Tuesday, October 22, 2013

Cerita pendek part 8: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 14


            ZUHAIRIL melepaskan pelukan dan wajahnya berubah serta-merta. Wajah yang tadinya mendung sekarang berubah seperti marah. Alamak! Gunung berapi dah nak meletup sekali lagi nampaknya. Alahai... Kenapalah dalam hidup berumah tangga sebegini, kami masih juga mahu bertegang urat. Dahulu, semasa menjadi kekasih tetap juga bergaduh macam anjing dan kucing. Sekarang, dah bergelar suami isteri pun masih juga mahu bergaduh sebegini. Sudah semestinya aku berasa sangat penat setiap kali memikirkan pergaduhan yang tercetus di antara kami.
            “Siapa suruh kau keluar, Fin? Aku dah suruh kau duduk saja dalam bilik. Kenapa degil? Kau ni tak faham bahasa ke? Kau ingat dengan tinggalkan nota sahaja, kau boleh senang-senang keluar seorang diri? Eh, Erfina... Ini bukan Malaysia. Ni Thailand! Kau tahu tak bahaya kalau keluar tanpa ada teman di sini. Kau sendiri nampak kan, ada saja kelab-kelab malam di tepi-tepi jalan. Kalau jadi apa-apa dekat kau, siapa yang susah? Siapa yang kena jawab bila disoal dengan mak bapak kau nanti? Siapa?!” Jerkah Zuhairil yang sudah mula naik angin. Nampak wajahnya berubah merah. Bukan kerana terkena panas dek matahari, tetapi terkena hati yang sudah panas menggelegak gara-gara tindakan aku. Entah kenapa, terbit rasa bersalah padanya walaupun dalam hati mendongkol geram sebab dimarah sebegitu di depan orang ramai. Mujurlah tiada siapa yang faham bahasa kami. Tetapi, kalau tengok air muka Zuhairil sekarang, siapa yang tidak faham. Suami aku tengah marah dan melepaskan letupan pada aku yang degil ini.
            Dek rasa ego yang menggunung, aku tetap membuat muka selamba sahaja. Aku peluk tubuh dan sengaja buat-buat tidak dengar. Aku memusing tubuh menghadap laut. Tengok ombak beralun menampar pantai lagi syok daripada tengok lelaki yang dah tukar jadi Hulk di sebelah.
            Tubuhku kembali berpaling menghadap Zuhairil. Genggaman Zuhairil pada lengan ku terasa begitu erat sehingga aku mengaduh sakit.
            “Eh, lepaslah! Sakit kau tahu tak?”
            “Tahu sakit. Sakit hati aku ni kau tak tahu ke? Aku tengah cakap dengan kau, selamba saja kau berpaling dari aku?”
            “Tengok laut tu lagi bagus daripada dengar kau membebel!” Dengusku kasar dan segera aku merentap lenganku daripada genggaman Zuhairil. Aku mengusap lenganku perlahan. Memang sakit bila Zuhairil genggam aku dengan tenaga lelakinya. Ini boleh jadi kes dera kalau dibiar begitu saja. Ada saja tohmahan yang aku lemparkan dalam hati tentang suamiku ini. Aku menjeling Zuhairil tajam. Di sebelah, aku dapat mendengar keluhan Zuhairil.
            “Look! Don’t do that again! Aku tak nak kau keluar seorang diri di negara orang. Kalau apa-apa terjadi, aku juga yang akan disoal. Sekarang ini, kau adalah tanggungjawab aku. Ibu dan ayah dah serahkan kau kepada aku dan kau adalah amanah yang perlu aku jaga. Kau faham?” Walaupun suara Zuhairil sudah mengendur, tetapi aku pasti perasaan marahnya tetap ada.
            Setelah masing-masing berdiam diri dan Zuhairil juga sudah berhenti membebel, aku kembali memandang wajahnya. Sekarang, aku benar-benar penat untuk bertegang urat dengannya. Aku mahu bulan madu ini memberi kenangan indah kepada kami. Ini bukan bermaksud aku sudah menerima dirinya sebagai suami aku, tetapi hanya untuk melepaskan tekanan dan stress setelah apa yang terjadi.
            Aku melepaskan keluhan kecil. “Macam nilah. Aku minta maaf sebab keluar tanpa kebenaran kau. Tapi, aku sendiri dah beritahu kat kau dalam nota yang aku beri tadi. Aku boleh jaga diri sendiri. Jadi, tak perlulah risau. Dan, aku pun dah beritahu kat kau yang aku berada tak jauh dari hotel. Aku jalan dekat-dekat sini pun sebab bosan tunggu kau kat bilik,”
            “Yalah... Tapi, takkan tak boleh tunggu? Aku pergi keluar dengan Encik Thong sebab nak cari restoran halal. Sebab tu lambat. Kat sini memang susah nak cari makanan halal. Jadi, aku sempat keluar cari periuk nasi. Boleh kita masak sendiri. Tak perlulah nak mencari makanan di luar. Tapi, aku dah beli juga makanan untuk kita.” Pintas Zuhairil dengan menunjuk bungkusan makanan di tangan. Rupa-rupanya masa adengan peluk tadi, dia peluk aku dengan bungkusan makanan sekali di tangan. Tak romantik betullah lelaki ni. Sempat lagi, hati mengutuk. Teruk betul kau, Fin.
