ZUHAIRIL
melepaskan pelukan dan wajahnya berubah serta-merta. Wajah yang tadinya mendung
sekarang berubah seperti marah. Alamak! Gunung berapi dah nak meletup sekali
lagi nampaknya. Alahai... Kenapalah dalam hidup berumah tangga sebegini, kami
masih juga mahu bertegang urat. Dahulu, semasa menjadi kekasih tetap juga
bergaduh macam anjing dan kucing. Sekarang, dah bergelar suami isteri pun masih
juga mahu bergaduh sebegini. Sudah semestinya aku berasa sangat penat setiap
kali memikirkan pergaduhan yang tercetus di antara kami.
“Siapa
suruh kau keluar, Fin? Aku dah suruh kau duduk saja dalam bilik. Kenapa degil?
Kau ni tak faham bahasa ke? Kau ingat dengan tinggalkan nota sahaja, kau boleh
senang-senang keluar seorang diri? Eh, Erfina... Ini bukan Malaysia. Ni
Thailand! Kau tahu tak bahaya kalau keluar tanpa ada teman di sini. Kau sendiri
nampak kan, ada saja kelab-kelab malam di tepi-tepi jalan. Kalau jadi apa-apa
dekat kau, siapa yang susah? Siapa yang kena jawab bila disoal dengan mak bapak
kau nanti? Siapa?!” Jerkah Zuhairil yang sudah mula naik angin. Nampak wajahnya
berubah merah. Bukan kerana terkena panas dek matahari, tetapi terkena hati
yang sudah panas menggelegak gara-gara tindakan aku. Entah kenapa, terbit rasa
bersalah padanya walaupun dalam hati mendongkol geram sebab dimarah sebegitu di
depan orang ramai. Mujurlah tiada siapa yang faham bahasa kami. Tetapi, kalau
tengok air muka Zuhairil sekarang, siapa yang tidak faham. Suami aku tengah
marah dan melepaskan letupan pada aku yang degil ini.
Dek rasa
ego yang menggunung, aku tetap membuat muka selamba sahaja. Aku peluk tubuh dan
sengaja buat-buat tidak dengar. Aku memusing tubuh menghadap laut. Tengok ombak
beralun menampar pantai lagi syok daripada tengok lelaki yang dah tukar jadi
Hulk di sebelah.
Tubuhku
kembali berpaling menghadap Zuhairil. Genggaman Zuhairil pada lengan ku terasa
begitu erat sehingga aku mengaduh sakit.
“Eh,
lepaslah! Sakit kau tahu tak?”
“Tahu
sakit. Sakit hati aku ni kau tak tahu ke? Aku tengah cakap dengan kau, selamba
saja kau berpaling dari aku?”
“Tengok
laut tu lagi bagus daripada dengar kau membebel!” Dengusku kasar dan segera aku
merentap lenganku daripada genggaman Zuhairil. Aku mengusap lenganku perlahan.
Memang sakit bila Zuhairil genggam aku dengan tenaga lelakinya. Ini boleh jadi
kes dera kalau dibiar begitu saja. Ada saja tohmahan yang aku lemparkan dalam
hati tentang suamiku ini. Aku menjeling Zuhairil tajam. Di sebelah, aku dapat
mendengar keluhan Zuhairil.
“Look!
Don’t do that again! Aku tak nak kau keluar seorang diri di negara orang. Kalau
apa-apa terjadi, aku juga yang akan disoal. Sekarang ini, kau adalah
tanggungjawab aku. Ibu dan ayah dah serahkan kau kepada aku dan kau adalah
amanah yang perlu aku jaga. Kau faham?” Walaupun suara Zuhairil sudah
mengendur, tetapi aku pasti perasaan marahnya tetap ada.
Setelah
masing-masing berdiam diri dan Zuhairil juga sudah berhenti membebel, aku
kembali memandang wajahnya. Sekarang, aku benar-benar penat untuk bertegang
urat dengannya. Aku mahu bulan madu ini memberi kenangan indah kepada kami. Ini
bukan bermaksud aku sudah menerima dirinya sebagai suami aku, tetapi hanya
untuk melepaskan tekanan dan stress setelah apa yang terjadi.
