Bab 20
Aku memunggah kotak satu persatu ke luar dari rumah sewa lamaku. Kami sudah menemui rumah sewa yang baru dan lebih selamat. Kondo Kristal yang juga berdekatan dengan UiTM Shah Alam dipilih oleh Irah. Entah macam mana Irah dapat menemui iklan mengenai sewa rumah di kondo Kristal tu.
“Internet kan ada?” Ujarnya dengan bangga.
Rasa penat ketika ‘family day’ masih belum hilang dan sekarang, kepenatan untuk mengemas bilik dan barang-barang kian terasa.Memang penat gila kalau pindah rumah. Lebih-lebih lagi kalau terpaksa membawa kotak-kotak berat turun dari tingkat 4 sampai ke bawah. Pressure gila!
Kami mengupah orang untuk mengangkat segala barang-barang berat seperti almari untuk dibawa ke rumah baru nanti. Sekali lagi aku naik ke atas ingin mengambil barang-barang yang masih ketinggalan di dalam bilik ku.
Semua barang di dalam bilik sudah aku simpan di dalam kotak. Hanya tinggal 2 kotak besar dan meja tulisku. Katil sudah di bawa awal pagi tadi. Aku pandang seluruh pelusuk bilikku. Banyak kenangan di dalam bilik ini. Serta-merta ingatan pada kenangan ketika di universiti menerjah ke dalam mindaku.
Di sini lah segala suka-duka tersemat di dalam hatiku. Mataku berkalih pada sebuah kotak kecil yang berada di bawah mejaku. Sudah lama aku tidak membuka kotak kecil tu. Teringin pula membuka kenangan lama. Aku duduk bersila dan mengambil kotak kecil itu. Dengan perlahan aku membuka kotak kecil itu dan terdapat satu buku yang berwarna hitam masih tersimpan tidak berusik di dalam kotak ini. Aku mengeluarkan buku hitam tersebut.
Aku selak satu-persatu helaian muka surat buku hitam itu. Tulisan tangan ‘cakar ayam’ aku masih tidak pudar warnanya walaupun sudah 6 tahun tidak dibuka. Aku membaca satu-persatu ayat yang ditulisku dulu. Ada juga kenangan yang membuat aku ketawa dan tersenyum. Buku ini seperti diari bagiku. Cuma segala cerita di sebalik buku ini mengisahkan tentang kejadian manis dan pahit bersama Iz.
Sekali lagi aku selak ke muka surat yang lain. Tertulis tarikh dan di mana aku berada ketika itu. Aku baca tarikh tersebut. Merekah senyuman di bibir. Tarikh di mana aku berjumpa dengan tok Idham buat pertama kalinya. Ketika itu, aku bersama Iz mengikuti program amal yang dianjurkan pihak universiti. Tok Idham juga kenal dengan Iz. Di situ lah tempat aku rasakan paling tenang buatku. Jadi, setiap kali ada masa lapang, aku akan pergi ke sana menziarahi mereka. Sudah tentu aku kerap ke sana selepas pemergian arwah atuk ku. Dengan cara begitu, aku dapat luahkan rasa rindu pada atukku dan sekarang, tok Idham sudah menjadi seperti atuk kandungku.
Alamak rindunya pada mereka yang lain. Rancangku selepas segala barang sudah dipindahkan ke rumah baru, aku ingin pergi menziarahi rumah kebajikan itu. Tok Idham memang sudah pasti berada di sana. Aku segera menyimpan buku hitam itu dan aku membawa kotak kecil itu keluar.
Dia memandang Risya. Risya pula buat-buat tak tahu tentang keberadaannya. Malah, Risya masih ligat menyapu di taman bunga rumah kebajikan tersebut. Dia berdiri di depan Risya ingin menghalang perbuatan Risya itu. Sekali lagi, Risya tidak mengendahkannya. Risya tetap menyambung kerja menyapu daun-daun kering.
Heish! Lelaki ni ada saja lagak nya nak ganggu ketenteraman aku. Ingatkan boleh tenang bila ada kat sini, tapi, ribut pula yang melanda, gumam hatiku. Aku berhenti menyapu dan aku terus pandang wajahnya.
“Ada pun respond dia.” Ucap Nick.
Aku pandang bawah. Aku tersenyum sinis.
“Kenapa senyum macam tu?” soal Nick.
