Thursday, November 7, 2013

Cerita pendek part 9: Tiada Sangkaan Cinta


Chap 15


            AKU mengenakan tudung berwarna peach bersama dress labuh yang berwarna peach lembut juga. Wajahku disolek nipis dan bibir pula aku oleskan dengan lip gloss supaya nampak tidak terlalu pucat. Seringkali ada yang menegur wajahku yang tampak sedikit pucat kalau tidak menggunakan apa-apa make-up pun. Maklumlah, kulitku berwarna kuning langsat. Jauh bezanya dengan warna kulit suamiku yang sedikit putih kemerahan.
            Sebelum keluar bilik, aku kembali membelek wajah.
            “Dah lawa dah tu. Tak perlu nak bergaya sangat. Simple is nice. Cuba tengok aku ni,” sempat lagi si Zuhairil berposing di depan aku. Dengan hanya berbaju T berwarna kelabu dengan seluar pendek paras bawah lutu, sememangnya gaya suamiku lagi santai berbanding aku. Aku mencebik dan pantas saja tanganku mengambil beg tangan di meja solek.
            “Jomlah! Kalau lewat sangat, nanti ada-ada saja kupu-kupu malam yang mengganggu ketenteraman awam,”
            “Kenapa? Kau takut ke? Aku kan ada?” Seloroh Zuhairil yang tersenyum lebar. Pintu bilik ditarik dan kunci bilik diserahkan kepada aku.
            “Kau kena ingat sikit. Kupu-kupu malam tu lebih suka tetamu yang berjantina lelaki berbanding perempuan.” Balasku pula.
            “So, maksudnya kau risaulah suami kau ni kena goda dengan kupu-kupu malam tu ya?” Aku tersentak mendengar pertanyaannya. Mata Zuhairil masih galak memandang wajahku. Bibirnya sudah semestinya tersenyum sungging. Pasti saja hati lelaki ini girang dek mengenakan aku. Aku menjeling saja padanya dan meninggalkan Zuhairil ingin ke lif.
            Belum pun sempat kaki ingin melangkah, terasa lenganku dipaut dari belakang. Aku berpaling memandang wajah Zuhairil. Aku menjongket kening sebelah dek rasa hairan.
            “Betul tak apa yang aku cakap tadi? Sebenarnya dalam hati kau tetap ada rasa risau tentang aku, bukan?” Hatiku mula bergetar hebat. Betul ke aku risau akan dia? Aku sendiri tidak pasti. Tetapi, selagi dia yang bergelar seorang suami, tak salah kalau aku risaukan tentangnya. Ah! Suka hatilah.
            Melihat aku yang masih berdiam tidak menjawab soalannya, Zuhairil melepaskan pautan di lenganku dan beralih pula dengan menggenggam kemas tanganku.
            “Don’t worry, sayang. I will always stay besides you. Kalau jadi apa-apa, aku akan bawa kau lari.” Zuhairil tersenyum lagi. Aku pula terkesima melihat senyumannya yang aku kira ikhlas. Kami melangkah bersama menunggu lif yang masih belum tiba.
            “Ermmm... Kita nak ke mana sebenarnya?”
            “Kita jalan-jalan tengok permandangan malam di Pattaya ni. Kalau kau nak beli barang-barang cenderamata untuk sauudara-mara pun boleh.”
            “Tapi, awal malam macam gini pun kupu-kupu malam tu ada tau. Aku ngeri bila ingat balik masa dekat Bangkok dulu.”
            “Kan aku cakap tadi. Aku kan ada. Jangan risau. Kita cari tempat yang aman sikit. Sekejap saja. Nak tengok macam mana keadaan Pattaya masa malam. Lepas beli barang-barang, kita balik okey?” Mendengar plan suamiku itu membuat aku berfikir sejenak.
            “Okey, kalau macam tu kita balik pukul 9.30. Boleh?”
            “Eh? Awal sangat tu. Sayang nak kita duduk berdua dalam bilik awal-awal buat apa?” Aku sudah menjegil melihat senyuman nakal Zuhairil. Secepat kilat lengannya aku cubit. Dia mengaduh sakit.
            “Okey-okey. Tak kacau lagi dah. Nak bergurau pun tak boleh,”
            “Ehemmm... Bergurau tu kena berpada-pada. Jangan nak menggatal masa bulan tengah mengambang. Ada yang terkena tempias nanti kang.” Aku memberi amaran kepada Zuhairil mengingatkannya tentang keadaan aku sekarang. Kalau sudah period, mood aku senang saja nak swing. Ada saja yang tak kena dalam hati. Emosi terganggu.
            “Baiklah, isteriku.”



