Sunday, April 24, 2016

Dosa Semalam Bab 11

Bab 11

            ALINIYA terbangun dari tidur sebaik terdengar bunyi jam loceng yang berdering. Saat jam tersebut berbunyi nyaring, Aliniya tahu sudah tiba masanya untuk dia menghadap Ilahi.
            Tangannya berusaha mencapai jam loceng tersebut. Aliniya menekan butang pada jam tersebut agar tidak bingit di telinganya lagi. Dia cuba untuk bangun tetapi dek rasa sakit yang menyerang perutnya, Aliniya kembali rebah semula. Berkerut dahinya menunjukkan dia benar-benar menahan sakit. Malah, semenjak dari malam semalam, dahinya sudah lecun dengan peluh disebabkan menahan sakit.
            Sesudah dimarahi oleh Hardee malam tadi, suaminya itu langsung meninggalkannya tanpa rasa belas kasihan. Tidak Hardee tahu bahawa Aliniya masih belum makan semenjak petang. Teringat bahawa segala lauk sudah dibuang suaminya begitu sahaja, Aliniya mengambil keputusan untuk tidur tanpa mengisi perutnya. Dia berasa begitu penat dan kecewa dengan tindakan suaminya itu.
            Aliniya sekali lagi cuba untuk bangun dan turun dari katil. Dia gagahkan diri ingin melangkah ke bilik air. Belum pun sempat sampai, kepala Aliniya mula terasa berpinar-pinar dan pandangannya mula kelam.



HARDEE membetulkan baju kemejanya dan mengambil baju kot yang tergantung di dalam almari. Dia hairan bila melihat segala pakaian kerjanya sudah siap digosok.
            ‘Ni mesti kak Zah yang siap gosokkan. Tapi, aku tak suruh pun dia buat. Selalunya bila aku suruh baru dia buat. Apa-apa jelah,’ Hardee malas untuk memikirkan lebih-lebih tentang benda-benda yang dianggap sebagai remeh itu. Lalu, dia memasangkan kot dan mengambil jam tangan di laci. Hardee segera melangkah ke meja tulisnya dan diambil beg kerja sesudah memasang jam tangan.
            Hardee menuruni tangga dan langkahnya terhenti saat ingatan malam tadi menerjah minda. Dek rasa sakit hati ditegur oleh Aliniya, Hardee terus memberi arahan kepada gadis itu supaya bekerja di bawahnya. Dia sudah tidak kisah akan apa yang bakal dikatakan oleh pembantu-pembantu rumahnya nanti. Dia akan memesan kak Zah agar memantau Aliniya nanti agar gadis itu melakukan seperti apa yang disuruhnya. Dia bukan lagi Puan di rumah ini tetapi orang gajinya!
            ‘Aku akan buat seperti yang dirancang. Biar perempuan itu terseksa sampai dia mampus! Kau jangan ingat kau senang-senang aje duduk goyang kaki dekat rumah ni, Niya! Plan aku akan bermula hari ini,’ gumam Hardee sambil matanya menjeling pada pintu bilik perempuan itu yang masih tertutup rapat.
            Tidak mahu lewat ke pejabat, segera Hardee melangkah ke dapur ingin bertemu dengan kak Zah. Bila masuk ke dapur, Hardee melihat kehadiran dua lagi pembantu rumahnya yang sudah kembali ke sini setelah bercuti di kampung. Bibirnya mengukir senyuman tatkala kak Bedah dan Ema menoleh memandangnya.
            “Selamat pagi, Tuan. Kami dah siapkan sarapan. Tuan nak kami sediakan?” Soal kak Bedah dengan hormat. Ema pula meneruskan kerja mencuci pinggan kotor setelah mereka selesai memasak tadi.
            “Boleh jugalah. Tapi, saya nak makan roti je. Takut lambat pulak,” ujar Hardee sebaik duduk di meja makan. Kak Bedah mengangguk dan mengambil pinggan kosong. Diambilnya sekeping roti bakar dan diserahkan pinggan kepada Hardee. Kak Bedah mengambil jem strawberi yang disimpan di dalam peti ais dan diletakkan di atas meja makan. Dia tahu tentang apa yang disuka oleh majikannya itu.

