Bab 17
SEBELAH
keningnya terangkat sebaik mendengar perkhabaran yang baru saja didengarinya
itu. Tidak lama selepas itu, bibirnya pula mula mengukir senyuman penuh makna.
“That is
an interesting story. Jadi, korang tengah follow dia sekarang?” soalnya mahukan
kepastian.
“Ya bos.
Sekarang ni kami tengah ikut dia dari belakang dekat highway nak menuju ke
Melaka. Dalam beberapa minit lagi, kita orang akan sampai ke Sungai Udang,”
terang salah seorang orang upahannya yang duduk di sebelah tempat duduk
penumpang. Rakannya di sebelah masih fokus mengikuti jejak kereta yang tidak
jauh beberapa meter di depan mereka.
Terluah
hilaian tawanya mendengar penjelasan lelaki itu.
“Good! Akhirnya, keluar juga perempuan itu
dari ‘kepompong’ si suami. Baru senang sikit kerja aku. Bagus, bagus. Sekarang,
kalau kau orang ikut seperti apa yang aku plan, aku akan naikkan upah kau,”
Bagai
tidak percaya, lelaki tersebut menjauhkan telefon bimbitnya dan direnungnya seketika.
Matanya terkebil-kebil sebaik mendengar kata-kata yang sangat digemarinya.
Sejurus itu, bibir lelaki itu mula mengukir senyum panjang.
“Apa
perlu kami buat bos?” Soalnya mahu tahu akan rancangan bosnya. Senyuman wanita
di sebalik talian semakin mekar.
“Aku nak
kau buat perempuan itu jadi gila balik. Kalau dia terus gila sampai dia mampus,
aku akan gandakan upah kau sebanyak 3 kali ganda,”
“Jadi,
apa rancangannya bos?”
HARDEE memberhentikan keretanya di kawasan parkir
berdekatan dengan tapak pembinaan. Dia perlu ke sana pagi itu untuk melawat
tapak pembinaan hotel barunya, sementelah dia mahu melihat sendiri progres
pembinaan hotel tersebut.
Matanya
berkalih ke sebelah. Seraut wajah yang masih tenang dibuai mimpi ditatapnya
lama. Anak rambut Aliniya yang mengganggu sepasang mata yang masih tertutup itu
diselaknya. Dia terpempan melihat keindahan wajah bujur sirih milik Aliniya.
Begitu cantik pada pandangan matanya. Tangannya hampir saja ingin mengusap
wajah wanita itu namun, niatnya terhenti sebaik merasakan ada getaran di poket
seluarnya. Lantas, dia mengeluarkan telefon bimbit pintar itu dan sebaris nama
terpampang pada skrin.
Tidak
mahu mengganggu tidur si isteri, Hardee pantas membuka daun pintu dan
melayangkan jari pada skrin telefon. Dia menjawab panggilan daripada jurutera
projek yang menguruskan pembinaan hotelnya itu. Dalam pada Hardee berbual di
talian, tangannya membuka pintu kereta di belakang ingin mengambil topi
keselamatan dan plan hotel untuk dibawa bersama ketika dia bertemu dengan
jurutera projek itu nanti.
Sebelum
beredar, Hardee kembali membuka pintu kereta pemandu dan membuka sedikit
tingkap untuk mengelak apa-apa kejadian yang bakal berlaku. Dek begitu banyak
kes kematian yang dilaporkan akibat terhidu gas monoksida dari penghawa dingin
kereta di kala enjin kereta masih tidak bertutup, menyebabkan Hardee mula
berwaspada. Sebaik selesai, Hardee pantas beredar ingin bertemu dengan jurutera
projek dan juga pekerjanya.
Tanpa
Hardee sedari, ada dua pasang mata yang masih setia melihat pergerakannya dari
jauh. Sebaik Hardee hilang dari pandangan mereka memandang tepat pada Aliniya
yang masih nyenyak tidur. Kedua-dua lelaki itu mengeluarkan topeng dari beg
kecil dan dipasangnya pada muka. Mereka mengeluarkan sesuatu dari beg tersebut.
