Bab 13
“Abang...Bila nak balik ni? Dah
lewat da ni.” Karmiza sudah bercekak pinggang di depan Saifullizan yang selamba
sahaja baring di atas katilnya. Sekarang, hanya mereka berdua sahaja yang
berada di rumah teres itu.
Saifullizan mengubah posisi
baringnya. Daripada mengiring, dia baring terlentang. Dengan selambanya, dia
menarik kain selimut sampai ke dada dan tidak diendah langsung kata-kata
isterinya itu. Malah, kedua-dua tangannya didepakan sambil bibirnya tersenyum.
“Cup
cake...Dah tau hari dah lewat, jomlah datang kat abang ni. Kita tidur nak?
Meh! Peluk abang. Sejuklah malam ni,” Rengek Saifullizan manja. Terjengil mata
Karmiza melihat tingkah Saifullizan yang tak makan dek saman itu. Makin
bertambah lemak ada lah!
“Abang, abang cakap nak beri masa
untuk Miza kan? Jadi, kenapa masih ada kat sini? Abang...nanti apa pulak kata
jiran-jiran kat luar? Mereka bukannya tahu pun pasal kita berdua.” Mata
Saifullizan yang dipejam seketika kembali terbuka. Panahan matanya menyapa
lembut pada wajah Karmiza. Sempat lagi dia menilik penampilan Karmiza. Makin
melebar senyumannya melihat tudung di atas kepala Karmiza yang masih belum dibuka
sejak dari tadi. Rindu pula rasanya ingin membelai rambut ikal isterinya.
“Kalau dia orang tak tahu siapa kita,
then, kita beritahulah kat dia orang
siapa kita sebenarnya. Mamat tu pun dah tahu kan pasal kita? Jadi buat apa nak
takut apa yang orang nak kata? Kalaupun kita ditangkap basah, tak apa. Nak
suruh kita kahwin sekali lagi pun boleh. Abang lagi suka.” Jawab Saifullizan
dengan wajah tenang. Makin membulat mata Karmiza sebaik mendengar jawapan dari
Saifullizan itu. Menggerutu hatinya dengan jawapan ‘bernas’ dari suaminya.
“Abang jangan nak buat lawak tak
semengah tu. Miza cakap betul-betul ni. Abang dah cakap nak beri peluang untuk
Miza fikir sedalam-dalamnya. Nak beri masa pada Miza. Tapi apa pula dengan beg
besar ni? Kenapa abang datang siap bawa beg ni sekali?” Rungut Karmiza sambil
memeluk tubuhnya. Rasa tidak puas hati pula dengan suaminya sewaktu ini.
‘Haii...Cakap tak serupa bikin! Janji
tak ditepati. Kerajaan dah beriya-iya nak tepati janji, mamat ni pula dah jadi
pembangkang. Aishh...’ Omel Karmiza dalam hati.
Saifullizan bangkit daripada baring
dan dilihatnya bagasi yang dibawanya tadi. Makin melebar senyumannya. Sebaik ‘menembak’
jiran Karmiza yang gila gatal nak meroyan tu secara habis-habisan, dia kembali
ke hotel dan terus check out dari
situ. Kerjanya di Johor sudah selesai, jadi tak salah kalau dia mahu meluangkan
masa bersama isteri tercinta.
‘Orang tua ni dah meroyan ke? Duk
tersenyum memanjang. Tak pernah nak berhenti senyum ni, mesti ada apa-apa yang
dia fikirkan tu. Hish! Tak boleh jadi ni. Dia kena keluar dari rumah ni. Kang
tak pasal-pasal, jadi mulut orang macam mana pula? Memanglah berdosa menghalau
suami sendiri, tapi, belum tiba masanya aku kembali ke pangkuan dia. Aku belum
sedia lagi ni. Mahu dia apa-apakan aku malam ni, habislah...’ Sempat pula
fikiran Karmiza merewang ke tempat lain.