            “Terima kasih kak Bed. Kak Bed, Ema dan kak Zah dah makan ke? Makanlah sekali,” ajak Hardee sambil tangannya mula menyapu jem pada roti bakar tadi.
            “Eh! Tak apalah Tuan. Macam biasa, kami makan lepas Tuan selesai makan. Kejap lagi kami makan dengan Ni... Emmm... Puan Niya,” kata-kata kak Bedah membuatkan suapan Hardee terhenti. Di saat mendengar nama perempuan itu, terus mati seleranya. Hardee meletakkan roti yang sudah digigit sikit ke pinggan semula. Kak Bedah naik hairan.
            “Kak Bed, saya nak bagitahu sesuatu. Bukan untuk kak Bed seorang je, tapi dekat semua juga,” mendengar kata Hardee itu, Ema yang masih sibuk mencuci pinggan berhenti. Dia pasti ada benda yang penting perlu mereka tahu bila Hardee berkata sebegitu.
            “Apa dia Tuan?” Kak Bed menanti kata-kata yang bakal disampaikan oleh Hardee. Tatkala itu, wajah Kak Zah pun muncul. Di tangannya terdapat bakul pakaian yang kotor. Dia terkebil-kebil melihat semua yang berada di dapur itu senyap sahaja.
            “Kenapa semua senyap?” Soal Kak Zah ingin tahu. Ema mendekati kak Zah dan menerangkan kepadanya.
            “Ada benda yang Tuan Hardee nak bagitahu kepada kita,”
            “Oh! Apa dia Tuan?” Soal Kak Zah kembali. Sekarang semua mata tertumpu pada Hardee.
            Melihat ketiga-tiga pembantu rumahnya sudah ada di situ, dia teringat akan Aliniya yang masih belum muncul lagi pada pagi itu. Dia mengetap gigi.
            ‘Memang kurang ajar betul perempuan itu. Langsung tak endah akan arahan aku. Tak apa. Siaplah kau nanti,’ desisnya menahan amarah.
            “Lepas ini saya nak tiada siapa yang persoalkan apa yang bakal saya katakan ni. Boleh?” Ketiga-tiga mereka hanya mengangguk sahaja.
            “Bagus. Mulai hari ini, saya nak kamu layan Niya sama seperti kamu semua. Jangan layan dia seperti ‘Puan’ lagi. Saya nak dia jadi pembantu rumah dekat sini,”
            Tergamam ketiga-tiga pembantu rumah tersebut. Mereka sudah bersetuju untuk tidak menyoalnya kembali jadi, mereka hanya mengangguk akur tanpa bersuara. Berpuas hati melihat pembantu rumahnya yang akur dengan arahannya, Hardee terus pamit ingin ke pejabat. Sebaik majikan mereka keluar dari rumah barulah masing-masing mula bersuara.
            “Aduh! Sampai macam itu sekali Tuan Hardee buat dekat bini dia. Pu... Eh, Niya kan baru keluar dari hospital gila. Dah tu dia memang tak ingat apa-apa, takkan Tuan Hardee tak kesian dekat dia?” ucap kak Bedah dengan rasa kasihan mengenang keadaan isteri majikan mereka.
            “Kau tak tahu Bed, masa kau orang tak ada dekat sini, Tuan Hardee memang melancarkan perang habis-habisan dengan bini dia. Dia memang langsung tak bagi peluang dekat Niya. Mula-mula itu aku suka juga, yalah, kau orang pun tahukan perangai Niya macam mana dulu. Tapi bila tengok Niya yang tak ingat apa-apa tu layan baik dekat aku, aku jadi kesian dekat dia. Dia betul-betul tak ingat apa yang terjadi sebelum ini,” jelas kak Zah pada kedua-dua rakannya.
            “Itulah aku cakap tadi. Kesian dekat Niya. Sedar-sedar je dia itu kena buli dek suami sendiri.” Ujar kak Bed lagi.
            “Mungkin dia tak nak Puan ingat semula kot,” lain pula pendapat Ema. Mata kak Bedah dan kak Zah membulat memandang Ema. Perangai ‘seekor’ ini memang lain sikit. Sudahlah dia yang paling muda berbanding mereka berdua, dia jugalah pembantu rumah yang paling akur dengan setiap arahan Aliniya sebelum gadis itu berubah sekarang. Apa yang diarah oleh kedua-dua majikannya dia hanya ikut saja tanpa membantah. Kak Bedah dan kak Zah menggeleng saja pada gadis itu. Mereka tahu sangat dengan perangai Ema. Bagi Ema, dia hanya mahu kekal bekerja di situ. Jadi, ikut sajalah apa yang disuruh.
            “Kau ini memang dah jadi hamba abdi si Niya dengan Tuan Hardee. Tak pernah nak membantah. Hairan aku,” ujar kak Bedah sambil menolak lembut bahu Ema. Ema hanya mengangkat bahu. Sudah tidak kisah dengan sindiran kak Bedah.
            “Jadi, kalau Tuan Hardee nak Niya bekerja macam kita, dia kenalah buat semua rutin kita. Mesti Tuan Hardee akan soal siasat dekat aku. Nak tahu kalau Niya buat tak kerja. Aduh! Rasa bersalah sangat dekat Niya. Agak-agaknya Niya tahu tak pasal ini ya?” Soal kak Zah dengan matanya melirik pada kedua-dua rakannya itu. Ema angkat bahu tanda dia tidak tahu manakala kak Bedah pula menggeleng. Kak Zah mengeluh lemah.
            Kak Zah melihat jam di dinding dan barulah dia perasan bahawa isteri majikannya itu masih belum muncul selepas subuh tadi. Dalam beberapa hari ini, dia memang perasan yang Aliniya pasti akan bangun sebelumnya tetapi tidak pula hari ini. Dia rasa ada yang tak kena.
            “Ema, kau pergi ke bilik Niya tengok kalau dia dah bangun ke belum. Selalunya dia dah bangun waktu-waktu macam ini. Ini tak pula. Kau pergi jenguk dia sekejap. Akak nak cuci semua baju ini,” kak Zah meminta Ema untuk melihat keadaan Aliniya. Masing-masing kembali melakukan tugas yang tergendala tadi.
            Ema mendekati bilik Aliniya dan meratapi telinganya pada daun pintu. Tiada langsung bunyi. Sememangnya dia yang sudah biasa melayan segala kerenah Aliniya. Dia tahu waktu bila wanita itu akan bangun. Bila disuruh oleh kak Zah untuk menjenguk wanita itu, dia sedikit hairan kerana sudah pasti Aliniya bukan jenis yang selalu bangun awal seperti yang diungkap oleh kak Zah tadi. Kalau wanita itu diganggu pasti dia yang menjadi mangsa. Tetapi, bila mengetahui keadaan Aliniya sekarang, dia cuma mengikut saja apa yang kak Zah suruh tadi.
            ‘Tuan dah suruh Puan tidur dekat bawah ini pula. Hmmm...’ Ema menggeleng tidak mahu berfikir lebih lanjut. Lantas, dia mengetuk daun pintu dan menanti suara Aliniya untuk membenarkan dia masuk. Tiada balasan. Sekali lagi dia mengetuk pintu. Masih juga sama. Sudahnya dia memusing tombol pintu.