KAMI berjalan menyusuri pantai pada waktu malam. Mendengar saja bunyi ombak, hatiku sedikit tenang. Namun, hati tetap juga berdebar-debar dek berdua bersama dengannya walaupun hakikatnya, kami dikelilingi oleh orang ramai.
            Mataku menoleh pula ke sebelah. Nampak Zuhairil yang diam sahaja membuatkan hatiku berasa tak senang. Haish! Kalau bising tak suka, kalau dia diam pula tak kena. Apa kena dengan aku ni?
            “Emmm... Kita nak buat apa lepas ni? Barang pun dah beli, kedai pun dah singgah. Jam pula...” Pantas saja aku lihat jam dipergelangan tangan.
            “Jam pun dah pukul 10.30 malam. Kita tak nak balik ke?” Aku kembali menyambung kata sambil mata masih setia menatap wajahnya. Zuhairil hanya tersenyum kecil dan masih diam tidak bersuara. Aku keluh lemah. Lelaki ni bukanlah bisu atau pekak, tetapi dia tetap buat macam orang kurang upaya saja. Geram!
            Dek tak tahan dengan kebisuannya, aku pantas menarik tangan Zuhairil yang berjalan sedikit ke hadapan daripada aku. Aku lihat wajah Zuhairil seakan-akan tergamam. Matanya pula tepat memandang wajahku.
            “Kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Buat-buat tak dengar pulak. Penat tau tak cakap dengan orang yang berlakon macam kurang upaya,”
            “Kalau ya pun sayang sebenarnya nak pegang tangan abang, tak perlulah nak buat alasan lain pulak.” Aku pula yang tergamam apabila tanganku dialihnya dan Zuhairil mula memegang erat tanganku. Aku terlopong dengan tindakannya dan cuba untuk menarik tanganku kembali.
            “Ril, apa ni? Aku tak sukalah.” Rungutku sambil tangan terkial-kial minta dilepaskan. Namun usahaku tidak berhasil apabila Zuhairil semakin mengeratkan lagi tautan dan tanganku ditarik sehingga menyebabkan tubuhku terdorong ke depan, dekat pada tubuhnya. Aku terkedu.
            “Can we be like this for just this moment, please?” Pintanya dengan lembut. Suara Zuhairil ternyata membuatkan hatiku menjadi tak keruan. Suaranya yang kedengaran sedikit romantis, membuatkan aku terdiam dan membiarkan saja tanganku digenggamnya kemas. Malah, mata yang sebelum ini langsung tidak pernah mahu memandangku dengan pandangan lembut sebegitu menyebabkan aku bertambah hairan.
            Kami kembali menyambung langkah dengan berpimpin tangan.
            “Dulu, kalau kita keluar selalu pegang tangan macam ni. Masa tu belum kahwin lagi tapi dah macam pasangan bahagia. Bila dah kahwin sekarang, kenapa kita tak buat pula macam dulu sedangkan sekarang lagi elok kita macam ni dan yang paling penting, kita mampu buat pahala bila masing-masing dah halal?”
            Mendengar soalan yang terluah dari bibirnya, aku langsung terdiam. Aku telan liur. Rasa tidak mahu menjawab soalannya itu. Langkah kami terhenti dan Zuhairil pantas melepaskan tanganku. Tangannya beralih memegang bahuku dan perlahan-lahan tubuhku ditarik ke dalam pelukannya. Mataku membulat tatkala dengan selambanya dia memelukku di hadapan orang ramai.
            “Ril, kau buat apa ni? Kau tak malu ke peluk depan orang?” Bisikku pada cuping telinganya. Mukaku pula sudah terasa bahang panas.
            “Kita bukan di Malaysia, sayang. Orang pun tak hairan kalau tengok kita berpeluk macam ni. Lagipun, kau dah sah jadi isteri aku. Sukahati akulah nak buat apa.” Kini, bukan mata saja yang terbuntang, malah mulut aku pun sudah terlopong luas.
            Aku berusaha pula melepaskan pelukan tetapi aku tetap kalah dengan kekuatannya.
            “I told you before, can we be like this just for this time? Lepas ni, aku tak buat dah,” sudahnya, hanya keluhan saja yang terluah. Aku jadi janggal apabila dipeluk sebegitu. Perlu ke aku membalas pelukannya? Hati aku pula tak sudah bergetar bagai menginginkan layanannya sebegitu. What happend to me? Di mana perginya Erfina Alya yang membenci lelaki yang bernama Zuhairil Zainurdin dulu? Kenapa seringkali aku cuba menyangkal, tetapi perubahan sikapnya pula yang menonjol tidak seperti dulu? Aku kian terbuai dengan layanannya, namun pantas saja aku menangkas dan cuba berdeham.
            “Ril, aku penat. Nak balik. Esok pula kita kena bangun awal. Nak pergi ke tempat lain. Jadi boleh tak kalau kita balik sekarang?” Ujarku dengan suara perlahan.
            “Oo... okey. Maaf sebab terlalai pula. Rasa rindu sangat dekat kau sebab tu aku rasa nak peluk.” Luahannya membuatkan aku tersentak. Aku menjongket kening sebelah. Rindu?
            “Rindu? Aku dah ada depan mata kau nak rindu buat apa? Tak perlu nak berdrama sangatlah...” Tiba-tiba, Zuhairil tergelak kecil.
            “Luculah. Dulu aku juga yang selalu cakap kat kau supaya jangan berdrama sangat. Sekarang, terkena pulak kat batang hidung aku yang mancung ni.” Aku mencebik dengan pujian untuk dirinya sendiri. Mancunglah sangat!
            “Dahlah! Aku nak balik. Jom!”
            Dalam perjalanan ke hotel semula, kami terpaksa melalui beberapa buah kelab dan bar terbuka. Aku jadi takut dan tanpa sedar, aku telah menggenggam lengan Zuhairil dan memeluk lengannya. Aku perasan akan pandangan Zuhairil yang sedang tersenyum kecil.
            Pelayan-pelayan bar sudah mula merapati kami dan menegur Zuhairil, siap bersiul lagi bagi mendapatkan perhatiannya. Wajah menggoda setiap pelayan membuatkan hati jadi gentar dan gelisah. Aku sedikit terkejut tatkala Zuhairil melepaskan tanganku dari lengannya dan tubuhku pula dipeluknya erat. Aku dongak memandang wajah Zuhairil dengan wajah yang sedikit bengung.
            “Tadikan aku dah cakap. I will always stay by your side. Dont worry.” Sedikit sebanyak kata-katanya membuatkan hatiku sedikit lega dan terharu. Kami kekal sebegini sehinggalah sampai ke hotel.