Saifullizan berdeham. Cuba menarik
perhatian Karmiza. Sudahnya, Karmiza masih termenung di depan pintu. Akalnya
terfikir akan sesuatu. Dengan perlahan, Saifullizan turun dari katil dan
mendekati Karmiza. Tangannya diangkat dan diletakkan pada daun pintu. Cuba
untuk memerangkap tubuh Karmiza di tengah-tengah. Bibirnya tak pernah berhenti
senyum. Saat ini dirasakan begitu indah sekali dalam hidupnya.
Bertemu
semula dengan si isteri dan berada begitu dekat dengannya. Rindu yang sudah
lama dipendam, kian terubat. Mahu sahaja dia memeluk cium wajah isterinya itu.
Namun, disimpannya niat itu kerana dia tahu, Karmiza pasti akan mengamuk kalau
dia bertindak secara melulu.
“Cup cake abang ni dah makin berisilah.
Pipi tu penuh aje. Geram abang tengok. Kalau nak cigit boleh tak?” Soal Saifullizan penuh menggoda. Terkejut Karmiza
apabila tersedar dari lamunan tadi sebaik melihat wajah Saifullizan yang begitu
hampir dengannya. Dadanya bertambah berdebar di saat pandangan matanya menyapa
wajah si suami. Karmiza menelan liur.
‘Aik?
Dunia dah terbalik ke? Siapa yang daring
sekarang? Aku ke dia? Agaknya, sepanjang 4 tahun tu dia belajar jadi lelaki
daring kot...’ Omel hatinya lagi.
“Emm...Aaa..ci..ci..cigit? Apa maksud cigit tu?” Tergagap-gagap bibirnya menutur soalan. Mahu putus terus
jantungnya sebaik melihat bibir Saifullizan yang mengulumkan senyuman menggoda
itu. Di saat ini, satu sahaja yang muncul di akalnya. Lari!
‘Ya
Allah...Asal aura suami aku ni kuat sangat? Mahu aje aku jatuh tersungkur di
tangannya. Tapi, aku tak boleh mengalah. Belum tiba masanya lagi. Miza! Jangan
terpedaya dengan godaannya. Bukan masa ni. Belum lagi...belum lagi!’
Saifullizan
tergelak kecil. “ Cigit tu...Emmm...Kombinasi antara perkataan cium dengan
gigit. Nak abang tunjukkan tak macam mana caranya?” Sengaja dia mengusik
Karmiza. Berbunga hatinya melihat wajah Karmiza yang sudah merah padam itu.
Dulu,
Karmizalah yang sering mengusiknya. Sekarang, tiba masa untuk dia pula yang
menjadi pengusik isterinya itu. Siapa kata dia tidak daring? Siapa kata dia tidak pandai menggoda? Buktinya sekarang
siapa yang dah menggeletar dan gugup? Mahu sahaja dia menghemburkan tawanya
tetapi, dia masih mahu mengenakan isterinya itu.
‘Comelnya
isteri aku ni,’ puji Saifullizan dalam hati.
“Ab..abang
jangan nak mengada-ngada ya? Mi..Miza nak basuh baju ni. Ba..baju masih belum
dicuci lagi.” Ucap Karmiza tersekat-sekat. Pantas, dia menepis tangan Saifullizan
tadi dan melulu keluar daripada bilik tidurnya. Kakinya segera menuruni tangga
dan sempat juga cuping telinganya menangkap bunyi gelak suaminya. Karmiza
mengetap gigi.
“Amboi...Mentang-mentang
dia menang kali ni, sampai ketawa pun nak semua dunia tahu. Ceh!” Karmiza
menjuih bibir. Lantas, kakinya melangkah ke bilik belakang. Niat untuk menyuruh
suaminya beredar dari situ terbantut di saat hatinya sudah lemah dengan godaan
suami sendiri. Kepalanya diketuk lembut.
‘Asal
senang sangat hati aku ni lemah bila berdepan dengannya sekarang? Betullah kata
atuk hari tu. Mana mungkin hati yang telah diisi, senang-senang sahaja kita nak
buang perasaan tu berlalu pergi.’ Sempat lagi fikirannya teringat akan kata-kata
Haji Mukhri itu.