“Tu.” Aku tunjukkan ke arah kakinya. Dari tadi dia ke hulur ke hilir, dia langsung tak perasan apa yang dipijaknya. Aku menahan gelak. Nick terus memandang ke bawah.
“Yek!!” Serta-merta Nick sedikit melompat. Aku tak dapat tahan nak gelak. Aku hamburkan jua tawa ku. Wajah Nick berubah masam.
“Oh, suka lah ya?” Ejek Nick.
“Siapa suruh asyik nak mengekor orang je? Padan muka!” Aku kembali menyapu. Nick pergi menuju ke paip yang berdekatan dan membersih kan kasutnya. Nasib baik tahi kucing tu dah kering. Kalau masih fresh, memang haru lah. Mungkin kasut tu pun Nick akan buang sebab geli.
“Hish! Kucing ni tak pergi sekolah ke?” Omel Nick. Aku tersenyum diam. Nick beredar ke pangkin, masih setia memerhatikan aku. Aku biarkan sahaja.
Sejurus selepas kejadian itu, aku sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Tapi apa kan daya, dia tetap mengejar. Langsung tak pernah serik. Aku hamburkan amarah kepadanya, langsung tak berbekas di dalam hatinya. Lama-kelamaan aku biarkan sahaja. Dia pasti akan penat mengejarku. Sikap playboy macamnya, pasti lama-kelamaan akan berasa bosan apabila si mangsa tidak melayannya. Itu fikirku, tapi benarkah? Macam mana kalau dia tetap tak mahu berputus asa? Jadi sampai bila mahu begini?
Aku menyimpan penyapu lidi ke dalam stor. Nick masih tetap mengikutiku ke mana-mana sahaja. Aku menggeleng dan menuju ke dapur dengan menggunakan laluan belakang. Aku melihat pak Mail tengah membuka plastik bungkusan kacang tumbuk. Melihat makanan tradisional itu, aku sudah rasa terliur. Dah lama tak makan biskut ni.
Aku mendekati pak Mail dan menegurnya.
“Pak Mail, nak jugak! Makan sorang-sorang tak ajak orang.” Aku duduk di sebelah pak Mail di dapur tanpa menghiraukan Nick yang berdiri di depan kami.
“Hah, ambiklah, kamu kan suka makan ni.” Pak Mail menyerahkan beberapa bungkus kacang tumbuk. Aku dengan girang hatinya membuka bungkusan plastik tersebut dan dengan perlahan aku mengeluarkan biskut itu supaya tak pecah. Nick masih setia memerhati.
“Kamu pula Nick, duduk lah. Apa tercengang kat situ? Nak kacang tumbuk?” Pak Mail menyuakan bungkusan plastik kecik kacang tumbuk kepada Nick. Nick hanya tersenyum. Aku berasa pelik melihat sikapnya itu.
“Dia tu mana boleh makan kacang, Mail.” Tegur tok Idham yang baru sahaja masuk ke dapur dari pintu belakang. Oh, sebab itu ke dia tak menerima pemberian pak Mail?
“Dia tu allergik dengan kacang. Lebih-lebih lagi kacang tumbuk tu. Kalau dia makan kacang tu, rasa-rasanya, malam ni terus badan gatal-gatal. Demam pula tu. Aku ingat lagi masa dia kecik-kecik, gatal sangat nak makan benda-benda yang ada kacang ni. 4 hari lah aku jaga dia.” Tok Idham menepuk belakang Nick. Nick masih berdiam diri.
“Hmmm, rugilah kalau tak dapat makan kacang. Sedap ni.” Pak Mail membuka satu lagi bungkusan.
“Susah lah kalau ada orang yang allergik ni. Kamu Risya, cuba cari suami yang kurang ada penyakit macam tu. Kalau tak, habis lah kamu, kena jaga makan minum dia dengan rapi. Tapi, bagus juga kalau kamu betul-betul jaga makan minum suami kamu nanti.” Ujar Pak Mail di sebelah. Dengan serentak mata aku dan Nick bertaut. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan mataku.
“Kalau saya kan pak Mail, pasal benda tu semua saya tak kisah. Tapi, kalau boleh saya nak suami saya suka makan kacang tumbuk ni. Kalau ada makanan favourite yang sama, lagi saya suka. Tapi yang pastinya, saya paling suka makan biskut ni.” Terkedu Nick mendengarnya.