            Alangkah terkejutnya dia melihat Aliniya yang sudah terlantar di atas lantai tidak sedar. Ema cemas lalu menjerit memanggil kak Bedah dan kak Zah. Ema memangku kepala Aliniya dan cuba mengejutkan wanita itu.
            “Ya Allah, Puan. Puan bangun! Bangun.” Aliniya masih juga kaku.
            “Ema, apa dah jadi?” soal kak Zah sebaik muncul di depan bilik tersebut. Kak Bedah juga kelihatan cemas bila melihat keadaan Aliniya.
            “Ya Allah. Muka Niya betul-betul pucat. Dia demam ke?” Pantas saja tangan Ema memegang dahi Aliniya. Dia menggeleng.
            “Badan dia tak panas. Tapi, memang nampak wajah dia pucat dan berpeluh. Dah dikejutkan, tapi dia tetap tak bangun. Apa patut kita buat?”
            “Buat masa ini kita kol doktor yang rawat Niya dulu. Mana tahu dia simpan rekod kesihatan Niya ke? Takut kalau Niya tersalah makan ubat yang dia bagi ke,” ucap kak Zah.
            “Maksud akak nak kol doktor rumah gila tu ke? Nak buat apa kol doktor rumah sakit jiwa tu? Panggil jelah ambulans. Hantar dekat hospital biasa,” bantah kak Bedah pula.
            “Kita tak tahu keadaan Niya yang sebenar melainkan doktor yang rawat dia bertahun-tahun tu. Mana tahu sakit gila dia datang balik,” balas kak Zah mula berbalah dengan kak Bedah.

            “Kak, panggil jelah siapa-siapa yang boleh tolong kita. Jangan lupa kol Tuan Hardee. Kita kena bagitahu dia,” ujar Ema ingin meredakan perbalahan mereka berdua. Apa yang penting sekarang, Tuan Hardee perlu tahu apa yang berlaku pada isterinya.