Bab 12
“DIA...
tak apa-apa kan, doktor? Penyakit gila dia takkan datang balik kan?” mendengar
saja persoalan daripada Kak Bedah, Ema pantas saja menyiku sambil tajam anak
matanya memandang perempuan itu. Kak Bedah memucungkan mulut dan kembali
tersenyum pada lelaki tampan yang baru saja memeriksa keadaan isteri
majikannya.
‘Tak
sangka doktor gila pun kacak juga orang nya. Kalau macam itu, aku pun tak kisah
jadi gila,’ sempat lagi hati kak Bedah berseloroh.
Radhuan
hanya tersenyum kecil dan menggeleng. Dia kembali memandang wajah pucat Aliniya
yang masih lena tertidur. Dalam hatinya bersyukur bahawa tiada apa-apa yang
terjadi pada wanita itu. Ini baru beberapa hari, macam-macam yang terjadi pada wanita
itu. Terbit juga rasa risau pada Aliniya.
“Tak ada
yang teruk berlaku pada dia. Cuma dia perlu makan on time. Jangan biarkan dia
tak makan. Selama saya menjaga Niya, dia memang mempunyai gastrik yang teruk.
Boleh saya tanya. Kenapa dia tak makan sampai menyebabkan dia pengsan macam
ni?” Soal Radhuan ingin mengetahui perkara sebenar.
“Dia nak
tunggu Tuan Hardee untuk makan sekali dengan dia. Kami dah suruh dia isikan
perut tu dulu sementara tunggu Tuan Hardee balik dari kerja, tapi Puan Niya
masih berdegil,” jelas kak Zah menerangkan hal sebenar. Dia tidak sangka yang
Aliniya mempunyai gastrik yang teruk. Ingatkan penyakit lama isteri majikannya
kembali, tetapi rupa-rupanya wanita itu tidak makan langsung semenjak petang
semalam. Patutlah dia nampak makanan yang dimasak oleh Aliniya terbuang begitu
saja di dalam tong sampah.
“Habis
itu, Encik Hardee tak balik ke rumah ke?”
“Tuan
Hardee balik malam tadi sebab kami nampak dia turun kerja pada waktu pagi tadi.
Pasal apa yang terjadi malam semalam itu, kami tak tahu. Kita orang semua dah
masuk tidur. Masa itu, Puan Niya tetap nak tunggu suami dia balik,” kali ini
Ema pula yang menjawab soalan Radhuan. Dia pasti, ada sesuatu yang berlaku pada
suami isteri itu. Mungkin ada pertelingkahan yang berlaku sehingga menyebabkan
Aliniya tidak makan.
Radhuan
mengangguk setelah mendengar penjelasan daripada pembantu rumah Aliniya. Sebaik
mendapat panggilan daripada salah seorang daripada mereka, laju saja dia datang
ke rumah banglo itu. Dia juga terkejut mendengar Aliniya yang tiba-tiba
pengsan. Dia berasa gusar kalau keadaan Aliniya menjadi teruk jika wanita itu
kembali mengingati kisah-kisah lamanya. Namun, tebakannya itu tidak tepat sama
sekali. Aliniya pengsan disebabkan tidak makan semalam.
“Saya
minta tolong dekat awak semua, lepas ini tolong jangan biarkan Puan Niya tak
makan langsung. Dia ini kalau dah kena gastrik, memang boleh pengsan. Jadi,
lepas ini awak beri dia makan bubur dan susu, ya?”
“Baiklah
doktor. Kami akan pastikan Puan Niya akan makan ikut masa,” kak Zah seakan
berjanji dengan doktor yang merawat Aliniya itu. Nampak gayanya, doktor itu
benar-benar mengambil berat akan keadaan Aliniya. Mungkin juga sebab Aliniya
sudah di bawah jagaannya selama 6 tahun, menyebabkan lelaki itu benar-benar
risau akan keadaan isteri majikannya itu.
Anak
mata Ema pantas memandang wajah Aliniya sebaik perasan kelopak mata wanita itu
sudah terbuka.
“Eh!
