Tuesday, June 19, 2012

Cinta yang tiada kepastiannya Chap 34


Bab 34

            Aku tersenyum memandang wajahnya bertemankan titisan air mata yang tidak pernah mahu berhenti jatuh ke pipi. Dia juga turut sama membiarkan saja air mata lelakinya menggelongsori wajah putihnya. Jari-jemarinya erat menggenggam jari-jemariku. Serasa bagai tidak mahu melepaskan langsung! Hati ini terasa hiba.
Betapa aku buta dalam menilai keikhlasan hatinya. Betapa aku lupa akan kejujurannya dalam meraih cintaku. Tiada henti rasa sesalan di benak hati. Ya Allah, lelaki ini benar-benar ikhlas mencintaiku. Adakah begini kesudahan cerita kami? Tidak! Masih panjang lagi. Sampai bila? Aku juga tidak dapat ketemui pengakhirannya. Semuanya tiada pasti melainkan Allah S.W.T yang mengetahui segalanya.
Mata Nick yang lama merenung wajahku tiba-tiba beralih. Pantas sahaja bola matanya memandang pada kakiku yang masih tersepit di bawah. Kemudian, pandangannya beralih pula di tempat duduk belakang keretaku. Dahiku sudah berkerut seribu. Dalam waktu cemas begini, Nick sempat lagi memandang tempat duduk belakang.
“Risya, awak ada simpan botol minyak ke? Apa-apa jelah. Asalkan minyak,”
“Minyak?”
“Tak pun spray,” Mendengar kata-kata Nick membuat aku teringat sesuatu. Ada sebotol spray yang aku simpan di poket tempat duduk belakang keretaku. Lantas, aku mengangguk laju dan memberitahunya.
“Ada! Spray engine cleaner. Saya letak kat dalam poket belakang seat,” Dengan pantas, Nick mengambil botol spray tersebut.
“Kalau kita guna spray ni, mungkin boleh bantu keluarkan kaki awak dari tersepit tu,” Laju sahaja akalku berfikir. Ya tak ya juga! Spray itu pasti boleh membantu. Lagipun, bila sudah kakiku dispray, pasti berminyak dan bila sudah licin pasti senang sahaja untuk aku keluarkan kakiku ini. Dapatku rasakan ada sedikit sinar harapan sebaik memikirkan cadangan Nick itu. Tetapi, hanya sebentar sahaja apabila rongga hidungku menangkap bau yang kurang enak. Bau minyak!
“Nick! Cepat! Saya dah cium bau minyak petrol. Ya Allah, selamatkanlah kami ini...”Rintihku lemah.
Sebaik sahaja Nick menyemburkan spray cleaner tadi, dengan segera dia menarik kakiku. Aku mengerang kesakitan. Sakit yang amat sangat bila ditarik sebegitu. Namun, aku telankan saja rasa sakit itu. Aku tak mahu menyerah! Sekali lagi, Nick cuba menarik kakiku dan akhirnya dia berjaya mengeluarkannya.
“Ya Allah! Alhamdulillah! Syukur di atas hadrat Mu,” Kata-kata syukur terkeluar laju dari bibirku.
“Cepat Risya! Kita kena jauhkan diri daripada sini. Tunggu masa saja lagi kereta ni akan meletup!” Lalu, aku mengaggahkan diri keluar dari situ.
“Aduh!” Sebaik sahaja aku meniarap keluar dari perut kereta, kakiku terasa pedih! Nyilu! Sakit! Aku mengerang sehingga jatuh laju air manik-manik mataku. Tidak tertanggung rasa sakitnya. Macam nak patah saja kakiku. Sudahnya, aku tidak berdaya lagi, tidak mampu bergerak kaku di tepi kereta.
Tidak mahu membuang masa lagi, tubuh kecil itu dicepungnya laju. Sehabis kudratnya membawa tubuh Risya agar mereka sempat menjauhkan diri daripada letupan yang bakal berlaku tidak lama lagi.
Selaju mungkin kakinya membuka langkah. Sedaya upaya kakinya berlari menjauhkan diri dari tempat kejadian. Dalam beberapa minit kemudian..
Boom!
Tubuh lelaki tadi bersama gadis yang berada di tangannya sudah terpelanting. Kedua-duanya sudah jatuh terjelopok di atas tanah tanpa sedar. Tidak lama kemudian, bunyi siren mula kedengaran. Asap pula sudah berkepul-kepul di udara. Bagaimanakah nasib mereka ya?