Chap 16

            PELBAGAI tempat sudah kami lawati dalam masa sehari. Walaupun kesuntukan masa, tetapi sedikit sebanyak pengalaman berbulan madu di Pattaya bersama Zuhairil tak dapat aku lupakan.
            Kami sempat melawat Muzium Repley’s Believe It Or Not, underwater park dan tak lupa juga bermain dengan gajah. Pergi ke underwater park pun, aku tak mungkin dapat ikut mandi lebih-lebih lagi semasa ‘bulan mengambang’. Kalau tidak, sudah lama aku redah air kolam di sana dan bermain air. Tapi, dah tak ada rezeki, aku hanya mampu melihat Zuhairil yang meluangkan masa bermain di sana walaupun sekejap. Muzium itu pula kami lewati pada sebelah malam. Sudahnya kami balik dengan badan yang letih dan penat.
            Balik saja ke bilik, Zuhairil sudah masuk ke dalam bilik air ingin membersihkan diri. Walaupun sudah mandi sebelum ke Muzium Repley’s Believe It Or Not tadi, tetapi katanya badan tetap melekit. Aku pula menunggu giliran untuk masuk ke bilik air. Sambil menunggu aku membuka televisyen dan melihat cerita Thailand yang disiarkan. Melihat pelakon Thailand itu, aku sudah kenal siapa. Pelakon popular dari negara Thaiand, Mario Maurer merupakan salah seorang artis luar negara kegemaranku. Cerita yang disiarkan juga sudah aku lihat melalui internet. Suddenly It’s Magic. Cerita romantik komedi yang mengisahkan seorang gadis yang berasal dari Filipina jatuh cinta dengan artis dari Thailand. Ceritanya sangat menarik dan sudah pastinya sangat romantik.
            Walaupun di Thailand, cerita yang ditayangkan tidak mempunyai sarikata bahasa Inggeris, tetapi oleh kerana aku sudah melihat cerita ini sebelum ini, sedikit sebanyak aku boleh faham jalan ceritanya. Terleka melihat cerita yang ditayangkan, tanpa kusedar Zuhairil sudah menghadiahkan satu kucupan di dahiku. Aku tersentak dan pantas saja tanganku melekap pada dahi. Mataku pula sudah terbuntang memandang wajahnya yang tersengih-sengih macam orang tak bersalah.
            “Fokus betul kau tengok pelakon lelaki tu ek? Suami sendiri tak nak pula kau tenung macam tu,” seloroh Zuhairil yang sedang mengeringkan rambutnya dengan tuala putih. Aku mencebik.
            “Okeylah tenung dia berbanding tenung lelaki yang perasan hensem macam kau,” bidas aku pula dengan selamba. Aku tersenyum sinis. Aku pasti sudah tentu Zuhairil mencerlung tajam pada aku sekarang. Namun, aku tetap menatap televisyen di hadapanku.
            Tiba-tiba wajah Zuhairil menerpa anak mata tatkala wajahnya tepat-tepat di hadapanku bagi menghalang pandanganku pada kaca televisyen. Aku tersentak dan mengundur ke belakang dek terkejut sehingga menyebabkan aku hampir-hampir terbaring. Namun, pantas saja Zuhairil menahan tubuhku dari terbaring. Tubuh kami mengeras dan masing-masing kaku. Bola mataku pula tak sudah menatap ke dalam anak mata Zuhairil. Lama-kelamaan, anak mata yang asyik merenung antara satu sama lain, perlahan-lahan menutup. Debaran di dada sukar untuk aku ungkapkan tika ini. Sememangnya jantung tak henti-henti mengepam darah dengan pantas.
            Dapat kurasakan hembusan nafas Zuhairil yang menerpa pada wajahku. Belum sempat bibir kami bertaut, aku terlebih dahulu tersedar dan pantas mataku terbuka. Aku mengalihkan wajah ke arah lain bagi menyembunyikan bahang panas yang sudah singgah ke muka.
            “Emmm... aku masuk ke bilik air dululah. Panas!” Pantas saja aku menjauhkan diri daripadanya dan segera masuk ke bilik air. Aku menutup pintu dengan segera.Tanganku menekap dada. Ya! Memang sah hatiku mula merasakan debaran seperti dahulu. Aku... Aku kembali merasakan debaran cintanya ke?
            Aku tersentak apabila mendengar ketukan pada pintu bilik air.
            “Ha?” Aku membuka pintu dan menayangkan wajah penuh bengung.
            “You...forgot to bring your towel.”
            “Oh!” Aku pantas mengambil tuala dari tangan Zuhairil.
“Terima kasih,” aku menutup semula daun pintu dan pantas saja menutup wajahku dengan tuala. Hai... Malunya. Kenapalah aku boleh terlupa nak bawak tuala sekali? Hish! Kan dah malu depan suami sendiri. Mesti Zuhairil dah mentertawakan aku kat luar bilik air tu. Aduhai!
Setelah lama berteleku di dalam bilik air, aku ambil keputusan untuk keluar. Sengaja aku berlama di dalam bilik air. Semua sebab kejadian tadi. Seringkali kejadian tadi diulang tayang di dalam mindaku. Sungguh aku sukar untuk melupakannya. Sentuhan lembut tangannya pada tubuhku tadi menimbulkan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Perasaan semacam saja. Adakah perasaan itu bangkit dek malaikat yang ingin menyatukan kami berdua? Aku pernah sekali mendengar cerita orang. Kalau selalu bagi perempuan dan lelaki yang bukan muhrim berdua, pasti yang menjadi orang ketiga adalah syaitan. Tetapi lain pula bagi orang yang sudah berkahwin. Para malaikat yang akan bersama demi mengikatkan lagi perhubungan antara suami isteri. Betul ke?
Perlahan-lahan aku pusingkan tombol pintu dan menjenguk kelibat Zuhairil di sebalik pintu yang sedikit terbuka. Melihat keadaan yang aman dan sunyi sahaja, aku keluar dengan langkah yang terjengket-jengket macam lagak seorang pencuri. Dalam keadaan yang samar-samar, aku lihat wajah Zuhairil yang sudah tenang dibuai mimpi. Aku tarik nafas lega. Sejurus itu aku gantungkan tuala di tempat penyidai dan perlahan-lahan naik ke atas katil.
Mataku terpanah pada wajah tenang Zuhairil. Bermula dari bulu keningnya yang sedikit tebal, beralih pula pada batang hidung yang boleh tahan mancungnya dan akhirnya pada seulas bibir yang hampir-hampir saja mendarat pada bibirku tadi.
“Kau jatuh cinta balik kat aku ke?” Aku terlopong dek terkejut mendengar suara Zuhairil secara tiba-tiba. Bukan itu saja. Ketika aku tengah asyik merenungnya tadi, pantas saja Zuhairil menolak tubuhku ke katil dan terbaring di sisinya. Mata kami sekali lagi bertaut. Dada yang sudah tenang tadi kembali bergetar.
“Ka... Kau nak buat apa Ril? Kau... kau tahukan aku ni... aku ni...”
“Boleh tak buat kali ni kau diam seketika? Aku tahu kau tak boleh layan aku sekarang. Tapi, yang ringan-ringan boleh kan?”
“Zu... Zuhairil... kau nak buat apa ni? Aku... Aku tak bersedi...”
“Kau nak cakap kau tak bersedia? Habis selama ini, kau biarkan aku tergoda dengan kau dan kau tak ada pula tolak aku. Malah, kita dah berapa kali tidur sekatil. Kau okey je.”
“Tapi, sekarang ni kau nak buat apa? Kalau selalu, kita hanya tidur sekatil dan kau pun dah akur takkan kacau aku bukan?”
“Aku dah tak tahan sebenarnya. Dalam diam, aku dah tergoda sangat. Jadi, kali ni aku takkan lepaskan kau lagi,”
“Kau nak buat apa Zuhairil?!” Dadaku terasa sesak tika itu. Tanganku cuba untuk menolak tubuhnya, tetapi sukar pula untuk aku menolaknya. Entah, aku rasa macam aku merelakan saja apa yang dilakukan oleh Zuhairil. Aku lihat Zuhairil yang tersenyum sahaja.
“Aku tahu had aku sampai mana. Jadi, apa yang aku nak...”
“Apa?” Pintasku yang sedikit gugup. Mataku tak lepas dari memandang wajahnya tajam.
“Aku nak kiss isteri aku,”
Aku tergamam di saat Zuhairil mendaratkan bibirnya pada dahiku. Kucupan hangat yang singgah di dahi, kemudian beralih pula pada hidungku. Perlahan-lahan, Zuhairil mengucup pula kedua-dua pipiku. Akhirnya, sasarannya pasti di bibir. Namun, belum pun bibirnya mendarat pada bibirku, aku cepat-cepat menutup mata. Mataku terbuka tatkala mendengar bisikan darinya.
“Let me save the last kiss for another day. And ofcourse on that day, I know you will be mine at last. Good night sayang.” Sejurus itu, dia mengucup pipi kananku dan kembali baring di sebelah. Zuhairil menarik gebar dan menutup matanya sambil bibir masih tidak lekang dari senyuman. Aku terkebil-kebil memandang siling. Aku berkalih memandang wajah Zuhairil di sebelah. Wajah yang tadinya terasa beku akhirnya membahang panas. Malu dengan layanan daripada Zuhairil tadi.
Di saat aku ingin membuka mulut, tangan Zuhairil sudah bergerak dan menarik tubuhku mendekatinya. Dalam matanya yang masih terpejam, tubuhku dipeluknya erat.
“Tidurlah sayang. Esok kita dah nak balik ke Malaysia semula. Nak pergi ke Bangkok dulu. Kan penat?”