“Ah!
Aku tak kira! Aku nak kenakan dia balik. Dulu dia pernah buat hidup aku merana.
Sekarang, dia dah nak tunjuk taring dia bali? Tak boleh jadi ni! Aku mesti
fikirkan sesuatu supaya dia boleh keluar dari rumah ni. Tapi, apa ya? Apa?”
Krok!
Karmiza
terdiam seketika.
Krok!
Sekali lagi bunyi itu menyapa gegendang telinganya.
Sebaik
mendengar bunyi nyaring itu, laju sahaja bola matanya mencari sumber bunyi
tadi. Bibir yang muncung kembali tersenyum penuh makna apabila benda yang
dicarinya tadi sudah dijumpai. Makin bertambah meleret bibirnya melihat objek
hijau yang berada tidak jauh dari tempatnya berdiri. Dengan cekap, senang
sahaja objek tadi berada di tangannya.
“Putera
katak, mahu ke mana? Nak lari ya? Kita bagi awak 2 peluang. Sama ada nak
larikan diri, atau dengan rela hatinya bermain di sini? Hmmm...Tak apalah. Biar
kita yang decide. Kita nak ajak awak
bermain dengan raja tak serupa bikin kat atas tu, nak? He he he...”
***
Saifullizan terbaring nyaman di atas
katil. Selepas mengusik Karmiza, dia kembali merebahkan tubuh yang sudah penat
di atas katil empuk milik isterinya. Sekejap tubuhnya mengiring ke kiri,
sekejap tubuhnya mengiring ke kanan. Sudahnya, dia berguling di atas katil.
Diambilnya selimut tebal berwarna merah jambu kepunyaan Karmiza dan diciumnya
lama. Bau yang melekat pada selimut itu sememangnya ada bau Karmiza. Wangi!
Sememangnya dia merindui bau harum isterinya itu. Saifullizan menarik selimut
tadi dan dia berselubung di dalam selimut.
Pada masa yang sama, Karmiza yang
kembali ke tingkat atas dengan perlahan-lahan memusing tombol pintu dan
dilepaskan objek hijau tadi di biliknya. Langsung tiada rasa gelinya memegang
binatang hijau yang sedikit lembab itu. Dibiarkan sahaja binatang itu
melompat-lompat di dalam kamar tidurnya. Sempat lagi dia menekup mulut menahan
tawa yang hampir-hampir terhembur keluar. Karmiza menarik semula daun pintu dan
dia mengunci pintu tersebut dari luar. Now,
the show has started!
‘Eh? Asal senyap saja kat luar tu?
Lama pula bini aku basuh baju. Banyak sangat ke? Hmmm..kesian pula my cup cake.
Sibuk sampai baju pun tak sempat nak cuci. Aishh...Risau pula biarkan dia
lama-lama kat bawah. Dia dah kuncikan pintu ke belum ya? Takut pula mamat bagus
sebelah tu dok menghendap bini aku. Ceh!’ Sempat lagi dia mengutuk Danish jiran
bujang sebelah rumah Karmiza. Hatinya mendongkol geram apabila teringat kembali
kejadian petang tadi.
Sekarang hatinya puas. Puas
mengenakan lelaki bajet hensem itu. Pasti dia tidak berani menganggu Karmiza.
Apabila dia menyuarakan kata putus ingin bersama dengan Karmiza semula,
Saifullizan dengan semangatnya membawa masuk bagasinya ke dalam rumah.
Semasa dia sampai sebaik mengambil
barang keperluannya tadi, Danish muncul di luar rumah. Ingin mengambil barang
yang tertinggal di dalam kereta. Dan pada masa itulah dia menegur Danish.
