Sunday, January 31, 2016

Dosa Semalam Bab 1

BAB 1


            ANAK mata yang sudah dirembes dengan mutiara jernih merenung jauh ke bawah. Sebak hatinya, retak jiwanya. Betapa bodohnya dia selama ini kerana begitu mengharapkan cinta daripada seorang insan dipuja-pujanya selama ini. Sangkanya cinta yang tulus ikhlas itu sudah mampu digampai, tapi hampa! Dek sepenuh cinta buat si bidadari, luka padahnya.
            ‘Aku bodoh! Ternyata dia yang kupuja selama ini hanya dasar penipu! Aku bodoh!’ jerit jiwa yang sedang walang itu. Esakkannya semakin kuat. Tangannya mula meramas rambut sehingga serabut. Fikirannya menjadi terganggu dan dia mula meraung.
            Dia memegang kepala dan menggeleng-geleng memikirkan perkara yang terjadi selama ini. Matanya mula merenung kembali ke bawah. Kakinya mula terasa bergetar. Air mata sudah lama mengaburi penglihatannya. Namun, dia masih mampu melihat simbahan cahaya lampu di bawah. Tanpa berfikir apa-apa, sebelah kakinya mula diangkat.
            “Jangan!” Tindakannya automatik terhenti dek ditegah satu suara. Mendengar saja suara itu, dadanya mula sesak. Hati yang dirundum kesedihan tadi mula terasa bahang amarahnya. Giginya diketap kuat. Kaki yang diangkat tadi diturunkan semula.
            “You jangan macam ni. You tahu tak apa akan terjadi kalau you bertindak bodoh macam ini?” suara tadi kembali kedengaran. Ada bunyi gentar pada suara tersebut. Dia tersenyum sinis. Walaupun tidak bertentang mata dengan gerangan yang menegurnya tadi, dia amat tahu siapa pemiliknya.
            “You... Jangan jadi bodoh boleh tak?”
            “Memang aku bodoh sebab kau! Aku bodoh sebab terlalu mencintai orang seperti kau, Aliniya!” Pantas saja lelaki itu berpaling ke belakang menghadap wajah si gadis. Ada sinar luka pada anak mata lelaki itu.
            Gerangan yang bernama Aliniya mula rasa gentar. Otaknya memikirkan pelbagai cara demi menamatkan sandiwara lelaki di depannya.
            ‘Aduh! Apa silapnya sampai dia boleh bertindak segila ini? Apa patut aku buat?’ desis hatinya yang sudah keresahan.
            Sebaik membaca bait-bait ayat di dalam mesej yang diberi lelaki itu tadi, dengan pantas dia meninggalkan teman-temannya sebelum terjadi apa-apa. Mujurlah dia tahu ke mana lelaki itu berada kerana di sinilah tempat di mana lelaki itu melamarnya untuk menjadi kekasih secara rasmi.
            “Kau tau tak Aliniya, aku betul-betul cintakan kau. Tapi kau mempermainkan aku. Kau membelot aku. Kau tikam belakang aku! Kau memang tak guna!” jerit lelaki itu dengan hati yang penuh kesal.
            “I minta maaf okey? Kita... kita settle cara baik, boleh? You tak perlu bertindak macam ni,” mata si gadis tajam memandang kaki lelaki itu. Selangkah saja lelaki itu bergerak pasti hilang nyawanya. Debaran di hati menyebabkan dahinya mula berpeluh. Cemas, takut, resah dan bingung. Si gadis memang tidak mampu berfikir apa. Dia jadi kaget.
            “Apa lagi yang kau nak cakap, Niya? Kau nak cakap yang kau cintakan aku sedangkan hakikatnya, kau tak pernah ada perasaan dengan aku pun kan?” suara si lelaki mula kendur. Dia terlalu kecewa. Sukar baginya untuk terima semua ini. Dia tak mampu. Dia terlalu mencintai gadis yang bernama Aliniya itu.
            “I...” Aliniya hilang kata. Apa lagi yang mampu dia ucapkan sedangkan itulah hakikat sebenarnya. Dia memang tidak cintakan lelaki itu.
            “Aku dah buat macam-macam untuk kau. Tapi, kenapa kau tipu aku? Kenapa?” si jejaka menangis dan menekup mukanya.
            Tanpa sedar, air mata wanitanya jatuh perlahan. Dia sendiri tidak tahu kenapa matanya mengeluarkan mutiara jernih itu.
            “You using me, are’nt you?” satu persoalan yang terbit dari bibir lelaki itu membuatkan Aliniya tersentak.
            ‘Macam... macam mana dia tahu?’ Aliniya mula terasa gerun. Adakah perancangannya selama ini terbongkar? Dia telan liur. Wajahnya mula tunduk dengan perasaan yang serba salah.
            “Tak apalah, Niya. Aku tahu aku bodoh. Aku bukan lelaki yang kau impikan. Tetapi, aku berterima kasih dengan kau sebab dah berikan cinta palsu dekat aku. Aku betul-betul bahagia dalam fantasi yang kau reka.” Pandangan Aliniya perlahan-lahan diarah pada lelaki di depannya. Aliniya masih tetap membisu.
            “Kau kena ingat Niya. Aku benci kau. Tapi, aku tak tahu kenapa aku masih tak mampu buangkan perasaan cinta ini. Sayang... Sayang ingatlah, I will always love you no matter what you did to me. Jadi, sebab tulah... aku nak kau terseksa dengan perbuatan kau.” Suara yang penuh sendu berubah tona. Bulat anak mata Aliniya mendengar kata-kata si jejaka.
Kelihatan wajah yang tadinya menangis bagai nak rak berubah serta-merta. Terbit senyuman penuh makna di bibir itu. Tak lama selepas itu, kedengaran bunyi tawa. Aliniya jadi gerun melihat perubahan secara tiba-tiba itu.
“Ini hadiah aku pada kau, Niya,” tangan si jejaka di depakan dan tanpa Aliniya sempat bertindak tubuh lelaki itu mula rebah dan terus melayang ke bawah.
“Hafeez!” Jerit Aliniya sekuat hati.

