Sunday, May 22, 2016

Dosa Semalam bab 12

Bab 12

            “DIA... tak apa-apa kan, doktor? Penyakit gila dia takkan datang balik kan?” mendengar saja persoalan daripada Kak Bedah, Ema pantas saja menyiku sambil tajam anak matanya memandang perempuan itu. Kak Bedah memucungkan mulut dan kembali tersenyum pada lelaki tampan yang baru saja memeriksa keadaan isteri majikannya.
            ‘Tak sangka doktor gila pun kacak juga orang nya. Kalau macam itu, aku pun tak kisah jadi gila,’ sempat lagi hati kak Bedah berseloroh.
            Radhuan hanya tersenyum kecil dan menggeleng. Dia kembali memandang wajah pucat Aliniya yang masih lena tertidur. Dalam hatinya bersyukur bahawa tiada apa-apa yang terjadi pada wanita itu. Ini baru beberapa hari, macam-macam yang terjadi pada wanita itu. Terbit juga rasa risau pada Aliniya.
            “Tak ada yang teruk berlaku pada dia. Cuma dia perlu makan on time. Jangan biarkan dia tak makan. Selama saya menjaga Niya, dia memang mempunyai gastrik yang teruk. Boleh saya tanya. Kenapa dia tak makan sampai menyebabkan dia pengsan macam ni?” Soal Radhuan ingin mengetahui perkara sebenar.
            “Dia nak tunggu Tuan Hardee untuk makan sekali dengan dia. Kami dah suruh dia isikan perut tu dulu sementara tunggu Tuan Hardee balik dari kerja, tapi Puan Niya masih berdegil,” jelas kak Zah menerangkan hal sebenar. Dia tidak sangka yang Aliniya mempunyai gastrik yang teruk. Ingatkan penyakit lama isteri majikannya kembali, tetapi rupa-rupanya wanita itu tidak makan langsung semenjak petang semalam. Patutlah dia nampak makanan yang dimasak oleh Aliniya terbuang begitu saja di dalam tong sampah.
            “Habis itu, Encik Hardee tak balik ke rumah ke?”
            “Tuan Hardee balik malam tadi sebab kami nampak dia turun kerja pada waktu pagi tadi. Pasal apa yang terjadi malam semalam itu, kami tak tahu. Kita orang semua dah masuk tidur. Masa itu, Puan Niya tetap nak tunggu suami dia balik,” kali ini Ema pula yang menjawab soalan Radhuan. Dia pasti, ada sesuatu yang berlaku pada suami isteri itu. Mungkin ada pertelingkahan yang berlaku sehingga menyebabkan Aliniya tidak makan.
            Radhuan mengangguk setelah mendengar penjelasan daripada pembantu rumah Aliniya. Sebaik mendapat panggilan daripada salah seorang daripada mereka, laju saja dia datang ke rumah banglo itu. Dia juga terkejut mendengar Aliniya yang tiba-tiba pengsan. Dia berasa gusar kalau keadaan Aliniya menjadi teruk jika wanita itu kembali mengingati kisah-kisah lamanya. Namun, tebakannya itu tidak tepat sama sekali. Aliniya pengsan disebabkan tidak makan semalam.
            “Saya minta tolong dekat awak semua, lepas ini tolong jangan biarkan Puan Niya tak makan langsung. Dia ini kalau dah kena gastrik, memang boleh pengsan. Jadi, lepas ini awak beri dia makan bubur dan susu, ya?”
            “Baiklah doktor. Kami akan pastikan Puan Niya akan makan ikut masa,” kak Zah seakan berjanji dengan doktor yang merawat Aliniya itu. Nampak gayanya, doktor itu benar-benar mengambil berat akan keadaan Aliniya. Mungkin juga sebab Aliniya sudah di bawah jagaannya selama 6 tahun, menyebabkan lelaki itu benar-benar risau akan keadaan isteri majikannya itu.
            Anak mata Ema pantas memandang wajah Aliniya sebaik perasan kelopak mata wanita itu sudah terbuka.
            “Eh! Puan Niya dah sedar.” Teguran Ema menyebabkan semua anak mata terarah pada Aliniya. Aliniya cuba mencelikkan matanya sekali lagi. Kepalanya masih terasa berat, namun, digagahkan badannya untuk bangkit dari pembaringan. Radhuan membantu wanita itu untuk duduk dengan selesa. Hatinya sedikit terusik melihat wajah Aliniya yang tampak seperti sedikit mendung.
            “Apa dah jadi ini? Kenapa doktor Radhuan ada dekat sini?”


