Bab 39
LAMA
mataku merenung kedua-dua wajah yang tersenyum-senyum penuh makna. Aku pula
sudah bercekak pinggang geram dengan keputusan yang mereka buat secara melulu.
“Sampai
hati ibu dan ayah buat Risya macam ni? Kenapa tak beritahu awal-awal pasal hal
kahwin ni semua?” Soalku masih tidak berpuas hati. Ibu dan ayah berpandangan
antara satu sama lain.
“Nak
tunggu kamu tu jangan harap. Hanya buat keputusan ikut kepala sendiri aje.
Tengok-tengok siapa yang kecewa merana? Kamu jugakkan?”Jawab ibu dengan
selamba. Aku mengetap bibir mendengar penjelasannya. Ayah pula masih diam tanpa
mahu menyampuk.
“Tapi
keputusan ibu dan ayah ni dibuat masa Nick datang bawak family dia ke Miri hari
tukan? Sempat lagi nak beritahu. Ini tidak...Main setuju je tanpa nak tanya
pendapat Risya. Yang nak kahwin tu Risyakan?”
“Ya...Ibu
tahu yang nak kahwin tu kamu. Kamu nak suruh ibu pulak yang kahwin ke? Ayah
kamu ni nak letak ke mana?” Seloroh ibu pula. Aik? Ibu ada hati nak kahwin lagi
ke? Terdengar bunyi dehaman ayah di sebelah. Ibu sudah tergelak kecil. Perasan
yang ayah tengah makan hati dengan seloroh ibu tu.
“Saya
main-main jelah, G.” Tangan ibu menepuk paha ayah lembut. Walaupun tengah geram
dengan kedua ibu bapaku, namun dalam diam aku kagum akan layanan ibu pada ayah.
Sangat romatis sekali. Sweetnya!
“Ehem..ehem...Kita
fokus kat pengantin di depan ni ya? Tak lama lagi yang nak kahwin ni saya, ibu
ayah. Sekarang masalah belum selesai lagi ini.”
“Aik?
Masalah belum selesai? Kamu ni nak sangat bincang pasal benda ni kenapa? Tak
nak kahwin ngan Nick tu ke?” Baru kini ayah bersuara. Aku memuncungkan bibir.
“Bukan
tak nak. Tapi terasa hati sebab tak tanya kat Risya dulu. Nak beritahu hal
sebenar pun susah ke?”Suaraku sudah berubah merajuk. Bibir masih tak lepas
dengan muncung itik. Sampai hati mereka buat aku macam ni? Hmph!
“Memang
susah! Kalau ibu bagitahu perkara ini kat kamu, entah-entah kamu tolak terus.
Yalah...Hari tu siapa yang beriya-iya nak simpan rahsia? Konon-konon tak nak
kekasih tengok keadaan dia yang patah kaki tu. Patah kaki je pun!” Ibu sudah
mula membangkit cerita lama sebagai penamat soalanku. Aku memeluk tubuh.
“Tapi
ibu masa tukan...”
“Ibu
tahu dalam hati kamu tu hanya ada Nick. Malah kalau Risya nak tahu, sebenarnya
kamu dengan Nick tu dah lama bertunang.” Pintas ibu. Aku yang sedari tadi hanya
memuncungkan mulut sudah mula terlopong luas. Ada cerita lain yang aku tak
pernah tahu lagi ke? Aku melongo sahaja. Tidak sangka dengan kenyataan yang ‘terbaru’
ini.
“Mak..maksud
ibu?” Soalku tidak percaya.
“Maksud ibu, kamu tu
dah lama bertunang dengan Nick. Cuma ibu dengan ayah saja tak nak beritahu kamu
perkara sebenar. Takut kamu terkejut beruk. Lagipun, tu memang plan ayah dengan
ibu semasa kamu ambil keputusan terima lamaran Iz dulu. Risya pun tahu
sebenarnya ibu pun tak sokong keputusan Risya tu? Jadi, ibu dengan ayah dah
buat keputusan untuk tunangkan kamu dengan Nick sebelum majlis kamu dengan Iz
tu,” Aku bungkam. Blur. Tidak tahu nak cakap apa setelah mendengar penjelasan
ibu tu.
“Ibu dengan ayah dah
rancang nak batalkan pernikahan kamu dengan Iz menggunakan alasan yang kamu ni
sebenarnya tunangan orang. Tapi tak sangka pula ada orang lain yang bantu
memberhentikan pernikahan tu.” Jelas ibu. Terlayar kejadian dulu semasa aku
hampir-hampir menjadi isteri kedua Iz. Erk! Tak naklah fikir balik. Yang lepas
biarkan lepas.