Puan Niya dah sedar.” Teguran Ema menyebabkan semua anak mata terarah pada
Aliniya. Aliniya cuba mencelikkan matanya sekali lagi. Kepalanya masih terasa
berat, namun, digagahkan badannya untuk bangkit dari pembaringan. Radhuan
membantu wanita itu untuk duduk dengan selesa. Hatinya sedikit terusik melihat
wajah Aliniya yang tampak seperti sedikit mendung.
“Apa dah
jadi ini? Kenapa doktor Radhuan ada dekat sini?”
“Puan
pengsan tadi. Itu yang kami panggilkan doktor, takut ada apa-apa yang teruk
jadi dekat Puan,” kak Zah menjawab pertanyaan Aliniya pula.
“Takut
jadi apa-apa yang teruk dari segi apa? Mental ke?” kak Zah menggigit bibir dan
tertunduk dengan rasa serba salah. Aduh! Habislah kalau Aliniya marah gara-gara
dia memanggil doktor Radhuan ke mari. Kak Bedah turut menunduk sebaik anak mata
Aliniya memandang tepat pada wajahnya. Dia juga takut kalau selepas ini dia
akan diapa-apakan oleh Aliniya. Manakalah Ema pula berlagak seperti biasa. Dia
seperti sudah bersiap sedia dari awal lagi. Tidak kiralah kalau Aliniya sudah
kembali mengingati segala kisah lamanya. Dia sudah sebati akan caci maki dari
wanita itu.
Apabila
merasakan keadaan sekeliling yang begitu dingin, Radhuan berdeham ingin menarik
perhatian Aliniya. Pantas, mata Aliniya memandang wajah lelaki di depannya itu.
Hatinya sedikit terasa bila pembantu rumahnya memanggil doktor pesakit mental
itu ke mari.
“Emmm...
Boleh bagi ruang untuk saya berbincang sedikit dengan Puan Niya?” Pinta Radhuan
pada ketiga-tiga pembantu rumah itu. Mereka akur dan keluar dari bilik tersebut
ingin membiarkan Radhuan bercakap dengan Aliniya. Mungkin perkara yang ingin
dibincangkan oleh lelaki itu melibatkan masalah kesihatan Aliniya yang mereka
tidak perlu tahu. Mereka membiarkan pintu bilik sedikit terbuka agar tidak
menimbulkan apa-apa fitnah.
Radhuan
memandang wajah Aliniya yang sedikit muram itu. Lalu, bibirnya mengukirkan
senyuman ingin memujuk Aliniya. Dia sudah biasa dengan keadaan sebegitu.
Sesiapapun tidak suka kalau mereka dicop sebagai orang gila walaupun hakikatnya
mereka sudah sembuh sepenuhnya.
“Jadi
awak pun rasa yang saya ini masih bermasalah? Masih mental?” Jari telunjuk
Aliniya berputar-putar seolah-seolah menunjukkan otaknya masih tidak betul.
Tercetus gelak kecil dari Radhuan menyebabkan mata Aliniya membuntang luas.
“Awak
ejek saya?”
“Bukan.
Bukan macam itu,” Aliniya tarik mulut muncung. Radhuan berhenti gelak dan
tersenyum melihat wajah Aliniya yang nampak seperti merajuk. Wajah wanita itu
sama seperti ketika dia cuba memujuk Aliniya untuk berdiam diri agar tidak
memberontak ingin keluar dari hospital dulu.
“Saya
gelak bila tengok ekspresi yang awak tunjuk dekat saya itu. Kelakar,” Aliniya
menjeling tajam pada Radhuan dan memeluk tubuh. Matanya dialihkan ke tempat
lain tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
“Saya
tahu awak terasa hati dengan mereka. Tapi, dia orang cuma risaukan keadaan awak
je. Lagipun, awak baru je keluar dari hospital, jadi kalau jadi apa-apa pada
awak, saya mesti kena tahu juga. Sekali tengok, saya dapat tahu yang awak
pengsan sebab awak tak makan dari petang semalam. Haaa... Ini yang saya nak
tahu juga,” sekarang giliran Radhuan pula yang memeluk tubuh dan matanya tepat
memandang wajah Aliniya sebaik wanita itu memandang wajahnya juga.