            “Puan pengsan tadi. Itu yang kami panggilkan doktor, takut ada apa-apa yang teruk jadi dekat Puan,” kak Zah menjawab pertanyaan Aliniya pula.
            “Takut jadi apa-apa yang teruk dari segi apa? Mental ke?” kak Zah menggigit bibir dan tertunduk dengan rasa serba salah. Aduh! Habislah kalau Aliniya marah gara-gara dia memanggil doktor Radhuan ke mari. Kak Bedah turut menunduk sebaik anak mata Aliniya memandang tepat pada wajahnya. Dia juga takut kalau selepas ini dia akan diapa-apakan oleh Aliniya. Manakalah Ema pula berlagak seperti biasa. Dia seperti sudah bersiap sedia dari awal lagi. Tidak kiralah kalau Aliniya sudah kembali mengingati segala kisah lamanya. Dia sudah sebati akan caci maki dari wanita itu.
            Apabila merasakan keadaan sekeliling yang begitu dingin, Radhuan berdeham ingin menarik perhatian Aliniya. Pantas, mata Aliniya memandang wajah lelaki di depannya itu. Hatinya sedikit terasa bila pembantu rumahnya memanggil doktor pesakit mental itu ke mari.
            “Emmm... Boleh bagi ruang untuk saya berbincang sedikit dengan Puan Niya?” Pinta Radhuan pada ketiga-tiga pembantu rumah itu. Mereka akur dan keluar dari bilik tersebut ingin membiarkan Radhuan bercakap dengan Aliniya. Mungkin perkara yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu melibatkan masalah kesihatan Aliniya yang mereka tidak perlu tahu. Mereka membiarkan pintu bilik sedikit terbuka agar tidak menimbulkan apa-apa fitnah.
            Radhuan memandang wajah Aliniya yang sedikit muram itu. Lalu, bibirnya mengukirkan senyuman ingin memujuk Aliniya. Dia sudah biasa dengan keadaan sebegitu. Sesiapapun tidak suka kalau mereka dicop sebagai orang gila walaupun hakikatnya mereka sudah sembuh sepenuhnya.
            “Jadi awak pun rasa yang saya ini masih bermasalah? Masih mental?” Jari telunjuk Aliniya berputar-putar seolah-seolah menunjukkan otaknya masih tidak betul. Tercetus gelak kecil dari Radhuan menyebabkan mata Aliniya membuntang luas.
            “Awak ejek saya?”