Aku
melepaskan keluhan kecil. “Macam nilah. Aku minta maaf sebab keluar tanpa
kebenaran kau. Tapi, aku sendiri dah beritahu kat kau dalam nota yang aku beri
tadi. Aku boleh jaga diri sendiri. Jadi, tak perlulah risau. Dan, aku pun dah
beritahu kat kau yang aku berada tak jauh dari hotel. Aku jalan dekat-dekat
sini pun sebab bosan tunggu kau kat bilik,”
“Yalah...
Tapi, takkan tak boleh tunggu? Aku pergi keluar dengan Encik Thong sebab nak
cari restoran halal. Sebab tu lambat. Kat sini memang susah nak cari makanan
halal. Jadi, aku sempat keluar cari periuk nasi. Boleh kita masak sendiri. Tak
perlulah nak mencari makanan di luar. Tapi, aku dah beli juga makanan untuk
kita.” Pintas Zuhairil dengan menunjuk bungkusan makanan di tangan.
Rupa-rupanya masa adengan peluk tadi, dia peluk aku dengan bungkusan makanan
sekali di tangan. Tak romantik betullah lelaki ni. Sempat lagi, hati mengutuk.
Teruk betul kau, Fin.
“Beli
kat mana ni? Betul-betul halal ke?” Aku ambil bungkusan dari tangannya dan
melihat satu bungkusan tomyam putih. Mak aihh.. Kecur liur. Perut pun kembali
berbunyi. Lapar! Aku lihat Zuhairil yang mengangguk laju.
“Aku
pergi ke Selatan Pattaya. Kat situ ada masjid, masjid Toatilla. Sempat juga
solat di situ. Kat situ ramai orang Islam, jadi tak perlu was-waslah kalau nak
beli makanan. Lagipun, kita pun ada bawa bekal dari Malaysia. Makanan dalam tin
tu takkan nak buang macam tu saja. Sebab tulah aku beli periuk nasi.” Sekarang
giliran aku pula yang mengangguk macam belatuk.
“Jomlah
makan. Aku sendiri belum makan lagi. Encik Thong dah makan sebelum hantar aku
balik,” seraya itu, aku terlihat Encik Thong tidak jauh dari kami. Dia
mengangkat tangan dan aku membalas senyumannya.
“Kau
lapar kan?” Soal Zuhairil dengan sebelah kening yang terangkat.
“Mestilah
lapar! Kau keluar lama sangat. Dahlah aku bosan duduk dalam bilik tu saja. Tu
yang keluar merayau. Nasib baiklah ada roti mentega kat atas meja. Aku sempat
rembat sebab nak isi perut aku yang dah bergendang bertalu-talu.” Rungutku
dengan mulut sudah mencebik. Tika itu, aku perasan mata Zuhairil yang memandang
aku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan. Pandangan itu pernah aku
lihat dahulu. Saat itu aku terkedu dan mata kami saling bertaut.
Kali ini
Zuhairil memandang aku dengan pandangan lembut sama seperti yang pernah dia
lakukan ketika di awal perkenalan kami. Masa itu dia yang baru aku kenali,
dengan rela hati ingin membantu aku untuk mengulangkaji subjek Industrial
management yang bagi aku sukar untuk difahami. Jadi, Zuhairillah menjadi mentor
dan membantu aku serba sedikit. Semasa sibuk mengulang kaji, tanpa kusangka
Zuhairil mencuri pandang ke arahku. Aku yang tersedar dan merasakan ada yang
melihat segera panggung kepala. Memang benar tekaanku. Zuhairil langsung tidak
melepaskan pandangannya dan masih setia menatap wajahku. Pandangannya yang lembut
membuatkan hatiku mula gundah-gelana. Siapa sangka, di situ bermulalah episod
cinta antara uda dan dara.
