Tuesday, May 28, 2013

Cerita Pendek part 3: Tiada Sangkaan Cinta

Part 6


MATA yang masih berat terasa sukar untuk kubuka. Nyenyak benar tidurku malam tadi. Mungkin sebab terlalu letih agaknya. Aku terasa mahu menyambung tidur. Sejenak kemudian, otakku ligat memikirkan sesuatu. Tadi mataku terbuka sedikit dan aku nampak satu lembaga yang duduk dekat denganku. Aku jadi terkedu. Tatkala mataku kembali terbuka, wajah Zuhairil tampak begitu dekat dengan wajahku. Aku tersentak dan terkejut sehingga menyebabkan seluruh badanku melakukan refleks sendiri menyebabkan aku jatuh tersebam ke lantai dari katil. Terkekek-kekek Zuhairil melihat gelagatku yang terkejut dengan kehadirannya. Ya Allah... Lelaki ni nak buli aku ke semenjak dah kahwin dengan aku ni? Aku mengetap bibir sambil lemah tanganku mengurut pinggang. Sakit ow!
"Ha ha ha...Kau nampak tak macam mana reaksi kau tadi? Macam ayam kat kampung aku terkejut, terlompat-lompat. Nak buat macam Gang Nam Style pun ada. Oppa Gangnam Style!" Zuhairil siap membuat tarian Gangnam dengan tawanya yang masih tak berhenti. Semakin geram aku melihat mamat yang sudah bergelar suami aku ni. Putus wayar ke apa?
Aku cuba untuk berdiri, namun kakiku pula terasa macam nak putus. AKu mengerang sakit tetapi dalam suara yang perlahan. Sangkaku suara sakit dapatku kawal, tetapi, pantas sahaja Zuhairil mendengarnya. Aku tunduk menekur lantai. Aku pegang kaki yang terseliuh tadi. Tidak lama kemudian, Zuhairil kembali ketawa. Pantas sahaja aku memandang wajahnya dengan wajah yang tak puas hati. Adakah patut gelakkan aku? Sampai hati dia layan bini macam ni? Kureng betul!
Aku mendengus marah.
"Kau yang buat aku terkejut. Yang duduk merenung aku tidur tu kenapa?"
"Sebab kau unik sangat,"
"Apa ke bendanya unik?" dahiku berkerut hairan.
"Kau tidur tak adalah lincah sangat. Tapi, senyap aje macam sleeping 'beast'. Nak tahu kenapa 'beast'?" Aku masih tak lepas dari memandang wajahnya.
"Sebab tepi bibir kau tu penuh dengan azimat-azimat untuk dibuat peta!" Sekali lagi dia mengekek ketawa sambil menahan perut. Aku menggerutu geram. Mahu saja aku sepak kaki lelaki ni sekali. Baru dia tahu rasa. Dari tadi gelakkan aku, ingat aku suka? Ceh!
"Ingat aku bahan lawak kau ke apa? Aku tak masuk Raja Lawaklah!" Aku mengelap tepi bibirku yang dikatakannya azimat tadi. Memang betul pun. Ada jugalah azimatnya. Tapi, tak adalah banyak sangat. Suka hati akulah kalau dah azimat tu keluar sendiri, aku tak dapat nak halang. Nasib kaulah kalau bantal dia pun jadi mangsa azimat aku ni. Bebelku dalam hati. Aku tahan tangan di katil ingin mengimbangi badanku bagi mengurangkan rasa sakit di kaki. Belum pun sempat aku nak buat apa-apa, Zuhairil pantas mengendongku. Aku tergamam seketika.
"Nasib baik badan kau ni kecik. Taklah berat sangat. Okeylah tu. Walaupun dah 5 tahun tak bersua, tapi badan kau tetap kerding macam ni. Not bad." Mataku terbuntang mendengar katanya. Ada patut dia cakap aku kerding? Tak nampak ke badan aku ni dah berisi? Bukanlah kerding sangat. Adalah juga lemak kat perut ni atau sinonim dengan panggilan buncit!
"Kau nak bawak aku ke mana ni?"
"Cik isteriku sayang, kau tu belum solat subuh lagi. Sebab tu dok renung kau. Tengok muka bini sendiri, tak salah kan? Tapi, tak adalah comel mana pun bini aku ni. Sebab azimat tu jelah buat kau nampak ada rupa sikit kot," mahu terlopong mulutku mendengar kata ejekannya. Rasa nak sepak je muka dia sekarang, tahu?
"Ish! Mulut kau ni tak pernah makan cili hidup ke? Mulut tu tak pernah nak kasi insurans. Ada yang kena sepak dengan aku ni karang?"
"Kau nak sepak aku macam mana kalau kaki pun dah tak larat macam ni? Ha ha ha... Kau buat lawak antarabangsa ke sayang?" Makin menjadi-jadi pula rasa amarahku dengan mulut lelaki laser ni. Memang rasa nak staple je bibir dia tu.
Zuhairil menurunkan tubuhku betul-betul di hadapan bilik air. Walaupun diri masih lagi geram dan marah padanya, tetapi aku perasan cara dia mencepungku begitu lembut sekali. Seperti penuh prihatin. Mungkin gara-gara kakiku yang terseliuh ni dia bawa aku dengan berhati-hati kot. Entahlah.
"Aku tunggu kau ambil wudhuk. Kita solat sama-sama,"
Tanpa bantahan, aku segera mengambil wudhuk dan keluar dari bilik air. Sejadah juga sudah siap dibentangnya. Dengan perlahan, aku menghampiri almari ingin mengambil telekung.