Belum sempat aku membuka plastik kacang tumbuk yang hanya tinggal satu sahaja, Nick sudah merampasnya daripada tanganku. Dikoyaknya plastik tersebut dan kacang tumbuk selamat masuk ke dalam mulutnya. Dikunyahnya dengan cepat. Aku tercengang melihat dirinya. Dengan segera dia meninggalkan kami. Tok Idham juga terkedu melihat cucunya itu.
“Ya Allah, apa dah jadi dengan Nick tu? Risya, dia tak boleh makan kacang. Risya cepat perhatikan dia” Tok Idham kian resah. Aku juga terkejut melihat reaksi pantasnya tadi. Niatku hanya ingin mengujinya kerana aku sangka, dia pasti akan mengalah. Tapi, dia makan pula kacang tumbuk itu. Sekarang terasa bersalah pula.
Aku berlari mencari kelibatnya. Aku memandang sekeliling taman bunga dan terlihat Nick yang tengah duduk di buaian. Aku menghampirinya. Nick tertunduk.
“Kenapa awak buat macam tu?” soalku perlahan. Nick masih tertunduk memandang rumput.
“Sebab saya ingin menjadi suami pilihan awak.” Aku terdiam.
“Suami yang meminati makanan kegemaran yang sama dengan awak.”
“Tapi apa yang awak buat tu sesuatu yang memudaratkan kesihatan awak. Tu kerja gila!” Marahku. Tanpa aku sedar, aku sebenarnya ambil berat juga tentang dia. Tapi, kenapa ya?
“Sebab saya memang gila! Gila kan awak! Gila kerana saya nak buktikan yang saya sanggup buat kerja gila ni untuk awak!” Matanya merenungku tajam.
Nick mengeluh kasar. Dia bengang, dia bingung. Tidak tahu apa cara yang boleh dijadikan bukti kepada Risya bagi menunjukkan keikhlasan hatinya yang sangat mencintai perempuan itu. Dalam beberapa hari ini, dia memang sudah gila! Gila memikirkan bukti apa yang dikehendaki oleh Risya.
“ Tapi bukan itu yang saya mahukan. Kalau bukti itu yang awak nak tunjuk, lebih baik tak payah cari saya. Sebab saya tak nak orang mati sebab saya! Its nonsense!” Aku berpaling dan ingin meninggalkannya.
Dengan pantas Nick menggenggam pergelangan Risya. “If I have to sacrifce myself in order to proof it to you, then I will. Because I indeed in love with you. Really really love you.”
“If you do so, thats mean you are not in love with me truelly. Tu cinta kerana nafsu. Cinta kerana Allah itu lagi baik berbanding cinta awak tu!” ucapku tegas. Aku juga masih mencari cinta sejati dan cinta hakiki.
“Saya tahu saya masih jahil dengan semua itu, tapi, saya hanya manusia biasa. Saya punya kekurangan dan saya masih perlu memperbaiki diri saya. Maafkan saya. Tapi, saya sanggup bersumpah, saya benar-benar mencintai awak Risya.” Rintih Nick lemah.
“Dan saya juga tak sanggup hidup tanpa awak Risya.” Sambungnya lagi. Tipu kalau aku kata aku tak tersentuh mendengar kata-katanya. Semua kata-kata itu meresap jauh ke lubuk hati, tapi aku tetap berpegang teguh pada pendirianku. Aku hanya inginkan bukti dan bukti itu pasti dapat dicari sekiranya dia benar-benar mencintaiku.
Dengan perlahan aku menarik pergelangan tanganku yang tadinya digenggam kemas oleh Nick. “Awak masih belum dapat jawapannya lagi Nick. Saya...Saya tetap tak kan terima awak selagi tak dapat bukti tu.” Nick merenung jauh ke dalam mata Risya. Bukti apa yang Risya nak? Soalnya dalam hati. Dilihatnya Risya yang sudah meninggalkan dirinya. Dia meraup wajahnya.
“Carilah jawapan itu dengan bertanya kepada yang Maha Mengetahui segalanya Nick.” Ucap suara dari belakang. Nick berpaling. Tok Idham nampak dengan jelas wajah sebal cucu kesayangannya itu.