“Hai jiran sebelah! Tertinggal
barang ke? Kita pun sama ni. Bukan tertinggal barang, tapi lebih kepada
tertinggal insan yang tersayang. Sebab tu nak ambil dia semula. Al maklumlah,
takut ada pula yang kebas dia karang. So, sebelum orang lain terus berangan
baiklah kita kembali ke pangkuannya segera. Barulah orang tu dapat sedar yang
si permata tu hak milik orang.” Sedas kata-kata berbisa itu kembali bermain di
fikirannya. Dan yang paling dia tidak lupa adalah riak wajah Danish yang
terkena pelurunya tadi. Betapa bangganya Saifullizan bila meluahkan kata-kata
sindiran itu pada Danish. Saifullizan tergelak kecil.
“Mana pula cup cake aku ni?”
Saifullizan menarik selimut dan diletaknya ke tepi. Dia turun dari katil dan
bergerak mendekati pintu. Namun, langkahnya terhenti apabila terdengar sesuatu.
Krok!
Saifullizan berpusing semula dan
mencari-cari bunyi tadi. Dadanya tiba-tiba terasa sesak. Betul ke apa yang aku
dengar? Eh! Tak mungkinlah. Matanya merayap di seluruh pelusuk bilik.
Tiba-tiba, terasa ada benda yang sejuk dan lembik hinggap di atas kakinya.
Saifullizan tergamam. Dia tunduk ke bawah dengan perlahan dan...
“Argghh!!!” Nyaring suara itu
menjerit. Saifullizan yang sudah geli-geliman apabila katak yang dilepaskan
Karmiza tadi hinggap ke kakinya turut sama melompat seperti katak tadi. Karmiza
yang masih setia berdiri di luar sudah mengekek ketawa. Ditekan-tekannya perut
sambil menekup mulut menahan gelak dari meletus kuat takut terdengar dek
suaminya. Sekarang, barulah hatinya puas. Puas mengenakan suaminya kembali.
“Miza! Tolong abang! Katak ni nak
serang abang! Miza...Tolong!!!” Jerit Saifullizan lagi. Kakinya segera berlari
menuju ke pintu bilik. Saifullizan semakin gelabah apabila tombol pintu
berkunci. Dipulasnya berkali-kali, pintu bilik masih belum dapat dibuka.
‘Kunci? Siapa yang kuncikan bilik
ni? Miza!’ Saifullizan mengetap gigi. Siapa lagi kalau bukan semua ini kerja
isterinya? Siapa lagi yang tahu tentang benda yang dibencinya selain daripada
Haji Mukhri kalau bukan Karmiza?
‘Cis! Miza kenakan abang ya? Tahulah
abang apa nak buat nanti. Miza tunggu jelah kejap lagi.’ Desis Saifullizan
dalam hati. Di sebalik pintu, telinganya dapat mendengar suara orang tergelak.
Sah! Isterinya mentertawakan dirinya.
Saifullizan memandang ke bawah
mencari kelibat katak tadi. Kelihatan katak tersebut melompat-lompat mendekati
satu pintu. Pasti pintu bilik air. Dengan sedikit keberanian yang ada,
Saifullizan bergegas membuka pintu bilik air dan diambilnya satu plastik botol
yang berada di atas meja tulis berdekatan dengan katil Karmiza. Ditolaknya
katak tadi ke dalam bilik air dengan botol tadi dan cepat-cepat ditutupnya
pintu bilik air tersebut. Saifullizan menarik nafas lega.
‘Hmmm...Aku kena buat Miza fikir
yang aku masih ‘berperang’ dengan benda alah tadi.’ Detik Saifullizan.
“Miza...Kenapa pintu bilik ni
berkunci? Miza, tolong abang. Abang tak suka binatang lembab ni. Miza, tolong!”
Ujar Saifullizan pura-pura. Dalam pada itu, matanya mencari-cari sesuatu.
Apabila idea sudah muncul, apa-apa barang pasti digunakan bagi menambahkan lagi
effek demi menjayakan lakonannya nanti.
Buk!
Tawa Karmiza terhenti apabila
mendengar bunyi tersebut. Berkerut dahinya mendengar bunyi seperti ada barang
yang terjatuh. Telinganya ditekapkan pada daun pintu. Tiada lagi bunyi raungan
dari suaminya. Senyap sahaja. Apa dah jadi?