Aku berdeham sambil
melepaskan tangan dari memeluk tubuh. Aku melongo seketika. Perkara ini begitu
mengejutkanku seperti mana berita mengenai hari pernikahanku ditetapkan oleh
kedua-dua ibu dan ayahku. Aku memandang mereka.
“Pasal pertunangan
tu...Nick dah tau lama atau tak?” Aku persoalkan lagi perkara mengenai ikatan
pertunangan ini. Ibu menggeleng. Manakala ayah pula sedari tadi senyap sahaja.
Tidak berbunyi langsung. Hanya matanya saja dikerlingkan pada wajah ibu.
“Tok Idham dan Encik
Baharuddin sendiri yang datang berjumpa dengan kami. Cadangan ini sebenarnya
datang dari Tok Idham. Oleh kerana Tok Idham risaukan keadaan Nick yang macam
mayat hidup kat rumah, sebab tulah dia buat perancangan nak tunangkan kamu
berdua tanpa pengetahuan kamu dan Nick,” Sekarang barulah aku mengerti
situasinya. Mungkin disebabkan rasa kasih terhadap cucunya, Tok Idham sanggup
melakukan apa saja demi kebahagiaan kami berdua. Aku berasa terharu dengan
tindakan Tok Idham itu. Dia benar-benar sudah menerima cucunya itu.
Alhamdulillah.
“Dengan cara ini je
boleh selamatkan kamu berdua. Ibu tahu sangat anak ibu ini. Egonya pun melangit
tak sudah. Alih-alih, orang tua juga yang kena masuk campur. Teruk betul, Risya
ni!” Sindir ibu. Aku hanya tersengih saja. Malu sebenarnya. Tak mahu mengaku
cintakan Nick dan sanggup menerima lamaran daripada suami orang. Sekarang dah
kena sebijik! Sabor jelah.
“Bila Nick datang ke
rumah, barulah dia tahu pasal benda ini. Dia pun terkejut jugak. Tapi dia tak
melatah. Dia terus datang bawa keluarga dia dan kami merancang tarikh
perkahwinan kamu berdua. Jadi, ibu dan ayah dah decide nak kahwinkan kamu
berdua minggu depan jugak! Takut macam-macam hal berlaku. Sudah hati tu dah
cinta, Risya...Baik diteruskan aje niat yang baik tu. Tak adalah maksiat
berlaku.” Seloroh ibu lagi. Aku mencebik sahaja.
“Alah ibu ini...Kita
dah besarlah. Pandai-pandailah kita orang jaga diri.” Tungkasku pula.
“Habis tu kamu nak ke
tak nak kahwin dengan Nick?”
“Mestilah nak!” Jawabku
pantas. Muka sudah mula kemerah-merahan. Aku menggigit bibir. Alamak! Terlepas
cakap pula. Adui! Malunya. Aku ni memang muka tak malu. Ibu sudah menampar
pahaku lembut.
“Amboi...Tengok tu. Dah
tak sabar dah nak kahwin. Ni, G...Kita kahwinkan ajelah dia orang ini. Tak
boleh nak lambat-lambat dah. Memang wajib kahwin terus! Ulat bulu dah naik nak
menggatal.” Ibu memerliku sambil matanya memandang wajah ayah. Aku terjegil
melihat wajah ibuku yang sudah galak tertawa. Amboi!
“Ibu! Pandai-pandai je
cakap kita ni menggatal. Alah..Ibu pun tahukan Risya dah memang patut kahwin
dah sekarang. Umur pun dah 26 tahun. Sesuailah tu!”
“Haa...kalau macam tu,
dalam masam 3 bulan dari sekarang jangan lupa berikan kami cucu.”
“Ibu!” Aku menjerit
kecil dan mencubit pipi ibu. Aku suka bergurau senda dengan ibu. Bila melihat
wajah ibu yang sudah tembam membuatkan aku rasa geram nak cubit pipi dia.
Mesrakan kami?
“Haaa...dah dah...Anak
beranak ini bila dah bergurau, satu rumah bising. Dah dah...Takut orang sebelah
dengarlah. Dah Risya pergi tidur. Kamu tu tak penat ke baru balik dari Sabah
ini?” Ayah sudah bersuara. Ingin menyudahkan gelak tawa kami.
Aku hanya tersenyum
simpul pada ayah. Ya...Memang aku penat setelah duduk lama di dalam kapal
terbang tadi. Sebaik sahaja mendapat khabar tentang pernikahanku, aku terus
mendapatkan tiket ke Miri dan berjumpa dengan kedua ibu ayahku. Manakala Nick
pula sudah kembali ke Kuala Lumpur. Ingin mengurus apa saja keperluan untuk
hari pernikahan kami. Malah, persiapan sudah pun dibuat awal beberapa hari yang
lepas. Jadi bagaimana pula dengan pihak perempuan?