"Kau duduk aje kat katil tu. Biar aku yang ambik," dengan pantas Zuhairil mendahuluiku dan mengambil telekung. Telekung bertukar tangan dan dengan pantas saja hati yang marah tadi menjadi tenang.
"Thanks,"
Pertama kali aku solat bersama suami yang menjadi iman dalam solatku. Penuh tenang suasana ketika itu. Selesai saja solat, dia mendoakan akan kesejahteraan rumah tangga kami. Aku tak mampu nak menipu dan tatkala ini aku benar-benar rasa terharu. Tetapi, benarkah dia mendoakan agar rumah tangga kami berpanjangan?  Ikhlas ke?
Habis saja mengaminkan doa, dia menghulurkan tangannya kepadaku. Lambat juga tangannya kusambut. Aku mencium dengan hormat dan tanpa kusangka, dahiku menjadi persinggahan bibirnya. Lama. Wajahnya kutatap dengan hati yang sukar kutafsir. Senyuman benar-benar ikhlas ke?
"Kaki tu nanti aku tolong urut. Kau boleh kan berjalan macam biasa? Aku tak nak majlis sebelah aku jadi spoil pula gara-gara kaki kau tu,"
Amboi! Tadi bukan main baik lagi dia, siap senyum manis kat aku. Tiba-tiba cakap macam nak cari gaduh lagi. Hish! Memang tak ikhlaslah senyum tadi tu. Angan-angan aku je. Aku menjeling padanya dan mendengus.
"Asyik-asyik dengus. Kau tu dah nak jadi kuda ke?" sindir Zuhairil pula.
"Kita baru je lepas solat kau dah nak buat aku marah. Tak boleh ke kalau kau jangan cari pasal ngan aku?"
"Boleh! Tapi, dengan satu syarat."
"Apa?"
Zuhairil pantas mendekati wajahnya pada wajahku dan belum sempat aku nak jauhkan muka, bibirnya dah melekat kat pipiku. Hampir saja sasarannya pada bibirku. Mahu terputus jantung ni bila Zuhairil membuat kejutan seperti itu. Apabila bibirnya menjauh, bibir aku terkunci tanpa kata. Bibirnya kembali menguntum senyuman.
"Tu je cara kalau kau nak aku berhenti cari pasal. Because no matter what happend, you are mine and only mine! Remember that sayang," Zuhairil mengenyetkan mata dan meninggalkan bilik. Aku masih berjeda di atas sejadah dengan dada yang masih sesak, tidak mampu berbuat apa melainkan membiarkan saja degupan itu berlalu dengan sendirinya.

Part 7


AKU memerhatinya dari jauh. Hatiku begitu tertekan dan rasa ragu-ragu itu muncul semula. Patut ke aku lakukan semua ini? Sudah kutetapkan dalam hati ingin membuat keputusan yang sudah kufikir masak-masak semalam. Tetapi, kenapa tiba-tiba hati jadi ragu? Ah! Aku perlu yakin akan keputusan ini. Lantas, aku berjalan menyeberangi jalan ingin menuju ke restoran Pak Li. Segera kakiku melangkah sambil mata menjangkau ke sekitar ingin mencari kelibatnya. Anak mataku terhenti tatkala melihat wajah si dia yang berada tidak jauh dariku. Aku menghampirinya dengan perlahan. Bibirku berusaha menguntum senyuman kecil. Namun, dapat kurasakan senyuman tersebut tidak semanis seperti selalu. Kali ini, pertemuan itu bagaikan satu pertemuan yang mungkin juga buat kali terakhir bagi kami berdua. Ya! Aku sudah menetapkan hati ingin memutuskan hubungan dengan Zuhairil. Setelah mendengar cerita daripada Mok, aku jadi nekad ingin mengakhiri hubungan yang entahkan benar atau tidak.
Aku tarik kerusi kayu yang bertentangan dengannya. Kulihat ada sepinggan sandwich terhidang di atas meja. Zuhairil menepuk tangannya ingin membuang debu roti sandwich. Dengan lagak selamba, dia menarik menu dan diberikan kepadaku. Aku menahan rasa debar yang sedari tadi sering mengganggu ketenteramanku. Zuhairil memanggil waiter dan aku memesan makanan yang sama seperti yang dipilih oleh Zuhairil tadi.
"Dah lama sampai ke?" aku membuka bicara antara kami. Zuhairil hanya memandangku sekilas dan tangannya kembali mengambil sandwich yang terakhir.
"Tak lama sangatlah. Cukup untuk menghabiskan satu sandwich nilah," ujar Zuhairil pendek. Aku kembali terdiam semula. Entah mengapa, perbualan kami begitu dingin sekali.
Apabila hati rasa begitu tak tenteram, aku kembali membuka bicara dengan menyoalnya sesuatu.
"Sejak beberapa minggu ni, awak ada keluar tak dengan mana-mana perempuan?" Zuhairil memandangku dengan pandangan hairan. Seraya itu, dia menggeleng.
"Tak ada. Ada pun dengan Ina. Sayakan dah beritahu awak sebelum ni? Saya ada keluar sekejap dengan Ina,"
Aku mengangguk saja. Aku teringat akan apa yang pernah dikatakannya dulu ketika ingin keluar bersama Ina, iaitu sepupunya.
"Memang betul awak tak keluar dengan orang lain ke selain Ina?" aku masih mengasaknya dengan soalan yang sama.
