saat melihat barang yang dikeluarkan dari kocek seluarnya tadi. Sekeping gambar ditunjukkan di depan mataku.
            “Awak tahu siapa gerangan yang berada di dalam gambar ini?” Aku menjadi gugup. Ternyata gambar itu benar-benar membuat aku terkejut. Bagaimana boleh gambar itu berada di tangannya?
            Gambar itu menunjukkan seorang gadis bertudung hitam dan menampakkan wajahnya dari sisi. Gadis itu sedang memeluk lutut dan pipinya kelihatan basah dek menangis. Nampak jelas sekali ada air mata yang membasahi pipi. Laju sahaja jantung ku berdegup. Gadis di dalam gambar itu ialah aku!
            “Gambar ni ditangkap 5 tahun lalu, di tasik Shah Alam seksyen 7. Pada masa itu, saya baru sahaja pulang dari US setelah bertemu dengan papa saya. Semasa itu, tok Idham masih belum memaafi diri saya. Sudahnya, saya ke tasik ingin menenangkan diri. Mengambil angin petang di tasik mampu membuat hati saya tenang. Sehinggalah saya terlihat seorang gadis yang duduk sendirian di tasik. Tanpa segan silu menangis di depan orang ramai.”
            “Lama saya memerhatikan gadis itu. Tiba-tiba, hati saya terusik melihat wajah sayu si gadis. Adakah gadis itu tengah kecewa? Adakah gadis itu mengalami masalah yang besar sama seperti saya? Adakah dengan menangis, hatinya akan tenang? Saya bagai tertanya-tanya sendiri. Mahu sahaja saya datang mendekati gadis itu, tetapi, hati saya menghalang. Sudahnya, saya membiarkan sahaja gadis itu menangis seorang diri.” Sambung Nick lagi. Aku tidak mampu bertahan lagi. Permata putih itu jatuh lagi. Laju menggelongsori pipi. Nick juga sama sepertiku. Matanya juga sudah merah kerana menangis. Aku teresak-esak. Aku mengelap pipi yang sudah lecun basah. Tiada kata yang mampuku ungkapkan tika ini.
            “Saya sempat menangkap momen itu. Entah mengapa, hati saya bagai terjentik ingin menangkap gambar gadis ini. Nampak dari jauh gadis ini seorang yang hanya biasa-biasa, tetapi, bagi saya pasti ada keistimewaannya pada gadis ini. Dan sekarang, barulah saya teringat. Wajah yang selalu muncul di dalam mimpi saya, ialah gadis yang tengah menangis di tepi tasik ini. Dan barulah saya perasan, gadis itu bukan calang-calang orang. Gadis itu ada di depan saya. Gadis di mana namanya telah terpahat di hati saya. Gadis itu adalah awak, Risya.” Di hujung ayat Nick, air matanya mengalir laju. Aku menekup mulutku menahan esakan yang mula nyaring. Aku menggigit bibir. Sudah pastinya lelaki ini ditakdirkan untukku. Lelaki asing yang pernah muncul semenjak dulu lagi. Betapa semua yang dirancang oleh Allah begitu rapi sekali.
            Mindaku terus mengingat kembali kejadian yang berlaku 5 tahun lalu. Ketika itu, hubunganku dan juga Iz seperti sudah mula hambar. Aku jadi bingung. Kenapa kami jadi sebegini? Walaupun Iz tahu isi hatiku, dia tetap melayanku baik. Tetapi, semenjak dua menjak itu hubungan kami bagai suam-suam kuku. Aku mencari-cari kesalahan yang telah aku lakukan selama ini pada Iz. Ternyata aku masih tidak mendapat jawapannya.
            Sering kali aku menghubungi Iz, tetapi nyata layanannya sudah hambar. Aku tidak kisah sekiranya dia tidak menyambut cintaku, tetapi, aku akan benar-benar terkilan sekiranya dia menjauhkan diri semata-mata kerana luahan perasaanku padanya. Tetapi, itu bukan menjadi persoalannya sekarang. Kerana sudah lama perkara itu berlalu. Sudah setahu aku ungkapkan rasa hati pada Iz, tetapi kenapa kini hubungan yang rapat menjadi hambar sebegini? Aku cuba berbaik dengannya dengan mengajaknya keluar, sudahnya dia sering menolak pelawaanku. Aku jadi kaget.
            Sehinggalah pada satu ketika, di mana aku dan rakan-rakanku, Irah, Nurul, Hana, dan juga Afiq pergi ke pusat beli-belah. Kami ke sana kerana mahu membeli hadiah untuk abang angkatku, Hazif. Sebelum itu, aku sudahpun menelefon Iz ingin mengajaknya sekali. Tetapi, Iz menolak. Ada hal katanya. Sesampai sahaja di Bukit Raja, aku ternampak kelibat Iz dan juga 3 orang rakannya sebaik sahaja mendapat parking. Kelibat mereka betul-betul di depan keretaku. Ketawa riang, dan asyik benar mereka berbual tanpa sedar kehadiran kami di dalam kereta itu.
            “Risya! Itukan Iz?” Soal Hana dari belakang tempat duduk. Berkerut dahi rakanku melihat kelibat Iz di sini. Betapa sedihnya hati ini apabila melihat orang yang kita sayang tengah berseronok bersama perempuan lain. Tetapi, bukan itu sahaja yang membuat hatiku sakit. Penolakan darinya yang membuat aku benar-benar berasa kecewa. Tadi sudah dia bilang ada hal yang perlu diuruskan, tapi tengoklah. Apa yang berada di depan mataku kini? Dia tengah berseronok dengan rakannya dan langsung tidak memberitahu kenapa sebab dia menolak ajakanku tadi. Aku mengetap bibir menahan rasa.
            Apabila kami semua keluar dari kereta, salah seorang dari rakan Iz, Ajai iaitu pelajar jurusan undang-undang juga merangkap rakanku jua, perasan akan kehadiran kami di situ. Lalu, dia berpaling ke belakang dan menegurku. Aku hanya mampu mengulum senyuman kecil padanya. Ajai memanggil nama Iz dari jauh dan tanpaku sangka, Iz langsung tidak menegurku. Aku menjadi malu sendiri. Sudahlah Ajai berkali-kali memanggil Iz dengan menyebut namaku sebagai kekasihnya. Makin membahang mukaku dibuatnya. Rakan-rakanku yang lain hanya memandang simpati padaku.
            Bermacam-macam persoalan yang menyesak benakku. Kenapa Iz berkelakuan sedemikian? Kenapa Iz melayanku begitu dingin sekali? Sudahnya, langkah kakiku membawaku ke tasik Shah Alam seksyen 7. Menangisi apa yang terjadi dalam perhubungan kami tanpa kira orang sekeliling. Dan tidakku sangka, rupa-rupanya ada orang yang berada di sisi. Langsung tidak pernah terlintas pun di benak fikiranku bahawa orang itu ialah Nick. Aku benar-benar terkejut. Namun, di satu sudut hatiku, aku berasa lega. Lega kerana orang itu ialah Nick. Orang yang dipertemukan kembali denganku setelah sekian lama kejadian itu berlaku. Dan orang itulah yang membahagiakan hari-hariku. Orang yang membantuku untuk terus bangkit dan cuba untuk melupakan kisah lama itu. Orang itu ada di sampingku sekarang. Orang itulah yang membuat hatiku jatuh cinta dan orang itu benar-benar telah membuka pintu hatiku dengan luas. Akhirnya aku akui, hanya Nick sahaja yang akan kucintai sampai bila-bila. Jauh benar lamunanku sehingga aku tersentak tatkala suara Nick menjengah cuping telingaku.
            “Jadi, awak jangan pernah berputus asa, Risya! Kerana selama ini, cinta saya tak pernah berpaling tadah. Masih setia menanti dan tak pernah mengenal erti penat lelah. Langsung tak pernah berhenti mencintai awak.” Ucap Nick ikhlas.
            Terasa seperti satu semangat muncul di benak hatiku. Dengan pantas, aku menyeka air mata dan aku cuba untuk menarik kakiku juga.
            “Agghh!!” Jeritku sekuat hati. Nick juga turut membantu menolak objek yang menimpa kakiku.