‘Takkan dia pengsan kot?’ Soal
Karmiza ragu-ragu. Karmiza kembali mendekatkan telinganya pada daun pintu.
Tiada bunyi langsung! Hati Karmiza sudah rasa tak senang. Rasa risau pula
berganti.
‘Ya Allah, abang pengsan ke? Dengan
katak pun nak pengsan ke? Ya Allah, apa aku dah buat ni?’ Bimbang apabila tiada
satu bunyi pun yang didengarnya lagi. Lantas, Karmiza membuka kunci pintu dan
menolak daun pintu dengan segera. Membulat matanya melihat tubuh Saifullizan
yang sudah terjelopok di sebelah meja bersama buku-bukunya yang jatuh
berselerak di atas lantai. Saifullizan pengsan!
Karmiza berlari mendekati
Saifullizan dan dibawanya kepala Saifullizan ke riba.
“Ya Allah...Abang, macam mana boleh
jadi macam ni? Maafkan Miza, bang. Miza tak ada niat nak buat abang pengsan.
Abang, bangunlah!” Karmiza menampar lembut pada pipi Saifullizan. Saifullizan
masih meneruskan lakonannya. Berpura-pura tidak sedar. Rasa kembang hatinya
apabila tangan Karmiza mengusap lembut rambutnya.
“Abang...Jangan buat Miza risau,
bangunlah. Ya Allah, apa aku dah buat ni? Apa yang perlu aku buat?” Haii...Nama
saja doktor, bila suami dah pengsan terus ilmu di dada hilang begitu sahaja.
Orang pengsan simbah saja dengan air pasti sedar.
Mata Karmiza yang hampir-hampir
sahaja menangis, tiba-tiba membeliak. Saifullizan bangun dan pantas mengucup
lembut pada pipi Karmiza. Bibir Saifullizan sudah mengutumkan senyuman manis
pada isterinya.
“Tak dapat cigit, cium pipi pun boleh juga. Geram tengok pipi Miza yang dah
berisi tu. Akhirnya abang dapat cium gak.” Kini giliran Saifullizan yang
tergelak melihat Karmiza yang sudah melopong itu. Mata Karmiza tak sudah-sudah
berkelip dari tadi. Rupa-rupanya Saifullizan berpura-pura pengsan.
“Abang jahat. Sampai hati tipu Miza.
Jahat...” Rengek Karmiza manja. Mahu pecah dadanya melihat si suami pengsan
gara-gara seekor katak. Tangannya memukul lembut pada tubuh Saifullizan.
Saifullizan tak habis-habis dengan tawanya.
“Abang suka buat Miza macam nikan?
Malaslah nak layan abang.” Karmiza berjauh hati apabila Saifullizan
mengenakannya habis-habisan. Belum pun sempat Karmiza berdiri, Saifullizan
menarik lengan Karmiza. Karmiza terdorong ke belakang sehingga menyebabkan
tubuh kecilnya menghempap Saifullizan. Masing-masing terkedu. Tubuh Karmiza
sudah berada di atas Saifullizan. Mata mereka tak lepas dari memandang satu
sama lain. Beberapa saat kemudian, Karmiza ingin bangkit tetapi Saifullizan
menariknya semula. Sempat lagi dia mengucup pantas pada bibir Karmiza.
“Dan ni denda sebab kenakan abang.
Siapa suruh masukkan katak ke dalam bilik ni? Dah tu kuncikan pintu pulak tu.
Miza sengaja nak abang jatuh pengsan kan?”
“Siapa suruh abang tak tepati janji?
Kata nak beri Miza masa, tapi tengok tu...Masih nak melekat kat rumah kita.”
“Memang ni rumah kita pun. Mizakan
isteri abang. Tempat isteri tu adalah di sisi suami. Jadi, di mana saja rumah
isterinya begitu juga rumah suaminya. Abang tak kisah kalau Miza nak fikir
sedalam-dalamnya. Tapi, kalau abang minta hanya untuk hari ni sahaja. Benarkan
abang berada di sisi Miza, boleh tak? Abang rindu sangat kat Miza. Sangat!”