            “Beli kat mana ni? Betul-betul halal ke?” Aku ambil bungkusan dari tangannya dan melihat satu bungkusan tomyam putih. Mak aihh.. Kecur liur. Perut pun kembali berbunyi. Lapar! Aku lihat Zuhairil yang mengangguk laju.
            “Aku pergi ke Selatan Pattaya. Kat situ ada masjid, masjid Toatilla. Sempat juga solat di situ. Kat situ ramai orang Islam, jadi tak perlu was-waslah kalau nak beli makanan. Lagipun, kita pun ada bawa bekal dari Malaysia. Makanan dalam tin tu takkan nak buang macam tu saja. Sebab tulah aku beli periuk nasi.” Sekarang giliran aku pula yang mengangguk macam belatuk.
            “Jomlah makan. Aku sendiri belum makan lagi. Encik Thong dah makan sebelum hantar aku balik,” seraya itu, aku terlihat Encik Thong tidak jauh dari kami. Dia mengangkat tangan dan aku membalas senyumannya.
            “Kau lapar kan?” Soal Zuhairil dengan sebelah kening yang terangkat.
            “Mestilah lapar! Kau keluar lama sangat. Dahlah aku bosan duduk dalam bilik tu saja. Tu yang keluar merayau. Nasib baiklah ada roti mentega kat atas meja. Aku sempat rembat sebab nak isi perut aku yang dah bergendang bertalu-talu.” Rungutku dengan mulut sudah mencebik. Tika itu, aku perasan mata Zuhairil yang memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan. Pandangan itu pernah aku lihat dahulu. Saat itu aku terkedu dan mata kami saling bertaut.
            Kali ini Zuhairil memandang aku dengan pandangan lembut sama seperti yang pernah dia lakukan ketika di awal perkenalan kami. Masa itu dia yang baru aku kenali, dengan rela hati ingin membantu aku untuk mengulangkaji subjek Industrial management yang bagi aku sukar untuk difahami. Jadi, Zuhairillah menjadi mentor dan membantu aku serba sedikit. Semasa sibuk mengulang kaji, tanpa kusangka Zuhairil mencuri pandang ke arahku. Aku yang tersedar dan merasakan ada yang melihat segera panggung kepala. Memang benar tekaanku. Zuhairil langsung tidak melepaskan pandangannya dan masih setia menatap wajahku. Pandangannya yang lembut membuatkan hatiku mula gundah-gelana. Siapa sangka, di situ bermulalah episod cinta antara uda dan dara.
            Tidak mahu terus dibuai perasaan, aku segera berdeham. Aku perasan wajah Zuhairil yang mula kemerahan. Aku menyembunyikan senyuman yang entah bila terbit.
            “Aku dah lapar sangat ni. Jadi, kita makan di sini sajalah, ya?” Pintaku pada Zuhairil. Zuhairil hanya mengangguk diam. Kami mencari meja kayu berdekatan.
            Semasa menjamu selera, masing-masing hanya berdiam diri. Kami mengajak juga Encik Thong untuk makan bersama. Tetapi dia menolak dengan lembut. Dia meminta diri untuk pulang ke rumah.
            “Tak jauh ke balik ke Bangkok dari Pattaya?”
            “Lebih kurang 2 jam. Tetapi, Encik Thong dah biasa katanya.” Aku hanya mengangguk dan melihat Encik Thong pergi meninggalkan kami. Selesai saja menjamu selera, aku membersihkan tangan dengan air mineral yang dibeli oleh Zuhairil tadi. Alhamdulillah.
            Mataku meliar ke sekeliling. Nampak gayanya tak lama lagi matahari akan terbenam. Wah! Cantiknya pemandangan di Pattaya ketika matahari terbenam. Aku terleka seketika memandang ciptaan Allah. Sungguh cantik dan menenangkan. Subhanallah. Bibirku mengukir senyuman tanpa sedar.
            Aku tersentak bila merasakan genggaman di tangan. Aku toleh ke sebelah dan merenung dalam ke anak mata Zuhairil.
            “Can we just endure this moment for a while?” Pinta Zuhairil lembut. Aku melepaskan nafas yang kian menyesakkan. Sudahnya, aku biarkan saja Zuhairil menggenggam tanganku erat.
            “Kalaulah kita kekal sebegini, pasti kita bahagia.” Kata-kata Zuhairil yang sedikit berbisik sempat kudengar. Walau perlahan, tetapi jelas di telingaku. Mataku mula berkaca. Fikiranku pula bercelaru. Di antara masa lalu dan sekarang. Aku sendiri keliru dengan perasaan yang bermain di hati. Dengan sikap Zuhairil yang sering berubah-ubah dan juga kejadian yang pernah terjadi di antara kami membuatkan aku sukar untuk mempercayai dirinya.
            Hatiku berdetak di saat Zuhairil menarik tanganku dan dibawanya ke bibir. Dikucupnya lembut tanganku dan digenggamnya erat.