            “Sabar Risya. Teruskan lagi. Allahuakhbar!” Nick menarik dengan sekuat tenaganya. Melihat Nick berusaha dengan sepenuh hati, aku juga tidak mahu ketinggalan.
            “Allah!!” Terasa bagaikan terputus nadi suaraku menjerit menahan rasa sakit. Namun, kakiku masih belum mampu keluar dari situ. Aku menarik lagi.
            Ya Allah, kakiku terasa seperti mahu putus kalau ditarik sebegini. Ya Allah, kuatkanlah hatiku dalam menempuhi dugaan yang Kau berikan padaku ini.Rintih hati kecilku.
            Tiba-tiba, mata Nick terpandangkan ‘spark’ api yang mula kelihatan tidak jauh dari situ. Jantungnya bagai terhenti seketika. Lantas, tangannya juga membantu menarik kaki Risya.
            Mataku memandang matanya. Perbuatan Nick terhenti. Aku kembali merembeskan air mata. Aku menelan liur. Aku nampak apa yang dilihatnya tadi.
            “Seandainya sudah takdir kita begini...Akan saya sematkan rasa cinta ini sampai mati. Saya juga cintakan awak, Nick. Percayalah, hanya awak seorang yang bertakhta di hati. Hanya awak seorang. Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah bertemu dengan lelaki seperti awak, Nick. Maafkan saya andai jodoh kita hanya setakat di sini. Maafkan saya kerana melayan awak begitu dingin sehingga menyebabkan hati awak terluka sama. Maafkan saya, Nick.” Nick terdiam seribu bahasa. Baru kali ini Risya meluahkan rasa hati yang dipendam selama ini. Kata-kata yang menjadi penantiannya kini terluah dari bibir gadis yang dicintai. Kenapa harus pada waktu begini segalanya terungkai? Di kala dugaan yang menimpa, barulah segalanya terbongkar. Barulah tahu apa yang sebenarnya tertulis di benak hati. Ya Allah, aku tidak mungkin meninggalkannya. Detik hati Nick.
            Tangannya menggeletar dan hatinya bergetar hebat. Dia cuba mengulumkan senyuman. Dengan perlahan, pipi Risya diusapnya lembut.
            “Saya akan sentiasa berada di samping awak, Risya. Selamanya...”
            Serta-merta, kenangan dari awal perkenalan mereka menjengah minda masing-masing. Satu-persatu momen ketika bersama bermain di minda. Ketika pertama kali berjumpa di hotel, seterusnya perjumpaan kali kedua di pusat beli-belah di dalam fitting room diingat kembali. Segalanya menjadi kenagan yang terindah buat dua insan ini. Tidak kiralah pahit atau manis. Semua itu sangat berharga buat dua hati yang telah bersatu.
            Masa bagaikan terhenti tetapi itu hanya pada pengamatan mereka berdua. Sudah semestinya waktu itu sukar untuk kita kejar. Ia pantas berlalu pergi.
            Dari jauh, asap mula berkepul-kepul. Tidak lama selepas itu...
            Boom!!
*** 
Suasana bagaikan ribut tatkala itu. Semua jadi panik apabila mendengar suara nyaring dari mulut tok Idham. Tangan lelaki tua itu menggeletar di saat mendengar berita yang baru sahaja didengarnya tadi. Lantas, telefon bimbit yang melekap di cuping telinga jatuh dari tangannya. Tubuhnya terasa lemah sehingga menyebabkan dia jatuh tetapi sempat disambut oleh anaknya, Nik Baharuddin di sebelah.
            “Abah, kenapa ni?” Nik Baharuddin bertanya pada tok Idham. Tangannya sudah memaut kemas bahu bapanya agar tidak jatuh menyebam lantai. Resah juga hatinya melihat keadaan bapanya sebegitu. Baru sahaja anak lelaki sulungnya itu melangsungkan pernikahan dan serasanya mood tok Idham baik-baik sahaja, tetapi setelah mendapatkan panggilan daripada seseorang, tok Idham berubah terus. Sempat lagi matanya mencari-cari kelibat anak kembarnya yang seorang lagi. Mana perginya? Bukankah Nick tengah menyibukkan diri di belakang rumah? Kenapa tiada langsung kelibatnya di sini?
            “Ni..Nick!”
            Emilda yang baru menidurkan Diya datang menerpa mereka. Berkerut dahinya melihat keadaan tok Idham yang nampak begitu cemas itu.
            “Kenapa ni papa? Kenapa dengan tok Idham?” Soal anak gadis Nik Baharuddin padanya. Nik Baharuddin menggeleng lemah. Tiba-tiba, akalnya teringat kembali pada anak lelakinya tadi.
            “Oh, ya...mana Nick? Tak nampak pun kelibatnya?” Emilda tergamam. Bibirnya menggeletar tidak tahu mahu berkata apa. Tiba-tiba, tok Idham menangis di sisi Nik Baharuddin.
            “Nick kemalangan! Aku dapat berita Nick kemalangan. Begitu juga Risya! Kereta Risya yang sudah terbalik berdekatan lereng bukit tidak jauh dari sini menyebabkan kereta tersebut meletup! Nick turut berada di tempat kejadian. Dia berusaha untuk menyelamatkan Risya. ”
            “Astaghfirullah alazim,” Nik Baharuddin mengucap panjang. Emilda sudah menekup mulutnya terkejut mendengar berita buruk yang menimpa adiknya itu. Serta-merta, kelopak matanya merembes mengeluarkan air mata. Dia menggeleng-geleng dan diikuti bunyi esakan di hujung bibir.
            “Ap...apa? Apa dah jadi pada Nick, papa?” Soal suara garau di belakang. Emil juga terkejut mendengar berita yang baru sahaja didengarnya itu. Isteri yang baru sahaja dinikahinya tadi memeluk erat lengannya. Diusapnya perlahan lengan si suami bagai meniupkan sedikit semangat buatnya. Dia jatuh simpati.
            “Ya Allah, Nick! Ya Allah...” Emil meraup wajahnya. Tidak percaya begitu pantas sekali masa berlalu. Baru sahaja tadi dia berborak dengan adik kembarnya sebelum bermulanya majlis pernikahan itu.
            “Abah, apa yang orang tu cakap lagi? Mereka kat mana sekarang?” Soal Nik Baharuddin lagi. Hatinya bergetar hebat. Di dalam hati, diperbanyakkan doa buat anaknya dan juga Risya.
            “Mereka berada di hospital sekarang. Papa tak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,” Jawab tok Idham sayu.
            “Kalau macam tu, kita segera ke sana sekarang. Tok, orang tu ada bagitahu alamat hospital tu kan?” Tanya Emil. Tok Idham mengangguk laju. Lantas, mereka sekeluarga bergerak ke hospital kecuali Emilda. Emilda disuruh untuk berada di rumah sahaja. Melayan para tetamu yang semestinya keliru dengan apa yang sedang berlaku.
            “Haris, kau maklumkan pada keluarga Risya, ya? Takut mereka tak tahu apa yang terjadi pada Risya dan Nick. Suruh mereka sekeluarga bergegas ke hospital sekarang!” Arah Emil pada Haris yang baru sahaja mendengar berita mengenai sahabatnya itu. Haris akur dan pantas dia mendailkan nombor Hasnah.
            “Hello?”

Tuesday, May 29, 2012

Mini Novel : Penyelamat Cinta bab 11

Bab 11
  
          Matanya meneliti monitor yang menunjukkan imbasan otak. Lama benar dia menilik dan menilai gambar imbasan itu.
            “Supra tentoria,” Jawabnya pendek. Setelah mengkaji gambar imbasan tersebut, tangannya lincah mencatat sesuatu pada buku catatannya. Siap sahaja kerjanya, dia menghembuskan nafas. Lega!
            “Doktor Karmiza!” Panggil suara lembut dari belakang. Karmiza berpaling seraya tersenyum manis. “Ye? Kenapa Dhiya?” Jawabnya kembali.
            Jururawat yang berbadan sedikit gempal itu mendekatinya.
            “Ini report perkembangan Puan Akilah yang doktor nak tu kan?” Karmiza menyambut report tersebut dan diselaknya satu persatu helaian report tersebut. Sedetik kemudian, Karmiza tergamam. Hatinya mula tak senang. Dadanya bergetar disaat membaca laporan tersebut. Serasa mahu sahaja dia menangis ketika itu. Lemah lututnya apabila membaca aksara-aksara pada laporan tersebut.