Zuhairil mengerut dahi. "Apa awak ni? Saya dah cakap tadi kan? Saya hanya keluar dengan Ina. Kenapa tanya soalan mengarut tu?" Suara Zuhairil sedikit naik. Mungkin bengang dengan asakan soalan yang sama. Aku menelan liur dan menunduk. Hatiku sedikit terusik dengan nada suaranya. Kenapa perlu menaikkan suara? Salah ke kalau aku bertanya? Sudahnya, aku hanya mampu berdiam diri. Pelayan tiba ke meja kami dan meletakkan air kosong yang dipesanku tadi. Aku tersenyum tawar pada pelayan tersebut dan menunggu saat dia berlalu pergi.
Aku mengeluarkan dompet dari saku seluar dan mengeluarkan beberapa not sepuluh ringgit dan aku serahkan kepada Zuhairil. Zuhairil sekali lagi melontar pandangan pelik kepadaku.
"Ini duit untuk bayar bil telefon bulan ni," aku menjawab pertanyaannya tanpa perlu disoal. Dia mengangguk dan mengambil duit tersebut. Sebaik dia menyimpan duit-duit tadi ke dalam dompet miliknya, aku segera mengeluarkan telefon bimbit samsung S2 dan aku keluarkan sekali sim kad. Aku nampak wajah Zuhairil yang keruh sambil memerhati wajahku dengan tajam. Terkial-kial aku mengeluarkan sim kad tersebut gara-gara tanganku yang menggigil dan cuba kutahankan getaran yang bergelodak di dalam hati. Apabila berusaha mengeluarkan sim kad, pantas aku mendongak dan menyerahkan sim kad tersebut. Aku perasan Zuhairil mengetap bibir dan tangannya segera mengambil sim kad di atas meja.
"You will never see me again," ucap Zuhairil pantas dan tanpa pamitan, dia langsung meninggalkan meja kami. Dengan pantas juga, aku mengekorinya. Laju saja langkahnya meninggalkanku, namun, aku tetap ingin mendapatkannya semula.
"Awak! Tunggu! Biar saya jelaskan semuanya dahulu,"
"Kau diam!" bentak Zuhairil. Langkahnya langsung tidak mahu berhenti. Aku menahan sebak yang menggamit hati. Namun, aku tetap tidak mahu beralah sehinggalah Zuhairil menjejak keretanya. Aku segerakan langkah dan aku berjaya menerobos masuk ke dalam keretanya, sebelum sempat dia menghidupkan enjin.
"Awak, biarlah saya jelaskan semuanya dulu," tidak sempat aku menghabiskan kata, Zuhairil keluar dari perut kereta. Aku mengeluh lemah dan tetap tidak berganjak dari perut kereta. Aku lihat jejak Zuhairil yang menghampiri pintu kereta di sebelahku. Sebelum dia membuka daun pintu kereta, aku pantas membukanya.
"Kau keluar sekarang. Sebelum aku jerit suruh kau keluar!" berang Zuhairil yang tunggu masa saja mahu meletup. Tidak mahu membuat masalah yang bisa memalukan kami berdua, aku keluar jua dari kereta tersebut. Zuhairil menutup pintu kereta dengan kasar dan dia melangkah ke pintu pemandu.
"Zuhairil, please! Dengar dulu penjelasan saya. Janganlah macam ni," aku masih mahu memujuknya. Tanpa mendengar penjelasan dariku, Zuhairil pantas menerobos masuk ke dalam kereta dan meninggalkan aku yang terkontang-kanting di tepi jalan. Hanya anak mata saja yang mampu menghantarnya pergi. Aku mendongak ke atas dan menyeka air mata yang perlahan menuruni pipi.
PERLAHAN-LAHAN mataku dibuka dan kembali tertutup. Aku diam tidak berkutik dengan mata yang tertutup. Tiba-tiba, bayangan yang aku pandang sekilas tadi membuat aku berfikir sejenak. Pantas mataku terbuntang apabila wajah Zuhairil terlayar begitu dekat sekali dengan wajahku.
"Ahh!" jeritku. Dek kerana terlalu terkejut, kakiku secara tiba-tiba saja terangkat dan...
Dush!
"Ahh!" Jeritanku tadi, disahut pula oleh Zuhairil. Sebenarnya, kakiku selamat mengena perut suamiku itu. Aku lihat ke bawah katil dan memerhati Zuhairil mengengsot kesakitan. Ooppss! Padan muka! Sudahlah tadi dia buat kejutan, sekarang pun nak buat kejutan lagi. Tapi, kira adillah. Aku terkejut dan terjatuh dari katil gara-gara kejutannya itu. Sekarang, dia buat kejutan lagi dan kali ini bukan aku yang jatuh tetapi dia!
"Kau ni memang nak buat rosak majlis aku malam nanti kan? Kalau tak selamat majlis aku, pengantin lelaki pulak yang kau nak kenakan?"
"Dah kau tu suka sangat buat terkejut aku tu, kenapa? Hah! Padan sangatlah dengan muka kau tu. Nasib baik terflying kick kat perut. Kalau kat muka tadi, aku tak tahulah macam mana. Rosaklah muka 'hensem' kau tu, ye?" sindirku seraya terburai tawa yang tertahan dari tadi. Memang aku suka sangat part ni. Muhahaha!
"Kau nikan. Dah umur 28 tahun, dah jadi bini orang tapi masih nak tidur lepas subuh? Bini apa macam tu?" Zuhairil berusaha untuk bangun dan sempat lagi mahu mengejekku.