Aku meronta-ronta di atas katil. Kedua-dua belah lenganku ditahan. Aku cuba untuk turun dari katil tetapi dihalang oleh kedua-dua insan yang aku sayangi. Aku merintih dan merayu pada mereka agar melepaskan diriku. Aku mahu membuktikan bahawa semua kata-kata mereka itu salah! Segala apa yang aku dengar tadi semuanya hanya satu penipuan! Aku tak percaya!
            “Adik, ayah...Lepaskanlah Risya! Risya tak percaya. Lepaskan Risya! Ibu tolonglah beritahu mereka, tolong lepaskan Risya...Lepaskan...” Suaraku kedengaran tenggelam timbul. Rasa serak sahaja lebih-lebih lagi tangisanku langsung tak berhenti dari tadi. Kudratku semakin lemah. Air mata pula sudah lecun membasahi wajahku. Rambutku pula sudah kusut-masai. Langsung tidakku kira lagi. Sekarang apa yang aku inginkan cuma lepaskan diriku sahaja. Susah sangat ke?
            Apabila diriku sudah tidak meronta lagi, akhirnya ayah dan juga adikku melepaskan lenganku jua. Tetapi, keadaan diriku sudah begitu lemah di kala ini. Sudah tiada daya untuk memberontak seperti tadi. Sudahnya hanya tangisan sahaja yang berbunyi nyaring. Aku menggeleng kepala.
            “Isha, terima sahaja hakikat itu. Benda dah jadi, kita perlu redha...” Pujuk ayahku di sebelah. Aku pandang wajahnya sekilas. Nampak benar mendung wajahnya itu. Begitu meruntun hatiku. Aku tunduk membiarkan diri melayan air mata yang mengalir berjuraian ke pipi.
            “Semua yang berlaku ni pasti ada hikmahnya, Risya. Anak ibu mesti kuat, nak. Ibu tahu kamu dapat melalui dugaan yang telah Allah berikan kepada kamu. Risya janganlah meratapi apa yang sudah pun terjadi. Sesukar mana pun dugaan yang Allah beri, semuanya pasti akan ada kebaikannya. Kita sahaja yang masih belum mengetahuinya. Dengarlah cakap ibu.” Kini, giliran ibuku pula yang memujuk. Aku masih diam. Tidak tahu mahu membalas apa. Adakah begini suratan takdir yang perlu aku lalui? Adakah ini yang perlu aku hadapi? Lantas, mataku memandang tepat pada selimut yang menutupi kakiku. Dek kerana tidak mampu menahan sebak yang bertamu sekali lagi, aku menekup wajahku. Menangis tersedu-sedan.
            Ya Allah, betapa aku begitu lemah dalam menghadapi cubaan dariMu ini. Betapa kerdilnya diri ini sebaik sahaja mengetahui hakikatnya. Ya Allah, bantulah diriku ini supaya aku kuat melalui dugaanMu.
            Perasaan kasihan pada anaknya tidak mampu dibendungnya lagi. Pantas sahaja tubuh kecil itu ditarik ke dalam dakapan yang erat.
            “Risya, nangislah sehingga hatimu kembali tenang. Ibu dan ayah, juga adik akan sentiasa berada di sampingmu. Tak kiralah apapun yang terjadi terhadap anak ibu, kami akan sentiasa berada di sisi kamu. Ibu tahu..Allah takkan menguji hambanya jika hambanya tidak mampu. Allah tahu keupayaan kamu, Risya. Allah tahu kamu kuat dalam melalui dugaan yang telah Dia berikan pada kamu. Sabarlah, nak...” Mendengar kata-kata ibu itu, makin galak pula aku meraung di bahunya. Aku mengeratkan lagi pelukan ibu. Aku berusaha untuk menjadi seorang kuat, berusaha untuk mencari semangat yang telah hilang. Serta-merta, mindaku terbayangkan wajah Nick. Ya Allah...Bagaimana harus aku hadapi semua ini? Mampukah aku?
            “Sudahlah tu, Isha. Ayah redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan. Ayah tahu kamu kuat macam apa yang ibu kamu katakan tadi. Isha berhenti menangis ya, nak?” Sayu hati seorang ayah melihat anaknya menangis sebegitu rupa. Wajah mendung anaknya sukar untuk ditatapnya. Begitu dia kasihkan anaknya. Nasib yang ditimpa anaknya itu memang sukar untuk dia terima. Tetapi kalau sudah ini ketentuan dariNya, dia redha.
            Mata Encik Kamal beralih pada anak lelakinya. Walaupun anak lelakinya itu cuba mengawal sebak, namun dia tahu, Asyraf juga merasakan apa yang dirasakan seisi keluarga itu. Rasa simpati dengan keadaan seorang gadis yang bergelar, anak juga seorang kakak.