“Ermmm...” Itu saja yang jawabku. Kedinginan malam di dalam bilik yang berhawa dingin menjadi sedikit hangat tatkala tubuhnya merangkul tubuhku. Tanpa kusedar, bibirku juga mengukir senyuman. Aku membalas pelukannya dan membiarkan diri terbuai dalam mimpi.

Tuesday, October 22, 2013

Cerita pendek part 8: Tiada Sangkaan Cinta

Chap 14


            ZUHAIRIL melepaskan pelukan dan wajahnya berubah serta-merta. Wajah yang tadinya mendung sekarang berubah seperti marah. Alamak! Gunung berapi dah nak meletup sekali lagi nampaknya. Alahai... Kenapalah dalam hidup berumah tangga sebegini, kami masih juga mahu bertegang urat. Dahulu, semasa menjadi kekasih tetap juga bergaduh macam anjing dan kucing. Sekarang, dah bergelar suami isteri pun masih juga mahu bergaduh sebegini. Sudah semestinya aku berasa sangat penat setiap kali memikirkan pergaduhan yang tercetus di antara kami.
            “Siapa suruh kau keluar, Fin? Aku dah suruh kau duduk saja dalam bilik. Kenapa degil? Kau ni tak faham bahasa ke? Kau ingat dengan tinggalkan nota sahaja, kau boleh senang-senang keluar seorang diri? Eh, Erfina... Ini bukan Malaysia. Ni Thailand! Kau tahu tak bahaya kalau keluar tanpa ada teman di sini. Kau sendiri nampak kan, ada saja kelab-kelab malam di tepi-tepi jalan. Kalau jadi apa-apa dekat kau, siapa yang susah? Siapa yang kena jawab bila disoal dengan mak bapak kau nanti? Siapa?!” Jerkah Zuhairil yang sudah mula naik angin. Nampak wajahnya berubah merah. Bukan kerana terkena panas dek matahari, tetapi terkena hati yang sudah panas menggelegak gara-gara tindakan aku. Entah kenapa, terbit rasa bersalah padanya walaupun dalam hati mendongkol geram sebab dimarah sebegitu di depan orang ramai. Mujurlah tiada siapa yang faham bahasa kami. Tetapi, kalau tengok air muka Zuhairil sekarang, siapa yang tidak faham. Suami aku tengah marah dan melepaskan letupan pada aku yang degil ini.
            Dek rasa ego yang menggunung, aku tetap membuat muka selamba sahaja. Aku peluk tubuh dan sengaja buat-buat tidak dengar. Aku memusing tubuh menghadap laut. Tengok ombak beralun menampar pantai lagi syok daripada tengok lelaki yang dah tukar jadi Hulk di sebelah.
            Tubuhku kembali berpaling menghadap Zuhairil. Genggaman Zuhairil pada lengan ku terasa begitu erat sehingga aku mengaduh sakit.
            “Eh, lepaslah! Sakit kau tahu tak?”
            “Tahu sakit. Sakit hati aku ni kau tak tahu ke? Aku tengah cakap dengan kau, selamba saja kau berpaling dari aku?”
            “Tengok laut tu lagi bagus daripada dengar kau membebel!” Dengusku kasar dan segera aku merentap lenganku daripada genggaman Zuhairil. Aku mengusap lenganku perlahan. Memang sakit bila Zuhairil genggam aku dengan tenaga lelakinya. Ini boleh jadi kes dera kalau dibiar begitu saja. Ada saja tohmahan yang aku lemparkan dalam hati tentang suamiku ini. Aku menjeling Zuhairil tajam. Di sebelah, aku dapat mendengar keluhan Zuhairil.
            “Look! Don’t do that again! Aku tak nak kau keluar seorang diri di negara orang. Kalau apa-apa terjadi, aku juga yang akan disoal. Sekarang ini, kau adalah tanggungjawab aku. Ibu dan ayah dah serahkan kau kepada aku dan kau adalah amanah yang perlu aku jaga. Kau faham?” Walaupun suara Zuhairil sudah mengendur, tetapi aku pasti perasaan marahnya tetap ada.
            Setelah masing-masing berdiam diri dan Zuhairil juga sudah berhenti membebel, aku kembali memandang wajahnya. Sekarang, aku benar-benar penat untuk bertegang urat dengannya. Aku mahu bulan madu ini memberi kenangan indah kepada kami. Ini bukan bermaksud aku sudah menerima dirinya sebagai suami aku, tetapi hanya untuk melepaskan tekanan dan stress setelah apa yang terjadi.
            Aku melepaskan keluhan kecil. “Macam nilah. Aku minta maaf sebab keluar tanpa kebenaran kau. Tapi, aku sendiri dah beritahu kat kau dalam nota yang aku beri tadi. Aku boleh jaga diri sendiri. Jadi, tak perlulah risau. Dan, aku pun dah beritahu kat kau yang aku berada tak jauh dari hotel. Aku jalan dekat-dekat sini pun sebab bosan tunggu kau kat bilik,”
            “Yalah... Tapi, takkan tak boleh tunggu? Aku pergi keluar dengan Encik Thong sebab nak cari restoran halal. Sebab tu lambat. Kat sini memang susah nak cari makanan halal. Jadi, aku sempat keluar cari periuk nasi. Boleh kita masak sendiri. Tak perlulah nak mencari makanan di luar. Tapi, aku dah beli juga makanan untuk kita.” Pintas Zuhairil dengan menunjuk bungkusan makanan di tangan. Rupa-rupanya masa adengan peluk tadi, dia peluk aku dengan bungkusan makanan sekali di tangan. Tak romantik betullah lelaki ni. Sempat lagi, hati mengutuk. Teruk betul kau, Fin.