“Penat tu penatlah,yah.
Tapi...ada benda yang Risya still nak tahu. Macam mana persiapan di sebelah
kita pula?”
“Yang tu kamu jangan
risau. Ibu pun sebenarnya dah buat beberapa persiapan sebelum kamu sampai ke
sini. Cuba tengok kat dalam bilik kamu tu.” Mataku sudah terjegil mendengar
kata ibu. Sudah buat beberapa persiapan? Cepatnya. Lantas, aku beredar ke bilik
tidurku.
Betapa terkejutnya aku
melihat perubahan di dalam bilik tidurku sekarang. Ternyata benarlah kata ibu.
Sudah ada persiapan seperti barang-barang hantaran yang diletak di dalam
bilikku. Semua hantaran untuk pihak lelaki. Malah, kedudukan katil dan segala
barang di dalam bilik ini juga sudah berubah. Dulu bilikku sedikit sempit dan
bersepah, sekarang sudah luas dan katil tidur single bed juga sudah berubah
Queen Size. Perhiasan katil juga dibuat. Aku menoleh memandang wajah ibu tidak
percaya.
“Ibu excited sangat
bila tahu kamu akan bernikah tak lama lagi. Jadi, ibu cepat-cepat siapkan
apa-apa yang dapat disiapkan. Hantaran tu semua Nick yang pilih. Ibu cuma ikut
aje. Tetapi, Nick ni bukannya memilih sangat. Simple aje orangnya.” Mahu
tercekik aku mendengar kata ibu itu. Simple aje orangnya? Simplelah sangat!
Aku jadi teragak-agak
ingin duduk dan tidur di dalam bilik bakal pengantin ini.
“Ibu, tak apa ke kalau
saya baring kat atas katil yang dah dihias ni? Hari pernikahannya minggu depan.
Tak cepat sangat ke ibu hiaskan katil ini?”
“Apa nak risaukan?
Tidur aje kat bawah lantai itu,” Sengaja ibu mengenakanku.
“Alaaahh...Ibu ini...”
Rengekku manja. Mulutku sudah muncung seperti itik. Ibu pula sudah
tergelak-gelak. Wajah ayah baru tersembul di depan pintu.
“Haa...macam mana katil
dia elok? Boleh tahan tak? Takut nanti masa malam pertama roboh pula katilnya
ni.” Giliran ayah pula ingin mengenakanku.
“Ayah!!”
NICK melepaskan nafas lega.
Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Malah, lamarannya juga sudah
diterima oleh Risya. Jadi, yang tinggal hanyalah beberapa persiapan di hari
pernikahan nanti.
“Kau
nampak berseri-seri aje abang tengok,” Tegur Emir pada adik kembarnya. Dia
meletakkan tangannya pada besi veranda sambil matanya tak lepas dari memandang
wajah kembarnya itu. “Abang gembira tengok kau bahagia macam ini. Memang
betullah apa yang Tok Idham dan Papa buat tanpa pengetahuan kau tu. Kalau tak,
dah lama si Risya dikebas Iz. Putih mata kau,”
Nick
tersenyum kecil pada Emir. Matanya beralih memandang ke bawah. Melihat air
kolam di taman membuatkan dia teringat akan kenangan semasa melamar Risya di
pantai Sabah itu.
“Sebenarnya
abang nak minta maaf kat kau atas apa yang berlaku selama ini. Kalau tak dah
lama kau dengan Risya tu bernikah. Tetapi disebabkan perbuatan abang yang mengambil keputusan terburu-buru tanpa
pengetahuan kau, membuatkan abang rasa bersalah sangat-sangat. Abang minta maaf
ya, Nick?”
“No
hallah, Abang Emir. Semua tu dah lepas dah. Lagipun, semua yang berlaku tu ada
hikmahnya. Mungkin benar tindakan Abang Emir tu. Kami patut beri masa pada
hubungan kami berdua. Dengan cara tu, barulah kita sedar betapa pentingnya
antara satu sama lain. Betul tak?” Ujar Nick dengan tenang. Emir hanya
mengangguk sahaja.