Lama aku merenung di luar jendela. Tiada apa yang menarik pun. Berada di hospital bukanlah sesuatu yang aku gemari. Dulu pun aku pernah menjadi penghuni di hospital. Bilik wad mewah sebegini tetap tidak mampu menghilangkan rasa resah di benak hatiku. Aku menghembuskan nafas lemah.
            Mata yang sedari tadi memandang pemandangan di luar jendela, kini sudah merayap pada seluruh bilik itu. Kalau ikut pada pengiraanku, keluargaku memang tidak mampu membayar bil bilik wad yang sebegitu mewah ini. Sudah pastilah keluarga Nick yang melunaskan pembiayaan bil ini nanti. Merekalah yang beriya-iya mahu aku ditempatkan ke dalam bilik ini. Pasti tok Idham yang memintaku ditempatkan ke sini. Aku mengeluh lemah.
            Terdengar bunyi ketukan pintu dari luar. Wajah kak Hasnah dipandangku sayu. Terasa ada cecair hangat yang mengaburi tubir mataku. Menunggu saat nak gugur sahaja. Aku menunduk tidak mahu membalas pandangan kak Hasnah.
            Melihat wajah Risya yang sudah menunduk mahu menangis itu, laju kakinya mendekati si gadis bertubuh kecil itu. Dipeluknya kemas bagi memberikan sedikit semangat pada teman rapatnya itu. Terdengar bunyi esakan setelah dia memeluk erat tubuh Risya.
            “Kak Hasnah...Risya tak mampu nak hadapi semuanya. Kenapa Risya diuji sebegitu hebat? Kenapa Risya kena lalui semua ni? Kenapa?”
            “Risya, janganlah Risya bertanya sebegitu. Risya tahukan, kita perlu ingat qada dan qadar. Segala ketentuan Allah jangan pernah kita soalkan. Kita perlu terima seadanya. Semua ini hanya satu ujian. Ingin menguji kekuatan imanmu, Risya. Kalau Risya tak kuat, kenapa Allah beri Risya ujian sebegini? Sudah banyak yang Risya lalui dan Risya mampu menghadapi kesemuanya. Takkan ujian sebegini Risya tak mampu hadapi?
            Akak yakin Risya dapat laluinya. Risya salah seorang yang dipilih oleh Allah untuk ujian ni. Risya, kuatkanlah hatimu menghadapi ujian ini. Jangan pernah Risya berhenti mengalah. Jangan pernah Risya meratapi ketentuanNya. Jangan pernah sesal dengan apa yang telah terjadi. Bangkitlah Risya. Bangkit! Akak nak tengok Risya senyum seperti sebelum ni. Tak kiralah betapa beratnya dugaan yang Risya hadapi, Risya pasti tersenyum jua akhirnya nanti. Percayalah cakap akak, dik...” Begitu tulus hatinya memberikan semangat padaku. Kak Hasnah begitu baik padaku. Sedikit sebanyak kata-katanya itu menenangkan hati yang gundah gelana ini. Sedikit sebanyak aku terpujuk jua dengan kata-katanya.
            “Janji pada akak, dik. Risya akan kuat selepas ni. Risya pasti bangkit! Gagahkan diri menghadapi kesemua ini. Janji pada akak, dik!” Sekali lagi Hasnah mengeluarkan kata-kata semangat buat Risya. Dia mahu Risya sedar, semua ujian itu pasti dia mampu laluinya. Percayalah!
            Setelah hatiku tenang, barulah bibirku mampu bersuara. Sempat lagi tanganku menggenggam tangan kak Hasnah. Bibirnya terukir senyuman manis. Semanis orangnya.
            “Terima kasih, kak...Terima kasih sebab sanggup mendengar rintihan Risya ni. Risya rasa kurang sikit bebanan di bahu ni.” Aku membalas kembali senyumannya.
            Hasnah menggeleng perlahan.
            “Semua ni sedikit aje, Risya. Akak tak tahu nak tolong Risya macam mana. Kalau dengan cara ni sahaja yang akak dapat bantu, akak senang mendengarnya. Syukurlah Risya dah terima ketentuan ni. Alhamdulillah.”
            Dek kerana terlalu banyak yang kami perbualkan, terasa kering tekakku.
            “Hmmm...Hausnya. Eh? Lupa nak hidangkan air untuk akak,”
            “Eh! Risya, tak perlulah bergerak dari situ. Akak tolong tuangkan untuk Risya, ye?” Hasnah mengambil botol mineral yang tersedia di atas meja kecil bersebelahan dengan katil dan menuang ke dalam gelas kaca. Diserahkan gelas kaca tersebut pada Risya.
            Timbul rasa sebak di hati setelah mengambil gelas dari tangan kak Hasnah. Dapatku rasakan air hangat yang sudah mula bertakung di tubir mata. Wajah kak Hasnah dipandangku sekilas. Nampak raut wajah risau dan bimbangnya. Aku hanya tunduk menekur pada gelas di tangan.
            “ Risya, bukan ke kita dah bincang pasal benda ni. Jangan sedih, dik,”
            “Risya rasa tak berdaya, kak. Dengan segala yang berlaku ni, Risya rasa Risya memberi beban pada semua. Risya, tak mahu menyusahkan orang. Lebih-lebih lagi pada orang yang Risya sayang. Pada orang yang Risya anggap seperti keluarga sendiri. Malah, pada orang yang Risya cintai.” Rintihku lemah. Air mata yang sudah kering kembali membasahi pipi. Aku menyeka air mata dengan sebelah tangan lagi.