Ucap Saifullizan lembut. Karmiza terdiam lama. Saifullizan mencium pipinya
lembut. Pantas, Karmiza bangkit dan duduk di atas lantai. Saifullizan pun turut
bangkit. Ditariknya Karmiza ke dalam pelukannya.
“Bolehkan? Hanya untuk hari ni saja?
Lepas tu, abang beri Miza masa. Cuma biarlah hari ni Miza benarkan abang berada
di sisi Miza. Sudah 4 tahun abang dambakan pelukan ni. Sudah 4 tahun abang
menghitung hari menunggu Miza kembali ke sisi abang. Hanya untuk hari ini, tak
salahkan?” Soal Saifullizan kembali. Saifullizan merenggangkan pelukannya dan
tangannya mengusap lembut pada pipi Karmiza. Bibirnya kembali mengucup lembut
pada dahi Karmiza. Hati Karmiza begitu tenang dan dia seperti merelakan segala
kelakuan Saifullizan tersebut.
Air matanya merembes keluar dari
tubir mata. Dia juga seperti Saifullizan. Dia rindukan belaian daripada
suaminya. Dia mahu kembali di sisi suaminya tetapi ada perkara lain yang perlu
dia uruskan.
“Hei...Kenapa menangis ni? Abang tak
nak tengok Miza menangis. Abang ke sini bukan nak tengok Miza nangis. Abang nak
tengok wajah ceria cup cake abang. Abang rindukan kenakalan cup cake abang. So, please don’t cry cup cake. You
make me feel unease and it’s hurting me.” Saifullizan menyeka pipi Karmiza
yang basah itu.
“Stop
crying okay? Don’t worry, abang
tak apa-apa. Abang rela dan redha dengan apa saja keputusan yang Miza buat.
Abang akur dengan semua tu. Sebab abang tak nak Miza jauh daripada abang. Abang
tak nak seksa hidup Miza lagi. Abang rasa bersalah dan sememangnya, abang kena
tebuskan segala kesalahan itu. Jadi, abang rela, sayang. Apapun keputusan Miza
nanti, abang terima dengan hati yang terbuka. Cuma, Miza kena ingat sesuatu,”
Saifullizan diam seketika. Lalu, didekatkan bibirnya pada dahi Karmiza.
Dikucupnya penuh lembut pada dahi isterinya itu.
“Abang takkan pernah berputus asa
dengan Miza. Abang akan sentiasa sayangkan Miza dan Miza akan sentiasa ada di
hati abang. Abang janji. Mizalah cinta hati abang dan Mizalah segala-galanya
buat abang. Macam apa yang abang cakap petang tadi. Abang akan bersama dengan
Miza dan kita akan hidup bahagia hingga ke anak cucu. Malah sampai ke akhirat
sekalipun! Itu janji abang, sayang...” Meruntun hatinya mendengar kata janji si
suami. Begitu menyentuh hatinya. Saifullizan ikhlas menuturkan kata janji itu.
Dia yakin sememangnya Saifullizan tercipta buatnya.
Saifullizan menyeka pipi Karmiza
sekali lagi. Tangannya diturunkan dan menggenggam jari-jemari Karmiza. Ditariknya
tubuh Karmiza supaya berdiri.
“Jom...Abang nak bawa Miza ke satu
tempat,” Karmiza sudah pun berhenti menangis. Dahinya berkerut hairan.
“Ke satu tempat? Abang nak bawak
Miza ke mana malam-malam buta macam ni?”
“Adalah. Mana boleh beritahu
awal-awal. Tak supriselah nanti.”
“Dengan baju macam ni ke, bang?”
Mata Karmiza menunduk memandang baju yang melekat di tubuhnya. Baju T-shirt dan
juga seluar track suit. Hmmm...Sesuai ke? Soal hatinya.
“Tak apa. Lagipun, tak jauh mana
pun. Jom!” Saifullizan menarik tangan Karmiza dan membawanya keluar dari situ.
Agak-agak ke manalah dia nak bawak aku dengan baju macam ni?