“Lagipun,
apa yang Abang Emir lakukan tu di sebabkan rasa tanggungjawab seorang abang
pada adiknya. Lebih-lebih lagi kita ini kembar. Mama pun dah serahkan
tanggungjawabnya pada Papa dan abang. Jadi, bagi Nick semua tu tak salah mana
pun.” Sambung Nick lagi. Tiada langsung rasa marah mahu pun benci pada tindakan
kembarnya itu. Dia cuma redha akan segala ketentuan Ilahi. Sudah begitu
aturannya, dia cuma perlu tabah melaluinya. Walau sakit dan perit hati
menanggung, kalau sudah benar ada jodoh antara mereka, semua yang berlaku itu
terasa bagaikan satu kurniaan yang tak berbelah bahagi.
Mereka
berdua senyap buat seketika. Melayan perasaan masing-masing pada malam yang dingin
sambil ditemani cahaya bulan bersama bintang di langit.
“Eh?
Kau tak nak tidur lagi ke? Kan baru je balik dari Sabah. Pergilah berehat.”
Saran Emir pada Nick. Sebagai seorang abang, dia bimbang akan keadaan adiknya
itu. Walaupun perbezaan mereka hanyalah berdasarkan masa, tetapi rasa sayang
terhadap adik kembarnya tetap utuh.
“Ha’ah
tapi kejap lagilah. Abang Emir pergilah tidur. Kang kakak iparku meradang
pulak.”
“Amboi...Mengumpat
orang nampak?” Tegur seseorang dari belakang mengejutkan kedua-dua beradik itu.
Wajah Iyan sudah dimonyokkan dan kakinya melangkah mendekati si suami.
Dipeluknya Emir dan matanya sempat menjeling pada Nick. Nick tergelak kecil.
“Panjang
umur kak!”
“Akaklah
sangat!” Tungkas Iyan kembali. Wajahnya berubah senyum. Tahu sangat perangai
Nick yang suka mengenakannya. Sudah biasa dengan sikap kawan seuniversitinya
itu.
“Nick
nak tahu sangatlah. Dalam situasi Iyan sekarang, kalau nak tengok rupa kami
berdua ini memang macam berdiri di depan cermin. Tak nampak sangat bezanya
kecuali kalau abang Emir guna cermin mata. Tapi, kalau Abang Emir tak pakai,
macam mana Iyan boleh tahu yang mana satu abang Emir atau Nick?” Soal Nick
ingin tahu. Sudah lama dia mahu bertanya perkara itu tetapi disebabkan terlalu
sibuk dengan pelbagai masalah, dipendamkan saja persoalan itu. Jadi, sekarang
bila sudah duduk bersama, terluah juga persoalan itu dari benaknya.
“Jawapannya
senang aje. Kau ni kuat menggatal berbanding abang. Sebab tulah aku tahu.”
Tersembut tawa Emir mendengar seloroh isterinya itu. Ada-ada saja benda yang
dikenakannya pada Nick. Dia faham situasi mereka berdua. Dulu memang pernah
terbit perasaan cemburu terhadap adiknya itu. Tetapi, melihat keikhlasan Iyan
yang hanya mencintainya seorang, membuatkan dia mengambil keputusan untuk
mengambil Iyan menjadi isterinya. Malah, Iyan langsung tak pernah melayan Nick
lebih daripada seorang kawan. Nick pula hanya sibuk melayan gadis-gadis keliling
pinggang tetapi tidak Iyan.
Nick
turut tertawa mendengar omelan isteri abangnya itu. Sudah tahu benar akan
sikapnya yang suka membalas kembali kata-katanya.
“Actually,
tak dinafikan yang kau orang berdua ini kembar seiras. Susah betul nak bezakan
kau orang berdua ini. Muka memang sebijik! Tak ada bezanya kecuali satu.” Tebak
Iyan sambil tangannya tak lepas dari memeluk lengan Emir. Emir berasa sengan
diperlakukan sebegitu. Nick pula sudah biasa melihat kemesraan mereka berdua.
Selama 5 tahun menyulam cinta, akhirnya mereka bersatu. Dalam senyap, Nick
kagum akan kesetiaan perasaan cinta bagi pasangan itu.
“Apa
bezanya, Iyan?” Soal Nick ingin tahu.
“Ha’ahlah
sayang. Apa bezanya?”Terdetik juga hati Emir mahu tahu bagaimana isterinya
mampu mencari perbezaan antara dia dan Nick.
“Sebenarnya...”
AKU tergamam saat melihat wajahnya yang
berdiri betul-betul di depanku. Mujurlah aku sudah bertudung litup kalau tidak
pasti aku akan merasa malu sekali lagi. Teringat pula kejadian di Korea apabila
tanpa sengaja aku membiarkan Nick melihat rambutku ketika masih mamai.
Aku
yang pada awalnya mahu keluar bersama ibu tengah hari ini sudah mendapat
kejutan daripada empunya diri yang sudah tegak berdiri di depan bilikku.