“Benar kata Risya tu Nick. Jangan mencintai seseorang berlandaskan nafsu. Biarlah mencintai seseorang kerana Allah. Janji Allah kepada hamba-Nya pasti akan ditunaikan sekiranya kita sentiasa dekat pada-Nya. Nick, bersabarlah ya?” Nick mengangguk lemah. Benar kata atuknya. Allah pasti akan menunaikan janji-Nya. Jodoh itu sudah tertulis di loh mahfuz lagi. Jadi, aku sudah berusaha, sekarang tinggal hanya berdoa dan mendekati diri kepada-Nya. Nick bertekad untuk mendekatkan diri pada Tuhan yang satu. Semua ini pasti ada hikmahnya.
“Risya, saya tak kan pernah berputus asa. Insya-Allah.” Bisik hati Nick.
Dia beralih ke kiri. Beberapa minit kemudian dia berpaling ke kanan pula. Tangannya masih lincah menggaru seluruh badannya yang gatal. Terasa panas seluruh badannya. Dia terbangun lemah. Tekaknya juga terasa kering. Dia turun dari katil ingin menuju ke dapur. Malam itu dia bermalam di rumah kebajikan milik tok Idham. Begitu juga dengan Risya. Dia ingin sentiasa berada di sisi Risya.
Dia keluar daripada bilik yang dikongsinya dengan tok Idham. Tok Idham masih belum tidur lagi. Pasti tengah menunaikan solat sunat diwaktu tengah malam. Dia memasuki dapur yang luas dan mencari gelas dan air masak. Tekaknya sudah perit dan badannya masih terasa gatal-gatal. Malah makin giat tangannya menggaru. Aduh! Tu lah ikutkan perasaan sangat, sendiri yang kena. Kutuk Nick dalam hati.
Mataku masih tidak boleh ditutup. Aku tidak terasa ingin tidur, malah aku tak rasa mengantuk pun. Rasa segar bugar. Aku mengeluh lemah apabila memikirkan kejadian petang tadi. Sampai begitu sekali Nick ingin menunjukkan bukti kepadaku.
Bukan pintaku untuk menyuruhnya membuktikan cintanya kepadaku, cuma, aku sekarang ingin berwaspada dalam percintaan. Sekiranya aku menerima dirinya, aku takut hatiku terluka sekali lagi. Lebih-lebih lagi menerima cinta dari seorang kasanova sepertinya. Aku duduk menyandarkan badan pada kepala katil. Apa nak buat ek? Dah lah tak mengantuk, terasa haus pula.
Aku keluar dari bilik dengan perlahan-lahan. Tidak mahu mengejutkan Mak Imah dari tidur. Aku menutup pintu bilik dan segera ke dapur.
Di luar dapur, aku terdengar bunyi kaca pecah. Terkejut mendengar bunyi bising di dapur secara tiba-tiba. Aku berdiri tegak sebelum memasuki dapur.Takut kalau bunyi bising itu dari seorang pencuri atau perompak. Aku teragak-agak untuk masuk ke dalam. Aku menggigit bibir. Nak masuk ke, atau pergi mencari tok Idham? Alamak, takutnya!
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi pelik sekali lagi. Macam bunyi orang rebah pula kali ni dengan seretan kerusi. Kalau sudah lampu di dapur bernyala, tak mungkin pencuri atau perompak yang masuk, fikirku secara logik. Entah-entah, orang-orang tua yang jatuh rebah ketika ingin ke dapur. Cepat-cepat aku masuk ke dalam dapur. Tanpaku sangka, tubuh badan Nick yang sudah terbaring di atas lantai. Nasib baik kaca gelas yang sudah pecah berada jauh sedikit dari kedudukan Nick sekarang. Aku terlihat gelas kaca yang pecah itu basah.
Aku segera menghampiri Nick. Aku mengoyangkan bahunya, tetapi Nick tetap tidak bangun. Apabila terasa bahu Nick yang panas, tanganku segera beralih pada dahinya. Ya Allah! Dahinya memang panas sangat. Aku melihat wajah Nick yang kemerah-merahan berserta bintik-bintik merah. Aku menengkup mulutku. Aku terasa ingin menangis melihat Nick sebegitu. Nick pengsan!
Aku berlari menuju ke bilik tok Idham dan nasib baiklah tok Idham baru balik daripada surau.
“Tok! Nick.. Nick pengsan tok!” Ucapku cemas.
“Apa?!”
Tuala basah dibungkus bersama plastik yang mengandungi ketulan ais diletak pada dahi Nick. Aku setia menjaga Nick. Tahu semua ini kerana aku, jadi aku relakan diri menjaganya. Mataku masih belum mahu tidur. Tok Idham membetulkan selimut Nick.