            “Doktor Karmiza?” Karmiza tersentak. Bibirnya bergetar dan kelakuannya nampak tidak kena. “Doktor Karmiza tak apa-apa ke? Kenapa wajah doktor nampak pucat?” Karmiza menggeleng pantas. Dia cuba untuk mengukir senyuman tetapi senyuman itu dirasakan begitu kelat sahaja.
            “I’m fine. Thank you sebab serahkan report ni,” Ucap Karmiza. Jururawat yang bernama Dhiya itu berlalu pergi setelah tugasnya selesai. Karmiza pula masih berdiri kaku di situ. Air mata sudah mula bertakung membuatkan pandangannya sedikit kabur. Diusapnya dada perlahan menahan rasa sedih yang mula hadir dalam hati. Tidak mahu dinampak dek orang sekeliling, pantas kakinya melangkah menuju ke satu bilik.
            Berhati-hati pintu ditolak dengan perlahan. Setelah masuk ke dalam bilik wad tersebut, Karmiza menutup kembali daun pintu. Dia bersandar di daun pintu. Dalam pada itu, laporan kesihatan Akilah tadi masih tidak lepas dari tangannya.
            Karmiza mengatur langkah mendekati katil wad dan matanya merenung wajah tenang yang masih terbaring itu. Dia menghenyakkan punggung pada kerusi yang tersedia di sebelah katil dan dengan perlahan dipautnya tangan gerangan yang masih lena di katil. Laporan tadi sudahpun diletak ke tepi di atas meja.
            Baru kini dia menjenguk wajah lelaki itu. Entah kenapa, hatinya bagai meminta lelaki itu segera bangun dan memujuk hati yang tengah dalam kesedihan di kala ini. Berharap agar lelaki itu mengusap pipi yang basah dek air mata yang tiada henti mengalir. Dengan hanya melihat laporan itu, dia seperti tersedar sesuatu. Tak selamanya orang yang kita sayang akan kekal berada di sisi. Tak semestinya orang yang kita sayang akan sentiasa berada di samping kita. Dan, sudah tentunya kita tidak mampu menganggarkan bila orang yang kita sayang pergi meninggalkan dunia fana.
            Karmiza menggenggam tangan Saifullizan erat. Mutiara jernih hanya mampu dibiar membasahi pipi. Esakan kecil mula kedengaran di bilik wad yang serba mewah itu.
            Hatinya sayu bila keputusan laporan Akilah asyik mengganggu fikirannya. Bila mata menangkap keputusan laporan, fikirannya serta-merta terbayangkan wajah Saifullizan. Dia sendiri rasa pelik dengan kemunculan wajah suaminya secara tiba-tiba. Sudahnya, kakinya bagai membawa dia ke sini. Bagai ada kuasa yang menghantarnya ke mari.
            2 hari sebelum itu, dia sudah lama bertekad tidak mahu menjenguk Saifullizan di situ. Dia tidak mahu melihat keadaan suaminya yang sering kali meracau memanggil namanya. Dia tidak mahu! Dia takut kalau-kalau hatinya lembut dan dengan senangnya dia akan menerima suaminya kembali. Dia tidak mahu kalau rasa simpati itu penyebab mengapa dia menerima suaminya kembali dalam hidupnya. Demam panas suaminya belum kebah lagi.
            Setelah melihat tubuh suaminya kaku terbaring di lantai di depan pagar rumahnya, jiwanya jadi tak tenteram. Karmiza menjadi serba salah. Hatinya bagai menjerit-jerit nama Saifullizan. Lantas, laju sahaja kakinya berlari mendapatkan suami yang telah kaku di bawah hujan lebat yang sudah ada tanda-tanda mahu berhenti. Ditariknya tubuh sasa itu ke dalam pangkuannya. Karmiza mendakap erat suaminya bagai tidak mahu melepaskan Saifullizan lagi. Namun, di satu lagi sudut hatinya bagai menghalang dirinya dari berasa simpati pada si suami. Lalu, dengan pantas dia memimpin suaminya ke dalam. Egonya kembali menebal. Dia menelefon Ackiel dan menyuruh doktor muda itu ke rumahnya dan membawa Saifullizan terus ke hospital.
            “ Miza, you should’nt do that to your husband! Ackiel rasa tak patut Miza buat macam tu. Miza tahu tak syurga itu berada di bawah tapak kaki suami di kala dirinya sudah bergelar isteri? Miza, bukan Ackiel nak jaga tepi kain hal rumah tangga Miza, tapi, apa yang Miza buat ni keterlaluan. Suami tengah sakit, tapi Miza pula langsung tak mahu jenguk suami sendiri. Miza ni dah kira isteri derhaka tau!” Masih terngiang-ngiang suara Ackiel menegurnya. Sudahnya, mereka tidak bertegur selama 2 hari itu. Namun, segalanya berubah kini. Laporan Akilah benar-benar menyedarkan dirinya.
            “Abang, Miza tahu Miza banyak buat dosa kat abang. Miza betul-betul pentingkan diri. Miza hanya fikirkan kesalahan yang telah abang lakukan pada Miza selama ini dan Miza padamkan segala kebaikkan yang dah abang lakukan terhadap Miza. Miza minta maaf,bang. Miza betul-betul berdosa. Miza isteri yang derhaka! Ampunkan dosa Miza, bang. Ampunkan, Miza...”
            Lantas, dia mengucup lembut tangan suaminya dan mengusap pipi Saifullizan dengan perlahan. Tiba-tiba, tubuh Saifullizan bangun dari pembaringan. Dahi lelaki itu sudah berpeluh-peluh dan berkerut seribu. Kepala lelaki itu menggeleng-geleng. Matanya sedikit terbuka dan nampak kuyu sahaja.
            “Jangan tinggalkan abang, Miza. Jangan..jangan...Abang bersalah..Jangan! Jangan lari dari abang. Jangan!” Saifullizan menjadi tak tentu arah. Dia meracau lagi. Karmiza segera menenangkan Saifullizan. Dek kerana tak tahan melihat racauan suaminya, Karmiza pantas menarik tubuh Saifullizan ke dalam dakapannya. Tika itu, terus sahaja Saifullizan terdiam tidak berkutik. Tangisan Karmiza kembali berbunyi. Sendunya menjadi-jadi. Rasa hiba bila melihat Saifullizan meracau menyebut namanya. Begitu lemah jiwanya melihat si suami tengah berperang dengan diri sendiri tanpa sedar. Dapat Karmiza rasakan duka yang dialami oleh suaminya selama ini. Pasti hidup Saifullizan selama 4 tahun yang lalu dihantui rasa bersalah.
            ‘Ah! Bagaimana hidupnya selama 4 tahun itu? Ya Allah, kesiannya suamiku. Begitu berat hatinya dibebani rasa bersalah itu. Ya Allah, aku sudah lama memaafkan dirinya, cuma aku masih belum mampu berdepan dengannya. Dan kerana itu, Kau telah menemukan kami kembali di sini dan kerana itu, Kau juga telah pun menyedarkan aku tentang hal ini. Ya Allah, aku bersyukur terhadapMu kerana mempertemukan kami berdua. Kalau benar dia jodohku, akanku jaga masjid yang dibina oleh kami berdua ini. Walaupun hakikatnya perit untuk menelan kisah dahulu, tetapi, aku sedar tiada siapa yang sempurna di dunia ini melainkan Kau, ya Allah...’ bisik segenap hati itu.
            Apabila dirasakan Saifullizan tidak meronta lagi, Karmiza merenggangkan pelukan tadi. Ditatapnya lama wajah Saifullizan. Dia mengelap dahi suaminya dengan tisu dan dibaringnya perlahan tubuh Saifullizan. Karmiza menarik selimut sampai ke dada Saifullizan dan diusapnya rambut hitam lurus itu.
            “Abang, berehatlah. Tidur ye?” Ujar Karmiza. Saifullizan masih kaku tidak menoleh. Matanya masih terbuka tetapi sedikit kuyu. Ketika Karmiza mahu beredar dari situ, pantas dirasakan tangannya ditarik dari belakang. Karmiza menoleh dan mendapati tangannya digenggam erat oleh suaminya. Karmiza mengeluh lemah. Namun, keluhan itu berganti dengan senyuman di bibir.