“Aw..awak
buat apa kat sini?”Aku mula menyoalnya. Terkejut memang terkejut. Lebih-lebih
lagi melihat Nick ada di Miri. Bukan apa...Baru sahaja 2 hari sebelum ini kami
bertemu di Sabah. Sekarang, Nick ada di sini pula. Di dalam rumahku, di depan
bilik yang bakal kami kongsi nanti. Mak aii...Bila difikir balik rasa malu pula
dan tipulah kalau aku kata aku tak berdebar-debar menunggu saat disatukan
bersama Nick sebagai isterinya yang sah.
“Saya...saya
nak jumpa bakal isteri saya. Kenapa? Salah ke?” Soal Nick kembali. Suaranya
kedengaran sedikit menggoda. Matanya juga memandang tajam pada anak mataku
sehingga menusuk ke kalbu. Cewahh!
“Bu..bukan.
Tak salah pun nak jumpa bakal isteri. Tapi, sejak bila pula awak ke sini? Bila
masa pula awak datang Miri? Tak beritahu saya pun yang awak nak datang sini.”
Aku cuba memberanikan diri bertentang mata dengannya. Dalam hati pula macam
rasa nak pecah menahan debar tatkala matanya tak lepas dari memandangku. Aduh!
Parah ni...
“Buat
apa nak beritahu awak. Saya datang sebab nak suprisekan awak. Saya ada bawa
hadiah untuk awak ke mari.” Jawabnya sambil tersenyum panjang. Aku mengerutkan
dahi.
“Hadiah?
Hadiah apa?”
“Saya!”
Jawabnya pantas sambil mendepakan tangannya. Aku yang terlopong mendengar
katanya sudah menghamburkan tawa. Dia juga turut ketawa sama. Setelah tawa kami
reda, barulah dia menyambung kembali katanya.
“Tak
sebenarnya saya datang kat sini nak bawa awak beli barang hantaran. Lagipun
hari tu saya beli barang hantaran bersama ibu masa saya kat Miri hari tu. So,
sekarang giliran awak pula. Jadi, hari ini saya nak bawa awak dan ibu keluar
nak beli barang-barang yang belum dibeli lagi.” Aku mengangguk sebaik mendengar
penjelasannya. Wah! Tunang aku ini sanggup ke Miri semata-mata nak teman aku
beli barang-barang hantaranku. Terbit rasa terharu padanya.
“Awak
dah siapkan?” Sambung Nick lagi. Aku mengangguk dan keluar dari bilik. Apabila
melangkah keluar dari bilik, Nick pula masuk ke dalam bilikku. Mataku terjegil
melihat kerenah selambanya itu. Amboi!
“Haa...Rasa-rasanya
hantaran saya ini dah cukup. Tak perlu tambah pun. Yang tinggal cuma hantaran
untuk awak ajelah. Lagipun tengok katil pengantin ni. Emm...Ehem ehem...Elok
dan attractive.” Aku sudah menjegil padanya. Dia sudah tersenyum kecil.
“Gatal!”
Aku keluar dari bilik dan mengambil beg tangan yang aku letakkan di kerusi di
depan bilikku. “Awak jomlah kita keluar. Sudah-sudahlah fikir yang bukan-bukan
tu. Kita dah lambat ini. Nak kejar masa...” Aku memanggilnya agar cepat-cepat
keluar dari bilik sebelum dia memikirkan perkara yang bukan-bukan lagi.
Sebaik
saja aku bergerak mendekati kereta, ibu pula baru keluar dari rumah. Aik?
Ingatkan dah keluar. Rupa-rupanya masih di dalam rumah. Ibu keluar bersama
Nick. Ibu menyerahkan kunci kereta pada Nick. Aku menongkat kening.
“Hari
ini biar Nick yang drive. Biar dia biasa-biasakan diri memandu di Miri ini.
Nanti bila ada kat Miri, tak susah mana. Lagipun, bandar Miri ini mana ada
besar sangat. Senang aje jalan kat sini.”
“Tapi
ibu, Nickkan baru sampai sini?”
“Amboi...Sayang
benar dia dengan tunang dia ini ya? Dulu tak ada pula dia nak buat macam ni.”
Sindir ibu membuat aku cemberut.
“Ibu
ini...ada-ada aje nak mengena orang kan?” Balasku kembali. Mataku menyorot pada
wajah Nick. Dari tadi mamat ni tersengih aje. Langsung tak nak back up aku pun.
Karang aku back hand kau baru tau. Aku menggerutu geram.
SESUDAH membeli barang-barang yang
diperlukan untuk majlis nanti, ibu menyuruh Nick untuk mengambil kad-kad
jemputan yang sudah siap dicetak. Aku yang tidak tahu-menahu perkara ini
tergamam tika itu.