“Nasib baik kita sempat memanggil doktor. Kalau tak, makin teruk demam panas nya.” Ujar tok Idham lemah.
“Risya, Risya pergilah tidur. Tok boleh jaga Nick.” Mata yang tadinya masih setia memandang Nick sudah beralih memandang wajah tua tok Idham.
“Tok, tok berehatlah. Risya pun tak mengantuk lagi ni. Biarlah Risya yang jaga dia.”
“Tapi kan tak manis kalau orang lain tengok Risya dengan Nick sahaja di bilik ni.” Aku berfikir sejenak.
“Kalau macam tu, tok Idham tidur lah dulu kat sini. Teman kan Risya. Risya boleh jaga Nick.Lepas tu, dalam beberapa minit lepas tu, Risya balik ke bilik, boleh?” pintaku.
“Baiklah.” Ucap tok Idham singkat. Mataku masih tak lepas daripada memandang tok Idham yang sudah baring di katil sebelah. Aku buka lampu kecil yang berada di tengah-tengah di antara katil tok Idham dan katil Nick. Malam itu lama aku berfikir.
Adakah perasaannya sekarang sama seperti perasaan yang pernah aku alami dulu? Sakit dan kecewa kerana cinta tak diterima oleh orang yang tersayang? Lama aku merenung wajah bersihnya itu. Nasib baiklah doktor sudah menyuntik ubat yang mengurangkan rasa gatal dan bintik-bintik merah pada Nick. Tadi, sempat lagi Nick meracau memanggil nama mummynya. Aku mengeluh lemah.
‘Maafkan saya Nick. Sekali lagi awak sakit kerana saya. Saya tak layak untuk awak Nick.’ Hatiku berbisik dengan rasa simpati. Apa yang aku alami sekarang ya? Aku masih belum memahami hatiku ini sepenuhnya. Ya, memang ada rasa simpati dan ambil berat terhadapnya, tetapi kalau cinta? Entah lah. Aku membetulkan lagi kain bungkusan ais itu di dahi Nick.
“Saya mohon, janganlah mencintai saya Nick. Kerana saya pasti, awak yang akan terseksa kerana saya.” Bisikku perlahan.
Pada malam yang sunyi sepi, suara tangisan seorang perempuan menghiasi sunyi malam. Dia menutup wajahnya pada lutut. Terhenjut-henjut bahunya menahan sendu. Dia mengangkat wajahnya dan menyeka air matanya dengan kasar.
“Aku pasti akan jatuhkan budak perempuan itu! Begitu jugak dengan you, Nick!” Di dalam kepala sudah ada rancangan yang tersimpul rapi. Dia ingin menjalankan rencana jahatnya tidak lama lagi. Bibirnya terbit senyuman sinis. Dia ingin membalas dendam!
Dia menarik dokumen yang berada di atas meja. Semua maklumat tentang Risya ada di tangannya kini. Kad nama seseorang digenggamnya. Orang ini yang pasti membantunya kelak. Biar rencana jahatnya berhasil.
Aku mengemas segala barang yang masih berselerak di ruang tamu. Nasib baiklah rumah ini mempunyai perabot-perabot dan peralatan yang sudah sedia ada. Walaupun harga rumah sewanya sedikit mahal berbanding rumah flat kami yang dulu, tetapi bagiku, berbaloi. Lebih-lebih lagi keselamatan rumah ini terjamin.
Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Sudah pukul 8 malam. Sebaik sahaja pulang dari pejabat, aku langsung mengemas apa-apa yang patut. Bilikku juga lebih luas berbanding rumah dahulu. Sekarang, rumah sewa baru ini di duduki oleh aku, Nurul, Irah dan juga kak Hasnah. Kak Hasnah yang sukarela ingin duduk bersama denganku. Katanya, rumah yang dahulu tidak aman. Dia tidak tahan dengan jiran rumah sebelahnya yang kerap menganggu ketenteraman awam. Jadi, kak Hasnah mengambil keputusan untuk duduk bersamaku.
Ada juga ura-ura tentang Farina yang ingin pindah ke rumahku. Dari kondo kristal ke UiTM sangat dekat. Siap boleh jalan kaki lagi. Tetapi itupun Farina bercadang untuk masuk ke rumahku apabila Irah sudah berkahwin nanti.
Aku keluar ke ruang tamu kembali melihat barang-barang yang tinggal. Irah sudah terduduk di sofa, melepaskan rasa penatnya.