"Kenapa? Kau menyesal ke kahwin dengan aku? Nak sangat kahwin dengan aku, tulah akibatnya. Terima jelah yang bini kau ni macam ni," balasku tanpa rasa bersalah. Aku menjeling sahaja Zuhairil yang masih terduduk di lantai.
"Kau ni...Eyyy...aku bagi penangan hebat kat kau biar terdiam mulut kau tu supaya tak menjawab, baru kau tahu!"
"Apa? Kau nak buat apa? Nak tutup mulut aku dengan stapler? Huh! Cubalah buat, kalau kau rasa nak kena penangan tendangan maut aku tu lagi,"
Belum pun sempat ingin memanjangkan lagi pergaduhan mulut ini, Zuhairil pantas menangkap pergelangan tanganku dan ditariknya kasar sehingga menyebabkan tubuhku jatuh ke bawah menghempap tubuhnya.
Bibirku hampir-hampir saja mendarat pada bibirnya. Kedudukan kami begitu rapat sekali. Aku tergamam, begitu juga dengannya. Mata kami bertentangan dan melekat tanpa mahu beralih. Entah apa yang menyampukku, aku biarkan saja tangan Zuhairil yang sudah mengusap lembut pada pipiku. Lama kami berkeadaan demikian. Tangan Zuhairil yang mendarat pada pipiku beralih pula pada rambutku. Zuhairil membelai lembut rambut panjangku dan bergerak pula pada hidung. Akhirnya, tangannya berhenti pada bibirku. Bagaikan dipukau olehnya, mataku perlahan-lahan ditutup tatkala wajahnya mula mendekati wajahku.
"Rin, Ril...Apa yang bising tu? Bukak pintu ni!" Pergerakan kami terhenti dan mataku pantas terbuka. Darah panas mula naik ke muka. Kenapa aku dengan senangnya menyerah padanya? Aku pantas menjauhkan tubuhku dari terusan menghempap tubuhnya. Tiada langsung ruang bicara antara kami. Semua begitu janggal dan... entahlah.
Aku kembali terdengar suara ibu yang memanggil nama kami berdua. Segera aku membuka daun pintu dan tersembul wajah ibu yang merenung tajam ke arahku.
"Apa bunyi bising tadi?"
"Emmm...Tak ada apalah,bu. Tadi, ada cicak jatuh kat katil. Tu yang bising tu." dalihku tidak mahu ibu tahu akan apa yang terjadi tadi. Ibu mengecilkan mata masih tidak berpuas hati. Mata ibu berkalih pula pada wajah Zuhairil yang sudah mendekatiku. Ibu memandang wajah kami berdua satu persatu. Aku sempat melihat Zuhairil dari ekor mata dan kelihatannya wajah Zuhairil tampak begitu selamba dan poyo! Hmph! Nak buat-buat coollah tu. Ceh! Bajet 2013 betul!
Anak mata ibu kembali memandang tajam kepadaku.
"Rin, ibu nak cakap sikit dengan Rin."

bersambung...

Tuesday, May 14, 2013

Cerita Pendek part 2: Tiada Sangkaan Cinta


Part 4

AKU mengetap bibir setelah mendengar khabar dari jejaka di depanku. Adakah benar apa yang diceritakannya itu? Atau itu semua dusta? Entahlah.
"Kau takkan kenal dia sepertimana kawan dia kenal dia. Jadi, kenapa kau tak tanya kat kawan dia bagaimana diri dia tu sebenarnya. Aku tak nak kau menyesal kalau kau salah pilih, Fin," itulah saranan yang Bilah perkatakan kepadaku. Dan kerana itulah aku mencari salah seorang daripada rakan Zuhairil, ingin mengenali diri Zuhairil sebenar. Dek melihat aku yang sering kali bersedih gara-gara layanan dingin dari Zuhairil, Bilah menyusul idea tersebut dan tanpa kusangka, berita yang mengecewakan aku pula kudengar.
"Aku bagitahu kau ni pun sebab kau dah putus dengan dia. Aku dah kenal lama dengan Zuhairil tu. Banyak orang tahu yang dia tu kaki perempuan!" ujar Mok padaku. Dadaku terasa begitu sesak sekali. Jadi, selama ini adakah aku dipermainkan olehnya? Adakah sepanjang kami bersama, semuanya hanya pura-pura sahaja?
"Aku tak tahulah apa yang kau suka sangat kat lelaki tu. Tapi, memanglah... Dia tu anak orang kaya. Anak doktorlah katakan. Sebab duit, dia boleh bawak anak dara orang ke hulu ke hilir. Sukahati dia ajelah." Sekali lagi Mok membongkar kisah Zuhairil.
"Kau tak tahu berapa ramai perempuan yang dia dah keluar bersama. Hmph! Korang semua ni buta agaknya. Apalah yang disogoknya kat korang, ya?" Hampir saja aku melopong mendengar kata sindir dari Mok. Aku pula... Hendak percaya atau tidak, aku pun tidak tahu. Fikiranku bercelaru. Tetapi, bukankah Zuhairil menyatakan dia benar-benar cinta padaku? Dulu juga dia pernah cerita kepadaku tentang skandel dia. Tetapi, tidak pula dia memberitahu secara terperinci sebagaimana apa yang diceritakan oleh Mok tadi.
"Kau tahu tak, sampai ada sorang minah ni, sanggup datang jenguk dia guna motorsikal semata-mata sebab dia dengar yang Zuhairil tu demam. Fuh! Gila cinta minah tu kat dia! Dan setahu akulah, aku dengar dia putus dengan minah tu bila dia jumpa kau,"
Aku terpempan mendengar satu lagi kisah tentang lelaki bernama Zuhairil ini. Mahu saja air mataku menitis di depan Mok. Tetapi, aku cuba bertahan, tidak mahu dikatakan aku perempuan lemah di depan lelaki yang kurang aku kenali ini.