            Perlahan-lahan, aku meneguk air mineral di dalam gelas tadi. Tegukan demi tegukan dirasakan begitu kelat di anak tekakku. Tidak aku habiskan air mineral itu. Dengan secebis kudrat yang ada, aku cuba menggerakkan kerusi roda menggunakan sebelah tangan sahaja.
Rasa simpati mula menyerbu dada. Hasnah menghalang Risya daripada bergerak dan mengambil gelas dari tangan gadis itu. Sebak melihat keadaan Risya yang berkerusi roda. Khabar tentang teman rapatnya benar-benar meruntun hatinya. Betapa terkejutnya dia apabila mengetahui berita tentang kemalangan yang dialami Risya sebaik pulang dari rumah banglo milik keluarga Nick. Sudahnya, dia dan juga keluarga Risya bergegas ke hospital dengan hati yang rawang, gusar dan resah gelisah.
Hatinya senang apabila mengetahui keadaan Risya selamat. Namun, ada satu berita yang benar-benar membuat semua terkesima. Kaki Risya patah! Sukar bagi gadis itu menggerakkan kakinya. Keadaan itu semestinya mengejutkan si pemilik diri. Risya tidak mampu menerima hakikat yang kakinya patah. Setelah dipujuk dan diberi nasihat oleh doktor, akhirnya Risya mampu bersabar dan tenang. Syukurlah gadis itu menerima segala suratan takdir yang terjadi ini. Tetapi, jauh di sudut hatinya dia tahu, gadis itu masih lemah. Lemah untuk menghadapi semua ini. Dengan itu, Hasnah bertekad ingin memberi sepenuh dorongan pada gadis yang sudah dianggapnya seperti adik sendiri.
Aku menangis tersedu-sedan. Memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini benar-benar membuatkan hatiku takut. Aku tidak yakin dengan diri sendiri. Aku takut!
“Susah senang, kita bersama. Sedih akak tengok Risya asyik menangis dari tadi. Kesatlah air mata tu Risya. Biar ia berlalu pergi. Jangan biarkan air mata itu menjadi teman setia Risya. Pasti ada sinar harapan di sebalik duka ini. Cuma Risya perlu bukakan mata tu luas-luas. Lagi pula, Risya kan dah dengar apa yang doktor maklumkan sebelum ini?
Memang Risya memerlukan masa untuk sembuh semula. Tapi, tak mustahil kalau Risya berusaha, masa untuk kaki tu sembuh menjadi singkat. Risya perlu yakin! Yakin pada diri sendiri!”
“Tapi, kak...Kalaupun Risya yakin, adakah sepanjang masa untuk Risya sembuh tu mampu meringankan beban orang sekeliling?” Hasnah terkedu mendengar pertanyaan ringkas dari gadis itu. Akalnya cuba untuk menyusun kata.
“Kalau macam tu, biar akak tanya Risya pula. Siapa kata orang yang sayangkan Risya rasa terbeban dengan apa yang terjadi pada Risya ni? Semua orang risaukan Risya, malah semua orang sanggup berkorban apa saja untuk Risya. Jangan fikir yang bukan-bukan, Risya. Akak tahu, tiada langsung rasa beban pada orang yang ambil berat pasal Risya.” Tenang sahaja Hasnah berkata. Dilihatnya Risya tunduk dari tadi. Tidak mampu bertentang mata dengannya. Sejenak kemudian, Risya menggeleng.
“Risya masih tak yakin kak...”
“Kenapa? Adakah ini semua disebabkan oleh Nick? Kerana Nick, Risya tak yakin dengan diri sendiri? Begitu?” Pertanyaan demi pertanyaan itu benar-benar menyentak hatiku. Hujung bibirku digigit. Adakah kerana itu?
“Risya, lepas apa yang terjadi ni, Risya masih ragu-ragu dengan Nick? Takut Nick tak dapat terima keadaan Risya ni?” Sekali lagi kak Hasnah mengutarakan pertanyaan yang cukup tajam menusuk di hatiku. Berkali-kali aku menelan liur. Sudahnya, mulutku terkunci, tidak menjawab pertanyaan itu. Kedengaran keluhan lemah dari bibir kak Hasnah. Aku serba salah.
Lama kak Hasnah tidak bersuara. Masing-masing melayan diri. Seketika kemudian, terdengar juga suara kak Hasnah.
“Akak nak tanya Risya satu lagi soalan. Risya dah lawat Nick belum?” Sekali lagi terasa bagai hati dipalu geruda. Rasa resah hadir di jiwa. Membayangkan kekasih hati yang belumku lawat setelah sedar dari tidur yang lama. Tanpa paksaan, hadir juga air mata jatuh ke pipi. Kak Hasnah menggeleng lemah.
“Nick masih belum sedar lagi semenjak kejadian tu. Baiklah kalau Risya melawat dia. Kalau Risya nak akak tolong hantarkan, akak sudi.” Pelawa kak Hasnah padaku. Dadaku serasa begitu sesak mendengar saranan kak Hasnah tadi. Mampukah aku memandang wajahnya di kala diri ini serba kekurangan? Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan?