KELOPAK mata terbuka luas. Tubuhnya pantas tegak dari pembaringan. Dia memegang dada yang sudah berdegup laju. Matanya yang terbuntang luas mula liar memandang sekeliling.
            “Aku kat mana ni?” dahinya berkerut seribu. Melihat sekeliling saja dia tahu, tempat ini begitu asing buatnya.
            “Ah!” Tangannya mula memegang kepala yang terasa perit dan pedih. Dapat dirasakan ada sedikit darah di belakang kepalanya. Tangannya dialih perlahan. Benar sangkaannya. Ada luka rupanya. Tetapi, bagaimana dia boleh mendapat luka ini?
            Matanya pantas menangkap baju yang dipakainya. Dia semakin bingung apabila melihat pakaian yang lengkap di tubuhnya sekarang. Seperti baju seorang pesakit. Pantas kakinya melangkah ke cermin berdekatan.
            Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat imbasan diri di cermin. Tangannya mula memegang rambut.
            ‘Rambut aku dah panjang? Setahu aku rambut ini baru je dipotong. Macam mana boleh sepantas ini dia tumbuh?’ Makin bingung dibuatnya.
            “Baju apa yang aku pakai ini? Aku...” Dek rasa keliru, pantas kakinya melangkah keluar dari bilik. Dia perlu keluar dari sini.
            Jejak langkah yang pantas tadi tiba-tiba terhenti tatkala anak matanya memandang sekeliling. Mulutnya terlopong luas apabila apa yang dilihatnya benar-benar mengejutkannya. Dia jadi takut dengan keadaan sekeliling.
            “Eh eh... Kau cantiklah,”
            “Ah!” Terkejut dia apabila ditegur oleh salah seorang wanita di situ. Apabila melihat dia terkejut, wanita itu semakin galak ketawa.
            “Kau cantik... kau cantik. Aku nak kau. Mari sini, aku nak kau.” Wanita itu mahu memeluknya. Tanpa berlengah dia berlari menjauhi. Sekali lagi, kakinya terhenti apabila wanita lain yang bersikap seperti wanita tadi ingin mendekatinya.
            “Ya Allah! Apa semua ini? Tolong! Tolong!” Dia cuba untuk menyelamatkan diri daripada wanita yang cuba untuk menyentuhnya.
            “Niya! Dekat sini rupanya awak,” tubir mata Aliniya yang sudah dirembes dengan air mata mula mencari-cari gerangan yang memanggil namanya tadi. Dia berpaling dan dilihatnya seorang lelaki yang berpakaian kot putih menarik lengannya menjauhi wanita tadi.
            “Nurse! Tolong hantarkan pesakit itu ke dalam bilik kurungan,” tegur lelaki itu. Aliniya menarik nafas lega. Mujur dia sempat diselamatkan oleh lelaki yang dari pandangannya mungkin seorang doktor di situ. Tetapi, mengapa dia berada di rumah sakit itu dia masih tidak tahu. Malah, rasanya di sini bukan calang-calang tempat. Aliniya telan liur. Melihat keadaan persekitaran, Aliniya dapat pasti di mana dia berada sekarang. Apa dah jadi sebenarnya?
            “Niya, kenapa awak lari? Saya baru nak letak ubat dekat kepala awak itu. Kenapa cuai sangat? Hmmm?” Doktor lelaki yang kelihatan seperti berumur 30-an itu menegurnya dengan lembut sekali. Aliniya gigit bibir.
            “Doktor, saya nak tahu apa sebenarnya terjadi dekat saya? Kenapa saya ada dekat sini?” Persoalan dari Aliniya itu membuatkan lelaki itu tersentak.
            “Ni... Niya... Aw...awak dah mula waras?” Kali ini persoalan daripada lelaki itu pula yang membuatkan dia tersentak.
            Lelaki itu memegang kedua-dua bahunya. Wajah lelaki itu nampak begitu lega.
            “Syukur alhamdulillah. Awak dah mula waras Niya.”
            “Maksud doktor?” Dada Aliniya mula terasa sesak. Belum pun sempat lelaki itu menjelaskan lebih lanjut, Aliniya memintas.
            “Saya gila ke sebelum ini?” Mata Aliniya memandang tepat pada anak mata lelaki itu.
            ‘Aku gila?’ Soal hatinya pada diri sendiri.
           















No comments:

Post a Comment