            “Bukan. Bukan macam itu,” Aliniya tarik mulut muncung. Radhuan berhenti gelak dan tersenyum melihat wajah Aliniya yang nampak seperti merajuk. Wajah wanita itu sama seperti ketika dia cuba memujuk Aliniya untuk berdiam diri agar tidak memberontak ingin keluar dari hospital dulu.
            “Saya gelak bila tengok ekspresi yang awak tunjuk dekat saya itu. Kelakar,” Aliniya menjeling tajam pada Radhuan dan memeluk tubuh. Matanya dialihkan ke tempat lain tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
            “Saya tahu awak terasa hati dengan mereka. Tapi, dia orang cuma risaukan keadaan awak je. Lagipun, awak baru je keluar dari hospital, jadi kalau jadi apa-apa pada awak, saya mesti kena tahu juga. Sekali tengok, saya dapat tahu yang awak pengsan sebab awak tak makan dari petang semalam. Haaa... Ini yang saya nak tahu juga,” sekarang giliran Radhuan pula yang memeluk tubuh dan matanya tepat memandang wajah Aliniya sebaik wanita itu memandang wajahnya juga.
            Aliniya telan liur dan menunduk. Dia teringat kembali tentang kejadian yang berlaku semalam. Dia langsung tidak makan gara-gara suaminya membuang semua makanan yang sudah dimasaknya petang itu. Dek rasa kecewa dan sedih, dia langsung tidak ke dapur mencari makanan lain. Dia cuma mahu terus tidur sebaik terasa perutnya begitu pedih mencucuk-cucuk.
            “Saya masih ada rekod tentang kesihatan awak, Niya. Awak memang mempunyai gastrik yang teruk. Awak tak boleh skip makan. Kalaupun tunggu suami balik rumah, awak kena isikan perut itu juga. Isikan perut tu dengan apa-apa je. Sedikit pun jadilah. Itu sudah memadai. Jangan biarkan kosong terus,” Aliniya sedikit terharu mendengar kata-kata Radhuan. Mungkin ada yang mendengarnya seakan-akan seperti bebelan tetapi bagi Aliniya, dia benar-benar terharu bila masih ada yang masih mengambil berat tentang dirinya.
            ‘Kalaulah dia juga risaukan aku sama seperti doktor Radhuan, alangkah baiknya,’ detik hati kecilnya.
            Terbit juga senyuman di bibir wanita itu. Cepat pula wanita itu terpujuk dengan kata-katanya. Dia turut membalas senyuman wanita itu.
            “Terima kasih sebab ambil berat pasal saya.”
            “Well, it is also my job as your personal doctor anyway,”
            “Ingat pesan saya. Jangan biarkan perut awak kosong, Niya. Isilah dengan apa-apa sekalipun. Janji ada, okey?” sambung Radhuan lagi.
            “Baiklah, doktor Radhuan. Saya yang menurut perintah,”
            “Haaa... good girl.” Masing-masing tergelak kecil.
Di sebalik pintu, gelak ketawa mereka menyebabkan sekeping hati terasa sedikit membahang. Giginya diketap kuat menahan satu perasaan aneh yang menyerang hati. Entah kenapa hatinya terasa begitu jelik melihat kemesraan yang terjalin di antara mereka berdua. Dia mendengus dan beredar tanpa disedari oleh sesiapapun.
Ema membawa dulang bersama bubur yang sudah dimasaknya untuk Aliniya. Sebaik keluar dari dapur, dia ternampak majikannya memintas tanpa sedar akan kehadirannya di situ. Dia mahu menegur tetapi tidak sempat tatkala laju saja langkah kaki majikannya melangkah keluar dari rumah. Ema hairan melihat Hardee yang terus beredar tanpa menegur sesiapa. Sejak bila lelaki itu datang, tiada siapapun sedar atau perasan. Malah, tidak pula dia dengar bunyi kereta lelaki itu. Ema hanya menjongket bahu dan menggeleng, lalu dia beredar ingin menghantarkan bubur kepada Aliniya.
            Langkah Ema terhenti sebaik mendengar tawa Aliniya yang kedengaran jelas dari luar bilik. Diam-diam Ema memerhati kelakuan Radhuan dan isteri majikannya itu. Mereka nampak begitu mesra sekali. Lantas, Emaa teringat akan sesuatu. Sudah lama dia tidak melihat wajah Aliniya yang seceria ini.
            ‘Mampu ke Puan Niya seceria sebegini selalu? Macam mana kalau dia ingat semula kisah silam dia. Masih ada lagi ke gelak tawa dari wanita itu nanti?’ Ema memikirkan tentang keadaan yang bakal Aliniya tempuhi jika satu hari nanti semuanya kembali seperti dulu.
            ‘Adakah Tuan Hardee marah bila tengok kemesraan dia orang?’ Soal Ema di hati bila teringat akan wajah Hardee yang dilihatnya tadi. Mata Ema kembali memandang wajah Aliniya dari sebalik pintu.

            ‘Apa yang bakal terjadi pada Puan Niya lepas ini?’