Perlahan-lahan aku menolak kerusi roda dan mendekati katil Nick. Pelawaan kak Hasnah tadi ditolakku lembut. Aku mahu dia memberi masa kepadaku. Sukar untuk aku hadapi keadaan yang dialamiku sekarang, sama juga sukarnya melihat lelaki yang kucintai masih belum sedar lagi.
            Setelah ahli keluargaku kembali pulang ke rumah sebaik melawat diriku, aku mengambil keputusan ingin menjenguk Nick sendiri. Menolak kerusi roda sehingga ke sini, semata-mata ingin melihat keadaannya.
            Tiada langsung wajah-wajah ahli keluarga Nick sewaktu ini. Pasti mereka sudah balik. Maka, senang bagiku untuk melawatnya. Aku berasa tak senang hati apabila berada di samping saudara-saudara Nick. Rasa macam aku ni menumpang kesenangan orang pula. Lebih-lebih lagi segala pembiayaan bil hospital dibayar sepenuhnya oleh keluarga Nick. Terasa begitu kerdilnya diri ini bila bersama mereka. Itu yang aku tidak suka!
            Lama mataku merenung wajah pucatnya. Begitu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Nick demi meraih sekeping hati ini. Betapa dalamnya cintanya untukku. Baru sekarang aku sedar akan kehadiran seorang lelaki yang begitu memberi makna dalam hidupku. Seorang lelaki yang pasti mendapat tempat di hati. Seorang lelaki yang sudah ditakdirkan untuk diriku. Tetapi, benarkah?
            Ya Allah, kenapa masih ada keraguan di hati? Kenapa begitu sukar untuk aku terima lelaki ini? Selepas segala yang berlaku, aku masih tidak yakin? Pasti pada cinta yang hadir, tetapi pastikah pada jodoh antara kami? Adakah benar dia jodohku?
            Entah kali ke berapa kali aku mengeluh. Aku sendiri tidak tahu. Mataku singgah pada balutan di kepala Nick.
“Siapa cakap saya hak orang lain!? Saya hanya untuk awak! Dan awak hanya untuk saya! Saya bukan untuk siapa-siapa melainkan Tuhan yang mencipta saya ke bumi ini. Saya dah lama berfikir Risya, kalau awak bukan milik saya, sudah tentu semua ini tak kan berlaku. Sudah tentu pertemuan kita yang berkali-kali itu tidak berlaku sekiranya awak bukan milik saya!” Kata-kata Nick kembali menjengah fikiranku. Dengan yakin sekali lelaki ini meluahkan perasaannya padaku sewaktu kemalangan tempoh hari. Tapi, kenapa hatiku masih berdegil lagi? Kenapa?
Setitis demi setitis mataku kembali mengeluarkan manik-manik jernih. Sayu dan hiba melihat Nick yang masih belum sedar.
“Nick...Maafkan saya sebab lewat melawat awak. Saya ada di sini, Nick. Saya ada untuk awak sekarang. Bukalah mata tu, Nick. Bukalah mata awak, Amy... Bersuaralah. Berikan sedikit keyakinan pada diri saya. Saya perlukan awak!” Sayup-sayup kedengaran suaraku memecahkan kesunyian di dalam bilik wad yang luas itu. Esakan setia menemani di hujung ayat.
“Tolonglah sedar, Nick...Bangunlah. Bangun dan pandang wajah saya. Saya nak awak yakinkan hati saya bahawa saya hanya milik awak seorang. Saya hanya untuk awak dan bukannya orang lain. Awaklah jodoh yang ditetapk untuk saya. Saya mahu awak kata macam tu. Jadi, tolonglah...tiupkan sedikit keyakinan pada diri awak pada saya. Saya tak tahu apa yang saya rasakan sekarang. Saya takut dengan perasaan saya sendiri. Saya takut, Nick!” Rayuku padanya. Nick masih kaku terbaring di atas katil. Tiada tanda-tanda untuk bangun. Makin kuat tangisanku di kala ini.
Aku menyebamkan wajah di tepi katil Nick. Terhenjut-henjut bahuku menahan sendu. Menangisi apa yang telah kulalui selama ini. Menangisi keadaan yang berlaku pada dirinya dan juga diriku. Apa ada sinar kebahagiaan buat kami? Sememangnya hanya Allah sahaja yang tahu jawapannya.