“Kad
jemputan? Kad jemputan dah dibuat ke, bu?” Soalku pada ibu yang duduk di depan
bersebelahan dengan pemandu kami iaitu Nick. He he he...
Ibu
mengangguk. “Ha’ah. Kad kamu tu perlu dihantar sekarang. Alang-alang dah siap,
baik kita cepat-cepat ambil. Bolehlah kita cepat-cepat edar. Lagipun, majlis tu
pun diadakan minggu depan. Tak ke dah lambat kita nak jemput tetamu tu semua.”
“Cepatnya
kad jemputan tu siap. Bila masa pula ibu buat semua benda ini?”
“Sebenarnya,
ibu dengan tok Idham dah lama buat kad jemputan tu. Cuma kamu dan Nick saja
yang tak tahu.” Aku terkedu pula. Mahu tercekik mendengar persiapan yang sudah
dibuat oleh ibu di pihakku dan Tok Idham di pihak Nick. Nick di sebelah hanya
diam tenang. Tidak bersuara walau sepatah pun. Mengiya pun tidak menggeleng pun
tidak. Kaku macam patung cendana saja aku tengok dia di sebelah.
Setibanya
kami di kedai cetakan kad tersebut, ibu sudah terlebih dahulu mendekati salah
seorang pekerja kedai di situ. Aku dan Nick hanya berpandangan sesama sendiri.
Sememangnya kami berdua nampak buntu dan kaku tidak tahu nak kata apa.
Rupa-rupanya segala hal berkaitan persiapan juga ibu dan keluarga Nick sudah
lakukan. Sememangnya perancangan ingin menyatukan kami ini tanpa pengetahuan
kami langsung. Demi mengelakkan aku bernikah dengan Iz, ibu dan ayah sudah
bertindak menyatukan aku dan Nick terlebih dahulu.
Aku
menarik kad dari kotak yang diletakkan di atas meja. Aku buka kad yang berwarna
keemasan tersebut. Seraya itu, terbit senyuman tatkala melihat kad jemputan
kreatif itu. Bila kad tersebut dibuka, bentuk hati juga terbuka seolah-olah
timbul di atas permukaan kad tersebut. Ala-ala bentuk hati versi 3D gitu. Pada
bentuk hati itu tertulis nama penuhku dan juga nama penuh Nick. Di sebelah muka
surat kad ada tertulis sedikit ucapan mengalu-alukan kedatangan tetamu yang
bakal dijemput pada majlis kami nanti. Aku tunjukkan kad tersebut pada Nick.
Nick tersenyum berpuas hati dengan kad tersebut.
“Kad
ini dah macam kad raya dah saya tengok. Macam bentuk 3D saja hati ni. Kreatif
betul! Pandai pula ibu fikir nak buat macam mana kad jemputan kita ni.” Nick
menjongket bahu sambil bibirnya tak lepas dari tersenyum padaku. Aku turut
membalas senyumannya. Aku benar-benar bahagia melihat kad jemputan yang tertera
nama kami ini.
Aku
mengambil kembali kad jemputan itu dan membaca setiap ayat yang tertulis.
Mataku terhenti pada satu ayat di dalamnya. Mahu tersebul mata membaca
bait-bait ayat tu. Bukan ayat tetapi tarikh yang tercata di situ.
“Hah?
11.11.2011? Nikan..Nikan tarikh...”Tergagap-gagap aku mengungkapnya.
“Tarikh
lahir awak...Kan?” Mataku memandang tepat pada wajahnya. Entah kenapa rasa
terharu menyerbu hatiku. Perlahan-lahan aku mengangguk menjawab soalannya.
Mataku sudah mula berair menunggu saat nak tumpah sahaja. Wah! Aku benar terharu
dan terkejut dengan pemilihan tarikh itu. Aku tahu hari pernikahanku
berlangsung minggu depan tetapi tarikh bila bakal berlangsungnya aku tidak
tahu. Dan yang hanya aku tahu Nick sendiri yang tentukan tarikh pernikahan
kami. Aku benar-benar tidak menyangka yang dia akan memilih tarikh pernikahan
kami pada hari lahirku. Ya Allah! Begitu terharunya hati ini padanya. Terasa
melimpah kasih padanya. Syukur kerana dialah lelaki yang Allah takdirkan
untukku. Aku benar-benar bersyukur.
“Terima
kasih kerana memilih tarikh itu pada hari lahir saya.” Ucapku penuh ikhlas.
“Sama-sama.