            “Beli kat mana ni? Betul-betul halal ke?” Aku ambil bungkusan dari tangannya dan melihat satu bungkusan tomyam putih. Mak aihh.. Kecur liur. Perut pun kembali berbunyi. Lapar! Aku lihat Zuhairil yang mengangguk laju.
            “Aku pergi ke Selatan Pattaya. Kat situ ada masjid, masjid Toatilla. Sempat juga solat di situ. Kat situ ramai orang Islam, jadi tak perlu was-waslah kalau nak beli makanan. Lagipun, kita pun ada bawa bekal dari Malaysia. Makanan dalam tin tu takkan nak buang macam tu saja. Sebab tulah aku beli periuk nasi.” Sekarang giliran aku pula yang mengangguk macam belatuk.
            “Jomlah makan. Aku sendiri belum makan lagi. Encik Thong dah makan sebelum hantar aku balik,” seraya itu, aku terlihat Encik Thong tidak jauh dari kami. Dia mengangkat tangan dan aku membalas senyumannya.
            “Kau lapar kan?” Soal Zuhairil dengan sebelah kening yang terangkat.
            “Mestilah lapar! Kau keluar lama sangat. Dahlah aku bosan duduk dalam bilik tu saja. Tu yang keluar merayau. Nasib baiklah ada roti mentega kat atas meja. Aku sempat rembat sebab nak isi perut aku yang dah bergendang bertalu-talu.” Rungutku dengan mulut sudah mencebik. Tika itu, aku perasan mata Zuhairil yang memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan. Pandangan itu pernah aku lihat dahulu. Saat itu aku terkedu dan mata kami saling bertaut.
            Kali ini Zuhairil memandang aku dengan pandangan lembut sama seperti yang pernah dia lakukan ketika di awal perkenalan kami. Masa itu dia yang baru aku kenali, dengan rela hati ingin membantu aku untuk mengulangkaji subjek Industrial management yang bagi aku sukar untuk difahami. Jadi, Zuhairillah menjadi mentor dan membantu aku serba sedikit. Semasa sibuk mengulang kaji, tanpa kusangka Zuhairil mencuri pandang ke arahku. Aku yang tersedar dan merasakan ada yang melihat segera panggung kepala. Memang benar tekaanku. Zuhairil langsung tidak melepaskan pandangannya dan masih setia menatap wajahku. Pandangannya yang lembut membuatkan hatiku mula gundah-gelana. Siapa sangka, di situ bermulalah episod cinta antara uda dan dara.
            Tidak mahu terus dibuai perasaan, aku segera berdeham. Aku perasan wajah Zuhairil yang mula kemerahan. Aku menyembunyikan senyuman yang entah bila terbit.
            “Aku dah lapar sangat ni. Jadi, kita makan di sini sajalah, ya?” Pintaku pada Zuhairil. Zuhairil hanya mengangguk diam. Kami mencari meja kayu berdekatan.
            Semasa menjamu selera, masing-masing hanya berdiam diri. Kami mengajak juga Encik Thong untuk makan bersama. Tetapi dia menolak dengan lembut. Dia meminta diri untuk pulang ke rumah.
            “Tak jauh ke balik ke Bangkok dari Pattaya?”
            “Lebih kurang 2 jam. Tetapi, Encik Thong dah biasa katanya.” Aku hanya mengangguk dan melihat Encik Thong pergi meninggalkan kami. Selesai saja menjamu selera, aku membersihkan tangan dengan air mineral yang dibeli oleh Zuhairil tadi. Alhamdulillah.
            Mataku meliar ke sekeliling. Nampak gayanya tak lama lagi matahari akan terbenam. Wah! Cantiknya pemandangan di Pattaya ketika matahari terbenam. Aku terleka seketika memandang ciptaan Allah. Sungguh cantik dan menenangkan. Subhanallah. Bibirku mengukir senyuman tanpa sedar.
            Aku tersentak bila merasakan genggaman di tangan. Aku toleh ke sebelah dan merenung dalam ke anak mata Zuhairil.
            “Can we just endure this moment for a while?” Pinta Zuhairil lembut. Aku melepaskan nafas yang kian menyesakkan. Sudahnya, aku biarkan saja Zuhairil menggenggam tanganku erat.
            “Kalaulah kita kekal sebegini, pasti kita bahagia.” Kata-kata Zuhairil yang sedikit berbisik sempat kudengar. Walau perlahan, tetapi jelas di telingaku. Mataku mula berkaca. Fikiranku pula bercelaru. Di antara masa lalu dan sekarang. Aku sendiri keliru dengan perasaan yang bermain di hati. Dengan sikap Zuhairil yang sering berubah-ubah dan juga kejadian yang pernah terjadi di antara kami membuatkan aku sukar untuk mempercayai dirinya.
            Hatiku berdetak di saat Zuhairil menarik tanganku dan dibawanya ke bibir. Dikucupnya lembut tanganku dan digenggamnya erat.
            “Buat masa ini, boleh tak kalau kita lupakan masa lalu dan luangkan masa bersama dengan damai semasa bulan madu kita ni?” Sekali lagi Zuhairil membuat permintaan yang jelas membuat aku tersentak. Zuhairil memandang wajahku lama. Sudahnya, aku hanya diam langsung tidak menjawab permintaannya. Aku biarkan saja persoalan itu tergantung. Mungkin, buat masa ini biarlah kami sama-sama enjoy. Lupakan kisah lama buat seketika dan berhenti bertegang urat. Itu yang aku putuskan buat masa ini. Dalam diam, aku mahu menilainya. Kalau benar dia mahu berubah, baiklah kalau kita lihat bagaimana perubahannya.