            “Tak apalah. Miza temankan abang malam ni,” Lantas, Karmiza merebahkan tubuh di sisi suaminya. Ditariknya selimut menutupi tubuhnya juga. Karmiza merenung wajah Saifullizan sayu. Dia kembali mengeluarkan air mata dan dengan pantas disekanya. Kelihatan mata Saifullizan kembali tutup. Karmiza berasa lega. Tangannya mula melingkari tubuh suaminya dan dipeluknya erat suami tercinta.
            “Miza takkan pernah tinggalkan abang lagi. Miza janji!” Tekad Karmiza. Dalam diam, dia mengaku bahawa perasaan cintanya sentiasa utuh buat Saifullizan. Dia tak pernah berpaling dari mencintai lelaki itu walaupun pada asalnya lelaki itulah merupakan penyebab hidupnya kucar-kacir. Tetapi, di sudut hatinya dia berasa bersyukur kerana dikurniakan suami seperti Saifullizan. Kalau bukan kerana Saifullizan, dia tidak mungkin menjadi Karmiza sekarang. Dia tidak mungkin menjadi doktor berjaya seperti hari ini. Dia pasti takkan ke luar negara dan meneruskan pengajiannya sehingga berjumpa dengan Akilah. Dan yang pastinya, kalau bukan kerana Saifullizan, Karmiza mungkin takkan menjadi ibu susuan pada Mizan.
            ‘Ah! Begitu rapinya perancangan Allah buat hidupku. Semuanya pasti ada hikmah. Dan akanku hargai hikmah itu. Tak semestinya perkara buruk yang berlaku dalam hidup kita itu racun, dan tak semestinya perkara baik itu madu. Sesungguhnya, segala takdir yang telah ditetapkan untuk kita itu adalah yang terbaik buat kita. Syukur, alhamdulillah.’ Detik Karmiza dalam hati. Langsung, dia menutupkan matanya dan malamnya kini bertemankan mimpi bersama si suami.
            Perlahan-lahan, daun pintu ditutup rapat. Segaris senyuman terukir di bibir itu. Dia menarik nafas lega.
            “Syukurlah, Miza dah kembali ke pangkuan suaminya,” Ackiel mengucap rasa syukur ke hadrat Ilahi. Akhirnya doanya buat gadis itu termakbul juga. Karmiza akan kembali bahagia bersama orang tersayang. Ackiel menyeka air mata yang hampir sahaja jatuh ke pipi.
            ‘Sayang, biarpun dirimu bukan untukku, tapi ketahuilah doaku akan seiring waktu ingin kau sentiasa bahagia buat selamanya.’ Hati kecilnya berbisik.
***
            Karmiza duduk menghadap Ackiel. Menunggu Ackiel menyudahkan bacaan laporan yang didapatinya semalam. Setelah laporan tersebut diletakkan kembali ke meja, Ackiel melepaskan keluhan berat.
            “Sel kansernya sudah merebak dan kanser kak Akilah sudah pun masuk ke peringkat akhir,” Ujar Ackiel lemah. Dia meraup wajah berharap agar dapat mengurangkan rasa gundah di hati. Orang kesayangan kini menghadapi saat-saat akhir dalam hidupnya. Betapa hatinya jatuh simpati pada ahli keluarganya sendiri. Satu-satunya adik-beradiknya berperang dengan penyakit yang akan meragut nyawanya sendiri. Ingin sahaja dia menjerit melepaskan rasa sedih di hati tetapi disimpankan sahaja tidak mahu orang lain berduka sekali.
            Karmiza bagaikan tidak malu mengalirkan air mata di depan Ackiel. Sudah dianggapnya Akilah seperti ahli keluarganya sendiri. Semetelah dia seorang anak yatim piatu dan Akilahlah tempat dia menumpang kasih selain Haji Mukhri. Karmiza mengesat air mata berkali-kali. Namun, tumpah juga air mata itu tidak henti. Karmiza bagai kehilangan seseorang yang bermakna buat hidupnya. Seorang kakak yang mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih tabah tanpa suami di sisi. Seorang kakak yang sanggup berkongsi kasih Mizan dengannya. Seorang kakak yang amat memahami dirinya. Lantas, kenangan bersama ahli keluarganya menggamit minda.
            “Apa kita nak buat Ackiel? Kak Akilah sentiasa berfikiran positif, malah sanggup mencari rezeki demi Mizan. Tambahan pula, kak Akilah sanggup berjauhan dengan Mizan kerana tidak mahu anaknya serba kekurangan dengan mencari rezeki di luar daerah. Kalau berita ini disampaikan pada kak Akilah, pasti kak Akilah sedih dan terkilan. Segala usahanya selama ini, meneruskan kemoterapi tiada gunanya lagi sekiranya masuk ke peringkat akhir.”
            “Apa yang perlu kita lakukan, Ackiel?” Sambung Karmiza lagi. Karmiza menekup wajahnya dengan tapak tangan. Terhenjut-henjut bahunya menahan sendu. Begitu pilu hatinya mengenang kehidupan seorang ibu tunggal seperti Akilah. Sudahlah kehilangan seorang suami, sekarang dugaannya menimpa lagi dengan penyakit yang bakal menarik nyawanya. Entah buat berapa kali air mata merembes lagi.
            Ackiel menarik nafas panjang. “Kita tak dapat nak sembunyikan kebenarannya, Miza. That’s how a doctor use to be. Kita kena berani menyuarakan hakikatnya. Walaupun dalam hati kita sendiri terasa berat nak beritahu hal sebenar kondisi seseorang pesakit itu.” Jelas Ackiel tenang. Namun, hakikatnya, dia sendiri menelan pahit itu kerana segala yang berlaku itu pada kakaknya sendiri.
            Karmiza menggeleng perlahan.
            “Saya tak mampu nak beritahu pada kak Akilah. Saya sayangkan dia macam kakak saya sendiri. Begitu berat hati ini nak sampaikan berita buruk kat dia. Saya tak mampu, Ackiel...”  Luluh hatinya ingin mengungkap berita sedih itu pada Akilah. Ackiel memicit hujung batang hidungnya. Mahu sahaja air mata lelakinya mengalir di depan Karmiza, namun, dia perlu menunjukkan sikap professionalnya dalam menghadapi saat genting sebegini. Tidak kiralah berita buruk itu menimpa pada pesakitnya mahupun pesakit itu ahli keluarganya sendiri.
            “Miza, kalau macam tu...biar saya yang sampaikan berita ni pada kak Akilah. Tapi, awak harus ingat...Kita sebagai doktor perlu bertindak seperti seorang doktor. Ketepikan dahulu perasaan itu ketika menyampaikan sesuatu berita penting pada para pesakit kita. Awak fahamkan?” Karmiza mengelap pipinya seraya mengangguk.
            “Dahlah. Kita doakan sahaja keadaan kak Akilah baik-baik sahaja. Kalau dengan izinNya, mungkin sahaja umur kak Akilah dipanjangkan lagi. Tiada yang mustahil di mata Allah. Kita sebagai manusia perlu berusaha bukannya mengalah.” Ackiel cuba meniupkan sedikit semangat pada Karmiza. Perlahan-lahan, Karmiza mengukirkan senyuman kecil. Kalau Ackiel sebagai ahli keluarga kak Akilah mampu tabah dalam menghadapi dugaan sebegini, kenapa tidak dia? Detik hati kecilnya.
            Karmiza meminta diri untuk beredar dari situ. Sebelum keluar sempat lagi Ackiel memanggil namanya. Karmiza berpaling.
            “Ackiel harap dengan apa yang terjadi kepada kita ini, mampu dijadikan sebagai pengajaran. Karmiza, kita tak tahu bila orang yang kita sayang pergi meninggalkan kita. Entah-entah esok, entah-entah lepas ni. Semua tu sukar untuk kita tebak.” Karmiza terkedu. Kepalanya tertunduk. Kata-kata Ackiel benar-benar membuat hatinya tersentap. Lalu, wajah seseorang hadir dalam mindanya. Permata jernih itu kembali bertakung di kelopak mata. Dia mula sedar. Sememangnya kata-kata Ackiel itu ditujukan buat suaminya. Karmiza insaf!