Mok tersengih sinis. "Mujurlah kau dah putus dengan dia. Tak guna kau kapel dengan lelaki player macam tu. Nak kata hensem, tak juga. Tapi, semuanya sebab dia ada ni..." Mok menunjuk isyarat tangan yang juga bermaksud lelaki itu ada satu kelebihan, iaitu wang! Aku menunduk dan merenung jauh.
"Tapi, macam mana kalau Zuhairil tu betul-betul suka kat Fin? Dan sebenarnya, si Zuhairil tu berubah," tiba-tiba Bilah bersuara di sebelah. Mok menjeling Bilah dengan sinis, diikuti dengan tawa kecilnya.
"Kalau dah ramai mangsa dia dah terkena, berubah ke tu? Kau jangan hairanlah kalau nanti, dalam beberapa bulan lepas tu, dia dah ada spare part baru. Kau tengoklah nanti. Fin ni dah jadi macam minah yang lain juga. Kesian kau, Fin,"
Sungguh aku tidak menyangka begitulah rupa sebenar Zuhairil. Sampai hatinya dia mempermainkan hatiku.  Sampai hati dia jadikan aku sebagai mangsa seterusnya. Kenapa dia sanggup buat aku macam ni? Kenapa?
"Kalau betullah dia sayang kat kau, Fin...Dia takkan tengking-tengking kau kat dalam phone sampai kawan dia pun boleh dengar. Betul tak?" duga Mok pula. Aku renung wajah Mok dan berakhir dengan satu anggukan. Aku jeling wajah Bilah di sebelah. Nampak seperti Bilah tengah berfikir. Sudahnya, kami berdua hanya mampu berdiam sahaja.
AKU tatap wajahku pada cermin. Nampak sunggul walau sudah bergelar isteri orang. Selalunya, apabila menjadi ratu sehari, wajah pengantin pasti berseri-seri. Tapi, aku? Jelas sekali wajahku nampak muram, hilang serinya. Kenapa? Semua gara-gara kejutan yang tak pernah kusangka akan terjadi dalam hidup aku ni. Sungguh! Tiada kusangka dialah lelaki yang menjadi teman hidupku sekarang. Ibu kata dialah yang terbaik untukku. Benarkah?
Tudung masih melekap di kepala, baju pengantin pun masih belum dibuka. Aku betul-betul terkejut dengan apa yang terjadi pada hari ini. Aku kahwin dengan bekas kekasih aku sendiri! Tapi, sejak bila pula ibu berjumpa dengan dia? Kenapa ibu menyatakan dialah yang terbaik buatku sedangkan ibu tahu apa yang terjadi pada kami berdua? Ah! Sesak! Sesak!
"Kau tak perlulah dramatik sangat," Aku tersentak tatkala ada suara yang menegur secara tiba-tiba. Pantas saja tangan yang kuletak di kepala turun ke bawah. Gelengan yang entah ke berapa kali pun terhenti dan mata pula ku alih tidak mahu menatap wajahnya.
'Dramatik sangat ke tadi? Alamak! Malunya...'
Aku beranikan diri memandang wajahnya. Sekilas pandang sahaja. Sempat aku menangkap senyumannya yang seperti menyindirku. Aku mendengus halus.
"Kau tak pernah berubah pun dari dulu. Masih banyak dramanya. Of course you should be nominated as a drama queen. Dan sah-sah kaulah pemenangnya," di hujung ayatnya, kedengaran tawa kecil. Aku mengetap bibir geram. Dan kau pula sama seperti dulu. Masih suka nak menyindir aku tanpa fikir perasaan aku ni. Mahu saja aku luahkan kata-kata itu. Geram betul dengan perangai berlagak lelaki sorang ni. Apesallah aku boleh jatuh cinta dengan dia dulu ya? Pelik betul!
Dia menghampiriku dan berdiri bertentangan denganku. Aku menoleh ke arah lain. Malas dan meluat dengan dia.
"Masamnya muka. Dah jadi bini aku, kau patut rasa bangga tau?" Mendengar saja kata itu, aku terus pandang wajahnya tajam. Namun, aku terpempan tatkala wajahnya begitu hampir dengan wajahku. Mahu juling mata aku ni bila tatap mukanya sekarang. Memang dekat gila! Aku undur sedikit untuk menjauh.
"Kau ingat aku nak sangat kahwin dengan kau ke?" aku akhirnya bersuara juga.
"Bukan ke kau dulu pernah kata yang kau nak sangat kahwin dengan aku?"
"Itu masa sebelum kita putus!"
"Dan tahniah sekali lagi sebab impian kau dah pun jadi kenyataan,"
Aku melopong luas. Dan perangai dia yang satu ni memang langsung tak pernah berubah pun. Perasan tahap gaban!
Aku mendengus kecil dan aku alihkan pandangan ke tempat lain. Serius aku menyampah dan meluat. Tapi, kenapa dalam beberapa hari sebelum ni aku ada rasa rindu padanya? Eh! Rindu? Bila dah berhadapan dengan orangnya, rasa rindu tu dah tak ada makna dah. Makin bertambah menyampah adalah.
"Suka hati kaulah. Perasan nak mampus. Dahlah, aku nak pergi mandi. Boleh tak ke tepi sikit?" Zuhairil masih tunduk dan menghalang laluanku. Aku mendecit marah.