Aliniya
telan liur dan menunduk. Dia teringat kembali tentang kejadian yang berlaku
semalam. Dia langsung tidak makan gara-gara suaminya membuang semua makanan
yang sudah dimasaknya petang itu. Dek rasa kecewa dan sedih, dia langsung tidak
ke dapur mencari makanan lain. Dia cuma mahu terus tidur sebaik terasa perutnya
begitu pedih mencucuk-cucuk.
“Saya
masih ada rekod tentang kesihatan awak, Niya. Awak memang mempunyai gastrik
yang teruk. Awak tak boleh skip makan. Kalaupun tunggu suami balik rumah, awak
kena isikan perut itu juga. Isikan perut tu dengan apa-apa je. Sedikit pun
jadilah. Itu sudah memadai. Jangan biarkan kosong terus,” Aliniya sedikit
terharu mendengar kata-kata Radhuan. Mungkin ada yang mendengarnya seakan-akan
seperti bebelan tetapi bagi Aliniya, dia benar-benar terharu bila masih ada
yang masih mengambil berat tentang dirinya.
‘Kalaulah
dia juga risaukan aku sama seperti doktor Radhuan, alangkah baiknya,’ detik
hati kecilnya.
Terbit
juga senyuman di bibir wanita itu. Cepat pula wanita itu terpujuk dengan
kata-katanya. Dia turut membalas senyuman wanita itu.
“Terima
kasih sebab ambil berat pasal saya.”
“Well,
it is also my job as your personal doctor anyway,”
“Ingat
pesan saya. Jangan biarkan perut awak kosong, Niya. Isilah dengan apa-apa
sekalipun. Janji ada, okey?” sambung Radhuan lagi.
“Baiklah,
doktor Radhuan. Saya yang menurut perintah,”
“Haaa...
good girl.” Masing-masing tergelak kecil.
Di sebalik pintu, gelak ketawa mereka menyebabkan
sekeping hati terasa sedikit membahang. Giginya diketap kuat menahan satu
perasaan aneh yang menyerang hati. Entah kenapa hatinya terasa begitu jelik
melihat kemesraan yang terjalin di antara mereka berdua. Dia mendengus dan
beredar tanpa disedari oleh sesiapapun.
Ema membawa dulang bersama bubur yang sudah dimasaknya
untuk Aliniya. Sebaik keluar dari dapur, dia ternampak majikannya memintas
tanpa sedar akan kehadirannya di situ. Dia mahu menegur tetapi tidak sempat
tatkala laju saja langkah kaki majikannya melangkah keluar dari rumah. Ema
hairan melihat Hardee yang terus beredar tanpa menegur sesiapa. Sejak bila
lelaki itu datang, tiada siapapun sedar atau perasan. Malah, tidak pula dia
dengar bunyi kereta lelaki itu. Ema hanya menjongket bahu dan menggeleng, lalu
dia beredar ingin menghantarkan bubur kepada Aliniya.
Langkah
Ema terhenti sebaik mendengar tawa Aliniya yang kedengaran jelas dari luar
bilik. Diam-diam Ema memerhati kelakuan Radhuan dan isteri majikannya itu.
Mereka nampak begitu mesra sekali. Lantas, Emaa teringat akan sesuatu. Sudah
lama dia tidak melihat wajah Aliniya yang seceria ini.
‘Mampu
ke Puan Niya seceria sebegini selalu? Macam mana kalau dia ingat semula kisah
silam dia. Masih ada lagi ke gelak tawa dari wanita itu nanti?’ Ema memikirkan
tentang keadaan yang bakal Aliniya tempuhi jika satu hari nanti semuanya
kembali seperti dulu.
‘Adakah
Tuan Hardee marah bila tengok kemesraan dia orang?’ Soal Ema di hati bila
teringat akan wajah Hardee yang dilihatnya tadi. Mata Ema kembali memandang
wajah Aliniya dari sebalik pintu.
‘Apa
yang bakal terjadi pada Puan Niya lepas ini?’
Hai sis :). Nice story,membaca dengan teliti dari bab1 spi bab 12..sabar menanti bab seterusnya.teruskan menulis dn menggunakan bahasa yang santai senang di fahami. Saya sangat suka cerita anda... terima kasih.
ReplyDeleteHai dear. Tq sbb stia mmbca DS n tq so much for ur support. Happy tau sbb awk enjoy crta nie.. :*
Delete