BALIK saja dari pantai, aku segera masuk ke dalam bilik air. Patutlah sejak dari tadi perut aku meragam. Rupa-rupanya, bulan mula mengambang. Nasib baiklah aku ada terfikir untuk membawa pad lebih. Ingatkan nak solat jamak, tetapi terbantut dek ‘bendera jepun’.
            Keluar saja dari bilik air, aku terpempan melihat wajah Zuhairil yang sudah tercegat di depanku. Sudahlah dia hanya bertuala tanpa baju. Aku jadi segan pula.
            “Err... Aku tak dapat solat. Baru saja tadi. Bulan datang menerpa,” Zuhairil menjongket kening.
            “Iya ke? Aku baru ingat nak berseronok malam ni. Dah kena tahan niat tu dulu.” Aku terlopong mendengar usikan Zuhairil. Wajah nakal Zuhairil sudah terlayar di mata. Aku mendongkol geram. Dengan pantas, lengannya aku cubit.
            “Aduh! Garangnya bini aku ni. Mengalahkan serigala menyalak di kala bulan mengambang!”
            Aku ingin mengangkat tangan dan bersedia untuk mencubit lengan Zuhairil sekali lagi. Namun, pantas saja dia masuk ke dalam bilik air dengan tawa yang masih bersisa. Amboi! Suka kau menyakat aku. Mentang-mentang aku nak berdamai dengan kau, suka-suka saja dia usik aku. Aii... Ni yang buat I geram.
            Malas melayan kerenah si suami, aku segera duduk di depan cermin dan mengambil sikat. Dari bias cermin, aku dapat lihat Zuhairil yang baru keluar dari bilik air. Melihat Zuhairil yang hanya bertuala saja membuat aku kembali berasa malu. Segera aku menyikat rambut dan menumpukan sepenuh perhatian pada wajah sendiri.
            “Kau bersiap-siaplah. Kita keluar lepas aku solat ni.” Arah Zuhairil sebaik tubuhnya dipasang baju. Aku mengangguk sahaja dan kembali menyikat rambut. Dalam masa yang sama, aku terleka melihat suamiku yang sedang mengejarkan solat. Semacam ada tarikan pula melihat dia ketika itu. Tanganku pula dari tadi masih menyikat rambut.
            “Dari aku keluar dari bilik air sampai aku selesai solat. Kau masih tak bersiap-siap juga? Lama benar kau sikat rambut.” Aku tersentak setelah ditegur Zuhairil. Baru aku perasan bahawa Zuhairil sudah pun selesai bersolat. Aku menggigit bibir. Dalam hati, tak sudah aku mengutuk diri sendiri atas kealpaan aku. Buat malu aje.
            Zuhairil mendekati dan mengambil sikat dari tangan. Mataku merenung tajam padanya melalui biasan cermin. Aku terkejut di saat tangannya menarik lembut rambutku yang sudah panjang dan disikatnya dengan rapi. Diambilnya getah rambut aku yang terletak di meja solek.
            “Aku dah biasa ikat rambut Hana. Mula-mula tu susah juga. Janggal rasanya nak ikat rambut anak buah sendiri. Tapi, lama-lama terbiasa juga. Rambut Hana selalu berserabut. Jadi, kadang-kadang kesian juga tengok dia tak selesa bila rambut tak diikat.” Tangan Zuhairil dengan lincah mengikat rambutku dengan kemas.
            Selesai saja rambutku diikat, Zuhairil pantas mencium rambutku dari belakang.
            “Dan aku tetap suka bau rambut kau. Sentiasa wangi sahaja.” Aku tergamam dengan tindakan pantasnya. Dadaku mula bergetar hebat apabila mata kami bertaut melalui cermin. Zuhairil tersenyum lebar dan aku pula... Hati aku jadi tak tenteram dibuatnya. Apa sudah jadi dengan hati aku sekarang ni?