“Aku tak banyak bawa barang ke sini. Banyaknya aku bawa balik ke rumah aku. Lagipun, tinggal beberapa bulan lagi aku nak kahwin kan?” Aku menyertai Irah duduk di sebelahnya.
“Jadi, kira confirmlah ni, kau nak kahwin 3 bulan lagi?”
“Ha’ah. Jadi boleh lah kalau Farina tu nak bayar deposit dulu.” Aku mengangguk.
Kami sama-sama terdiam kepenatan.Sekali lagi, di rumah sewa baru kami, tinggal kami berdua sahaja. Nurul outstation, kak Hasnah pula balik ke kampung atas urusan keluarganya.
“Apa khabar boss kau ya?” tiba-tiba soalan itu yang terpancul dari mulut Irah. Aku berasa hairan dengan pertanyaannya.
“Apahal tiba-tiba interested nak tahu pasal Nick ni?”
“Saja nak tahu. Nak tahu sama ada kau masih bersikap ‘kejam’ dengan dia ke tak?” Aku memahami soalan Irah yang berbentuk sindiran itu.
Semenjak dia sembuh beberapa hari lepas, makin giat pula rancangan aku untuk berlaku ‘kejam’ kepadanya. Malah, aku pernah memancitkan keretanya supaya dia tidak berhasil mengejar ke mana sahaja aku pergi. Aku pergi ke Melaka menggunakan kereta pun dia ikut. Siapa tak bengang? Hanya satu hari sahaja berada di Melaka, dia masih tidak mahu berjauhan denganku. Jadi, cara yang paling mudah, aku pancitkan keempat-empat tayar keretanya. Berbalas juga dendam aku dulu terhadap kereta Lexus nya itu.
Nasib baiklah Nick langsung tidak tahu siapa dalangnya. Dan yang paling terbaru ni, aku tinggalkan Nick di tengah-tengah jalan ketika Nick menumpangku.
“Awak tak kisah ke kalau saya nak tumpang awak?” Soal Nick yang duduk di sebelah. Mataku masih memandang ke depan.
“Kalau saya cakap saya kisah macam mana? Ada awak peduli kata-kata saya ke?”
“Awak macam tak sudi je tumpangkan saya?”
“Siapa yang sudi? Saya rimas awak tau! Rimas dengan kerenah awak begini. Awak boleh je kalau minta teksi hantar awak balik! Entah-entah, kereta awak rosak pun sebab awak sengaja rosak kan. Awak memang sengaja nak saya tumpangkan bukan?” Aku cuba untuk bersikap dingin kepadanya. Aku tidak mahu kalau dia menaruh harapan kepadaku. Aku tidak mahu hatinya sakit. Jadi, adalah lebih baik kalau dia sakit sekarang berbanding dia sakit di kemudian hari.
Nick hanya melongo, tidak tahu ingin berkata apa. Dia terasa hati sebenarnya dengan kata-kata Risya tadi.
“Kalau macam tu, awak turunkan lah saya kat tepi tu.” Akhirnya Nick bersuara juga. Aku memandang sekitar kawasan yang ditunjuknya. Tetapi, sekarang kami berada di lebuh raya, mana nak cari teksi di sini? Argghh! Apa aku peduli? Biarlah dia. Dia kan kaya, boleh saja kalau dia menelefon pemandunya datang mengambilnya di sini. Lalu aku memberhentikan kereta di tepi jalan.
“Maafkan saya kalau awak keberatan hati ingin menumpang saya. Pasal kereta saya, bukan rancangan saya kereta rosak secara tiba-tiba. Saya berani bersumpah kalau awak masih tak percaya.” Nick membuka tali keledar. Suaranya juga kedengaran lemah. Aku tetap tidak mempedulikannya. Mataku masih memandang ke tempat lain, membiarkan sahaja Nick sebegitu.
“Saya nak keluar dulu.” Mendengar kata-katanya, lantas aku membukakan kunci pintu dan Nick membuka pintu dengan perlahan.
“Terima kasih, bawa kereta elok-elok ya?” Sempat lagi Nick mengambil berat terhadap diriku. Aku masih kaku tidak berkutik. Nick menutup pintu kereta. Seraya itu, aku terus menyambung pemanduanku. Dalam pada itu, mataku sempat melirik pada cermin sisi melihat kelibatnya dari jauh.