            “Buat masa ini, boleh tak kalau kita lupakan masa lalu dan luangkan masa bersama dengan damai semasa bulan madu kita ni?” Sekali lagi Zuhairil membuat permintaan yang jelas membuat aku tersentak. Zuhairil memandang wajahku lama. Sudahnya, aku hanya diam langsung tidak menjawab permintaannya. Aku biarkan saja persoalan itu tergantung. Mungkin, buat masa ini biarlah kami sama-sama enjoy. Lupakan kisah lama buat seketika dan berhenti bertegang urat. Itu yang aku putuskan buat masa ini. Dalam diam, aku mahu menilainya. Kalau benar dia mahu berubah, baiklah kalau kita lihat bagaimana perubahannya.


BALIK saja dari pantai, aku segera masuk ke dalam bilik air. Patutlah sejak dari tadi perut aku meragam. Rupa-rupanya, bulan mula mengambang. Nasib baiklah aku ada terfikir untuk membawa pad lebih. Ingatkan nak solat jamak, tetapi terbantut dek ‘bendera jepun’.
            Keluar saja dari bilik air, aku terpempan melihat wajah Zuhairil yang sudah tercegat di depanku. Sudahlah dia hanya bertuala tanpa baju. Aku jadi segan pula.
            “Err... Aku tak dapat solat. Baru saja tadi. Bulan datang menerpa,” Zuhairil menjongket kening.
            “Iya ke? Aku baru ingat nak berseronok malam ni. Dah kena tahan niat tu dulu.” Aku terlopong mendengar usikan Zuhairil. Wajah nakal Zuhairil sudah terlayar di mata. Aku mendongkol geram. Dengan pantas, lengannya aku cubit.
            “Aduh! Garangnya bini aku ni. Mengalahkan serigala menyalak di kala bulan mengambang!”
            Aku ingin mengangkat tangan dan bersedia untuk mencubit lengan Zuhairil sekali lagi. Namun, pantas saja dia masuk ke dalam bilik air dengan tawa yang masih bersisa. Amboi! Suka kau menyakat aku. Mentang-mentang aku nak berdamai dengan kau, suka-suka saja dia usik aku. Aii... Ni yang buat I geram.
            Malas melayan kerenah si suami, aku segera duduk di depan cermin dan mengambil sikat. Dari bias cermin, aku dapat lihat Zuhairil yang baru keluar dari bilik air. Melihat Zuhairil yang hanya bertuala saja membuat aku kembali berasa malu. Segera aku menyikat rambut dan menumpukan sepenuh perhatian pada wajah sendiri.
            “Kau bersiap-siaplah. Kita keluar lepas aku solat ni.” Arah Zuhairil sebaik tubuhnya dipasang baju. Aku mengangguk sahaja dan kembali menyikat rambut. Dalam masa yang sama, aku terleka melihat suamiku yang sedang mengejarkan solat. Semacam ada tarikan pula melihat dia ketika itu. Tanganku pula dari tadi masih menyikat rambut.
            “Dari aku keluar dari bilik air sampai aku selesai solat. Kau masih tak bersiap-siap juga? Lama benar kau sikat rambut.” Aku tersentak setelah ditegur Zuhairil. Baru aku perasan bahawa Zuhairil sudah pun selesai bersolat. Aku menggigit bibir. Dalam hati, tak sudah aku mengutuk diri sendiri atas kealpaan aku. Buat malu aje.
            Zuhairil mendekati dan mengambil sikat dari tangan. Mataku merenung tajam padanya melalui biasan cermin. Aku terkejut di saat tangannya menarik lembut rambutku yang sudah panjang dan disikatnya dengan rapi. Diambilnya getah rambut aku yang terletak di meja solek.
            “Aku dah biasa ikat rambut Hana. Mula-mula tu susah juga. Janggal rasanya nak ikat rambut anak buah sendiri. Tapi, lama-lama terbiasa juga. Rambut Hana selalu berserabut. Jadi, kadang-kadang kesian juga tengok dia tak selesa bila rambut tak diikat.” Tangan Zuhairil dengan lincah mengikat rambutku dengan kemas.
            Selesai saja rambutku diikat, Zuhairil pantas mencium rambutku dari belakang.
            “Dan aku tetap suka bau rambut kau. Sentiasa wangi sahaja.” Aku tergamam dengan tindakan pantasnya. Dadaku mula bergetar hebat apabila mata kami bertaut melalui cermin. Zuhairil tersenyum lebar dan aku pula... Hati aku jadi tak tenteram dibuatnya. Apa sudah jadi dengan hati aku sekarang ni?

            “Emmm... Aku tukar baju dululah.” Segera aku menjauhkan diri daripadanya. Aku mengambil baju dress labuh yang sudah siap bergantung di almari dan aku bawa masuk ke dalam bilik air. Aku mengunci pintu bilik air dan memegang dada. Nafas sekali lagi kian tidak teratur. Dadaku mula bergetar hebat. Ya Allah... Perasaan yang hadir ketika bersamanya tetap mengganggu hidupku. Aduh hati... Usahlah kau begini. Jangan buat aku bertambah keliru.