            “Emmm... Aku tukar baju dululah.” Segera aku menjauhkan diri daripadanya. Aku mengambil baju dress labuh yang sudah siap bergantung di almari dan aku bawa masuk ke dalam bilik air. Aku mengunci pintu bilik air dan memegang dada. Nafas sekali lagi kian tidak teratur. Dadaku mula bergetar hebat. Ya Allah... Perasaan yang hadir ketika bersamanya tetap mengganggu hidupku. Aduh hati... Usahlah kau begini. Jangan buat aku bertambah keliru. 

Monday, September 30, 2013

Cerita pendek part 7: Tiada Sangkaan Cinta


Chap 12

SETIBA saja ke lapangan terbang Bangkok, Thailand, Zuhairil segera menolak trolli kami menuju ke luar. Aku perhati gerak-geri Zuharil dan aku rasa sedikit hairan. Kenapa tidak ke kaunter terlebih dahulu bagi menempah teksi untuk ke Pattaya?
            Walaupun hati rasa hairan, tetapi langkah suamiku tetap diikuti. Kami berdiri ke luar tempat mengambil penumpang. Mata Zuhairil seperti mencari sesuatu. Atau seseorang?
            Sejak keluar dari perut kapal terbang tadi, kami langsung tidak berbicara. Aku pula melayan perasaan dengan hati yang sebal setelah Zuhairil mengambil kesempatan terhadap aku semasa di dalam kapal terbang tadi. Sudahnya, masing-masing melayan diri dan langsung tidak bersuara. Aku pun malas nak cakap apa-apa dengan dia.
            Zuharil masih melilau ke sekeliling perkarangan dan memandang jam tangannya.
            “Masih belum sampai lagi ke?” Suara Zuhairil seperti berbisik sendiri tetapi tetap juga dapat kudengar. Aku yang memeluk tubuh dari tadi sudah seperti cacing kepanasan, tidak tahan pula kalau masing-masing berdiam seperti ini. Aku mengeluh lemah dan akhirnya bersuara juga ingin bertanya.
            “Sebenarnya kita nak tunggu apa ni? Kenapa tak pergi beli tiket untuk dapatkan teksi? Ke kau tempah mana-mana ejen yang boleh bawak kita ke Pattaya?” Soalku bertubi-tubi. Zuhairil yang meliar memandang sekeliling akhirnya berhenti memandang ke dalam anak mataku. Bibir suamiku tersenyum sinis.
            “Baru sekarang nak bersuara? Ingatkan tadi ada emas berlian yang nak dijaga sangat kat dalam mulut tu.” Sindir Zuhairil tanpa pernah memikirkan perasaanku. Memang suka menyakitkan hati orang. Dari dulu lagi mulut dia ni langsung tak pernah nak kawal. Cakap main lepas. Suka hati dia aje nak redah. Tak pernah ada trafic light pun suruh mulut dia tu untuk berhenti seketika sebelum nak berkata. Aku mendengus geram.
            Dek geram dengan kata-kata Zuhairil, aku langsung tidak memandang wajahnya. Aku berpaling dan sempat menghadiahkan jelingan tajam padanya tadi. Buang masa betul nak gaduh dengan lelaki sebegini. Kalau aku bersuara, nanti ada pulak yang kata aku nak menang. Tak habis-habis dia dengan perangai dia tu. Masih tak berubah!
            Tidak lama selepas itu, kelibat sebuah kereta kelihatan menghampiri kami. Bila tengok macam kereta Estima, tetapi tampak lagi besar daripada Estima. Entahlah. Aku tak kisah pun pasal kereta. Sekarang, hati aku cuma berasa panas dek sindiran suami sendiri. Meluat!
            Seorang lelaki keluar dari perut kereta tadi dan menyambut salam Zuhairil. Lelaki itu tampak sedikit berusia dan begitu hormat pada suamiku. Aku mengerut dahi. Driver suami aku ke ni?
            “Sawadee kap,” ucap lelaki itu pada kami. Aku hanya menyambut dengan senyuman. Walaupun tidaklah semanis mana senyuman yang aku berikan, tetapi cukup untuk menjawab ucapannya itu. Aku menoleh pada Zuhairil tatkala dia berkominikasi dengan lelaki tadi dengan bahasa Thailand. Sememangnya aku macam tunggul kayu apabila berada di antara mereka. Satu habuk pun aku tidak faham dengan apa yang mereka cakap. Aku hanya lihat dengan pandangan kosong.
            “Masuklah ke dalam kereta. Encik Thong ni akan hantar kita terus ke Pattaya.” Zuhairil mula bersuara setelah selesai berbual dengan pemandu yang dipanggilnya Encik Thong itu. Aku hanya menurut dan memboloskan diri ke dalam kereta. Tidak banyak cakap, hanya diam tanpa ingkar.
            “Encik Thong ni sebenarnya pemandu aku ketika berada kat Thailand ni. Kira driver syarikatlah.” Zuhairil menyambung kata setelah masuk ke dalam kereta. Aku hanya mengangguk dan berpaling memandang ke luar. Aku penat! Penat setelah duduk di dalam kapal terbang tadi selama beberapa jam dan penat melayan kerenah tak semenggah suami aku.
Entah bila masanya aku boleh kembali terlelap dan perkara yang tak dapat aku elak setelah sedar dari tidur dan kepalaku sudah selamat berada di bahu Zuhairil. Bangun sahaja setelah dikejut oleh Zuhairil, wajah senyum kambingnya terlayar di mata. Pantas saja mukaku membahang dek rasa malu. Pasti dia merenung wajah aku sedari tadi. Memang licik betul suami aku ini.
Kami tiba di salah sebuah hotel yang aku kira 5 bintang dalam dua jam kemudian. Aku ambil bagasi, namun sempat ditahan oleh Encik Thong.
Let me help you,”
Laa... Boleh cakap bahasa inggeris rupanya. Kalau aku tahu, dari tadi aku bawak Encik Thong ni bercakap. Ini semua si dia punya pasallah! Nak sangat cakap dalam bahasa yang aku tak faham. Entah-entah, dia sempat lagi mengutuk aku dengan Encik Thong dalam diam. Hmph!
Aku melepaskan bagasiku tadi, dan membiarkan Encik Thong membawanya masuk ke dalam hotel bersama bagasi suamiku sekali. Aku menoleh pada wajah Zuhairil yang sudah siap berkaca mata hitam. Bajet hotlah? Makin menjadi-jadi pula rasa meluat pada suami sendiri. Hish! Tak habis-habis aku buat dosa kering dek lelaki yang bernama Zuhairil ini.
Shall we, my dear?”
“Tak usah nak dear sangatlah!” Aku berlalu meninggalkan Zuhairil dan menuju ke kaunter lobi. Aku berpaling menanti Zuhairil. Zuhairil memaklumkan kepada pihak hotel tentang booking yang telah dibuat dan menguruskan apa-apa yang patut.
Aku malas nak menyemak di kaunter, aku bergerak ke sofa berdekatan dan duduk di situ sambil mata masih mengamati setiap pelusuk ruang lobi. Memang sangat mewah. Elegant! Tatahiasnya nampak begitu lawa dan selesa. Itu sahaja yang mampu aku ucap. It’s a breathtaking, walaupun hanya di kaunter lobi. Kalau di dalam bilik, entah macam manalah rupanya. Lagi nampak magnifique!
Setelah selesai berurusan dengan staf di situ, Zuhairil mendekatiku dan menghulur tangan. Aku lihat Zuhairil dengan perasaan hairan. Dia nak buat apa pulak sekarang?
“Jom, my lady. Hubby nak bawak sayang ke bilik peraduan kita.” Ugh! Please! Kenapa mesti buat aku menyampah dengan kerenah dan sikap hipokrit dia? Entah apalah yang ada di dalam minda dia tu. Apa yang sebenarnya dia nak daripada aku?
“Tak payah nak tunjuk gentlemanlah! That is so not you. I know you, Zuhairil. Kau sendiri yang cakap kau bukan jenis yang romantik dan gentleman. Just be yourself, for god sake!” Bidasku setelah tidak tahan melihat layanannya yang bagai ada udang di sebalik batu.
Zuhairil tarik tangannya kembali dan mengekalkan senyuman di bibirnya. Ditariknya kaca mata hitam dan disangkut pada baju.
“It has been 5 years already, Fin. Manusia boleh berubah. Kau percaya kan?”
“Well, not to you. Kau kahwin dengan aku pun, aku masih belum boleh percaya. Pelik! 5 tahun dah berlalu but kau masih nak aku jadi isteri kau. Even, kau sendiri cakap yang kau takkan lepaskan aku. Maybe anything related to revenge perhaps?” Tebakku menyebabkan wajah Zuhairil berubah sedikit. Nampak wajahnya sedikit tersentak. Aku renung wajahnya tajam. Adakah betul akan apa yang aku sangka? Dia nak balas dendam ke?
Walaupun wajah Zuhairil sedikit berubah, tetapi dia masih dapat mengawal perasaannya. Aku nampak semua itu. Aku tersenyum sinis.
“You may not know what’s gonna happen next my dear. Don’t judge a book by its cover. Kau masih tak berubah dari dulu. Suka berprasangka buruk kepada aku. Tak pernah nak percaya kat aku walaupun sekarang aku dah bergelar suami kau.”