"Ish! Tak reti bahasa ke?"
"Kenapa kau tak tanya aku bagaimana aku boleh jadi suami kau?" soal Zuhairil yang masih tidak mahu bergerak dari tempatnya. Aku kembali merenung wajahnya. Persoalan itu? Aku rasa tak perlu aku tanya padanya sedangkan persoalan itu perlu aku soal pada ibu. Kenapa ibu boleh bersetuju untuk membiarkan lelaki ini menjadi suamiku?
"Aku tak ada masa nak bersoal jawab dengan kau. Yang pastinya, macam yang kau cakap masa awal-awal tadi. Kau tetap nak tunaikan janji kau tu dan aku sendiri pernah cakap dengan kau. Sekiranya betul kita ada jodoh, kita akan kahwin juga nanti."
Ya! Memang aku pernah berkata begitu dan aku tak pernah lupa pun. Setelah seminggu memutuskan hubungan dengannya, Zuhairil menghubungiku kembali.
"APA lagi yang kau nak haa? Kitakan dah putus!" ujarku dengan suara tegas.
"Aku rasa ada orang yang merosakkan hubungan kita. Aku rasa ada orang ketiga yang buat kita jadi macam ni,"
"Tak ada orang ketiga, Ril! Semuanya sebab apa yang kau buat, bagaimana kau layan aku tak sama dengan apa yang kau luahkan kat aku!" Hampir saja suaraku menjerit. Apa lagi yang dia hendak daripada aku? 
"Aku dapat rasa ada orang yang hasut kau. Aku tahu. Firasat aku kuat!" Zuhairil masih mahu menegakkan pendiriannya. Aku mengetap bibir. Apa yang perlu katakan lagi? Zuhairil memang sentiasa benar dalam bab-bab 'predict'. Firasat dia tu kuat! Tapi, aku tak boleh beritahu hal sebenar. Aku sudah berjanji dengan Mok. Apabila aku dan Zuhairil sudah putus, Mok berjanji akan menceritakan segalanya tentang Zuhairil dan pulangannya, aku kena berjanji untuk tidak memberitahu sesiapapun tentang pertemuan kami.
"Kalau macam tu, aku nak kau pulangkan balik patung pemberian aku tu," aku tersentak. Mataku pantas beralih melihat patung beruang yang berwarna coklat yang duduk di atas tilamku. Mataku mula berair. Perlu ke sampai begitu sekali dia ingin memutuskan hubungan ini? Kalaupun kami sudah putus, aku masih mahu kenangan bersamanya kekal di sisiku. Patung beruang yang dihadiahkan oleh Zuhairil setelah kami menjadi pasangan kekasih menjadi peneman tidurku sampai ke hari ini dan sekarang, tuannya inginkan patung tersebut kembali. Ya Allah, aku tak sanggup melepaskan kenangan ini. Kenapa dia mesti ambil Encik Bow?
"Kalau kau nak balik barang kau ni, kau ambil sendiri." jawabku dengan nada hambar.
"Fine! Aku datang sekarang,"
Dalam beberapa minit kemudian, aku mendapat mesej darinya. Dia sudah datang! Aku ambil Encik Bow dan aku peluk patung beruang tersebut dengan erat. Aku ambil telefon bimbitku dan aku tangkap gambarnya buat kali terakhir.
"Sudah tiba masanya kau pulang di sisi tuan kau," ujarku seorang diri. Menitik juga air mataku melihat Encik Bow. Tali lehernya aku betulkan dan aku usap patung tersebut.
Perlahan-lahan aku kendong anak patung tersebut dan menghampiri kereta milik Zuhairil. Aku buka pintu kereta dan aku letakkan patung tersebut di kerusi penumpang.
"Nah! Aku pulangkan balik patung kau," aku ingin berpaling tetapi kedengaran suara Zuhairil memanggil namaku. Aku terpaku. Adakah aku salah dengar? Suaranya kedengaran sayu sekali. Aku berpaling dan memandang wajahnya dalam samar-samar. 
Malam ini terasa begitu dingin sekali. Sebentar tadi, baru saja hujan reda. Nampak suasana sekeliling pun bagai memahami perasaanku sekarang. Dingin!
Aku memandangnya, tajam.
"Apa lagi yang kau nak?"
"Boleh tak kalau kau tunggu sebentar? Aku...aku rasa kusut. Kusut kau tau tak?"
"Habis, kau rasa aku ni tak kusut?" Aku balas dengan berani.
"Kau tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Apa yang kau buat kat aku, semuanya hanya pura-pura aje kan?" sambungku kembali.
"Tak! Aku...aku sayang gile kat kau. Kau tahu tak betapa aku sayang kat kau?"
"Kalau sayang, kau takkan minta balik patung tu," aku membalas katanya lagi. Entah bagaimana aku dapat keberanian seperti ini. Dulu, setiap kali dia berkata, aku akan diamkan saja dan tidak pula kali ini.
"Aku tak nak patung ni pun. Aku nak tengok kau buang sendiri." Berdetak jantungku saat dia berkata sebegitu. Buang? Bagaiman aku sanggup membuang barang yang ada kenangan darinya? Aku tak sanggup! Aku terlalu sayang padanya, begitu juga dengan patung tersebut.
"Okey! Kau nak sangat aku tengok aku buang, aku akan buang sekarang." 
Dengan langkah lemah, aku membawa patung beruang tersebut dan aku campak di tong sampah besar berdekatan.
"Minta maaf, Encik Bow. Aku terpaksa..."