            “Terima kasih, Ackiel. Saya takkan lupakan segala nasihat awak tu. Don’t worry, everything will be just fine. I promise.” Janjinya.
***
            Di sebalik kelopak mata yang tertutup rapat itu, bola matanya bergerak-gerak. Sekejap-kejap bola mata itu bergerak ke kiri. Sesaat kemudian, bergerak ke kanan pula. Sudahnya, kelopak mata itu terbuka luas. Badannya turut terbangun. Dadanya naik turun. Dahinya pula sudah merenik peluh.
            Sedetik kemudian, nafas yang menderu pantas itu kembali tenang. Tiba-tiba, dahinya berkerut. Dikerlingnya ke serata bilik tersebut.
            ‘Aku kat mana ni?’ Hairan apabila melihat tempat yang tidak pernah dilihatnya. Diperhatinya betul-betul tata hias bilik mewah tersebut. Sebaik melihat baju yang menutupi tubuhnya dan juga wayar yang mencucuk tangannya, barulah dia sedar di mana tempat dia berada sekarang. Saifullizan memegang kepala yang terasa sedikit pening itu. Saifullizan menyelak rambutnya ke belakang.
            Tiba-tiba, tangannya terhenti dari terus menyekak rambutnya. Dia teringat akan mimpinya malam tadi. Serasanya malam tadi dia ditemani oleh seseorang. Hangatnya tubuh gerangan itu masih terasa sehingga kini. Pelukan lembut dari gerangan itu begitu melekap di tubuhnya. Saifullizan juga terasa sukar untuk melepaskan pelukan itu. Lalu, tangannya diangkat dan dengan perlahan dia mengusap pipinya sendiri. Malam tadi, dia juga terasa seperti ada usapan lembut dari satu tapak tangan yang lembut dan halus. Betulkah semua itu? Atau cuma sekadar mimpi? Dia menutup kedua-dua matanya ingin mengingat kembali apa yang berlaku sebelum-sebelum ini. Namun, tidak berjaya. Di ingatannya, hanya teringat akan kejadian ketika berhujan di waktu malam di depan rumah isterinya sahaja. Dia jadi kebingungan sendiri.
            Telefon bimbit masih melekap di telinga. Karmiza membiarkan sahaja Haji Mukhri bersuara. Ada masa lelaki tua itu memujuknya untuk kembali ke Kuala Lumpur dan meneruskan kerja sebagai doktor di sana. Karmiza pula masih belum menetapkan keputusannya lagi.
            “Atuk harap kamu jaga Epul baik-baik kat situ. Sudah-sudahla tu bergaduh. Miza pun tahukan, tiada manusia yang sempurna melainkan Si Pencipta kita. Miza perlu ingat dosa dan pahala. Segalanya ditanggung suami. Kalau Miza masih berdegil, Miza akan melakukan dosa dan dosa itu pula akan ditanggung oleh suami. Miza mahu ke begitu?” Jatuh lagi mutiara jernih itu ke pipi. Pantas Karmiza menyekanya. Dia dipagut rasa bersalah. Karmiza menggeleng-geleng laju bagai menjawab pertanyaan Haji Mukhri. Apabila tersedar bahawa mana mungkin lelaki tua itu melihat gelengannya, lantas dia bersuara.
            “Tak, tok. Atuk jangan risau. Miza sedar apa yang Miza lakukan selama ini adalah satu perbuatan yang hina. Malah dikeji oleh Allah. Miza khilaf, tok. Miza hanya pentingkan perasaan Miza dan tanpa sedar ada juga yang turut berasa sakit menanggung duka ini. Miza benar-benar bersalah, tok.”
            “Baiklah. Syukurlah Miza dah sedar. Jadi, atuk harap korang berdua baik-baik sahaja, ye? Pasal Miza nak balik ke tak ke Kuala Lumpur ni, atuk serahkan sahaja Miza tentukan nanti. Atuk akan sentiasa menyokong kamu. Errmmm...Epul dah sedar ke?”
            “Belum lagi tok. Tapi, demam dia dah mula kebah. Nanti saya akan periksa dia lagi.” Jawab Karmiza. Sisa air matanya diseka lagi dan tangisannya mula mengendur. Hanya sendu sahaja yang kedengaran di hujung suara. Karmiza mengesat hingus yang mahu mengalir dengan sapu tangan di tangan.
            “Oklah kalau macam tu. Nanti kalau ada apa-apa, Miza maklumkan saja pada atuk. Miza dah nak habis praktikal bukan? Kena balik ke London pula ke?”
            “Serasa Miza, kena balik ke sanalah tok. Nak selesaikan semua laporan dan hantarkan pada pensyarah di sana. Lepas tu, barulah saya menunggu untuk sesi graduasi pula.”
            “Baguslah kalau macam tu. Baiklah. Atuk nak berhentikan telefon ni, lagipun atuk nak ke rumah kebajikan tu sekejap. Rumah kebajikan tempat kamu dulu tu ada buat majlis doa selamat,” Jelas Haji Mukhri. Serta-merta, Karmiza terbayangkan situasi meriah ketika berada di rumah kebajikan tersebut. Pasti meriah bila kanak-kanak kecil berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di surau yang disediakan di situ. Dia pernah merasai kemeriahan itu dan dia rindukan suasana di rumah kebajikan itu. Bibirnya mengulumkan senyuman.
 Walaupun peritnya menjadi anak yatim piatu tetapi, pengalaman bila berada di sana sukar untuk dilupakan. Langsung, kisah semasa menjadi pelajar sekolah menerjah mindanya. Terus, mindanya teringat akan satu nama yang sering dirinduinya. Nama seorang sahabat yang begitu rapat dengannya dahulu. Siapa lagi kalau bukan, Nashuha Nadya.
“Miza, atuk hentikan telefon ni ye?” Ujar Haji Mukhri membuatkan Karmiza tersentak. Segala lamunannya hilang terus dek teguran atuknya itu.
“Emmm...Atuk!” Cepat-cepat Karmiza memanggil Haji Mukhri sebelum sempat Haji Mukhri menamatkan perbualan mereka.
Ye? Ada apa, Miza?”
“Atuk...emmm..kalau saya nak minta tolong sesuatu boleh tak, tok?” Perlahan saja suaranya meminta tolong. “Apa sahaja yang Miza nak atuk tolong, atuk sanggup membantu. Apa dia? Apa yang kamu nak atuk minta tolong?” Lebar senyumannya sebaik mendengar persetujuan atuknya itu.
“Sebenarnya...”

***
Saifullizan masih lagi terpinga-pinga di atas katil. Kakinya mahu menuruni katil. Sebaik sahaja, kakinya mencecah lantai, tiba-tiba, pintu bilik terbuka. Kaki yang berlunjur ke bawah diangkat semula dan dengan pantas, dia menarik selimut dan baring. Kedua-dua kelopak matanya ditutup rapat. Sengaja berpura-pura tidur.
Karmiza terpaku di pintu. Bukankah tadi dia melihat suaminya sudah bangun? Detik hatinya. Karmiza mendekati katil suaminya dan melihat wajah Saifullizan yang tenang. Namun, matanya menangkap pergerakan bola mata di sebalik kelopak mata yang tertutup itu. Seraya itu, terukir senyumannya di hujung bibir. Idea ingin mendengki suaminya tiba-tiba timbul di minda. Meleret-leret senyumannya tika itu.
Perlahan-lahan dia menarik lengan suaminya, berpura-pura untuk memeriksa nadi Saifullizan. Dengan lantang, dia menjerit.
“Nurse! Nurse!” Kuat benar suaranya memanggil jururawat. Dalam pada itu, hati Saifullizan sudah berdebar-debar tatkala mendengar suara bininya.
‘Kalau dia nak berlakon sekarang, aku pun akan ikut juga nak berlakon sekali. Sekali-sekala kenakan suami, apa salahnya?’
Lalu, pintu bilik dibuka dan Karmiza memanggil lagi jururawat di luar.
“Nurse! Saya nak awak bawakkan jarum injection untuk saya, ye? Demam pesakit masih tak kebah-kebah lagi. Risau saya dibuatnya. Takut-takut kalau dia kena demam denggi ke apa? Jadi, baik awak ubat dan jarum tu sekali ye?”