Sudah 4 hari berlalu. Nick masih kaku di atas katil. Ahli keluarganya pula tak pernah berhenti melawatnya. Ramai yang menyayangi lelaki itu. Aku berasa lega. Tok Idham juga tidak pernah lupa untuk melawatku. Dibawanya sekali anak dan cucunya berjumpa denganku.
            Pertama kali bertemu dengan abang kembar Nick, benar-benar membuat dadaku berdebar. Debaran itu bukan bermaksud aku sudah terpikat dengan dirinya. Tetapi debaran itu lebih kepada rasa serba salah setelah mengetahui kisah sebenar.
            Wajah Nick dan juga abang kembarnya, Emil memang sebiji! Tiada bezanya. Susah juga untuk mencari perbezaan di antara mereka berdua. Mujurlah abang Emil mengguna cermin mata. Kalau tidak dipakaikan cermin mata itu, pasti aku tersalah anggap dan menganggap itu ialah Nick.
            Disebabkan itu juga, rasa bersalah mula menguasai diri. Setelah melihat wajah gadis yang berada di samping lelaki itu, rasa bersalah makin menggunung di hati. Ditambahkan lagi dengan penyesalan yang menghantui diri.
            “Risya, tok nak kenalkan cucu atuk yang seorang lagi. Abang kembar Nick, Nik Emil. Dan ini isterinya, Nur Izyan. Pengantin baru kita ni,” Seloroh Tok Idham. Lama mataku merenung wajah gadis di sisi abang Nick itu. Tidak lama selepas itu, barulah persoalan yang sering mengganggu jiwaku selama ini terjawab jua.
            Inilah gadis yang pernah kulihat sewaktu di Sunway Pyramid dulu. Gadis ini jugalah yang kusangka berkepit dengan Nick semasa di hotel  Pacific Regency Suite. Sangkaku Nick berlaku curang denganku, tetapi hakikatnya lelaki itu begitu setia mencintai. Setia menunggu cintanya berbalas. Betapa bodohnya diri ini! Cemburu tidak bertempat. Tanpa usul siasat aku menuduh Nick yang bukan-bukan. Bodohnya aku!
            “Akhirnya, dapat juga kita bertemu dengan gadis idaman Nick nikan, bang?” Ujar gadis yang bernama Izyan atau lebih senang dipanggil Iyan, manja pada suami yang baru dinikahinya itu. Anggukkan Emil menjawab persoalan Iyan. Makin mekar senyuman gadis kacukan arab itu. Sempat hatiku memuji. Iyan seorang gadis yang cantik! Wajahnya ada iras-iras seorang pelakon Melayu yang baru naik popular di kaca televisyen, Izara Aishah. Cuma berbezanya dulu gadis ini tidak bertudung. Sekarang, berubah terus penampilannya setelah bergelar isteri buat lelaki bernama Nik Emil ini.
            “ Patutlah Nick angau kat awak, Risya. Awak ni comel juga orangnya. Macam apa yang diceritakan oleh Nick.” Pujian Iyan benar-benar membuat wajahku membahang. Malu dipuji sebegitu.
            “Saya ni biasa-biasa je, kak Iyan. Kak Iyan lagi lawa. Macam pelakon Melayu yang terkenal tu. Siapa nama dia? Emm..Ya, Izara Aishah.” Selorohku pula. Iyan yang aku panggil kakak tertawa kecil.
            “Eh! Nak dibandingkan kita dengan pelakon pula. Kita ni tak layak dibandingkan dengan pelakon secantik tu. Ada-ada jelah, Risya ni. Patutlah Nick ni asyik tersenyum aje bila cerita pasal Risya. Rupa-rupanya, lucu juga orangnya. Kan, bang?” Makin merona merah wajahku bila sekali lagi kata pujian terucap dari gadis secantik kak Iyan. Abang Emil hanya diam sedari tadi. Tersenyum sahaja.
            “Abang, Iyan nak pergi tandas dulu ya?” Pinta kak Iyan pada suaminya. Emil hanya mengangguk. Kini tinggal aku dan Emil sahaja di dalam bilik wad tersebut. Tok Idham sudah keluar entah ke mana. Tujuan tok Idham membawa pasangan suami isteri itu ke sini semata-mata mahu memperkenalkan diriku sebagai kekasih Nick. Alih-alih, tok Idham pula dah menghilang.
            “ Macam mana keadaan Risya sekarang? Kaki dah okey sikit tak?” Baru kali ini aku mendengar suara kembar Nick. Aku tersentak. Suara itu persis suara Nick. Tiada bezanya. Terasa rindu pula pada Nick.
            “Masih macam ni, bang Emil. Doktor kata, saya perlu jalani fisioterapi supaya kaki ni kembali kuat. Hanya cara tu sahaja yang dapat membantu Risya berjalan semula. Cuma memerlukan masa jugalah.” Jawabku dengan mengawal sedikit suara yang kedengaran tenggelam timbul. Sebak sebenarnya bila teringat akan tuduhan yang kulemparkan pada Nick dahulu. Aku sudah salah sangka dan Nick pula yang menjadi mangsa. Mahu sahaja aku menangis sewaktu itu. Tetapi, aku kuatkan hati dan menahan air mata daripada jatuh lagi.
            Emil mengangguk perlahan.
            “ Risya, boleh abang beritahu sesuatu pada Risya? Sudah lama abang nak beritahu pasal ni, tetapi dipendamkan saja. Bila dah ada kesempatan berjumpa dengan Risya, barulah abang ada keberanian nak beritahu benda ni.” Aku setia menunggu kata-kata yang bakal terluah dari abang Emil.
            Emil menghela nafas perlahan.
            “Sebenarnya perkara ni lebih kepada satu permintaan daripada seorang abang untuk adiknya. Permintaan ni bukanlah bertujuan untuk merosakkan hubungan Risya dengan Nick, tapi...” Mendengar kata-kata abang Emil itu membuat hatiku merasa tidak senang.
            “Abang rasa, Risya patut berikan masa untuk hubungan korang. Berikan masa untuk Nick berfikir semula tentang segala yang telah berlaku sepanjang hubungan korang. Abang tahu mungkin permintaan ni kedengaran seperti kejam. Tetapi, demi adik kembar abang tu. Abang Emil berharap sangat kalau Risya tak bertemu dengan Nick buat masa yang terdekat ni.
            Abang Emil pasti yang Risya juga perlukan masa untuk diri Risya, bukan? Risya jangan ambil hati dengan permintaan abang ni, ye? Abang cuma nak korang tenangkan diri korang terlebih dahulu sebelum korang benar-benar bersedia untuk menghadapi dugaan yang bakal berlaku nanti. Dah banyak yang korang lalui dan disebabkan itu juga, abang nak Risya mendapat kepastian tentang siapa yang berhak memiliki sekeping hati Risya tu. Permintaan abang ni tak salah, bukan?” Suara abang Emil kedengaran sedikit was-was.
            Lama aku memikirkan baik buruk permintaan abang Emil tu. Sejenak kemudian, hatiku sudah menyimpulkan satu jawapan. Jawapan untuk kebaikan semua orang.
            “Baiklah, bang Emil. Risya setuju dengan permintaan abang tu. Risya akan ikut kata-kata abang Emil. Lagipun, Risya pun perlukan masa. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Risya sekarang ni...Risya sendiri tak yakin dengan diri sendiri. Sama ada dah bersedia atau pun tidak berdepan dengan Nick nanti. Setelah apa yang berlaku selama ni, sememangnya kami memerlukan masa untuk memikirkan masa depan kami nanti. Perlukan muhasabah diri. Dari situ barulah kita dapat jawapan yang pasti. Cuma...” Aku berhenti seketika. Begitu perit rasanya menelan keputusan yang telah aku ambil ini. Betulkah tindakan aku ni?
            “Cuma..Risya juga nak buat satu permintaan,” Sambungku lagi.
            “Apa dia, Risya?” Soal Emil pendek.
            “Benarkan Risya untuk bertemu dengan Nick sekali sebaik sahaja Nick sedar nanti. Risya nak jumpa dengan dia sebelum kami berpisah buat seketika. Boleh kan?”
            Emil mengangguk seraya tersenyum.
            “Boleh, Risya. Abang Emil benarkan.”
            Aku tersentak apabila terasa ada usapan di atas kepalaku. Aku tergamam. Lantas, wajahku diangkat dan bagaikan terlihat sinar harapan di depan mata. Nick dah sedar! Ya Allah, syukurlah. Syukur Alhamdulillah. Syukur kerana Kau makbulkan doaku selama ini. Air mata kembali jatuh.
            “Ri..Risya...” Sayup-sayup kedengaran suara Nick memanggil namaku.
            “Er..Ery...” Ucap Nick perlahan. Kini, tangisanku bukan kerana sedih. Bukan juga kerana kecewa. Tetapi kerana gembira. Gembira kerana berkesempatan untuk melihat Nick sedar dari tidur yang lama sebelum diri ini berpisah dengannya buat sementara waktu. Takkan pernah kulupakan momen ini buat selamanya.

