Aku tersenyum memandang wajahnya bertemankan titisan air mata yang tidak pernah mahu berhenti jatuh ke pipi. Dia juga turut sama membiarkan saja air mata lelakinya menggelongsori wajah putihnya. Jari-jemarinya erat menggenggam jari-jemariku. Serasa bagai tidak mahu melepaskan langsung! Hati ini terasa hiba.
Betapa aku buta dalam menilai keikhlasan hatinya. Betapa aku lupa akan kejujurannya dalam meraih cintaku. Tiada henti rasa sesalan di benak hati. Ya Allah, lelaki ini benar-benar ikhlas mencintaiku. Adakah begini kesudahan cerita kami? Tidak! Masih panjang lagi. Sampai bila? Aku juga tidak dapat ketemui pengakhirannya. Semuanya tiada pasti melainkan Allah S.W.T yang mengetahui segalanya.
Mata Nick yang lama merenung wajahku tiba-tiba beralih. Pantas sahaja bola matanya memandang pada kakiku yang masih tersepit di bawah. Kemudian, pandangannya beralih pula di tempat duduk belakang keretaku. Dahiku sudah berkerut seribu. Dalam waktu cemas begini, Nick sempat lagi memandang tempat duduk belakang.
“Risya, awak ada simpan botol minyak ke? Apa-apa jelah. Asalkan minyak,”
“Minyak?”
“Tak pun spray,” Mendengar kata-kata Nick membuat aku teringat sesuatu. Ada sebotol spray yang aku simpan di poket tempat duduk belakang keretaku. Lantas, aku mengangguk laju dan memberitahunya.
“Ada! Spray engine cleaner. Saya letak kat dalam poket belakang seat,” Dengan pantas, Nick mengambil botol spray tersebut.
“Kalau kita guna spray ni, mungkin boleh bantu keluarkan kaki awak dari tersepit tu,” Laju sahaja akalku berfikir. Ya tak ya juga! Spray itu pasti boleh membantu. Lagipun, bila sudah kakiku dispray, pasti berminyak dan bila sudah licin pasti senang sahaja untuk aku keluarkan kakiku ini. Dapatku rasakan ada sedikit sinar harapan sebaik memikirkan cadangan Nick itu. Tetapi, hanya sebentar sahaja apabila rongga hidungku menangkap bau yang kurang enak. Bau minyak!
“Nick! Cepat! Saya dah cium bau minyak petrol. Ya Allah, selamatkanlah kami ini...”Rintihku lemah.
Sebaik sahaja Nick menyemburkan spray cleaner tadi, dengan segera dia menarik kakiku. Aku mengerang kesakitan. Sakit yang amat sangat bila ditarik sebegitu. Namun, aku telankan saja rasa sakit itu. Aku tak mahu menyerah! Sekali lagi, Nick cuba menarik kakiku dan akhirnya dia berjaya mengeluarkannya.
“Ya Allah! Alhamdulillah! Syukur di atas hadrat Mu,” Kata-kata syukur terkeluar laju dari bibirku.
“Cepat Risya! Kita kena jauhkan diri daripada sini. Tunggu masa saja lagi kereta ni akan meletup!” Lalu, aku mengaggahkan diri keluar dari situ.
“Aduh!” Sebaik sahaja aku meniarap keluar dari perut kereta, kakiku terasa pedih! Nyilu! Sakit! Aku mengerang sehingga jatuh laju air manik-manik mataku. Tidak tertanggung rasa sakitnya. Macam nak patah saja kakiku. Sudahnya, aku tidak berdaya lagi, tidak mampu bergerak kaku di tepi kereta.
Tidak mahu membuang masa lagi, tubuh kecil itu dicepungnya laju. Sehabis kudratnya membawa tubuh Risya agar mereka sempat menjauhkan diri daripada letupan yang bakal berlaku tidak lama lagi.
Selaju mungkin kakinya membuka langkah. Sedaya upaya kakinya berlari menjauhkan diri dari tempat kejadian. Dalam beberapa minit kemudian..
Boom!
Tubuh lelaki tadi bersama gadis yang berada di tangannya sudah terpelanting. Kedua-duanya sudah jatuh terjelopok di atas tanah tanpa sedar. Tidak lama kemudian, bunyi siren mula kedengaran. Asap pula sudah berkepul-kepul di udara. Bagaimanakah nasib mereka ya?
No comments:
Post a Comment