“Baik, doktor!” Laju sahaja jururawat itu berlari mendapatkan barang-barang yang diperlukan oleh Karmiza tadi.  Sempat lagi Karmiza berpesan.
“Cepat sikit ye, nurse? Takut ada apa-apa yang terjadi pada pesakit, saya tak tanggung,”Sengaja dia menguatkan lagi suaranya agar dapat didengari Saifullizan. Karmiza tersengih-sengih sambil menekup mulutnya dengan tangan. Dia terkesan wajah Saifullizan yang tiba-tiba pucat. Dahinya pula sudah berpeluh. Saifullizan menelan liur.
‘Alamak! Jarum injection? Aku dahlah fobia dengan bab-bab tu. Aduh! Apa yang Miza nak buat ni?’
“Ini barangnya, doktor,” Kata jururawat tadi. Saifullizan sudah mula gelabah. Dia tidak suka dengan objek tajam itu. Lebih-lebih lagi kalau melihat objek tersebut di depan mata. Ngeri!
“Jangan! Saya dah sedar! Saya sihat!” Jerit Saifullizan yang bingkas bangun dari pembaringan. Mukanya benar-benar sudah berubah cemas. Matanya terbuntang saat terpandangkan jarum tajam ditangan Karmiza. Karmiza sengaja menjentik-jentik picagari tersebut dan menekan picagari sehingga terkeluar sedikit air dari jarum picagari itu.
Belum pun sempat Karmiza mencucuk jarum pada lengan Saifullizan, suaminya terus pengsan. Jururawat di sebelah Karmiza terkebil-kebil saat tercetusnya gelak tawa dari bibir Karmiza. Sekejap sahaja Karmiza kembali serius. Dia berdeham.
“Awak boleh tolong ambilkan vitamin untuk saya? Pesakit perlukan vitamin tersebut. Jangan risau, saya rasa kondisinya sudah mula baik.”
“Baik, doktor!” Jururawat tersebut berlalu pergi. Karmiza tersenyum panjang. Ditariknya selimut ke dada sasa suaminya. Tangannya mengusap lembut pipi Saifullizan dan dengan pantas, kucupan di bibir dihadiahkan pada suaminya.
“I love you, Saifullizan,” Ucapnya lembut di cuping telinga milik suami tercinta.

Friday, May 25, 2012

Mini Novel : Penyelamat Cinta bab 10


Bab 10

            Karmiza duduk di kerusi kayu yang terletak di veranda rumah sewanya. Malam itu tiada  pula bintang-bintang yang menemani seperti sedia kala. Tiada bulan buat pendengar luahan hati seperti malam-malam sebelumnya. Cuma awan mendung melindungi cahaya bulan yang menjengah pandangan malam. Dia menarik nafas panjang. Menyedut udara segar dari bayu malam tidak mampu menghilangkan rasa resah yang dialaminya sekarang. Kepalanya sarat dengan bermacam-macam masalah yang timbul. Lebih-lebih lagi hari yang bersejarah ini. Selamat 4 tahun menyepi, baru kini dia bertemu suaminya kembali.
“Kalau macam tu, buktikan yang awak ni bukan perempuan curang. Dengan cara, kembali tinggal bersama saya ,dan kita duduk sebumbung seperti 4 tahun yang lalu. Kalau awak setuju, saya takkan tuduh awak yang bukan-bukan lagi. So, deal or not deal?” Masih terngiang-ngiang kata-kata Saifullizan di ceruk mindanya. Kepalanya menjadi runsing bila memikirkan perkara itu.
Karmiza sekali lagi mendongak ke dada langit. Suram sahaja suasana tika itu.
‘Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?’
Mahu kembali ke pangkuan suaminya, serasa dirinya belum bersedia lagi. Tambahan pula duduk sebumbung dengan si pembunuh cinta itu, lagilah dia bingung. Hanya kerana mahu membuktikan bahawa dia tidak pernah berlaku curang pada si suami, patutkah dia akur pada cadangan itu? Sesudahnya, dia termenung sehingga kenangan lama mula menjengah minda.
Dia ingat lagi sewaktu kakak Ackiel, Akilah menceritakan dugaan yang melanda di dalam keluarga mereka. Suami yang tercinta mengalami penyakit buah pinggang, manakala dirinya pula seorang wanita tidak sesempurna wanita lain. Sudah lama Akilah menghidap penyakit kanser payu dara. Dia begitu kagum dengan kecekalan wanita tersebut dalam menepuhi dugaan hidupnya.
Akilah diberi saranan untuk membuang payu dara demi menyelamatkan dirinya. Oleh kerana itu, Akilah kehilangan salah satu perhiasan milik seorang wanita. Namun, kekurangan itu tetap tidak mengubah perasaan sayang seorang suami pada si isteri. Dalam beberapa tahun kemudian, Akilah disahkan mengandung. Tetapi, segala hari bahagianya punah di kala mengetahui suaminya menghidap penyakit buah pinggang. Tidak lama selepas itu, suami tercinta meninggal dunia dan meninggalkan seorang wanita yang berbadan dua di negara asing. Simpati dengan cerita itu, Karmiza sanggup berkongsi cerita kisah dukanya pula pada Akilah.
Hari-hari yang mereka kongsi bersama merupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Karmiza belajar untuk berdikari dan memikul segala tanggungjawab sebagai seorang isteri tanpa suami di sisi di negara Eropah.
Walaupun tidak sabar menunggu si kecil lahir ke dunia, Akilah masih tetap risau akan satu perkara.
“Kalau anak akak lahir ke dunia, pasti saja dia tak mampu merasa susu dari ibunya. Akak kehilangan sesuatu yang berharga dan sekarang, anak akak kekurangan sesuatu. Akak betul-betul rasa kesian pada si kecil,” luah Akilah pada Karmiza. Air mata merembes keluar tanpa henti. Hatinya sayu bila mengingatkan dirinya yang serba kurang. Kasihan pada bayi yang baru lahir itu, tidak berpeluang merasa susu dari ibunya sendiri.
“Kalau begitu, apa kata kita cari ibu susuan untuk baby ni?” Cadang Karmiza.
“Ibu susuan?” Karmiza mengangguk laju.
“Saya sayang pada si kecil yang belum lahir ni, kak. Kalau akak tak keberatan, saya sanggup menjadi ibu susuannya,” Tersentak Akilah bila mendengar cadangan Karmiza. Hatinya dipagut rasa ragu-ragu.
“Miza tahu ke akibatnya menjadi ibu susuan? Miza, tak kisah? Miza pun belum ada anak lagi. Macam mana nak jadi ibu susuan?”
“Kak, hati saya rasa sunyi sangat. Tanpa kehadiran baby ni, saya tak tahulah macam mana hidup saya sekarang. Dengan adanya si kecil ni, hari-hari saya taklah begitu sepi. Lagipun, saya teringin nak anak tapi, yalah akak pun tahu kisah saya. Mungkin belum ada rezeki lagi. Saya rela kalau jadi ibu susuan untuk bayi akak. Zaman sekarang, ibu yang belum mengandung pun boleh dapatkan susu. Akak jangan risau. Miza, rela.” Ujar Karmiza tenang. Di dalam hati dia berharap agar Akilah bersetuju dengan cadangannya itu.
Kembali ke alam nyata, mata Karmiza sudah mula merembeskan air mata. Dia mendongakkan kepala ke atas dan batang hidungnya dipicit ingin menghilangkan perasaan sedih di hati.
Ya! Mizan memang anaknya. Anak yang disusunya selama 2 tahun dan dia merupakan mahram bagi anak kecil itu. Mizan merupakan satu anugerah yang sangat berharga buatnya. Merasa menjadi ibu susuan sesuatu yang sukar untuk digambarkan. Dan disebabkan itulah Akilah membenarkan Karmiza untuk menjaga Mizan seperti anak sendiri kerana gadis itu juga punya hak ke atas anak kecil itu.
Karmiza berpaling ke belakang. Wajah si kecil yang tengah tidur ditatapnya lama. Lalu, kakinya perlahan-lahan mendekati tepi katil. Seraya melabuhkan punggung di atas katil, rambut si kecil diusapnya perlahan. Dihadiahkan ciuman lembut di dahi si kecil. Nampak wajah Mizan yang sedikit kegelisahan. Karmiza tersenyum.