Giliran Puan Noor pula yang mengeluh. Menggantikan anaknya yang degil itu. Tubuh kecil yang sentiasa duduk di kerusi roda itu dipandangnya lama.
            “Risya pasti dengan keputusan Risya ni?” Soalnya masih ragu.
            Aku mengangguk laju.
            “Tapi apa kata keluarga Nick nanti?” Soal ibuku lagi.
            “Risya dah maklumkan pada mereka awal-awal. Mereka tak ada masalah pun, bu.”
            “Tapi itu tak adil buat Nick. Risya dah buat keputusan yang melulu. Kasihanlah Nick, Risya. Kamu nak tinggalkan dia sebaik sahaja dia sedar dari koma. Sanggup Risya buat macam tu?”
            “Ini demi kebaikan kami juga,bu,” Pintasku. Aku merenung wajah ibu sedalam-dalamnya. Aku tarik tangannya. Berharap agar bersetuju dengan keputusan yang telah ditetapkan olehku.
            “Mungkin keputusan ni nampak macam tak adil. Tapi, Risya sendiri tak bersedia menghadapi Nick, bu. Risya takut menjadi bebanan buat dia. Kaki Risya patah! Tak dapat berjalan! Macam orang lumpuh. Mana mungkin Risya bersedia dengan semua ni.
            Ibu...Risya harap ibu faham dan setuju dengan permintaan Risya ni. Risya dah pun beritahu pada ayah dan ayah bersetuju. Ayah beri peluang untuk Risya membuat keputusan sendiri.” Wajah ibu nampak keruh. Pasti dia bersimpati dengan nasib yang menimpa kami berdua ini.
            “Baiklah. Ibu biarkan Risya buat keputusan sendiri. Tapi, ibu harap segala apa yang kamu buat ni, kamu pandai-pandailah tanggung sendiri akibatnya nanti. Jangan menyesal sudah!” Ibu berlalu pergi meninggalkanku sendiri di bilik wad. Ternyata kerelaan ibu membenarkan diriku membuat keputusan sendiri, tidak menenangkan hatiku. Tetapi, ini yang terpaksa kutelan. Semoga apa yang aku lakukan ini adalah satu keputusan yang betul.