‘Betul kah tindakan aku ni?’ Aku tertanya-tanya sendiri. Semua itu aku lakukan demi dirinya. Aku tidak mahu dia terus mendekati aku dan berharap lagi. Aku ingin dia berputus asa supaya senang dia melupakan aku dengan pantasnya. Jika sudah hati bertepuk sebelah tangan, mana mungkin berbunyi. Jadi, lebih baik kalau kita menarik diri sebelum terlambat.
‘Nick, tolonglah lupakan saya. Tolong jangan kejari mimpi yang tak pasti.’ Hatiku berbisik.
“Kau tak patut buat dia begitu Richa.” Mataku berkalih pada Irah yang masih setia di sisi aku. Aku menghembus nafas lemah.
“Bukan niat aku nak berlaku kejam kepada dia.”
“Tapi kau berlaku tak adil dengan nya. Dia lelaki yang sanggup melakukan apa saja buat kau. Kisah yang lama usah dikenang. Kau berilah dia peluang Richa. Mana tau, dialah orang yang kau cari.”
“Beri peluang pada playboy tu? Lelaki kasanova yang bisa mengecewakan hati aku? Aku penat Irah. Penat nak fikir semua ni.”
“Tapi dia kan manusia juga Richa? Dia dah sedar kesilapan dia. Kenapa perlu menghukum orang yang tak bersalah? Mungkin dia pernah mengecewakan orang lain, dan bagi aku sudah cukup hukuman yang kau bagi kat dia. Tapi, kau sedar tak? Macam mana kau buat sekali pun, dia masih bertahan dengan sikap degil dan ‘kejam’ kau tu. Kau nak bukti kan? Bukankah itu satu bukti yang kukuh? Bukti yang menunjukkan dia cintakan kau sepenuh hati?” Panjang lebar Irah menegurku.Aku tahu dia mengambil berat tentangku. Dia juga tahu kesilapanku. Jadi, memang tugas dia sebagai kawan untuk menyedarkan aku. Cuma bagiku, itu masih belum memadai.
“Jangan sampai satu saat nanti, kau yang akan kecewa kerana terlepas permata bernilai yang sudah ada di depan mata. Kau tahu kan mulut aku ni masin?” Aku hanya berdiam diri. Tahu sangat dengan kelebihan Irah itu. Apabila dia berkatakan sesuatu, pasti akan menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi benda yang berbentuk amaran sebegini.
“Dah lah, aku nak keluar sekejap. Nak ambil barang kat rumah lama. Ada benda lain yang masih tertinggal. Aku pergi dulu ya?” Irah keluar dan hanya tinggal aku keseorangan di rumah.
Terdengar bunyi nada mesej. Dia segera mengambil telefon bimbitnya. Terbeliak dia membaca mesej yang baru sahaja di dapatinya. Nombor pemberi itu dia langsung tidak tahu kerana nombor itu diprivatekan. Tetapi mesej yang baru sahaja dia dapat benar-benar membuat dia terkejut. Hatinya mula rasa resah, dan cemas.
‘Ya Allah, janganlah ada apa-apa yang terjadi pada Risya.’ Pinta Nick.
Mesej itu siap memberi nombor alamat rumah. Dibacanya sekali lagi mesej tersebut.
Risya dalam bahaya! Kini dia berada di kondo Kristal. Cepat sebelum apa-apa terjadi kepadanya.
Tanpa membuang masa, Nick terus memandu kereta menuju ke alamat yang didapatinya tadi. Dalam perjalanan ke kondo Kristal, tiba-tiba otaknya mula memikirkan sesuatu. Bagaimana orang yang mendapat nombornya itu tahu tentang Risya? Kenapa alamat yang diberi itu ialah di kondo Kristal? Bukankah Risya tinggal di flat seksyen 7? Tetapi bagaimana kalau Risya betul-betul berada dalam bahaya sekarang? Atau adakah orang menculik Risya dan membawanya ke sana? Pelbagai persoalan yang bermain difikirannya. Cuma satu sahaja yang dia bimbang. Dia tidak mahu apa-apa terjadi kepada Risya.
Nick cuba mendailkan nombor Risya, tetapi hampa. Mesin suara yang menjawab panggilan tersebut.
‘Ya Allah, lindungilah dia.’ Nick mengulangi doa yang sama. Bagaikan jatuh luruh jantungnya apabila mendapat berita mengenai Risya itu.