‘Mama takkan pernah tinggalkan Mizan. Mizan memang anak mama! Mizan akan tetap jadi anak mama sampai bila-bila. Mama sayangkan Mizan macam anak mama sendiri,’ Detik hatinya dalam.
Sedetik kemudian, hatinya bertekad. Dia bertekad untuk tidak mengikut kata suaminya itu. Biarlah Saifullizan nak buat apa pun, dia tetap takkan kembali tinggal sebumbung dengan suaminya itu.
***
Saifullizan kelihatan mundar-mandir di ruang tamu bilik president suite itu. Berkerut dahinya dek ralit memikirkan berita yang baru sahaja dia terima tadi. Sebentar kemudian, kakinya berhenti dan matanya memandang tepat pada permandangan di luar tingkap. Malam yang bertemankan cahaya lampu tidak mampu mententeramkan hatinya. Sekali-sekala, rambut yang basah dikuak ke belakang. Sejenak kemudian, dia duduk di sofa pula.
Entah buat berapa kali sudah bibir itu mengeluh.
“Selepas disiasat, didapati anak itu bukan anak isteri, tuan. Ini buktinya,” ujar salah seorang perisik upahannya sambil menyerahkan satu sampul pada Saifullizan.
“Okey! Awak boleh balik sekarang. Saya nak awak tetap pantau Karmiza ke mana saja dia pergi. Faham?” Arah Saifullizan pula. Perisik upahan itu mengangguk laju dan beredar keluar dari bilik tersebut.
Mata Saifullizan tak lepas dari memandang sampul di atas meja. Teragak-agak tangannya mahu menarik sampul tersebut. Namun, digagahnya jua untuk mengetahui isi sampul itu. Saifullizan meneliti segala maklumat yang tertera di atas kerta A4 itu. Akhirnya, Saifullizan menarik nafas lega. Segala kumingkinan buruk sudah ditepisnya jauh-jauh. Dia bersyukur kerana Karmiza jujur padanya. Jadi, benarlah Karmiza seorang pencinta setia. Cinta? Adakah Karmiza masih mencintainya walaupun setelah mengetahui kisah silamnya itu? Saifullizan jadi bingung semula.
Dalam pada itu, mindanya asyik memikirkan kata-kata Karmiza ketika dia berada di rumah gadis itu.
“Memang itu anak saya! Tapi, awak tak berhak untuk menuduh saya sesuka hati! Saya berhak untuk bersuara. Jangan terus terjun pada kesimpulan.” Kata-kata itu yang sering terngiang-ngiang di telinganya. Saifullizan memicit dahi ingin menghilangkan rasa pening yang sudah menyerang kepalanya.
‘Kenapa? Kenapa Miza masih mahu menegakkan benang yang sudah basah? Mizan bukan anaknya, kenapa perlu mengaku itu anaknya? Memang bersungguh-sungguh gadis itu mengaku bahawa Mizan ialah anak dia. Tapi, apa sebabnya? Adakah dia sengaja mahu mendugaku? Adakah dia berusaha untuk membuat aku terpedaya dengan kata-katanya dan dengan itu dia boleh terlepas dari hidupku?’ Mindanya sudah sarat dengan persoalan yang masih belum ada jawapannya.
“Arrgghh!! Miza! Kenapa seksa abang macam ni? Kenapa buat abang keliru?” Saifullizan berkata sendiri. Wajah yang mendung itu diraup perlahan.
‘Ya Allah, tenangkanlah hatiku ini. Tunjukkanlah kebenarannya,’ Rintih hati kecil itu lagi. Lantas, dia bergerak ke bilik air dan mengambil wudhuk ingin menunaikan solat istikharah. Moga-moga dia mendapat petunjuk dari-Nya.
***
Buat ke sekian kalinya, Karmiza menarik lagi tubuh si kecil. Wajahnya sudah lecun dek air mata yang berjuraian ke pipi. Diciumnya lagi pipi mulus si kecil. Diusapnya pipi bersih Mizan dan direnungnya mata bulat si kecil.
“Jangan nakal-nakal tau kat rumah atuk dan nenek. Mama will miss you,”
“Mama, Mijan miss you too!” Mizan menghadiahkan ciuman ke pipi Karmiza. Karmiza tersenyum lebar. Disekanya air mata yang tak henti mengalir di pipi. Lalu, Karmiza berdiri dan ditariknya lembut tangan kecil Mizan.
“Kak, terover lak saya ni. Bukannya saya tak boleh jenguk dia kat rumah akak pun,” Karmiza senyum kecil. Akilah juga membalas senyumannya.
“Tak apalah, Miza. Akak faham perasaan kamu. Kamu pun mama Mizan jugak. Akak tak kisah kalau kamu nak jenguk dia selalu kat rumah umi dan abah di Gelang Patah tu. Tak jauh mana pun,” Seloroh Akilah pula. Dia menepuk lembut bahu Karmiza. Karmiza mengangguk perlahan.
“Nanti nak datang rumah, kol akak ye? Takut akak bawa Mizan keluar pula,”
“Yelah. Nanti kalau dah rindu sangat kat Mizan, saya akan telefon dia selalu. Tak lama lagi nak habis praktikal ni, sibuk pula. Nasib baik akak cuti, dapat jaga Mizan.”
“Terima kasih, Miza sebab tolong jagakan Mizan ni. Melayan nakal dia ni saja boleh buat Miza penat,”
“Eh, mana ada, kak? Kalau tak ada Mizan kat rumah, sunyi sepi pula jadinya. Kat hospital pula, saya terpaksa hantar dia kat nursery. Masa saya tak banyak mana dengan Mizan ni. Degil-degil dia, dia sentiasa buat hati saya gembira. Betul tak, Mizan?” Terkebil-kebil si kecil bila disoal secara tiba-tiba. Mulut kecilnya sedikit terbuka membuatkan Karmiza tergelak kecil. Dicubitnya perlahan pipi Mizan.
Air matanya sudah lama berhenti. Karmiza hanya mengelap pipi dengan hujung jari. Lantas, diambilnya beg keperluan Mizan dan diserahkan pada Ackiel yang setia menunggu di tepi kereta.
“Dah sudah babak air mata tadi?” Sindir Ackiel dengan sengihan di bibir. Karmiza memuncungkan mulut. Dijegilkan mata pada Ackiel. Ackiel tergelak kecil.
“Awak kalau nak usik saya tak pernah sudah!” Ackiel mengangkat bahu. “Biasalah, siapa yang nak buli awak kalau bukan saya? Ke awak dah ada jumpa pembuli yang baru?” Ditekannya perkataan ‘pembuli’ bagai ada maksud yang tersirat. Berubah terus wajah Karmiza bila mendengar ayat berlapik itu. Dia jadi gugup.
“Miza, nanti dalam 2 hari lagi akak akan ke hospital nak buat kemoterapi. Nanti akak serahkan Mizan kat kamu di hospital nanti, ye?” Pintas Akilah sambil tangannya tak lepas dari memegang tangan Mizan. Mizan dari tadi hanya mendongak dan diam tanpa memahami perbualan mereka.
Karmiza mengangguk. Dia memandang sayu pada wajah Akilah yang sudah tampak kurus berbanding tahun lepas. Walaupun, telah membuang kedua-dua perhiasannya, Akilah terpaksa juga menjalani rawatan berterusan. Karmiza tersenyum kecil dan melambai pada mereka bertiga di depan pagar sebaik kereta Honda Civic milik Ackiel beredar dari situ. Karmiza menguncikan pagar dan mahu melangkah ke dalam rumah. Sempat lagi matanya menjeling di dada langit yang kelihatan sedikit mendung.
‘Malam ni macam nak hujan aje,’ Simpulnya dalam hati. Lantas, dipercepatkan langkah ingin masuk semula ke rumah.
Belum pun sempat menjejakkan kaki ke dalam rumah, terdengar satu suara yang memanggil namanya. Dia berpaling dan tergamam di saat wajah lelaki itu menjelma di bawah cahaya lampu jalan. Tak tentu arah jadinya apabila berdepan dengan lelaki itu sekali lagi.
‘Aduh! Apa dia buat kat sini?’ Rungut Karmiza dalam hati. Saifullizan berdiri di sebalik pagar. Saifullizan mendongak sedikit agar pandangannya jelas tidak diganggu oleh besi pagar tersebut. Karmiza menggigit bibir.