Aku melangkah kembali mendekatinya. Sekarang, aku berdiri betul-betul pada pintu pemandu dan menghadap wajahnya. Dan tanpa kusangka, aku lihat matanya merah dan mengalir mutiiara jernih dari sepasang mata lelaki itu. Benar aku tergamam. Dia menangis!
"Sekarang, kau puas aku dah buang patung tu...puas?"
"Aku...aku akan tuntut janji dari kau. Aku takkan lepaskan kau sebab aku betul-betul sayang gile kat kau."
"Kau nak apa lagi, Ril? Antara kita dah tak ada apa-apa! Sekarang, kau balik ajelah."
"No! Aku tetap akan cari kau lepas ni. Aku akan cari kau sampai dapat. Dan aku akan jadikan kau isteri aku! Itu janji aku," Zuhairil masih tidak mahu mengalah.
"Okey, fine! Kalau ada jodoh antara kita, kau datanglah jumpa parent aku. Kau pinang aku dan kita kahwin!"
"Aku...aku akan pastikan kau milik aku!" suaranya perlahan tetapi penuh ketegasan. Dia menyeka air matanya dan keretanya berlalu pergi. Tatkala kereta Zuhairil menjauh, aku seperti terkejut akan kata-kata aku sendiri. Apa yang dah aku katakan tadi?
"KAU cakap kau nak mandi. Asal tenung aku macam kau berminat dengan aku ni? Dah angau dengan aku?" Aku tersentak saat Zuhairil menegurku sehingga hilang terus kenangan lalu di fikiranku.
Zuhairil mendekatkan wajahnya padaku. Aku jadi kaget. Dadaku bagai dipalu geruda.
"Dan sekarang, kau terimalah balasannya. Aku akan pastikan kau tahu akibatnya sebab mempermainkan perasaan aku."
Mempermainkan perasaan? Siapa yang mempermainkan perasaan siapa ni? Aku jadi hairan.
Aku kelu tanpa kata dan Zuhairil menjauh dariku. Dia berpaling dan ingin melangkah pergi. Aku menarik nafas lega, tetapi tidak lama apabila Zuhairil kembali menghadapku. Dia mendekatiku sekali lagi. Wajahnya ditunduk dan memandang wajahku dengan renungan yang sukar untuk aku tafsirkan.
"Oh,ya... Aku lupa nak beri hadiah perkahwinan kita," Aku mengerut dahi.
Cup!
Mataku terbuntang luas. Di..Dia..Dia...
Tanganku menggeletar dan terus melekap pada pipiku. Pipi aku dah jadi mangsa dia!
"Now the game has started!" ucapnya dengan senyuman penuh makna. 

Part 5

ANAK mataku tak pernah lepas dari memandangnya. Sentiasa tajam sahaja bergerak mengekori segala gerak-gerinya. Hati pula dah macam becana alam. Ribut ada, taufan pun ada. Semua gara-gara lelaki yang pernah menjadi bekas kekasih hati aku, tiba-tiba menjadi suami aku pula. Terkejut memang terkejut. Entah mana pula datangnya angin, dia muncul menagih janji. Janji untuk mengikat aku! Tujuan? Sudah semestinya dia mahu menghancuri hidupku. Bukan ke dia dah cakap "Now the game has started!" Permainan apa lagi kalau bukan nak menyakitkan hati aku. Tapi, benarkah?
"Aku tahulah aku hensem. Tak perlulah mata tu macam nak terjojol keluar tengok aku. Rasa terlebih macho pulak malam-malam ni. Kenapa? Kau dah tak sabar ya?" ujar lelaki itu sambil tersenyum gatal. Aku yang duduk di sofa terasa mahu pitam dengan kata-katanya itu. Perasan perasan!
Aku buat muka meluat dan aku kalih memandang ke tempat lain. Aku terkejut saat tubuhnya juga duduk di sebelah mendekatiku. Dengan keningnya terangkat-angkat, tangannya mula melingkari pinggangku. Darah seram sejuk dah mula naik sampai ke muka. Bulu roma kat tengkuk ni pun dah tegak. Ngeri! Cepat-cepat aku lepaskan diri dan duduk di katil. Sebelum sempat punggungku labuh di katil, pergelangan tanganku disambarnya. Tubuhku terdorong ke belakang dan mendarat selamat di atas pehanya. Mataku terbuntang luas dan sememangnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa malunya aku. Tangannya melingkari pinggangku semula dan dia memelukku dengan erat. Dapatku rasakan hembusan nafasnya dari belakang hingga ke cuping telingaku.
"I know you want me, sayang..." bisiknya perlahan. Dek kerana terlalu takut, aku cuba melepaskan diri daripadanya, namun tidak berhasil. Pelukannya begitu erat sehingga sesak nafasku dibuatnya.
"Lepaskanlah!"
"Never! You are mine now and I want you tonight!" tegasnya pula. Dengan keberanian yang ada, pahanya jadi mangsa. Aku cubit sehingga dia mengaduh sakit. Terlepas juga aku dari pelukannya. Cepat-cepat aku berdiri dan menjelir lidah padanya. Tidak lama selepas itu, satu senyuman terukir di bibirnya membuat aku terpaku seketika.
"You are still the same like before. Suka cubit aku. Tak pasal-pasal aku jadi mangsa penderaan kau," 
Aku menjeling sahaja padanya. Dah memang dari dulu aku ni jenis yang suka cubit orang. Nasiblah kau, nak sangat kahwin dengan aku terima ajelah.