Mata mereka kembali terarah pada wajah Aliniya. Melihat tiada sesiapapun di
sana, mereka berdua menarik nafas lega. Maka senanglah kerja mereka kali ini.
“Bro,
apa kita nak buat lepas ini?” Soal salah seorang lelaki tersebut pada rakannya.
“Sekarang,
kita tunggu sampai mangsa masuk ke dalam perangkap kita,” ujar lelaki itu
sambil tangannya mengisi beberapa butir peluru pada pistol yang dikeluarkannya
tadi.
Bagai
terngiang-ngiang namanya dipanggil, Aliniya tersentak lalu terbangun dari
tidur. Matanya sedikit silau dek cahaya matahari yang mengganggu
pemandangannya. Aliniya bengung tatkala melihat sekeliling.
“Aku kat
mana ni?” soalnya dengan suara yang sedikit serak. Matanya beralih pada kerusi
pemandu. Hardee sudah tiada di situ. Dalam beberapa minit kemudian barulah
Aliniya teringat akan di mana dia berada. Hardee ingin ke tapak pembinaan
terlebih dahulu sebelum ke tempat penginapan mereka nanti.
Aliniya
menggesek anak matanya mahu menghilangkan rasa kantuk. Matanya yang masih
meliar memandang sekeliling, tiba-tiba terpaku saat terpandangkan dua manusia
yang bertopeng tidak jauh darinya memegang sepucuk pistol. Pistol tersebut
benar-benar diacu pada arahnya. Aliniya mula kaget dan dadanya terasa begitu
berdebar. Dia benar-benar berasa takut dan mahu melarikan diri daripada dua
manusia bertopeng itu. Lantas, daun pintu kereta dibuka dan Aliniya laju meninggalkan
kereta tanpa menoleh ke belakang. Tanpa menghiraukan keselamatan diri tatkala
berada di kawasan tapak pembinaan, Aliniya berlari sekuat hati.
Melihat
Aliniya yang sudah melarikan diri, kedua-dua lelaki tadi pantas mengejar jejak
langkah gadis tersebut. Sepantas mungkin mereka mengejar wanita itu tidak mahu
rancangan mereka gagal untuk kali ini.
Aliniya
yang sudah ketakutan melarikan diri sehingga ke sebuah bangunan yang masih
belum siap sepenuhnya dan kakinya laju mendaki tangga bersimen.
Tercungap-cungap nafasnya dek berlari tanpa henti. Hampir-hampir kakinya
tersadung tangga, namun, dia menggagahkan diri mendaki tangga tersebut. Tanpa
berfikir apa-apa, Aliniya lari sehingga ke tingkat atas sekali.
Langkah
kakinya terhenti di saat tiada lagi jalan lain yang dapat dia lalui. Dada
berdegup pantas dan nafasnya tersekat-sekat sehingga membuatkan dia terbatuk.
Aliniya menarik nafas dalam dan berpaling ke belakang. Fikirnya lelaki tadi
sudah hilang, tetapi hatinya hampa. Kedua-dua lelaki itu masih tetap
mengikurinya sehingga ke sini. Aliniya buntu. Air matanya mula bergenang dan
laju saja air jernih itu mengalir ke pipi.
‘Ya
Allah. Tolong selamatkan aku. Apa patut aku buat sekarang?’ doa Aliniya tak
putus-putus di benak hatinya.
“Kau nak
lari mana ha? Ingat kita orang tak dapat kejar kau?” ujar salah seorang lelaki
yang bertopeng itu. Tubuh Aliniya menggeletar dan mulutnya seakan-akan terkunci.
Suaranya hilang entah ke mana. Hanya air mata saja yang banyak tumpah ke pipi.