Saya pun nak ucapkan terima kasih pada awak kerana lahir di dunia ini dan hadir
dalam hidup saya. Kelahiran awak dan juga hari pernikahan kita amat bermakna
bagi saya. Kerana wujudnya awak di dunia ini demi menemani diri saya sepanjang
kita berada di muka bumi Allah ini. Dan mungkin juga sampai ke syurga nanti.
Bukankah Allah wujudkan Hawa untuk Adam demi menemaninya yang kesunyian di
syurga dulu? Jadi, sekarang awak ada kerana saya ada. Dan saya ada kerana awak
ada. Saya benar-benar bertuah menemui Hawa yang tercipta untuk saya.” Hatiku
terasa kembang dan hangat saat ucapan itu diluah dari bibirnya. Air mata yang bertakung tadi hampir-hampir menintis namun
terbantut saat ibu datang mendekati kami. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang
dan menyeka mutiara jernih itu. Satu senyuma lebar terbit di bibir.
“Erkk...Ni
kenapa pula ini?” Soal ibu yang tercengang sebaik merasakan keheningan di
antara kami. Aku pantas berpaling menghadapnya dan pantas menggamit lengan ibu
keluar dari kedai itu agar ibu tidak saspek apa-apa. Di hujung mataku, aku
menangkap sorotan senyuman pada bibirnya. Pasti dia juga gembira melihatku yang
terharu hanya kerana ucapannya tadi.
HARI berganti hari. Siang berganti malam.
Sedar tak sedar tinggal 3 hari lagi hari pernikahanku menjelang. Aku juga sudah
berada di Kuala Lumpur untuk melihat persiapan di sana. Lagipun, majlis persadingan akan di adakan di
Miri dan juga di Kuala Lumpr dalam masa yang terdekat. Maklumlah, keluarga
Nickkan orang ternama.
Menjadi waris pemilik
salah sebuah syarikat pengusaha minyak yang terkemuka di Malaysia sudah tentu
akan menjadi topik hangat pada abad ini. Nak-nak lagi bakal suami aku tu lelaki
paling hangat daripada biasa. Pasti sahaja berita Nick yang akan melangsungkan
perkahwinan tak lama lagi akan mengejutkan bekas-bekas kekasih lamanya. Aku
mahu tergelak pula bila teringat akan perkara itu.
“Awak tak ada invite
mana-mana bekas kekasih awak ke?” Sengaja aku bertanya padanya tentang hal
berkenaan dengan bekas kekasihnya itu. Saja-saja je. Nak tengok macam mana
reaksi dia.
“Ada.” Wajahku berubah
langsung. Ada? Siapa? Aku menilik wajahnya tidak berpuas hati. Wajah Nick pula
kelihatan begitu selamba saja sambil menikmati hidangan tengah hari kami.
Setelah melihat persiapan di hotel tadi, kami terus makan tengah hari di situ.
Aku yang tadinya mengunyah makanan sudah terhenti dan meletakkan garpu dan sudu
di pinggan. Aku pandang wajah Nick bagai menagih jawapan daripadanya. Aku peluk
tubuhku kemas. Bibir juga sudah muncung macam itik.
Sekejap-kejap mata Nick
berkalih memandang wajahku tatkala dia perasan aku sudah berhenti makan. Dia
meneruskan juga suapannya tanpa menghirauku yang masih galak memerhati dirinya.
Aku mendengus kecil. Hatiku sudah mula mahu merajuk. Protes dengan sikapnya
yang langsung tidak mengendahkan perasaanku. Beberapa minit kemudian tangan
yang menyuap makanan ke dalam mulut mula berhenti. Sudu dan garpunya juga sudah
di letak ke bawah. Sekarang mata kami bertentangan. Aku menjongketkan kening
masih menanti kata-katanya.
“Ada seorang sahaja
daripada mereka yang saya ajak.” Akhirnya dia bersuara. Aku masih belum berpuas
hati dengan jawapannya itu.
“Siapa?” Soalku pendek.
“Awak juga kenal siapa
dia,” Aku semakin tak keruan apabila mendengar sebaris ayat itu. Makin mendekat
pula tubuhku pada meja. Mataku masih tak lepas dari memandang anak matanya.
“Siapa?” Soalku lagi.
Aish! Susah sangat ke nak beritahu siapa dia? Nick masih pula bermain teka-teki
denganku. Ni yang I nak marah ni, gumamku yang sudah mendongkol geram.
“Awak dah tak ingat
siapa orangnya? Takkan secepat itu awak dah lupakan kawan baru awak tu?” Aku
masih tidak memahami katanya. Wajahku sudah semakin cemberut dek kerenah Nick
yang masih tidak mahu berterus terang denganku. Aku menyandarkan tubuh pada
kerusi dan mataku sudah berkali ke tempat lain. Kalau hati sudah panas,
wajahnya pun aku tak mahu tengok. Buat sakit hati!