Lama dia memandang sepucuk surat di tangan. Bagaikan hali lintar menusuk tajam ke dasar hatinya. Isi surat yang baru saja dibacanya itu benar-benar menyentak hatinya. Terasa retak berderai hatinya di kala ini. Begitu pilu sekali.
            Baru sahaja semalam mereka bergelak ketawa. Mereka berbual panjang. Layanan Risya juga begitu baik sekali. Keadaan Risya yang berkerusi roda itu tidak langsung menjadi halangan buat hatinya demi merasakan kebahagiaan yang selama ini didambanya. Tetapi, kini apa sudah jadi?
           
Buat Amy yang saya kasihi,
            Awak...Sebaik sahaja awak membaca surat ni, awak pasti takkan dapat berjumpa dengan saya lagi. Saya tahu awak pasti kecewa dengan tindakan saya ni. Tetapi percayalah, wak...Saya lakukan semua ni demi kebaikan kita juga.
            Nampak keputusan saya ni begitu mementingkan diri sendiri. Tetapi hakikatnya, saya juga sukar untuk menerimanya. Saya mahu memberi peluang buat kita berdua untuk memikirkan kembali dan mencari satu kepastian di hati. Membuat kesimpulan agar keputusan yang kita tentukan nanti memberi kebahagiaan buat kita berdua.
            Nick, saya sedar akan kesilapan saya selama ini. Saya mahu menebusnya. Saya mahu beri peluang untuk awak merehatkan diri dari memikirkan tentang saya. Saya mahu awak fikirkan tentang diri awak terlebih dahulu. Dari situ, barulah kita fikir pasal orang yang kita sayangi. Memang saya akui, perasaan itu sudah mula mekar dalam hati. Tetapi, saya mahu perasaan ini mekar untuk diri sendiri terlebih dahulu. Sayangi diri, barulah kita dapat menyayangi orang lain.
            Nick, awak tahukan jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan. Kalau benar awaklah jodoh yang ditentukan untuk saya. Saya pasti akan kembali ke pangkuan awak. Mungkin juga tanpa kita rancang, pertemuan tak sengaja berulang lagi? Kita sendiri tak tahu kan? Semuanya kita masih belum ada kepastiannya lagi. Tetapi, ingatlah...Saya juga sama seperti awak. Saya juga ingin mencari cinta yang pasti seperti yang diluahkan oleh awak semasa kemalangan tempoh hari. Semoga kita menemui kebahagiaan yang kita cari selama ini. Semoga kepastian itu hadir dalam diri kita selama kita mencari jawapannya. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita dalam mencari kebenaran itu. Amin Ya Rabbal Alamin. Wassalam.
                                                                                                                                    Erry.

            Sebaik melipatkan sekeping kertas itu, air matanya jatuh jua. Empangan mata yang disimpannya dari tadi, pecah jua. Sudahnya dia menangis sendiri memikirkan masa-masa yang akan dilaluinya selepas ini tanpa gadis itu.
            ‘Risya, sampai hati awak tinggalkan saya...’ Rintih sekeping hati yang tengah lara.

           
            

6 comments:

  1. Best....harap Risya dapat bersama dengan Nick lagi....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Huuhuhu...NurAtiza..bunyi cm psrah je..hehe..

      Delete
  2. hmm.. first time baca enovel nih.. haha.. tak tahu apa2 tiba2 masuk part sedih duka lara nih.. tp awat kembar dia mintak lagu tuh? yang risya plak pi ikut.. aiyo.. patutnya dia berada di sisi nick... dah lah nick susah2 selamatkan risya.. nnti nick pkir yang risya ni jenis perempuan yg ada dikala senang jeh... geram geram geram... =p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..yang klo ko bce dr awl msti ko phm knape abg die wat gtu..da mcm2 yg dorg llui sbb tu la risya tu ikt je tp skg keadaan die pn mcm tu sbb tu die xde kykinan dri..hehe tp klu ko bce dr awl msti ko akn rse gram dngt kt 2 org tu hehe...

      Delete
  3. nak lagi...nak lagi...... x puas nak lagi.....!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! :D i love Nick n Risya <3<3<3<3

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe...Thank u...klu sy ada msa sy update yg bru ye? :D

      Delete