Tidak
mahu terus dibuai perasaan, aku segera berdeham. Aku perasan wajah Zuhairil
yang mula kemerahan. Aku menyembunyikan senyuman yang entah bila terbit.
“Aku dah
lapar sangat ni. Jadi, kita makan di sini sajalah, ya?” Pintaku pada Zuhairil.
Zuhairil hanya mengangguk diam. Kami mencari meja kayu berdekatan.
Semasa
menjamu selera, masing-masing hanya berdiam diri. Kami mengajak juga Encik
Thong untuk makan bersama. Tetapi dia menolak dengan lembut. Dia meminta diri
untuk pulang ke rumah.
“Tak
jauh ke balik ke Bangkok dari Pattaya?”
“Lebih
kurang 2 jam. Tetapi, Encik Thong dah biasa katanya.” Aku hanya mengangguk dan
melihat Encik Thong pergi meninggalkan kami. Selesai saja menjamu selera, aku
membersihkan tangan dengan air mineral yang dibeli oleh Zuhairil tadi.
Alhamdulillah.
Mataku
meliar ke sekeliling. Nampak gayanya tak lama lagi matahari akan terbenam. Wah!
Cantiknya pemandangan di Pattaya ketika matahari terbenam. Aku terleka seketika
memandang ciptaan Allah. Sungguh cantik dan menenangkan. Subhanallah. Bibirku
mengukir senyuman tanpa sedar.
Aku
tersentak bila merasakan genggaman di tangan. Aku toleh ke sebelah dan merenung
dalam ke anak mata Zuhairil.
“Can we just
endure this moment for a while?” Pinta Zuhairil lembut. Aku melepaskan nafas
yang kian menyesakkan. Sudahnya, aku biarkan saja Zuhairil menggenggam tanganku
erat.
“Kalaulah
kita kekal sebegini, pasti kita bahagia.” Kata-kata Zuhairil yang sedikit
berbisik sempat kudengar. Walau perlahan, tetapi jelas di telingaku. Mataku
mula berkaca. Fikiranku pula bercelaru. Di antara masa lalu dan sekarang. Aku
sendiri keliru dengan perasaan yang bermain di hati. Dengan sikap Zuhairil yang
sering berubah-ubah dan juga kejadian yang pernah terjadi di antara kami
membuatkan aku sukar untuk mempercayai dirinya.
Hatiku
berdetak di saat Zuhairil menarik tanganku dan dibawanya ke bibir. Dikucupnya
lembut tanganku dan digenggamnya erat.
“Buat
masa ini, boleh tak kalau kita lupakan masa lalu dan luangkan masa bersama
dengan damai semasa bulan madu kita ni?” Sekali lagi Zuhairil membuat
permintaan yang jelas membuat aku tersentak. Zuhairil memandang wajahku lama.
Sudahnya, aku hanya diam langsung tidak menjawab permintaannya. Aku biarkan
saja persoalan itu tergantung. Mungkin, buat masa ini biarlah kami sama-sama enjoy. Lupakan kisah lama buat seketika
dan berhenti bertegang urat. Itu yang aku putuskan buat masa ini. Dalam diam,
aku mahu menilainya. Kalau benar dia mahu berubah, baiklah kalau kita lihat
bagaimana perubahannya.
BALIK saja dari pantai, aku segera masuk ke dalam bilik
air. Patutlah sejak dari tadi perut aku meragam. Rupa-rupanya, bulan mula
mengambang. Nasib baiklah aku ada terfikir untuk membawa pad lebih. Ingatkan
nak solat jamak, tetapi terbantut dek ‘bendera jepun’.
Keluar
saja dari bilik air, aku terpempan melihat wajah Zuhairil yang sudah tercegat
di depanku. Sudahlah dia hanya bertuala tanpa baju. Aku jadi segan pula.
“Err...
Aku tak dapat solat. Baru saja tadi. Bulan datang menerpa,” Zuhairil menjongket
kening.