Beberapa saat kemudian
terdengar tawa dari bibirnya. Aku pantas mencerlung marah. Mahu saja aku angkat
kaki meninggalkannya di situ, tetapi ditahankan niat itu gara-gara ramai
pengunjung yang berada di restoran hotel itu. Aku kena jaga air muka tunangku
juga a.k.a bakal suamiku ini.
“Alah...Erry
ni...Cemburu jugak rupanya. Yang saya maksudkan tu ialah si Sofea. Takkan awak
dah lupa pasal dia kot? Diakan salah seorang daripada bekas kekasih saya.
Tetapi oleh kerana dia juga anak kepada rakan papa, jadi saya jemput dia dan
family dia sekali. Jadi, dialah bekas kekasih saya yang saya jemput. Yang lain
tu saya rasa tak perlu kot. Takut dia orang tu serang awak pula. Aiii...Tak
mahu saya kalau ada apa-apa terjadi pada awak.” Aku jadi malu sendiri bila dia
berkata begitu. Lambat-lambat bibirku mengulumkan senyuman padanya. Nasib baik
hanya Sofea. Kalau tidak, ada yang kena belasah kat atas pelamin nanti.
“Sayang...Saya nak ke
tandas dulu ya?” Pinta Nick setelah selesai menghabiskan hidangannya tadi. Aku
mengangguk tanda membenarkan dia berlalu ke tandas. Sambil menunggu mataku
beralih melihat sekeliling. Tiada apa-apa yang menarik pun. Cuma aku perasan
rata-ratanya orang yang berada di sini semuanya orang-orang berada.
Biasalah...Makan di hotel terkemuka ini untuk orang yang berkemampuan sahaja.
Terselit rasa kasihanku bila teringat
orang-orang yang tidak mampu memiliki hidangan sebegini. Orang-orang susah
pasti sahaja kelaparan. Kalaulah sedikit hidangan ini disedekahkan pada orang
yang tidak berkemampuan, pasti sahaja mereka akan melonjak kegembiraan.
Tiba-tiba fikiranku teringat pada rumah kebajikan orang tua milik Tok Idham
itu. Hah! Aku rasa aku nak buat satu majlis kesyukuran di situ. Dalam masa
yang sama aku mahu mengumpul sumbangan
daripada tetamu nanti bagi disumbangkan pada badan kebajikan yang
memerlukannya. Harap-harap Nick menyokong cadanganku itu.
Aku kembali melontarkan
pandangan di sekeliling. Mata yang leka memerhati sekeliling, tiba-tiba
terhenti pada sesusuk tubuh yang berdiri di luar cermin berdekatan dengan
mejaku. Lama aku memerhati gerangan itu. Nampak gayanya dia bukan berseorangan.
Dia berdua. Aku tertarik melihat kelakuan kedua-dua gerangan itu.
Tidak lama selepas itu,
salah seorang daripada mereka beredar meninggalkan gerangan yang aku kenali di
situ. Entah kenapa terbit rasa kasihan melihat wajah mendungnya setelah
ditinggalkan wanita tadi. Terasa simpati pada lelaki itu, aku mengambil telefon
bimbitku dan cuba mencari nama di dalam phone book. Apabila menjumpai nama yang
dicari, segera aku menekan skrin hijau dan telefon bimbit ditekapkan pada
telinga. Menunggu panggilan itu dijawab oleh lelaki itu sambil mata tak lepas
dari memandangnya.
Aku perhati tingkahnya
dari jauh dan aku lihat dia menyeluk tangan di dalam saku seluarnya.
Dikeluarkan telefon bimbit dan wajahnya ketara terkejut melihat nama yang
tertera di telefon bimbitnya. Lambat-lambat dia menjawab panggilan dan
kedengaran suaranya gugup sekali.
“He..hello?”
“Hello, Iz. Kau...Kau
tak apa-apa?” Aku ucap dengan tenang. Wajahnya nampak terkedu. Belum pun sempat
dia membalas pertanyaanku, aku sudah mencelah.
“Aku nampak kau dengan
Is bergaduh tadi. Are you okay?”
“Aa..Aku okey.
Kau...macam mana kau tahu yang aku...”
“Aku ada di dalam
restoran dekat hotel ini.” Aku pandang wajah Iz yang sudah pantas berpaling
mencari kelibatku. Akhirnya mata kami bertembung. Telefon bimbit masih melekap di
telinga, namun mata kami tetap bertentangan walau dipisah oleh cermin di hadapan.