Sepantas mungkin dia menekan pedal minyak untuk sampai ke destinasi. Kereta Lexusnya laju memintasi beberapa kereta di lebuh raya.
Dia memberhentikan kereta di tepi jalan berdekatan dengan kondo Kristal. Malas mahu berurusan dengan pengawal keselematan di pintu pagar kondo tersebut. Dia berlari dan menuju ke lif. Nasib baiklah rumah Risya berada di tingkat 2. Cepat-cepat dia membolos keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka.
Aku mengambil paku dan penukul untuk meletakkan bingkai gambar yang mengandungi ayat kursi ke dinding. Ktok ktok ktok. Dengan sepenuh tenaga aku mengetuk paku tersebut.
Dari luar, tanpa Risya sedar, Nick sudah berdiri di depan pintu rumahnya. Terhenti degupan jantungnya mendengar bunyi ketukan sebegitu kuat dari luar pintu rumah Risya. Tanpa Nick membuang masa, dia meluru masuk ke dalam rumah tersebut.
Aku menggantungkan bingkai tersebut pada dinding yang sudah ada paku melekat padanya. Aku mengambil satu lagi paku, dan aku guna penukul untuk membenamkan paku tersebut pada dinding.
Dari luar bilikku, terdengar bunyi pintu ditutup dengan kuat. Hish! Si Irah ni, memang suka sangat tutup pintu kuat-kuat, sama macam appa, hatiku mengutuk Irah. Irah sudah balik ke rumah. Aku membiarkan saja Irah di luar dan aku meneruskan kerjaku.
“Risya! Awak tak apa-apa kan?” Hampir nak terjatuh aku dari kerusi tempat aku berdiri sekarang. Aku terkejut melihat teguran dari orang itu. Kenapa dia ada kat sini? Macam mana dia boleh tahu aku ada kat sini? Aku masih tidak berganjak dari kerusi tersebut. Nick kelihatan tercungap-cungap cuba untuk menstabilkan peredaran pernafasannya.
“Awak buat apa kat sini? Macam mana awak boleh tahu saya kat sini?” Persoalan itu termuntah juga dari mulutku.
Nick menarik nafas panjang dan cuba menghembusnya perlahan. Dalam beberapa saat kemudian dia menjawab soalan-soalam Risya. “ Saya ke sini sebab awak lah! Awak tak apa-apa kan? Awak tak dalam bahaya kan? Syukur alhamdulillah.”
“Apa yang awak merepek ni Nick? Saya dalam bahaya? Saya balik dari tempat kerja sehingga sekarang, masih tak ada apa-apa pun yang berlaku. Awak dah kena sawan ke apa?”
“Serius, saya datang ke sini sebab saya dapat mesej daripada seseorang yang menyatakan awak dalam bahaya. Jadi, tanpa saya fikir apa-apa, saya terus pecut ke sini. Saya dah banyak kali call awak, tapi mesin telefon yang jawab.”Ujarnya panjang. Mukanya sudah sedikit pucat.
“Itu sebab handphone saya tak ada battery. Kejap! Siapa bagitahu awak yang saya dalam bahaya? Orang ‘itu’ yang bagitahu alamat saya ke?Macam mana orang tu tahu yang saya tinggal kat sini?” Belum sempat aku memanjangkan soalanku, tiba-tiba terdengar bunyi orang memberi salam dari luar. Aku terpempan mendengar suara-suara tersebut. Begitu juga dengan Nick yang masih kaku berdiri di depanku.
Aku segera keluar dari bilik dan menuju ke pintu di depan. Nick mengekoriku. Sampai saja di depan pintu, aku memusing tombol. Alangkah lajunya jantungku berdegup setelah melihat orang-orang yang sudah berdiri di depan pintu rumahku. Terdapat 4 orang lelaki yang berserban dan berkopiah memberi salam sekali lagi apabila salam tadi tidak berjawab.
“Kami mendapati anda berdua bukan muhrim dan telah berdua-duaan di dalam rumah ini.” Salah seorang daripada wakil dari jabatan agama itu bersuara. Hancur luluh hatiku mendengar kata-kata lelaki tersebut. Nick di sebelah masih tidak mengeluarkan apa-apa kata mahu menidakkan tuduhan tersebut. Rasa tersiat-siat hati ini bila memikirkan kebisuan Nick. Ya Allah, kenapa semua ini perlu terjadi bila bersama dengan nya? Akhirnya luruh juga air mataku.
No comments:
Post a Comment