“Iya ke?
Aku baru ingat nak berseronok malam ni. Dah kena tahan niat tu dulu.” Aku
terlopong mendengar usikan Zuhairil. Wajah nakal Zuhairil sudah terlayar di
mata. Aku mendongkol geram. Dengan pantas, lengannya aku cubit.
“Aduh!
Garangnya bini aku ni. Mengalahkan serigala menyalak di kala bulan mengambang!”
Aku
ingin mengangkat tangan dan bersedia untuk mencubit lengan Zuhairil sekali
lagi. Namun, pantas saja dia masuk ke dalam bilik air dengan tawa yang masih
bersisa. Amboi! Suka kau menyakat aku. Mentang-mentang aku nak berdamai dengan
kau, suka-suka saja dia usik aku. Aii... Ni yang buat I geram.
Malas
melayan kerenah si suami, aku segera duduk di depan cermin dan mengambil sikat.
Dari bias cermin, aku dapat lihat Zuhairil yang baru keluar dari bilik air.
Melihat Zuhairil yang hanya bertuala saja membuat aku kembali berasa malu.
Segera aku menyikat rambut dan menumpukan sepenuh perhatian pada wajah sendiri.
“Kau
bersiap-siaplah. Kita keluar lepas aku solat ni.” Arah Zuhairil sebaik tubuhnya
dipasang baju. Aku mengangguk sahaja dan kembali menyikat rambut. Dalam masa
yang sama, aku terleka melihat suamiku yang sedang mengejarkan solat. Semacam
ada tarikan pula melihat dia ketika itu. Tanganku pula dari tadi masih menyikat
rambut.
“Dari
aku keluar dari bilik air sampai aku selesai solat. Kau masih tak bersiap-siap
juga? Lama benar kau sikat rambut.” Aku tersentak setelah ditegur Zuhairil.
Baru aku perasan bahawa Zuhairil sudah pun selesai bersolat. Aku menggigit
bibir. Dalam hati, tak sudah aku mengutuk diri sendiri atas kealpaan aku. Buat
malu aje.
Zuhairil
mendekati dan mengambil sikat dari tangan. Mataku merenung tajam padanya
melalui biasan cermin. Aku terkejut di saat tangannya menarik lembut rambutku
yang sudah panjang dan disikatnya dengan rapi. Diambilnya getah rambut aku yang
terletak di meja solek.
“Aku dah
biasa ikat rambut Hana. Mula-mula tu susah juga. Janggal rasanya nak ikat
rambut anak buah sendiri. Tapi, lama-lama terbiasa juga. Rambut Hana selalu
berserabut. Jadi, kadang-kadang kesian juga tengok dia tak selesa bila rambut
tak diikat.” Tangan Zuhairil dengan lincah mengikat rambutku dengan kemas.
Selesai
saja rambutku diikat, Zuhairil pantas mencium rambutku dari belakang.
“Dan aku
tetap suka bau rambut kau. Sentiasa wangi sahaja.” Aku tergamam dengan tindakan
pantasnya. Dadaku mula bergetar hebat apabila mata kami bertaut melalui cermin.
Zuhairil tersenyum lebar dan aku pula... Hati aku jadi tak tenteram dibuatnya.
Apa sudah jadi dengan hati aku sekarang ni?
“Emmm...
Aku tukar baju dululah.” Segera aku menjauhkan diri daripadanya. Aku mengambil
baju dress labuh yang sudah siap
bergantung di almari dan aku bawa masuk ke dalam bilik air. Aku mengunci pintu
bilik air dan memegang dada. Nafas sekali lagi kian tidak teratur. Dadaku mula
bergetar hebat. Ya Allah... Perasaan yang hadir ketika bersamanya tetap
mengganggu hidupku. Aduh hati... Usahlah kau begini. Jangan buat aku bertambah
keliru.
BEST..
ReplyDeletecian plak kat zuhairil...kena catu...hehe bendera naik berkibar...nasib ko lh ril...hehe
ReplyDelete