“Miza! Saya perlukan jawapannya sekarang! Awak nak ke tak nak hidup bersama dengan saya kembali?”
“Abang, abang tak perlulah tunggu Miza lagi. Pergilah balik. Dah lewat dah ni.”
“Miza, I need an answer before I leave from here. Kalau Miza setuju, abang takkan pernah menuduh Miza lagi. Kalau tak, Miza faham-fahamlah.” Ugut Saifullizan. Karmiza mengetap bibir dan melangkah mendekati Saifullizan. Kini, dia berdepan dengan lelaki itu cuma mereka dipisahkan dengan palang besi yang sedikit tinggi.
Wajah Karmiza sudah membahang menahan marah. Sudah masanya dia menghemburkan rasa marah pada suami yang menunduhnya tanpa berfikir baik buruk kata-kata itu.
“Faham-fahamlah? Kalau tak, abang nak buat apa? Abang nak ceraikan saya? Begitu? Hmph! Itulah lelaki kan? Gila talak! Abang...apa gunanya saya meneruskan perkahwinan ini sekiranya saya mahu berlaku curang pada abang? Abang pernah fikir ke pasal tu?” Getus Karmiza sambil menggenggam buku lima. Dadanya sudah deras naik turun dek amarah yang membara dalam hati. Saifullizan tersenyum sinis. Tangan sudah memeluk diri.
“Jadi, bolehlah abang buat kesimpulan kat sini yang Miza sebenarnya masih sayangkan perkahwinan ni. Cuma Miza tetap ego tak mahu mengaku. Miza sebenarnya masih cintakan abang,kan?” Berkerut dahi Karmiza mendengar kata-kata Saifullizan yang ternyata bagai menjeratkan dirinya itu. Pandai benar Saifullizan memutar belitkan kata-katanya. Sengaja mahu menduga si isteri.
“Kalau macam tu, abang fikirlah sendiri pasal benda ni. Adakah saya patut hidup bersama dengan pembunuh atau tak?” Saifullizan tersentak. Dia kelu. Langsung dia tidak mampu menjawab pertanyaan isterinya itu. Rasa bersalahnya makin menggunung. Rasa hiba mula melayar hujung hatinya. Betapa kecewanya dia mendengar soalan yang dikemukakan oleh isterinya itu.
‘Miza, tiada sekelumit ruangkah untuk abang meraih kemaafan darimu? Tiada langsung rasa cintamu padaku? Benarkah?’
Saifullizan menunduk ke bawah. Dadanya sudah berasa sesak. Empangan matanya menunggu masa untuk pecah tetapi ditahannya agar tidak kelihatan di mata Karmiza. Sudahnya, dibiarkan saja Karmiza berlalu pergi meninggalkan dirinya sendiri di luar rumah teres tersebut.
Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kecil di langit. Saifullizan mendongak ke atas.
‘Langit bagaikan mengerti perasaan yang aku alami sekarang. Tak lama lagi hujan bakal menjadi peneman malam yang sunyi ini.’ Bisik hatinya. Serta-merta, berguguran mutiara jernih ke pipi, disertakan sekali air hujan yang mula menitis ke bumi. Tiada bezanya antara 2 cecair jernih itu. Masing-masing punya peranan. Gugurnya air mata itu kerana ingin melenyapkan rasa sedih di hati dan gugurnya air hujan itu bagai mencerminkan situasi yang dialaminya kini.
‘Ya Allah, mampukah aku bertahan?’
***
Sekejap-kejap dia mengiring ke kiri. Sekejap lagi, tubuhnya mengiring ke kanan pula. Akhirnya, dia baring terlentang. Dipandangnya kipas siling yang berpusing tanpa henti.
‘Aduh, pening kepala!’ Rungutnya dalam hati. Karmiza memegang kepala yang sudah mula berdenyut.
‘Arggh! Asal tak boleh tidur ni? Aduh! Karmiza, sila tidur! Esok nak kerja. Jadi, tolong benarkan mata kau tu tidur!’ Karmiza mengutuk diri sendiri. Dek tidak mampu melelapkan mata, Karmiza mengalihkan pembaringan dan duduk bersandar di kepala katil. Matanya berkalih memandang tingkap di sebelah kiri. Entah kenapa, dirasakan malam ini begitu sepi sekali. Kenapa ya? Oh, lupa pula Mizankan tak ada, sempat hatinya merewang teringat akan si kecil. Mulutnya melepaskan satu keluhan berat.
Dum!
Bunyi guruh di luar mengejutkannya. Tiba-tiba, Karmiza berasa tidak sedap hati. Dia menelan liur. Dipandangnya jam dinding. Pukul 1 pagi! Huh! Karmiza berpaling lagi ke tingkap. Dengan perlahan, dia menuruni katil dan melangkah ingin menjenguk ke luar tingkap. Tergamam dirinya apabila satu tubuh itu langsung tidak beredar pun dari tadi. Masih berdiri di depan pagar dan membiarkan badan yang sudah basah lebur bermandikan hujan. Karmiza hanya memandang kosong. Tetapi, di sudut hatinya, ada juga perasaan belas kasihan pada suaminya itu.
“Awak berdiri lama-lama di situ pun tak mungkin akan membuat saya lupa akan apa yang telah awak lakukan, Saifullizan. Seksanya penderaan seorang isteri bila mengetahui suaminya pernah berniat ingin membunuh dirinya itu lagi sakit berbanding apa yang dilalui awak selama ini.” Ujar Karmiza sambil matanya tak lepas pandang dari memandang Saifullizan.
Karmiza menutup kembali langsir tingkap dan kembali ke katil. Ditariknya selimut sehingga menutupi muka. Dia tidak mahu menghiraukan suaminya buat masa ini. Dia hanya mahu tidur!
‘Arggh! Persetankan perasaan ni. Biar dia tahu rasa,’ bisik hati jahatnya.
***
Saifullizan tidak mampu bertahan lagi. Terasa begitu sejuk badannya sehingga mencengkam ke dalam tulang. Serasa seluruh badannya menggigil menahan kesejukan.
‘Ya Allah, aku tak mampu bertahan lagi. Aku pasrah!’
Dush!
Tubuh yang tegak dari tadi sudah tersungkur menyebam lantai. Bibir Saifullizan sudah bergerak-gerak meluahkan rasa hati. Namun, tiada siapa yang memahami di saat diri yang sudah mula meracau.
Walaupun begitu, satu nama sering meniti di hujung bibir. Nama Karmiza sering disebut walaupun dalam keadaa dia meracau.
Hujan yang lebat tadi sudah mula ada tanda-tanda mahu berhenti. Baju yang dipakainya sudah lecun dan bercampur warna dengan air tanah. Saifullizan berpeluk tubuh sambil terbaring mengigil di lantai.
“Mii..za...Mizzz...zaa,” nama itu kian berulang dari tadi.
Karmiza mengalihkan selimut dari mukanya. Dia mengerling pada jam dinding sekali lagi. Huh! Pukul 3 pagi!?
‘Karmiza, what is wrong with you? Why didn’t you get into sleep!?’ Bentaknya. Hatinya mula mengerutu geram. Argghh!
Karmiza bangun dari pembaringan dan laju sahaja kakinya melangkah ke tingkap. Diselaknya langsir dan dilihatnya tubuh Saifullizan yang sudah ‘tumbang’ ke lantai.
‘Abang!’ Jerit hati kecilnya. Lantas, dia berlari anak dan mengambil kunci rumah. Dia sempat mengambil payung yang berada di sebelah almari kasut dan langkahnya dipercepatkan untuk keluar dari rumah.
Karmiza bergegas membuka kunci pagar dan ditariknya tubuh Saifullizan ke dalam dakapan.
“Abang!” Panggilnya sayu. Sungguh, hatinya mula meruntun hiba melihat keadaan suaminya sekarang. Tidak lama selepas itu, cuping telinganya mendengar bisikan suara dari bibir Saifullizan.
“Mi..zaa..Mmmii...zaa..Jaa..ngan ting..gal abangg..” Karmiza terkedu. Saifullizan meracau memanggil namanya berulang kali. Jatuh rasa simpatinya pada si suami.