Fikirannya mula teringat pada Hardee. Mana lelaki itu sekarang? Tahu ke lelaki
itu bahawa dia dalam bahaya sekarang? Sungguh! Hatinya benar-benar memerlukan
lelaki itu sekarang.
“Apa
boleh buat? Kau nak ikut kita orang ke atau kau sanggup lompat dari situ?”
seorang lagi lelaki bertopeng itu mula bersuara. Mendengar kata-kata lelaki
itu, Aliniya pantas berpaling semula ke belakang. Dari pandangannya, semuanya
kelihatan begitu kecil. Dia sendiri tidak pasti berapa tingkat bangunan
tersebut. Aliniya kembali melihat lelaki-lelaki tadi. Tidak lama selepas itu,
dia melihat semula ke bawah.
Sepintas
itu ada bayangan lalu terimbau di mindanya.
“You jangan macam ni. You tahu tak apa akan terjadi kalau
you bertindak bodoh macam ini?” Satu suara itu kedengaran begitu jelas pada
pendengarannya. Aliniya menoleh sekeliling.
“Memang
aku bodoh sebab kau! Aku bodoh sebab terlalu mencintai orang seperti kau,
Aliniya!” sekali lagi suara itu mengganggu pendengarannya. Aliniya takut. Dia
terduduk mencangkung dan kedua-dua tangannya menutup telinganya.
“To...
tolong,” sayup-sayup suaranya mula keluar. Pipinya basah lecun dek air mata.
Aliniya sekali lagi terdengar kata-kata tadi berulang kali. Aliniya benci
dengan bisikan-bisikan halus itu.
“Kau
kena ingat Niya. Aku benci kau. Tapi, aku tak tahu kenapa aku masih tak mampu
buangkan perasaan cinta ini. Sayang... Sayang ingatlah, I will always love you
no matter what you did to me. Jadi, sebab tulah... aku nak kau terseksa dengan
perbuatan kau.” Bisikan itu berkali-kali menganggunya. Aliniya menutup mata dan
kepalanya asyik digeleng.
“Tak.
Aku tak salah. Aku tak salah. Aku tak salah. Bukan salah aku,” ucap Aliniya
seakan-akan histeria.
“Bukan salah
aku,” Aliniya menekup mukanya pada lutut dan menangis dalam ketakutan.
“Bukan
salah aku!” Jerit Aliniya tanpa sedar.
“Niya!”
kejut satu suara seraya tangannya memegang kedua-dua bahu wanita itu. Aliniya
panggung kepala dan wajah Hardee hadir pada pandangannya.
“To...
tolong saya. Bukan salah saya. Bukan salah saya,” ucap Aliniya dalam tangisan
yang tak henti-henti. Aliniya pantas mendakap tubuh lelaki itu seeratnya. Dia
begitu takut dengan bayangan yang muncul tadi.
“Kau
kenapa Niya? Kenapa kau ada dekat sini?” soal Hardee hairan melihat wajah
Aliniya yang begitu cemas bersama air mata yang sudah lebur membasahi pipi
wanita itu.
Aliniya
yang teresak-esak masih belum menjawab soalan lelaki itu. Teringat bahawa tadi
dia dikejar oleh dua manusia bertopeng, Aliniya pantas merenggangkan pelukannya
dan mencari kelibat dua orang tadi. Dia kaget. Ke mana mereka tadi? Memang dia
pasti, dia dikejari dua orang lelaki bersama pistol di tangan mereka. Tetapi,
mengapa kelibat mereka tiada di sini?
“Ta...
tadi, dua orang. Pistol...”
“Kau
okey ke tak Niya?” Hardee pula berasa kaget. Takkanlah penyakit Aliniya
kembali? Dua orang? Siapa dua orang yang dimaksudkan oleh isterinya itu? Timbul
rasa risaunya.
“Ta...
tadi, le... laki, pistol...” belum pun habis kata-katanya, pandangan Aliniya
mula kabur. Mujur tubuh kecil itu disambut oleh Hardee.
“Ya
Allah! Niya!”