"But, I won't let you down, dear. Tonight will be an awesome night for both of us," sambungnya lagi.
"Ah! Kau pun sama gatal!" Sekali lagi bibirnya tersenyum gatal. Aku kembali rasa seram, lantas cepat-cepat aku keluar dari bilik itu. Nasiblah dia tak kejar aku. 
Sebaik keluar dari bilik, wajah ibu menyapa anak mataku dan ibu juga memandang ke arahku dengan pandangan hairan.
"Tak penat ke? Kenapa tak tidur lagi?"
"Ibu, we need to talk." ucapku pada ibu ingin menagih jawapan pada persoalan-persoalan yang bermain di minda. Suasana sekeliling sudah menjadi sunyi. Sepupu-sepupuku juga sudah nyenyak dibuai mimpi di ruang tamu. Maklumlah, rumah aku ni kecil aje. Tetapi, aku tetap suka suasana sebegitu. The more the merrier kan?
"Fin, ibu penatlah. Ibu baru nak masuk bilik. Ayah pun dah nyenyak tidur. Kita cakap esok ya?"
"Tapi..."
"Good night Erfina Alya. And selamat pengatin baru ibu ucapkan. Jangan biarkan suami menunggu," sempat lagi ibu mengusikku sebelum dia memboloskan diri ke dalam bilik. Aku jadi termanggu seketika. Aku berpaling ke belakang dan aku terpempan. Ternyata, Zuhairil tenang menantiku.
"Dengar jelah cakap ibu tu. Jangan biarkan suami menunggu. And I really need you now." Ucapnya sambil mendepakan kedua-dua tangannya di hadapanku. Aku jadi makin hairan dengan lelaki ini. Bukankah hubungan kita sudah putus? Kenapa layanannya sebegini? Adakah ini satu taktik ingin menyakiti hatiku?
"Jom, sayang. Dah lewat dah ni. Takkan awak nak orang lain terbangun pulak gara-gara kita ber'antam' di depan pintu bilik?"
"Fine!" Aku melangkah dengan wajah cemberut. Apabila melimpasinya, sempat lagi dia menegur, " Tak baik buat muka macam tu depan suami. Malam pertama kalau tak layan suami, malaikat akan melaknatnya sehingga subuh," Aku bertambah geram. Amboi! Dah nampak king control dia. Pintu bilik ditutup dan aku naik ke atas katil.
"Fine! Kalau kau nak sangat aku layan kau, marilah!" Dengan lagak beraninya aku berkata demikian. Mahu bergelen-gelen air liur aku dah telan. Cuak sebenarnya tapi, aku cuba buat-buat berani. Aku tak mahu dia melihat aku seorang gadis yang lemah di matanya. Ya Allah, aku mohon agar malam ini berlalu dengan pantas.
Pantas, kakinya juga naik ke katil dan Zuhairil duduk menghampiriku. Belum sempat aku nak buat apa-apa, dia tarik tubuhku agar baring di sebelahnya. Dipeluknya badan aku dengan erat, siap kaki dia pun dah terletak elok kat atas kaki aku bagai mahu mengikat kakiku agar tidak mampu ke mana-mana.
"Okay! Good night, sayang," 
Cup! 
Pipi kananku jadi mangsanya sekali lagi. Mataku yang terpejam tadi aku buka setelah merasa tiada apa-apapun yang berlaku. Aku toleh sebelah dan melihat wajah Zuhairil dengan begitu dekat. Matanya pula sudah terpejam rapat. Tetapi, tangannya masih tidak lepas dari memelukku, begitu juga dengan kakinya yang mengunci kakiku.
"Tadi, beriya sangat nak aku layan kau,"
Matanya kembali terbuka dan aku terpaku melihat anak matanya. Lama kami bertatapan sebegitu. Tiba-tiba, wajahnya yang tenang berubah seperti menyindir.
"Kau ingat aku nak hadap kau sangat ke? Hello! Aku nak kau terima balasannya. Jadi, dengar cakap aku. Kau tidur sekarang. Aku penat. Tak ada masa nak melayan kau. Amboi, siapa yang terlebih teruja sebenarnya?" 
Terasa macam kena hempap dengan batu pula. Ada pula aku terkena balik? Aku mengetap bibir. Di saat mulutku ingin bersuara, dengan pantas tangannya menutup mulutku.
"Diam. Aku tak nak dengar suara kau membebel malam ni. Esok, kita kena buat majlis di pihak aku pulak .Jadi, kau jangan nak rosakkan majlis aku." Dengan pantas, tangannya menutup suis lampu tidur dan bilik kami berubah malap. Dengan bantuan lampu di luar tingkap bilik, aku hanya mampu melihat bayang-bayangnya di dalam bilik yang samar ini. Pelukkannya semakin erat dan sekali lagi, bibirnya mendarat di pipiku. Kemudian, di dahiku. Dapatku rasakan bibirnya lembut singgah ke wajahku. Jantung pun dah mula berdegup kencang. Betul ke dia tak nak layan aku malam ni? Eh? Asal aku pula yang tanya macam tu? Haish!
"Good night, hope you dream of me tonight, my dear." bisikan dari Zuhairil membuat hatiku menjadi gundah-gulana.
"Walaupun kau terlepas untuk hari ini, tapi belum tentu kau dapat terlepas dari genggaman aku untuk hari-hari yang lain," aku tergamam dan menelan liur yang perit. Kini, lembaran hidupku baru bermula. Namun, lembaran itu tercatat namanya sekali. Zuhairil Zainurdin, apa sebenarnya yang kau inginkan?

bersambung...