“Kalau semua itu kau boleh ubah sejak dulu lagi, aku tak mungkin akan berprasangka buruk dekat kau. Don’t you know, action speaks louder than words?” Aku masih mahu menyindirnya. Sakit hati yang sudah disimpan dari dulu, kembali menusuk. Dia hadir tanpa aku sangka dan kembalinya dalam hidup aku juga memberi banyak persoalan kepadaku. Setelah apa yang dia lakukan dahulu, sudah tentu segala perbuatannya itu membuatkan aku sukar untuk mempercayainya. Lantas, aku melangkah meninggalkan Zuhairil dan bergerak mendekati Encik Thong yang sudah menunggu di depan lif.

Chap 13

            MATAKU terbuka setelah lama terlena dari tadi. Sebaik masuk ke dalam bilik hotel, aku segera menghempaskan tubuh di katil dan menarik gebar sehingga menutup muka. Aku langsung tidak mahu bersuara setelah bertegang urat dengan Zuhairil tadi.
            Baru aku perasan akan ketiadaannya di dalam bilik. Aku selak gebar dan duduk dengan perasaan kosong. Aku memandang ke seluruh bilik yang masih tetap sama seperti tadi, cuma hanya aku seorang sahaja di sini. Mataku menangkap sekeping nota kecil yang diletak di atas meja lampu di sebelah katil queen size. Aku ambil nota kecil tersebut dan membaca bait-bait ayat yang ditulis oleh suamiku. Tulisan tangannya tetap sama seperti dahulu, langsung tiada perubahan.
            Aku keluar sekejap. Nak beli makanan tengah hari kita. P/S: Duduk dalam bilik tu diam-diam. –Ril.
            Ceh! Sebaik membaca pesanan dari si suami, hanya satu saja perasaan yang hadir dalam hati. Menyampah! Dia ingat aku ni kanak-kanak kecil ke? Perlu ke arahan supaya menyuruh aku duduk diam sahaja di dalam bilik ini?
            Aku belek telefon bimbit dan melihat waktu jam sekarang. Sudah pukul 2. Makan tengah hari apa kalau sudah pukul 2? Tatkala itu bunyi perutku mula berkumandang. Ini yang buat aku geram dengan kerenah suami ‘tercinta’. Dia syok keluar tanpa aku dan dibiarkan kelaparan di dalam bilik. Memang patut sangatlah tu!
            Dek rasa geram yang tak sudah, aku merancang untuk keluar dari bilik dan pergi ke tingkat atas hotel tersebut. Aku ingin mencuci mata dan melepak di tepi kolam. Walaupun sudah lama tidak berenang di kolam renang, tetapi kemahiran berenang aku tetap tidak lupa. Aku melangkah perlahan dan melihat sekeliling. Nampaknya ada juga yang berenang pada waktu sebegini. Ada juga pengunjung dari luar negara yang tidak malu untuk mendedahkan tubuh mereka dan berjemur di bawah matahari yang terik sebegini. Aku hanya menggeleng dan duduk berdekatan dengan kolam renang.
            Sambil memandang kerenah orang sekeliling, sambil itu juga tanganku lincah mencubit roti yang sempat aku sambar di atas meja tadi. Sebaik menghabis roti mentega, aku langsung meninggalkan kolam renang dan turun ingin ke lobi. Tiada yang menarik pun di sini. Semuanya hanya pemandangan yang menyakitkan mata. Jadi, lebih baik kalau aku merayau ke mana-mana tempat berdekatan daripada duduk terperuk di dalam bilik hotel.
            Apabila melintasi kaunter lobi, barulah aku tersedar yang aku terlupa untuk membawa telefon bimbit sekali. Aku menepuk dahi dan tercegat di tengah-tengah laluan orang. Orang yang lalu-lalang sudah ada yang memasang mata pelik dengan kerenah aku. Tidak lama selepas itu, aku memetik jari. Boleh saja kalau aku tuliskan nota dan serahkan kepada staf lobi untuk memaklumkan kepada Zuhairil akan ketiadaan aku di bilik. Lantas, aku datang menghampiri kaunter lobi. Senyuman manis sudah mula kutayang kepada pekerja di situ.
            “Excuse me, do you have a blank sticky note and a pen?” Soalku kepada salah seorang pekerja di situ. Wajah gadis itu begitu manis sekali. Tetapi, aku berasa was-was apabila teringat bahawa negara Thailand yang terkenal dengan pembedahan plastik terutamanya berkaitan dengan pembedahan jantina. Namun, aku hanya tersenyum sahaja tatkala gadis itu bersuara.
            “Yes, Mem.” Fuh! Nasib baik suara dia lembut semacam. Tetapi, bukan boleh percaya pun. Gadis tadi menyerahkan nota kecil dan memberi pen sekali. Aku menulis pesanan untuk Zuhairil dan tersenyum puas setelah membaca pesananku sekali lagi.
            Aku keluar sekejap. Bosan duduk diam-diam di dalam bilik. Jangan risau, aku ada berdekatan hotel sahaja. Kalau nak cari aku, cari kat pantai. Pandai-pandai akulah nak jaga diri. Dan, aku tak bawa fon. Terlupa! P/S: Aku bukan budak kecik lagi yang perlu diarah macam tu. Lagipun, aku pernah juga travel seorang diri. Jadi, izinkan aku keluar. –Fin
            Aku menyerahkan nota tadi kepada gadis kaunter dan memesan kepadanya agar memberikan nota ini sekiranya Zuhairil sudah kembali ke hotel. Gadis itu mengangguk dan menunduk hormat. Aku segera keluar dari hotel dan merayau ke mana  saja tempat yang aku suka. Mujurlah masih petang, kalau malam aku sendiri berasa takut untuk keluar ke mana-mana. Pattaya memang banyak kelab malam terbuka. Sungguh aku taubat untuk keluar malam seorang diri.
            Masih aku ingat lagi ketika berada di Bangkok untuk urusan kerja. Ketika berjalan-jalan di Bangkok pada waktu malam bersama rakan sekerja, ada saja gadis-gadis malam yang berkeliaran di luar kelab malam dan cuba untuk menarik sesiapa saja untuk bertandang di lubuk syaitan itu. Ada juga kelab malam yang terbuka membuat persembahan tarian tiang dengan gadis Thailand yang berpakaian menjolok mata. Bau arak semestinya ada dan begitu memualkan. Mujurlah kami dapat melarikan diri daripada ajakan gadis-gadis kelab malam di situ. Entahkan gadis atau pondan. Aku pun tidak tahu. Hish! Seram bila aku teringat kembali.
            Aku singgah di kedai berdekatan dan melihat baju T yang dijual di situ. Macam-macam gambar yang ada pada baju T. Dan kebanyakannya gambar-gambar yang tidak senonoh. Patutlah Thailand di katakan tempat popular untuk sarang pelacuran. Aku mencari baju lain yang lebih sopan dan sesuai untuk diberi kepada saudara-mara. Ada beberapa helai saja yang aku rembat. Susah pula kalau balik ke hotel dengan beg plastik yang penuh di tangan.
Setelah puas mencari baju, aku berjalan pula mendekati pantai. Ingin menikmati pemandangan petang di pantai. Ramai juga yang bersantai di pantai ini. Melihat air laut yang begitu membiru, membuatkan hatiku sedikit tenang.
Aku tertarik melihat seorang perempuan tua yang menjual jeruk dengan segala perkakas dibawanya di bahu. Apabila ada yang ingin membeli, dia meletakkan peralatannya ke bawah, dan mengeluarkan lesung batu. Selain jeruk, dia juga menjual asam mempelam yang digaul bersama beberapa bahan yang tidak aku tahu. Macam kerabu pun ada, tetapi aku tidak berani untuk membeli sebarangan kerana was-was akan kandungannya. Telan liur sajalah bila tengok makanan itu. Alamak! Teringin pula nak makan kerabu mangga. Macam orang mengidam pula. Hahaha.
Punggungku labuh di tempat duduk berdekatan dengan pantai. Aku tarik cermin mata hitam yang disangkut pada bajuku dan aku pasang bagi mengelak silau cahaya matahari. Wah! Seronoknya melihat kanak-kanak yang mandi di laut. Teringin juga nak bermain air, lalu aku berdiri dan melangkah mendekati laut. Aku lipatkan ke atas sedikit seluar jeans dan sandal yang aku pakai dibuka. Aku biarkan saja berkaki ayam dan bermain dengan air laut. Bibirku secara automatik tersenyum, seronok.
“Erfina!” Senyumanku terus mati tatkala mendengar suara yang memanggil namaku. Aku berpaling dan wajah Zuhairil terlayar di mata. Aku mengeluh lemah. Lelaki ini tak pernah nak beri peluang untuk aku berasa senang. Pasti saja muncul dan merosakkan segalanya.
“Iya, encik suami.” Ujarku lemah. Mataku masih memandang tepat pada wajahnya. Namun, aku berasa hairan melihat wajah Zuhairil yang sedikit berkerut dan mendung. Aku tergamam tatkala melihat anak matanya yang mula bergenang.
Tiba-tiba, Zuhairil meluru pantas mendekatiku dan tanpa kusangka, dia menarik tubuhku dan dipeluknya erat. Aku terkedu di saat itu dan siapa sangka, jantungku juga turut terhenti seketika. Nafasku mula tidak teratur, rasa tersekat-sekat sahaja. Tidak lama selepas itu, jantung yang berhenti berdegup kian bergetar hebat. Apa yang sedang aku alami sekarang?
“Kau ke mana, Fin? Kau tahu tak dari tadi aku cari kau tak jumpa? Kau tahu tak betapa risaunya aku sebab kau tak ada? Kau tahu tak apa perasaan aku sekarang? Kau tahu tak?!” Bertubi-tubi Zuhairil menyoalku. Dapat kurasakan pelukannya kian erat seperti tidak mahu melepaskan aku langsung. Ya Allah, benarkah apa yang dikatakan oleh lelaki ini? Benarkah dia risaukan aku? Benarkah apa yang aku sangka selama ini dan semuanya salah? Zuhairil, apa sebenarnya perasaan kau terhadap aku sekarang?